Kaabah 2020 |
Menekuni
hadis-hadis Nabi SAW berkenaan tanda-tanda hari Kiamat atau akhir zaman merupakan
perkara yang harus dilihat sebagai suatu yang amat penting. Tanpa ilmu lengkap
mengenainya, kita akan mudah percaya dengan pelbagai dakwaan yang hakikatnya
tidak berpijak kepada fakta-fakta yang disebutkan dalam hadis-hadis Nabi SAW.
Misalnya,
akibat kemunculan pandemik Covid-19 di seluruh dunia kini, banyak masjid di
negara-negara Islam, termasuk Masjidil Haram dan Masjid Nabawi ditutup bagi
mengawal penularan wabak tersebut. Ringkasnya, banyak masjid kosong daripada
perlaksanaan solat berjemaah dan solat Jumaat. Lalu ada yang mendakwa kejadian
ini sebagai;
- Dajjal akan muncul sedikit masa lagi.
- Dajjal akan mula masuk apabila surau masjid dah
tiada azan dan solat jemaah.
- Wabak sedunia ini akan menyebabkan berlaku catuan
bekalan makanan dan minuman, lalu Dajjal akan datang tawarkan pertolongan dan
membawa syurga di mata, tapi neraka di dalamnya.
-
Dajjal
bergerak ke seluruh dunia selama 40 hari dan pada waktu itu kita akan rasa
suatu masa yang amat lama. Ramai nanti yang akan mengikut Dajal, hingga Nabi
SAW berpesan; ikatlah tangan isteri dan anak perempuan kamu.
Covid-19
Bukan Wabak Dahsyat Pertama
Perlu diketahui,
Covid-19 bukanlah wabak dahsyat yang pertama. Sebelumnya
sudah ada pelbagai wabak yang melanda umat manusia. Pada tahun 639M (18H),
berlaku wabak taun yang bermula di ‘Amwas, Palestin, Syam yang mengorbankan
25,000 – 30,000 nyawa kaum muslimin, termasuk sahabat2 besar Nabi SAW seperti
Abu ‘Ubaidah RA, Mu‘az RA, Yazid bin Abi Sufyan RA, Syurahbil bin Hasanah RA,
Abu Jandal RA, al-Fadhl bin al-‘Abbas RA dan lain-lain (lihat al-Bidayah wa
al-Nihayah oleh Ibn Kathir, (6/202) (7/93)(8/124)).
Pada tahun 818M (218H) berlaku wabak di Mesir hingga ramai
gabenor dan pemimpin negara Mesir turut mati. Pada tahun 1048 M (448 H) tersebar wabak di Andalus, Mesir dan lain-lain sehingga
masjid ditutup dan tiada orang yang bersolat di dalamnya (lihat Tarikh al-Islam
oleh az-Zahabi). Di Mesir sahaja, seramai 1,000 orang mati setiap hari dan wabak
ini terus merebak ke seluruh dunia (lihat al-Muntazam oleh Ibn al-Jawzi).
Pada tahun 1049 M (449 H), berlaku wabak dahsyat di Asia Tengah
yang mengorbankan 18,000 orang setiap hari dan bilangan seluruh kematian yang direkodkan
ialah 1,650,000 orang dan mungkin lebih daripada itu. (lihat al-Muntazam
oleh Ibn al-Jawzi)
Pada abad ke-14, sekitar
1347-1351M (749H-753H), pandemik ‘Kematian Hitam’ (Black Death) telah meragut
antara 75-200 juta nyawa manusia, iaitu sekitar 20-40% dari jumlah populasi
manusia pada masa itu. Azan terhenti di sebilangan daerah dan kebanyakan masjid
dan pusat agama ditutup (lihat al-Suluk li Ma‘rifah Duwal al-Muluk oleh al-Maqrizi).
Pada tahun 1424 (827H), berlaku wabak di Makkah menyebabkan kematian 40 orang
setiap hari, sehingga hanya tinggal seorang imam dan dua makmum saja yang
bersolat di Masjidil Haram. (lihat Inba’ al-Ghumr oleh Ibn Hajar)
Pada tahun 1433 M
(833 H) berlaku wabak taun di Mesir yang meragut banyak jiwa.
(lihat Inba’ al-Ghumr oleh Ibn Hajar). Pada tahun 1444 (848H), berlaku
lagi wabak taun di Mesir yang menjadi bertambah buruk apabila kembalinya para
jemaah haji daripada Makkah sehingga meragut nyawa lebih daripada 1,000 orang pada
setiap hari. (lihat Inba’ al-Ghumr oleh Ibn Hajar)
Pada tahun 1918-1920,
wabak Demam Sepanyol (Spanish Flu) mengorbankan 50-100 juta nyawa di
seluruh dunia. Wabak mutakhir sebelum Covid-19 yang dirasai di seluruh dunia ialah
pada tahun 2009, apabila pandemik H1N1 menyebabkan kematian 300,000 – 500,000
orang.
Jelasnya, Covid-19 adalah salah satu siri wabak yang melanda umat manusia
sebagai satu peringatan daripada Allah SWT kepada mereka agar kembali bertaubat
kepadaNya. Ya, wabak penyakit juga salah satu daripada tanda-tanda akhir zaman,
tetapi ia bukanlah tanda kedatangan Dajjal. 'Auf bin Malik RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Hitunglah
enam perkara yang akan terjadi menjelang hari Kiamat; - salah satunya ialah - kematian
yang menyerang kamu sekalian bagaikan penyakit yang menyerang kambing sehingga
mati secara tiba-tiba" (HR al-Bukhari no: 3005
dan lain-lain). Ibn Kathir menyatakan, tanda ini
sudah berlaku pada tahun 18H dengan tersebarnya wabak taun ‘Amwas di Syam yang
mengorbankan puluhan ribu nyawa orang Islam, termasuk sahabat2 Nabi SAW. (lihat
al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/202)
Tanda-tanda
Kedatangan Dajjal
Kemunculan
wabak bukanlah salah satu daripada tanda-tanda kedatangan Dajjal. Berdasarkan hadis-hadis
Nabi SAW, kedatangan Dajal hanya berlaku selepas kemunculan Imam al-Mahdi. Jelasnya,
selagi Imam al-Mahdi tidak muncul, maka Dajjal juga tidak akan keluar. Manakala
bila Imam al-Mahdi muncul pula, ia menjadi tanda kepada penyatuan umat Islam di
seluruh dunia kerana mereka akan menjadi satu kuasa besar yang akan digeruni
oleh musuh-musuh Islam. Penyatuan dunia Islam bermakna akan berlakunya perang
besar yang dahsyat antara tentera Islam dengan golongan kafir. Lalu, ketika itu
barulah Dajjal keluar bagi membantu menghancurkan kekuatan tentera Islam. Penjelasannya
secara terperinci adalah sepertimana berikut;
1. Kemunculan Imam
al-Mahdi
Hadis-hadis
tentang kemunculan al-Mahdi di akhir zaman merupakan hadis yang boleh dikatakan
mencapai tahap mutawatir secara makna. Ini kerana ia telah diriwayatkan oleh 33
orang sahabat Nabi SAW dan sejumlah mursal tabiin (lihat al-Mahdi
al-Muntazar oleh Sayyidi ‘Abdullah al-Ghumari). Antara ulama yang awal menyatakan
hukum mutawatirnya ialah Abu al-Hasan al-Sijzi. Kemudian diikuti oleh ramai
ulama hadis seperti al-Qurtubi, al-Mizzi, Ibn al-Qayyim, Ibn Hajar al-‘Asqalani,
al-Sakhawi, al-Suyuti, Ibn Hajar al-Haytami, Mulla ‘Ali al-Qari, Mar‘i ibn
Yusuf, al-Zarqani dan lain-lain. Antara hadis-hadis mengenainya:
عَنْ عَبْدِ اللهِ بن مسعود قَالَ: قَالَ
رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ تَذْهَبُ الدُّنْيَا
حَتَّى يَمْلِكَ العَرَبَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِي.
(رواه الترمذي وقال: وفي الباب عن علي وأبي سعيد وأم سلمة وأبي هريرة، وهذا حديث
حسن صحيح)
Terjemahan: Daripada Ibnu Mas`ud RA bahwa Rasulullah
SAW bersabda: “Dunia ini tidak akan hancur sehingga seorang lelaki daripada
ahli baitku akan menguasai bangsa Arab, namanya sama dengan namaku”. (HR at-Tirmizi
dan katanya: Dalam bab yang sama daripada ‘Ali RA, Abu Sa‘id RA, Umm Salamah RA
dan Abu Hurairah RA, dan ini hadis hasan sahih). Dalam riwayat lain terdapat
tambahan: “Maka, dia akan memenuhi dunia dengan keadilan dan keseimbangan,
sebagaimana sebelumnya ia dipenuhi dengan kejahatan dan kezaliman”. (HR Ibn Abi
Syaibah, al-Tabarani dan al-Hakim)
Daripada ‘Ali RA daripada Nabi SAW sabdanya: “Jika
tidak berbaki daripada hayat dunia ini kecuali sehari saja, nescaya Allah akan membangkitkan
seorang lelaki daripada ahli baitku, dia akan memenuhi dunia dengan keadilan sebagaimana
sebelumnya ia dipenuhi dengan kezaliman”. (HR Ibn Abi Syaibah, Ahmad dan Abu
Dawud dengan sanad sahih)
Daripada Abu Sa‘id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW
bersabda: “Akan keluar dalam kalangan umatku al-Mahdi, di mana Allah akan
menurunkan hujan kepadanya, bumi akan mengeluarkan tumbuhannya, dia akan mengagihkan
harta walaupun kepada orang-orang yang sihat, binatang berkembang biak, umat manusia
semakin ramai, dan dia hidup selama tujuh atau lapan musim haji”. (HR al-Hakim
dan katanya: Sahih sanadnya, serta dipersetujui oleh az-Zahabi)
2.
Berlaku kemarau dan kebuluran dahsyat
روي عن أبي أمامة أن
النبي صلى الله عليه وسلم قال: "إِنَّ قَبْلَ خُرُوجِ الدَّجَّالِ ثَلاَثَ
سَنَوَاتٍ شِدَادٍ يُصِيبُ النَّاسَ فِيهَا جُوعٌ شَدِيدٌ يَأْمُرُ اللَّهُ
السَّمَاءَ فِى السَّنَةِ الأُولَى أَنْ تَحْبِسَ ثُلُثَ مَطَرِهَا وَيَأْمُرُ
الأَرْضَ فَتَحْبِسُ ثُلُثَ نَبَاتِهَا ثُمَّ يَأْمُرُ السَّمَاءَ فِى السَّنَةِ
الثَّانِيَةِ فَتَحْبِسُ ثُلُثَىْ مَطَرِهَا وَيَأْمُرُ الأَرْضَ فَتَحْبِسُ
ثُلُثَىْ نَبَاتِهَا ثُمَّ يَأْمُرُ اللَّهُ السَّمَاءَ فِى السَّنَةِ
الثَّالِثَةِ فَتَحْبِسُ مَطَرَهَا كُلَّهُ فَلاَ تَقْطُرُ قَطْرَةٌ وَيَأْمُرُ
الأَرْضَ فَتَحْبِسُ نَبَاتَهَا كُلَّهُ فَلاَ تُنْبِتُ خَضْرَاءَ فَلاَ تَبْقَى
ذَاتُ ظِلْفٍ إِلاَّ هَلَكَتْ إِلاَّ مَا شَاءَ اللَّهُ". قِيلَ: فَمَا
يُعِيشُ النَّاسَ فِى ذَلِكَ الزَّمَانِ؟ قَالَ: «التَّهْلِيلُ وَالتَّكْبِيرُ
وَالتَّسْبِيحُ وَالتَّحْمِيدُ وَيُجْرَى ذَلِكَ عَلَيْهِمْ مَجْرَى الطَّعَامِ».
(رواه ابن ماجه وابن خزيمة في صحيحه)
Terjemahan:
Diriwayatkan daripada
Abu Umamah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya sebelum keluarnya Dajjal terdapat
tiga tahun yang dahsyat, di mana manusia akan ditimpa kebuluran yang melampau.
Allah memerintahkan langit pada tahun pertama agar menahan satu pertiga
hujannya dan memerintahkan bumi agar menahan satu pertiga tumbuhannya. Kemudian
Allah memerintahkan langit pada tahun kedua agar menahan dua pertiga hujannya
dan memerintahkan bumi agar menahan dua pertiga tumbuhannya. Kemudian Allah
memerintahkan langit pada tahun ketiga agar menahan semua hujannya sehingga
tiada setitik pun yang turun dan memerintahkan bumi agar menahan semua tumbuhannya
sehingga tiada satu pokok hijau pun yang tumbuh. Maka, tiada seekor binatang pun yang tinggal melainkan ia akan binasa kecuali apa
yang dikehendaki oleh Allah”. Ada yang bertanya: Lalu bagaimanakah manusia
hidup pada zaman itu? Jawab baginda: “(Dengan) tahlil, takbir, tasbih dan
tahmid yang berfungsi bagi mereka itu seumpama makanan”. (HR Ibn Majah, Ibn
Khuzaimah dan lain-lain)
3. Terjadi peperangan
besar antara Islam dan Kristian (al-Malhamah al-Kubra)
عن عَوْف
بْن مَالِكٍ قَالَ: أَتَيْتُ النَّبِىَّ - صلى الله عليه وسلم - فِى غَزْوَةِ تَبُوكَ،
وَهْوَ فِى قُبَّةٍ مِنْ أَدَمٍ فَقَالَ: «اعْدُدْ سِتًّا بَيْنَ يَدَىِ
السَّاعَةِ، مَوْتِي، ثُمَّ فَتْحُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ، ثُمَّ مُوتَانٌ يَأْخُذُ
فِيكُمْ كَقُعَاصِ الْغَنَمِ، ثُمَّ اسْتِفَاضَةُ الْمَالِ حَتَّى يُعْطَى
الرَّجُلُ مِائَةَ دِينَارٍ فَيَظَلُّ سَاخِطًا، ثُمَّ فِتْنَةٌ لاَ يَبْقَى
بَيْتٌ مِنَ الْعَرَبِ إِلاَّ دَخَلَتْهُ، ثُمَّ هُدْنَةٌ تَكُونُ بَيْنَكُمْ
وَبَيْنَ بَنِى الأَصْفَرِ فَيَغْدِرُونَ، فَيَأْتُونَكُمْ تَحْتَ ثَمَانِينَ
غَايَةً، تَحْتَ كُلِّ غَايَةٍ اثْنَا عَشَرَ أَلْفًا». وفي رواية: عمران بيت
المقدس، وفي رواية: وفِتنةٌ تكُونُ بَيْنكُم لاَ يبقَى بَيْتُ مُسلِمٍ إلاَّ دَخَلَتْهُ.
(أخرجه البخاري (رقم 3005) وغيره)
Terjemahan:
Daripada 'Auf bin Malik RA berkata: "Aku pernah menemui Nabi SAW
ketika terjadi perang Tabuk dan baginda sedang berada di dalam sebuah khemah yang
terbuat dari kulit. Lalu baginda bersabda: "Hitunglah enam perkara yang
akan terjadi menjelang hari Kiamat; iaitu [i] kematianku, [ii] kemudian pembebasan
Baitul Maqdis (dalam riwayat lain: pemakmuran Baitul Maqdis), [iii] kemudian kematian
yang menyerang kamu sekalian bagaikan penyakit yang menyerang kambing sehingga
mati tiba-tiba, [iv] kemudian melimpahnya harta benda sehingga ada lelaki yang
diberi seratus dinar namun ia masih marah (merasa kurang), [v] kemudian
timbulnya fitnah sehingga tidak ada satupun rumah orang Arab (dalam riwayat
lain: rumah orang Islam) melainkan ia akan memasukinya, [vi] kemudian
perjanjian yang akan berlaku antara kamu sekalian dan bangsa kulit kuning (Bani
al-Asfar iaitu Rom), lalu mereka akan mengkhianati perjanjian tersebut dan mereka
akan datang menghadapi kalian di bawah lapan puluh (80) panji-panji perang, di
bawah setiap panji pula terdiri dari dua belas ribu (12,000) tentera". (HR al-Bukhari no: 3005, dan lain-lain)
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: "لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَنْزِلَ الرُّومُ بِالْأَعْمَاقِ أَوْ بِدَابِقٍ، فَيَخْرُجُ إِلَيْهِمْ جَيْشٌ مِنَ الْمَدِينَةِ، مِنْ خِيَارِ أَهْلِ الْأَرْضِ يَوْمَئِذٍ، فَإِذَا تَصَافُّوا، قَالَتِ الرُّومُ: خَلُّوا بَيْنَنَا وَبَيْنَ الَّذِينَ سَبَوْا مِنَّا نُقَاتِلْهُمْ، فَيَقُولُ الْمُسْلِمُونَ: لَا، وَاللهِ لَا نُخَلِّي بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ إِخْوَانِنَا، فَيُقَاتِلُونَهُمْ، فَيَنْهَزِمُ ثُلُثٌ لَا يَتُوبُ اللهُ عَلَيْهِمْ أَبَدًا، وَيُقْتَلُ ثُلُثُهُمْ، أَفْضَلُ الشُّهَدَاءِ عِنْدَ اللهِ، وَيَفْتَتِحُ الثُّلُثُ، لَا يُفْتَنُونَ أَبَدًا فَيَفْتَتِحُونَ قُسْطَنْطِينِيَّةَ، فَبَيْنَمَا هُمْ يَقْتَسِمُونَ الْغَنَائِمَ، قَدْ عَلَّقُوا سُيُوفَهُمْ بِالزَّيْتُونِ، إِذْ صَاحَ فِيهِمِ الشَّيْطَانُ: إِنَّ الْمَسِيحَ قَدْ خَلَفَكُمْ فِي أَهْلِيكُمْ، فَيَخْرُجُونَ، وَذَلِكَ بَاطِلٌ، فَإِذَا جَاءُوا الشَّأْمَ خَرَجَ، فَبَيْنَمَا هُمْ يُعِدُّونَ لِلْقِتَالِ، يُسَوُّونَ الصُّفُوفَ، إِذْ أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ، فَيَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَمَّهُمْ، فَإِذَا رَآهُ عَدُوُّ اللهِ، ذَابَ كَمَا يَذُوبُ الْمِلْحُ فِي الْمَاءِ، فَلَوْ تَرَكَهُ لَانْذَابَ حَتَّى يَهْلِكَ، وَلَكِنْ يَقْتُلُهُ اللهُ بِيَدِهِ، فَيُرِيهِمْ دَمَهُ فِي حَرْبَتِهِ". (أخرجه مسلم (رقم 2897) والحاكم (رقم 8486) وقال: صحيح على شرط مسلم)
Terjemahan:
Daripada
Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan terjadi hari kiamat
hingga bangsa Rom akan turun berhimpun di A'maq atau Dabiq (dekat Halab, Syria),
lalu keluar menghadapi mereka sekelompok askar dari Madinah antara sebaik-baik
penduduk bumi ketika itu. Maka tatkala mereka berhadapan, bangsa Rom berkata:
'Biarkanlah kami memerangi orang-orang yang mengambil tawanan daripada kami!
'Kaum muslimin menjawab: 'Tidak, demi Allah, kami tak akan membiarkan kalian
memerangi saudara-saudara kami.' Maka terjadilah peperangan antara mereka. Lalu
ada sepertiga yang kalah di mana Allah tak akan mengampuni dosa mereka untuk
selamanya, dan sepertiga lagi terbunuh sebagai sebaik-baik para syuhada' di sisi
Allah, dan sepertiga lagi akan memperolehi kemenangan. Mereka tak akan ditimpa sebarang fitnah selamanya, lalu mereka akan
menakluki Konstantinopel. Kemudian ketika mereka sedang membahagi-bahagi harta
rampasan perang di mana mereka telah menggantungkan pedang-pedang mereka pada
pohon zaitun, tiba-tiba syaitan meneriak terhadap mereka: 'Sesungguhnya al-Masih
(Dajjal) telah muncul dalam kalangan keluarga kalian’, maka mereka pun segera
keluar, sedangkan itu hanyalah satu kebohongan. Apabila mereka
mendatangi Syam, ia pun muncul. Maka ketika mereka sedang mempersiapkan diri
untuk peperangan dan merapikan barisan, tibalah waktu solat. Lalu turunlah Nabi
Isa bin Maryam sallallahu 'alaihi wasallam, lalu ia mengimami mereka. Apabila
musuh Allah (Dajjal) melihatnya, nescaya ia akan mencair sebagaimana garam
mencair di dalam air. Seandainya ia membiarkannya sahaja nescaya ia juga akan
mencair sehingga binasa, akan tetapi Allah ingin membunuhnya dengan tangannya,
lalu baginda memperlihatkan kepada mereka darahnya yang melekat di tombaknya.” [HR.
Muslim no: 2897 dan al-Hakim no: 8486]
Selepas
al-malhamah al-kubra akan berlaku pembukaan Konstantinopel, tanda kemenangan
tentera Islam. Kemenangan dan kekuatan tentera Islam ini yang akan membuatkan
Dajjal muncul untuk bertindak balas menghancurkan mereka.
روي
عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: «عُمْرَانُ
بَيْتِ الْمَقْدِسِ خَرَابُ يَثْرِبَ، وَخَرَابُ يَثْرِبَ خُرُوجُ الْمَلْحَمَةِ،
وَخُرُوجُ الْمَلْحَمَةِ فَتْحُ قُسْطَنْطِينِيَّةَ، وَفَتْحُ
الْقُسْطَنْطِينِيَّةِ خُرُوجُ الدَّجَّالِ». (أخرجه أبو داود (رقم 4294)، وابن
أبي شيبة (رقم 37477)، وأحمد (رقم 22174)، والطبراني (رقم 214))
Terjemahan:
Diriwayatkan
daripada Mu‘az ibn Jabal RA Rasulullah SAW bersabda: "Pemakmuran Baitul
Maqdis merupakan tanda kehancuran Yathrib (Madinah), kehancuran Yathrib merupakan
tanda permulaan al-malhamah, permulaan al-malhamah merupakan
tanda pembebasan Konstantinopel, pembebasan Konstantinopel merupakan tanda
kemunculan Dajjal". (HR Abu Dawud no: 4294,
Ibn Abi Syaybah no: 37477, Ahmad no: 22174 dan al-Tabarani no:
214)
Kesimpulan
Demikianlah
antara tanda2 penting tentang kedatangan Dajjal dan wabak penyakit bukanlah
salah satu daripadanya. Ia hanya salah satu daripada pelbagai tanda hari Kiamat
yang pasti akan tiba. Namun, hanya Allah SWT sahaja yang tahu bilakah masa
sebenarnya. Adapun baginda Nabi SAW hanya memberitakan kepada kita tentang pelbagai
tandanya, sama ada yang kecil mahupun yang besar. Antara tanda-tanda besarnya ialah
kemunculan Imam al-Mahdi, tercetusnya Perang Besar, diikuti dengan kemunculan
Dajjal dan turunnya Nabi ‘Isa AS untuk membunuh Dajjal. Tanda-tanda besar ini
pasti akan muncul menurut urutannya satu persatu, namun bukanlah tugas kita
untuk meramalkan tarikh-tarikhnya kerana kita hanya ditugaskan untuk bersiap
sedia dengan memantapkan iman, meningkatkan amal ibadah dan terus mendekatkan
diri kepada Allah SWT.
Wallahu
a'lam.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.