Soalan:
Assalamu 'alaikum warahmatullahi wa
barakatuh.
Kalau ustaz ada kelapangan, nak tnya
brknaan hadith ni:
كل الكذب يكتب على ابن آدم إلا ثلاث , الرجل يكذب فى الحربِ , فإن
الحربَ خدعة , والرجل يكذب على المرأة فيرضيها , والرجل يكذب بين الرجلين ليصلح بينهما
Riwayat Ibnu Sunni.
Mohon penjelasan dari ustaz berkenaan takhrij dan penjelasan hadith
ini. Saya search dalam Maktabah Syamilah, ada jumpa Albani mendhaifkannya. Mohon
pencerahan.
Jawapan:
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Untuk manfaat semua, terlebih dahulu diberikan terjemahan teks
hadis tersebut, iaitu Sabda Rasulullah SAW:
“Setiap dusta itu akan ditulis ke atas anak Adam kecuali tiga
perkara; seorang lelaki yang berdusta dalam peperangan, dan sesungguhnya peperangan
itu adalah suatu tipu helah, seorang lelaki yang berdusta kepada isterinya
supaya ia meraih redhanya, dan seorang lelaki yang berdusta di antara dua orang
lelaki untuk mendamaikan antara kedua-duanya”.
Berdusta adalah satu dosa besar, namun tiga perkara itu
dikecualikan, di mana sekiranya berdusta ia tidak dianggap sebagai satu dosa.
Hadis ini menunjukkan adanya dusta yang diharuskan, atau apa yang dikatakan
orang ‘bohong sunat’ – jika istilah ini sesuai digunapakai - .
Tetapi bagaimana status hadis tersebut??
Perbincangan lanjut adalah menurut riwayat-riwayat berikut;
1. Riwayat al-Nuwas bin Sam‘an RA
Hadis yang dipertanyakan berkenaan diriwayatkan oleh al-Tabarani
dalam al-Kabir, Ibn al-Sunni dalam ‘Amal Yawm wa Laylah dan al-Khara’iti
dalam Makarim al-Akhlaq dari al-Nuwas bin Sam‘an RA. Al-Suyuti dalam al-Jami‘
al-Saghir (6276) mengisyaratkannya sebagai hasan. Manakala al-Albani
menyatakannya sebagai daif.
Kata al-Haythami (8/81): “Terdapat padanya, Muhammad bin Jami‘
al-‘Attar, seorang yang daif”. Demikian juga menurut al-Busiri dalam Ithaf
al-Khirah al-Maharah (3214), meskipun Ibn Hibban menyenaraikan Muhammad bin
Jami‘ dalam kalangan para perawi thiqah.
2. Riwayat Umm Kulthum binti ‘Uqbah RA
Hadis yang semakna walaupun berbeza lafaz, dan lebih kuat
sanadnya diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya (4923) dari Umm Kulthum
binti ‘Uqbah RA.
عَنْ
أُمِّ كُلْثُومٍ بِنْتِ عُقْبَةَ قَالَتْ مَا سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله
عليه وسلم- يُرَخِّصُ فِى شَىْءٍ مِنَ الْكَذِبِ إِلاَّ فِى ثَلاَثٍ كَانَ رَسُولُ
اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ: « لاَ
أَعُدُّهُ كَاذِبًا الرَّجُلُ يُصْلِحُ بَيْنَ النَّاسِ يَقُولُ الْقَوْلَ وَلاَ
يُرِيدُ بِهِ إِلاَّ الإِصْلاَحَ، وَالرَّجُلُ يَقُولُ فِى الْحَرْبِ، وَالرَّجُلُ
يُحَدِّثُ امْرَأَتَهُ وَالْمَرْأَةُ تُحَدِّثُ زَوْجَهَا ».
Kata al-Albani: Sahih. Bahkan ia juga diriwayatkan oleh Muslim
dalam Sahihnya (4717), tapi tiada lafaz Nabi SAW dalam riwayatnya, iaitu kata Umm
Kulthum RA:
وَلَمْ
أسْمَعْهُ يُرْخِّصُ في شَيْءٍ مِمَّا يَقُولُهُ النَّاسُ إلاَّ في ثَلاثٍ ،
تَعْنِي : الحَرْبَ ، وَالإِصْلاَحَ بَيْنَ النَّاسِ ، وَحَدِيثَ الرَّجُلِ
امْرَأَتَهُ ، وَحَدِيثَ المَرْأةِ زَوْجَهَا .
3. Riwayat Asma’ binti Yazid RA
Hadis yang semakna juga turut diriwayatkan oleh al-Tirmizi dalam
Sunannya (1862@ 2064) dari Asma’ binti Yazid RA. Lafaznya, sabda Rasulullah SAW:
لَا يَحِلُّ
الْكَذِبُ إِلَّا فِي ثَلَاثٍ؛ يُحَدِّثُ الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ
لِيُرْضِيَهَا، وَالْكَذِبُ فِي الْحَرْبِ، وَالْكَذِبُ لِيُصْلِحَ بَيْنَ
النَّاسِ.
Menurut al-Tirmizi:
“Kata Mahmud - salah seorang perawi - dalam hadis beliau: (لَا
يَصْلُحُ الْكَذِبُ إِلَّا فِي ثَلَاثٍ). Hadis ini hasan.
Kami tidak ketahui dari hadis Asma’ melainkan dari hadis Ibn Khuthaym.
Dawud bin Abi Hind meriwayatkan hadis ini dari Syahr bin Hawsyab dari Nabi SAW (yakni
secara mursal) dan tidak menyebut padanya; ... dari Asma’. Ini diberitakan
kepada kami oleh Muhammad bin al-‘Ala’, diberitakan kepada kami oleh Ibn Abi
Za’idah dari Dawud. Dalam bab yang sama, ada riwayat dari Abu Bakr RA”.
Meskipun al-Albani mendaifkan riwayat
al-Nuwas, namun beliau menghukum riwayat Asma’ ini sebagai sahih, dengan
mengecualikan kata-kata: (ليرضيها).
Pengecualian al-Albani tersebut menurut penulis, adalah tidak perlu kerana
banyak jalan riwayat yang menyebutnya atau menyebut kalimah yang seertinya. Manhaj
al-Albani yang berbeza-beza semestinya difahami oleh mereka yang menelaah
karya-karyanya.
Riwayat Asma’ RA juga diriwayatkan
oleh Ahmad, Ibn Jarir al-Tabari, al-Tabarani, Abu Ya‘la dan lain-lain lengkap
dengan sabab al-wurudnya. Kata al-Haythami dalam Majma‘ al-Zawa’id (10354):
“Terdapat
padanya, Syahr bin Hawsyab. Ada yang menthiqahkan beliau, namun terdapat
kelemahan padanya. Dan baki para perawinya adalah thiqah”.
4. Riwayat Abu
Bakr RA
Riwayat Abu Bakr RA ini berdasarkan
kata-kata al-Tirmizi di atas tadi: “Dalam bab yang sama, ada riwayat dari Abu
Bakr RA”.
Riwayat ini pada zahirnya, menyokong
riwayat Asma’ di atas. Ia menjelaskan sebab mengapa al-Tirmizi menyatakan
darjat hadis tersebut sebagai hasan, walaupun sanad riwayat Asma’
mengandungi sedikit masalah kecil.
Bagaimanapun, Syeikh al-Mubarakpuri
dalam Tuhfah al-Ahwazi tidak dapat mentakhrijkan riwayat Abu Bakr RA ini. Meskipun
begitu, kata-kata al-Tirmizi itu merupakan suatu fakta yang menunjukkan
kewujudan riwayat berkenaan dan beliau sendiri telah menemukannya, walaupun
kita pada masa ini belum lagi dapat menjumpainya.
5. Riwayat Abu
Ayyub al-Ansari RA
Riwayat Abu Ayyub al-Ansari RA ini
direkodkan oleh Abu ‘Awanah dalam Musnadnya (6545) dengan jalan riwayatnya
sendiri. Lafaznya:
لا يحل الكذب إلا فى ثلاثة؛ الرجل يكذب
امرأته يرضيها بذلك، والرجل يمشى بين رجلين يصلح بينهما، والحرب خدعة.
Lihat al-Jami‘ al-Kabir (17553).
6. Riwayat Abu
al-Tufayl RA
Riwayat Abu al-Tufayl RA ini direkodkan oleh Ibn
Jarir al-Tabari. Lafaznya:
لا يصلح الكذب إلا فى إحدى ثلاث؛ رجل كذب
امرأته لينصلح خُلُقها، ورجل كذب ليصلح بين امرأين مسلمين، ورجل كذب فى خديعة حرب،
فإن الحرب خدعة.
Lihat al-Jami‘ al-Kabir (17878).
7. Riwayat ‘A’isyah
RA
Riwayat ‘A’isyah RA ini direkodkan
oleh Ibn Jarir al-Tabari dan Ibn al-Najjar. Lafaznya:
لا يصلح الكذب إلا فى ثلاث؛ يحدث الرجل
امرأته ليرضيها، والكذب فى الحرب، والكذب ليصلح بين الناس.
Lihat al-Jami‘ al-Kabir (17879).
Ulasan:
Kesemua riwayat di atas, walaupun
berbeza-beza sedikit lafaz-lafaznya, menjelaskan bahawa hanya ada tiga jenis
dusta sahaja yang diharuskan oleh syarak, iaitu;
- harus berdusta dalam peperangan, kerana peperangan itu adalah suatu
tipu helah.
- harus suami berdusta kepada isteri (juga sebaliknya) supaya ia meraih
redhanya.
- harus berdusta untuk mendamaikan antara dua pihak yang berselisihan.
Maka, tujuh jalan riwayat yang
mengandungi makna hadis yang sama ini telah membuktikan kekuatan makna hadis yang
dipertanyakan dan dapat dijadikan sebagai hujah, dan tentunya ia tidak dapat
dihukum sebagai lemah. Walaupun status riwayat-riwayat tersebut berbagai-bagai
antara daif, hasan dan sahih.
Bagi menjelaskan isu hadis ini, Imam
al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim (8/331) menukilkan dari al-Qadhi ‘Iyadh
katanya: Tiada khilaf tentang keharusan berdusta dalam bentuk-bentuk sebegini.
Namun, ulama berbeza pendapat
mengenai dusta yang harus ini. Sebahagian ulama berpendapat, ia adalah
berbentuk mutlak/umum. Sebahagian yang lain pula, antaranya al-Tabari
berpendapat, tidak harus berdusta dalam bentuk apa pun dari segi asalnya, dan maksud
keharusan berdusta tersebut ialah melakukan penyembunyian (tawriyah) dan
menggunakan kata-kata samar, bukannya dusta sebenar, seperti misal ia
menjanjikan isterinya layanan baik dan pakaian tertentu, tapi ia berniat jika
Allah mentakdirkannya demikian..
Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan dari
Imam al-Nawawi, katanya: “Zahirnya, adalah mengharuskan hakikat dusta itu
sendiri dalam ketiga-tiga perkara berkenaan, akan tetapi kata-kata yang samar (ta‘ridh)
adalah lebih utama”.
Demikian takhrij dan penjelasan
ringkas bagi isu yang terkandung dalam hadis berkenaan.
Wallahu a‘lam.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.