Disunatkan semasa kita berdoa kepada Allah
SWT untuk berlindung daripada bala dan seumpamanya agar membalikkan kedua-dua tangan
dengan menjadikan belakang kedua telapak tangan ke arah langit. Meskipun, ada
sebahagian ulama seperti Syekh Ibn Taimiyyah berpendapat tidak perlu
membalikkan tangan sewaktu berdoa sedemikian. Namun, sebahagian ulama lain seperti
sebilangan ulama Syafii berpendapat membalikkan tangan semasa demikian adalah
termasuk sunnah.
Ini berdasarkan beberapa hadis yang menunjukkan
bahawa kita dianjurkan supaya membalikkan tangan semasa berdoa untuk menolak
bala. Antaranya:
[i] Hadis doa istisqa’:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ ((أَنَّ
النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَسْقَى، فَأَشَارَ بِظَهْرِ
كَفَّيْهِ إِلَى السَّمَاءِ)) .رواه مسلم (895)
Terjemahan: Daripada Anas bin Malik RA
berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW pernah berdoa meminta hujan, lalu baginda
mengisyaratkan dengan belakang kedua tapak tangannya ke langit”. (HR Muslim)
Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim
mengulas:
قال جماعة من أصحابنا
وغيرهم: السنة في كل دعاء لرفع بلاء كالقحط ونحوه أن يرفع يديه ويجعل ظهر كفيه إلى
السماء، وإذا دعا لسؤال شيء وتحصيله جعل بطن كفيه إلى السماء، احتجوا بهذا الحديث.
انتهى.
Terjemahan: “Menurut sekumpulan daripada
sahabat kami (ulama Syafii) dan lain-lain: Sunnah pada setiap kali berdoa untuk
menolak bala seperti kemarau dan sebagainya, ia mengangkat kedua tangannya dan
menjadikan belakang kedua telapak tangannya ke langit, namun apabila ia berdoa
untuk meminta dan mendapatkan sesuatu (bukan menolak bala) ia menjadikan perut
kedua telapak tangannya ke langit. Mereka berhujah dengan hadis ini.”
[ii] Dalam satu hadis riwayat Ahmad di dalam
Musnad beliau, perkara ini jelas disebutkan seperti berikut;
روي عن خلاد بن السائب الأنصاري، ((أن النبي صلي الله عليه
وسلم كان إذا سأل جعل باطن كفيه إليه، وإذا استعاذ جعل ظهرهما إليه)). رواه أحمد بسند
فيه مقال.
Terjemahan: Diriwayatkan daripada Khallad bin
al-Sa’ib al-Ansari RA berkata: Sesungguhnya Nabi SAW apabila memohon kepada
Allah, baginda menjadikan perut kedua tapak tangannya ke arahnya (menadah tangan)
dan apabila memohon perlindungan pula baginda menjadikan belakang kedua tapak tangannya
ke arahnya. (HR Ahmad. Kata al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id: “Diriwayatkan
oleh Ahmad secara mursal dan isnadnya hasan”, meskipun pada sanadnya terdapat
Ibn Lahi‘ah, perawi yang masyhur dipertikaikan)
[iii] Dalil secara istinbat daripada hadis
berikut;
عَنْ مَالِكِ بْنِ يَسَارٍ
السَّكُونِيِّ رضي الله عنه، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ قَالَ: ((إِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ بِبُطُونِ أَكُفِّكُمْ،
وَلَا تَسْأَلُوهُ بِظُهُورِهَا)). رواه أبو داود (1486) بسند صحيح. قلت: فقوله: (وَلَا
تَسْأَلُوهُ بِظُهُورِهَا) أي لكون ظهورها للتعوّذ به تعالى، وأما السؤال فيكون
ببطونها.
Terjemahan: Daripada Malik bin Yasar
as-Sakuni RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu memohon kepada Allah,
maka mohonlah kepadaNya dengan perut kedua tapak tangan kamu (menadah tangan)
dan janganlah kamu mohon kepadaNya dengan belakang kedua tapak tangan kamu”.
(HR Abu Dawud dengan sanad yang sahih)
Maknanya, ungkapan: “…janganlah kamu mohon kepadaNya
dengan belakang kedua tapak tangan kamu” kerana belakang kedua tapak tangan itu
adalah khas untuk memohon perlindungan dengan Allah SWT daripada bala dan
seumpamanya. Adapun untuk meminta sesuatu kepada Allah SWT, maka adalah dengan
cara menadahkan kedua tapak tangan.
Perkara ini adalah sunat sahaja menurut
sebahagian ulama. Jika ada yang tidak melakukannya pun tidak menjadi masalah. Kerana
dalam kalangan ulama Salaf juga sudah terjadi keragaman pandangan mengenainya. Yang
menjadi masalah ialah apabila ada pihak yang mempertikaikan tanpa ilmu orang yang
melakukannya.
Wallahu a‘lam.
*Tambahan:
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.