إِنَّا لِلّهِ
وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ...
Berita kehilangan Ustaz Adlan Abd. Aziz, 41, antara
pakar hadis di Malaysia yang sangat tawaduk dan berhemah tinggi, secara
tiba-tiba memang cukup mengejutkan semua orang. Beliau telah diserang sakit
jantung dan disahkan kembali kerahmatullah pada jam 3.50 pagi, hari Khamis, 2hb.
Januari 2020 di Hospital Kajang. Hari tersebut merupakan hari pertama pembukaan
sekolah awal tahun baru yang sepatutnya beliau memulakan tugas sebagai guru di hari
itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Segambut Jaya, Kuala Lumpur.
Ustaz Adlan merupakan seorang ustaz yang cukup progresif
dalam memberikan khidmat terhadap ilmu. Selain bertugas sebagai guru, beliau juga
aktif mengadakan kuliah pengajian di surau dan masjid di sekitar Lembah Klang, Kajang,
Putrajaya, Seri Kembangan, Nilai dan lain-lain. Antara kitab yang diajarkan
oleh beliau ialah seperti kitab Jami' al-Tirmidzi, Mukthasar al-Bukhari, Riyadhus
Salihin dan lain-lain. Selain jemputan di beberapa program di sekolah dan juga
pusat pengajian tinggi.
Di alam maya, beliau turut aktif bermula sebagai
blogger di blog peribadi beliau: alitantawi.blogspot.com dan pemudaiman.blogspot.com.
Beliau gemar menggunakan nama samaran: Ali Tantawi sempena tokoh pemikir terkenal
yang diminatinya, Syeikh ‘Ali al-Tantawi. Di samping pernah muncul dalam program
Tanyalah Ustaz di TV 9, beliau juga merupakan salah seorang penyampai ilmu di Radio
IKIM untuk kuliah mingguan yang membahaskan hadis kitab Mukhtasar Riyadhus
Solihin.
Program terakhir yang bakal dijadualkan oleh beliau. |
Dalam lapangan kerja sukarela, beliau merupakan
pengasas Tirmidhi Center (TC) dan merupakan timbalan pengerusi Ilmuwan Ahli
Sunnah wal Jamaah Kebangsaan (ISLAMI). TC yang dibangunkannya menyediakan
pengajian agama percuma yang terbuka kepada semua penuntut ilmu. Kata beliau: “Sebagaimana
pesan salah seorang guru kita, Syeikh Dr. Mustofa an-Nadwi: ‘Jangan ambil
bayaran daripada para penuntut ilmu yang datang belajar, tetapi mohonlah
sumbangan daripada mereka yang berharta dan memiliki kemampuan’.”
Ustaz Adlan menerima pendidikan awal di SK
Dato' Wan Mohd. Saman, Kedah, kemudian SMK Menengah Kebangsaan Agama Kedah. Seterusnya,
beliau melanjutkan pengajian di Universiti Al al-Bayt, Jordan sehingga meraih ijazah
Sarjana Muda Bahasa Arab. Di Jordan, beliau sempat menuntut daripada beberapa
ulama secara talaqqi seperti:
- 1. Syeikh Syu‘aib
al-Arna’out - Tafsir al-Qurtubi, Subul al-Salam, al-Kamil fi al-Adab
(Bahasa Arab) dan Nuzhah al-Nazar (Mustalah al-Hadith),
- 2. Dr. Solah ‘Abd.
Fattah al-Khalidi - Tafsir Ibn Kathir, Sahih Muslim.
- 3. Dr. ‘Abd. Qadir
al-Sa'di - Qatru al-Nada (Nahu), Al-Iqna' (Fiqh).
- 4. Dr. ‘Abd. Sami'
al-Anis - Risalat al-Mustarsyidin (Tasawwuf).
- 5. Dr. Muhammad
Nuh al-Qudhat - al-Waraqat (Usul Fiqh).
- 6. Dr. ‘Abd. Hakim
al-Sa'di - Usul Fiqh.
- 7. Dr. Syarif
al-Khatib - Tahzib Madarij al-Salikin (Tasawwuf).
- 8. Dr. Bahjat
al-Habasyinah - al-Nihayah fi al-Fitan oleh Ibn Kathir (Hadith).
- 9. Dr. Yasin
al-Qarawilah - Qawa'id Fiqhiyyah (Kaedah Fiqh).
- 10. Dr. Qahtan
al-Duri - Usul al-Din al-Islami (Aqidah), Safwat al-Ahkam (Hadith
hukum).
- 11. Dr. Nimr
al-Hasyasyinah - al-Mawahib al-Ladunniyyah (Sirah).
- 12. Dr. Hasib al-Samarrai'
- Matn Abi Syuja' (Fiqh Syafii).
- 13. Dr. ‘Abd. Rahim
Abu Zaqqah- Tafsir al-Samarqandi.
- 14. Dr. Mahmud
al-Syudaifat - Mukhtasar al-Bukhari, al-Ajwibah al-Fadhilah (Mustolah
al-Hadith).
Setelah kembali ke Malaysia, beliau masih terus
menuntut ilmu daripada para ilmuan untuk menambahkan ilmu dan kefahaman seperti
Prof. Dr. Muhammad Abu al-Laith al-Khair Abadi UIAM (Sahih al-Bukhari), sarjana dan pensyarah hadis terkenal, Syeikh Muhammad ‘Awadh al-Manqusy, Syeikh
Nizam Ya‘qubi, Syeikh Mustafa al-Nadwi (Misykat al-Masabih) dan lain-lain.
Sebagai pencinta Rasulullah SAW, minat beliau
terhadap hadis cukup mendalam hingga beliau berjaya mengkhatamkan banyak kitab
hadis dan menerima banyak sanad ijazah periwayatan hadis daripada para ilmuwan dalam
dan luar negara. Beliau boleh dianggap sebagai seorang muqri' (pembaca) hadis yang
paling handal dan fasih kepada para masyaikh di dalam sesi-sesi daurah hadis
yang diadakan. Daurah khatam kitab Jami' at-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah dan
Sunan an-Nasa’i di bawah pimpinan al-Muhaddith Syeikh Muhammad 'Awadh al-Manqusy
di Masjid al-Azhar, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dengan
anjuran bersama Institut Kajian Hadis (INHAD) masih lagi segar dalam ingatan
al-faqir sehingga kini. Beliau juga sebenarnya baru sahaja menyelesaikan daurah
terakhir beliau, iaitu pembacaan kitab Misykat al-Masabih sehingga
khatam bersama al-Muhaddith Syeikh Mustafa al-Nadwi.
Berbekalkan ilmu yang mantap, beliau memiliki kemampuan
berhujah secara ilmiah yang cukup baik dan mempunyai sikap terbuka dalam mendengar
hujah-hujah pihak lain, namun dibatasi dengan prinsip tegas. Jika sesuatu itu
salah, beliau akan menyatakannya, tidak kira kepada kawan ataupun lawan. Dan
jika betul pula, beliau akan mengakuinya, biarpun datang daripada pihak lawan. Perbualan
terakhir al-faqir dengan beliau hanyalah melalui telefon, di mana beliau ingin bertanyakan
pandangan al-faqir tentang hadis (جزى الله عنا محمداً ما
هو أهله) yang
sedang ‘viral’ dan berhasrat menjemput al-faqir untuk mengisi program berkaitan ilmu
hadis di Tirmidhi Center.
Ustaz Adlan juga sempat menulis dan
menghasilkan beberapa buah buku, iaitu:
- 1. 20 Persoalan
Asas Tentang Hadis
- 2. Zikir dan Doa
Rasulullah s.a.w. Selepas Solat
- 3. Ramadhan &
Rasulullah s.a.w.
- 4. Kamus PMR
Bahasa Arab
- 5. 10 Tonggak
Remaja Hebat
- 6. 40 Hadis Jawami‘
Kalim Imam Mulla ‘Ali al-Qari (terjemahan).
Solat jenazah beliau telah disempurnakan di
Masjid Jamek Bandar Kajang selepas solat Zohor dan ramai tokoh yang hadir
memberi penghormatan terakhir buat beliau seperti Mufti Wilayah Persekutuan, Dato
Dr. Zulkifli al-Bakri, sahabat karib beliau Ustaz Syed Shahridzan, Ustaz Syed
Abdul Kadir Aljoofre, Dr. Ayman al-Akiti, Dr. Farid Ravi Abdullah, Dr. Zamihan
Mat Zin, Ustaz Muhadir Hj Joll, Ustaz PU Salman, dan lain-lain. Jenazah beliau
kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Sg. Kantan, Kajang, Selangor.
Takziah buat keluarga beliau, isteri dan anak-anak yang ditinggalkan. Pemergian beliau juga pastinya kehilangan besar buat masyarakat dan khususnya para pencinta ilmu hadis. Banyak jasa yang telah beliau sumbangkan untuk menghidupkan pengajian hadis dan menarik minat masyarakat bagi mempelajari hadis di Malaysia. Semoga roh al-marhum dirahmati oleh Allah SWT, diberi keampunan, ditinggikan darjatnya dan dihimpunkan bersama-sama para nabiyyin, siddiqin, syuhada’ dan para salihin. Amin…
Kredit:
-Catatan Ustaz Ismail Ahmed
-Pendakwah,
pengasas Tirmidhi Centre meninggal dunia, https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2020/01/643256/pendakwah-pengasas-tirmidhi-centre-meninggal-dunia
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.