Pages

Monday, April 6, 2020

Dukhan, 15 Ramadhan dan Covid-19


Matlamat yang baik dalam berdakwah tidak menghalalkan kita untuk menyampaikan perkara yang tidak tepat, salah atau sekadar rekaan. Hadis mengenai ‘suara keras’ yang kononnya akan berlaku pada tanggal 15 Ramadhan tahun ini (8 Mei 2020) yang jatuh pada hari Jumaat telah dijelaskan sebelum ini sebagai hadis yang tidak sahih atau palsu. (lihat entri terdahulu: https://sawanih.blogspot.com/2020/04/ulasan-hadis-suara-keras-di-bulan.html)

Meskipun terdapat hadis-hadis lain yang menyebut tentang ‘suara atau bunyi keras’ secara umum, namun tiada satu riwayat pun yang menyebut ianya sebagai Dukhan (asap), salah satu tanda besar hari Kiamat. Oleh kerana kurang mengkaji dan meneliti, maka dengan berpegang kepada hadis palsu tersebut, ada yang menetapkan bahawa peristiwa yang bakal berlaku pada 15 Ramadhan itu ialah Dukhan (asap)!

Benarkah demikian? Kekurangan dalam mengkaji dan meneliti seperti ini sering menyebabkan berlaku banyak percampuran fakta yang akhirnya melahirkan maklumat yang silap dan tidak benar sama sekali. Lebih parah apabila maklumat yang salah ini disebarkan oleh mereka yang ucapannya didengar oleh masyarakat awam.

Dukhan Termasuk 10 Tanda Besar

Kita tidak menafikan akan munculnya Dukhan (asap) di akhir zaman, namun menetapkan Dukhan akan muncul pada tarikh tertentu tersebut hanyalah daripada sangkaan semata-mata dan tidak bersandar kepada dalil yang kuat. Kemunculan Dukhan ada disebut dalam hadis yg sahih, sedangkan kemunculan ‘suara atau bunyi keras’ pada 15 Ramadhan itu bersandarkan kepada hadis yang palsu.

Jika sahih sekalipun hadis-hadis lain tentang kemunculan ‘suara atau bunyi keras’ pada bulan Ramadhan itu, maka ia menjadi petanda hampirnya kemunculan Imam al-Mahdi dan bukannya petanda besar hampirnya hari Kiamat. Sedangkan kemunculan Dukhan merupakan petanda besar bagi hari Kiamat berdalilkan hadis sahih daripada Huzaifah bin Asid al-Ghifari RA katanya: Sabda Nabi SAW:
إِنَّ السَّاعَةَ لَنْ تَقُومَ حَتَّى تَرَوْنَ قَبْلَهَا عَشْرَ آيَاتٍ - فَذَكَرَ - الدُّخَانَ، وَالدَّجَّالَ، وَالدَّابَّةَ، وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنُزُولَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَيَأَجُوجَ وَمَأْجُوجَ، وَثَلَاثَةَ خُسُوفٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ، وَآخِرُ ذَلِكَ نَارٌ تَخْرُجُ مِنَ الْيَمَنِ، تَطْرُدُ النَّاسَ إِلَى مَحْشَرِهِمْ. (رواه مسلم والترمذي، وأبو داود وابن ماجه)
Maksudnya : 
“Sesungguhnya hari Kiamat tidak akan berlaku sehingga kamu lihat sebelumnya sepuluh tanda besar, iaitu Dukhan (asap), Dajjal, ad-Dabbah (seekor haiwan yang keluar drpd bumi), terbit matahari dari Barat, tanah tenggelam di Timur, turunnya ‘Isa bin Maryam AS, Ya’juj dan Ma’juj, tiga kejadian tanah tenggelam; tanah tenggelam di Timur, tanah tenggelam di Barat dan tanah tenggelam di semenanjung Arab. Akhir sekali ialah api yang keluar dari sebelah Yaman yang akan menghalau umat manusia ke tempat perhimpunan mereka”. (HR Muslim, al-Tirmizi, Abu Dawud dan Ibn Majah)     

Asas Dakwaan

Kemungkinan dakwaan ‘suara atau bunyi keras’ itu sebagai Dukhan (asap) berpunca daripada riwayat-riwayat yang difahami secara keliru, seperti riwayat Ibn Abi Mulaikah katanya: “Aku pernah pergi berjumpa Ibn ‘Abbas RA pd suatu hari”, lalu beliau berkata: “Aku tidak dapat tidur malam tadi sehinggalah pagi”. Aku bertanya: “Kenapa?” Jawabnya: “Orang-orang mengatakan ada bintang berekor (komet) telah muncul, maka aku khuatir Dukhan telah muncul. Lalu aku pun tidak dapat tidur sehingga pagi”. (HR ‘Abd al-Razzaq, Ibn Jarir dlm Tafsirnya, Ibn Abi Hatim dan al-Hakim, katanya: “Sahih menurut syarat Syaikhain”. Menurut Ibn Kathir, ia sanad yg sahih kepada Ibn ‘Abbas RA).

Bagaimanapun menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari: “Aku khuatir ini merupakan tashif (kesilapan ejaan dlm riwayat berkenaan), tetapi yang sebenar ialah ‘Dajjal’ (bukan ‘Dukhan’)”. Jika sabit sekalipun perkataan ‘Dukhan’ itu, ia hanya suatu sangkaan dan tidak menetapkan bahawa bintang berekor (komet) itu akan menyebabkan Dukhan kerana kemunculannya juga sudah terjadi berulang kali selepas itu.   

Kemungkinan juga dakwaan itu bersandarkan kepada satu riwayat yang agak lemah dan tidak dapat dipegang, yang mengaitkan antara langit dengan Dukhan, daripada Huzaifah bin al-Yaman RA katanya: “Ya Rasulullah, apakah Dukhan itu?” Lalu Rasulullah SAW membaca ayat ini:
فَٱرۡتَقِبۡ يَوۡمَ تَأۡتِي ٱلسَّمَآءُ بِدُخَانٖ مُّبِينٖ يَغۡشَى ٱلنَّاسَۖ هَٰذَا عَذَابٌ أَلِيمٞ 
Terjemahan: “Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat), yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu), sehingga mereka akan berkata: Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan” (ad-Dukhan: 10-11). Ia akan memenuhi antara Timur dan Barat, kekal selama 40 hari dan malam. Adapun orang mukmin, maka ia akan menimpanya seperti keadaan selesema. Adapun orang kafir, maka ia menjadi seumpama orang mabuk, ia keluar dari hidung, telinga dan duburnya”. (HR Ibn Jarir al-Tabari dlm Tafsirnya, namun menurutnya ia tidak sahih (25/68). Menurut Ibn Kathir dlm Tafsirnya, ia maudhu‘ dengan sanad ini. Kata al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari: Sanadnya daif)

Apakah Dukhan?

Tidak banyak hadis sahih yang menyebut tentang Dukhan (asap) secara terperinci. Ia disebut secara ringkas di dalam hadis yang sahih, dan secara sedikit terperinci di dalam hadis-hadis yang daif seperti berikut;

1.     Hadis Abu Malik al-Asy‘ari RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Tuhan kalian telah memperingatkan kalian tiga perkara, iaitu; Dukhan yang akan menimpa orang mukmin seperti selesema dan menimpa orang kafir, lalu ia memenuhi tubuhnya sehingga keluar dari setiap rongga telinganya. Kedua, ad-Dabbah dan ketiga, Dajjal.” (HR Ibn Jarir al-Tabari dlm Tafsirnya dan al-Tabarani dlm al-Kabir. Menurut Ibn Kathir, ia sanad yang baik. Namun, sanadnya terputus, justeru kata al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari: Sanadnya daif)  

2.     Hadis Abu Sa‘id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dukhan akan menyelebungi umat manusia. Adapun orang mukmin, ia akan menimpanya seperti selesema. Adapun orang kafir, maka ia akan memenuhi tubuhnya sehingga keluar dari setiap rongga telinganya”. (HR Ibn Abi Hatim. Namun, Ibn Abi ‘Arubah meriwayatkannya drpd kata-kata Abu Sa‘id al-Khudri RA sahaja. Kata al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari: Sanadnya daif)  

3.     Hadis Huzaifah bin al-Yaman RA yang menyebut: “Dukhan akan memenuhi antara Timur dan Barat, kekal selama 40 hari dan malam. Adapun org mukmin, maka ia akan menimpanya seperti keadaan selesema. Adapun orang kafir, maka ia menjadi seumpama orang mabuk, ia keluar dari hidung, telinga dan duburnya”. al-Tabari menilai hadis ini sebagai tidak sahih. Ibn Kathir pula menilai sanadnya maudhu‘. Manakala al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari hanya menilai sanadnya daif, namun menurut beliau, jika sabit hadis Huzaifah RA ini, kemungkinan orang yang dibantahi kata-katanya dalam hadis Ibn Mas‘ud RA ialah Huzaifah RA yang berkata: “Sesungguhnya akan keluar drpd bumi Dukhan, lalu akan memasuki rongga telinga orang kafir dan akan menimpa orang mukmin seperti keadaan selesema.” (HR at-Tirmizi dan katanya: Hasan sahih)  

4.     Athar ‘Abdullah bin ‘Umar RA kata beliau: “Dukhan akan keluar, lalu menimpa orang mukmin seperti keadaan selesema dan memasuki rongga telinga orang kafir dan munafik sehingga ia menjadi seperti kepala yang dipanggang” (HR Ibn Jarir dlm Tafsirnya. Kata al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari: Sanadnya daif)


5.     Athar ‘Ali bin Abi Talib RA kata beliau: “Tanda Dukhan belum lagi berlalu, yang akan menimpa orang mukmin seperti keadaan selesema dan memenuhi tubuh orang kafir sehingga ia keluar semula (dari setiap rongganya)”. (HR ‘Abd al-Razzaq dan Ibn Abi Hatim. Demikian disebut dlm Fath al-Bari)

Meskipun kebanyakan riwayat ini daif, namun al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari merumuskan: “Banyaknya hadis-hadis ini menunjukkan bahawa yang demikian itu ada asalnya.” Maksudnya, kadar makna yang disepakati dalam riwayat-riwayat tersebut saja yang boleh dijadikan dalil, iaitu Dukhan ini akan memudaratkan orang kafir, namun tidak begitu memudaratkan orang mukmin. Justeru, dakwaan yang mengatakan Dukhan ialah “asap tebal yang gelap selama 40 Hari 40 Malam yang sangat panas dan gelap gelita”, dan “Dukhan membuat kita kehabisan air dan air menjadi kotor sehinggakan mesin membersihkan air tidak mampu bertahan”, kesemuanya ini hanya dakwaan, rekaan dan percubaan untuk memperincikannya, berlandaskan riwayat-riwayat yang kebanyakannya tadi adalah daif.

Covid-19 dan Dukhan

Antara yang menghairankan, dakwaan tersebut cuba mengaitkan pula Dukhan dengan wabak Covid-19 yang sedang melanda masa kini. Menurut dakwaan itu, “Beberapa ustadz mengatakan bahawa "sebelum datang Dukhan ada virus yang membunuh akan menakluki bumi", tarikh ceramah: 13/10/2019. Tarikh ini sebelum berlakunya virus Covid-19. Ternyata seperti benar!” Dakwaan yang tidak berasas seperti ini tentunya boleh menyebabkan keresahan dan kegusaran kepada masyarakat, sedangkan ia tidak disandarkan kepada sebarang dalil.  

Tiada riwayat yang menyebut sebarang tanda sebelum kemunculan Dukhan, malah para ulama berselisih pendapat mengenai kedudukan Dukhan dalam susunan tanda-tanda besar Kiamat yang sepuluh. Imam Muslim sendiri di dalam Sahihnya, mempunyai dua riwayat yang berbeza dari segi susunannya. [i] Riwayat pertama menyebut yang mula-mula ialah Dukhan (asap), kemudian Dajjal, ad-Dabbah (atau Dabbat al-Ardh), terbit matahari dari Barat, turunnya ‘Isa AS, keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, tiga kejadian tanah tenggelam dan api yang menghalau manusia ke tempat perhimpunan mereka. [ii] Manakala riwayat kedua menyebut yang mula-mula ialah tiga kejadian tanah tenggelam, Dukhan (asap), kemudian Dajjal, ad-Dabbah, Ya’juj dan Ma’juj, terbit matahari dari Barat, api yg menghalau manusia dan turunnya ‘Isa AS.

Malah ada pelbagai lagi versi riwayat yang lain. Kesemua riwayat ini hanya bermaksud untuk menghimpunkan perkhabaran mengenai perkara-perkara tersebut semata-mata dan bukannya bertujuan untuk menentukan penyusunannya. Malah, berdasarkan dalil-dalil lain, tanda-tanda besar Kiamat tidak terbatas kepada 10 perkara tersebut kerana masih ada lagi tanda-tanda yang lain, seperti kemunculan Imam al-Mahdi dan perang besar (al-malhamah al-kubra) yang akan tercetus di zamannya. Ini menjadikan kemunculan Dukhan tidak jelas tempoh masanya, adakah ia sebelum kemunculan al-Mahdi ataupun selepasnya?

Berdasarkan hadis-hadis yang sabit dan perbahasannya di dalam kitab-kitab seperti kitab Fath al-Bari oleh al-Hafiz Ibn Hajar, al-Tazkirah oleh al-Qurtubi, Tuhfat al-Ahwazi oleh al-Mubarakpuri dan sumber-sumber lain, susunan tanda-tanda besar Kiamat menurut kadar yang disepakati, mesti didahului dengan [i] kemunculan Imam al-Mahdi, [ii] diikuti perang besar (al-malhamah al-kubra), [iii] kemudian Dajjal, [iv] turunnya ‘Isa AS, [v] Ya’juj dan Ma’juj, seterusnya [vi] ad-Dabbah atau [vii] terbit matahari dari Barat dan [viii] api yang akan menghalau umat manusia.

Adapun Dukhan (asap) dan tiga kejadian tanah tenggelam di Timur, Barat dan semenanjung Arab, maka ia diperselisihkan oleh para ulama dari segi kedudukan susunannya, sama ada di awal, di tengah ataupun di akhir. Hanya Allah SWT saja yang lebih mengetahui.   

Kesimpulan

Ringkasnya, dakwaan yang mengatakan Dukhan akan muncul pada hari Jumaat tanggal 15 Ramadhan adalah dakwaan yang hanya disandarkan kepada prasangka dan hadis palsu yang kononnya akan muncul ‘suara atau bunyi keras’ pada tarikh itu. Ianya jelas tidak berlandaskan kepada dalil yang kuat, tanpa kita menafikan kudrat dan ilmu Allah SWT mengenainya. Menyeru masyarakat untuk bertaubat dan berbuat amal soleh merupakan satu tujuan yang baik, namun tidak sepatutnya perlu dilakukan dengan dakwaan-dakwaan yang tidak jelas, direka atau tidak berasas sama sekali.

Wallahu a‘lam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.