Pages

Showing posts with label Takhrij Hadith. Show all posts
Showing posts with label Takhrij Hadith. Show all posts

Wednesday, June 9, 2021

Pegangan akidah dan status hadis: “Sultan adalah naungan Allah”

 


Wajar kita ketahui bahawa antara dasar pegangan utama Ahlus Sunnah wal Jamaah ialah taat kepada pemerintah/penguasa selama mana mereka tidak menyuruh kepada perkara maksiat. Amat banyak dalil daripada al-Quran dan hadis mengenai perkara ini.  

 

Kata Imam at-Tahawi dalam akidahnya yang cukup masyhur dan menjadi pegangan seluruh umat Islam:

ولا نرى الخروج على أئمَّتنا ووُلاة أمورنا، وإن جارُوا، ولا ندعو عليهم، ولا ننزع يداً من طاعتهم، ونرى طاعتَهم من طاعة الله عزّ وجلّ فريضةً، ما لم يأمروا بمعصيةٍ، وندعو لهم بالصَّلاح والمعافاةِ.

“Kami berpegang tidak boleh keluar memberontak untuk menentang pemimpin-pemimpin dan pemerintah-pemerintah kami, meskipun mereka itu keras. Kami tidak mendoakan keburukan buat mereka dan tidak juga menarik tangan keluar daripada mentaati mereka. Kami berpegang bahawa mentaati mereka itu termasuk mentaati Allah SWT secara fardhu selama mana mereka tidak menyuruh kepada maksiat. Dan kami turut mendoakan buat mereka kebaikan dan kesejahteraan”.  

 

Meskipun terdapat banyak dalil hadis yang sahih, namun ada beberapa hadis tentang aspek ini yang dipersoalkan kedudukannya oleh sesetengah orang. Antaranya hadis:

«السُّلْطَانُ ظِلُّ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ، فَمَنْ أَكْرَمَهُ أَكْرَمَ اللَّهَ، وَمَنْ أَهَانَهُ أَهَانَهُ اللَّهُ».

“Sultan (pemerintah) adalah naungan Allah di muka bumi. Maka, barangsiapa yang memuliakannya, maka Allah akan memuliakannya. Dan barangsiapa yang menghinanya, maka Allah akan menghinanya.” 

 

Hadis ini adalah berbentuk majazi, iaitu sebagaimana bayang-bayang melindungi manusia daripada panas terik matahari, maka begitu juga pemerintah yang ditanggungjawabkan oleh Allah SWT untuk melindungi manusia daripada perkara yang boleh menyakiti dan menyukarkan mereka. Maksud ‘memuliakan mereka’ ialah dengan cara mentaati mereka dan tidak keluar memberontak untuk menentang mereka. Manakala sebaliknya, maksud ‘menghina mereka’ ialah dengan tidak mentaati mereka dan keluar memberontak untuk menentang mereka tanpa sebarang hak.  

 

Sebenarnya terdapat perselisihan ulama tentang status hadis di atas kerana ia dinilai sahih atau hasan oleh sebahagian ulama; dan dinilai daif oleh sebahagian ulama yang lain.

 

*Hadis Abu Bakrah RA

Dalam banyak sumber rujukan, hadis seumpama demikian diriwayatkan daripada sejumlah sahabat Nabi SAW, antaranya ialah hadis Abu Bakrah RA. Hadis beliau dalam pelbagai sumber diriwayatkan melalui jalur riwayat yang sama, iaitu daripada Humaid bin Mihran daripada Saad bin Aus daripada Ziyad bin Kusaib daripada Abu Bakrah RA [daripada Nabi SAW]. Menurut al-Bazzar, mereka semua adalah orang Basrah.

 

Daripada Humaid bin Mihran pula, hadis ini diriwayatkan oleh beberapa muridnya dengan redaksi lafaz yang berbeza-beza iaitu:

 

1. Salm bin Sa‘id atau Muslim bin Sa‘id al-Khaulani meriwayatkannya dengan lafaz:

«السُّلْطَانُ ظِلُّ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ، فَمَنْ أَكْرَمَهُ أَكْرَمَ اللَّهَ، وَمَنْ أَهَانَهُ أَهَانَهُ اللَّهُ».

“Sultan (pemerintah) adalah naungan Allah di muka bumi. Maka, barangsiapa yang memuliakannya, maka Allah akan memuliakannya. Dan barangsiapa yang menghinanya, maka Allah akan menghinanya.” (lihat as-Sunnah oleh Ibn Abi ‘Asim no. 1024 dan Syu‘ab al-Iman oleh al-Baihaqi no. 6988).

 

Imam as-Suyuti dalam al-Jami‘ as-Saghir (4815) mengisyaratkan statusnya sebagai sahih. Namun, kata al-Munawi dalam at-Taisir: “Sanadnya terdapat kelemahan”.

 

2. Muhammad bin Bakr, guru Imam Ahmad meriwayatkannya dengan lafaz:

مَنْ أَكْرَمَ سُلْطَانَ اللهِ فِي الدُّنْيَا، أَكْرَمَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ أَهَانَ سُلْطَانَ اللهِ فِي الدُّنْيَا، أَهَانَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.

Barangsiapa yang memuliakan sultan Allah (pemerintah) di dunia, maka Allah akan memuliakannya di hari kiamat kelak. Dan barangsiapa yang menghina sultan Allah (pemerintah) di dunia, maka Allah akan menghinanya di hari kiamat kelak.” (lihat Musnad Ahmad no. 20433).

 

Kata al-Haithami dalam Majma‘ az-Zawa’id: “Para perawi Ahmad adalah thiqah belaka”. Namun, terdapat perbincangan lanjut selepas ini.

 

3. Muslim bin Ibrahim meriwayatkannya dengan lafaz:

مَنْ أَكْرَمَ سُلْطَانَ اللَّهِ أَكْرَمَهُ اللَّهُ وَمَنْ أَهَانَ سُلْطَانَ اللَّهِ أَهَانَهُ اللَّهُ.

Barangsiapa yang memuliakan sultan Allah (pemerintah), maka Allah akan memuliakannya. Dan barangsiapa yang menghina sultan Allah (pemerintah), maka Allah akan menghinanya.” (lihat Musnad as-Syihab oleh al-Qudha‘i no. 419 dan as-Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi no. 16436)

 

4. Abu Dawud at-Tayalisi meriwayatkannya dengan lafaz lebih pendek:

«مَن أهانَ سلطانَ اللهِ في الأرضِ أهانَه اللهُ»

Barangsiapa yang menghina sultan Allah (pemerintah) di dunia, maka Allah akan menghinanya kelak.” (lihat Musnad Abu Dawud at-Tayalisi no. 887, Sunan at-Tirmidhi no. 2224 kata beliau: Hadis hasan gharib, dan Musnad al-Bazzar no. 3670)

 

Menurut Mulla ‘Ali al-Qari dalam Syarh al-Misykat (4/131): “Sandaran yang terdapat pada lafaz: ‘sultan Allah’ itu adalah sandaran untuk memuliakan, sepertimana lafaz: ‘rumah Allah’ (baitullah) dan ‘unta Allah’ (dalam kisah Nabi Soleh AS)”.

 

*Aspek kritikan hadis Abu Bakrah RA

Pihak yang mengkritik hadis Abu Bakrah RA di atas adalah kerana perawinya, Ziyad bin Kusaib majhul. Sebenarnya beliau dikategorikan oleh Ibn Hibban dalam kalangan perawi thiqah. Pihak yang tidak menerima penilaian Ibn Hibban, tidak boleh menafikan bahawa hadis tersebut adalah hasan menurut metode Ibn Hibban. Malah, ulama hadis mutaqaddimin tidak pun mempertikaikan kaedah Ibn Hibban kecuali yang terdapat bantahan terhadapnya sahaja.   

 

Apa pun, Ziyad bin Kusaib tidak bersendirian dalam riwayatnya kerana beliau disokong oleh ‘Abdur Rahman bin Abi Bakrah, meskipun jalur riwayatnya agak daif - antaranya kerana ada perawi yang tidak disebut nama - dengan lafaz (lihat as-Sunnah oleh Ibn Abi ‘Asim no. 1025):

" مَن أجَلَّ سلطانَ الله، أجلَّه اللهُ يومَ القيامة ".

Barangsiapa yang memuliakan sultan Allah (pemerintah), maka Allah akan memuliakannya di hari kiamat kelak”.  

 

Pihak yang mengkritik juga - seperti al-Munawi dalam Faidh al-Qadir - turut melemahkan Saad bin Aus. Namun, sebenarnya terdapat perselisihan tentangnya. al-Hafiz Ibn Hajar merumuskan kedudukannya sebagai saduq (benar), namun mempunyai kesilapan-kesilapan. Secara ringkas, hadis Abu Bakrah RA ini secara keseluruhan tidaklah terlalu daif. 

 

*Hadis-hadis Sokongan

 

i. Hadis Abu Hurairah RA

Hadis Abu Bakrah RA sebenarnya mempunyai sokongan yang dapat mengukuhkannya, iaitu daripada hadis Abu Hurairah RA yang diriwayatkan oleh Ibn an-Najjar dengan lafaz:

السُّلْطَانُ ظِلُّ اللهِ فِي الْأَرْضِ، يَأْوِيْ إِلَيْهِ الضَّعيفُ، وَبِهِ ينتَصِرُ المظلومُ، وَمَنْ أَكْرَمَ سُلْطَانَ الله فِي الدُّنْيَا أَكْرَمَهُ اللهُ يَوْم َالقِيَامَةِ

Sultan (pemerintah) adalah naungan Allah di muka bumi; yang mana orang lemah dapat berlindung kepadanya dan orang yang dizalimi dapat dibantu. Barangsiapa yang memuliakan sultan Allah (pemerintah) di dunia, maka Allah akan memuliakannya di hari kiamat kelak.”

 

Imam as-Suyuti dalam al-Jami‘ as-Saghir (4817) mengisyaratkan statusnya sebagai hasan. Namun, pada sanadnya terdapat Ahmad bin ‘Abd ar-Rahman bin Wahb seorang yang dikritik. Justeru, al-Munawi di dalam at-Taisir menyatakan: “Sanadnya daif”.  

 

ii. Hadis Huzaifah RA

Antara yang dapat menyokong makna hadis Abu Bakrah RA juga ialah hadis Huzaifah RA yang diriwayatkan oleh al-Bazzar dengan lafaz:

ما مِن قومٍ مشَوا إلى سلطانِ اللهِ ليذلُّوه إلاَّ أذلَّهم اللهُ قبلَ يومِ القيامة.

“Tiadalah suatu kaum yang berjalan menuju kepada sultan Allah (pemerintah) untuk menghinakannya melainkan Allah akan menghinakan mereka sebelum hari kiamat lagi”.  

 

Kata al-Haithami dalam Majma‘ az-Zawa’id: “Para perawinya adalah para perawi kitab as-Sahih kecuali Kathir bin Abi Kathir at-Tamimi, namun beliau thiqah”. Walaupun sebenarnya terdapat perselisihan tentang status Kathir bin Abi Kathir, namun sanad hadis ini sekurang-kurangnya adalah hasan.  

 

iii. Hadis Abu Zar RA

Antara yang dapat menyokong maknanya juga ialah hadis Abu Zar RA dengan lafaz:

"إِنَّهُ كَائِنٌ بَعْدِي سُلْطَانٌ فَلَا تُذِلُّوهُ، فَمَنْ أَرَادَ أَنْ يُذِلَّهُ فَقَدْ خَلَعَ رِبْقَةَ الْإِسْلَامِ مِنْ عُنُقِهِ، وَلَيْسَ بِمَقْبُولٍ مِنْهُ تَوْبَةٌ حَتَّى يَسُدَّ ثُلْمَتَهُ الَّتِي ثَلَمَ، وَلَيْسَ بِفَاعِلٍ، ثُمَّ يَعُودُ فَيَكُونُ فِيمَنْ يُعِزُّهُ ".

'Sesungguhnya akan ada selepasku nanti sultan/penguasa, maka janganlah kalian menghinakannya. Maka, barangsiapa yang hendak menghinakannya, maka bererti dia telah menanggalkan ikatan Islam daripada lehernya dan tidak akan diterima daripadanya taubat sehinggalah dia menutupi rekahan yang dia lakukan, sedangkan dia tidak akan dapat melakukannya. Kemudian (jika berjaya) ia kembali semula, lalu menjadi sebahagian orang yang memuliakannya."

 

Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya (21460) dan Ibn Abi ‘Asim dalam kitab as-Sunnah (no. 1079) dengan sanad yang daif kerana perawi daripada Abu Zar RA tidak disebutkan namanya. Manakala dalam satu riwayat Ibn Abi ‘Asim, namanya disebut sebagai Nusair Maula Khalid dan hanya Ibnu Hibban sahaja yang mengkategorikannya sebagai thiqah dalam kitab at-Thiqat. Maka, boleh dikatakan sanad hadis ini adalah hasan mengikut metode beliau.    

 

iv. Hadis Abu ‘Ubaidah RA

Antara yang dapat menyokong maknanya lagi adalah hadis Abu ‘Ubaidah RA dengan lafaz:

« لا تسُبُّوا السلطانَ؛ فإنه ظلُّ اللهِ في الأرضِ ».

“Janganlah kalian mencaci sultan, kerana sesungguhnya ia adalah naungan Allah di muka bumi”.

 

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Abi ‘Asim dalam kitab as-Sunnah (no. 1013) dengan sanad yang amat daif.  

 

v. Hadis-hadis sokongan lain

Juga terdapat beberapa riwayat lain yang rangkap awalnya berbunyi: (السُّلْطَانُ ظِلُّ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ) “Sultan adalah naungan Allah di muka bumi” daripada Abu Bakr RA, ‘Umar RA, Ibn ‘Umar RA dan Anas RA, tetapi riwayat-riwayat tersebut dikritik dan dinilai antara daif dan amat daif oleh para ulama. Hadis Anas RA misalnya, dikritik oleh Imam Abi Hatim - sepertimana dalam kitab ‘Ilal al-Hadith - sebagai hadis munkar kerana seorang perawinya bernama Ibn Abi Rukbah adalah majhul.  

 

Hadis sekalipun dinilai daif, bukan bererti palsu. Ia masih tetap ada ruang untuk diamalkan, iaitu sebagai motivasi atau galakan dan ancaman (at-targhib wa at-tarhib). Hukum beramal dengan hadis daif dari aspek tersebut adalah harus menurut jumhur ulama. Apakah kita tidak mahu dimuliakan oleh Allah SWT; atau apakah kita tidak takut akan dihinakan oleh Allah SWT?

 

Ini tidak bertentangan sedikit pun dengan hadis galakan berkata benar iaitu:

أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ.

"Jihad yang paling utama ialah menyampaikan kalimah yang benar kepada sultan/penguasa yang zalim." (HR Abu Dawud, Ibn Majah dan at-Tirmizi, katanya: Hasan gharib). Ini kerana masing-masing ada tempat dan masa ia diperlukan.

 

*Rumusan Status Hadis

Walaupun mungkin setiap satu jalan riwayat hadis di atas tidak lepas daripada kritikan sesetengah pihak, namun semuanya secara majmuk mampu saling kuat menguatkan antara satu sama lain dari segi makna sama yang terkandung di dalamnya. Justeru, setelah meneliti semua jalan riwayat dan pandangan ulama, maka kami lebih cenderung mengatakan bahawa makna hadis Abu Bakrah RA yang dibincangkan di awal tadi adalah harus meningkat kepada status hasan li-ghairih berdasarkan sokongan daripada himpunan makna kesemua hadis berkenaan. Malah, nilai hasan ini terlebih dahulu telah pun dikemukakan oleh Imam at-Tirmizi di dalam Sunannya.        

 

Bahkan, Syeikh al-Albani yang telah mendaifkan hadis ini di dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha‘ifah turut menilainya sebagai hasan juga di dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah dan Zilal al-Jannah fi Takhrij al-Sunnah berdasarkan jalan-jalan riwayatnya. Manakala Dr. Ibrahim bin as-Siddiq dalam kitab Maqalat wa Muhadharat fi al-Hadith as-Syarif (hlm. 89) menyatakan rangkap hadis: “Sultan adalah naungan Allah di muka bumi” merupakan rangkap hadis yang sabit, masyhur lagi mustafidh daripada Nabi SAW. 

 

Jelasnya, kita diperintahkan agar menghormati pemerintah dan dilarang daripada menghina dan mencela mereka tanpa sebarang sebab yang dibenarkan syarak. Maka, berpadalah dalam memberi teguran mengikut adab Islam yang betul dan janganlah bertindak melampau dalam mengkritik pemerintah sehingga mencaci maki dan menghinanya. Kelemahan dan kekurangan pasti ada, tapi bukan bermakna kita boleh biadap terhadap mereka di luar adab Islam sesuka hati. Manakala memang sudah menjadi tanggungjawab pemerintah pula untuk menjaga dan melindungi rakyat daripada sebarang kezaliman, penganiayaan dan juga kesusahan. Tentunya ini merupakan suatu tugas berat kerana semuanya akan dipersoalkan oleh Allah SWT di hari akhirat kelak.

 


Monday, September 28, 2020

Ahli Bait Umpama Kapal Nabi Nuh عليه السلام

 

Soalan:

 

مثل أهل بيتي فيكم كمثل سفينة نوح في قوم نوح ، من ركبها نجا، ومن تخلف عنها هلك، ومثل باب حطة في بني إسرائيل .

روى الطبراني بسنده عن أبي ذر .

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Mohon pencerahan Dr tentang status hadith di atas dalam membicarakan kelebihan Ahli bait.

 


Ulasan:

 

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

 

Hadis ini merupakan salah satu hadis mengenai fadha’il (kelebihan) Ahli Bait, iaitu ahli keluarga Baginda Nabi . Antara matan hadisnya yg masyhur: (مَثَلُ أهْل بيتِى مَثَلُ سَفِينةِ نُوحٍ، مَنْ رَكِبَها نَجَا، وَمَنْ تَخلفَ عَنها غَرِقَ). Maksudnya: “Perumpamaan Ahli Baitku adalah seumpama kapal Nabi Nuh AS. Sesiapa yang menaikinya akan selamat dan sesiapa yang tertinggal daripadanya akan tenggelam”.   

 

Hadis brbunyi demikian dan yg semakna dgnnya diriwayatkan melalui beberapa jalan riwayat spt brikut;

 

1. Hadis Ibn Abbas RA: (مثل أهل بيتى مثل سفينة نوح من ركب فيها نجا ومن تخلف عنها غرق).

 

HR al-Bazzar, at-Tabarani dlm al-Kabir dan Abu Nuaim dlm al-Hilyah. Kata al-Bazzar ttg al-Hasan bin Abi Jaafar: “Tidak kuat”. Kata al-Haithami: “Matruk”. Kata al-Bukhari: “Munkar al-hadith”. Kata Muslim b. Ibrahim: “Beliau termasuk golongan orang yang baik”. Kata Ibn ‘Adi: “Beliau di sisiku bukan dari kalangan org yang sengaja berdusta”. Kata Ibn Hibban: “al-Jufri termasuk dr kalangan ahli ibadat yg mustajab doanya, ttp beliau antara org yg mengabaikan seni hadis, maka tidak boleh brhujah dgnnya”. Kata Abu Bakr bin Abi al-Aswad drpd pakciknya ‘Abdur Rahman bin Mahdi: “Beliau tlh mengeluarkan kpdku kitab ad-Diyat, lalu meriwayatkan kpdku drpd al-Hasan b. Abi Jaafar. Lalu aku bertanya: Bukankah pakcik dulu tlh mengenepikan hadisnya? Jawab beliau: Wahai anakku, aku tlh merenunginya jika pd hari Kiamat kelak beliau bangkit lalu bergayut dgnku serta berkata: Ya Rabb, tanyakan kpd ‘Abdur Rahman sebab apa dia menggugurkan sifat adilku? Sedangkan aku tidak mempunyai hujah utk menjawab di sisi Tuhanku. Justeru itulah, aku berpendapat utk meriwayatkan semula hadis daripadanya”. (Mizan al-I‘tidal 1/482)

 

2. Hadis Ibn az-Zubair RA: (مثل أهل بيتى مثل سفينة نوح من ركبها سلم، ومن تركها غرق).

 

HR al-Bazzar dan pada sanadnya ada Ibn Lahi‘ah yang dikritik kedudukannya. Namun, riwayat2 sokongan lain menunjukkan beliau tidak bertafarrud (bersendirian) dlm meriwayatkan hadis ini.   

 

3. Hadis Abu Zar RA, yang mempunyai beberapa jalur riwayat spt berikut;

 

[i] HR at-Tabarani dan al-Bazzar dgn sanadnya trdapat al-Hasan bin Abi Jaafar drpd ‘Ali bin Zaid, kedua2nya adalah daif.

 

[ii] Dlm jalan riwayat at-Tabarani yg lain: (مثل أهل بيتى فيكم كمثل سفينة نوح فى قوم نوح من ركب فيها نجا ومن تخلف عنها هلك ومثل باب حطة فى بنى إسرائيل) trdapat pd sanadnya ‘Abdullah bin Abd al-Quddus perawi yg dinilai daif oleh jumhur dan ‘Abdullah bin Dahir al-Razi yg matruk.

 

[iii] Dlm riwayat al-Hakim: (مثل أهل بيتي مثل سفينة نوح من ركبها نجا ومن تخلف عنها غرق) trdapat pd sanadnya al-Mufaddal bin Solih. Walaupun dinilai oleh al-Hakim sbg: “Sahih menurut syarat Muslim”, namun kata az-Zahabi: “Mufaddal hanya dikeluarkan oleh at-Tirmizi shj dan para ulama mendaifkannya”. Kata at-Tirmizi: “Di sisi ahli hadis, beliau bukanlah begitu al-hafiz” [namun beliau menilai hadis riwayatnya sbg: Hasan Sahih (no. 2592)!]. Kata al-Bukhari: “Munkar al-hadith”. Kata Ibn ‘Adi: “Paling mungkar yg aku dapati padanya hadis al-Hasan b. ‘Ali RA, manakala baki keseluruhannya aku harap beliau sbg seorg yg lurus”. Namun, kata az-Zahabi dlm al-Mizan: “Hadis kapal Nabi Nuh lebih munkar, lebih munkar”. Penilaian az-Zahabi yg agak keras ini ditolak oleh Sayyidi Ahmad al-Ghumari dlm Fath al-Wahhab disebabkan hadis ini mempunyai brbagai jalur riwayat. Abu Ishaq as-Sabiie, thiqah mudallis, dan Hanasy bin al-Mu‘tamir, saduq terdapat kelemahan pdnya.

 

[iv] HR ad-Daulabi dlm al-Kuna (419) dan Abu as-Syaikh dlm al-Amthal (333): (مَثَلُ أَهْلِ بَيْتِي مَثَلُ سَفِينَةِ نُوحٍ مَنْ رَكِبَهَا نَجَا وَمَنْ تَرَكَهَا غَرِقَ). Dlm versi riwayat ad-Daulabi sanadnya sehingga Abu at-Tufail ‘Amir b. Wathilah RA saja. Manakala dlm riwayat Abu as-Syaikh, Abu at-Tufail RA sbenarnya mendengarnya drpd Abu Zar RA. Namun, pada sanadnya ada ‘Abdul Karim b. Hilal yang mnurut az-Zahabi dlm al-Mizan: “Tak diketahui siapa dia”.

 

4. Hadis Abu Said al-Khudri RA: (إنما مثل أهل بيتى فيكم كمثل سفينة نوح من ركبها نجا ومن تخلف عنها غرق وإنما مثل أهل بيتى فيكم مثل باب حطة فى بنى إسرائيل من دخله غفر له).

 

HR at-Tabarani dlm al-Saghir dan al-Awsat. Kata al-Haithami: “Padanya trdapat beberapa perawi yg aku tidak kenali.”

 

5. Hadis Anas bin Malik RA: (إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ أَهْلِ بَيْتِي كَسَفِينَةِ نُوحٍ مَنْ رَكِبَهَا؛ نَجَا وَمَنْ تَخَلَّفَ عَنْهَا؛ غَرِقَ).

 

HR al-Khatib al-Baghdadi dlm Tarikh Baghdad dgn sanadnya ada Aban bin Abi ‘Ayyasy, matruk menurut ramai pengkritik hadis spt Ahmad, Ibn Ma‘in, an-Nasaie, ad-Daraqutni dan Abu Hatim, serta tambahnya: “Beliau seorg yg soleh, ttp diuji dgn hafazan yg buruk”. Abu Zur‘ah ditanya: “Adakah beliau sengaja berdusta?” Jawabnya: “Tidak, beliau mendengar hadis drpd Anas dan org yg masyhur, juga drpd al-Hasan, namun beliau tidak membezakan antaranya”. Kata Malik b. Dinar: “Aban bin Abi ‘Ayyasy adalah burung merak para qurra’ (طاوس القراء)”. Kata Ayyub: “Kami sentiasa mengenali beliau dengan kebaikan sejak dulu lagi”. Namun, Syu‘bah mengkritik beliau dgn cukup keras sekali hingga menuduhnya berdusta.     

 

6. Athar ‘Ali bin Abi Talib RA, iaitu:

 

عَنْ عَبَّادِ بْنِ عَبْدِ الله الأَسْدِىِّ قَالَ: بَيْنَا أَنَا عِنْدَ عَلىِّ بْنِ أَبِى طَالبٍ فِى الرَّحْبَةِ إِذْ أَتَاهُ رَجُلٌ فَسَأَلَهُ عَنْ هذِهِ الآيَةِ: {أَفَمَنْ كَانَ عَلَى بَيِّنَةٍ مِنْ رَبِّهِ وَيَتْلُوهُ شَاهِدٌ مِنْهُ} فَقَالَ: مَا مِنْ رَجُلٍ مِنْ قُرَيْشٍ جَرَتْ عَلَيْهِ الْمُوسَى إِلاَّ قَدْ نَزَلَتْ فِيه طَائِفَةٌ مِنَ الْقُرْآنِ وَالله وَالله (لاَ يَكُونوا تَعْلَمُونَ مَا سَبَقَ لَنا عَلَى لِسَانِ النَّبِىِّ الأُمِّىِّ - صلى الله عليه وسلم - إِلَىَّ مِنْ أَنْ يَكُون لِى) مِلْءُ هَذِهِ الرَّحْبَةِ ذَهَبًا وَفِضَّةً، والله إِنَّ مَثَلَنَا فِى هَذِهِ كَمَثَلِ سَفِينَةِ نُوحٍ فِى قَوْمِ نُوحٍ، وَأَنَّ مَثَلَنَا في هذِهِ الأُمَةِ كَمَثَل بَابِ حِطَّة فِى بَنِى إِسْرائِيلَ". أبو سهل القطان في أماليه، وابن مردويه. والرحبة: محلة بالكوفة

 

Sumbernya menurut as-Suyuti dlm al-Jami‘ al-Kabir: “Abu Sahl al-Qattan dlm kitab Amalinya dan Ibn Marduyah dlm Tafsirnya”. Manakala dlm ad-Durr al-Manthur: “Ibn Abi Hatim, Ibn Marduyah dan Abu Nuaim dlm kitab al-Ma‘rifah”. Bagaimanapun, ‘Abbad adalah daif (Taqrib 1/392).

 

Status Hadis:

 

Imam as-Suyuti dlm al-Jami‘ as-Saghir menilai brdasarkan majmuk tiga jalan riwayat pertama di atas sbg sahih. Zahirnya beliau mengambil kira penilaian al-Hakim. Apa pun secara ringkas, kesemua riwayat ini meskipun bermasalah setiap satunya, namun ia saling kuat menguatkan antara satu sama lain dan secara majmuk meningkatkan makna hadis paling tidak drp daif kepada hasan li-ghairih.  

 

Wallahu a‘lam.

Monday, April 6, 2020

Dukhan, 15 Ramadhan dan Covid-19


Matlamat yang baik dalam berdakwah tidak menghalalkan kita untuk menyampaikan perkara yang tidak tepat, salah atau sekadar rekaan. Hadis mengenai ‘suara keras’ yang kononnya akan berlaku pada tanggal 15 Ramadhan tahun ini (8 Mei 2020) yang jatuh pada hari Jumaat telah dijelaskan sebelum ini sebagai hadis yang tidak sahih atau palsu. (lihat entri terdahulu: https://sawanih.blogspot.com/2020/04/ulasan-hadis-suara-keras-di-bulan.html)

Meskipun terdapat hadis-hadis lain yang menyebut tentang ‘suara atau bunyi keras’ secara umum, namun tiada satu riwayat pun yang menyebut ianya sebagai Dukhan (asap), salah satu tanda besar hari Kiamat. Oleh kerana kurang mengkaji dan meneliti, maka dengan berpegang kepada hadis palsu tersebut, ada yang menetapkan bahawa peristiwa yang bakal berlaku pada 15 Ramadhan itu ialah Dukhan (asap)!

Benarkah demikian? Kekurangan dalam mengkaji dan meneliti seperti ini sering menyebabkan berlaku banyak percampuran fakta yang akhirnya melahirkan maklumat yang silap dan tidak benar sama sekali. Lebih parah apabila maklumat yang salah ini disebarkan oleh mereka yang ucapannya didengar oleh masyarakat awam.

Dukhan Termasuk 10 Tanda Besar

Kita tidak menafikan akan munculnya Dukhan (asap) di akhir zaman, namun menetapkan Dukhan akan muncul pada tarikh tertentu tersebut hanyalah daripada sangkaan semata-mata dan tidak bersandar kepada dalil yang kuat. Kemunculan Dukhan ada disebut dalam hadis yg sahih, sedangkan kemunculan ‘suara atau bunyi keras’ pada 15 Ramadhan itu bersandarkan kepada hadis yang palsu.

Jika sahih sekalipun hadis-hadis lain tentang kemunculan ‘suara atau bunyi keras’ pada bulan Ramadhan itu, maka ia menjadi petanda hampirnya kemunculan Imam al-Mahdi dan bukannya petanda besar hampirnya hari Kiamat. Sedangkan kemunculan Dukhan merupakan petanda besar bagi hari Kiamat berdalilkan hadis sahih daripada Huzaifah bin Asid al-Ghifari RA katanya: Sabda Nabi SAW:
إِنَّ السَّاعَةَ لَنْ تَقُومَ حَتَّى تَرَوْنَ قَبْلَهَا عَشْرَ آيَاتٍ - فَذَكَرَ - الدُّخَانَ، وَالدَّجَّالَ، وَالدَّابَّةَ، وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنُزُولَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَيَأَجُوجَ وَمَأْجُوجَ، وَثَلَاثَةَ خُسُوفٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ، وَآخِرُ ذَلِكَ نَارٌ تَخْرُجُ مِنَ الْيَمَنِ، تَطْرُدُ النَّاسَ إِلَى مَحْشَرِهِمْ. (رواه مسلم والترمذي، وأبو داود وابن ماجه)
Maksudnya : 
“Sesungguhnya hari Kiamat tidak akan berlaku sehingga kamu lihat sebelumnya sepuluh tanda besar, iaitu Dukhan (asap), Dajjal, ad-Dabbah (seekor haiwan yang keluar drpd bumi), terbit matahari dari Barat, tanah tenggelam di Timur, turunnya ‘Isa bin Maryam AS, Ya’juj dan Ma’juj, tiga kejadian tanah tenggelam; tanah tenggelam di Timur, tanah tenggelam di Barat dan tanah tenggelam di semenanjung Arab. Akhir sekali ialah api yang keluar dari sebelah Yaman yang akan menghalau umat manusia ke tempat perhimpunan mereka”. (HR Muslim, al-Tirmizi, Abu Dawud dan Ibn Majah)     

Asas Dakwaan

Kemungkinan dakwaan ‘suara atau bunyi keras’ itu sebagai Dukhan (asap) berpunca daripada riwayat-riwayat yang difahami secara keliru, seperti riwayat Ibn Abi Mulaikah katanya: “Aku pernah pergi berjumpa Ibn ‘Abbas RA pd suatu hari”, lalu beliau berkata: “Aku tidak dapat tidur malam tadi sehinggalah pagi”. Aku bertanya: “Kenapa?” Jawabnya: “Orang-orang mengatakan ada bintang berekor (komet) telah muncul, maka aku khuatir Dukhan telah muncul. Lalu aku pun tidak dapat tidur sehingga pagi”. (HR ‘Abd al-Razzaq, Ibn Jarir dlm Tafsirnya, Ibn Abi Hatim dan al-Hakim, katanya: “Sahih menurut syarat Syaikhain”. Menurut Ibn Kathir, ia sanad yg sahih kepada Ibn ‘Abbas RA).

Bagaimanapun menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari: “Aku khuatir ini merupakan tashif (kesilapan ejaan dlm riwayat berkenaan), tetapi yang sebenar ialah ‘Dajjal’ (bukan ‘Dukhan’)”. Jika sabit sekalipun perkataan ‘Dukhan’ itu, ia hanya suatu sangkaan dan tidak menetapkan bahawa bintang berekor (komet) itu akan menyebabkan Dukhan kerana kemunculannya juga sudah terjadi berulang kali selepas itu.   

Kemungkinan juga dakwaan itu bersandarkan kepada satu riwayat yang agak lemah dan tidak dapat dipegang, yang mengaitkan antara langit dengan Dukhan, daripada Huzaifah bin al-Yaman RA katanya: “Ya Rasulullah, apakah Dukhan itu?” Lalu Rasulullah SAW membaca ayat ini:
فَٱرۡتَقِبۡ يَوۡمَ تَأۡتِي ٱلسَّمَآءُ بِدُخَانٖ مُّبِينٖ يَغۡشَى ٱلنَّاسَۖ هَٰذَا عَذَابٌ أَلِيمٞ 
Terjemahan: “Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat), yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu), sehingga mereka akan berkata: Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan” (ad-Dukhan: 10-11). Ia akan memenuhi antara Timur dan Barat, kekal selama 40 hari dan malam. Adapun orang mukmin, maka ia akan menimpanya seperti keadaan selesema. Adapun orang kafir, maka ia menjadi seumpama orang mabuk, ia keluar dari hidung, telinga dan duburnya”. (HR Ibn Jarir al-Tabari dlm Tafsirnya, namun menurutnya ia tidak sahih (25/68). Menurut Ibn Kathir dlm Tafsirnya, ia maudhu‘ dengan sanad ini. Kata al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari: Sanadnya daif)

Apakah Dukhan?

Tidak banyak hadis sahih yang menyebut tentang Dukhan (asap) secara terperinci. Ia disebut secara ringkas di dalam hadis yang sahih, dan secara sedikit terperinci di dalam hadis-hadis yang daif seperti berikut;

1.     Hadis Abu Malik al-Asy‘ari RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Tuhan kalian telah memperingatkan kalian tiga perkara, iaitu; Dukhan yang akan menimpa orang mukmin seperti selesema dan menimpa orang kafir, lalu ia memenuhi tubuhnya sehingga keluar dari setiap rongga telinganya. Kedua, ad-Dabbah dan ketiga, Dajjal.” (HR Ibn Jarir al-Tabari dlm Tafsirnya dan al-Tabarani dlm al-Kabir. Menurut Ibn Kathir, ia sanad yang baik. Namun, sanadnya terputus, justeru kata al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari: Sanadnya daif)  

2.     Hadis Abu Sa‘id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dukhan akan menyelebungi umat manusia. Adapun orang mukmin, ia akan menimpanya seperti selesema. Adapun orang kafir, maka ia akan memenuhi tubuhnya sehingga keluar dari setiap rongga telinganya”. (HR Ibn Abi Hatim. Namun, Ibn Abi ‘Arubah meriwayatkannya drpd kata-kata Abu Sa‘id al-Khudri RA sahaja. Kata al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari: Sanadnya daif)  

3.     Hadis Huzaifah bin al-Yaman RA yang menyebut: “Dukhan akan memenuhi antara Timur dan Barat, kekal selama 40 hari dan malam. Adapun org mukmin, maka ia akan menimpanya seperti keadaan selesema. Adapun orang kafir, maka ia menjadi seumpama orang mabuk, ia keluar dari hidung, telinga dan duburnya”. al-Tabari menilai hadis ini sebagai tidak sahih. Ibn Kathir pula menilai sanadnya maudhu‘. Manakala al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari hanya menilai sanadnya daif, namun menurut beliau, jika sabit hadis Huzaifah RA ini, kemungkinan orang yang dibantahi kata-katanya dalam hadis Ibn Mas‘ud RA ialah Huzaifah RA yang berkata: “Sesungguhnya akan keluar drpd bumi Dukhan, lalu akan memasuki rongga telinga orang kafir dan akan menimpa orang mukmin seperti keadaan selesema.” (HR at-Tirmizi dan katanya: Hasan sahih)  

4.     Athar ‘Abdullah bin ‘Umar RA kata beliau: “Dukhan akan keluar, lalu menimpa orang mukmin seperti keadaan selesema dan memasuki rongga telinga orang kafir dan munafik sehingga ia menjadi seperti kepala yang dipanggang” (HR Ibn Jarir dlm Tafsirnya. Kata al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari: Sanadnya daif)


5.     Athar ‘Ali bin Abi Talib RA kata beliau: “Tanda Dukhan belum lagi berlalu, yang akan menimpa orang mukmin seperti keadaan selesema dan memenuhi tubuh orang kafir sehingga ia keluar semula (dari setiap rongganya)”. (HR ‘Abd al-Razzaq dan Ibn Abi Hatim. Demikian disebut dlm Fath al-Bari)

Meskipun kebanyakan riwayat ini daif, namun al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari merumuskan: “Banyaknya hadis-hadis ini menunjukkan bahawa yang demikian itu ada asalnya.” Maksudnya, kadar makna yang disepakati dalam riwayat-riwayat tersebut saja yang boleh dijadikan dalil, iaitu Dukhan ini akan memudaratkan orang kafir, namun tidak begitu memudaratkan orang mukmin. Justeru, dakwaan yang mengatakan Dukhan ialah “asap tebal yang gelap selama 40 Hari 40 Malam yang sangat panas dan gelap gelita”, dan “Dukhan membuat kita kehabisan air dan air menjadi kotor sehinggakan mesin membersihkan air tidak mampu bertahan”, kesemuanya ini hanya dakwaan, rekaan dan percubaan untuk memperincikannya, berlandaskan riwayat-riwayat yang kebanyakannya tadi adalah daif.

Covid-19 dan Dukhan

Antara yang menghairankan, dakwaan tersebut cuba mengaitkan pula Dukhan dengan wabak Covid-19 yang sedang melanda masa kini. Menurut dakwaan itu, “Beberapa ustadz mengatakan bahawa "sebelum datang Dukhan ada virus yang membunuh akan menakluki bumi", tarikh ceramah: 13/10/2019. Tarikh ini sebelum berlakunya virus Covid-19. Ternyata seperti benar!” Dakwaan yang tidak berasas seperti ini tentunya boleh menyebabkan keresahan dan kegusaran kepada masyarakat, sedangkan ia tidak disandarkan kepada sebarang dalil.  

Tiada riwayat yang menyebut sebarang tanda sebelum kemunculan Dukhan, malah para ulama berselisih pendapat mengenai kedudukan Dukhan dalam susunan tanda-tanda besar Kiamat yang sepuluh. Imam Muslim sendiri di dalam Sahihnya, mempunyai dua riwayat yang berbeza dari segi susunannya. [i] Riwayat pertama menyebut yang mula-mula ialah Dukhan (asap), kemudian Dajjal, ad-Dabbah (atau Dabbat al-Ardh), terbit matahari dari Barat, turunnya ‘Isa AS, keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, tiga kejadian tanah tenggelam dan api yang menghalau manusia ke tempat perhimpunan mereka. [ii] Manakala riwayat kedua menyebut yang mula-mula ialah tiga kejadian tanah tenggelam, Dukhan (asap), kemudian Dajjal, ad-Dabbah, Ya’juj dan Ma’juj, terbit matahari dari Barat, api yg menghalau manusia dan turunnya ‘Isa AS.

Malah ada pelbagai lagi versi riwayat yang lain. Kesemua riwayat ini hanya bermaksud untuk menghimpunkan perkhabaran mengenai perkara-perkara tersebut semata-mata dan bukannya bertujuan untuk menentukan penyusunannya. Malah, berdasarkan dalil-dalil lain, tanda-tanda besar Kiamat tidak terbatas kepada 10 perkara tersebut kerana masih ada lagi tanda-tanda yang lain, seperti kemunculan Imam al-Mahdi dan perang besar (al-malhamah al-kubra) yang akan tercetus di zamannya. Ini menjadikan kemunculan Dukhan tidak jelas tempoh masanya, adakah ia sebelum kemunculan al-Mahdi ataupun selepasnya?

Berdasarkan hadis-hadis yang sabit dan perbahasannya di dalam kitab-kitab seperti kitab Fath al-Bari oleh al-Hafiz Ibn Hajar, al-Tazkirah oleh al-Qurtubi, Tuhfat al-Ahwazi oleh al-Mubarakpuri dan sumber-sumber lain, susunan tanda-tanda besar Kiamat menurut kadar yang disepakati, mesti didahului dengan [i] kemunculan Imam al-Mahdi, [ii] diikuti perang besar (al-malhamah al-kubra), [iii] kemudian Dajjal, [iv] turunnya ‘Isa AS, [v] Ya’juj dan Ma’juj, seterusnya [vi] ad-Dabbah atau [vii] terbit matahari dari Barat dan [viii] api yang akan menghalau umat manusia.

Adapun Dukhan (asap) dan tiga kejadian tanah tenggelam di Timur, Barat dan semenanjung Arab, maka ia diperselisihkan oleh para ulama dari segi kedudukan susunannya, sama ada di awal, di tengah ataupun di akhir. Hanya Allah SWT saja yang lebih mengetahui.   

Kesimpulan

Ringkasnya, dakwaan yang mengatakan Dukhan akan muncul pada hari Jumaat tanggal 15 Ramadhan adalah dakwaan yang hanya disandarkan kepada prasangka dan hadis palsu yang kononnya akan muncul ‘suara atau bunyi keras’ pada tarikh itu. Ianya jelas tidak berlandaskan kepada dalil yang kuat, tanpa kita menafikan kudrat dan ilmu Allah SWT mengenainya. Menyeru masyarakat untuk bertaubat dan berbuat amal soleh merupakan satu tujuan yang baik, namun tidak sepatutnya perlu dilakukan dengan dakwaan-dakwaan yang tidak jelas, direka atau tidak berasas sama sekali.

Wallahu a‘lam.