SOALAN:
Assalamualaikum ustaz. Ada
ramai tertanya-tanya tentang statement hadis: “Larilah daripada penyakit
berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa.”. Boleh ustaz terangkan?
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wrt.
Matan penuh bagi hadis sahih tersebut yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW:
«لاَ عَدْوَى وَلاَ طِيَرَةَ، وَلاَ هَامَةَ
وَلاَ صَفَرَ، وَفِرَّ مِنَ المَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنَ الأَسَدِ» (رواه
البخاري معلقاً، وهو صحيح بطرقه)
Bagaimanapun, berdasarkan penelitian terdapat dua
terjemahan yang berbeza bagi hadis ini:
[i] Pertama, dalam bentuk LARANGAN iaitu: “Tidak
boleh menjangkitkan penyakit, tidak boleh membuat ramalan buruk, tidak boleh percaya
sial burung hantu dan tidak boleh percaya sial bulan Safar, dan larilah daripada
pesakit kusta sebagaimana kamu lari daripada singa.”
[ii] Kedua, dalam bentuk PENAFIAN iaitu: “Tidak
ada penyakit berjangkit, tidak ada ramalan buruk, tidak ada sial burung hantu
dan tidak ada sial bulan Safar, dan larilah daripada pesakit kusta sebagaimana
kamu lari daripada singa.”
Penjelasan:
1. Terjemahan [i]:
Terjemahan [i] adalah berbentuk LARANGAN dan
maksudnya amat jelas tanpa perlu kepada perbahasan lanjut. Antara ulama yang
berpandangan demikian ialah Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah di dalam
ulasannya terhadap kitab al-Masnu‘ fi Ma‘rifah al-Hadith al-Mawdu‘ (h. 47).
Menurutnya, janganlah orang yang sakit berjangkit itu bercampur dengan orang-orang
yang sihat kerana khuatir dia akan menjangkitkan mereka dengan takdir Allah
Taala. Hadis ini jelas berkait antara awal dengan akhirnya dengan cukup sempurna
tanpa terpisah sedikit pun. Maknanya bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:
لَا
يُورِدَنَّ مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍّ. (رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya: “Janganlah pemilik unta yang sakit membawakannya
kepada unta yang sihat.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Nabi SAW juga bersabda:
إِذَا
سَمِعْتُمْ بِالطاعون بِأَرْضٍ فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ
وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْه. (رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya: “Jika kamu mendengar penyakit taun di sesuatu tempat, maka jangan
kamu pergi kepadanya. Jika ia berlaku di sesuatu tempat pula, sedangkan kamu
berada di situ, maka jangan kamu keluar lari daripadanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Nabi SAW juga pernah didatangi sekumpulan orang
daripada Bani Thaqif untuk berbaiah dan salah seorang daripada mereka menghidap
penyakit kusta. Lantas, Nabi SAW mengutus orang kepadanya seraya berpesan:
“Sesungguhnya kami telah membaiah kamu, maka pulanglah” (tanpa bersentuhan
dengannya). (HR Muslim)
2. Terjemahan [ii]
Manakala, terjemahan [ii] adalah berbentuk PENAFIAN
hingga maksudnya menjadi perbincangan hangat di kalangan para ulama kerana wujudnya
penyakit yang berjangkit dan hadis-hadis yang zahirnya menunjukkan demikian.
al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari
membahaskan secara panjang lebar mengenai perselisihan pandangan para ulama
mengenainya. Manakala secara ringkas, beliau menyebut di dalam kitab Nuzhah al-Nazar -pada bahagian mukhtalif
al-hadith- dua pandangan utama berikut (h. 76):
[a] Pertama: “Ibn al-Solah telah memberikan contoh hadis (لا عَدْوَى ولا
طِيَرَةَ) dan
hadis (فِرَّ مِنَ المَجْذُوم
فِرارَكَ مِنَ الأسد)
yang kedua-duanya sahih, sedangkan zahir kedua-duanya bercanggah. Kaedah menghimpunkan
antara kedua-duanya ialah penyakit ini tidak berjangkit dengan tabiinya
sendiri, tetapi Allah SWT telah menjadikan percampuran orang yang sakit dengan
orang sihat itu sebagai SEBAB dia menjangkitkan penyakitnya. Kemudian barangkali
dia boleh terlepas daripada sebabnya itu, sepertimana pada sebab-sebab yang
lain juga. Demikian Ibn al-Solah menyatukan kedua-duanya, mengikut sebagaimana pandangan
ulama lain”.
[b] Kedua (di sisi al-Hafiz Ibn Hajar): “Dan yang lebih utama bagi
menghimpunkan kedua-duanya ialah menyatakan
bahawa penafian baginda SAW terhadap jangkitan itu kekal secara umumnya. Kerana
telah sah sabdanya SAW: “Sesuatu tidak menjangkiti sesuatu yang lain”, dan
sabdanya SAW kepada orang yang berkata bahawa unta yang berpenyakit berada
dalam kalangan unta yang sihat serta bercampur gaul dengannya, lalu semuanya pun
menjadi sakit, maka baginda SAW membalas kepadanya: “Maka, siapa pula yang menjangkitkan
unta yang pertama?” Yakni, Allah SWT yang memulakan penyakit itu pada unta yang
kedua, sepertimana Dia memulakannya pada unta yang pertama. Adapun perintah supaya
lari daripada pesakit kusta pula, maka ia termasuk bab sadd az-zara’i‘ (menyekat
punca berlaku) supaya tidak berbetulan bagi individu yang diuji demikian dengan
takdir Allah SWT pada permulaannya, bukannya dengan jangkitan yang telah
dinafikan, lalu dia menyangka bahawa itu adalah dengan sebab pergaulannya,
lantas dia pun meyakini kebenaran jangkitan penyakit tadi. Maka, mengakibatkan
dia terbabit dalam bahaya (dari segi akidahnya). Justeru, baginda SAW memerintahkan
supaya menjauhinya bagi mengelakkan situasi tersebut”.
Pandangan Lebih Kuat
Bagaimanapun, pentahkik kitab Nuzhah
al-Nazar, Prof. Dr. Nuruddin 'Itr mengulas bahawa pandangan Ibn as-Solah [a]
yang memaknakan hadis sebagai penafian wujudnya penyakit berjangkit dengan tabiinya sendiri, sebenarnya adalah
lebih kuat dan lebih sesuai secara saintifik berbanding pandangan kedua [b] yang
menafikan sama sekali wujudnya penyakit berjangkit. Dalam menolak pandangan
kedua ini, Imam ‘Ali al-Qari mengulas dalam Syarah Nuzhah al-Nazar (h. 373)
bahawa jika seseorang menyangka bahawa penyakit kusta itu terjadi dengan sebab
percampurannya serta meyakini kebenaran jangkitan penyakit itu dengan SEBAB tersebut,
maka tidaklah menjadi masalah.
Jelasnya, terjemahan [i] dan [ii] -berdasarkan pandangan
Ibn as-Solah- bagi hadis yang dipertanyakan di atas hakikatnya dapat difahami
secara selaras, tanpa ada pada kedua-duanya sebarang percanggahan mahupun
penyimpangan dari aspek akidah.
Kata Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih
Muslim: “Menurut jumhur ulama, cara menyatukannya ialah hadis (لَا عَدْوَى)
bermaksud untuk menafikan apa yang didakwa dan dipercayai oleh orang Jahiliyyah
bahawa suatu penyakit itu berjangkit dengan tabii semula jadinya, bukannya
dengan sebab perbuatan Allah Taala. Manakala hadis (لَا يُورِدُ مُمْرِضٌ
عَلَى مُصِحٍّ) menunjukkan
supaya menjauhi perkara yang boleh menyebabkan kemudaratan pada kebiasaannya
melalui perbuatan dan takdir Allah Taala jua. Maka, baginda SAW menafikan dalam
hadis pertama penyakit yang berjangkit dengan tabiinya sendiri, namun tidak
menafikan boleh berlakunya kemudaratan ketika wujudnya penyakit itu dengan takdir
dan perbuatan Allah Taala. Manakala dalam hadis kedua, baginda mengajar supaya
berhati-hati daripada perkara yang boleh menyebabkan kemudaratan dengan
perbuatan, kehendak dan takdir Allah SWT. Maka, apa yang kami sebutkan ini tentang
kesahihan kedua-dua hadis serta cara menyatukan antara kedua-duanya merupakan
pandangan yang benar, yang dipegang oleh jumhur ulama dan amat patut sekali diikuti”.
Kesimpulan
Secara ringkas bagi maksud hadis berkenaan, sesuatu
penyakit itu tidak akan berjangkit dengan sendirinya secara tabii atau semula
jadi, tetapi dengan takdir dan izin Allah SWT jua. Jika Allah SWT tidak
izinkan, maka ia tidak akan berlaku. Allah SWT turut menjadikan SEBAB penyakit
tersebut boleh berjangkit, iaitu melalui percampuran dan pergaulan antara orang
yang sakit dengan orang yang sihat. Justeru itu, baginda SAW memerintahkan
supaya menjauhinya dengan bersungguh-sungguh sehingga mengumpamakannya seperti
orang yang lari daripada singa. Bagaimanakah keadaan seseorang yang lari daripada
singa?
Wallahu a‘lam.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.