Pages

Monday, September 28, 2020

Ahli Bait Umpama Kapal Nabi Nuh عليه السلام

 

Soalan:

 

مثل أهل بيتي فيكم كمثل سفينة نوح في قوم نوح ، من ركبها نجا، ومن تخلف عنها هلك، ومثل باب حطة في بني إسرائيل .

روى الطبراني بسنده عن أبي ذر .

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Mohon pencerahan Dr tentang status hadith di atas dalam membicarakan kelebihan Ahli bait.

 


Ulasan:

 

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

 

Hadis ini merupakan salah satu hadis mengenai fadha’il (kelebihan) Ahli Bait, iaitu ahli keluarga Baginda Nabi . Antara matan hadisnya yg masyhur: (مَثَلُ أهْل بيتِى مَثَلُ سَفِينةِ نُوحٍ، مَنْ رَكِبَها نَجَا، وَمَنْ تَخلفَ عَنها غَرِقَ). Maksudnya: “Perumpamaan Ahli Baitku adalah seumpama kapal Nabi Nuh AS. Sesiapa yang menaikinya akan selamat dan sesiapa yang tertinggal daripadanya akan tenggelam”.   

 

Hadis brbunyi demikian dan yg semakna dgnnya diriwayatkan melalui beberapa jalan riwayat spt brikut;

 

1. Hadis Ibn Abbas RA: (مثل أهل بيتى مثل سفينة نوح من ركب فيها نجا ومن تخلف عنها غرق).

 

HR al-Bazzar, at-Tabarani dlm al-Kabir dan Abu Nuaim dlm al-Hilyah. Kata al-Bazzar ttg al-Hasan bin Abi Jaafar: “Tidak kuat”. Kata al-Haithami: “Matruk”. Kata al-Bukhari: “Munkar al-hadith”. Kata Muslim b. Ibrahim: “Beliau termasuk golongan orang yang baik”. Kata Ibn ‘Adi: “Beliau di sisiku bukan dari kalangan org yang sengaja berdusta”. Kata Ibn Hibban: “al-Jufri termasuk dr kalangan ahli ibadat yg mustajab doanya, ttp beliau antara org yg mengabaikan seni hadis, maka tidak boleh brhujah dgnnya”. Kata Abu Bakr bin Abi al-Aswad drpd pakciknya ‘Abdur Rahman bin Mahdi: “Beliau tlh mengeluarkan kpdku kitab ad-Diyat, lalu meriwayatkan kpdku drpd al-Hasan b. Abi Jaafar. Lalu aku bertanya: Bukankah pakcik dulu tlh mengenepikan hadisnya? Jawab beliau: Wahai anakku, aku tlh merenunginya jika pd hari Kiamat kelak beliau bangkit lalu bergayut dgnku serta berkata: Ya Rabb, tanyakan kpd ‘Abdur Rahman sebab apa dia menggugurkan sifat adilku? Sedangkan aku tidak mempunyai hujah utk menjawab di sisi Tuhanku. Justeru itulah, aku berpendapat utk meriwayatkan semula hadis daripadanya”. (Mizan al-I‘tidal 1/482)

 

2. Hadis Ibn az-Zubair RA: (مثل أهل بيتى مثل سفينة نوح من ركبها سلم، ومن تركها غرق).

 

HR al-Bazzar dan pada sanadnya ada Ibn Lahi‘ah yang dikritik kedudukannya. Namun, riwayat2 sokongan lain menunjukkan beliau tidak bertafarrud (bersendirian) dlm meriwayatkan hadis ini.   

 

3. Hadis Abu Zar RA, yang mempunyai beberapa jalur riwayat spt berikut;

 

[i] HR at-Tabarani dan al-Bazzar dgn sanadnya trdapat al-Hasan bin Abi Jaafar drpd ‘Ali bin Zaid, kedua2nya adalah daif.

 

[ii] Dlm jalan riwayat at-Tabarani yg lain: (مثل أهل بيتى فيكم كمثل سفينة نوح فى قوم نوح من ركب فيها نجا ومن تخلف عنها هلك ومثل باب حطة فى بنى إسرائيل) trdapat pd sanadnya ‘Abdullah bin Abd al-Quddus perawi yg dinilai daif oleh jumhur dan ‘Abdullah bin Dahir al-Razi yg matruk.

 

[iii] Dlm riwayat al-Hakim: (مثل أهل بيتي مثل سفينة نوح من ركبها نجا ومن تخلف عنها غرق) trdapat pd sanadnya al-Mufaddal bin Solih. Walaupun dinilai oleh al-Hakim sbg: “Sahih menurut syarat Muslim”, namun kata az-Zahabi: “Mufaddal hanya dikeluarkan oleh at-Tirmizi shj dan para ulama mendaifkannya”. Kata at-Tirmizi: “Di sisi ahli hadis, beliau bukanlah begitu al-hafiz” [namun beliau menilai hadis riwayatnya sbg: Hasan Sahih (no. 2592)!]. Kata al-Bukhari: “Munkar al-hadith”. Kata Ibn ‘Adi: “Paling mungkar yg aku dapati padanya hadis al-Hasan b. ‘Ali RA, manakala baki keseluruhannya aku harap beliau sbg seorg yg lurus”. Namun, kata az-Zahabi dlm al-Mizan: “Hadis kapal Nabi Nuh lebih munkar, lebih munkar”. Penilaian az-Zahabi yg agak keras ini ditolak oleh Sayyidi Ahmad al-Ghumari dlm Fath al-Wahhab disebabkan hadis ini mempunyai brbagai jalur riwayat. Abu Ishaq as-Sabiie, thiqah mudallis, dan Hanasy bin al-Mu‘tamir, saduq terdapat kelemahan pdnya.

 

[iv] HR ad-Daulabi dlm al-Kuna (419) dan Abu as-Syaikh dlm al-Amthal (333): (مَثَلُ أَهْلِ بَيْتِي مَثَلُ سَفِينَةِ نُوحٍ مَنْ رَكِبَهَا نَجَا وَمَنْ تَرَكَهَا غَرِقَ). Dlm versi riwayat ad-Daulabi sanadnya sehingga Abu at-Tufail ‘Amir b. Wathilah RA saja. Manakala dlm riwayat Abu as-Syaikh, Abu at-Tufail RA sbenarnya mendengarnya drpd Abu Zar RA. Namun, pada sanadnya ada ‘Abdul Karim b. Hilal yang mnurut az-Zahabi dlm al-Mizan: “Tak diketahui siapa dia”.

 

4. Hadis Abu Said al-Khudri RA: (إنما مثل أهل بيتى فيكم كمثل سفينة نوح من ركبها نجا ومن تخلف عنها غرق وإنما مثل أهل بيتى فيكم مثل باب حطة فى بنى إسرائيل من دخله غفر له).

 

HR at-Tabarani dlm al-Saghir dan al-Awsat. Kata al-Haithami: “Padanya trdapat beberapa perawi yg aku tidak kenali.”

 

5. Hadis Anas bin Malik RA: (إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ أَهْلِ بَيْتِي كَسَفِينَةِ نُوحٍ مَنْ رَكِبَهَا؛ نَجَا وَمَنْ تَخَلَّفَ عَنْهَا؛ غَرِقَ).

 

HR al-Khatib al-Baghdadi dlm Tarikh Baghdad dgn sanadnya ada Aban bin Abi ‘Ayyasy, matruk menurut ramai pengkritik hadis spt Ahmad, Ibn Ma‘in, an-Nasaie, ad-Daraqutni dan Abu Hatim, serta tambahnya: “Beliau seorg yg soleh, ttp diuji dgn hafazan yg buruk”. Abu Zur‘ah ditanya: “Adakah beliau sengaja berdusta?” Jawabnya: “Tidak, beliau mendengar hadis drpd Anas dan org yg masyhur, juga drpd al-Hasan, namun beliau tidak membezakan antaranya”. Kata Malik b. Dinar: “Aban bin Abi ‘Ayyasy adalah burung merak para qurra’ (طاوس القراء)”. Kata Ayyub: “Kami sentiasa mengenali beliau dengan kebaikan sejak dulu lagi”. Namun, Syu‘bah mengkritik beliau dgn cukup keras sekali hingga menuduhnya berdusta.     

 

6. Athar ‘Ali bin Abi Talib RA, iaitu:

 

عَنْ عَبَّادِ بْنِ عَبْدِ الله الأَسْدِىِّ قَالَ: بَيْنَا أَنَا عِنْدَ عَلىِّ بْنِ أَبِى طَالبٍ فِى الرَّحْبَةِ إِذْ أَتَاهُ رَجُلٌ فَسَأَلَهُ عَنْ هذِهِ الآيَةِ: {أَفَمَنْ كَانَ عَلَى بَيِّنَةٍ مِنْ رَبِّهِ وَيَتْلُوهُ شَاهِدٌ مِنْهُ} فَقَالَ: مَا مِنْ رَجُلٍ مِنْ قُرَيْشٍ جَرَتْ عَلَيْهِ الْمُوسَى إِلاَّ قَدْ نَزَلَتْ فِيه طَائِفَةٌ مِنَ الْقُرْآنِ وَالله وَالله (لاَ يَكُونوا تَعْلَمُونَ مَا سَبَقَ لَنا عَلَى لِسَانِ النَّبِىِّ الأُمِّىِّ - صلى الله عليه وسلم - إِلَىَّ مِنْ أَنْ يَكُون لِى) مِلْءُ هَذِهِ الرَّحْبَةِ ذَهَبًا وَفِضَّةً، والله إِنَّ مَثَلَنَا فِى هَذِهِ كَمَثَلِ سَفِينَةِ نُوحٍ فِى قَوْمِ نُوحٍ، وَأَنَّ مَثَلَنَا في هذِهِ الأُمَةِ كَمَثَل بَابِ حِطَّة فِى بَنِى إِسْرائِيلَ". أبو سهل القطان في أماليه، وابن مردويه. والرحبة: محلة بالكوفة

 

Sumbernya menurut as-Suyuti dlm al-Jami‘ al-Kabir: “Abu Sahl al-Qattan dlm kitab Amalinya dan Ibn Marduyah dlm Tafsirnya”. Manakala dlm ad-Durr al-Manthur: “Ibn Abi Hatim, Ibn Marduyah dan Abu Nuaim dlm kitab al-Ma‘rifah”. Bagaimanapun, ‘Abbad adalah daif (Taqrib 1/392).

 

Status Hadis:

 

Imam as-Suyuti dlm al-Jami‘ as-Saghir menilai brdasarkan majmuk tiga jalan riwayat pertama di atas sbg sahih. Zahirnya beliau mengambil kira penilaian al-Hakim. Apa pun secara ringkas, kesemua riwayat ini meskipun bermasalah setiap satunya, namun ia saling kuat menguatkan antara satu sama lain dan secara majmuk meningkatkan makna hadis paling tidak drp daif kepada hasan li-ghairih.  

 

Wallahu a‘lam.

Saturday, September 26, 2020

al-Muhaddith al-Kabir Syeikh Dr. Nuruddin ‘Itr رحمه الله


Telah kembali ke rahmatullah pd pagi Rabu 5 Safar 1442H (23 September 2020) muhaddith Syria, al-‘Allamah al-Muhaddith al-Mufassir al-Faqih Syeikh Dr. Nuruddin bin Muhammad bin Hasan ‘Itr al-Halabi al-Hanafi al-Hasani di Dimasyq, Syria dalam usia 86 tahun.

 

Beliau merupakan seorang alim dan tokoh besar dalam bidang hadis, selain mahir dalam bidang-bidang ilmu yang lain. Gelaran yg sering beliau gunakan di awal namanya ialah ‘Khadim al-Quran wa al-hadith’ sbg isyarat kpd bidang pengkhususannya.

 

Syeikh Nuruddin ‘Itr dilahirkan di Halab, Syria pada tahun 1937 (1356H) dalam keluarga yang terkenal kuat dengan pegangan agama. Keturunan keluarga ‘Itr juga dikenali sebagai keturunan Ahlul Bait, iaitu daripada Saidina al-Hasan bin ‘Ali RA.

 

Bapanya, Syeikh Muhammad ‘Itr merupakan antara murid khas al-‘Allamah al-Jalil al-‘Arif billah Sayyidi Syeikh Muhammad Najib Sirajuddin al-Husaini, yang pernah disanjung oleh tokoh besar hadis di zaman itu, Muhaddith as-Syam Syeikh Badruddin al-Hasani katanya; “Sesungguhnya Syeikh Najib adalah ahli bumi yang paling alim di zamannya”.

 

Pendidikan

Syeikh Nuruddin ‘Itr menerima pendidikan menengah agamanya di Madrasah al-Khusruwiyyah sehinga tamat pada tahun 1954. Dalam tempoh tersebut, beliau sempat belajar kepada Muhaddith Halab Syeikh Muhammad Raghib al-Thabbakh dan datuknya sbelah ibu, Sayyidi Syeikh Muhammad Najib Sirajuddin al-Husaini.

 

Setelah itu, beliau terus melanjutkan pelajarannya ke Universiti al-Azhar, Mesir sehingga tamat pengajian degreenya pada tahun 1958. Beliau kemudian melanjutkan lagi pengajiannya di Jabatan Tafsir dan Hadith, al-Azhar sehingga berjaya meraih ijazah ‘alimiyyah (setaraf dengan Ph.D) dengan darjat cemerlang pada tahun 1964, dengan tajuk tesisnya (طريقة الترمذي في جامعه، والموازنة بينه وبين الصَّحيحين). 

 

Di al-Azhar, beliau telah belajar dengan tokoh-tokoh ulamanya seperti Syeikh Mustafa Mujahid, Syeikh Muhammad Muhammad as-Samahi, Syeikh ‘Abdul Wahhab Abdul Latif al-Buhairi, Syeikh Muhammad Abu Syahbah dan Syeikh Muhammad Muhyiddin ‘Abdul Hamid رحمهم الله تعالى.  

 

Beliau juga menerima ijazah sanad daripada Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, Syeikh ‘Alawi bin ‘Abbas al-Maliki, Syeikh Habiburrahman al-A‘zami, Syeikh Muhammad al-Makki al-Kattani dan Syeikh Muhammad Ibrahim al-Khutani, رحمهم الله تعالى.

 

Antara gurunya yang banyak memberikan pengaruh besar terhadap pembentukan ilmu dan rohani diri Syeikh Nuruddin ‘Itr ialah bapa saudaranya, al-‘Allamah al-Kabir Sayyidi Syeikh ‘Abdullah Sirajuddin al-Halabi al-Husaini. Malah, beliau kemudian telah menjadi menantu kepadanya.

 

Tugas dan Jawatan

Setelah pulang ke Syria, beliau mengajar sementara di Madrasah Thanawiyyah. Kemudian beliau telah dilantik sebagai tenaga pengajar subjek hadis di Universiti Islam Madinah bermula dari tahun 1965 sehingga tahun 1967. Seterusnya beliau kembali ke Dimasyq, menjadi tenaga pengajar di Fakulti Syariah, Universiti Dimasyq. Beliau turut mengajar di beberapa universiti lain, selain di masjid-masjid.   

 

 

Bottom of Form

Beliau pernah bertugas sebagai Ketua Jabatan ‘Ulum al-Quran dan as-Sunnah di Fakulti Syariah, Universiti Dimasyq dan sebagai Professor Hadith dan ‘Ulum al-Hadith di beberapa buah universiti yang lain.

 

Karya Ilmiah

Beliau telah menghasilkan lebih daripada 50 karya, termasuk mentahkik berbagai kitab turath penting. Antaranya:

 

1 - Manhaj al-Naqd fi 'Ulum al-Hadith.

2 - I'lam al-Anam Syarah Bulugh al-Maram Min Ahadith al-Ahkam.

3 - Lamahat Mujazah fi Usul 'Ilal al-Hadith.

4 - Usul al-Jarh wa al-Ta'dil wa 'Ilm al-Rijal.

5 - Manahij al-Muhaddithin al-'Ammah.

6 - al-Imam al-Tirmizi wa al-Muwazanah Baina Jami'ihi wa Baina al-Sahihain (Tesis PhD).

7 – Tahqiq Muqaddimah Ibn al-Solah.

8 – Tahqiq Nuzhah al-Nazar fi Taudih Nukhbah al-Fikr.

9 – Tahqiq al-Rihlah fi Talab al-Hadith karangan al-Khatib al-Baghdadi.

10 – Tahqiq Syarh 'Ilal al-Tirmizi karangan Ibnu Rajab al-Hanbali.

11 – Tahqiq al-Mughni fi al-Dhu’afa’ karangan al-Hafiz al-Zahabi.

12 – Tahqiq Irsyad Tullab al-Haqa’iq fi Ma'rifah Sunan Khair al-Khala’iq karangan Imam al-Nawawi.

 

Sebahagian karya beliau di internet yg boleh dimuat turun:  

الحج والعمرة فى الفقه الإسلامي
http://www.mediafire.com/download/d7ggpzp7d36zkv6

إرشاد طلاب الحقائق إلى معرفة سنن خير الخلائق
تأليف الإمام محيي السنة/ أبى زكريا يحيى بن شرف النووي رضى الله عنه
http://www.mediafire.com/download/9bnu697q8hlughh

منهج النقد في علوم الحديث
http://ia802704.us.archive.org/5/items/waq17637/17637.pdf

علوم القرآن الكريم
http://www.mediafire.com/download/bdy2992213qb1xa

ماذا عن المرأة ؟
http://www.mediafire.com/download/9tb22me0x4xrtqz

الاتجاهات العامة للاجتهاد ومكانة الحديث الآحادى الصحيح فيها
http://www.mediafire.com/download/befxjn7eihfftma

السنة المطهرة والتحديات
http://www.mediafire.com/download/efyda2gf2ai4y7x

أهم الملامح الفنية فى الحديث النبوي
http://www.mediafire.com/download/743b791k25npgz3

توثيق وجمع القرآن الكريم في عهد النبي ﷺ فى ضوء السنة النبوية
http://www.mediafire.com/download/e4sj3y5ccoatthi

كيف نتوجه إلى القرآن الكريم
http://www.mediafire.com/download/rzm5zp3mtxuuiaa

 

Kebanyakan karya beliau menjadi sillibus di berbagai institusi pengajian, baik di Dimasyq mahupun di luar Dimasyq.  

 

Akhlak

Meskipun sejak sekian lama, Syria dipimpin oleh kerajaan diktator, namun beliau tidak pernah mengeluarkan sepatah perkataan pun utk menyokong mereka, tidak pernah menghadiri satu pun perhimpunan mereka mahupun memberi isyarat sokongan buat mereka.

 

Beliau sentiasa menjaga diri dan maruah agamanya sehinggalah bertemu dengan Allah SWT. Selain terkenal sbg seorg yg tawaduk serta zuhud terhadap pangkat dan dunia.

 

Semoga Allah SWT merahmati beliau dengan rahmat yang luas dan membalas jasa bakti beliau dengan balasan yang setimpalnya di Akhirat kelak. Amin.

 

Sumber:

·       Nasim as-Syam: https://naseemalsham.com/persons/sh_nour_aterTop of Form

·       Fb Ustaz Zulhusni Mat Resat

·       Fb Syeikh Dr. Majd Makki


Saturday, June 20, 2020

al-Muhaddith Syeikh Dr. Mahmud Mirah al-Halabi – رحمه الله




- Telah kembali ke rahmatullah al-‘Allamah al-Muhaddith Syeikh Dr. Mahmud bin Ahmad Mirah pada jam 8.30 pagi hari Jumaat 27 Syawwal 1441 H (19 Jun 2020) dlm usia 94 tahun. Semoga Allah merahmati dan meredhai beliau, mengampuni dan mengasihi beliau, meninggikan darjat beliau dan meletakkan beliau di tempat yang selayaknya di Akhirat sana. 
وإنَا ولله وإنَّا إليه راجعون.

- Syeikh Mahmud Mirah lahir di kampung al-Kallasah, Halab, Syria pd bulan Ramadan 1347H (1929).

- Beliau pernah belajar di Madrasah Syaabaniyyah (Maahad al-‘Ulum as-Syar‘iyyah) dan tamat di situ pd tahun 1954.

- Kemudian belajar di Fakulti Syariah, Universiti Syria (Universiti Dimasyq) dan tamat pd tahun 1960.

- Beliau juga memperolehi Diploma Pendidikan dari universiti yg sama pd tahun 1961.

- Beliau kemudian menjadi khatib di Masjid Sakkar, Kampung al-Kallasah antara tahun 1950 hingga tahun 1965.

- Kemudian beliau berpindah ke Arab Saudi pd tahun 1385H (1965) dan tinggal di Madinah Munawwarah sbg guru di Maahad Thanawi, di bawah Universiti Islam Madinah antara tahun 1965 hingga tahun 1973.

- Beliau memperolehi ijazah sarjana (master) drpd Universiti al-Azhar Mesir pd tahun 1968 dlm tempoh masa 2 tahun dengan kajiannya yg bertajuk:
دراسة حديث (يا أبا عُمَير، ما فعل النُّغَير؟) حديثيًّا وفقهيًّا، مع تحقيق رسالة أبي العباس ابن القاصِّ أحمد بن أبي أحمد الطبري (ت 335هـ): (فوائد حديث أبي عُمير)
Beliau tlh mengeluarkan dlm kajiannya 60 faedah ilmiah dari aspek2 fiqah dan adab.

- Kemudian beliau memperolehi ijazah kedoktoran (PhD) dgn pangkat as-Syaraf al-Ula dlm ilmu hadis drp Universiti al-Azhar juga pd tahun 1972 dengan tajuk tesisnya:
(الحاكم النيسابوري وكتابه المستدرك على الصحيحين).

- Seterusnya beliau dilantik sbg pensyarah di Universiti Islam Madinah, beliau mengajar di Fakulti Dakwah dan Fakulti Syariah dr tahun 1973 hingga tahun 1986 (1406).

- Kemudian beliau brpindah ke Riyadh sbg pensyarah di Universiti Islam Muhammad bin Suud dr tahun 1986 (1406) hingga tahun 1996 (1416).

- Beliau terus tinggal di Riyadh dan meneruskan usahanya mentahkik kitab Mustadrak al-Hakim. Rumahnya sentiasa menjadi tempat rujuk para pelajar dan para tetamu yg datang berkunjung.
رحمه الله تعالى وتقبله في الصالحين من عباده.
(Kredit: fb Syeikhuna Dr. Majd Makki)

- Antara guru2 beliau ialah:
1. Syeikh Raghib at-Tabbakh, Muhaddith Halab.
2. Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah.
3. Syeikh Ahmad al-Qalasy
4. Syeikh ‘Abdullah Siraj ad-Din, Muhaddith Halab.
5. Syeikh Abu al-Yusr ‘Abidin, Mufti Syria.
6. Syeikh Mustafa az-Zarqa.
7. Syeikh Mustafa al-Khin.
8. Dr. Muhammad Muhammad as-Samahi.
9. Syeikh ‘Abd al-Wahhab ‘Abd al-Latif.
10. Syeikh Mustafa Amin at-Tazi.
(Kredit: Mu‘jam as-Syuyukh oleh Dr. Safwan Dawudi)


Thursday, June 4, 2020

Kemuktabaran Faham Ulama Syafii Terhadap Hadis Bidaah



Oleh krn mazhab Imam as-Syafii didokong oleh ramai ulama hadis, maka ia menjadi antara mazhab fiqah muktabar ASWJ yg tersebar luas dan dipegang oleh ramai umat Islam di dunia. Nusantara merupakan antara wilayah dalam dunia Islam yg dipengaruhi oleh mazhab Syafii. Sejak sekian abad lamanya, umat Islam Nusantara beramal dgn mazhab Syafii. Para ulama Nusantara juga secara konsisten mempraktikkan kaedah dan usul mazhab Syafii ini. Ini termasuklah kefahaman mrk terhadap konsep bidaah.   

Namun, dlm era mutakhir, kefahaman ulama Syafii terhadap konsep bidaah ini mula ‘dikacau’ dan ‘diganggu gugat’ oleh aliran mazhab lain yg dibawa masuk ke Nusantara. Hal ini sewajarnya tidak berlaku jika cara yg digunakan adalah dlm batasan adab berkhilaf pendapat.

Ibaratnya spt orang luar yg datang masuk ke sebuah kampung, maka tidak sewajarnya dia terus berbuat sesuka hati, menyuruh itu, mengubah ini dan menegur perbuatan orang kampung yg menurut kaca matanya salah dan silap. Orang spt ini sudah tentu akan dicap oleh mrk sbg biadap. Apatah lagi jika dia mmg jahil ttg tata cara, aturan dan pendekatan yg dipraktikkan oleh penduduk kampung tsb.

Hadis Tentang Bidaah


Hadis al-'Irbadh bin Sariyah RA ttg bidaah bukanlah hadis yg tersembunyi bagi para ulama Syafii. Mrk juga bukan jahil ttg pengertian dan maksudnya. Namun, pendekatan mrk dlm memahaminya yg perlu difaham dan dihadam. Kemunculan istilah ‘as-sunnah’ dan ‘al-bidaah’ dlm hadis al-'Irbadh menjadikan hadis ini cukup penting sehingga Imam an-Nawawi mengkelaskannya dlm kitab al-Arba‘in beliau antara 42 buah hadis yg disebut sbg (قواعد الدين) “kaedah-kaedah atau dasar-dasar agama”. Matannya:

عن العـرباض بن سارية رضي الله عنه، قال: صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ، ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَيْنَا فَوَعَظَنَا مَوْعِظَةً بَلِيغَةً ذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ وَوَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ كَأَنَّ هَذِهِ مَوْعِظَةُ مُوَدِّعٍ، فَمَاذَا تَعْهَدُ إِلَيْنَا؟ فَقَالَ: أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا، فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ. وفي رواية: وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّهَا ضَلَالَةٌ. (رواه أحمد [17144] وأبو داود [4607] والترمذي [2676] وقال: حديث حسن صحيح، وابن ماجه وابن حبان والحاكم وقال: حديث صحيح ليس له علة)
Terjemahan:
Daripada al-'Irbadh bin Sariyah RA katanya: Pernah suatu hari Rasulullah SAW bersolat dengan kami, kemudian baginda menghadap kepada kami, lalu menyampaikan peringatan yang mendalam kepada kami yang menyebabkan air mata tergenang dan hati-hati menjadi takut, maka (setelah selesai) seseorang bertanya: 'Ya Rasulullah, seolah-olah ini adalah peringatan utk mengucap selamat tinggal, maka apakah yang tuan ingin pesan/wasiat kepada kami?’ Lalu Baginda SAW bersabda: 'Aku berwasiat kepada kamu sekelian supaya bertaqwa kepada Allah, supaya mendengar dan taat, walaupun ia seorang hamba abdi Habasyi (yang diangkat menjadi ketua kamu sekelian). Maka sesungguhnya sesiapa dari kalangan kamu yang hidup sesudahku, ia akan melihat berlaku perselisihan yang banyak, maka hendaklah kamu sekalian mengikuti sunnahku dan sunnah para Khulafa' al-Rasyidin yang mendapat hidayat (daripada Allah), peganglah dan gigitlah ia dengan gigi geraham kamu. Dan hendaklah kamu sekalian berwaspada/berjaga-jaga daripada (mengadakan) perkara-perkara baru (dalam urusan agama), maka sesungguhnya setiap yang baru itu adalah bidaah, dan setiap bidaah itu adalah sesat'. Dalam satu riwayat: Dan hendaklah kamu sekalian berwaspada daripada perkara-perkara baru, maka sesungguhnya ia adalah sesat'.  (HR Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidhi, katanya: Hadith hasan sahih, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Hakim).

Laras bahasa (siyaq) hadis jelas menunjukkan ianya berkait dgn “kaedah-kaedah atau dasar-dasar agama” sptmn kata Imam an-Nawawi. Dengan erti kata lain, hadis ini menegaskan bhw umat Islam wajib mengikuti syariat Nabi SAW supaya mereka tergolong sbg Ahli Sunnah serta memperingatkan mrk agar tidak menyimpang dari syariat baginda SAW yg pastinya menjadikan mrk tergolong sbg Ahli Bidaah.

Faham Ulama Syafii


al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitabnya Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari turut mengkelaskan hadis ini sbg kaedah syarak yg umum (قاعدة شرعية كلية). Kata beliau (13/254):
وأما قوله في حديث العرباض: "فإن كل بدعة ضلالة"، بعد قوله: "وإياكم ومحدثات الأمور"، فإنه يدل على أن المحدث يسمى بدعة. وقوله: "كل بدعة ضلالة" قاعدة شرعية كلية بمنطوقها ومفهومها. أما منطوقها فكأن يقال: حكم كذا بدعة وكل بدعة ضلالة، فلا تكون من الشرع لأن الشرع كله هدى. فان ثبت أن الحكم المذكور بدعة صحت المقدمتان وأنتجتا المطلوب، والمراد بقوله: "كل بدعة ضلالة" ما أحدث ولا دليل له من الشرع بطريق خاص ولا عام.
Terjemahan:  
            “Adapun sabdanya dlm hadis al-‘Irbadh: “Maka sesungguhnya setiap bidaah itu adalah sesat” selepas sabdanya: “Dan hendaklah kamu sekalian berwaspada daripada (mengadakan) perkara-perkara baru”, maka ia menunjukkan bhw perkara baru itu dinamakan bidaah. Dan sabdanya: “Setiap bidaah itu adalah sesat” adalah satu kaedah syarak yg umum dari aspek laras bahasanya dan juga konsepnya. Adapun aspek laras bahasanya, maka seolah-olah dikatakan: Hukum ini adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat, maka ianya bukan drpd syarak krn syarak itu kesemuanya adalah petunjuk belaka. Maka, jika sabit hukum berkenaan sbg bidaah, maka sahlah dua mukadimah tadi dan menghasilkan apa (hukum) yg dikehendaki. Dan maksud sabdanya: “Setiap bidaah itu adalah sesat” ialah apa yg diada-adakan, sedangkan tidak ada sebarang dalil baginya drpd syarak, sama ada melalui dalil khas mahupun am”.  

Jelasnya, hadis tsb adalah termasuk kaedah-kaedah umum dlm syarak (القواعد الشرعية الكلية), namun ia tidak termasuk dlm kaedah-kaedah fiqah (القواعد الفقهية). Justeru itu, Imam Taj ad-Din as-Subki (w. 771H) mahupun Imam as-Suyuti (w. 911H) tidak memasukkannya sbg kaedah-kaedah fiqah di dlm kitab mrk, al-Asybah wa al-Naza’ir. Perkara ini jelas disepakati oleh semua ulama fiqah, khususnya ulama mazhab Syafii.   

Justeru, perkara baru yg dianggap bidaah ialah perkara baru yg terkeluar daripada syariat. Adapun perkara baru yg didapati tidak terkeluar daripada syariat, maka ia tidak dianggap sbg bidaah yg dimaksudkan di dalam hadis tsb. Kerana itu Imam as-Syafii (w. 204H) membahagikan bidaah kpd dua bahagian, iaitu bidaah yg dipuji (baik) dan bidaah yg dikeji (buruk). Pembahagian ini bukan sebab beliau jahil ttg hadis larangan melakukan bidaah, ttp krn keluasan ilmu, ketajaman akal dan kejituan pengamatan beliau terhadap apa yg dimaksudkan oleh baginda Nabi SAW.  

al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitabnya Fath al-Bari menukilkan (13/253):
قَالَ الشَّافِعِيُّ: "الْبِدْعَةُ بِدْعَتَانِ مَحْمُودَةٌ وَمَذْمُومَةٌ، فَمَا وَافَقَ السُّنَّةَ فَهُوَ مَحْمُودٌ، وَمَا خَالَفَهَا فَهُوَ مَذْمُومٌ"، أَخْرَجَهُ أَبُو نُعَيْمٍ بِمَعْنَاهُ مِنْ طَرِيقِ إِبْرَاهِيمَ بْنِ الْجُنَيْدِ عَنِ الشَّافِعِيِّ. وَجَاءَ عَنِ الشَّافِعِيِّ أَيْضًا مَا أَخْرَجَهُ الْبَيْهَقِيُّ فِي مَنَاقِبِهِ قَالَ: "الْمُحْدَثَاتُ ضَرْبَانِ مَا أُحْدِثُ يُخَالِفُ كِتَابًا أَوْ سُنَّةً أَوْ أَثَرًا أَوْ إِجْمَاعًا فَهَذِهِ بِدْعَةُ الضَّلَالِ، وَمَا أُحْدِثُ مِنَ الْخَيْرِ لَا يُخَالِفُ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ فَهَذِهِ مُحْدَثَةٌ غَيْرُ مَذْمُومَةٍ". اهـ
Maksudnya:
Kata Imam al-Syafi'i: “Bidaah ada dua bahagian; (bidaah) yg dipuji dan (bidaah) yg dikeji. Maka, apa yang menepati sunnah, maka ia adalah yg dipuji dan apa yang menyalahinya, maka ia adalah yg dikeji”. Abu Nu'aim mengeluarkannya dgn makna yang serupa daripada jalur Ibrahim bin al-Junaid daripada al-Syafi'i. Juga diriwayatkan daripada al-Syafi'i yang dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam kitab Manaqibnya, kata beliau: "Perkara2 yang baharu ada dua jenis; (Pertama) apa yang direka-reka yang menyalahi al-Quran atau sunnah atau athar atau ijmak, maka ini adalah bidaah yang sesat. (Kedua) apa yang direka-reka daripada kebaikan yang tidak menyalahi sedikit pun daripada yg tersebut, maka ini adalah perkara baharu yg tidak dikeji".

Jelasnya, sesuatu kebaikan atau amalan yang tidak menyalahi al-Quran, sunnah, athar atau ijmak menurut Imam al-Syafi'i adalah harus dilakukan. Perlu diketahui, Imam al-Syafi‘i adalah antara tokoh besar dari kalangan Atba‘ at-Tabi‘in yg sempat melihat cara dan kebiasaan hidup secara amali generasi Salaf yg awal. Maka, sudah tentu beliau memahami bagaimana para ulama Salaf berinteraksi dgn perkara2 baharu dan isu2 bidaah.

Lihat misalnya antara yg dilakukan oleh para sahabat RA:
  1. Bilal RA memulakan solat sunat wuduk setiap kali beliau berwuduk, apabila amalan tsb diketahui oleh Nabi SAW kemudiannya, baginda tidak pula menegurnya agar tidak berbuat begitu lagi.    
  2. Ada seorg sahabat Nabi SAW yg setiap kali beliau mengimami solat, beliau akan membaca Surah al-Ikhlas pd setiap rakaatnya. Perbuatannya ini tidak dilarang oleh Nabi SAW.  
  3. Seorg sahabat Nabi SAW pernah mengucapkan ketika beliau bangkit dari rukuk: (ربنا لك الحمد حمداً كثيراً طيباً مباركاً فيه).
  4. Khubaib bin ‘Adi RA tlh bersolat sunat dua rakaat sebelum beliau dibunuh. Imam al-Bukhari meriwayatkan: (فكان خبيب هو من سن الركعتين لكل امرئ مسلم قتل صبراً) “Maka, Khubaib merupakan org yg memulakan sunat dua rakaat bagi setiap org muslim yg dibunuh dlm keadaan sabar”.
  5. Mu‘awiyah bin Mu‘awiyah al-Muzani RA sentiasa melazimi bacaan Surah al-Ikhlas dlm apa jua keadaan, sama ada berdiri, duduk, berkenderaan atau berjalan kaki hingga jenazahnya tlh disaksikan oleh 70,000 malaikat.
  6. Dan pelbagai lagi. (lihat secara luas dlm kitab as-Sunnah wa al-Bidaah oleh as-Sayyid ‘Abdullah Mahfuz al-Haddad Ba‘alawi)

Kalaulah para ulama memahami hadis bidaah itu sptmn zahirnya, nescaya ilmu fiqah tidak akan wujud sbgmn yg kita lihat sekarang. Sbb itu, antaranya Imam an-Nawawi (w. 676H) memahami hadis tsb sbg ‘am makhsus (umum yang dikhususkan). Kata beliau dlm al-Majmu‘ (4/518):  
قوله صلي الله عليه وسلم: "كل بدعة ضلالة"، هذا من العام المخصوص لان البدعة كل ما عمل علي غير مثال سبق. قال العلماء: وهى خمسة اقسام واجبة ومندوبة ومحرمة ومكروهة ومباحة. وقد ذكرت أمثلتها واضحة في تهذيب الاسماء واللغات، ومن البدع الواجبة تعلم أدلة الكلام للرد علي مبتدع أو ملحد تعرض، وهو فرض كفاية، ومن البدع المندوبات بناء المدارس والربط وتصنيف العلم ونحو ذلك. اهـ بتصرف يسير
Maksudnya:
“Sabdanya SAW: ‘Setiap yg bidaah itu sesat’. Ini adalah drpd perkara umum yang dikhususkan krn bidaah ialah setiap perkara yg diamalkan yg tidak menurut contoh yg terdahulu. Kata para ulama: Ia ada lima bahagian, iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Aku tlh menyebutkan contoh2nya secara jelas di dlm kitab Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat. Antara bidaah yg wajib ialah mempelajari dalil2 kalam utk menolak ahli bidaah atau ateis yg mencabar, dan ianya adalah fardhu kifayah… dan antara bidaah yg sunat pula ialah membina sekolah dan balai, menyusun ilmu dan seumpamanya”.

Oleh krn kata-kata Imam an-Nawawi dlm kitab Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat itu lbh terperinci, maka saya bawakan perkataan beliau itu sepenuhnya spt berikut, kata beliau (3/22):
“Bidaah dari segi syarak ialah mengadakan sesuatu yg tidak pernah ada di zaman Rasulullah SAW, dan ianya trbahagi kpd baik dan buruk. Kata Syeikh Imam yg disepakati keimaman, kehebatan dan penguasaannya dlm pelbagai jenis ilmu serta kebijaksanaannya Abu Muhammad ‘Abd al-‘Aziz ibn ‘Abd as-Salam (w. 660H) رحمه الله ورضي عنه  di akhir kitab al-Qawa‘id: Bidaah itu trbahagi kpd wajib, haram, sunat, makruh dan harus.
Katanya lagi: Kaedah dlm hal demikian ialah membentangkan bidaah itu kepada kaedah-kaedah syariat. Maka, jika ia termasuk dlm kaedah-kaedah wajib, maka wajiblah ia, atau dlm kaedah-kaedah haram, maka haramlah, atau sunat, maka sunatlah, atau makruh, maka makruhlah, atau harus, maka haruslah.    
  1. Contoh-contoh bagi bidaah yg wajib, antaranya: (Pertama) menyibukkan diri dgn ilmu nahu yg dpt difahami melaluinya kalam Allah Taala dan kalam Rasulullah SAW, dan yg demikian itu adalah wajib, krn memelihara syariat itu adalah wajib serta tidak dapat dipenuhi pemeliharaannya melainkan dgn cara yg demikian. Sesuatu yg tidak sempurna perkara yg wajib itu melainkan dgnnya, maka ia adalah wajib (ما لا يتم الواجب إلا به، فهو واجب). Kedua, menjaga kalimah gharib (janggal) al-Quran dan sunnah dari aspek bahasa. Ketiga, membukukan ilmu usul ad-din dan usul al-fiqh. Keempat, perbincangan ttg al-jarh wa al-taadil dan membezakan hadis yg sahih drpd hadis yg lemah. Sesungguhnya kaedah2 syariat menunjukkan bhw menjaga syariat itu adalah fardhu kifayah pd perkara yg merupakan tambahan ke atas perkara yg fardhu ain, dan yg demikian itu semua tidak dpt dipenuhi melainkan dengan apa yg tlh kami sebutkan.   
  2. Contoh-contoh bagi bidaah yg haram, antaranya: mazhab2 Qadariyyah, Jabariyyah, Murji’ah dan Mujassimah. Manakala menolak hujah-hujah mrk pula adalah trmasuk bidaah yg wajib.
  3. Contoh-contoh bagi bidaah yg sunat, antaranya: membina balai-balai dan sekolah-sekolah serta semua perkara kebajikan yg tidak pernah ada di zaman yg awal. Antaranya lagi: solat tarawih (20 rakaat scara berjemaah dgn satu imam), perbicaraan ttg perkara2 tasawuf yg halus serta perdebatan ilmiah. Antaranya lagi: mengadakan forum2 utk menyatakan dalil jika tujuannya itu adalah demi redha Allah Taala.
  4. Contoh-contoh bagi bidaah yg makruh, antaranya seperti: mempercantikkan masjid dan memperhiasi mushaf al-Quran.
  5. Contoh-contoh bagi bidaah yg harus, antaranya: bersalaman selepas solat Subuh dan Asar. Antaranya lagi: memperluaskan pd perkara-perkara yg sedap dari aspek makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal, memakai selendang dan meluaskan lengan baju.  
Boleh jadi terdapat perbezaan pendapat pd sesetengah perkara yg tersebut, iaitu spt sebahagian ulama menjadikannya trmasuk antara bidaah yg makruh, manakala sebahagian yg lain pula menjadikannya termasuk antara sunnah yg diamalkan di zaman Rasulullah SAW dan zaman seterusnya, iaitu sptmn bacaan isti‘azah dlm solat dan bacaan basmalah. Demikianlah akhir kata-kata beliau (yakni Imam Ibn ‘Abd as-Salam).  
al-Baihaqi tlh meriwayatkan dgn sanadnya dlm kitab ‘Manaqib as-Syafi‘i’ drpd Imam as-Syafi‘i رضي الله عنه  kata beliau: "Perkara2 yang baharu itu ada dua jenis; Pertama, apa yang diada-adakan yang menyalahi al-Quran atau sunnah atau athar atau ijmak, maka ini adalah bidaah yang sesat. Kedua, apa yang diada-adakan daripada perkara kebaikan yang tidak ada khilaf pdnya bagi seorg pun dari kalangan para ulama, maka ini adalah perkara baharu yg tidak dikeji".
Kata ‘Umar رضي الله عنه  mengenai solat qiyam di bulan Ramadhan (tarawih): (نعمت البدعة هذه) “Sebaik-baik bidaah yg ini”, yakni ianya perkara baru yg belum pernah ada, dan apabila berlaku, ianya tidak pun mengandungi sebarang penolakan terhadap perkara yg telah lalu. Demikian akhir kalam as-Syafi‘i رضي الله تعالى عنه. (tamat nukilan Imam an-Nawawi)  

Kata-kata Imam Ibn ‘Abd as-Salam itu juga dinukilkan dan diperakukan oleh al-Hafiz Ibn Hajar di dlm kitabnya Fath al-Bari (13/254). Kata beliau juga di bahagian lain (4/253):
والبدعة أصلها ما أحدث على غير مثال سابق، وتطلق في الشرع في مقابل السنة، فتكون مذمومة، والتحقيق أنها أن كانت مما تندرج تحت مستحسن في الشرع فهي حسنة وأن كانت مما تندرج تحت مستقبح في الشرع فهي مستقبحة، وإلا فهي من قسم المباح، وقد تنقسم إلى الأحكام الخمسة.
Maksudnya:
“Bidaah itu asalnya ialah apa yg diada-adakan yg tidak menurut contoh yg terdahulu. Dan ia diungkapkan dari segi syarak sbg lawan kpd sunnah, maka ianya adalah dikeji. Secara tahkik, sesungguhnya ia jika termasuk antara perkara yg tergolong di bawah perkara yg dipandang baik dari segi syarak, maka ia adalah baik, dan jika ia termasuk antara perkara yg tergolong di bawah perkara yg dilihat buruk dari segi syarak, maka ia adalah buruk. Jika tidak pula, maka ia adalah daripada bahagian harus. Ia juga terbahagi kepada hukum-hakam yg lima”.  

Penutup


Ringkasnya, sesuatu perkara yg baru menurut ulama Syafii adalah tertakluk kpd hukum hakam fiqah yg lima. Manakala sesuatu kebaikan atau amalan yang tidak menyalahi al-Quran, sunnah, athar mahupun ijmak ulama menurut mrk adalah dibolehkan dan tidak salah utk dilaksanakan. Demikianlah kefahaman ulama Syafii trhadap konsep bidaah dan hadis yg berkaitan dgnnya. Kefahaman ini jelas merupakan kefahaman yg muktabar yg diterima oleh semua para ulama.

Apa yg lucu, ada seorang Arab yg kononnya mahir dgn bahasa Arab menyatakan bhw kefahaman trhadap hadis bidaah spt itu adalah salah dan silap, sambil membebel ttg amalan2 khilafiyyah yg diamalkan oleh orang Melayu. Apakah kefahaman bahasa Arabnya itu lbh muktabar drpd kefahaman Imam as-Syafi‘i, Imam al-Baihaqi, Imam Ibn ‘Abd as-Salam, Imam an-Nawawi, al-Hafiz Ibn Hajar dan lain-lainnya رحمهم الله تعالى??? Memang agak lucu, bak kata pepatah: ‘Bagai anjing menyalak bukit, bukit takkan runtuh’.

Saturday, April 25, 2020

Dr. Mohd. Faisal bin Mohamed رحمه الله تعالى



إنا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Seorang lagi sahabat kami, Dr. Mohd. Faisal bin Mohamed, 39, pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM, telah kembali ke rahmatullah pada waktu Maghrib, masuk 2 hb. Ramadan 1441H (24 April 2020). Beliau dikhabarkan jatuh ketika sedang mengambil wuduk untuk menunaikan solat Maghrib setelah berbuka puasa, lalu menghembuskan nafas terakhirnya.

Beliau merupakan seorang yang sangat rajin dan cintakan ilmu pengetahuan. Beliau asalnya adalah pelajar sarjana muda bidang Mechanical Engineering di UTM dan berjaya lulus pada tahun 2005. Namun semasa peringkat itu, sudah berlaku titik peralihan yang cukup besar di dalam hidup beliau, yang membuatkan beliau beralih ke bidang pengajian Islam. Dengan usaha dan kesungguhannya, beliau mengambil pengajian peringkat diploma secara mu‘adalah yang membolehkannya ke Universiti al-Azhar, Mesir di dalam jurusan Syariah Islam. Dalam masa yang singkat, beliau berjaya memperolehi sarjana muda keduanya pada tahun 2007.     

Setelah meraih sarjana muda Syariah al-Azhar, beliau kembali ke tanah air dan meneruskan pula pengajiannya ke peringkat Master dalam bidang Tasawwuf, Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, UM. Setelah selesai pada tahun 2007, beliau meneruskan lagi pengajiannya ke peringkat PhD dalam bidang Ekonomi Islam di Jabatan Syariah, UM sehingga selesai pada tahun 2012. Pada masa tersebut, beliau sudah pun berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).     

Sepanjang tempoh beliau di KUIS, selama perkenalan saya dengannya, beliau amat giat mengikuti kelas-kelas pengajian talaqqi sehingga beliau dikenali oleh ramai para guru, ustaz dan para penuntut ilmu yang lain. Dengan kesungguhannya, beliau telah berjaya mengkhatamkan banyak kitab turath dengan ramai ulama tempatan mahupun ulama luar yang datang berkunjung ke Malaysia. Antaranya, beliau telah berjaya mengkhatamkan al-Kutub as-Sittah berserta ijazah sanad.

Tidak berapa lama selepas memperolehi PhD, beliau berpindah tugas pula sebagai pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM. Di samping mengajar dan tugasan lainnya, beliau sekali lagi mendaftarkan diri untuk PhD keduanya dalam bidang falsafah sains Islam di USIM dengan tajuk kajian: The Philosophy of Islamic Science in Sahih al-Bukhari. Beliau sudah pun menyiapkan tesisnya dan sedang menunggu untuk proses viva.  

Di USIM, sebagaimana juga sebelumnya di KUIS, beliau giat berusaha menghidupkan budaya pengajian kitab turath secara talaqqi dan memperkenalkannya kepada masyarakat. Kali terakhir kami duduk talaqqi bersama ialah pada tahun lepas semasa bertalaqqi “Matan Tashil al-Turuqat li Nazm al-Waraqat li al-‘Amriti” dalam ilmu usul al-fiqh yang disampaikan oleh Prof. Dr. Mustafa Dib al-Bugha حفظه الله تعالى di Pusat Islam, USIM.

Beliau juga aktif mengisi kuliah-kuliah Maghrib di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan. Dalam gerakan kemasyarakatan, beliau adalah ahli Pertubuhan Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia (ISLAMI).  

Antara aktiviti yang beliau minati ialah mengembara bagi melihat negara orang dan menimba pengalaman baru. Beliau sudah menjelajah ke banyak negara di serata dunia seperti negara-negara Eropah, Cina, Australia dan sebagainya, selain negara-negara Arab. Rancangan terakhir beliau ialah untuk ke Istanbul, Turki sebagai pensyarah pelawat selama 6 bulan di sana, namun hajatnya tidak kesampaian disebabkan kesihatan beliau.  

Perjalanan hidup beliau bagi saya cukup luar biasa, daripada seorang yang berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal sehingga menjadi seorang alim yang pakar dalam pelbagai bidang pengajian Islam. Dari segi keperibadiannya, beliau dikenali sebagai seorang yang cepat mesra, suka merendah diri dan tidak suka menonjol. Sejak bulan Disember tahun lepas, beliau sering sakit perut, dada dan sesak nafas. Sejak itu juga, beliau kerap demam, batuk dan muntah.

Jenazah beliau dibawa ke kampung halamannya di Temerloh, Pahang dan dikebumikan di sana. Semoga dengan keberkatan hari Jumaat, bulan Ramadhan serta sifat sabar beliau dengan penyakitnya dan wabak Covid-19, beliau mendapat husn al-khatimah. Semoga Allah SWT mengampuninya, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya bersama para syuhada' dan para solihin. Amin…




Monday, April 6, 2020

Dukhan, 15 Ramadhan dan Covid-19


Matlamat yang baik dalam berdakwah tidak menghalalkan kita untuk menyampaikan perkara yang tidak tepat, salah atau sekadar rekaan. Hadis mengenai ‘suara keras’ yang kononnya akan berlaku pada tanggal 15 Ramadhan tahun ini (8 Mei 2020) yang jatuh pada hari Jumaat telah dijelaskan sebelum ini sebagai hadis yang tidak sahih atau palsu. (lihat entri terdahulu: https://sawanih.blogspot.com/2020/04/ulasan-hadis-suara-keras-di-bulan.html)

Meskipun terdapat hadis-hadis lain yang menyebut tentang ‘suara atau bunyi keras’ secara umum, namun tiada satu riwayat pun yang menyebut ianya sebagai Dukhan (asap), salah satu tanda besar hari Kiamat. Oleh kerana kurang mengkaji dan meneliti, maka dengan berpegang kepada hadis palsu tersebut, ada yang menetapkan bahawa peristiwa yang bakal berlaku pada 15 Ramadhan itu ialah Dukhan (asap)!

Benarkah demikian? Kekurangan dalam mengkaji dan meneliti seperti ini sering menyebabkan berlaku banyak percampuran fakta yang akhirnya melahirkan maklumat yang silap dan tidak benar sama sekali. Lebih parah apabila maklumat yang salah ini disebarkan oleh mereka yang ucapannya didengar oleh masyarakat awam.

Dukhan Termasuk 10 Tanda Besar

Kita tidak menafikan akan munculnya Dukhan (asap) di akhir zaman, namun menetapkan Dukhan akan muncul pada tarikh tertentu tersebut hanyalah daripada sangkaan semata-mata dan tidak bersandar kepada dalil yang kuat. Kemunculan Dukhan ada disebut dalam hadis yg sahih, sedangkan kemunculan ‘suara atau bunyi keras’ pada 15 Ramadhan itu bersandarkan kepada hadis yang palsu.

Jika sahih sekalipun hadis-hadis lain tentang kemunculan ‘suara atau bunyi keras’ pada bulan Ramadhan itu, maka ia menjadi petanda hampirnya kemunculan Imam al-Mahdi dan bukannya petanda besar hampirnya hari Kiamat. Sedangkan kemunculan Dukhan merupakan petanda besar bagi hari Kiamat berdalilkan hadis sahih daripada Huzaifah bin Asid al-Ghifari RA katanya: Sabda Nabi SAW:
إِنَّ السَّاعَةَ لَنْ تَقُومَ حَتَّى تَرَوْنَ قَبْلَهَا عَشْرَ آيَاتٍ - فَذَكَرَ - الدُّخَانَ، وَالدَّجَّالَ، وَالدَّابَّةَ، وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنُزُولَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَيَأَجُوجَ وَمَأْجُوجَ، وَثَلَاثَةَ خُسُوفٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ، وَآخِرُ ذَلِكَ نَارٌ تَخْرُجُ مِنَ الْيَمَنِ، تَطْرُدُ النَّاسَ إِلَى مَحْشَرِهِمْ. (رواه مسلم والترمذي، وأبو داود وابن ماجه)
Maksudnya : 
“Sesungguhnya hari Kiamat tidak akan berlaku sehingga kamu lihat sebelumnya sepuluh tanda besar, iaitu Dukhan (asap), Dajjal, ad-Dabbah (seekor haiwan yang keluar drpd bumi), terbit matahari dari Barat, tanah tenggelam di Timur, turunnya ‘Isa bin Maryam AS, Ya’juj dan Ma’juj, tiga kejadian tanah tenggelam; tanah tenggelam di Timur, tanah tenggelam di Barat dan tanah tenggelam di semenanjung Arab. Akhir sekali ialah api yang keluar dari sebelah Yaman yang akan menghalau umat manusia ke tempat perhimpunan mereka”. (HR Muslim, al-Tirmizi, Abu Dawud dan Ibn Majah)     

Asas Dakwaan

Kemungkinan dakwaan ‘suara atau bunyi keras’ itu sebagai Dukhan (asap) berpunca daripada riwayat-riwayat yang difahami secara keliru, seperti riwayat Ibn Abi Mulaikah katanya: “Aku pernah pergi berjumpa Ibn ‘Abbas RA pd suatu hari”, lalu beliau berkata: “Aku tidak dapat tidur malam tadi sehinggalah pagi”. Aku bertanya: “Kenapa?” Jawabnya: “Orang-orang mengatakan ada bintang berekor (komet) telah muncul, maka aku khuatir Dukhan telah muncul. Lalu aku pun tidak dapat tidur sehingga pagi”. (HR ‘Abd al-Razzaq, Ibn Jarir dlm Tafsirnya, Ibn Abi Hatim dan al-Hakim, katanya: “Sahih menurut syarat Syaikhain”. Menurut Ibn Kathir, ia sanad yg sahih kepada Ibn ‘Abbas RA).

Bagaimanapun menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari: “Aku khuatir ini merupakan tashif (kesilapan ejaan dlm riwayat berkenaan), tetapi yang sebenar ialah ‘Dajjal’ (bukan ‘Dukhan’)”. Jika sabit sekalipun perkataan ‘Dukhan’ itu, ia hanya suatu sangkaan dan tidak menetapkan bahawa bintang berekor (komet) itu akan menyebabkan Dukhan kerana kemunculannya juga sudah terjadi berulang kali selepas itu.   

Kemungkinan juga dakwaan itu bersandarkan kepada satu riwayat yang agak lemah dan tidak dapat dipegang, yang mengaitkan antara langit dengan Dukhan, daripada Huzaifah bin al-Yaman RA katanya: “Ya Rasulullah, apakah Dukhan itu?” Lalu Rasulullah SAW membaca ayat ini:
فَٱرۡتَقِبۡ يَوۡمَ تَأۡتِي ٱلسَّمَآءُ بِدُخَانٖ مُّبِينٖ يَغۡشَى ٱلنَّاسَۖ هَٰذَا عَذَابٌ أَلِيمٞ 
Terjemahan: “Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat), yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu), sehingga mereka akan berkata: Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan” (ad-Dukhan: 10-11). Ia akan memenuhi antara Timur dan Barat, kekal selama 40 hari dan malam. Adapun orang mukmin, maka ia akan menimpanya seperti keadaan selesema. Adapun orang kafir, maka ia menjadi seumpama orang mabuk, ia keluar dari hidung, telinga dan duburnya”. (HR Ibn Jarir al-Tabari dlm Tafsirnya, namun menurutnya ia tidak sahih (25/68). Menurut Ibn Kathir dlm Tafsirnya, ia maudhu‘ dengan sanad ini. Kata al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari: Sanadnya daif)

Apakah Dukhan?

Tidak banyak hadis sahih yang menyebut tentang Dukhan (asap) secara terperinci. Ia disebut secara ringkas di dalam hadis yang sahih, dan secara sedikit terperinci di dalam hadis-hadis yang daif seperti berikut;

1.     Hadis Abu Malik al-Asy‘ari RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Tuhan kalian telah memperingatkan kalian tiga perkara, iaitu; Dukhan yang akan menimpa orang mukmin seperti selesema dan menimpa orang kafir, lalu ia memenuhi tubuhnya sehingga keluar dari setiap rongga telinganya. Kedua, ad-Dabbah dan ketiga, Dajjal.” (HR Ibn Jarir al-Tabari dlm Tafsirnya dan al-Tabarani dlm al-Kabir. Menurut Ibn Kathir, ia sanad yang baik. Namun, sanadnya terputus, justeru kata al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari: Sanadnya daif)  

2.     Hadis Abu Sa‘id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dukhan akan menyelebungi umat manusia. Adapun orang mukmin, ia akan menimpanya seperti selesema. Adapun orang kafir, maka ia akan memenuhi tubuhnya sehingga keluar dari setiap rongga telinganya”. (HR Ibn Abi Hatim. Namun, Ibn Abi ‘Arubah meriwayatkannya drpd kata-kata Abu Sa‘id al-Khudri RA sahaja. Kata al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari: Sanadnya daif)  

3.     Hadis Huzaifah bin al-Yaman RA yang menyebut: “Dukhan akan memenuhi antara Timur dan Barat, kekal selama 40 hari dan malam. Adapun org mukmin, maka ia akan menimpanya seperti keadaan selesema. Adapun orang kafir, maka ia menjadi seumpama orang mabuk, ia keluar dari hidung, telinga dan duburnya”. al-Tabari menilai hadis ini sebagai tidak sahih. Ibn Kathir pula menilai sanadnya maudhu‘. Manakala al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari hanya menilai sanadnya daif, namun menurut beliau, jika sabit hadis Huzaifah RA ini, kemungkinan orang yang dibantahi kata-katanya dalam hadis Ibn Mas‘ud RA ialah Huzaifah RA yang berkata: “Sesungguhnya akan keluar drpd bumi Dukhan, lalu akan memasuki rongga telinga orang kafir dan akan menimpa orang mukmin seperti keadaan selesema.” (HR at-Tirmizi dan katanya: Hasan sahih)  

4.     Athar ‘Abdullah bin ‘Umar RA kata beliau: “Dukhan akan keluar, lalu menimpa orang mukmin seperti keadaan selesema dan memasuki rongga telinga orang kafir dan munafik sehingga ia menjadi seperti kepala yang dipanggang” (HR Ibn Jarir dlm Tafsirnya. Kata al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari: Sanadnya daif)


5.     Athar ‘Ali bin Abi Talib RA kata beliau: “Tanda Dukhan belum lagi berlalu, yang akan menimpa orang mukmin seperti keadaan selesema dan memenuhi tubuh orang kafir sehingga ia keluar semula (dari setiap rongganya)”. (HR ‘Abd al-Razzaq dan Ibn Abi Hatim. Demikian disebut dlm Fath al-Bari)

Meskipun kebanyakan riwayat ini daif, namun al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari merumuskan: “Banyaknya hadis-hadis ini menunjukkan bahawa yang demikian itu ada asalnya.” Maksudnya, kadar makna yang disepakati dalam riwayat-riwayat tersebut saja yang boleh dijadikan dalil, iaitu Dukhan ini akan memudaratkan orang kafir, namun tidak begitu memudaratkan orang mukmin. Justeru, dakwaan yang mengatakan Dukhan ialah “asap tebal yang gelap selama 40 Hari 40 Malam yang sangat panas dan gelap gelita”, dan “Dukhan membuat kita kehabisan air dan air menjadi kotor sehinggakan mesin membersihkan air tidak mampu bertahan”, kesemuanya ini hanya dakwaan, rekaan dan percubaan untuk memperincikannya, berlandaskan riwayat-riwayat yang kebanyakannya tadi adalah daif.

Covid-19 dan Dukhan

Antara yang menghairankan, dakwaan tersebut cuba mengaitkan pula Dukhan dengan wabak Covid-19 yang sedang melanda masa kini. Menurut dakwaan itu, “Beberapa ustadz mengatakan bahawa "sebelum datang Dukhan ada virus yang membunuh akan menakluki bumi", tarikh ceramah: 13/10/2019. Tarikh ini sebelum berlakunya virus Covid-19. Ternyata seperti benar!” Dakwaan yang tidak berasas seperti ini tentunya boleh menyebabkan keresahan dan kegusaran kepada masyarakat, sedangkan ia tidak disandarkan kepada sebarang dalil.  

Tiada riwayat yang menyebut sebarang tanda sebelum kemunculan Dukhan, malah para ulama berselisih pendapat mengenai kedudukan Dukhan dalam susunan tanda-tanda besar Kiamat yang sepuluh. Imam Muslim sendiri di dalam Sahihnya, mempunyai dua riwayat yang berbeza dari segi susunannya. [i] Riwayat pertama menyebut yang mula-mula ialah Dukhan (asap), kemudian Dajjal, ad-Dabbah (atau Dabbat al-Ardh), terbit matahari dari Barat, turunnya ‘Isa AS, keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, tiga kejadian tanah tenggelam dan api yang menghalau manusia ke tempat perhimpunan mereka. [ii] Manakala riwayat kedua menyebut yang mula-mula ialah tiga kejadian tanah tenggelam, Dukhan (asap), kemudian Dajjal, ad-Dabbah, Ya’juj dan Ma’juj, terbit matahari dari Barat, api yg menghalau manusia dan turunnya ‘Isa AS.

Malah ada pelbagai lagi versi riwayat yang lain. Kesemua riwayat ini hanya bermaksud untuk menghimpunkan perkhabaran mengenai perkara-perkara tersebut semata-mata dan bukannya bertujuan untuk menentukan penyusunannya. Malah, berdasarkan dalil-dalil lain, tanda-tanda besar Kiamat tidak terbatas kepada 10 perkara tersebut kerana masih ada lagi tanda-tanda yang lain, seperti kemunculan Imam al-Mahdi dan perang besar (al-malhamah al-kubra) yang akan tercetus di zamannya. Ini menjadikan kemunculan Dukhan tidak jelas tempoh masanya, adakah ia sebelum kemunculan al-Mahdi ataupun selepasnya?

Berdasarkan hadis-hadis yang sabit dan perbahasannya di dalam kitab-kitab seperti kitab Fath al-Bari oleh al-Hafiz Ibn Hajar, al-Tazkirah oleh al-Qurtubi, Tuhfat al-Ahwazi oleh al-Mubarakpuri dan sumber-sumber lain, susunan tanda-tanda besar Kiamat menurut kadar yang disepakati, mesti didahului dengan [i] kemunculan Imam al-Mahdi, [ii] diikuti perang besar (al-malhamah al-kubra), [iii] kemudian Dajjal, [iv] turunnya ‘Isa AS, [v] Ya’juj dan Ma’juj, seterusnya [vi] ad-Dabbah atau [vii] terbit matahari dari Barat dan [viii] api yang akan menghalau umat manusia.

Adapun Dukhan (asap) dan tiga kejadian tanah tenggelam di Timur, Barat dan semenanjung Arab, maka ia diperselisihkan oleh para ulama dari segi kedudukan susunannya, sama ada di awal, di tengah ataupun di akhir. Hanya Allah SWT saja yang lebih mengetahui.   

Kesimpulan

Ringkasnya, dakwaan yang mengatakan Dukhan akan muncul pada hari Jumaat tanggal 15 Ramadhan adalah dakwaan yang hanya disandarkan kepada prasangka dan hadis palsu yang kononnya akan muncul ‘suara atau bunyi keras’ pada tarikh itu. Ianya jelas tidak berlandaskan kepada dalil yang kuat, tanpa kita menafikan kudrat dan ilmu Allah SWT mengenainya. Menyeru masyarakat untuk bertaubat dan berbuat amal soleh merupakan satu tujuan yang baik, namun tidak sepatutnya perlu dilakukan dengan dakwaan-dakwaan yang tidak jelas, direka atau tidak berasas sama sekali.

Wallahu a‘lam.