Pages

Thursday, June 11, 2009

Falsafah di Sebalik Capal Nabi SAW

Saya amat tertarik membaca entri di dalam Muntadayat Rawd al-Rayyahin bertajuk: (فلسفة تعظيم نعل النبي صلى الله عليه وسلم عند السادة الصوفية والرد على الجهلة المنكرين).
http://cb.rayaheen.net/showthread.php?tid=24206

Dan antara objektif blog ini ialah memindahkan maklumat daripada laman-laman Arab ke bahasa Malaysia. Maka saya berfikir untuk memetik sebahagiannya. Namun, rupa-rupanya Ustaz Abu Muhammad juga telah menulis tentangnya dengan tajuk ‘Ni'al al-Musthofa s.a.w.’, tetapi di dalam lima entri. Maka saya ringkaskan tulisan beliau dengan sedikit olahan dan tambahan daripada al-faqir.
http://bahrusshofa.blogspot.com/search/label/Ni%60al

Capal atau ni`al Nabi s.a.w. menjadi simbol kepada para pencinta baginda bahawasanya segala tindak-tanduk, amal-perbuatan, bahkan apa saja hendaklah sentiasa di atas jalan dan di bawah jejak kaki Junjungan s.a.w. agar tidak tersimpang perjalanan dalam menuju keredhaan Allah. Kemuliaan baginda tiada tara, sehingga baginda bertemu Rabbul 'Izzah, capal baginda masih berada di tapak kaki. Sehebat-hebat mahkota para raja dan pemerintah tidak dapat melawan kemuliaan yang telah dicapai oleh capal Junjungan s.a.w.

Ulama melakar atau membuat imej sandal Junjungan s.a.w. demi kecintaan kepada baginda s.a.w. sehingga merasakan capal di telapak kaki Junjungan s.a.w. lebih mulia dan lebih bertuah daripada diri mereka. Hal ini mungkin payah untuk difahami oleh orang-orang yang tidak mengenal cinta dan orang yang tidak pernah mengecap fana’ al-Rasul atau mencapai maqam al-‘Isyq al-Muhammadi. Perhatian diberikan hatta ke capal baginda s.a.w. bukan kerana capal tetapi kerana yang empunyanya, dan juga simbol kepada sifat tawadhu’.

Ramai ulama telah menulis, menggubah syair dan mengarang berbagai kitab mengenai capal atau ni`al al-Mustafa s.a.w. ini. Antaranya:
1. Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani dalam kitabnya "Jawahirul Bihar" jilid 3.
2. Maulana Asyraf ‘Ali Thanwi dalam kitabnya "Zadus Sa`id".
3. Imam Ibnu 'Asakir dalam kitabnya "Timthalu Na'l an-Nabiy".
4. Imam Ibnu Muqri dalam kitabnya "Qurratul ‘Aynayn fi Tahqiq Amr an-Na'layn".
5. Imam Abul ‘Abbas al-Maqqari dalam kitabnya "Fathul Muta`al fi Madhin-Ni`al".
6. Imam al-Qastallani dalam kitabnya "Mawahibul Ladunniyyah" dan ramai lagi.

Syaikhul Hadith Maulana Zakaria al-Kandahlawi dalam syarah kitab "Syama’il at-Tirmizi" menyatakan: "Gambar lakaran capal dan kelebihan serta keberkatannya telah diberikan dengan begitu terperinci di dalam kitab "Zadus Sa`id" karangan Maulana Asyraf 'Ali Thanwi (rahmatullah 'alaihi). Khasiatnya tidak putus-putus. Beliau telah mengalaminya beberapa kali. Beliau berkata ; dengan menyimpan sebuah gambar lakaran capal ini seseorang itu akan diberkati dengan ziarah bertemu Rasulullah, akan dilepasi daripada ancaman kuku besi penzalim, mencapai kemasyhuran dan berjaya di dalam segala cita-cita melalui tawassul capal ini. "

Kemuliaan Junjungan Nabi s.a.w. terlalu amat sehingga apa sahaja bersama baginda turut menjadi mulia. Kemuliaan, keberkatan dan keagungan baginda melebihi segalanya selain Allah s.w.t. Kemuliaan Junjungan tertumpah sehingga ke capalnya yang dibawa bersama menghadap Rabbul Jalil, dan sehingga lakaran capalnya yang dilakar demi kecintaan kepada tuan empunyanya mengandungi keberkatan dan berbagai rahsia. Antara kelebihannya ialah seperti diceritakan oleh Imam al-Qastallani dalam kitabnya "al-Mawahibul Ladunniyyah" (2/174):

Di antara kelebihannya yang telah dicuba manfaat dan keberkatannya ialah apa yang dikisahkan oleh seorang syeikh yang soleh, Abu Ja'far Ahmad bin Abdul Majid: “Aku telah membuat misal capal ini untuk seorang muridku, maka dia telah berjumpa denganku pada suatu hari dan berkata: "Kelmarin aku telah melihat keberkatan capal ini yang ajaib. Isteriku telah ditimpa sakit yang berat sehingga hampir-hampir mati, maka aku letakkan misal capal tersebut pada tempat sakitnya dan berdoa "Allahumma Ariniy Barakata Sohibi Hazan-Na'li" (Ya Allah, tunjukkanlah aku keberkatan tuan empunya capal ini, yakni Junjungan Nabi s.a.w.), lalu dia disembuhkan Allah pada waktu itu juga”. Telah berkata Abu Ishaq: "Telah berkata Abul Qasim bin Muhammad: "Di antara yang telah mujarrab keberkatannya ialah sesiapa yang membawanya bersama dengan niat untuk mengambil berkat, jadilah dia selamat daripada kejahatan penjahat, memperolehi kemenangan ke atas musuh dan mendapat penjagaan daripada syaitan yang jahat serta dipelihara daripada kedengkian orang-orang yang hasad. Dan jika dibawa oleh orang perempuan hamil yang sedang sakit hendak bersalin pada sebelah kanannya, nescaya dipermudahkan urusannya tersebut dengan pertolongan dan kekuatan Allah."

Rupa bentuk lakaran capal yang tercatat dalam kitab "Jawahirul Bihar" karangan Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani.



Lakaran capal Nabi s.a.w. yang dinisbahkan kepada Imam Ahmad Redha Khan Barelwi dan ditulis padanya bait-bait syair dalam bahasa Urdu.

Logo Yayasan Sofa, N. Sembilan berasaskan bentuk capal Nabi s.a.w.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.