Wajar kita ketahui
bahawa antara dasar pegangan utama Ahlus Sunnah wal Jamaah ialah taat kepada
pemerintah/penguasa selama mana mereka tidak menyuruh
kepada perkara maksiat. Amat banyak dalil daripada al-Quran dan hadis
mengenai perkara ini.
Kata Imam at-Tahawi
dalam akidahnya yang cukup masyhur dan menjadi pegangan seluruh umat Islam:
ولا نرى الخروج على أئمَّتنا ووُلاة
أمورنا، وإن جارُوا، ولا ندعو عليهم، ولا ننزع يداً من طاعتهم، ونرى طاعتَهم من
طاعة الله عزّ وجلّ فريضةً، ما لم يأمروا بمعصيةٍ، وندعو لهم بالصَّلاح والمعافاةِ.
“Kami berpegang tidak
boleh keluar memberontak untuk menentang pemimpin-pemimpin dan
pemerintah-pemerintah kami, meskipun mereka itu keras. Kami tidak mendoakan
keburukan buat mereka dan tidak juga menarik tangan keluar daripada mentaati
mereka. Kami berpegang bahawa mentaati mereka itu termasuk mentaati Allah SWT
secara fardhu selama mana mereka tidak menyuruh kepada maksiat. Dan kami turut
mendoakan buat mereka kebaikan dan kesejahteraan”.
Meskipun terdapat
banyak dalil hadis yang sahih, namun ada beberapa hadis tentang aspek ini yang
dipersoalkan kedudukannya oleh sesetengah orang. Antaranya hadis:
«السُّلْطَانُ ظِلُّ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ، فَمَنْ أَكْرَمَهُ
أَكْرَمَ اللَّهَ، وَمَنْ أَهَانَهُ أَهَانَهُ اللَّهُ».
“Sultan (pemerintah)
adalah naungan Allah di muka bumi. Maka, barangsiapa yang memuliakannya, maka Allah akan
memuliakannya. Dan barangsiapa yang menghinanya, maka Allah akan
menghinanya.”
Hadis ini adalah berbentuk majazi, iaitu sebagaimana bayang-bayang
melindungi manusia daripada panas terik matahari, maka begitu juga pemerintah yang
ditanggungjawabkan oleh Allah SWT untuk melindungi manusia daripada perkara
yang boleh menyakiti dan menyukarkan mereka. Maksud ‘memuliakan mereka’ ialah
dengan cara mentaati mereka dan tidak keluar memberontak untuk menentang
mereka. Manakala sebaliknya, maksud ‘menghina mereka’ ialah dengan tidak
mentaati mereka dan keluar memberontak untuk menentang mereka tanpa sebarang
hak.
Sebenarnya terdapat perselisihan ulama tentang status hadis di atas kerana ia dinilai sahih atau hasan oleh
sebahagian ulama; dan dinilai daif oleh sebahagian ulama yang lain.
*Hadis
Abu Bakrah RA
Dalam banyak sumber
rujukan, hadis seumpama demikian diriwayatkan daripada sejumlah sahabat Nabi
SAW, antaranya ialah hadis Abu Bakrah RA. Hadis beliau dalam pelbagai sumber diriwayatkan
melalui jalur riwayat yang sama, iaitu daripada Humaid bin Mihran daripada Saad
bin Aus daripada Ziyad bin Kusaib daripada Abu Bakrah RA [daripada Nabi SAW]. Menurut
al-Bazzar, mereka semua adalah orang Basrah.
Daripada Humaid bin
Mihran pula, hadis ini diriwayatkan oleh beberapa muridnya dengan redaksi lafaz
yang berbeza-beza iaitu:
1. Salm bin Sa‘id atau Muslim bin Sa‘id al-Khaulani meriwayatkannya dengan lafaz:
«السُّلْطَانُ ظِلُّ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ، فَمَنْ أَكْرَمَهُ
أَكْرَمَ اللَّهَ، وَمَنْ أَهَانَهُ أَهَانَهُ اللَّهُ».
“Sultan (pemerintah)
adalah naungan Allah di muka bumi. Maka, barangsiapa
yang memuliakannya, maka Allah akan memuliakannya. Dan barangsiapa yang
menghinanya, maka Allah akan menghinanya.” (lihat as-Sunnah oleh Ibn Abi
‘Asim no. 1024 dan Syu‘ab al-Iman oleh al-Baihaqi no. 6988).
Imam as-Suyuti dalam al-Jami‘ as-Saghir (4815)
mengisyaratkan statusnya sebagai sahih. Namun, kata al-Munawi dalam at-Taisir:
“Sanadnya terdapat kelemahan”.
2. Muhammad bin Bakr,
guru Imam Ahmad meriwayatkannya dengan lafaz:
مَنْ أَكْرَمَ سُلْطَانَ اللهِ فِي الدُّنْيَا، أَكْرَمَهُ
اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ أَهَانَ سُلْطَانَ اللهِ فِي الدُّنْيَا،
أَهَانَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.
“Barangsiapa
yang memuliakan sultan Allah (pemerintah) di dunia, maka Allah akan memuliakannya
di hari kiamat kelak. Dan barangsiapa yang menghina sultan Allah (pemerintah) di
dunia, maka Allah akan menghinanya di hari kiamat kelak.” (lihat Musnad
Ahmad no. 20433).
Kata al-Haithami dalam Majma‘ az-Zawa’id: “Para perawi
Ahmad adalah thiqah belaka”. Namun, terdapat perbincangan lanjut selepas
ini.
3. Muslim bin Ibrahim meriwayatkannya dengan
lafaz:
مَنْ أَكْرَمَ سُلْطَانَ اللَّهِ
أَكْرَمَهُ اللَّهُ وَمَنْ
أَهَانَ سُلْطَانَ اللَّهِ أَهَانَهُ اللَّهُ.
“Barangsiapa
yang memuliakan sultan Allah (pemerintah), maka Allah akan memuliakannya. Dan
barangsiapa yang menghina sultan Allah (pemerintah), maka Allah akan
menghinanya.” (lihat Musnad
as-Syihab oleh al-Qudha‘i no. 419 dan as-Sunan al-Kubra oleh
al-Baihaqi no. 16436)
4. Abu Dawud at-Tayalisi meriwayatkannya dengan
lafaz lebih pendek:
«مَن أهانَ سلطانَ اللهِ في الأرضِ أهانَه اللهُ»
“Barangsiapa
yang menghina sultan Allah (pemerintah) di dunia, maka Allah akan menghinanya
kelak.” (lihat Musnad Abu Dawud at-Tayalisi no. 887, Sunan at-Tirmidhi no.
2224 kata beliau: Hadis hasan gharib, dan Musnad al-Bazzar no. 3670)
Menurut Mulla ‘Ali al-Qari dalam Syarh al-Misykat (4/131):
“Sandaran yang terdapat pada lafaz: ‘sultan Allah’ itu adalah sandaran untuk
memuliakan, sepertimana lafaz: ‘rumah Allah’ (baitullah) dan ‘unta Allah’
(dalam kisah Nabi Soleh AS)”.
*Aspek kritikan hadis Abu Bakrah RA
Pihak yang mengkritik hadis Abu Bakrah RA di atas adalah kerana
perawinya, Ziyad bin Kusaib majhul. Sebenarnya
beliau dikategorikan oleh Ibn Hibban dalam kalangan perawi thiqah. Pihak
yang tidak menerima penilaian Ibn Hibban, tidak boleh menafikan bahawa hadis
tersebut adalah hasan menurut metode Ibn Hibban. Malah, ulama hadis
mutaqaddimin tidak pun mempertikaikan kaedah Ibn Hibban kecuali yang terdapat
bantahan terhadapnya sahaja.
Apa pun, Ziyad bin
Kusaib tidak bersendirian dalam riwayatnya kerana beliau disokong oleh ‘Abdur Rahman
bin Abi Bakrah, meskipun jalur riwayatnya agak daif - antaranya kerana ada
perawi yang tidak disebut nama - dengan lafaz (lihat
as-Sunnah oleh Ibn Abi ‘Asim no. 1025):
" مَن أجَلَّ سلطانَ الله، أجلَّه اللهُ يومَ القيامة ".
“Barangsiapa
yang memuliakan sultan Allah (pemerintah), maka Allah akan memuliakannya di
hari kiamat kelak”.
Pihak yang mengkritik juga - seperti al-Munawi dalam Faidh
al-Qadir - turut melemahkan Saad bin Aus. Namun,
sebenarnya terdapat perselisihan tentangnya. al-Hafiz Ibn Hajar merumuskan
kedudukannya sebagai saduq (benar), namun mempunyai kesilapan-kesilapan.
Secara ringkas, hadis Abu Bakrah RA ini secara keseluruhan tidaklah terlalu
daif.
*Hadis-hadis Sokongan
i.
Hadis Abu Hurairah RA
Hadis Abu Bakrah RA sebenarnya mempunyai sokongan yang dapat
mengukuhkannya, iaitu daripada hadis Abu Hurairah RA yang diriwayatkan oleh Ibn
an-Najjar dengan lafaz:
السُّلْطَانُ ظِلُّ اللهِ فِي الْأَرْضِ، يَأْوِيْ إِلَيْهِ
الضَّعيفُ، وَبِهِ ينتَصِرُ المظلومُ، وَمَنْ أَكْرَمَ سُلْطَانَ الله فِي
الدُّنْيَا أَكْرَمَهُ اللهُ يَوْم َالقِيَامَةِ
“Sultan (pemerintah)
adalah naungan Allah di muka bumi; yang
mana orang lemah dapat berlindung kepadanya dan orang yang dizalimi dapat
dibantu. Barangsiapa yang memuliakan sultan Allah (pemerintah)
di dunia, maka Allah akan memuliakannya di hari kiamat kelak.”
Imam as-Suyuti dalam al-Jami‘ as-Saghir (4817)
mengisyaratkan statusnya sebagai hasan. Namun, pada sanadnya terdapat Ahmad bin
‘Abd ar-Rahman bin Wahb seorang yang dikritik. Justeru, al-Munawi di dalam at-Taisir
menyatakan: “Sanadnya daif”.
ii.
Hadis Huzaifah RA
Antara yang dapat menyokong makna hadis Abu Bakrah RA juga ialah hadis
Huzaifah RA yang diriwayatkan oleh al-Bazzar dengan lafaz:
ما مِن قومٍ مشَوا إلى سلطانِ اللهِ ليذلُّوه إلاَّ أذلَّهم
اللهُ قبلَ يومِ القيامة.
“Tiadalah suatu kaum yang berjalan menuju kepada sultan Allah (pemerintah)
untuk menghinakannya melainkan Allah akan menghinakan mereka sebelum hari
kiamat lagi”.
Kata al-Haithami dalam Majma‘ az-Zawa’id: “Para perawinya
adalah para perawi kitab as-Sahih kecuali Kathir bin Abi Kathir at-Tamimi,
namun beliau thiqah”. Walaupun sebenarnya terdapat perselisihan tentang
status Kathir bin Abi Kathir, namun sanad hadis ini sekurang-kurangnya adalah hasan.
iii. Hadis Abu Zar RA
Antara yang dapat menyokong maknanya juga ialah hadis Abu Zar RA
dengan lafaz:
"إِنَّهُ كَائِنٌ بَعْدِي سُلْطَانٌ
فَلَا تُذِلُّوهُ، فَمَنْ أَرَادَ أَنْ يُذِلَّهُ فَقَدْ خَلَعَ رِبْقَةَ
الْإِسْلَامِ مِنْ عُنُقِهِ، وَلَيْسَ بِمَقْبُولٍ مِنْهُ تَوْبَةٌ حَتَّى يَسُدَّ
ثُلْمَتَهُ الَّتِي ثَلَمَ، وَلَيْسَ بِفَاعِلٍ، ثُمَّ يَعُودُ فَيَكُونُ فِيمَنْ
يُعِزُّهُ ".
“'Sesungguhnya
akan ada selepasku nanti sultan/penguasa, maka janganlah kalian menghinakannya.
Maka, barangsiapa yang hendak menghinakannya, maka bererti dia telah menanggalkan
ikatan Islam daripada lehernya dan tidak akan diterima daripadanya taubat
sehinggalah dia menutupi rekahan yang dia lakukan, sedangkan dia tidak akan
dapat melakukannya. Kemudian (jika berjaya) ia kembali semula, lalu menjadi sebahagian
orang yang memuliakannya."
Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya (21460) dan Ibn
Abi ‘Asim dalam kitab as-Sunnah (no. 1079) dengan sanad yang daif kerana perawi
daripada Abu Zar RA tidak disebutkan namanya. Manakala dalam satu riwayat Ibn
Abi ‘Asim, namanya disebut sebagai Nusair Maula Khalid dan hanya Ibnu Hibban
sahaja yang mengkategorikannya sebagai thiqah dalam kitab at-Thiqat.
Maka, boleh dikatakan sanad hadis ini adalah hasan mengikut metode beliau.
iv. Hadis Abu ‘Ubaidah RA
Antara yang dapat menyokong maknanya lagi adalah hadis Abu
‘Ubaidah RA dengan lafaz:
« لا
تسُبُّوا السلطانَ؛ فإنه ظلُّ اللهِ في الأرضِ ».
“Janganlah kalian mencaci sultan, kerana
sesungguhnya ia adalah naungan Allah di muka bumi”.
v.
Hadis-hadis sokongan lain
Juga terdapat beberapa
riwayat lain yang rangkap awalnya berbunyi: (السُّلْطَانُ ظِلُّ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ) “Sultan adalah naungan
Allah di muka bumi” daripada Abu Bakr RA, ‘Umar
RA, Ibn ‘Umar RA dan Anas RA, tetapi riwayat-riwayat tersebut dikritik dan dinilai
antara daif dan amat daif oleh para ulama.
Hadis Anas RA misalnya, dikritik oleh Imam Abi Hatim - sepertimana dalam kitab ‘Ilal
al-Hadith - sebagai hadis munkar kerana seorang perawinya bernama Ibn Abi
Rukbah adalah majhul.
Hadis sekalipun dinilai daif, bukan bererti palsu.
Ia masih tetap ada ruang untuk diamalkan, iaitu sebagai motivasi atau galakan
dan ancaman (at-targhib wa at-tarhib). Hukum beramal dengan hadis daif
dari aspek tersebut adalah harus menurut jumhur ulama. Apakah kita tidak mahu
dimuliakan oleh Allah SWT; atau apakah kita tidak takut akan dihinakan oleh
Allah SWT?
Ini tidak bertentangan sedikit pun dengan hadis
galakan berkata benar iaitu:
أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ
عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ.
"Jihad yang paling utama ialah
menyampaikan kalimah yang benar kepada sultan/penguasa yang zalim." (HR
Abu Dawud, Ibn Majah dan at-Tirmizi, katanya: Hasan gharib). Ini kerana
masing-masing ada tempat dan masa ia diperlukan.
*Rumusan Status Hadis
Walaupun mungkin setiap satu jalan riwayat hadis di atas tidak
lepas daripada kritikan sesetengah pihak, namun semuanya secara majmuk mampu
saling kuat menguatkan antara satu sama lain dari segi makna sama yang terkandung
di dalamnya. Justeru, setelah meneliti semua jalan riwayat dan pandangan ulama, maka
kami lebih cenderung mengatakan bahawa makna hadis Abu Bakrah RA yang
dibincangkan di awal tadi adalah harus meningkat kepada status hasan li-ghairih
berdasarkan sokongan daripada himpunan makna kesemua hadis berkenaan. Malah, nilai hasan ini terlebih dahulu telah pun
dikemukakan oleh Imam at-Tirmizi di dalam Sunannya.
Bahkan, Syeikh
al-Albani yang telah mendaifkan hadis ini di dalam Silsilah al-Ahadith
al-Dha‘ifah turut menilainya sebagai hasan juga di dalam Silsilah
al-Ahadith al-Sahihah dan Zilal al-Jannah fi Takhrij al-Sunnah
berdasarkan jalan-jalan riwayatnya. Manakala Dr. Ibrahim bin as-Siddiq dalam
kitab Maqalat wa Muhadharat fi al-Hadith as-Syarif (hlm. 89) menyatakan rangkap
hadis: “Sultan adalah naungan Allah di muka bumi” merupakan rangkap hadis yang sabit,
masyhur lagi mustafidh daripada Nabi SAW.
Jelasnya,
kita diperintahkan agar menghormati pemerintah dan dilarang daripada menghina
dan mencela mereka tanpa sebarang sebab yang dibenarkan syarak. Maka, berpadalah
dalam memberi teguran mengikut adab Islam yang betul dan janganlah bertindak
melampau dalam mengkritik pemerintah sehingga mencaci maki dan menghinanya. Kelemahan
dan kekurangan pasti ada, tapi bukan bermakna kita boleh biadap terhadap mereka
di luar adab Islam sesuka hati. Manakala memang sudah menjadi
tanggungjawab pemerintah pula untuk menjaga dan melindungi rakyat daripada
sebarang kezaliman, penganiayaan dan juga kesusahan. Tentunya ini merupakan suatu
tugas berat kerana semuanya akan dipersoalkan oleh Allah SWT di hari akhirat
kelak.
No comments:
New comments are not allowed.