Pages

Saturday, April 25, 2020

Dr. Mohd. Faisal bin Mohamed رحمه الله تعالى



إنا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Seorang lagi sahabat kami, Dr. Mohd. Faisal bin Mohamed, 39, pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM, telah kembali ke rahmatullah pada waktu Maghrib, masuk 2 hb. Ramadan 1441H (24 April 2020). Beliau dikhabarkan jatuh ketika sedang mengambil wuduk untuk menunaikan solat Maghrib setelah berbuka puasa, lalu menghembuskan nafas terakhirnya.

Beliau merupakan seorang yang sangat rajin dan cintakan ilmu pengetahuan. Beliau asalnya adalah pelajar sarjana muda bidang Mechanical Engineering di UTM dan berjaya lulus pada tahun 2005. Namun semasa peringkat itu, sudah berlaku titik peralihan yang cukup besar di dalam hidup beliau, yang membuatkan beliau beralih ke bidang pengajian Islam. Dengan usaha dan kesungguhannya, beliau mengambil pengajian peringkat diploma secara mu‘adalah yang membolehkannya ke Universiti al-Azhar, Mesir di dalam jurusan Syariah Islam. Dalam masa yang singkat, beliau berjaya memperolehi sarjana muda keduanya pada tahun 2007.     

Setelah meraih sarjana muda Syariah al-Azhar, beliau kembali ke tanah air dan meneruskan pula pengajiannya ke peringkat Master dalam bidang Tasawwuf, Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, UM. Setelah selesai pada tahun 2007, beliau meneruskan lagi pengajiannya ke peringkat PhD dalam bidang Ekonomi Islam di Jabatan Syariah, UM sehingga selesai pada tahun 2012. Pada masa tersebut, beliau sudah pun berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).     

Sepanjang tempoh beliau di KUIS, selama perkenalan saya dengannya, beliau amat giat mengikuti kelas-kelas pengajian talaqqi sehingga beliau dikenali oleh ramai para guru, ustaz dan para penuntut ilmu yang lain. Dengan kesungguhannya, beliau telah berjaya mengkhatamkan banyak kitab turath dengan ramai ulama tempatan mahupun ulama luar yang datang berkunjung ke Malaysia. Antaranya, beliau telah berjaya mengkhatamkan al-Kutub as-Sittah berserta ijazah sanad.

Tidak berapa lama selepas memperolehi PhD, beliau berpindah tugas pula sebagai pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM. Di samping mengajar dan tugasan lainnya, beliau sekali lagi mendaftarkan diri untuk PhD keduanya dalam bidang falsafah sains Islam di USIM dengan tajuk kajian: The Philosophy of Islamic Science in Sahih al-Bukhari. Beliau sudah pun menyiapkan tesisnya dan sedang menunggu untuk proses viva.  

Di USIM, sebagaimana juga sebelumnya di KUIS, beliau giat berusaha menghidupkan budaya pengajian kitab turath secara talaqqi dan memperkenalkannya kepada masyarakat. Kali terakhir kami duduk talaqqi bersama ialah pada tahun lepas semasa bertalaqqi “Matan Tashil al-Turuqat li Nazm al-Waraqat li al-‘Amriti” dalam ilmu usul al-fiqh yang disampaikan oleh Prof. Dr. Mustafa Dib al-Bugha حفظه الله تعالى di Pusat Islam, USIM.

Beliau juga aktif mengisi kuliah-kuliah Maghrib di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan. Dalam gerakan kemasyarakatan, beliau adalah ahli Pertubuhan Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia (ISLAMI).  

Antara aktiviti yang beliau minati ialah mengembara bagi melihat negara orang dan menimba pengalaman baru. Beliau sudah menjelajah ke banyak negara di serata dunia seperti negara-negara Eropah, Cina, Australia dan sebagainya, selain negara-negara Arab. Rancangan terakhir beliau ialah untuk ke Istanbul, Turki sebagai pensyarah pelawat selama 6 bulan di sana, namun hajatnya tidak kesampaian disebabkan kesihatan beliau.  

Perjalanan hidup beliau bagi saya cukup luar biasa, daripada seorang yang berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal sehingga menjadi seorang alim yang pakar dalam pelbagai bidang pengajian Islam. Dari segi keperibadiannya, beliau dikenali sebagai seorang yang cepat mesra, suka merendah diri dan tidak suka menonjol. Sejak bulan Disember tahun lepas, beliau sering sakit perut, dada dan sesak nafas. Sejak itu juga, beliau kerap demam, batuk dan muntah.

Jenazah beliau dibawa ke kampung halamannya di Temerloh, Pahang dan dikebumikan di sana. Semoga dengan keberkatan hari Jumaat, bulan Ramadhan serta sifat sabar beliau dengan penyakitnya dan wabak Covid-19, beliau mendapat husn al-khatimah. Semoga Allah SWT mengampuninya, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya bersama para syuhada' dan para solihin. Amin…




Monday, April 6, 2020

Dukhan, 15 Ramadhan dan Covid-19


Matlamat yang baik dalam berdakwah tidak menghalalkan kita untuk menyampaikan perkara yang tidak tepat, salah atau sekadar rekaan. Hadis mengenai ‘suara keras’ yang kononnya akan berlaku pada tanggal 15 Ramadhan tahun ini (8 Mei 2020) yang jatuh pada hari Jumaat telah dijelaskan sebelum ini sebagai hadis yang tidak sahih atau palsu. (lihat entri terdahulu: https://sawanih.blogspot.com/2020/04/ulasan-hadis-suara-keras-di-bulan.html)

Meskipun terdapat hadis-hadis lain yang menyebut tentang ‘suara atau bunyi keras’ secara umum, namun tiada satu riwayat pun yang menyebut ianya sebagai Dukhan (asap), salah satu tanda besar hari Kiamat. Oleh kerana kurang mengkaji dan meneliti, maka dengan berpegang kepada hadis palsu tersebut, ada yang menetapkan bahawa peristiwa yang bakal berlaku pada 15 Ramadhan itu ialah Dukhan (asap)!

Benarkah demikian? Kekurangan dalam mengkaji dan meneliti seperti ini sering menyebabkan berlaku banyak percampuran fakta yang akhirnya melahirkan maklumat yang silap dan tidak benar sama sekali. Lebih parah apabila maklumat yang salah ini disebarkan oleh mereka yang ucapannya didengar oleh masyarakat awam.

Dukhan Termasuk 10 Tanda Besar

Kita tidak menafikan akan munculnya Dukhan (asap) di akhir zaman, namun menetapkan Dukhan akan muncul pada tarikh tertentu tersebut hanyalah daripada sangkaan semata-mata dan tidak bersandar kepada dalil yang kuat. Kemunculan Dukhan ada disebut dalam hadis yg sahih, sedangkan kemunculan ‘suara atau bunyi keras’ pada 15 Ramadhan itu bersandarkan kepada hadis yang palsu.

Jika sahih sekalipun hadis-hadis lain tentang kemunculan ‘suara atau bunyi keras’ pada bulan Ramadhan itu, maka ia menjadi petanda hampirnya kemunculan Imam al-Mahdi dan bukannya petanda besar hampirnya hari Kiamat. Sedangkan kemunculan Dukhan merupakan petanda besar bagi hari Kiamat berdalilkan hadis sahih daripada Huzaifah bin Asid al-Ghifari RA katanya: Sabda Nabi SAW:
إِنَّ السَّاعَةَ لَنْ تَقُومَ حَتَّى تَرَوْنَ قَبْلَهَا عَشْرَ آيَاتٍ - فَذَكَرَ - الدُّخَانَ، وَالدَّجَّالَ، وَالدَّابَّةَ، وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنُزُولَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَيَأَجُوجَ وَمَأْجُوجَ، وَثَلَاثَةَ خُسُوفٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ، وَآخِرُ ذَلِكَ نَارٌ تَخْرُجُ مِنَ الْيَمَنِ، تَطْرُدُ النَّاسَ إِلَى مَحْشَرِهِمْ. (رواه مسلم والترمذي، وأبو داود وابن ماجه)
Maksudnya : 
“Sesungguhnya hari Kiamat tidak akan berlaku sehingga kamu lihat sebelumnya sepuluh tanda besar, iaitu Dukhan (asap), Dajjal, ad-Dabbah (seekor haiwan yang keluar drpd bumi), terbit matahari dari Barat, tanah tenggelam di Timur, turunnya ‘Isa bin Maryam AS, Ya’juj dan Ma’juj, tiga kejadian tanah tenggelam; tanah tenggelam di Timur, tanah tenggelam di Barat dan tanah tenggelam di semenanjung Arab. Akhir sekali ialah api yang keluar dari sebelah Yaman yang akan menghalau umat manusia ke tempat perhimpunan mereka”. (HR Muslim, al-Tirmizi, Abu Dawud dan Ibn Majah)     

Asas Dakwaan

Kemungkinan dakwaan ‘suara atau bunyi keras’ itu sebagai Dukhan (asap) berpunca daripada riwayat-riwayat yang difahami secara keliru, seperti riwayat Ibn Abi Mulaikah katanya: “Aku pernah pergi berjumpa Ibn ‘Abbas RA pd suatu hari”, lalu beliau berkata: “Aku tidak dapat tidur malam tadi sehinggalah pagi”. Aku bertanya: “Kenapa?” Jawabnya: “Orang-orang mengatakan ada bintang berekor (komet) telah muncul, maka aku khuatir Dukhan telah muncul. Lalu aku pun tidak dapat tidur sehingga pagi”. (HR ‘Abd al-Razzaq, Ibn Jarir dlm Tafsirnya, Ibn Abi Hatim dan al-Hakim, katanya: “Sahih menurut syarat Syaikhain”. Menurut Ibn Kathir, ia sanad yg sahih kepada Ibn ‘Abbas RA).

Bagaimanapun menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari: “Aku khuatir ini merupakan tashif (kesilapan ejaan dlm riwayat berkenaan), tetapi yang sebenar ialah ‘Dajjal’ (bukan ‘Dukhan’)”. Jika sabit sekalipun perkataan ‘Dukhan’ itu, ia hanya suatu sangkaan dan tidak menetapkan bahawa bintang berekor (komet) itu akan menyebabkan Dukhan kerana kemunculannya juga sudah terjadi berulang kali selepas itu.   

Kemungkinan juga dakwaan itu bersandarkan kepada satu riwayat yang agak lemah dan tidak dapat dipegang, yang mengaitkan antara langit dengan Dukhan, daripada Huzaifah bin al-Yaman RA katanya: “Ya Rasulullah, apakah Dukhan itu?” Lalu Rasulullah SAW membaca ayat ini:
فَٱرۡتَقِبۡ يَوۡمَ تَأۡتِي ٱلسَّمَآءُ بِدُخَانٖ مُّبِينٖ يَغۡشَى ٱلنَّاسَۖ هَٰذَا عَذَابٌ أَلِيمٞ 
Terjemahan: “Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat), yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu), sehingga mereka akan berkata: Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan” (ad-Dukhan: 10-11). Ia akan memenuhi antara Timur dan Barat, kekal selama 40 hari dan malam. Adapun orang mukmin, maka ia akan menimpanya seperti keadaan selesema. Adapun orang kafir, maka ia menjadi seumpama orang mabuk, ia keluar dari hidung, telinga dan duburnya”. (HR Ibn Jarir al-Tabari dlm Tafsirnya, namun menurutnya ia tidak sahih (25/68). Menurut Ibn Kathir dlm Tafsirnya, ia maudhu‘ dengan sanad ini. Kata al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari: Sanadnya daif)

Apakah Dukhan?

Tidak banyak hadis sahih yang menyebut tentang Dukhan (asap) secara terperinci. Ia disebut secara ringkas di dalam hadis yang sahih, dan secara sedikit terperinci di dalam hadis-hadis yang daif seperti berikut;

1.     Hadis Abu Malik al-Asy‘ari RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Tuhan kalian telah memperingatkan kalian tiga perkara, iaitu; Dukhan yang akan menimpa orang mukmin seperti selesema dan menimpa orang kafir, lalu ia memenuhi tubuhnya sehingga keluar dari setiap rongga telinganya. Kedua, ad-Dabbah dan ketiga, Dajjal.” (HR Ibn Jarir al-Tabari dlm Tafsirnya dan al-Tabarani dlm al-Kabir. Menurut Ibn Kathir, ia sanad yang baik. Namun, sanadnya terputus, justeru kata al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari: Sanadnya daif)  

2.     Hadis Abu Sa‘id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dukhan akan menyelebungi umat manusia. Adapun orang mukmin, ia akan menimpanya seperti selesema. Adapun orang kafir, maka ia akan memenuhi tubuhnya sehingga keluar dari setiap rongga telinganya”. (HR Ibn Abi Hatim. Namun, Ibn Abi ‘Arubah meriwayatkannya drpd kata-kata Abu Sa‘id al-Khudri RA sahaja. Kata al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari: Sanadnya daif)  

3.     Hadis Huzaifah bin al-Yaman RA yang menyebut: “Dukhan akan memenuhi antara Timur dan Barat, kekal selama 40 hari dan malam. Adapun org mukmin, maka ia akan menimpanya seperti keadaan selesema. Adapun orang kafir, maka ia menjadi seumpama orang mabuk, ia keluar dari hidung, telinga dan duburnya”. al-Tabari menilai hadis ini sebagai tidak sahih. Ibn Kathir pula menilai sanadnya maudhu‘. Manakala al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari hanya menilai sanadnya daif, namun menurut beliau, jika sabit hadis Huzaifah RA ini, kemungkinan orang yang dibantahi kata-katanya dalam hadis Ibn Mas‘ud RA ialah Huzaifah RA yang berkata: “Sesungguhnya akan keluar drpd bumi Dukhan, lalu akan memasuki rongga telinga orang kafir dan akan menimpa orang mukmin seperti keadaan selesema.” (HR at-Tirmizi dan katanya: Hasan sahih)  

4.     Athar ‘Abdullah bin ‘Umar RA kata beliau: “Dukhan akan keluar, lalu menimpa orang mukmin seperti keadaan selesema dan memasuki rongga telinga orang kafir dan munafik sehingga ia menjadi seperti kepala yang dipanggang” (HR Ibn Jarir dlm Tafsirnya. Kata al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari: Sanadnya daif)


5.     Athar ‘Ali bin Abi Talib RA kata beliau: “Tanda Dukhan belum lagi berlalu, yang akan menimpa orang mukmin seperti keadaan selesema dan memenuhi tubuh orang kafir sehingga ia keluar semula (dari setiap rongganya)”. (HR ‘Abd al-Razzaq dan Ibn Abi Hatim. Demikian disebut dlm Fath al-Bari)

Meskipun kebanyakan riwayat ini daif, namun al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari merumuskan: “Banyaknya hadis-hadis ini menunjukkan bahawa yang demikian itu ada asalnya.” Maksudnya, kadar makna yang disepakati dalam riwayat-riwayat tersebut saja yang boleh dijadikan dalil, iaitu Dukhan ini akan memudaratkan orang kafir, namun tidak begitu memudaratkan orang mukmin. Justeru, dakwaan yang mengatakan Dukhan ialah “asap tebal yang gelap selama 40 Hari 40 Malam yang sangat panas dan gelap gelita”, dan “Dukhan membuat kita kehabisan air dan air menjadi kotor sehinggakan mesin membersihkan air tidak mampu bertahan”, kesemuanya ini hanya dakwaan, rekaan dan percubaan untuk memperincikannya, berlandaskan riwayat-riwayat yang kebanyakannya tadi adalah daif.

Covid-19 dan Dukhan

Antara yang menghairankan, dakwaan tersebut cuba mengaitkan pula Dukhan dengan wabak Covid-19 yang sedang melanda masa kini. Menurut dakwaan itu, “Beberapa ustadz mengatakan bahawa "sebelum datang Dukhan ada virus yang membunuh akan menakluki bumi", tarikh ceramah: 13/10/2019. Tarikh ini sebelum berlakunya virus Covid-19. Ternyata seperti benar!” Dakwaan yang tidak berasas seperti ini tentunya boleh menyebabkan keresahan dan kegusaran kepada masyarakat, sedangkan ia tidak disandarkan kepada sebarang dalil.  

Tiada riwayat yang menyebut sebarang tanda sebelum kemunculan Dukhan, malah para ulama berselisih pendapat mengenai kedudukan Dukhan dalam susunan tanda-tanda besar Kiamat yang sepuluh. Imam Muslim sendiri di dalam Sahihnya, mempunyai dua riwayat yang berbeza dari segi susunannya. [i] Riwayat pertama menyebut yang mula-mula ialah Dukhan (asap), kemudian Dajjal, ad-Dabbah (atau Dabbat al-Ardh), terbit matahari dari Barat, turunnya ‘Isa AS, keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, tiga kejadian tanah tenggelam dan api yang menghalau manusia ke tempat perhimpunan mereka. [ii] Manakala riwayat kedua menyebut yang mula-mula ialah tiga kejadian tanah tenggelam, Dukhan (asap), kemudian Dajjal, ad-Dabbah, Ya’juj dan Ma’juj, terbit matahari dari Barat, api yg menghalau manusia dan turunnya ‘Isa AS.

Malah ada pelbagai lagi versi riwayat yang lain. Kesemua riwayat ini hanya bermaksud untuk menghimpunkan perkhabaran mengenai perkara-perkara tersebut semata-mata dan bukannya bertujuan untuk menentukan penyusunannya. Malah, berdasarkan dalil-dalil lain, tanda-tanda besar Kiamat tidak terbatas kepada 10 perkara tersebut kerana masih ada lagi tanda-tanda yang lain, seperti kemunculan Imam al-Mahdi dan perang besar (al-malhamah al-kubra) yang akan tercetus di zamannya. Ini menjadikan kemunculan Dukhan tidak jelas tempoh masanya, adakah ia sebelum kemunculan al-Mahdi ataupun selepasnya?

Berdasarkan hadis-hadis yang sabit dan perbahasannya di dalam kitab-kitab seperti kitab Fath al-Bari oleh al-Hafiz Ibn Hajar, al-Tazkirah oleh al-Qurtubi, Tuhfat al-Ahwazi oleh al-Mubarakpuri dan sumber-sumber lain, susunan tanda-tanda besar Kiamat menurut kadar yang disepakati, mesti didahului dengan [i] kemunculan Imam al-Mahdi, [ii] diikuti perang besar (al-malhamah al-kubra), [iii] kemudian Dajjal, [iv] turunnya ‘Isa AS, [v] Ya’juj dan Ma’juj, seterusnya [vi] ad-Dabbah atau [vii] terbit matahari dari Barat dan [viii] api yang akan menghalau umat manusia.

Adapun Dukhan (asap) dan tiga kejadian tanah tenggelam di Timur, Barat dan semenanjung Arab, maka ia diperselisihkan oleh para ulama dari segi kedudukan susunannya, sama ada di awal, di tengah ataupun di akhir. Hanya Allah SWT saja yang lebih mengetahui.   

Kesimpulan

Ringkasnya, dakwaan yang mengatakan Dukhan akan muncul pada hari Jumaat tanggal 15 Ramadhan adalah dakwaan yang hanya disandarkan kepada prasangka dan hadis palsu yang kononnya akan muncul ‘suara atau bunyi keras’ pada tarikh itu. Ianya jelas tidak berlandaskan kepada dalil yang kuat, tanpa kita menafikan kudrat dan ilmu Allah SWT mengenainya. Menyeru masyarakat untuk bertaubat dan berbuat amal soleh merupakan satu tujuan yang baik, namun tidak sepatutnya perlu dilakukan dengan dakwaan-dakwaan yang tidak jelas, direka atau tidak berasas sama sekali.

Wallahu a‘lam.

Saturday, April 4, 2020

Ulasan hadis ‘suara keras di bulan Ramadhan’



Matan hadis:

أخرج نعيم بن حماد في الفتن (638): حَدَّثَنَا أَبُو عُمَرَ، عَنِ ابْنِ لَهِيعَةَ، قَالَ: حَدَّثَنِي عَبْدُ الْوَهَّابِ بْنُ حُسَيْنٍ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ ثَابِتٍ الْبُنَانِيِّ، عَنْ أَبِيهِ، عَنِ الْحَارِثِ الْهَمْدَانِيِّ، عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «إِذَا كَانَتْ صَيْحَةٌ فِي رَمَضَانَ فَإِنَّهُ يَكُونُ مَعْمَعَةٌ فِي شَوَّالٍ، وَتَمْيِيزُ الْقَبَائِلِ فِي ذِيِ الْقَعْدَةِ، وَتُسْفَكُ الدِّمَاءُ فِي ذِيِ الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمِ، وَمَا الْمُحَرَّمُ»، يَقُولُهَا ثَلَاثًا، «هَيْهَاتَ هَيْهَاتَ، يُقْتَلُ النَّاسُ فِيهَا هَرْجًا هَرْجًا».
قَالَ: قُلْنَا: وَمَا الصَّيْحَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: «هَدَّةٌ فِي النِّصْفِ مِنْ رَمَضَانَ لَيْلَةَ جُمُعَةٍ، فَتَكُونُ هَدَّةٌ تُوقِظُ النَّائِمَ، وَتُقْعِدُ الْقَائِمَ، وَتُخْرِجُ الْعَوَاتِقَ مِنْ خُدُورِهِنَّ، فِي لَيْلَةِ جُمُعَةٍ، فِي سَنَةٍ كَثِيرَةِ الزَّلَازِلِ، فَإِذَا صَلَّيْتُمُ الْفَجْرَ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَادْخُلُوا بُيُوتَكُمْ، وَاغْلِقُوا أَبْوَابَكُمْ، وَسُدُّوا كُوَاكُمْ، وَدِثِّرُوا أَنْفُسَكُمْ، وَسُدُّوا آذَانَكُمْ، فَإِذَا حَسَسْتُمْ بِالصَّيْحَةِ فَخِرُّوا لِلَّهِ سُجَّدًا، وَقُولُوا: سُبْحَانَ الْقُدُّوسِ، سُبْحَانَ الْقُدُّوسِ، رَبُّنَا الْقُدُّوسُ، فَإِنَّ مَنْ فَعَلَ ذَلِكَ نَجَا، وَمَنْ لَمْ يَفْعَلْ ذَلِكَ هَلَكَ».
Terjemahan: Nu’aim bin Hammad meriwayatkan dalam kitab al-Fitan (no.638) daripada Ibnu Mas‘ud radhiallahu ‘anhu, dari Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Apabila telah muncul suara kuat di bulan Ramadhan, maka akan terjadi huru-hara di bulan Syawal, kabilah-kabilah saling bermusuhan di bulan Zulkaedah, dan terjadi pertumpahan darah di bulan Zulhijjah dan Muharram, apa dia Muharram itu?” Baginda mengulangnya 3 kali. “Amat jauh sekali, amat jauh sekali. Manusia terbunuh padanya dalam jumlah yang besar demi jumlah yang besar.”

Kami bertanya: “Suara apakah, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab: “Suara keras di pertengahan bulan Ramadhan, pada malam Jumaat, akan muncul suara keras yang membangunkan orang tidur, menjadikan orang yang berdiri jatuh terduduk, para gadis keluar dari pingitannya, pada malam Jumaat di tahun terjadinya banyak gempa bumi. Jika kalian telah melaksanakan salat Subuh pada hari Jumaat, masuklah kalian ke dalam rumah kalian, tutuplah pintu-pintunya, sumbatlah lubang-lubangnya, selimutilah diri kalian, dan sumbatlah telinga kalian. Jika kalian merasakan adanya suara kuat itu, maka bersujudlah kalian kepada Allah dan ucapkanlah: “Mahasuci Allah Al-Quddus, Mahasuci Allah Al-Quddus, Tuhan kami Al-Quddus”, kerana barangsiapa melakukan hal itu, nescaya ia akan selamat, dan barangsiapa yang tidak melakukan hal itu, nescaya ia akan binasa”.

* Ulasan:

1. Peristiwa yg dikatakan berlaku pada pertengahan Ramadan (15hb) secara spesifik ini diriwayatkan di dalam [i] kitab al-Fitan oleh Nu'aim bin Hammad drpd riwayat Ibn Mas‘ud RA; dan [ii] kitab al-Mu'jam al-Kabir oleh al-Tabarani serta lain-lain drpd riwayat Fairuz ad-Dailami RA, tapi sanad kedua-duanya sangat daif, dan boleh jadi hampir kepada palsu. (Ada juga yg menyebut drpd riwayat Abu Umamah RA, namun riwayat ini tiada bersumber dan mungkin hanya satu kekeliruan).

2. Hadis Ibnu Mas‘ud RA di atas sanadnya amat bermasalah kerana diriwayatkan oleh perawi-perawi yg kebanyakan kredibiliti mereka dikritik dan lemah, sehingga ada yang menilai hadis ini palsu. Hadis Fairuz ad-Dailami RA yg menyokong hadis ini juga sanadnya turut bermasalah sehingga dinilai palsu atau munkar oleh ramai pengkritik hadis. Ibn al-Jawzi merekodkannya sebagai hadis palsu di dlm kitab al-Mawdu‘at, katanya: “Tidak sahih”. Penilaian ini turut diperakui oleh as-Suyuti dlm al-La’ali’ al-Masnu‘ah. Kata az-Zahabi dlm Talkhis al-Mawdu‘at: “Batil”. Menurut al-Juzaqani dlm al-Abatil wa al-Manakir: “Hadis munkar”. Kata al-Haithami dlm Majma‘ al-Zawa'id: “Terdapat padanya ‘Abd al-Wahhab bin ad-Dhahhak seorg yg matruk”. (lihat jadual di bawah)    

3. Namun, terdapat hadis-hadis syawahid (sokongan) lain dalam isu yg serupa drpd hadis ‘Abdullah bin ‘Amru RA, Abu Hurairah RA, mursal Syahr bin Hausyab, mursal Makhul, athar Sa‘id bin al-Musayyib dan athar Kathir bin Murrah. Namun, kebanyakannya hanya menyebut 'satu suara atau satu bunyi' dalam bulan Ramadan saja dan TIDAK menyebut ia tepat pd pertengahan Ramadan (15hb). Hadis-hadis syawahid ini meskipun setiap sanadnya turut dikritik sbg daif, namun kesemuanya scara majmuk menunjukkan kemungkinan ada asalnya. Ringkasnya, separuh pertama matan hadis berkenaan (iaitu sehingga ‘pembunuhan dalam jumlah yang besar demi jumlah yang besar’) berkemungkinan mempunyai asalnya daripada baginda Nabi SAW. Ini berdasarkan himpunan kesemua jalan-jalan riwayatnya (seperti jadual di bawah), meskipun setiap satunya mempunyai ‘illah (kelemahan), juga tanpa menafikan jika ada tokok tambah dan kesilapan di mana-mana pada setiap riwayat. Namun kita mengambil kira makna-makna yang sama, meskipun mempunyai lafaz-lafaz yang berbeza sepertimana jadual disertakan (bagi rujukan yang ahli). Ia tidak mustahil boleh saling menguatkan dan mengeluarkannya daripada status sangat daif atau kemungkinan palsu kpd status daif saja, malah mungkin juga boleh menjadi hasan dari segi maknanya.  

أحداث
الراوي الأعلى
(الصحابي أو غيره)
الرقم
المحرم
ذو الحجة
ذو القعدة
شوال
رمضان
*يقتل/تقبل الناس هرجاً هرجاً،
*خروج أهل المغرب.
*تسفك الدماء
*تمييز القبائل،
*تميز القبائل
*معمعة
*صيحة -وهي هدة،
*ضجة
[فيه تعيين النصف من رمضان ليلة الجمعة]
حديث ابن مسعود:
أخرجه نعيم بن حماد في الفتن (638) بسند واه جداً، إن لم يكن موضوعاً.
1.
*وفي المحرم! وما المحرم؟ أوله بلاء على أمتي وآخره فرج لأمتي.
*يغار على الحاج
*تميز القبائل
*المعمعة
*صوت
[فيه تعيين النصف من رمضان ليلة الجمعة]
حديث فيروز الديلمي أو ابنه:
أخرجه ابن أبي عاصم في الآحاد والمثاني (رقم: 2682) والطبراني في معجمه الكبير (رقم: 853) وأبو عمرو الداني في الفتن (رقم: 521) لكنه جعله عن ابن الديلمي! وأما الخطيب البغدادي في المتفق والمفترق (رقم: 1734) جعله عن عبد الله بن الديلمي عن حذيفة! قال الهيثمي (12373): "فيه عبد الوهاب بن الضحاك وهو متروك".اهـ والحديث ذكره ابن الجوزي في الموضوعات وقال: هذا حديث لا يصح، وأقره السيوطي في اللآلي المصنوعة. وقال الذهبي في تلخيص الموضوعات: بَاطِل. وذكره الجوزقاني في الأباطيل والمناكير وقال: حديث منكر. ونسبه بعض الناس إلى حديث أبي أمامة! ولعله وهم لعدم وجوده في دواوين السنة!
2.
*[لم يذكر في الرواية المحرم] يهرب صاحبهم، فيؤتى بين الركن والمقام فيبايع وهو كاره.
*ينتهب الحاج وتكون ملحمة عظيمة بمنى
*تحازب القبائل
*معمعة
*صوت
حديث عبد الله بن عمرو:
أخرجه نعيم بن حماد في الفتن (986) والحاكم في المستدرك من طريق نعيم (8537) مرفوعا وموقوفا، وقال الذهبي في التلخيص: سنده ساقط اهـ، ولعل ذلك للكلام على نعيم بن حماد وجهالة شيخه أبي يوسف المقدسي، قال سيدي عبد الله الغماري في كتابه المهدي (ص 54): إسناده حسن.اهـ ولعل تحسينه هذا لشاهده.
3.
*أمر عظيم وهو عند انقطاع مُلك هؤلاء،
*تنتهك المحارم
*تراق الدماء،
*يسلب الحاج،
*سلب الحاج
*تميز القبائل بعضها إلى بعض،
*غير القبائل،
*معمعة
*همهمة،
*تظهر عصابة
*هدة،
*الصوت
حديث أبي هريرة:
أخرجه الطبراني في الأوسط (512)، وقال الهيثمي في مجمع الزوائد (12374): "فيه شهر بن حوشب وفيه ضعف، والبختري بن عبد الحميد لم أعرفه".اهـ وأخرجه من طريق آخر نعيم بن حماد في الفتن (628) بلفظ أطول عن سعيد بن المسيب عن أبي هريرة، وقال: "لا أعلم إلا أني سمعته من مسلمة بن علي، إن شاء الله، وبينه وبين قتادة رجل". اهـ وأخرجه من طريق ثالث العقيلي في (الضعفاء) وقال: "ليس لهذا الحديث أصل من حديث ثقة ولا من وجه يثبت". اهـ
4.
*ينادي مناد من السماء: ألا إن صفوة الله من خلقه فلان!
*ينتهب الحاج
*تتحارب القبائل/ تحازب القبائل
*همهمة/ مهمهة
*صوت
مرسل شهر بن حوشب:
أخرجه أبو عمرو الداني في الفتن بسند ضعيف عن شهر بن حوشب مرسلاً (493، 519)
5.
*وفي المحرم! وما المحرم؟
*النزائل/ الثرابل (؟)
*المعمعة
*المهمة/ همهمة
*آية في السماء
مرسل مكحول:
أخرجه نعيم بن حماد في الفتن (626).
6.
*والمحرم! وما المحرم؟
*ينهب الحاج
*تنحاز القبائل إلى قبائلها
*مهمهة
*صوت
أثر سعيد بن المسيب:
أخرجه نعيم بن حماد في الفتن (629).
7.
*القضاء
*المعمعة
*النزائل
*الهيش (أي الإِفْسَادُ أو القتال)
*الحدثان في رمضان
أثر كثير بن مرة الحضرمي
أخرجه نعيم بن حماد في الفتن (634).
8.

4. Himpunan daripada kesemua riwayat menunjukkan bhw separuh pertama drpd hadis Ibnu Mas‘ud RA tsb ada asalnya. Riwayat-riwayat ini menunjukkan satu kronologi peristiwa dahsyat yang akan berlaku secara bulanan sebelum kemunculan Imam Mahdi dan pembai'ahan terhadapnya pd bulan Muharram tahun yg berikutnya dan bukannya menunjukkan saat berlakunya hari Kiamat. Makna umum hadis-hadis ini saja menurut penulis, boleh diguna pakai sebagai tarhib (memberi ancaman) dan peringatan ttg peristiwa-peristiwa akhir zaman. Namun, tidak termasuk riwayat tambahan yang menentukan tarikhnya pd pertengahan Ramadan (15hb) kerana dikhuatiri sebagai palsu. Hadis-hadis yang tidak berkait dgn asas akidah dan hukum hakam sebegini – selagi tidak jelas palsu – menurut hemat penulis boleh diambil iktibar dan pedoman daripadanya.   

 5. Hadis berkaitan tentang kemunculan Imam al-Mahdi yg sanadnya lebih baik berbanding riwayat-riwayat yang lain itu ialah hadis ‘Abdullah bin ‘Amru r.a. berikut;
عن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: في ذي القعدة تحازب (عند الحاكم: تجاذب) القبائل، وعامئذ ينتهب الحاج، فتكون ملحمة بمنى، فيكثر فيها القتلى، وتسفك فيها الدماء، حتى تسيل دماؤهم على عقبة الجمرة، حتى يهرب صاحبهم، فيؤتى به بين الركن والمقام، فيبايع وهو كاره، ويقال له: إن أبيت ضربنا عنقك، فيبايعه مثل عدة أهل بدر، يرضى عنه (عند الحاكم: عنهم) ساكن السماء وساكن الأرض. (رواه نعيم بن حماد والحاكم وزاد، وهو أيضا عند نعيم بن حماد: قال أبو يوسف: فحدثني محمد بن عبد الله عن عمرو بن شعيب عن أبيه عن عبد الله بن عمرو رضي الله عنهما قال: يحج الناس معا ويعرفون معا على غير إمام، فبينما هم نزول بمنى إذ أخذهم كالكلب، فثارت القبائل بعضها إلى بعض واقتتلوا حتى تسيل العقبة دما، فيفزعون إلى خيرهم فيأتونه وهو ملصق وجهه إلى الكعبة يبكي، كأني أنظر إلى دموعه فيبايع كرها، فإذا أدركتموه فبايعوه، فإنه المهدي في الأرض والمهدي في السماء)
Terjemahan: Daripada ‘Amru bin Syu’aib dari bapanya dari datuknya (iaitu ‘Abdullah bin ‘Amru r.a.) berkata: Sabda Rasulullah s.a.w.: “Dalam bulan Zulqaedah akan berlaku pertelagahan kabilah-kabilah, dan pada tahun itu jemaah haji akan ditawan, maka akan terjadi suatu pertempuran di Mina, maka ramailah orang yang terbunuh dan banyak darah yang mengalir sehingga mengalir darah mereka itu ke atas Jamrah ‘Aqabah, hinggakan ‘sahabat’ mereka melarikan diri. Lalu beliau dibawa di antara rukun Hajar Aswad dan maqam Ibrahim, dan beliau pun dibai’ah sedangkan beliau tidak menyukainya. Dikatakan kepadanya: Jika kamu enggan, kami akan memenggal lehermu. Maka beliau pun dibai’ah oleh sekumpulan orang seperti bilangan ahli Badar. Beliau akan diredhai oleh penduduk langit dan penduduk bumi”. Dalam riwayat lain terdapat pada awalnya: “Akan terjadi suatu ’suara’ dalam bulan Ramadhan dan kekacauan dalam bulan Syawal,...” [HR Na’im bin Hammad (986) dan al-Hakim (8584)]

6. Namun, menurut penulis scara peribadi berdasarkan dalil-dalil lain, tanda-tanda kemunculan Imam mahdi ini barangkali belum akan berlaku lagi selagi Amerika, Israel dan Barat masih menguasai seluruh dunia dgn memiliki ribuan senjata nuklear dan alatan perang hebat yg jauh lebih canggih, sedangkan dunia Islam kebanyakannya hidup berpecah belah, ditindas dan mundur. Manakala kemunculan Imam Mahdi bermakna kekuatan, perpaduan dan kegemilangan umat Islam akan kembali, dan juga bermakna perang besar akan berlaku antara Islam dan Kristian yg sama-sama kuat pada masa itu. Perang besar yang juga dinamakan sebagai “al-malhamah al-kubra”. (Lihat: http://hadis.kuis.edu.my/index.php/inhad/article/view/44 dan juga http://inhad.kuis.edu.my/2020/03/30/kemunculan-wabak-bukan-tanda-kedatangan-dajjal/)

7. Di dalam hadis-hadis ini tiada disebutkan ttg “ad-Dukhan” (asap). Namun, ia terdapat di dalam riwayat-riwayat lain, dan termasuk 10 tanda besar Kiamat sepertimana di dlm riwayat Sahih Muslim. Terdapat perbahasan yg panjang mengenainya dan sama ada ia berlaku sebelum kemunculan Dajjal ataupun selepasnya. Justeru itu, ia memerlukan kpd perbahasan yg lain.

Wallahu a'lam.