Pages

Wednesday, June 9, 2021

Pegangan akidah dan status hadis: “Sultan adalah naungan Allah”

 


Wajar kita ketahui bahawa antara dasar pegangan utama Ahlus Sunnah wal Jamaah ialah taat kepada pemerintah/penguasa selama mana mereka tidak menyuruh kepada perkara maksiat. Amat banyak dalil daripada al-Quran dan hadis mengenai perkara ini.  

 

Kata Imam at-Tahawi dalam akidahnya yang cukup masyhur dan menjadi pegangan seluruh umat Islam:

ولا نرى الخروج على أئمَّتنا ووُلاة أمورنا، وإن جارُوا، ولا ندعو عليهم، ولا ننزع يداً من طاعتهم، ونرى طاعتَهم من طاعة الله عزّ وجلّ فريضةً، ما لم يأمروا بمعصيةٍ، وندعو لهم بالصَّلاح والمعافاةِ.

“Kami berpegang tidak boleh keluar memberontak untuk menentang pemimpin-pemimpin dan pemerintah-pemerintah kami, meskipun mereka itu keras. Kami tidak mendoakan keburukan buat mereka dan tidak juga menarik tangan keluar daripada mentaati mereka. Kami berpegang bahawa mentaati mereka itu termasuk mentaati Allah SWT secara fardhu selama mana mereka tidak menyuruh kepada maksiat. Dan kami turut mendoakan buat mereka kebaikan dan kesejahteraan”.  

 

Meskipun terdapat banyak dalil hadis yang sahih, namun ada beberapa hadis tentang aspek ini yang dipersoalkan kedudukannya oleh sesetengah orang. Antaranya hadis:

«السُّلْطَانُ ظِلُّ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ، فَمَنْ أَكْرَمَهُ أَكْرَمَ اللَّهَ، وَمَنْ أَهَانَهُ أَهَانَهُ اللَّهُ».

“Sultan (pemerintah) adalah naungan Allah di muka bumi. Maka, barangsiapa yang memuliakannya, maka Allah akan memuliakannya. Dan barangsiapa yang menghinanya, maka Allah akan menghinanya.” 

 

Hadis ini adalah berbentuk majazi, iaitu sebagaimana bayang-bayang melindungi manusia daripada panas terik matahari, maka begitu juga pemerintah yang ditanggungjawabkan oleh Allah SWT untuk melindungi manusia daripada perkara yang boleh menyakiti dan menyukarkan mereka. Maksud ‘memuliakan mereka’ ialah dengan cara mentaati mereka dan tidak keluar memberontak untuk menentang mereka. Manakala sebaliknya, maksud ‘menghina mereka’ ialah dengan tidak mentaati mereka dan keluar memberontak untuk menentang mereka tanpa sebarang hak.  

 

Sebenarnya terdapat perselisihan ulama tentang status hadis di atas kerana ia dinilai sahih atau hasan oleh sebahagian ulama; dan dinilai daif oleh sebahagian ulama yang lain.

 

*Hadis Abu Bakrah RA

Dalam banyak sumber rujukan, hadis seumpama demikian diriwayatkan daripada sejumlah sahabat Nabi SAW, antaranya ialah hadis Abu Bakrah RA. Hadis beliau dalam pelbagai sumber diriwayatkan melalui jalur riwayat yang sama, iaitu daripada Humaid bin Mihran daripada Saad bin Aus daripada Ziyad bin Kusaib daripada Abu Bakrah RA [daripada Nabi SAW]. Menurut al-Bazzar, mereka semua adalah orang Basrah.

 

Daripada Humaid bin Mihran pula, hadis ini diriwayatkan oleh beberapa muridnya dengan redaksi lafaz yang berbeza-beza iaitu:

 

1. Salm bin Sa‘id atau Muslim bin Sa‘id al-Khaulani meriwayatkannya dengan lafaz:

«السُّلْطَانُ ظِلُّ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ، فَمَنْ أَكْرَمَهُ أَكْرَمَ اللَّهَ، وَمَنْ أَهَانَهُ أَهَانَهُ اللَّهُ».

“Sultan (pemerintah) adalah naungan Allah di muka bumi. Maka, barangsiapa yang memuliakannya, maka Allah akan memuliakannya. Dan barangsiapa yang menghinanya, maka Allah akan menghinanya.” (lihat as-Sunnah oleh Ibn Abi ‘Asim no. 1024 dan Syu‘ab al-Iman oleh al-Baihaqi no. 6988).

 

Imam as-Suyuti dalam al-Jami‘ as-Saghir (4815) mengisyaratkan statusnya sebagai sahih. Namun, kata al-Munawi dalam at-Taisir: “Sanadnya terdapat kelemahan”.

 

2. Muhammad bin Bakr, guru Imam Ahmad meriwayatkannya dengan lafaz:

مَنْ أَكْرَمَ سُلْطَانَ اللهِ فِي الدُّنْيَا، أَكْرَمَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ أَهَانَ سُلْطَانَ اللهِ فِي الدُّنْيَا، أَهَانَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.

Barangsiapa yang memuliakan sultan Allah (pemerintah) di dunia, maka Allah akan memuliakannya di hari kiamat kelak. Dan barangsiapa yang menghina sultan Allah (pemerintah) di dunia, maka Allah akan menghinanya di hari kiamat kelak.” (lihat Musnad Ahmad no. 20433).

 

Kata al-Haithami dalam Majma‘ az-Zawa’id: “Para perawi Ahmad adalah thiqah belaka”. Namun, terdapat perbincangan lanjut selepas ini.

 

3. Muslim bin Ibrahim meriwayatkannya dengan lafaz:

مَنْ أَكْرَمَ سُلْطَانَ اللَّهِ أَكْرَمَهُ اللَّهُ وَمَنْ أَهَانَ سُلْطَانَ اللَّهِ أَهَانَهُ اللَّهُ.

Barangsiapa yang memuliakan sultan Allah (pemerintah), maka Allah akan memuliakannya. Dan barangsiapa yang menghina sultan Allah (pemerintah), maka Allah akan menghinanya.” (lihat Musnad as-Syihab oleh al-Qudha‘i no. 419 dan as-Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi no. 16436)

 

4. Abu Dawud at-Tayalisi meriwayatkannya dengan lafaz lebih pendek:

«مَن أهانَ سلطانَ اللهِ في الأرضِ أهانَه اللهُ»

Barangsiapa yang menghina sultan Allah (pemerintah) di dunia, maka Allah akan menghinanya kelak.” (lihat Musnad Abu Dawud at-Tayalisi no. 887, Sunan at-Tirmidhi no. 2224 kata beliau: Hadis hasan gharib, dan Musnad al-Bazzar no. 3670)

 

Menurut Mulla ‘Ali al-Qari dalam Syarh al-Misykat (4/131): “Sandaran yang terdapat pada lafaz: ‘sultan Allah’ itu adalah sandaran untuk memuliakan, sepertimana lafaz: ‘rumah Allah’ (baitullah) dan ‘unta Allah’ (dalam kisah Nabi Soleh AS)”.

 

*Aspek kritikan hadis Abu Bakrah RA

Pihak yang mengkritik hadis Abu Bakrah RA di atas adalah kerana perawinya, Ziyad bin Kusaib majhul. Sebenarnya beliau dikategorikan oleh Ibn Hibban dalam kalangan perawi thiqah. Pihak yang tidak menerima penilaian Ibn Hibban, tidak boleh menafikan bahawa hadis tersebut adalah hasan menurut metode Ibn Hibban. Malah, ulama hadis mutaqaddimin tidak pun mempertikaikan kaedah Ibn Hibban kecuali yang terdapat bantahan terhadapnya sahaja.   

 

Apa pun, Ziyad bin Kusaib tidak bersendirian dalam riwayatnya kerana beliau disokong oleh ‘Abdur Rahman bin Abi Bakrah, meskipun jalur riwayatnya agak daif - antaranya kerana ada perawi yang tidak disebut nama - dengan lafaz (lihat as-Sunnah oleh Ibn Abi ‘Asim no. 1025):

" مَن أجَلَّ سلطانَ الله، أجلَّه اللهُ يومَ القيامة ".

Barangsiapa yang memuliakan sultan Allah (pemerintah), maka Allah akan memuliakannya di hari kiamat kelak”.  

 

Pihak yang mengkritik juga - seperti al-Munawi dalam Faidh al-Qadir - turut melemahkan Saad bin Aus. Namun, sebenarnya terdapat perselisihan tentangnya. al-Hafiz Ibn Hajar merumuskan kedudukannya sebagai saduq (benar), namun mempunyai kesilapan-kesilapan. Secara ringkas, hadis Abu Bakrah RA ini secara keseluruhan tidaklah terlalu daif. 

 

*Hadis-hadis Sokongan

 

i. Hadis Abu Hurairah RA

Hadis Abu Bakrah RA sebenarnya mempunyai sokongan yang dapat mengukuhkannya, iaitu daripada hadis Abu Hurairah RA yang diriwayatkan oleh Ibn an-Najjar dengan lafaz:

السُّلْطَانُ ظِلُّ اللهِ فِي الْأَرْضِ، يَأْوِيْ إِلَيْهِ الضَّعيفُ، وَبِهِ ينتَصِرُ المظلومُ، وَمَنْ أَكْرَمَ سُلْطَانَ الله فِي الدُّنْيَا أَكْرَمَهُ اللهُ يَوْم َالقِيَامَةِ

Sultan (pemerintah) adalah naungan Allah di muka bumi; yang mana orang lemah dapat berlindung kepadanya dan orang yang dizalimi dapat dibantu. Barangsiapa yang memuliakan sultan Allah (pemerintah) di dunia, maka Allah akan memuliakannya di hari kiamat kelak.”

 

Imam as-Suyuti dalam al-Jami‘ as-Saghir (4817) mengisyaratkan statusnya sebagai hasan. Namun, pada sanadnya terdapat Ahmad bin ‘Abd ar-Rahman bin Wahb seorang yang dikritik. Justeru, al-Munawi di dalam at-Taisir menyatakan: “Sanadnya daif”.  

 

ii. Hadis Huzaifah RA

Antara yang dapat menyokong makna hadis Abu Bakrah RA juga ialah hadis Huzaifah RA yang diriwayatkan oleh al-Bazzar dengan lafaz:

ما مِن قومٍ مشَوا إلى سلطانِ اللهِ ليذلُّوه إلاَّ أذلَّهم اللهُ قبلَ يومِ القيامة.

“Tiadalah suatu kaum yang berjalan menuju kepada sultan Allah (pemerintah) untuk menghinakannya melainkan Allah akan menghinakan mereka sebelum hari kiamat lagi”.  

 

Kata al-Haithami dalam Majma‘ az-Zawa’id: “Para perawinya adalah para perawi kitab as-Sahih kecuali Kathir bin Abi Kathir at-Tamimi, namun beliau thiqah”. Walaupun sebenarnya terdapat perselisihan tentang status Kathir bin Abi Kathir, namun sanad hadis ini sekurang-kurangnya adalah hasan.  

 

iii. Hadis Abu Zar RA

Antara yang dapat menyokong maknanya juga ialah hadis Abu Zar RA dengan lafaz:

"إِنَّهُ كَائِنٌ بَعْدِي سُلْطَانٌ فَلَا تُذِلُّوهُ، فَمَنْ أَرَادَ أَنْ يُذِلَّهُ فَقَدْ خَلَعَ رِبْقَةَ الْإِسْلَامِ مِنْ عُنُقِهِ، وَلَيْسَ بِمَقْبُولٍ مِنْهُ تَوْبَةٌ حَتَّى يَسُدَّ ثُلْمَتَهُ الَّتِي ثَلَمَ، وَلَيْسَ بِفَاعِلٍ، ثُمَّ يَعُودُ فَيَكُونُ فِيمَنْ يُعِزُّهُ ".

'Sesungguhnya akan ada selepasku nanti sultan/penguasa, maka janganlah kalian menghinakannya. Maka, barangsiapa yang hendak menghinakannya, maka bererti dia telah menanggalkan ikatan Islam daripada lehernya dan tidak akan diterima daripadanya taubat sehinggalah dia menutupi rekahan yang dia lakukan, sedangkan dia tidak akan dapat melakukannya. Kemudian (jika berjaya) ia kembali semula, lalu menjadi sebahagian orang yang memuliakannya."

 

Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya (21460) dan Ibn Abi ‘Asim dalam kitab as-Sunnah (no. 1079) dengan sanad yang daif kerana perawi daripada Abu Zar RA tidak disebutkan namanya. Manakala dalam satu riwayat Ibn Abi ‘Asim, namanya disebut sebagai Nusair Maula Khalid dan hanya Ibnu Hibban sahaja yang mengkategorikannya sebagai thiqah dalam kitab at-Thiqat. Maka, boleh dikatakan sanad hadis ini adalah hasan mengikut metode beliau.    

 

iv. Hadis Abu ‘Ubaidah RA

Antara yang dapat menyokong maknanya lagi adalah hadis Abu ‘Ubaidah RA dengan lafaz:

« لا تسُبُّوا السلطانَ؛ فإنه ظلُّ اللهِ في الأرضِ ».

“Janganlah kalian mencaci sultan, kerana sesungguhnya ia adalah naungan Allah di muka bumi”.

 

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Abi ‘Asim dalam kitab as-Sunnah (no. 1013) dengan sanad yang amat daif.  

 

v. Hadis-hadis sokongan lain

Juga terdapat beberapa riwayat lain yang rangkap awalnya berbunyi: (السُّلْطَانُ ظِلُّ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ) “Sultan adalah naungan Allah di muka bumi” daripada Abu Bakr RA, ‘Umar RA, Ibn ‘Umar RA dan Anas RA, tetapi riwayat-riwayat tersebut dikritik dan dinilai antara daif dan amat daif oleh para ulama. Hadis Anas RA misalnya, dikritik oleh Imam Abi Hatim - sepertimana dalam kitab ‘Ilal al-Hadith - sebagai hadis munkar kerana seorang perawinya bernama Ibn Abi Rukbah adalah majhul.  

 

Hadis sekalipun dinilai daif, bukan bererti palsu. Ia masih tetap ada ruang untuk diamalkan, iaitu sebagai motivasi atau galakan dan ancaman (at-targhib wa at-tarhib). Hukum beramal dengan hadis daif dari aspek tersebut adalah harus menurut jumhur ulama. Apakah kita tidak mahu dimuliakan oleh Allah SWT; atau apakah kita tidak takut akan dihinakan oleh Allah SWT?

 

Ini tidak bertentangan sedikit pun dengan hadis galakan berkata benar iaitu:

أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ.

"Jihad yang paling utama ialah menyampaikan kalimah yang benar kepada sultan/penguasa yang zalim." (HR Abu Dawud, Ibn Majah dan at-Tirmizi, katanya: Hasan gharib). Ini kerana masing-masing ada tempat dan masa ia diperlukan.

 

*Rumusan Status Hadis

Walaupun mungkin setiap satu jalan riwayat hadis di atas tidak lepas daripada kritikan sesetengah pihak, namun semuanya secara majmuk mampu saling kuat menguatkan antara satu sama lain dari segi makna sama yang terkandung di dalamnya. Justeru, setelah meneliti semua jalan riwayat dan pandangan ulama, maka kami lebih cenderung mengatakan bahawa makna hadis Abu Bakrah RA yang dibincangkan di awal tadi adalah harus meningkat kepada status hasan li-ghairih berdasarkan sokongan daripada himpunan makna kesemua hadis berkenaan. Malah, nilai hasan ini terlebih dahulu telah pun dikemukakan oleh Imam at-Tirmizi di dalam Sunannya.        

 

Bahkan, Syeikh al-Albani yang telah mendaifkan hadis ini di dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha‘ifah turut menilainya sebagai hasan juga di dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah dan Zilal al-Jannah fi Takhrij al-Sunnah berdasarkan jalan-jalan riwayatnya. Manakala Dr. Ibrahim bin as-Siddiq dalam kitab Maqalat wa Muhadharat fi al-Hadith as-Syarif (hlm. 89) menyatakan rangkap hadis: “Sultan adalah naungan Allah di muka bumi” merupakan rangkap hadis yang sabit, masyhur lagi mustafidh daripada Nabi SAW. 

 

Jelasnya, kita diperintahkan agar menghormati pemerintah dan dilarang daripada menghina dan mencela mereka tanpa sebarang sebab yang dibenarkan syarak. Maka, berpadalah dalam memberi teguran mengikut adab Islam yang betul dan janganlah bertindak melampau dalam mengkritik pemerintah sehingga mencaci maki dan menghinanya. Kelemahan dan kekurangan pasti ada, tapi bukan bermakna kita boleh biadap terhadap mereka di luar adab Islam sesuka hati. Manakala memang sudah menjadi tanggungjawab pemerintah pula untuk menjaga dan melindungi rakyat daripada sebarang kezaliman, penganiayaan dan juga kesusahan. Tentunya ini merupakan suatu tugas berat kerana semuanya akan dipersoalkan oleh Allah SWT di hari akhirat kelak.