Matan hadith:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِي قَلْبِهِ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فَإِذَا هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ سُقِلَ قَلْبُهُ وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ وَهُوَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَ اللَّهُ: ((كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ)). (أخرجه الترمذي (3257)، وقَالَ: هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ. و أَحْمَدُ (7611)، وَالنَّسَائِيُّ وَابْنُ مَاجَهْ (4234)، وَابْنُ حِبَّانَ وَالْحَاكِمُ وَقَالَ: صَحِيحٌ عَلَى شَرْطِ مُسْلِمٍ ).
Terjemahan:
Daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW sabdanya: “Sesungguhnya seorang hamba apabila ia membuat suatu dosa, akan terbekas di hatinya satu titik hitam. Maka jika ia sedar, beristighfar dan bertaubat, akan bersihlah kembali hatinya. Jika ia kembali melakukannya, akan bertambah pada titik hitam tadi (sedikit demi sedikit) sehingga ia menyelubungi hatinya. Dan itulah ”karat” yang telah disebut oleh Allah: Tidak sekali-kali, bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan apa (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan (al-Mutaffifin: 14)”.
Huraian:
Demikian keadaan hati yang digambarkan oleh Rasulullah SAW. Maka bagi orang yang sentiasa kembali kepada Allah dengan memohon ampun dan istighfar, maka itulah orang yang diberi taufik oleh-Nya. Adapun orang yang sentiasa bergelumang dengan maksiat dan gemar melakukannya, maka ia tidak akan rasa berdosa lagi, dan orang seperti ini adalah orang yang jauh dari rahmat Allah SWT. Lebih membimbangkan jika ia tidak diilhamkan untuk kembali kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya, maka ia dikhuatiri akan mati dalam keadaan su’ul khatimah (mati dengan buruk). Wal’iyazu billah.
Taubat adalah langkah pertama bagi mengembalikan kekuatan umat ini. Masyarakat kita pada hari ini perlu disedarkan dengan punca-punca dosa dan ejen-ejen maksiat yang sudahpun bercampur gaul dan mengelilingi kehidupan kita pada hari ini. Kemudian perlu disedarkan dengan peri pentingnya bertaubat setiap hari. Bukan sekadar beristighfar di mulut, bahkan ia mesti diserapkan masuk ke dalam hati. Jika Nabi SAW yang maksum beristighfar sehingga 100 kali setiap hari, tentu kita boleh fikir dan bandingkan dengan diri kita yang tidak maksum hanya beristighfar 3 kali setiap kali solat, atau 15 kali sehari. (Itupun kalau berzikir lepas solat, ada yang lepas salam je terus angkat kaki... miskiin...)
Atas keluasan rahmat Allah, bertaubat daripada dosa dengan sebenar-benarnya dapat membersihkan diri seseorang itu, sepertimana sabda Nabi SAW daripada Ibn Mas’ud RA:
التَّائِبُ مِنْ الذَّنْبِ كَمَنْ لَا ذَنْبَ لَهُ. (رواه ابن ماجه (4240)، وَفِي الْمَقَاصِد الْحَسَنَة: رَوَاهُ اِبْن مَاجَهْ وَالطَّبَرَانِيُّ فِي الْكَبِير وَالْبَيْهَقِيُّ فِي الشُّعَب مِنْ طَرِيق أَبِي عُبَيْد بْن عَبْد اللَّه بْن مَسْعُود عَنْ أَبِيهِ رَفَعَهُ وَرِجَاله ثِقَات بَلْ حَسَّنَهُ شَيْخنَا – أي ابن حجر - يَعْنِي لِشَوَاهِدِهِ وَإِلَّا فَأَبُو عُبَيْدَة جَزَمَ غَيْر وَاحِد بِأَنَّهُ لَمْ يَسْمَع مِنْ أَبِيهِ. - السندي )
Terjemahan: ”Orang yang bertaubat daripada dosa adalah seumpama orang yang tiada dosa baginya”.
Seorang hamba yang bertaubat sangat disukai oleh Allah SWT, dan Dia membuka pintu taubat-Nya kepada sesiapa sahaja selama mana nyawa orang tersebut belum sampai ke halkumnya (ketika nazak). Nabi SAW ada menceritakan sebuah cerita yang menarik berkaitan dengan taubat ini, daripada riwayat al-Bukhari (3470) dan Muslim (2766), iaitu sabdanya;
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri RA, katanya: Sabda Rasulullah s.a.w.: "Di antara orang yang hidup sebelum kamu, ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang manusia. Lalu dia mencari seorang yang paling alim untuk bertanya hal dirinya. Maka orang menunjukkan kepadanya seorang pendita. Orang itu lalu mendatangi pendita itu lalu bertanya, bahawa dia telah membunuh 99 orang manusia, apakah masih boleh dia bertaubat kepada Tuhan? Pendita itu menjawab: "Tidak". Maka pendita itu pun dibunuhnya sehingga genap 100 orang. Lalu dia mencari lagi orang yang paling alim di permukaan bumi ini. Dia kemudian ditunjukkan orang kepada seorang yang paling alim, dan banyak serta luas pengetahuannya. Lalu katanya, dia sudah membunuh 100 orang manusia, masih dapatkah dia bertaubat kepada Tuhan? Orang alim itu menjawab: "Ya, dan tidak ada satu halangan baginya untuk bertaubat. Tetapi berpindahlah ke suatu negeri ini, kerana di negeri itu ramai manusia yang baik-baik yang selalu beribadat menyembah Allah. Beribadatlah bersama-sama mereka. Dan jangan kembali lagi ke negerimu kerana negerimu itu negeri yang buruk (ramai orang jahat)”. Orang itu pun berangkatlah meninggalkan kampung halamannya ke negeri yang ditunjukkan itu. Di tengah-tengah perjalanan, tiba-tiba orang itu meninggal dunia. Lalu berselisihlah mengenai orang itu antara Malaikat Rahmat dan Malaikat 'Azab. Berkata Malaikat Rahmat: "Orang ini matinya dalam keadaan bertaubat sedang menghadapkan seluruh jiwanya kepada Tuhan". Dan berkata Malaikat 'Azab: "Orang ini tidak ada kebaikan sedikit pun”. Tiba-tiba turun satu Malaikat lain berbentuk seorang manusia biasa. Malaikat Rahmat dan Malaikat 'Azab pun mengangkat Malaikat ini menjadi hakim antara mereka. Lalu malaikat ini memerintahkan untuk mengukur jarak antara tempat kematian itu dengan tempat yang dituju dan tempat asalnya. Ketempat mana yang dia lebih dekat, maka itulah yang menentukan apakah orang ini termasuk sebahagian Malaikat Rahmat atau Malaikat 'Azab. Setelah diukur, ternyata ia lebih dekat ke tempat yang dituju. Maka orang itu dibawalah oleh Malaikat Rahmat”.
Dalam satu riwayat menerangkan ; bahawa orang itu ketika hampir meninggal dunia menolak dadanya hendak menuju ke arah negeri tersebut. Di dalam riwayat lain diterangkan ; bahawa ketika kedua Malaikat itu sedang mengukur jarak, Allah lalu memerintahkan kepada bumi yang berada di antara tempat itu dengan tempat yang dituju supaya menjadi lebih dekat.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.