Pages

Thursday, February 11, 2010

Syafaat-Syafaat al-Habib صلى الله عليه وعلى آله وسلم


Al-Hafiz al-Sakhawi (رحمه الله) mencatatkan dalam kitabnya al-Qawl al-Badi' (h. 277-278):

Baginda SAW memiliki beberapa syafaat, iaitu:

1. Syafaat agung (al-syafa'ah al-'uzma) pada hari kiamat kelak bagi seluruh makhluk di padang Mahsyar, untuk Allah tunjukkan kepada mereka keadaan yang sedang mereka hadapi, agar dimulakan penghakiman. Dan inilah maqam terpuji (al-maqam al-mahmud) yang seluruh golongan awal dan akhir memuji baginda kerananya.

2. Syafaat untuk orang yang masuk syurga dari kalangan umatnya tanpa hisab.

3. Syafaat untuk kaum penderhaka yang masuk ke dalam neraka kerana dosa-dosa mereka, lalu mereka dikeluarkan.

4. Syafaat untuk kaum yang layak masuk ke dalam neraka, lalu mereka tidak jadi dimasukkan ke dalamnya.

5. Syafaat bagi kaum yang dihalang oleh kesalahan-kesalahan mereka untuk memasuki syurga.

6. Syafaat untuk kaum daripada ahli syurga bagi menaikkan darjat mereka, lalu diberi kepada setiap mereka apa yang layak baginya.

7. Syafaat untuk orang yang mati di Madinah al-Munawwarah.

8. Syafaat untuk orang yang menziarahi kubur baginda SAW.

9. Syafat untuk membuka pintu syurga, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim.

10. Syafaat untuk orang yang menjawab azan.

11. Syafaat untuk kaum dari kalangan kuffar yang pernah berkhidmat terhadap baginda SAW, atau pernah terbit daripada mereka satu bentuk khidmat terhadap hak baginda SAW, maka akan diringankan azab mereka dengan syafaat baginda SAW. (seperti Abu Talib)


Dua syafaat yang awal di atas adalah termasuk khasa'is (khususiyyat) baginda SAW. Manakala syafaat yang ke-4 dan ke-6 di atas, harus dikongsi juga oleh orang lain dari kalangan anbiya', ulama', dan awliya', menurut al-Nawawi dalam kitab al-Rawdhah. Syafaat pertama tadi tidak dibantah oleh seorangpun dari kalangan kumpulan-kumpulan umat Islam. Demikian juga tidak ada khilaf mengenai yang ke-6. Adapun yang ke-2, kaum Muktazilah mengkhususkannya bagi orang yang tiada tanggungan ke atasnya, dan mereka juga mengingkari yang ke-3. Akan tetapi, kedua-duanya telah disepakati oleh seluruh Ahlus Sunnah dalam menerimanya disebabkan kesabitan hadith-hadith yang banyak mengenainya. (tamat nukilan)

Wallahu a'lam.


Ya Allah, janganlah jadikan kami terhalang daripada syafaat Nabi-Mu...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.