Matlamat yang baik dalam berdakwah tidak menghalalkan
kita untuk menyampaikan perkara yang tidak tepat, salah atau sekadar rekaan. Hadis
mengenai ‘suara keras’ yang kononnya akan berlaku pada tanggal 15
Ramadhan tahun ini (8 Mei 2020) yang jatuh pada hari Jumaat telah dijelaskan sebelum
ini sebagai hadis yang tidak sahih atau palsu. (lihat entri terdahulu:
https://sawanih.blogspot.com/2020/04/ulasan-hadis-suara-keras-di-bulan.html)
Meskipun terdapat hadis-hadis
lain yang menyebut tentang ‘suara atau bunyi keras’ secara umum, namun tiada satu
riwayat pun yang menyebut ianya sebagai Dukhan (asap), salah satu tanda besar
hari Kiamat. Oleh kerana kurang mengkaji dan meneliti, maka dengan berpegang
kepada hadis palsu tersebut, ada yang menetapkan bahawa peristiwa yang bakal
berlaku pada 15 Ramadhan itu ialah Dukhan (asap)!
Benarkah demikian? Kekurangan dalam
mengkaji dan meneliti seperti ini sering menyebabkan berlaku banyak percampuran
fakta yang akhirnya melahirkan maklumat yang silap dan tidak benar sama sekali.
Lebih parah apabila maklumat yang salah ini disebarkan oleh mereka yang ucapannya
didengar oleh masyarakat awam.
Dukhan Termasuk 10 Tanda Besar
Kita tidak menafikan akan munculnya
Dukhan (asap) di akhir zaman, namun menetapkan Dukhan akan muncul pada tarikh tertentu
tersebut hanyalah daripada sangkaan semata-mata dan tidak bersandar kepada
dalil yang kuat. Kemunculan Dukhan ada disebut dalam hadis yg sahih, sedangkan
kemunculan ‘suara atau bunyi keras’ pada 15 Ramadhan itu bersandarkan kepada hadis
yang palsu.
Jika sahih sekalipun hadis-hadis lain
tentang kemunculan ‘suara atau bunyi keras’ pada bulan Ramadhan itu, maka ia menjadi
petanda hampirnya kemunculan Imam al-Mahdi dan bukannya petanda besar hampirnya
hari Kiamat. Sedangkan kemunculan Dukhan merupakan petanda besar bagi hari
Kiamat berdalilkan hadis sahih daripada Huzaifah bin Asid al-Ghifari RA
katanya: Sabda Nabi SAW:
إِنَّ السَّاعَةَ لَنْ تَقُومَ حَتَّى
تَرَوْنَ قَبْلَهَا عَشْرَ آيَاتٍ - فَذَكَرَ - الدُّخَانَ، وَالدَّجَّالَ،
وَالدَّابَّةَ، وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنُزُولَ عِيسَى ابْنِ
مَرْيَمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَيَأَجُوجَ وَمَأْجُوجَ، وَثَلَاثَةَ
خُسُوفٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ
الْعَرَبِ، وَآخِرُ ذَلِكَ نَارٌ تَخْرُجُ مِنَ الْيَمَنِ، تَطْرُدُ النَّاسَ
إِلَى مَحْشَرِهِمْ. (رواه مسلم والترمذي، وأبو داود وابن ماجه)
Maksudnya :
“Sesungguhnya hari Kiamat
tidak akan berlaku sehingga kamu lihat sebelumnya sepuluh tanda besar, iaitu Dukhan
(asap), Dajjal, ad-Dabbah (seekor haiwan yang keluar drpd bumi), terbit
matahari dari Barat, tanah tenggelam di Timur, turunnya ‘Isa bin Maryam AS, Ya’juj
dan Ma’juj, tiga kejadian tanah tenggelam;
tanah
tenggelam di Timur, tanah tenggelam di Barat dan tanah tenggelam di semenanjung
Arab. Akhir sekali ialah api yang keluar dari sebelah Yaman yang akan menghalau
umat manusia ke tempat perhimpunan mereka”. (HR Muslim, al-Tirmizi, Abu Dawud
dan Ibn Majah)
Asas Dakwaan
Kemungkinan dakwaan ‘suara
atau bunyi keras’ itu sebagai Dukhan (asap) berpunca daripada riwayat-riwayat
yang difahami secara keliru, seperti riwayat
Ibn Abi Mulaikah katanya: “Aku pernah pergi berjumpa
Ibn ‘Abbas RA pd suatu hari”, lalu beliau berkata: “Aku tidak dapat tidur malam
tadi sehinggalah pagi”. Aku bertanya: “Kenapa?” Jawabnya: “Orang-orang mengatakan
ada bintang berekor (komet) telah muncul, maka aku khuatir Dukhan telah muncul.
Lalu aku pun tidak dapat tidur sehingga pagi”. (HR ‘Abd al-Razzaq, Ibn Jarir
dlm Tafsirnya, Ibn Abi Hatim dan al-Hakim, katanya: “Sahih menurut syarat
Syaikhain”. Menurut Ibn Kathir, ia sanad yg sahih kepada Ibn ‘Abbas RA).
Bagaimanapun menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath
al-Bari: “Aku khuatir ini merupakan tashif (kesilapan ejaan dlm
riwayat berkenaan), tetapi yang sebenar ialah ‘Dajjal’ (bukan ‘Dukhan’)”. Jika sabit
sekalipun perkataan ‘Dukhan’ itu, ia hanya suatu sangkaan dan tidak menetapkan
bahawa bintang berekor (komet) itu akan menyebabkan Dukhan kerana kemunculannya
juga sudah terjadi berulang kali selepas itu.
Kemungkinan juga dakwaan itu bersandarkan
kepada satu riwayat yang agak lemah dan tidak dapat dipegang, yang mengaitkan
antara langit dengan Dukhan, daripada Huzaifah bin al-Yaman RA katanya: “Ya
Rasulullah, apakah Dukhan itu?” Lalu Rasulullah SAW membaca ayat ini:
فَٱرۡتَقِبۡ يَوۡمَ تَأۡتِي ٱلسَّمَآءُ بِدُخَانٖ
مُّبِينٖ يَغۡشَى ٱلنَّاسَۖ هَٰذَا عَذَابٌ أَلِيمٞ
Terjemahan: “Oleh
itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas
nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat), yang akan menimpa seluruh
keadaan manusia (yang kafir itu), sehingga mereka akan berkata: Ini adalah azab
yang sungguh menyakitkan” (ad-Dukhan: 10-11). Ia akan memenuhi antara Timur dan
Barat, kekal selama 40 hari dan malam. Adapun orang mukmin, maka ia akan
menimpanya seperti keadaan selesema. Adapun orang kafir, maka ia menjadi seumpama
orang mabuk, ia keluar dari hidung, telinga dan duburnya”. (HR Ibn Jarir al-Tabari dlm
Tafsirnya, namun menurutnya ia tidak sahih (25/68). Menurut Ibn Kathir dlm Tafsirnya,
ia maudhu‘ dengan sanad ini. Kata al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari:
Sanadnya daif)
Apakah Dukhan?
Tidak banyak hadis sahih yang
menyebut tentang Dukhan (asap) secara terperinci. Ia disebut secara ringkas di dalam
hadis yang sahih, dan secara sedikit terperinci di dalam hadis-hadis yang daif seperti
berikut;
1. Hadis Abu Malik
al-Asy‘ari RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Tuhan kalian telah
memperingatkan kalian tiga perkara, iaitu; Dukhan yang akan
menimpa orang mukmin seperti
selesema dan menimpa orang kafir, lalu ia memenuhi tubuhnya
sehingga keluar dari setiap rongga telinganya. Kedua, ad-Dabbah dan ketiga, Dajjal.” (HR Ibn
Jarir al-Tabari dlm Tafsirnya dan al-Tabarani dlm al-Kabir. Menurut
Ibn Kathir, ia sanad yang baik. Namun, sanadnya terputus, justeru kata al-Hafiz
Ibn Hajar dlm Fath al-Bari: Sanadnya daif)
2. Hadis Abu Sa‘id
al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dukhan akan menyelebungi umat
manusia. Adapun orang mukmin, ia akan menimpanya seperti selesema. Adapun orang kafir, maka ia akan memenuhi
tubuhnya sehingga keluar dari setiap rongga telinganya”. (HR Ibn Abi Hatim. Namun,
Ibn Abi ‘Arubah meriwayatkannya drpd kata-kata Abu Sa‘id al-Khudri RA sahaja. Kata
al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari: Sanadnya daif)
3. Hadis Huzaifah
bin al-Yaman RA yang menyebut: “Dukhan akan memenuhi antara Timur dan
Barat, kekal selama 40 hari dan malam. Adapun org mukmin, maka ia akan
menimpanya seperti keadaan selesema. Adapun orang kafir, maka ia menjadi seumpama
orang mabuk, ia keluar dari hidung, telinga dan duburnya”. al-Tabari menilai hadis ini sebagai tidak
sahih. Ibn Kathir pula menilai sanadnya maudhu‘. Manakala al-Hafiz Ibn
Hajar dlm Fath al-Bari hanya menilai sanadnya daif, namun menurut beliau,
jika sabit hadis Huzaifah RA ini, kemungkinan orang yang dibantahi kata-katanya
dalam hadis Ibn Mas‘ud RA ialah Huzaifah RA yang berkata: “Sesungguhnya akan
keluar drpd bumi Dukhan, lalu akan memasuki rongga telinga orang kafir dan akan menimpa
orang mukmin seperti keadaan selesema.” (HR at-Tirmizi dan katanya: Hasan sahih)
5. Athar ‘Ali bin
Abi Talib RA kata beliau: “Tanda Dukhan belum lagi berlalu, yang akan menimpa
orang mukmin seperti keadaan selesema dan memenuhi tubuh orang kafir sehingga ia keluar semula (dari setiap
rongganya)”. (HR ‘Abd al-Razzaq dan Ibn Abi Hatim. Demikian disebut dlm Fath
al-Bari)
Meskipun kebanyakan riwayat ini daif, namun al-Hafiz
Ibn Hajar dlm Fath al-Bari merumuskan: “Banyaknya hadis-hadis ini
menunjukkan bahawa yang demikian itu ada asalnya.” Maksudnya, kadar makna yang
disepakati dalam riwayat-riwayat tersebut saja yang boleh dijadikan dalil, iaitu
Dukhan ini akan memudaratkan orang kafir, namun tidak begitu memudaratkan orang
mukmin. Justeru, dakwaan yang mengatakan Dukhan ialah “asap tebal
yang gelap selama 40 Hari 40 Malam yang sangat panas dan gelap gelita”, dan
“Dukhan membuat kita kehabisan air dan air menjadi kotor sehinggakan mesin
membersihkan air tidak mampu bertahan”, kesemuanya ini hanya dakwaan,
rekaan dan percubaan untuk memperincikannya, berlandaskan riwayat-riwayat yang kebanyakannya
tadi adalah daif.
Covid-19 dan Dukhan
Antara yang menghairankan,
dakwaan tersebut cuba mengaitkan pula Dukhan dengan wabak Covid-19 yang sedang
melanda masa kini. Menurut dakwaan itu, “Beberapa ustadz mengatakan bahawa
"sebelum datang Dukhan ada virus yang membunuh akan menakluki bumi", tarikh
ceramah: 13/10/2019. Tarikh ini sebelum berlakunya virus Covid-19. Ternyata
seperti benar!” Dakwaan yang tidak berasas seperti ini tentunya boleh
menyebabkan keresahan dan kegusaran kepada masyarakat, sedangkan ia tidak
disandarkan kepada sebarang dalil.
Tiada riwayat yang menyebut sebarang
tanda sebelum kemunculan Dukhan, malah para ulama berselisih pendapat mengenai
kedudukan Dukhan dalam susunan tanda-tanda besar Kiamat yang sepuluh. Imam
Muslim sendiri di dalam
Sahihnya, mempunyai dua riwayat yang berbeza dari
segi susunannya. [i] Riwayat pertama menyebut yang mula-mula ialah Dukhan (asap),
kemudian Dajjal, ad-Dabbah (atau
Dabbat al-Ardh), terbit matahari dari
Barat, turunnya ‘Isa AS, keluarnya Ya’juj dan Ma’juj,
tiga
kejadian tanah tenggelam dan api yang menghalau manusia ke tempat perhimpunan
mereka. [ii] Manakala riwayat kedua menyebut yang mula-mula ialah tiga kejadian
tanah tenggelam, Dukhan (asap), kemudian Dajjal, ad-Dabbah, Ya’juj dan Ma’juj, terbit
matahari dari Barat, api yg menghalau manusia dan turunnya ‘Isa AS.
Malah ada pelbagai lagi versi riwayat yang
lain. Kesemua riwayat ini hanya bermaksud untuk menghimpunkan perkhabaran
mengenai perkara-perkara tersebut semata-mata dan bukannya bertujuan untuk menentukan
penyusunannya. Malah, berdasarkan dalil-dalil lain, tanda-tanda besar Kiamat tidak
terbatas kepada 10 perkara tersebut kerana masih ada lagi tanda-tanda yang lain,
seperti kemunculan Imam al-Mahdi dan perang besar (al-malhamah al-kubra)
yang akan tercetus di zamannya. Ini menjadikan kemunculan Dukhan tidak jelas
tempoh masanya, adakah ia sebelum kemunculan al-Mahdi ataupun selepasnya?
Berdasarkan hadis-hadis yang sabit dan
perbahasannya di dalam kitab-kitab seperti kitab Fath al-Bari oleh
al-Hafiz Ibn Hajar, al-Tazkirah oleh al-Qurtubi, Tuhfat al-Ahwazi
oleh al-Mubarakpuri dan sumber-sumber lain, susunan tanda-tanda besar Kiamat menurut
kadar yang disepakati, mesti didahului dengan [i] kemunculan Imam al-Mahdi, [ii]
diikuti perang besar (al-malhamah al-kubra), [iii] kemudian Dajjal,
[iv] turunnya ‘Isa AS, [v] Ya’juj dan Ma’juj, seterusnya [vi] ad-Dabbah atau [vii]
terbit matahari dari Barat dan [viii] api yang akan menghalau umat manusia.
Adapun Dukhan (asap) dan tiga
kejadian tanah tenggelam di Timur, Barat dan semenanjung Arab, maka ia diperselisihkan
oleh para ulama dari segi kedudukan susunannya, sama ada di awal, di tengah ataupun di akhir.
Hanya Allah SWT saja yang lebih mengetahui.
Kesimpulan
Ringkasnya, dakwaan yang mengatakan Dukhan
akan muncul pada hari Jumaat tanggal
15 Ramadhan adalah dakwaan yang hanya disandarkan kepada prasangka dan hadis
palsu yang kononnya akan muncul ‘suara atau bunyi keras’ pada tarikh itu. Ianya
jelas tidak berlandaskan kepada dalil yang kuat, tanpa kita menafikan kudrat
dan ilmu Allah SWT mengenainya. Menyeru masyarakat untuk bertaubat dan berbuat
amal soleh merupakan satu tujuan yang baik, namun tidak sepatutnya perlu
dilakukan dengan dakwaan-dakwaan yang tidak jelas, direka atau tidak berasas
sama sekali.
Wallahu a‘lam.