Pages

Wednesday, November 18, 2009

Gerakan Wahhabiyyah dan Ulama Melayu Tradisional

Ini hanyalah secebis rumusan yang saya perolehi daripada beberapa blog rakan serta kajian saya sendiri untuk kita merenungi kembali sejarah dahulu bagi memahami apa yang berlaku, khususnya tempoh antara masa sesudah kematian Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab sehingga kebangkitan kembali ulama-ulama Wahhabiyyah selepas tahun 1343H. Sejarah adalah penting sebagai panduan untuk kita merancang dan mengurus masa depan.

1. Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab telah meninggal dunia pada tahun 1206H. Maka gerakan dakwahnya diteruskan oleh pengikut-pengikut beliau sesudah itu. Bagaimanapun, gerakan ini tidak terus kuat kerana ia tetap mengalami pasang surutnya.

2. Syeikh Ahmad al-Fatani (m. 1325H) menyebut di dalam kitabnya 'Hadiqatul Azhar': “Dan masuk mereka akan Makkah pada tahun 1220H. Dan telah menghasarkan [mengepung] mereka itu akan Makkah hingga lapar ahlinya dan makan setengah mereka itu akan anjing. Kemudian masuk mereka itu akan dia dan merentah mereka itu padanya 7 tahun. Dan adalah pada masa itu Daulah ‘Aliyyah 'Uthmaniyyah di dalam huru-hara yang amat sangat.” Kata beliau lagi: “Kemudian keluar titah daripada Sultan (Khalifah) kepada Muhammad Ali Pasha, Raja Masir dengan suruh memerangkan mereka itu. Maka diperangkan mereka itu hingga dibinasakan dan dihilangkan daulah mereka itu dan ditawankan raja mereka itu yang bernama 'Abdullah ibnu Sa'ud dan beberapa perdana menterinya dan dibawakan mereka itu ke Masir, kemudian ke Istanbul. Maka diarakkan mereka itu kemudian dibunuhkan mereka itu”. (Rujukan blog al-Ashairah)

3. Peristiwa tersebut mungkin berlaku pada tahun 1233H, di mana gerakan mereka telah ditewaskan oleh kerajaan 'Uthmaniyyah, sepertimana yang disebut oleh Ibn 'Abidin (m. 1252H) di dalam kitabnya 'Raddul Muhtar'. Setelah itu, Mekah dan Madinah dikuasai semula oleh aliran tradisional sehinggalah tahun 1343H.

4. Syeikh 'Uthman Jalaluddin (m. 1371H) menyatakan di dalam kitabnya 'Matali' al-Anwar' (h. 170) bahawa dari tahun 1311H sehingga tahun 1342H ulama-ulama Mekah masih mengikut pengajian tradisi berdasarkan mazhab-mazhab fiqh dan akidah Asy'ariyyah-Maturidiyyah. Namun pada tahun 1343H, Mekah dan Madinah telah mula dikuasai oleh gerakan Wahhabiyyah dengan naiknya Raja 'Abdul 'Aziz Al Su'ud ke tampuk pemerintahan. Maka bermula dari itu ulama-ulama Wahhabiyyah menyebarkan secara besar-besaran pengaruh mereka sehingga pengajian-pengajian tradisi kemudiannya mula disingkir dan menjadi terpencil. Apabila Syeikh 'Uthman pulang kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1351H, beliau mendapati fahaman tersebut telahpun menular di kalangan masyarakat Melayu. (Rujukan blog al-Fanshuri)

5. Tidak sedikit juga yang cuba menerapkan fahaman ini di kalangan masyarakat Melayu. Antara tokoh-tokohnya ialah seperti Syeikh Abu Bakar al-Asy'ari dan Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin. Maka, ramai ulama tradisional dengan bersikap defensif bangkit mengkritik fahaman baru ini. Antara tokoh-tokohnya ialah Syeikh 'Abdullah Fahim, mufti Pulau Pinang, Syeikh Yusuf Syihabuddin (m. 1973), mufti Selangor, Syed 'Alwi bin Syed Tahir al-Haddad (m. 1962), mufti Johor, Syeikh Muhammad Fadhlullah Suhaimi dan lain-lain.

6. Antara satu contoh konflik yang berlaku di antara dua aliran ini ialah sebuah polemik yang hangat pernah berlaku di antara Syeikh Abu Bakar Haji Hasan (m. 1938), bekas kadi Muar dan Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Minkabawi mengenai solat sunat qabliyyah Jumaat. Syeikh Muhammad Tahir telah menyusun sebuah risalah yang menyatakan bahawa solat sunat qabliyyah Jumaat sebenarnya tidak sunnah. Risalah ini diberi judul: ‘Tazkirah Muttabi‘i al-Sunnah fi ma Yaf‘al Qabl wa Ba‘d al-Jumu‘ah’. Lalu kenyataan tersebut dibantah oleh Syeikh Abu Bakar di dalam bukunya ‘Taman Persuraian’ mempertahankan bahawa ianya adalah sunnah. Syeikh Muhammad Tahir kemudian mempertahankan pendapatnya itu di dalam buku lain berjudul ‘Huraian yang Membakar Taman Persuraian Haji Abu Bakar’ dan ‘Ta’yid Tazkirah Muttabi‘i al-Sunnah fi al-Rad ‘ala al-Qa’il bi Sunniyyah Rak‘atayn Qabl al-Jumu‘ah’. Syeikh Abu Bakar kemudian sekali lagi menolak pandangan beliau dengan buku lain berjudul ‘Taufan yang Memalui Atas Huraian Haji Tahir al-Minkabawi’ ( 1932).

7. Kita tidak mendapati tokoh-tokoh Wahhabiyyah yang menonjol secara popular dalam tempoh antara sesudah kematian Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab sehingga munculnya tokoh-tokoh mutaakhirin Wahhabiyyah, iaitu seperti Syeikh 'Abdul 'Aziz bin Baz, Syeikh al-Albani, Syeikh al-'Uthaymin, Syeikh al-Fawzan, Syeikh Bakar Abu Zayd dan lain-lain. Barangkali ini disebabkan oleh kesibukan mereka dalam tempoh tersebut dengan berperang atau kemerosotan pengaruh mereka di kalangan umat Islam. Dengan itu dapatlah kita fahami, kenapa kebanyakan pendapat-pendapat dan fatwa-fatwa mutaakhirin ini yang ditaklid dan dipegang oleh pengikut-pengikut Wahhabiyyah pada masa sekarang, selain tokoh pengasas gerakan itu sendiri. Kelompongan ini membuktikan bahawa aliran tradisional yang merupakan jumhur ulama pada ketika itu masih berpengaruh secara kuat di Hijjaz.

8. Namun pemikiran Wahhabiyyah ini tetap wujud walaupun dalam kedudukan yang lemah. Ada di antara ulama tradisional yang menangani mereka secara berdebat, seperti yang dilakukan oleh Syeikh Ahmad bin Idris (m. 1253H) yang berdebat dengan sebahagian pengikut Wahhabiyah yang antaranya bernama al-Kubaybi. Syeikh Ahmad akhirnya berjaya mematahkan hujah mereka. (مناظرة سيدنا الشريف أحمد بن إدريس رضي الله عنه مع علماء الوهابية) (Rujukan)

9. Dalam era kemerosotan Wahhabiyyah ini, kebanyakan aktiviti mereka hanya terbatas di daerah Najd sahaja. Sehinggakan Syeikh Muhammad Rasyid Ridha melihat tidak ada wakil ulama Mazhab Hanbali di Mekah, lalu beliau menyuruh salah seorang ulama yang bermazhab Hanbali agar menjadi mufti Mazhab Hanbali di sana.

10. Fahaman Wahhabiyyah pada awal kebangkitannya selepas tahun 1343H banyak dipengaruh oleh pemikiran-pemikiran Muhammad 'Abduh dan Muhammad Rasyid Ridha yang mungkin sedikit berbeza dengan tokoh-tokoh mutaakhirin mereka kemudiannya yang lebih jelas dan sepakat dalam banyak pandangan. Antara tokoh-tokoh awalnya pada masa sesudah kebangkitan itu ialah Syeikh 'Abdul Rahman al-Sa'di, Syeikh Amin al-Syanqiti, Syeikh 'Abdul Zahir Abu al-Samah (m. 1370H), Syeikh Muhammad 'Abdul Razzaq Hamzah (m. 1392H), dan lain-lain. Kebangkitan ini menimbulkan banyak polemik kemudiannya di antara fahaman Wahhabiyyah dan golongan jumhur ulama Islam yang berterusan sehinggalah sekarang ini...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.