Barangkali dapat dimasukkan ke dalam senarai syafaat-syafaat baginda Rasulullah SAW sebagai tambahan kepada senarai al-Hafiz al-Sakhawi dalam entri lepas ialah ;
12. Orang yang cintakan Ahlul Bait (keluarga Nabi SAW).
Ini berdasarkan hadith yang berbunyi:
شفاعتي لامتي من أحب أهل بيتي وهم شيعتي
Terjemahan: "Syafaatku untuk umatku bagi orang yang cintakan Ahli Baitku, dan mereka adalah pengikutku". (Riwayat al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (1/257) daripada Saidina 'Ali RA. Lihat: Kanz al-'Ummal, no. 34,179)
Suruhan mencintai Ahli Bait Nabi SAW adalah satu perkara yang sudah dimaklumi secara jelas daripada hadith-hadith sahih, dan tentunya hadith di atas dapat memberi sedikit motivasi lagi dalam mengamalkannya. Mengapa tidak, sedangkan Rasulullah SAW telah bersabda: (المرء مع من أحب), yang bermaksud, "Seseorang itu akan bersama siapa yang dicintainya".
13. Orang yang mengamalkan doa ini selepas setiap solat fardhu.
Disebut oleh al-Sakhawi dalam al-Qawl al-Badi' (h. 252) - mengenai berselawat selepas solat - sebuah hadith dari Abu Umamah RA yang berbunyi:
من دعا بهؤلاء الدعوات في دبر كل صلاة مكتوبة حلت له الشفاعة مني يوم القيامة: اللهم أعط محمدا الوسيلة واجعل في المصطفين محبته وفي العالمين درجته وفي المقربين داره
Terjemahan: "Barangsiapa yang berdoa dengan doa ini selepas setiap kali solat fardhu, halal baginya syafaat dariku pada hari kiamat kelak, iaitu: (اللهم أعط محمدا الوسيلة واجعل في المصطفين محبته وفي العالمين درجته وفي المقربين داره)". Kata beliau: Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir dan di dalam sanadnya ada Muttarih bin Yazid, seorang perawi da'if. al-Munziri juga memuatkan hadith ini di dalam kitabnya al-Targhib wa al-Tarhib (2/375) dengan lafaz tamridh (isyarat da'if).
14. Orang yang berselawat dengan selawat ini.
عن رويفع بن ثابت الأنصاري قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من قال: اللهم صلِّ على محمَّد وأنْزِلْهُ المَقْعَدَ المُقَرَّبَ عندَك يومَ القيامةِ، وجبت له شفاعتي.
Terjemahan: Daripada Ruwaifi‘ bin Thabit al-Ansari katanya : Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang membaca: (اللهم صل على محمد وأنزله المقعد المقرب عندك يوم القيامة) wajib baginya syafaatku”.
Kata al-Sakhawi dalam al-Qawl al-Badi' (h. 65) : Diriwayatkan oleh al-Bazzar, Ibn Abi 'Asim, Ahmad bin Hanbal, Isma'il al-Qadhi, al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (no. 4480) dan al-Mu‘jam al-Awsat (no. 3285, katanya: Bersendirian Ibn Lahi‘ah dalam meriwayatkannya), Ibn Basykuwal dalam al-Qurbah dan Ibn Abi al-Dunya dalam al-Du'a' dengan lafaz (المُقَرَّبَ عندَك في الجنة، حلت له شفاعتي يومَ القيامةِ), dan sebahagian isnad mereka adalah hasan, sebagaimana kata al-Munziri. (tamat nukilan)
Ulasan:
Sekiranya ada yang menyatakan bahawa semua riwayat ini da'if, namun sebagaimana yang ditaqrirkan oleh para muhaqqiqin dari kalangan ulama hadith bahawa hadith da'if dapat diamalkan dalam bab fadha'il (motivasi) dengan beberapa syarat, antaranya tidak beriktikad ianya sabit sahih daripada Nabi SAW tetapi beriktikad dalam mengamalkannya bagi tujuan berhati-hati (الاحتياط).
Maksudnya, makna yang terkandung dalam hadith tersebut diamalkan kerana berhati-hati agar kita tidak meninggalkan satu perkara yang kemungkinan diucapkan oleh baginda SAW, lalu ia menjadi satu kerugian buat kita, dan juga agar kita tidak menghalang diri sendiri dari mendapatkan kelebihannya di atas kemurahan dan kurniaan Allah SWT, lebih-lebih lagi jika makna hadith dikuatkan oleh banyak hadith-hadith sahih yang lain, atau selagi tidak meruntuhkan mana-mana hukum/nas yang sabit.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.