Pages

Friday, June 26, 2009

Ego Orang Jahil dan Ego Orang Alim (3)


Mengambil idea Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya' 'Ulumiddin mengenai bahaya-bahaya perdebatan dan kesan buruknya terhadap kebinasaan akhlak, saya melihat bahawa ego orang alim dalam sesuatu perselisihan dapat membawa kepada 10 perkara-perkara mazmumah berikut;

1. Hasad dengki - dia akan berhasad terhadap lawannya dan suka mengharapkan hilang segala kenikmatan daripadanya, serta mengharap semua orang akan berpaling daripadanya kepada dirinya.

2. Takbur dan bermegah-megah terhadap orang lain - dia akan bermegah-megah diri terhadap kawan dan lawannya.

3. Dendam - dia akan menyimpan dendam terhadap lawannya. (Ada yang berdendam sampai mati. Wal 'iyazubillah)

4. Mengumpat - dia akan sentiasa menyebut dan mengutuk lawannya di belakang dengan melempar cemuhan seperti bodoh, jahil, bangang, lembab dan sebagainya.

5. Mengangkat diri sendiri dan mendabik dada - dia akan memuji dirinya sendiri sebagai kuat, mantap, dan lebih hebat daripada orang lain.

6. Mencari-mencari dan menyelidik aurat/keaiban lawannya - dia akan sentiasa menyiasat kelemahan dan keaiban lawannya, hatta mencari keaiban/kekurangan fizikal tubuh badannya.

7. Gembira jika lawannya kesusahan dan muram jika lawannya bergembira - dia akan begitu ceria dengan perkara-perkara yang menyakiti lawannya dan juga sebaliknya.

8. Bersifat munafik - adakalanya dia terpaksa menunjukkan rasa senang apabila bertemu dengan lawannya di khalayak ramai sedangkan hatinya amat berasa benci terhadapnya.

9. Enggan menerima kebenaran - dia enggan menerima hakikat kebenaran lawannya, dan sangat benci jika kebenaran atau perkara yang hak itu zahir di atas lidah lawannya.

10. Riya' dan menunjuk-nunjuk - dia akan berusaha untuk menarik hati dan wajah orang ramai kepadanya. Dia suka untuk menonjol dan menunjuk-nunjuk kepada orang lain serta mengharap pujian mereka kepadanya.

Demikianlah 10 perkara yang amat dikhuatiri terhadap akhlak ulama kita pada masa kini. Bolehjadi dapat membawa kepada yang lebih buruk lagi di kalangan pengikut seperti berkelahi (di setengah negara membawa kepada berbunuh-bunuhan), saling memaki ibu bapa, guru-guru, tokoh-tokoh ulama, saling bersengketa dan keluarnya daripada hati rasa takut kepada Allah SWT (walaupun kononnya bertindak demi agama Allah), perasaan kasih sayang dan rasa khusyuk dalam beribadah. (Syarh al-Ihya', 1/470-491). Inilah tipu daya syaitan..


اللهم اغفر لنا ولخصومنا

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.