(Sebagaimana
yang Diceritakan oleh Puan Mahawa Pilus)
Cerita Puan
Mahawa Pilus tentang ibunya memang cukup menginspirasi dan memotivasikan. Cerita
seorang wanita biasa, tetapi cukup luar biasa. Cerita yang selalunya sering kita
dengar dalam kisah-kisah kewalian. Bertuahnya bagi saya, cerita ini bukan
cerita yang tidak diketahui pucuk pangkalnya, tapi cerita yang ditutur oleh mulut
anaknya sendiri yang telah mendampingi ibunya sejak puluhan tahun.
Saya ringkaskan
sahaja nama Ibu Puan Mahawa sebagai IPM.
IPM merupakan
seorang wanita yang gigih, kuat dan tabah. Meskipun beliau tidak boleh membaca
dan menulis, namun beliau sempat mempelajari al-Quran dan mampu membaca
al-Quran dengan baik. Beliau telah mempelajari asas-asas pengetahuan agama
daripada Syeikh Ahmad Said Linggi (1328H/1912 – 1383H/1964) dan Tuan Guru Hj. Ibrahim
Bongek (1325H/1907 - 1418H/1997).
Beliau membaca
al-Quran setiap hari dan mengkhatamkannya setiap bulan. Beliau tekun dengan rutin hariannya membaca
al-Quran antara waktu zohor sehinggalah waktu asar.
Ini ditambah lagi
dengan bacaan Surah al-Ikhlas sebanyak 10,000 kali setiap hari.
IPM
sentiasa menjaga solat tahajudnya pada setiap malam. Selain menjaga puasa sunat
Isnin dan Khamis pada setiap minggu.
Di samping
tugasan dan amal ibadat harian, mulutnya tidak pernah henti-henti berzikir
mengingati Allah SWT. Hinggakan ketika beliau tidur sekalipun, lidahnya masih
bergerak menyebut LA ILAHA ILLAH... Ini belum termasuk bilangan
selawatnya kepada Junjungan Baginda Nabi SAW.
IPM juga
seorang wanita yang zuhud. Beliau mempunyai sepasang pakaian yang sering
dipakainya berulang kali selama lebih 60 tahun. Adakalanya beliau diberikan
pakaian baru, istimewanya bagi menyambut Hari Raya Idulfitri. Namun, beliau
enggan memakainya dan sebaliknya, lebih selesa memakai pakaian yang biasa
dipakainya, setelah memastikan ianya telah bersih.
Inilah sekelumit
daripada sifat peribadi luar biasa wanita ini.
Kehidupannya
ditakdirkan oleh Allah bukan dalam kalangan orang susah. Datuknya dahulu adalah
seorang datuk bandar. Bagaimanapun, beliau tidak mewarisi sebarang harta pusaka
milik datuknya itu. Apa yang beliau miliki adalah hasil usaha beliau sendiri,
di samping sedikit tanah daripada neneknya.
IPM seorang
wanita yang penyabar dan suka membantu orang lain yang amat memerlukan
pertolongan. Beliau pernah membela beberapa orang anak yatim dan memeliharanya
dengan penuh kesungguhan. Beliau akan mengusap rambut mereka dan menyikatkannya
sendiri, kerana itulah yang ditunjuk ajarkan oleh Nabi SAW katanya. Beliau
menyekolahkan mereka sama seperti anak sendiri sehinggalah mereka meningkat
dewasa dan berjaya dalam bidang pekerjaan.
IPM juga
seorang yang banyak bersedekah dan berwakaf. Setiap kali mendapat hasil
keuntungan yang diperolehinya daripada penjualan hasil sawah padi dan tanaman
sayur-sayuran, beliau akan mengkhususkan satu bahagian daripadanya untuk
disedekahkan. Beliau sering membuatkan badal haji secara ikhlas bagi mereka yang telah meninggal dunia tetapi belum sempat untuk menunaikan fardhu haji.
IPM banyak
berwakaf untuk membina berbagai kemudahan bagi orang ramai. Antaranya wakaf untuk membuat masjid,
sekolah agama dan jalanraya. Selain turut mewakafkan beribu-ribu naskhah
al-Quran.
IPM mempunyai
falsafah hidup yang mudah, iaitu mengabdi diri kepada Allah dan berbakti kepada
manusia.
Beliau pernah
menghadapi berbagai cabaran sukar dalam hidupnya. Namun, semuanya dihadapi
dengan penuh tenang dan sabar. Beliau sentiasa berasa dekat dengan Allah SWT
sehingga perkara-perkara yang memeritkan itu dapat dilaluinya dengan mudah atas
bantuan daripada-Nya jua.
Pernah kereta
yang dinaiki oleh beliau terlibat dalam kemalangan, ia terbalik beberapa kali
sehingga badan kereta tersebut remuk. Namun, beliau telah terkeluar dari kereta
tersebut dalam keadaan selamat tanpa sebarang luka.
Pernah sekali terbakar
deretan beberapa kedai dengan api yang sungguh marak. Namun, apabila api yang
menjilat-jilat itu hampir sampai ke kedai miliknya, ia pun padam dengan tiba-tiba.
Sekali peristiwa,
beliau telah tercekik tulang ikan sehingga doktor memutuskan untuk melakukan
pembedahan ke atasnya. Namun, setelah 10 minit masuk ke dalam bilik bedah,
beliau keluar semula dengan penuh sihat tanpa menjalani proses pembedahan
kerana doktor secara tiba-tiba mendapati tulang ikan tersebut telah pun hilang.
Semoga Allah SWT
melimpahkan rohnya dengan limpahan rahmat-Nya yang maha luas. Amin...
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.