Soalan:
Jawapan:
Diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam
Sunannya (بَاب
إِمَامَةِ النِّسَاءِ) (591- 592)
daripada ‘Abd ar-Rahman bin Khallad al-Ansari dan Laila binti Malik daripada Ummu
Waraqah binti ‘Abdullah al-Ansariyyah r.a., seorang sahabiah yang pandai
membaca al-Quran – secara ringkasnya - bahawa
beliau pernah meminta izin kepada Nabi SAW untuk menugaskan di dalam rumahnya
seorang mu’azzin, lalu baginda pun mengizinkannya. Baginda menyuruh
beliau supaya menjadi imam kepada ahli rumahnya. Kata ‘Abd ar-Rahman: “Aku pernah
melihat mu'azzinnya adalah seorang lelaki tua yang lanjut usianya”.
Hadis Ummu Waraqah r.a. ini juga
telah diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, al-Hakim dalam al-Mustadrak,
Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya (1676), al-Bayhaqi dalam al-Sunan
al-Kubra, al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir dan al-Daraqutni
dalam Sunannya. Kesemuanya dari jalur al-Walid bin ‘Abdullah bin Jumai‘,
seorang perawi yang dihukum thiqah atau (لا بأس به) oleh ramai ulama al-jarh wa al-ta‘dil.
Pendapat yang menolak hadis ini
kerana ‘Abd ar-Rahman bin Khallad al-Ansari adalah seorang perawi yang majhul.
Namun, riwayat beliau tidak bersendirian kerana ia telah diiringi (mutaba‘ah)
oleh riwayat Laila binti Malik yang juga seorang perawi majhul. Dari
sudut ini, ada pendapat yang melihat ianya tetap tidak dapat mengukuhkan antara
satu sama lain. Manakala satu pendapat lagi mengatakan ianya dapat mengukuhkan
antara satu sama lain dan menjadikan sanad hadis ini meningkat kepada darjat hasan.
Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut dalam
(بلوغ المرام): “Diriwayatkan
oleh Abu Dawud dan ia disahihkan oleh Ibn Khuzaimah”, seolah-olah beliau mengakui
dan menerima pentashihan Ibn Khuzaimah tersebut. Al-‘Allamah al-‘Aini dalam (البِنَاية شرح الهِدَاية) menyatakan hadis ini adalah sahih.
Hadis ini dikuatkan oleh beberapa
athar daripada ‘A’isyah RA, Ummu Salamah RA dan Ibn ‘Abbas RA yang menunjukkan
wanita boleh menjadi imam kepada jemaah wanita. Antaranya, al-Hakim
meriwayatkan daripada ‘Ata’ katanya:
أَنَّهَا كَانَتْ تُؤَذِنُ وَتُقِيمُ وَتَؤُمُ النِّسَاءَ،
وَتَقُومُ وَسْطَهُنَّ.
Maksudnya: “Beliau [‘A’isyah RA] pernah
melaung azan, iqamah dan mengimamkan jemaah wanita serta berdiri di tengah-tengah
mereka”.
Berdasarkan dalil-dalil di atas, menurut
sebahagian ulama seperti mazhab al-Syafi‘i dan pendapat yang rajih dalam
mazhab Hanbali, wanita boleh menjadi imam solat berjemaah yang makmumnya hanya
wanita, seperti yang dilakukan oleh ‘A’isyah RA dan Ummu Salamah RA. Ia adalah mustahab.
Imam ‘Abd al-Hayy al-Laknawi al-Hanafi
(w. 1304H) telah mengupas masalah ini dengan baik di dalam kitabnya (تحفة النبلاء في جماعة
النساء). Beliau menyokong
pandangan mazhab al-Syafi‘i dan lain-lain yang bersamanya serta menolak
pandangan ulama Hanafiyyah yang mengatakannya makruh.
Hadis di atas dalil yang menunjukkan
keharusan wanita berbuat demikian dan tidak bertentangan dengan hadis: “Sebaik-baik
solat bagi wanita adalah di sudut rumahnya” (HR Ahmad dan lain-lain). Kerana
kedua-duanya merujuk kepada kesesuaian situasi individu. Lihat bagaimana syarak
menjaga kedudukan istimewa kaum wanita hatta dalam ibadah.
Nabi SAW menyatakan ganjaran
pahala 27 kali ganda bagi solat berjemaah adalah untuk direbut oleh sesiapa
sahaja, termasuklah wanita. Sebab itu kaum wanita di zaman Baginda SAW tidak
dihalang untuk pergi ke masjid bersolat jemaah. Dan pada masa yang sama baginda amat prihatin dalam menjaga kehormatan mereka.
Justeru, wanita yang berpeluang dan berkesempatan bersolat jemaah, maka ia bolehlah
bersolat jemaah. Apatah lagi jika berada di Masjid al-Haram atau Masjid
Nabawi yang besar ganjaran pahalanya. Manakala yang tidak berpeluang dan
berkesempatan, maka ia tidak perlu sama sekali berasa sedih dan kecewa kerana
solat di rumahnya itu dikira lebih afdhal. Ini berbeza dengan kedudukan kaum
lelaki.
Jika para pelajar perempuan yang
tinggal di asrama misalnya, maka harus bagi mereka menunaikan solat berjemaah
secara bersama-sama. Lebih-lebih lagi ganjaran pahala 27 kali ganda bagi solat
berjemaah akan dapat diperolehi. Jika seorang suri rumah pula misalnya, adalah lebih
baik baginya bersolat sendirian atau bersama anak-anak perempuan di rumah sahaja
kerana itu lebih sesuai dan lebih menjaga diri mereka. Keafdhalan yang disebutkan
adalah kerana ketaatan mereka yang penuh bulat di dalam memelihara batasan
syarak. Menjaga kesesuaian situasi ini lebih menampakkan kecantikan dan
keluasan syariat Islam yang bersifat anjal dan tidak rigid.
* Perhatian:
Menurut Dr. ‘Abd al-Karim Zaidan dalam kitabnya al-Mufassal fi Ahkam
al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, yang rajih (tepat) ialah harus
seorang wanita menjadi imam kepada orang lelaki bersama-sama ahli keluarga di rumahnya
(dengan syarat) jika wanita itu lebih utama dan layak untuk menjadi imam berbanding
lelaki disebabkan ia lebih pandai membaca al-Quran dan lebih faqih
(berilmu). Hadis Ummu Waraqah r.a. itu menunjukkan beliau adalah seorang yang
pandai membaca al-Quran serta lebih mampu dan layak menjadi imam berbanding
mu'azzinnya yang merupakan seorang lelaki tua yang sudah lanjut usia (sebab
itu namanya pun tidak disebutkan).
Menurut beliau lagi, adapun wanita yang menjadi imam kepada orang lelaki di
masjid (atau di luar rumahnya), maka hukumnya adalah tidak harus, sebagai
mengikut pandangan jumhur ulama. Dalil yang dapat menguatkannya ialah tidak
pernah dinukilkan kepada kita walaupun sekali bahawa ada wanita yang pernah menjadi
imam solat kepada jemaah lelaki (atau ada di antara makmumnya orang lelaki),
sama ada pada zaman sahabat mahupun pada zaman tabiin.
Wallahu a‘lam.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.