Pages

Showing posts with label Fikrah. Show all posts
Showing posts with label Fikrah. Show all posts

Tuesday, February 11, 2020

Kemuktabaran Ilmu Kalam, Nazar dan Ra’yi



Disiplin pengajian Islam berkembang drpd disiplin yg bersifat taklim scara terpimpin kepada disiplin yg bersifat sistematik dan bertakhassus tanpa menghilangkan aspek konsistensi dan autentik padanya. Kesepaduan ilmu dalam kalangan sarjana Islam yg awal kemudian tercurah kpd generasi seterusnya dalam bentuk disiplin-disiplin yg mula tersusun.  

Namun, dalam proses penyusunan tersebut, pelbagai pertentangan pendapat berlaku antara para ilmuwan Islam peringkat awal. Antara yg terbesar ialah pertentangan antara Ahli al-Hadith dan Ahl al-Ra’yi dalam bidang fiqah, dan seterusnya Ahli al-Hadith dan Ahli Kalam dlm bidang akidah. [Selain Ahli Kalam mereka juga disebut Ahli al-Nazar أهل النظر]

Bagaimanapun, perselisihan akhirnya dapat diterima sebagai perbezaan pandangan yg muktabar dari aspek perbezaan metodologi yg digunakan dengan pensyaratan tidak menyimpang dari landasan usul syarak yg disepakati. Integrasi antara disiplin ilmu juga kemudian kembali dalam kalangan para sarjana Islam sehingga melahirkan tenaga pakar yg multi-disiplin.

Penguasaan dalam sesuatu bidang juga menjadi pilihan bagi sebahagian sarjana sehingga menjadikannya rujukan utama di dalam bidangnya dan tidak mampu untuk ditandingi oleh para sarjana bidang lain. Kesepaduan disiplin pengajian Islam pada hari ini hakikatnya telah melalui pelbagai cabaran dan pengalaman berharga yg patut dijadikan pedoman.

Adapun pergesaran-pergeseran sengit yg masih terus berlaku hingga ke hari ini dalam disiplin pengajian muktabar, kelazimannya adalah disebabkan oleh salah satu drpd tiga faktor berikut; iaitu sama ada: [i] KETAKSUBAN, [ii] KEUJUBAN atau [iii] KEJAHILAN.

Sama ada ketaksuban dalam kalangan ahli ilmu, keujuban dalam kalangan penuntut ilmu atau kejahilan dalam kalangan awam, kesemuanya menatijahkan hasil yg sama, iaitu situasi keruh dan keliru dalam masyarakat. Sedangkan perkara ini tidak sewajarnya berlaku jika kefahaman terhadap perbezaan manhaj dan penguasaan terhadap disiplin ilmu itu adalah mantap dan bersepadu.

Jelasnya, mereka yg masih gemar menimbulkan situasi keruh dan keliru dalam masyarakat hakikatnya merupakan sama ada golongan yg taksub, ujub ataupun jahil. Ini berlaku antaranya disebabkan sengaja memaksakan tafsiran tunggal dalam keluasan medan syarak, penggunaan istilah yg sama bagi kandungan makna-makna yg berbeza, pengabaian kanun akal dan balaghah, serta tidak peduli ttg perubahan situasi dan peredaran masa dalam isu yg diperkatakan.

Golongan seperti ini hakikatnya ibarat ‘rumah sudah siap, tapi pahat masih berbunyi’. Justeru, tuan rumah adalah berhak untuk mendiamkan pahat yang sedang berbunyi itu…       



Monday, November 27, 2017

MALAYSIA SEBAGAI PUSAT MANHAJ HADIS MAZHAB SYAFII???

MALAYSIA SEBAGAI PUSAT MANHAJ HADIS MAZHAB SYAFII???

1. Pernah suatu masa dahulu, kebanyakan bidang hadis dikuasai oleh ulama mazhab SYAFII sehingga ulama2 mazhab lain hanya skadar mengikut usul & kaedah ilmu hadis yang telah dibangunkan oleh alim ulama Syafii spt al-Hakim an-Naisaburi, al-Khatib al-Baghdadi, Ibn as-Solah, al-Nawawi, al-‘Iraqi, Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Sakhawi, al-Suyuti dsb. Namun, pada masa kini, ulama Syafii tidak lagi menonjol sebagaimana zaman kegemilangan tokoh2 hadis mereka. Manhaj hadis mereka kelihatan tenggelam dalam ‘gelombang’ kebangkitan hadis di benua India dan Timur Tengah.

2. Meskipun ‘gelombang’ kebangkitan hadis kini zahirnya di atas keghairahan untuk kembali kepada sunnah Nabi SAW yang tulen, namun hakikatnya sama ada kita sedar atau tidak, ia juga bertitik tolak daripada dorongan fahaman dan unsur kemazhaban. Tulisan ini bukan bertujuan utk mengupas tentang perselisihan antara mazhab, tetapi lbh bertujuan ingin menyorot tentang manhaj hadis yang melatari ‘gelombang’ kebangkitan hadis pada masa sekarang ini.  

3. Sejak kurun ke-12 H, benua India masyhur disebut sebagai pusat pengajian hadis. Sehingga kini, banyak pusat pengajian hadis yang telah dibangunkan oleh alim ulama India. Namun, ada dua aliran yang berbeza di kalangan mereka. Pertama, aliran hadis mazhab HANAFI yang merupakan pegangan majoriti ulama India. Dan kedua, aliran hadis manhaj ghair muqallidin yang mendakwa diri mereka tidak bertaklid dengan mazhab fiqh yang empat, tetapi mengikut mazhab Ahlul Hadis.

4. Aliran kedua di atas kemudian menular ke Timur Tengah dengan lebih pesat di zaman Syeikh Muhammad Rasyid Redha. Ia turut membangkitkan manhaj hadis mazhab HANBALI di Arab Saudi dan juga manhaj hadis Nuqqad Mutaqaddimin kemudiannya. Kedua-dua manhaj ini zahirnya kelihatan bersinonim kerana Imam Ahmad bin Hanbal sendiri adalah tergolong dalam kalangan Nuqqad Mutaqaddimin. Cuma bezanya, manhaj Nuqqad Mutaqaddimin tidak terikat dengan mana-mana mazhab fiqh. Ia berbeza pula dgn manhaj hadis ghair muqallidin lain yang hampir kebanyakannya mengikut usul & kaedah ilmu hadis susunan ulama Syafii sahaja seumpama Ibn as-Solah, al-‘Iraqi, Ibn Hajar al-‘Asqalani dll sptmn yang telah disebutkan. Bagaimanapun, kesamaan yang hampir ada pada kesemua mereka ialah kecenderungan kepada manhaj mutasyaddidin (aliran keras).

5. Manakala Maghribi yang menjadikan mazhab MALIKI sbg mazhab rasmi sejak dahulu juga kelihatan sudah mula menghidupkan manhaj hadis mereka. Maka, jika diperhatikan, masing-masing manhaj hadis mempunyai negara yang menjadi pusat naungan dan perkembangan pengajian hadis mereka. Mazhab HANAFI mempunyai ulama benua India yang telah menggemblengkan banyak usaha dalam berkhidmat trhadapnya seperti ulama Deoband dan lain-lain. Mazhab HANBALI pula mempunyai ulama Arab Saudi yang juga telah membangunkan banyak usaha dalam mengembangkan manhaj hadisnya, sama ada mereka mengisytiharkannya atau pun tidak.   

6. Namun, mazhab SYAFII kini tidak bernasib seperti mazhab-mazhab tersebut, meskipun ia tersebar luas di banyak negara Islam. Ini kerana secara zahir, belum ada negara yang menjadi pusat naungan dan perkembangan pengajian hadis mereka. Meskipun pernah suatu masa dahulu, Makkah & Madinah (Hijjaz) dalam kurun ke 12 – 14 H hampir dapat dikatakan sebagai pusat rujukan hadis mazhab SYAFII. Sehinggalah ia ditutupi dengan kewafatan Musnid ad-Dunia Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani.

-          Justeru, jika mazhab HANAFI ada Deoband.
-          Mazhab HANBALI ada Arab Saudi.
-          Mazhab MALIKI ada Maghribi.
-          Bagaimana pula dgn mazhab SYAFII...?

7. Kemungkinan sudah sampai masanya, ulama Nusantara, khususnya Malaysia yang sejak sekian lama bermazhab dengan mazhab SYAFII melihat potensi untuk menjadikan rantau ini sebagai pusat manhaj hadis mazhab SYAFII. Dan saranan ini tentunya memerlukan kepada komitmen ramai pihak dan tidak dapat direalisasikan oleh hanya segelintir individu.

8. Perlu diingatkan, perbincangan mengenai manhaj hadis mazhab2 fiqh ini bukanlah berkait dgn soal menyeru kepada jumud dan taksub mazhab. Tidak sama sekali, tetapi ia berkait dengan soal ijtihad para ulama, berdasarkan kaedah (الاجتهاد لا ينقض بالاجتهاد) “Ijtihad tidak boleh dibatalkan dengan ijtihad lain”. Jadi sudah sampai masanya, alim ulama Malaysia mendalami dan menguasai semula manhaj hadis mazhab SYAFII, mengkaji dan menaikkan semula metode tokoh2 besar hadis mereka sendiri, seumpama al-Baihaqi, Ibn as-Solah, an-Nawawi, al-Rafii, Ibn Daqiq al-‘Id, al-Subki, al-Zarkasyi, al-‘Iraqi, Ibn Hajar, as-Sakhawi, as-Suyuti, al-Tarmasi dsb. tanpa trpengaruh dgn manhaj hadis pilihan sebahagian sarjana2 moden yg hakikatnya cenderung kepada manhaj mutasyaddidin...

Sekadar lontaran untuk difikirkan.


Thursday, December 26, 2013

Tak Pelik Ulama ‘Terguna’ Hadis Palsu


Ada perkara yang kita rasa biasa, sebenarnya ‘luar biasa’ pada orang lain.

Ada setengah orang berasa hairan apabila disebutkan ada hadis palsu dalam kitab seseorang ulama. Sebabnya ia berasa tak mungkin ulama menggunakan hadis palsu di dalam kitab-kitab mereka. Sudah pasti mereka maklum tentang larangan Nabi SAW dan ancaman balasan berat ke atas orang yang mereka-reka hadis palsu. Maka mana mungkin ulama akan menggunakan hadis-hadis palsu! Dengan perspektif ini, mereka merasakan mustahil terdapat hadis palsu di dalam kitab-kitab alim ulama. Kemungkinan rasa hairan ini disebabkan kurang pendedahan atau kurang memperdalami pengajian ilmu hadis.

Secara umum, memang kita disuruh supaya menghormati para alim ulama dan beradab sopan dengan mereka. Kita tahu kedudukan para ulama dalam Islam adalah tinggi. Bagaimanapun, mereka juga adalah manusia yang tidak terlepas dari kekurangan dan membuat kesilapan. Maka jika terdapat kekurangan dan kesilapan daripada mereka, ia adalah lumrah semula jadi manusia. Peranan kita ialah memahami sebabnya bukan menolak dan menidakkannya hingga mengangkat mereka ke tahap maksum atau merendah dan memperlekehkannya hingga menjatuhkan maruah mereka.

Kita seringkali melihat satu atau dua kesalahan seseorang sebagai ‘dosa’ yang menutup segala perbuatan baik dan soleh yang dilakukan sepanjang hidupnya. Demikian juga perspektif kita apabila melihat satu dua kesalahan atau kesilapan seseorang ulama. Padahal peratusnya barangkali terlalu kecil, mungkin 1% atau 2% berbanding 99% atau 98% kebaikan yang dilakukan...

Justeru, kewujudan hadis palsu di dalam kitab-kitab sesetengah ulama bukanlah sesuatu yang pelik dan menghairankan. Kita yakin, ia bukan perkara yang disengajakan oleh mereka. Ini kerana bukan semua ulama menghafaz dan menguasai keseluruhan riwayat hadis yang wujud yang jumlahnya ratusan ribu. Kemungkinan mereka menganggap hadis tersebut ada sumbernya yang boleh dirujuk cuma mereka tidak sempat merujuknya atau tidak sempat mengkaji dan menganalisisnya. Walaupun kita dapati setelah dikaji kemudian hadis tersebut tiada bersumber atau terdapat pendusta atau pemalsu hadis pada silsilah sanadnya. Sangka baik mereka itu tadi tidak menjadikan mereka sebagai penyebar hadis palsu secara sengaja.

Demikian juga ulama hadis yang meriwayatkan hadis-hadis palsu, mereka hanya sempat merekodkannya sahaja dan tidak sempat untuk mengkaji dan menilai status hadis-hadis tersebut. Mereka dianggap telah terlepas daripada beban tanggungjawab apabila mereka telah merekodkannya secara bersanad. Maka menjadi tugasan ulama yang datang kemudian untuk mengkaji dan menilainya.

Maka, kita perlu memahami sebabnya kenapa? Zaman para ulama dahulu amat jauh berbeza dengan zaman kita kini. Zaman dahulu amat sukar untuk memperolehi semua kitab yang dikarang, tidak sepertimana zaman ini. Kini kitab-kitab dicetak dan diedarkan secara meluas. Ia mudah diperolehi, bahkan dengan kewujudan internet kitab-kitab semakin mudah diperolehi sama ada secara berbayar atau percuma, sama ada dalam bentuk scan, elektronik mahu pun digital.

Maka, disebabkan sumber-sumber rujukan yang terbatas alim ulama dahulu mempunyai keuzuran yang boleh dimaafkan. Namun, kita kini tidak mempunyai sebarang keuzuran yang dapat dimaafkan jika kita terus menyebarkan hadis-hadis palsu. Ini kerana kini kita mempunyai semua keperluan yang ada untuk memastikan kesahihan atau kepalsuan sesuatu hadis. Tidak mengapa jika kepalsuan hadis itu tidak nyata kepada kita sesudah dikaji. Tetapi jika hadis itu telah nyata kepalsuannya seperti hadis yang hanya diriwayatkan oleh pendusta atau pemalsu hadis, atau hadis yang menyalahi semua nas-nas yang sabit dan tidak dapat ditakwil, maka haramlah hukumnya jika kita menyebarkannya.

Janganlah hairan jika terdapat hadis palsu di dalam kitab-kitab sesetengah ulama. Jika di kalangan ulama yang berkecimpung dengan hadis juga tidak terlepas dari memasukkan hadis palsu di dalam kitab-kitab mereka, apatah lagi ulama yang tidak berkecimpung di dalam bidang hadis. Saya ulangi, mereka mempunyai keuzuran dan ia tidak menafikan kedudukan mereka sebagai ulama yang wajar dihormati. Siapa kita untuk dibandingkan dengan mereka? Jika ia seorang alim yang ahli ibadat, tingkat kedudukan mereka jauh lebih tinggi di sisi Allah SWT berbanding diri kita. Tetapi kita tidak ada keuzuran seperti mereka untuk terus menyebarkan hadis-hadis palsu yang boleh dikesan kepalsuannya sekarang ini tanpa sebarang kesukaran.

Imam Ibn Majah adalah tokoh besar hadis. Namun, para ulama hadis bersepakat bahawa terdapat sejumlah hadis palsu di dalam kitab Sunannya. Begitu juga al-Hakim an-Naisaburi pengarang al-Mustadrak, ulama hadis juga bersepakat bahawa terdapat sejumlah hadis palsu di dalam kitabnya itu. Al-Khatib al-Baghdadi pengarang kitab Tarikh Baghdad juga tokoh hadis yang hebat, banyak menyusun kitab-kitab hadis secara bersanad. Namun, beliau turut meriwayatkan banyak hadis-hadis yang terdapat perawi pendusta atau pemalsu hadis pada silsilah sanadnya tanpa sebarang ulasan. Begitu juga dengan al-Hafiz Abu Nu‘aim al-Asbahani pengarang kitab Hilyah al-Awliya’, terdapat hadis-hadis yang dapat dihukum palsu di dalam kitab-kitab beliau. Tokoh-tokoh hadis besar yang lain seperti Imam at-Tabarani pengarang kitab-kitab al-Mu‘jam, Imam Ibn ‘Asakir ad-Dimasyqi pengarang kitab Tarikh Dimasyq, al-Hafiz Abu as-Syeikh al-Asbahani, al-Hafiz Ibn Syahin, Imam Ibn Abi ad-Dunya, al-Hafiz Ibn an-Najjar, al-Hafiz ad-Daylami, Imam al-Bayhaqi dan lain-lain kesemuanya turut meriwayatkan banyak hadis-hadis yang terdapat perawi pendusta atau pemalsu hadis pada sanad riwayat mereka.

Imam as-Suyuti, tokoh besar yang terkenal menguasai pelbagai bidang ilmu. Meskipun banyak menghasilkan karya-karya hadis, beliau didapati longgar dalam merekodkan hadis-hadis Nabi SAW. Misalnya dalam kitabnya al-Jami‘ as-Saghir, beliau syaratkan untuk tidak memuatkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh pendusta dan pemalsu hadis. Namun, didapati banyak hadis-hadis yang dapat dikatakan palsu kerana diriwayatkan oleh perawi pendusta dan pemalsu hadis, sepertimana yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ahmad al-Ghumari di dalam kitab al-Mughir.

Lebih menghairankan, Imam Ibn al-Jawzi yang terkenal dengan ketegasannya dalam mengkritik hadis seperti di dalam kitabnya al-Mawdu‘at yang mengumpulkan hadis-hadis yang dikatakan palsu, tetapi memuatkan sejumlah hadis palsu di dalam sebahagian karyanya yang lain seperti di dalam kitab Zam al-Hawa.

Imam Ibn Hazm az-Zahiri yang tegas dalam penilaian hadis-hadis juga pernah direkodkan menggunakan hadis palsu. Demikian juga Syeikh Ibn Taymiyyah dan muridnya, Syeikh Ibn Qayyim al-Juziyyah.

Saya juga teringat imam besar kita, Imam as-Syafi‘i pernah meriwayatkan hadis-hadis daripada gurunya, Ibrahim bin Abi Yahya yang dituduh sebagai pendusta oleh ramai tokoh hadis.

Kitab-kitab tafsir juga tidak terlepas dari memuatkan sejumlah hadis-hadis palsu, meskipun ketokohan dan kehebatan pengarangnya dalam bidang tafsir al-Quran. Antaranya seperti Imam at-Tha‘alibi, Imam an-Nasafi, Imam al-Qurtubi, Imam ar-Razi, Imam al-Khazin, Imam al-Baghawi, Syeikh Isma‘il Haqqi pengarang Ruh al-Bayan, Imam as-Sawi dan lain-lain.

Kelonggaran dalam merekodkan hadis-hadis Nabi SAW lebih meluas di dalam kitab-kitab suluk dan akhlak. Banyak didapati hadis-hadis yang tidak bersumber, hadis-hadis palsu, riwayat Israiliyyat dan munkar di dalamnya. Antaranya seperti karya-karya Abu al-Laith as-Samarqandi, as-Safuri, Imam al-Qusyairi, Syeikh ‘Abdul Qadir al-Jailani, Imam at-Tusi pengarang al-Luma‘, al-Hafiz as-Sulami pengarang Tabaqat as-Sufiyyah, Imam Abu Talib al-Makki pengarang Qut al-Qulub, Imam al-Ghazali pengarang Ihya’ ‘Ulumiddin, al-Mayyanisyi al-Makki, Syeikh al-Khubawi pengarang Durrah an-Nasihin dan lain-lain. Demikian juga halnya berlaku dalam karya-karya sirah nabawiyyah dan mawlid.

Keuzuran mereka dalam memuatkan hadis-hadis palsu sebenarnya boleh kita terima tanpa menghilangkan rasa hormat dan merendahkan kedudukan tinggi mereka sebagai ulama Islam. Kita yakin, jika mereka tahu ianya benar-benar hadis palsu, nescaya merekalah orang pertama yang paling jauh darinya. Kecintaan mereka yang tinggi terhadap Baginda Nabi SAW sudah cukup untuk memberikan kepada kita keyakinan tersebut. Kerana cinta kepada Nabi SAW itulah kita perlu membersihkan hadis-hadis Baginda SAW daripada sebarang pendustaan dan pemalsuan. Hak Nabi SAW sewajarnya lebih diutama dan didahulukan berbanding hak para alim ulama.

Maka, janganlah terlalu pelik dan terkejut jika ada yang kata terdapat hadis palsu dalam karya sekian sekian ulama. Jelas secara zahir, mereka sebenarnya tidak pun melihat kepalsuan hadis tersebut ketika menyalinkannya. Dan perlu kita ketahui bahawa setiap ilmu itu ada pakar-pakar rujuknya. Justeru, rujukkanlah setiap ilmu kepada ahlinya..

Semoga Allah SWT memberikan hidayah dan inayah-Nya buat kita semua. Wassalam.



Thursday, March 28, 2013

Spekulasi, Pendirian dan Kesyahidan Syeikh al-Buti رحمه الله


Hingga kini ramai yang masih bingung tentang pembunuhan al-‘Allamah Syeikh al-Buti.. Saya juga masih bingung memikirkannya. Tambah dukacita lagi, apabila ada orang Islam yang bersorak gembira atas kematian beliau..

Mengapa beliau dibunuh? Apakah semata-mata kerana beliau menyokong Rejim Asad? Jika jelas apakah ada dalil syar’i yang membenarkan darah seseorang muslim itu halal semata-mata kerana zahirnya ia menyokong pemimpin yang zalim? Sedang Nabi SAW menyatakan, tidak halal darah seseorang muslim itu melainkan dengan tiga perkara; iaitu penzina yang sudah berkahwin, membunuh orang tanpa hak dan orang yang meninggalkan agamanya, yang berpisah daripada jemaah muslimin (muttafaq ‘alaih).

Dalam pada itu, satu kumpulan jemaah jihad mendakwa merekalah yang bertanggungjawab atas pembunuhan Syeikh al-Buti dan mengancam pula untuk membunuh Mufti Syria, Syeikh Hassun. Meskipun wujud spekulasi lain yang mengatakan, beliau dibunuh oleh Rejim Asad sendiri kerana beliau mula cenderung dengan perjuangan rakyat Syria..

Di saat ramai umat Islam berduka atas pembunuhannya, sebahagian umat Islam lain bergembira dan bersyukur atas pembunuhan tersebut.. Disebabkan perbezaan mazhab dan pemikiran, mereka bukan sekadar bergembira dan bersyukur, bahkan mencaci dan mencerca Syeikh al-Buti yang sudah kembali menemui Allah SWT.. La hawla wala quwwata illa biLlah… Apakah Nabi SAW menganjurkan kita mencaci dan mencerca orang muslim yang sudah mati?! Lalu timbullah alasan-alasan dan dalil-dalil rekaan yang cuba membenarkan perbuatan mereka..

Hanya pada Allah SWT saja kita serahkan semua urusan..

Jika diamati dan difikirkan, tidak mungkin seorang alim besar menyokong pemimpin yang zalim secara membuta tuli tanpa sebarang apa-apa alasan yang munasabah. Tidak mungkin Syeikh al-Buti rela dan redha dengan pembunuhan dan penyembelihan yang dilakukan oleh Rejim Asad terhadap rakyatnya sendiri. Pasti ada sebab lain… Tulisan-tulisan dan kata-kata Syeikh al-Buti tidak pun menggambarkan yang beliau telah terkeluar daripada usul syarak. Bahkan semuanya masih menunjukkan beliau seorang yang amat kuat berpegang dengan usul syarak.

Setidak-tidaknya pun dalam isu ini, beliau masih melihat dirinya berada di dalam lingkungan ijtihad, yang jika benar ia mendapat dua pahala, dan jika salah ia tetap mendapat satu pahala. Walaupun barangkali orang lain tidak berfikir begitu.

Sebenarnya bukan baru kini saja muncul pemimpin-pemimpin yang zalim, bahkan dalam sejarah Islam sendiri sudah menyaksikan kemunculan ratusan pemimpin-pemimpin yang zalim. Maka, sebagaimana para ulama pada zaman itu bertindak, begitu juga para ulama pada zaman ini bertindak. Pasti ada antara pro dan kontra. Secara zahirnya, tidak mungkin seorang muslim biasa yang waras redha dengan kezaliman mana-mana pemimpin, apatah lagi seorang alim..

Pasti ada sebab lain atas tindakan Syeikh al-Buti..

Yang pastinya, beliau menyokong Rejim Asad bukan kerana kebenaran rejim tersebut, tapi kerana tidak mahu berlaku perkara-perkara kemudharatan yang lebih besar terhadap masyarakat Islam Syria, penduduk Syam, yang disabdakan oleh Nabi SAW:
إِذَا فَسَدَ أَهْلُ الشَّامِ فَلاَ خَيْرَ فِيكُمْ.
“Jika binasa penduduk Syam, maka tiada kebaikan lagi pada kamu sekalian...” (HR al-Tayalisi, Ahmad dan at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih).

Memang Rejim Asad itu suatu mudharat, namun huru-hara, kekacauan, kekejaman dan pembunuhan yang berlaku adalah suatu mudharat yang lebih besar. Ini menurut pandangan beliau. Meskipun ia bersesuaian dengan usul syarak, namun ia mungkin dilihat tidak sesuai dengan konteks dan faktor semasa menurut ramai ulama yang lain.

Bagaimanapun, setelah menyaksikan pelbagai kekejaman dan kebiadapan Rejim Asad, dikatakan Syeikh al-Buti di akhir hayatnya mula cenderung dengan perjuangan rakyat dan tidak mahu lagi menyokong Rejim Asad, sebagaimana menurut Syeikh Muhammad Abu al-Huda al-Ya’qubi.

Anak perempuan beliau juga menyatakan, ayahnya sebenarnya dipaksa dan diancam oleh Rejim Asad yang akan merosakkan maruah keluarga dan anak cucunya jika beliau tidak menyokongnya.

Beliau juga ditanya mengapa tidak mahu meninggalkan Syria, tapi beliau menjawab:
"أشعرني الله بانني في هذه المرحله إن تركت هذا البلد فسوف يكون شأني كشأن أب له أهل و أولاد وأطفال يتركهم الى حيث لا يعلم مصيرهم".
“Allah menjadikan aku merasakan pada tahap sebegini, jika aku meninggalkan negara ini, maka keadaanku nanti akan menjadi seperti keadaan seorang bapa yang mempunyai isteri, keluarga dan anak-anak, lalu ia tinggalkan mereka tanpa mengetahui nasib yang bakal menimpa mereka”.

Dua minggu sebelum kejadian, al-Habib ‘Ali al-Jufri sempat menelefon Syeikh al-Buti dan beliau mengatakan;
"إنه لم يبق من العمر إلا أياما معدودة وإني لأَستروح الجنة من ورائها فلا تنس أخاك من الدعاء"...
Tidak tinggal lagi umurku kecuali beberapa hari sahaja. Dan aku dapat mencium bau syurga di belakang hari-hari tersebut. Maka janganlah kamu lupakan saudaramu ini daripada doamu..”.

Seolah-olah beliau tahu beliau akan dibunuh dengan sebab perubahan pendiriannya.. Apa lagi yang dinantikan oleh seorang lelaki yang sudah lanjut usianya?...

Tiada yang menafikan kewarakan dan kealiman Syeikh al-Buti. Ketika beliau berkunjung ke Malaysia, saya sempat berjabat tangan dengannya dan cuba mencium tangan beliau.. Namun dengan pantas beliau menyentap tangannya. Rupa-rupanya bukan saja pada saya, bahkan itu juga berlaku kepada ramai orang dan rakan yang cuba mencium tangan beliau dek kerana sifat tawadhuk dan rendah diri beliau. Dengan sifat ulama seperti inilah kita mempelajari adab dan akhlak.

Bukan rahsia lagi, para pembenci beliau bersuka ria atas kematiannya.. Sebagaimana mereka juga pernah bersuka ria atas kewafatan Syeikh Muhammad ‘Alawi al-Maliki رحمه الله.. Mereka menggunakan hujah, harus bergembira dan bersujud syukur atas kematian ahli bidaah…??! Allah… Apakah ukuran dan ciri ahli bidaah di sisi mereka yang malang ini?? Mereka tidak pun peduli dengan bagaimana kewafatan Syeikh al-Buti yang sedang mengajar agama di dalam masjid dan pada malam Jumaat pula.. yang sedang berada di dalam satu taman daripada taman-taman syurga!...رحمه الله

Semoga Allah Taala merahmati roh Syeikh al-Buti dan menempatkan beliau dalam kalangan para anbiya’ dan para solihin. Di sisi Allah Taala Yang Maha Adil kelak akan bertemu segala permusuhan…


Friday, December 16, 2011

Status Imam al-Ghazali (450-505H) Dalam Ilmu Hadis

Ada seorang ustaz al-fadhil menghubungi saya bertanyakan tentang kedudukan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis. Ini barangkali kerana ingin menjawab persoalan mereka yang memandang rendah tentang keupayaan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis. Maka saya katakan, ada sebuah kitab yang bagus dalam membincangkan masalah ini, iaitu kitab al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith oleh Dr. Muhammad ‘Aqil bin ‘Ali al-Mahdali.

Pertamanya, amat perlu difahami apakah maksud ilmu hadis itu. Ilmu hadis yang bagaimana? Kerana ilmu hadis itu mempunyai banyak pecahan di bawahnya. Walhal, maksud kurang keupayaan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis itu sebenarnya merujuk kepada ilmu hadis tertentu, terutama berkaitan kajian sanad seperti al-jarh wa al-ta’dil dan rijal al-hadith, bukannya keseluruhan cabang dalam ilmu hadis. Ini kerana beliau berkeupayaan dalam ilmu mustalah al-hadith, atau riwayah al-hadith yang objektif utamanya adalah untuk membezakan mana hadith yang sahih dan mana hadith yang dacif, sepertimana yang dapat dilihat dalam kitab-kitab usul al-fiqhnya, iaitu al-Mankhul dan al-Mustasfa.

Beliau juga berkeupayaan dalam mengetahui pelbagai hadis di mana telah memuatkan sebanyak lebih 4,800 buah hadis di dalam kitabnya Ihya’ `Ulum al-Din. Iaitu suatu bilangan yang jarang ada di dalam sesebuah kitab seperti itu. Justeru, bukan kesemuanya atau sebahagian besarnya hadis daif dan munkar seperti yang didakwa oleh sesetengah orang.

Bahkan, sebahagian besar hadis-hadis kitab Ihya’ `Ulum al-Din adalah masih hadis-hadis sahih dan hasan, serta daif yang dapat diterima dalam bab fada’il acmal (kelebihan-kelebihan amalan). Imam al-Ghazali sewajarnya lebih diberi keuzuran kerana konsep kitab Ihya’ `Ulum al-Din yang disusunnya itu ialah fada’il acmal, bukannya ahkam atau akidah. Berbanding setengah ulama yang menyusun kitab dalam bab ahkam atau akidah, tetapi memuatkannya dengan hadis-hadis daif dan munkar.

Demikian antara jawapan saya menurut apa yang terlintas di dalam kepala pada masa itu.

Hadis-Hadis Ihya’ `Ulum Al-Din

Pandangan yang mendakwa kelemahan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis bukanlah suatu yang baru. Zahirnya, mereka hanya mengikut pendapat yang mengatakannya demikian, terutama disebabkan hadis-hadis kitabnya Ihya’ `Ulum al-Din. Antaranya:

  • Kata al-Hafiz Ibn al-Jawzi (w. 597H): “Beliau memenuhi kitabnya dengan hadis-hadis yang batil yang dia tidak tahu kebatilannya” (Talbis Iblis, hlm. 190).

  • Imam Taj al-Din al-Subki (w. 771H) menyatakan: “Adapun apa yang dianggap aib pada al-Ihya’ disebabkan kelemahan sebahagian hadis-hadisnya, ini kerana al-Ghazali diketahui bahawa beliau tidak mempunyai kepakaran dalam bidang hadis” (Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 6/249).

  • Imam Ibn Kathir (w. 774H) berkata: “Di dalamnya banyak hadis yang gharib, munkar dan palsu” (Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/214).

Sebanyak mana bilangannya? Menurut Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali dalam al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith, bilangan hadis-hadis dalam Ihya’ `Ulum al-Din ialah 4,848 buah hadis. Ini berpandukan kepada kitab Isaf al-Mulihhin bi-Tartib Ahadith Ihya’ Ulum al-Din susunan Syeikhuna al-Muhaddith Syeikh Mahmud Sa‘id Mamduh. Bagaimanapun, kitab tersebut hanya menyusun semula hadis-hadis yang ditakhrij oleh al-Hafiz al-‘Iraqi (w. 806H) dalam al-Mughni `an Haml al-Asfar fi al-Asfar fi Takhrij ma fi al-Ihya’ min al-Akhbar, sedangkan masih ada sebilangan kecil hadis yang tidak ditakhrijkan olehnya.

Jika Imam Taj al-Din al-Subki (w. 771H) mengira sebanyak 943 hadis yang tidak ditemukan sanadnya (Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 6/287- 389). Maka bakinya jika begitu, ialah sebanyak 3,905 hadis yang masih mempunyai sanad antara sahih, hasan dan daif. Jumlah ini masih dianggap jumlah yang besar. Malah sebahagian daripada bilangan 943 hadis yang tidak ditemukan sanadnya oleh Taj al-Din al-Subki itu sebenarnya masih mempunyai sanad, dan sebahagiannya pula ada yang diperselisihkan darjatnya antara sahih, hasan, daif atau mawdu‘. Ini dapat dilihat dalam takhrij al-Hafiz al-‘Iraqi dan takhrij al-Hafiz Murtadha al-Zabidi yang lebih luas dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin. (Lihat: al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith oleh Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali)

Boleh dikatakan, tidak ada kitab tasawuf yang mengandungi jumlah hadis sebanyak itu. Maka dakwaan bahawa Imam al-Ghazali hanya menceduk hadis-hadis kitabnya daripada kitab-kitab fiqh dan tasawuf barangkali dapat dipertikaikan. Ini mengukuhkan lagi pendapat bahawa beliau juga telah memetik hadis-hadis kitab Ihya’ `Ulum al-Din daripada kitab-kitab hadis itu sendiri (al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith hlm. 74 & 118).

Bagaimanapun, sewajarnya setiap pembaca kitab Ihya’ `Ulum al-Din berhati-hati dalam memetik hadis-hadisnya dan menelitinya menerusi takhrij al-Hafiz al-`Iraqi yang biasanya dicetak bersama-sama dengan kitab Ihya’. Meskipun adakalanya, hukum beliau berbeza dengan hukum al-Hafiz Murtadha al-Zabidi. Sekurang-kurangnya hadis daif masih dapat diamalkan dalam bab fada’il acmal.

Imam al-Ghazali Mahir Ilmu Hadis Riwayah Dan Dirayah

Bukankah Imam al-Ghazali cukup terkenal sebagai seorang faqih (ahli fiqh)? Sudah tentu beliau mahir berkaitan fiqh al-hadith, atau ilmu dirayah al-hadith. Beliau tentunya memiliki ilmu yang cukup berkaitan hadis-hadis ahkam. Oleh sebab itu, beliau mampu menghasilkan kitab-kitab fiqh yang menjadi rujukan muktabar dan diiktiraf oleh para ulama, khususnya dalam mazhab al-Syafi‘i.

[*Berhubung ilmu hadis riwayah dan dirayah, saya mengikut pembahagian kebanyakan ulama, namun dengan takrifan al-Muhaddith Sayyid ‘Abdullah al-Ghumari dalam Tawjih al-‘Inayah, yang turut disepakati Prof. Dr. Abu al-Laith al-Khair Abadi. Iaitu ilmu riwayah al-hadith berkaitan para perawi dan riwayat mereka, manakala ilmu dirayah al-hadith hanya berkaitan matan hadis. Berlainan dengan Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali yang mengikut pembahagian Prof. Dr. Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki dalam al-Manhal al-Latif]

Justeru dengan ini, kita dapat lihat Imam al-Ghazali mengetahui tentang dua cabang utama ilmu hadis, iaitu ilmu riwayah al-hadith dan ilmu dirayah al-hadith. Adapun kata-kata Imam al-Ghazali dalam Qanun al-Ta’wil (hlm. 30): “Dan barang bekalanku dalam ilmu hadis adalah sedikit”. Saya berpendapat ianya adalah dalam nada tawaduk dan merendah diri, apatah lagi kerana beliau berani mengisytiharkan dirinya begitu. Dalam erti kata lain, beliau menganggap dirinya bukanlah seorang imam dalam ilmu hadis sebagaimana imam-imam hadis yang tersohor di zamannya ataupun di zaman sebelumnya. Namun, ini tidak bermakna beliau langsung tidak mengetahui ilmu hadis.

Antara imam-imam hadis di zamannya atau di zaman sebelumnya, iaitu sekitar kurun kelima hijrah ialah al-Hakim (w. 405H), Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami (w. 412H), Tammam al-Dimasyqi (w. 414H), al-Lalika’i (w. 418H), Hamzah al-Sahmi (w. 427H), Abu Nu‘aim al-Asbahani (w. 430H), al-Mustaghfiri (w. 432H), Abu Zar al-Harawi (w. 434H), al-Khallal (w. 439H), Abu ‘Amru al-Dani (w. 444H), al-Qudha‘i (w. 454H), al-Bayhaqi (w. 458H), Ibn ‘Abd al-Barr (w. 463H), al-Khatib al-Baghdadi (w. 463H), Abu al-Qasim Ibn Mandah (w. 470H), al-Baji (w. 474H), al-Sam‘ani (w. 489H), al-Ruyani (w. 501H), al-Daylami (w. 509H) dan lain-lain.

Maka, dakwaan bahawa Imam al-Ghazali tidak mahir hadis perlu disemak semula. Kerana hakikatnya, ia bukan secara umum begitu. Beliau hanya tidak mendalami ilmu riwayah al-hadith dari segi kajian sanad dan praktikalnya secara lebih mendalam, dari sudut al-jarh wa al-ta’dil dan rijal al-hadith, serta dari segi periwayatan lautan kitab-kitab hadis secara sama’/talaqqi. Barangkali inilah maksud kenapa beliau menelaah Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim di akhir hayatnya, iaitu kerana ingin mendalami rijal al-hadith dalam kedua-dua kitab sahih yang agung tersebut, dan sebagai usaha permulaan bagi mendengar dan menelaah lautan kitab-kitab hadis yang amat banyak bilangannya. Sebagaimana sebahagian ulama merekodkannya di dalam kitab-kitab sanad mereka.

Jelasnya, meskipun Imam al-Ghazali bukanlah seorang imam atau tokoh besar dalam ilmu hadis, beliau dianggap masih berkeupayaan dalam ilmu hadis, riwayah dan dirayahnya.

Imam al-Ghazali Mendengar Hadis di Akhir Usia

Menurut Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali, Imam al-Ghazali telah mempelajari hadis secara wijadah (penemuan) dan juga ijazah, namun beliau tidak mempelajarinya secara sama (talaqqi) kecuali di akhir hayatnya (al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith hlm. 81-83). Sebab itu, beliau berusaha untuk mengatasi kelemahannya itu, dan ini yang membawa beliau untuk mendengar Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim melalui al-Hafiz Abu al-Fityan ‘Umar bin Abi al-Hasan al-Rawasi.

Al-Hafiz Ibn ‘Asakir menyebutkan bahawa Imam al-Ghazali telah mendengar Sahih al-Bukhari daripada Abu Sahl Muhammad ibn ‘Abdullah al-Hafsi (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/200). Dan antara syeikh-syeikhnya yang lain dalam ilmu hadis ialah al-Hakim Abu al-Fath Nasr ibn ‘Ali ibn Ahmad al-Hakimi al-Tusi, Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Ahmad al-Khawari, dan Muhammad ibn Yahya ibn Muhammad al-Syuja‘i al-Zawzani (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/220).

Kata muridnya, al-Hafiz ‘Abd al-Ghafir al-Farisi (w. 529H): “Di akhir hayatnya, beliau telah memberi tumpuan terhadap hadis Nabi al-Mustafa SAW, dan duduk bersama para ahlinya, serta menelaah al-Sahihain, al-Bukhari dan Muslim, yang mana kedua-duanya merupakan hujjah Islam. Seandainya beliau hidup lama, nescaya beliau mampu mengatasi semua orang dalam disiplin ilmu (hadis) tersebut dengan waktu yang cukup singkat yang beliau luangkan untuk memperolehinya. Tidak diragukan lagi bahwa beliau telah mendengar hadis-hadis di waktu-waktu sebelumnya, dan beliau hanya menyibukkan diri dengan mendengarnya (secara sama‘) di akhir hayat. Dan beliau tidak berkesempatan meriwayatkannya. Namun, hal itu tidak memudaratkan terhadap apa yang beliau tinggalkan dari kitab-kitab yang telah ditulis dalam bab usul, furu’ dan seluruh bahagian yang lain, yang akan kekal disebut-sebut namanya. Dan telah tertetap di sisi mereka yang menelaah dan mengambil faedah daripadanya bahwa tidak ada lagi orang terkemudian yang sebanding dengannya sesudah beliau”. (Lihat: Tabyin Kazib al-Muftari oleh al-Hafiz Ibn ‘Asakir, hlm. 296; Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/210).

Kata ‘Abd al-Ghafir al-Farisi lagi: “Aku pernah dengar bahawa beliau telah mendengar Sunan Abi Dawud al-Sijistani dari al-Hakim Abu al-Fath al-Hakimi al-Tusi, namun saya tidak menemukan bukti sama‘nya” (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/212). Sebab itu, ada dikatakan bahawa Imam al-Ghazali pernah menyebut bahawa menelaah kitab Sunan Abi Dawud itu sudah memadai bagi seorang mujtahid.

Kata ‘Abd al-Ghafir al-Farisi: “Beliau juga telah mendengar berbagai-bagai hadis secara formal bersama-sama para fuqaha’. Antara yang saya temukan bukti sama‘nya ialah apa yang beliau dengar daripada kitab Mawlid al-Nabi SAW karangan Abu Bakr Ahmad bin ‘Amr ibn Abi ‘Asim al-Syaybani, riwayat al-Imam Syeikh Abu Bakr Muhammad bin al-Harith al-Asbahani, dari Abu Muhammad ‘Abdullah bin Muhammad bin Ja‘far ibn Hayyan, dari pengarangnya. Imam al-Ghazali telah mendengarnya dari Syeikh Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Ahmad al-Khawari - Khawar Tabaran - rahimahullah, bersama-sama dua orang anaknya, Syeikh ‘Abd al-Jabbar dan Syeikh ‘Abd al-Hamid serta sekumpulan para fuqaha’… Kitab tersebut di dalam dua juzuk yang didengar oleh beliau” (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/212-214).

Kata al-Hafiz Ibnu ‘Asakir al-Dimasyqi (w. 571H): “Beliau telah mendengar Sahih al-Bukhari dari Abu Sahl Muhammad bin ‘Abd Allah al-Hafsi, dan menjadi guru di Madrasah Nizamiyyah di Baghdad. Kemudian beliau keluar ke Syam mengunjungi Baitul Maqdis. Beliau memasuki Dimasyq pada tahun 489H dan tinggal di sana dalam satu tempoh. Disampaikan kepadaku bahawa beliau telah menulis di sana sebahagian karya-karyanya. Kemudian beliau kembali ke Baghdad, lalu ke Khurasan. Beliau telah mengajar dalam satu tempoh di Tus. Setelah itu, beliau meninggalkan pengajaran dan perdebatan, dan menyibukkan diri dengan ibadah”. Al-Hafiz Abu Sa‘d ibn al-Sam‘ani menyebut bahawa beliau pernah mengundang Abu al-Fityan ‘Umar bin Abi al-Hasan al-Rawasi al-Hafiz al-Tusi dan memuliakan beliau, serta mendengar darinya Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim” (Lihat: Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/214-215).

Menurut Ibn Kathir : “Dikatakan pada akhir hayatnya, beliau telah cenderung kepada mendengar hadith dan menghafal al-Sahihain (al-Bukhari dan Muslim)…”, “Kemudian (di akhir hayat) beliau telah pulang ke negerinya Tus dan tinggal di sana, membina sebuah ribat, membuat rumah yang baik, menanam tanam-tanaman di sebuah kebun yang indah, memberi tumpuan membaca al-Quran dan menghafal hadith-hadith sahih” (Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/214-215).

Jelaslah bahawa beliau bukannya langsung tidak mengetahui ilmu riwayah al-hadith, apatah lagi ilmu dirayah al-hadith yang mana beliau adalah jaguhnya dalam mazhab al-Syafi‘i.

Sebahagian Tulisan Tentang al-Ghazali Di Internet

Tidak sedikit juga penulis di laman sesawang dan blog yang telah menulis tentang Imam al-Ghazali dan kedudukannya dalam ilmu hadis. Ada sebahagiannya yang saya manfaatkan. Namun, ada beberapa perkara dan fakta yang tidak disentuh oleh mereka seperti yang telah saya jelaskan, dan ada juga beberapa perkara yang saya kurang bersetuju dengan sebahagian mereka. Namun, saya tidak mahu menyentuhnya di sini.

Thursday, December 1, 2011

Takzim Haiwan Kepada Junjungan Baginda Nabi SAW

Takzim umumnya terbit dari perasaan kerendahan dan kelemahan dalam diri. Takzim kepada Allah s.w.t. terbit dari rasa kehambaan dan kehinaan kepada-Nya. Manakala takzim kepada makhluk terbit kerana rasa kekurangan dan kerendahan diri disebabkan kelebihan dan keistimewaan yang diberikan kepadanya. Namun, takzim begini mempunyai dua maksud. Pertama, takzim yang syirik, iaitu takzim yang dilarang. Manakala kedua, takzim yang syar’i, iaitu takzim yang dituntut, apatah lagi dalam mentakzim apa yang ditakzimkan oleh Allah s.w.t. Ini yang menerbitkan sifat tawaduk dan lembut hati dalam jiwa, serta sentiasa melihat kekurangan dan keaiban diri berbanding melihat kekurangan dan keaiban orang lain. Orang yang bertawaduk kerana Allah akan diangkatkan darjatnya oleh Allah s.w.t.

Orang yang tidak mahu mentakzim apa yang ditakzimkan oleh Allah Taala adalah orang yang keras hatinya dan kasar jiwanya. Dia tidak melihat melainkan kemuliaan dirinya semata-mata hingga menerbitkan sifat keakuan dan keegoan. Dia merasakan tidak perlu bersifat tawaduk dan rendah diri kepada orang lain, padahal ia diam-diam akan mengheretnya kepada sifat sombong dan takbur tanpa disedari. Orang yang tidak mahu mengenal kedudukan tinggi para Nabi, para ulama, para solihin dan wali Allah yang istimewa di sisi Allah Taala adalah orang yang malang dan rugi. Sedangkan tuntutan memuliakan mereka ini sabit di dalam banyak nas.

Oleh kerana enggan melihat ketinggian makam dan keagungan sahsiah Nabi s.a.w. maka ada yang ‘sombong’ untuk mentakzim baginda. Malah ada yang melontar ke atas sesiapa yang mentakzim baginda dengan gubahan mawlid, syair atau selawat sebagai telah melakukan syirik. Sedangkan haiwan, pepohon, batu-batu dan sebagainya lebih tahu tentang keagungan dan kemuliaan baginda berbanding manusia yang sedemikian. Kisah-kisah dalam hadis-hadis berikut bolehjadi dapat menjadi iktibar baginya.

Dari ‘A’isyah r.a. katanya: Pernah keluarga Rasulullah s.a.w. mempunyai seekor haiwan peliharaan. Apabila Rasulullah s.a.w. keluar, ia akan bermain-main dan bergerak bebas, serta pergi ke sana dan ke mari. Apabila ia menyedari Rasulullah s.a.w. telah masuk, ia akan diam dan tidak bergerak sesuka hati selamamana Rasulullah s.a.w. berada di dalam rumah kerana ia tidak mahu mengganggu/menyakiti baginda. (HR Ahmad no. 24862, Abu Ya’la no. 4441, al-Bazzar dan al-Tabarani dalam al-Awsat. Kata al-Haythami no. 14,152: Para perawi Ahmad adalah para perawi al-Sahih)

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِي نَفَرٍ مِنْ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ فَجَاءَ بَعِيرٌ فَسَجَدَ لَهُ فَقَالَ أَصْحَابُهُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ تَسْجُدُ لَكَ الْبَهَائِمُ وَالشَّجَرُ فَنَحْنُ أَحَقُّ أَنْ نَسْجُدَ لَكَ, فَقَالَ: اعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَأَكْرِمُوا أَخَاكُمْ وَلَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا وَلَوْ أَمَرَهَا أَنْ تَنْقُلَ مِنْ جَبَلٍ أَصْفَرَ إِلَى جَبَلٍ أَسْوَدَ وَمِنْ جَبَلٍ أَسْوَدَ إِلَى جَبَلٍ أَبْيَضَ كَانَ يَنْبَغِي لَهَا أَنْ تَفْعَلَهُ.

[أخرجه أحمد (6/76 ، رقم 24515/ 23331)، وقال الهيثمى فِي مجمع الزَّوَائِد (4/310، 7654): فيه على بن زيد، وحديثه حسن، وقد ضعف. وقال في (14167): رواه أحمد وإسناده جيد. وقال البوصيري في إتحاف الخيرة المهرة (3203): هَذَا إِسْنَادٌ رِجَالُهُ مُحْتَجٌّ بِهِمْ فِي الصَّحِيحِ ، إِلاَّ عَلِيُّ بْنُ زَيْدِ بْنِ جُدْعَانَ ، وَهُوَ مُخْتَلَفٌ فِيهِ. وقال محمد بن يوسف الصالحي الشامي في سبل الهدى والرشاد في سيرة خير العباد: روى الامام أحمد وأبو نعيم والطبراني بسند جيد عن عائشة رضي الله عنها.]

Dari ‘A’isyah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersama sekumpulan sahabat dari kalangan Muhajirin dan Ansar. Lalu datang seekor unta, lalu bersujud kepada Nabi s.a.w. maka para sahabat berkata: Ya Rasulullah, haiwan-haiwan dan pokok-pokok bersujud kepadamu, maka kami lebih berhak untuk bersujud kepadamu. Lalu jawab baginda: “Sembahlah Tuhan kamu, dan muliakanlah saudara kamu (yakni diri baginda). Kalau aku boleh menyuruh seseorang untuk bersujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku akan menyuruh wanita untuk bersujud kepada suaminya. Kalaulah dia menyuruh isterinya untuk memindahkan sesuatu daripada bukit kuning ke bukit hitam dan daripada bukit hitam ke bukit putih, nescaya menjadi kewajipannya untuk melaksanakannya”.

Kata al-Mulla ‘Ali al-Qari dalam Mirqat al-Mafatih dalam menghurai hadis ini: Ayat: “Lalu jawab baginda: “Sembahlah Tuhan kamu,..” yakni mengkhususkan sujud hanya kepada-Nya kerana ia adalah sejauh-jauh bentuk pengabdian dan sehabis-habis bentuk penyembahan. Dan ayat: “…dan muliakanlah saudara kamu”, yakni besarkanlah dia (yakni diri baginda) dengan bentuk takzim yang layak baginya dengan rasa kecintaan hati dan kemuliaan yang merangkumi ketaatan secara zahir dan batin. Padanya terdapat isyarat kepada firman Allah Taala: “Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya al-Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: "Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah Allah." Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani (yang sempurna ilmu, amal dan takwanya)” (Al ‘Imran: 79), dan juga isyarat kepada firman-Nya: “Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku (mengatakan) dengannya iaitu: "Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu" (al-Ma’idah: 117).

Lihatlah bagaimana jawapan baginda s.a.w. yang lembut dalam membimbing para sahabatnya. Tidak membentak keras dan terus melarang. Nabi s.a.w. telah menggariskan padanya satu bentuk takzim yang tidak melampau dan tidak pula terkurang. Imam al-Busiri menyebut;

( دَعْ ما ادَّعَتْهُ النَّصارَى في نَبيِّهِمِ ** وَاحكُمْ بما شِئْتَ مَدْحاً فيهِ واحْتَكِمِ )

( وانْسُبْ إلى ذاتِهِ ما شِئْتَ مِنْ شَرَفٍ ** وَانْسُبْ إلى قَدْرِهِ ما شِئْتَ منْ عِظَمِ )

( فإن فضلَ رسولِ اللهِ ليسَ لهُ ** حَدٌّ فيُعْرِبَ عنه ناطِقٌ بفَمِ )

“Tinggalkan cara orang Nasrani (Kristian) dalam menyanjung Nabi mereka (Nabi Isa AS). Selepas itu, terserahlah kepadamu untuk memuji Baginda SAW sebagaimana yang kamu mahu.

Sandarkanlah kemuliaan kepada zat baginda sebagaimana yang kamu mahu, dan sandarkanlah juga keagungan kepada kedudukan baginda sebagaimana yang kamu mahu.

Sesungguhnya keistimewaan Rasulullah SAW itu tiada had baginya, yang mampu diungkapkan tentangnya oleh seseorang pembicara dengan mulutnya”.

Kata beliau lagi:

( فمبلغُ العلمِ فيهِ أنهُ بشرٌ ** وأنهُ خيرُ خلقِ اللهِ كلهمِ )

“Kemuncak ilmu pengetahuan tentang dirinya bahawa baginda itu hanya seorang manusia, sedangkan baginda itu merupakan sebaik-baik makhluk Allah keseluruhannya.”

Kata al-Qadhi ‘Iyadh (m. 544H) dalam kitabnya al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa (j. 2, h. 35-36): Ketahuilah bahawa kehormatan Nabi SAW sesudah wafatnya serta memulia dan mengagungkannya adalah lazim (wajib), sebagaimana hal keadaannya pada masa hidup baginda. Dan yang demikian itu adalah ketika mengingati baginda SAW, menyebut hadith dan sunnahnya, mendengar nama dan sirahnya, bermuamalah dengan ahli dan kaum keluarganya, serta mentakzim Ahlul Baitnya dan para sahabatnya. Kata Abu Ibrahim al-Tujibi: Wajib ke atas setiap mukmin apabila menyebut baginda SAW atau disebut nama baginda SAW di sisinya hendaklah ia merendah diri, khusyuk, hormat dan diam dari bergerak serta merasakan kehebatan dan kemuliaan baginda SAW, sebagaimana dirinya akan berasa begitu sekiranya dia sendiri betul-betul berada di hadapan baginda SAW, serta beradab sebagaimana adab yang telah diajarkan oleh Allah Taala kepada kita. Kata al-Qadhi ‘Iyadh lagi: Beginilah sirah/akhlak para salafussoleh dan imam-imam kita yang terdahulu (رضي الله عنهم).

Kata Imam al-Husain bin al-Hasan al-Halimi (w. 403H) dalam (المنهاج في شعب الإيمان) (124- 125): “Telah dimaklumi bahawa hak-hak Rasulullah s.a.w. itu amat besar, amat agung, amat mulia, amat lazim bagi kita dan amat wajib ke atas kita berbanding hak-hak para tuan ke atas hamba-hamba mereka, dan para bapa ke atas anak-anak mereka. Kerana Allah Taala telah menyelamatkan kita dengan sebab baginda dari api neraka di akhirat kelak, Dia memelihara dengan sebab baginda akan roh, jasad, maruah, harta, ahli keluarga dan anak-anak kita di dunia ini, lalu Dia menunjukkan kita dengan sebab baginda terhadap perkara yang jika kita taatinya, Dia akan memasukkan kita ke syurga yang penuh nikmat. Justeru, nikmat manakah yang dapat menyamai kenikmatan-kenikmatan ini? Dan kurnia manakah yang dapat menandingi kurniaan-kurniaan ini? Kemudian, Dia (جل ثناؤه) melazimkan kita mentaatinya dan mengancam kita atas menderhakainya dengan api neraka. Dia menjanjikan kita syurga dengan mengikutinya. Justeru, martabat manakah yang dapat menyamai martabat ini? Dan darjat manakah yang dapat menyerupai di akhirat darjat ini? Maka, menjadi hak atas kita untuk mencintai, memulia, mentakzim dan menghormati baginda lebih dari penghormatan semua hamba kepada tuannya dan juga semua anak kepada bapanya. Dengan makna seumpama inilah al-Quran berbicaradan datangnya perintah-perintah Allah (جل ثناؤه)”.

Wednesday, November 16, 2011

Takzim Syar‘i: Kecintaan, Bukan Pendewaan

Kedudukan syeikh/wali dalam tasawuf sering disalahertikan oleh orang yang memusuhinya. Faktornya datang sama ada dari prasangka yang buruk terhadap golongan sufi, ataupun berpunca dari tingkahlaku sesetengah pengikut sufi yang menyeleweng. Adab menghormati syeikh sering dikaitkan dengan pendewaan dan pemujaan (taqdis). Sedangkan asal adab ini diambil dari akhlak golongan yang dipuji dan diredai oleh Allah s.w.t. Amat banyak dalil yang menunjukkan bagaimana adab para sahabat yang tinggi terhadap baginda Rasulullah s.a.w.

Antaranya, ‘Urwah ibn Mas’ud pernah menggambarkan keadaan para sahabat r.a. bersama Nabi Muhammad s.a.w. Imam al-Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya kepada al-Miswar ibn Makhramah dan Marwan, kedua-duanya berkata: ‘Urwah pun kembali kepada kaumnya. Dia berkata, “Wahai kaumku! Demi Allah, sesungguhnya aku telah beberapa kali diutus kepada raja-raja. Aku pernah diutus kepada Qaisar (Raja Rom), Kisra (Raja Parsi) dan Najasyi (Raja Habsyah). Demi Allah, aku tidak pernah melihat seorang raja yang diagungkan oleh sahabat (rakyat)nya, seperti yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Muhammad s.a.w. Demi Allah, tidaklah beliau berludah, kecuali ludahnya itu jatuh di atas telapak tangan seseorang daripada mereka. Lalu dia menggosok ludah itu ke muka dan kulitnya. Jika beliau menyuruh mereka, mereka berebut-rebut untuk melaksanakan perintahnya. Apabila beliau berwuduk, hampir saja mereka saling berbunuhan kerana merebutkan air wuduknya. Apabila mereka berbicara, mereka merendahkan suara di sisinya. Mereka juga tidak menajamkan pandangan kepadanya kerana membesarkannya”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Para sahabat r.a. telah menggariskan satu bentuk takzim yang terus diikuti oleh generasi seterusnya terhadap baginda Rasulullah s.a.w. yang dapat kita istilahkan sebagai bentuk takzim yang syar’i. Takzim syar’i ini ialah satu bentuk kecintaan dan penghormatan dalam batas-batas yang diterima oleh syarak yang tidak mengeluarkan sifat seseorang manusia itu daripada sifat makhluk kepada sifat Khaliq. Ini juga adalah sebahagian daripada hakikat tawassul yang dibenarkan oleh syarak.

Baginda Rasulullah s.a.w. juga mengajar kita supaya menghormati para alim ulama, para wali Allah dan semua mereka yang mempunyai kedudukan dan hak untuk dihormati. Adakalanya sesetengah mereka lebih berhak untuk dihormati dan dikasihi oleh seseorang itu berbanding sesetengah mereka yang lain, terutama kerana keterikatan dan keterkaitan dalam hubungan yang disimpulkan. Maka hak yang lebih itu, tidak mungkin akan membawa kepada pendewaan dan pemujaan yang berlebihan melainkan jika dibawa oleh orang-orang yang jahil dan sesat. Orang mukmin yang waras dapat membezakan antara kedudukan Khaliq dan makhluk. Malahan golongan sufi yang masih mentah sekalipun dapat membezakan antara takzim yang syirik dan takzim yang syar’i.

Allah s.w.t. telah menetapkan sistem kedudukan dan martabat manusia yang berbeza agar mereka dapat saling berkerjasama dan hormat menghormati dalam membentuk kehidupan yang lebih sempurna dan tiada berlaku kacau bilau. Pendewaan dan pemujaan sesama manusia hanya terbentuk dalam minda golongan yang jahil tentang kesucian agama Islam itu sendiri. Tanpa ilmu dan pedoman, ia dapat membawa mereka masuk terjerumus ke dalam lembah kesyirikan.

Sayyidi Syeikh Ahmad bin Mustafa al-‘Alawi (w. 1351H), seorang syeikh Tariqat Syaziliyyah yang masyhur di Algeria, pernah ditanya tentang pandangan orang yang mengatakan bahawa mentakzim makhluk, merendah diri di hadapannya, dan menghina diri di ‘muka pintu’nya adalah dianggap sebagai satu bentuk peribadatan/penyembahan, dan penyembahan selain dari Allah pula adalah dianggap syirik sebagaimana makna syirik itu sendiri. Jika begitu, apakah jalan keluarnya?

Beliau menjawab: Jika mentakzim makhluk dan merendah diri di hadapannya dianggap sebagai syirik kepada Allah, nescaya akan gugurlah kehormatan para nabi dan rasul a.s., dan juga kehormatan para pengikut mereka dari kalangan imam-imam Islam, dan nescaya manusia akan menjadi cacamerba, di mana tidak ada perbezaan antara orang yang mulia dan orang yang hina, serta orang yang mengikut dan orang yang diikuti. Pada hal, syariat yang mulia telah datang kepada kita dengan prinsip yang bertentangan dengan prinsip tersebut di atas satu garis yang lurus. Justeru, kami tidak akan memanjangkan kata-kata bagi menguatkan hujah kami tentang masalah ini, kerana perkara ini adalah jelas.

Dalam erti kata lain, apa yang dilihat oleh golongan ini bahawa mentakzim makhluk itu dianggap dapat mencemarkan ketauhidan, nescayalah Allah tidak akan menyuruh para malaikat bersujud kepada Adam. Maka mereka pun bersujud, sedang mereka adalah golongan yang suci dari melakukan sebarang bantahan, apatah lagi kesyirikan. Tidak syak lagi bahawa bersujud itu adalah sehabis-habis batas merendah dan menghina diri serta mentakzim, maka hak bersujud itu tidak dapat diberikan melainkan hanya kepada Allah sahaja. Apakah ada orang yang sanggup mengatakan; bahawa Allah telah mensyariatkan bagi para malaikat itu menyembah yang selain-Nya dengan sebab suruhan-Nya kepada mereka untuk bersujud? Maha suci Allah, jika ada seorang mukmin yang mengatakan demikian.

Dan juga, jika perkara yang seumpama ini dapat menandingi martabat tauhid yang suci, nescaya tidak akan sujud Yakub a.s. yang bersifat siddiq, isteri dan sebelas orang anak-anaknya kepada Yusuf a.s. sepertimana yang dikhabarkan oleh Allah tentang mereka di dalam al-Quran. Dan juga, apakah ada orang mukmin yang percaya bahawa mereka semua telah pun syirik kerana sujudnya mereka itu kepada Yusuf, dan Allah menggugurkan amalan mereka dengan sebab itu? Tidak sekali-kali, dan seribu kali tidak.

Namun, kami tidak mahu untuk mensabitkan dengan kisah tersebut akan keharusan bersujud kepada makhluk, di samping kita sendiri tiada sebarang makluman pun tentang kaifiatnya. Dan had batasan seseorang itu, kita percaya bahawa tiada persaingan antara mentakzim makhluk - jika sahih nisbahnya kepada Allah (seperti utusan Allah, rumah Allah, wali Allah dsb) - dan antara mentakzim Allah ‘azza wajalla, bahkan kita percaya mentakzim makhluk itu adalah untuk mentakzim Allah jua, atas batasan firman-Nya: “Sesiapa yang mentaati Rasul sesungguhnya ia telah mentaati Allah” (al-Nisa’: ayat 80), atas dasar bahawa terkandung juga di dalam nas tersebut makna; sesiapa yang mentakzim Rasul, sesungguhnya ia telah mentakzim Allah. Dan tidak kami maksudkan dengan takzim di sini melainkan takzim yang syar’i. Dan takzim syar’i itu ialah kamu menyerahkan bersamanya kedudukan Khaliq kepada Allah ‘azza wajalla dan kedudukan makhluk pula kepada yang selain-Nya. Ini berdasarkan satu ibarat.

Manakala dengan ibarat lain, jika keengganan untuk mentakzim makhluk dan bersikap tidak peduli dengan kedudukannya itu dianggap suatu kemuliaan dan dianggap memelihara tauhid yang suci kepada Allah ‘azza wajalla, nescaya Iblis-lah yang akan berjaya merebut keistimewaan itu sebelum sesiapa pun jua, kerana dialah pendakwa pertama yang mengetengahkan prinsip tersebut. Dan menurut fikiran saya, dia masih lagi mengekalkannya hingga kini. Secara umumnya, takzim yang syar’i kepada golongan pilihan Allah itu apabila terangkat daripada hati – wal ‘iyazu biLlah - tidak akan ada lagi yang tinggal selepasnya melainkan hanya penghinaan (kepada mereka pula). Semoga Allah memelihara kita. Wassalam.

Demikian jawapan Sayyidi Syeikh Ahmad bin Mustafa al-‘Alawi رحمه الله. Beliau menegaskan bahawa takzim yang syar’i itu bukanlah takzim syirik seperti yang didakwa oleh sesetengah orang. Disiplin kesufian amat menekankan ketauhidan yang suci kepada Allah s.w.t. melalui zikir nafi dan ithbat di bawah bimbingan guru yang perlu ditunaikan hak adab-adabnya. Maka, dari mana pula datangnya pendewaan dan pemujaan (taqdis) atau takzim syirik itu??

Wallahu a’lam.


Monday, May 9, 2011

Osama bin Laden: Impian Melihat ‘CIA’ Dunia Islam?


Kematian Osama bin Laden barangkali bukanlah bermakna kematian al-Qa’ida. Bagaimanapun, terlebih dahulu perlu dinyatakan bahawa tulisan ini bukanlah untuk menyokong dan menghalalkan 100% perjuangan al-Qa’ida. Tetapi hanya ingin membicarakan dari sudut pengaruh yang ditimbulkan oleh Osama bin Laden dan pertubuhan al-Qa’ida-nya sehingga mampu menggerunkan dunia Barat. Meskipun cara yang digunakan adakalanya terkeluar dari landasan syariat Islam sehingga mengheret dunia Islam seluruhnya menjadi begitu buruk di kaca mata ramai masyarakat Barat. Walhal Islam adalah agama rahmat dan toleransi.

Dunia Barat pada masa kini sentiasa berada selangkah di hadapan dunia Islam. Sebab itulah, umat Islam sentiasa mudah dipermainkan dan diperalatkan. Pertubuhan al-Qa’ida meskipun menjadi suatu pertubuhan yang kontroversi dan menerima pelbagai kecaman dari pelbagai pihak termasuk dari umat Islam sendiri kerana sifat radikal dan ekstremnya. Namun, ia menimbulkan suatu hakikat tentang kelemahan umat Islam dan ketiadaan perpaduan antara sesama mereka. Di samping kecelaruan dari sudut kesatuan pemikiran yang bersifat kompeten dan komprehensif.

Dunia Islam tidak mempunyai agensi perisikan dan keselamatan yang bersifat global seumpama CIA (Central Intelligence Agency) di Amerika Syarikat, yang bertanggung jawab untuk mendapatkan dan menganalisa maklumat berkenaan kerajaan negara-negara luar, badan-badan korporat, serta individu-individu, dan melaporkan maklumat tersebut kepada beberapa badan lain di dalam kerajaan Amerika Syarikat. Atau seperti British Secret Intelligence Service di British, Australian Secret Intelligence Service di Australia atau Mossad di Israel.

Paling jauh, dunia Islam hanya terlibat dalam agensi keselamatan dan jenayah yang bersifat rutin sahaja, iaitu Interpol (International Criminal Police Organization) yang turut disertai oleh dunia Barat dan negara-negara bukan Islam lain. Ia merupakan suatu badan antara kerajaan yang ditubuhkan untuk menggalakkan kerjasama di antara pihak berkuasa polis di seluruh dunia dan untuk membangunkan cara berkesan menentang jenayah. Hubungan antarabangsa ini hanya dari satu sisi yang melibatkan isu-isu keselamatan dan jenayah sejagat yang disepakati bersama oleh dunia Barat dan dunia Islam. Justeru, tidak ada agensi dari dunia Islam yang dapat bertindak seperti CIA di Amerika Syarikat atau Mossad di Israel yang dapat menjalankan perisikan bagi manfaat dunia Islam.

Jika al-Qa’ida (atau lain-lain) dapat dipandu dengan betul atas tuntutan syariat Islam memandangkan kepakaran tenaga dan dana yang dimiliki serta bersifat global, barangkali ia dapat menjadi agensi perisikan Islam yang dapat membantu mengurangkan kekuasaan dunia Barat ke atas alam sejagat, khususnya ke atas dunia Islam. Barangkali Amerika Syarikat tidak dapat lagi menjadi ’polis dunia’ sepertimana sekarang ini.

Namun, imej al-Qa’ida pada masa kini amat begitu buruk sekali kerana ketiadaan bimbingan yang betul dari ahli-ahli pakar dan alim ulama. Mereka bukan sahaja membunuh orang-orang kafir, malah membunuh orang-orang Islam sendiri, sedangkan membunuh seorang Islam sahaja tanpa hak amat besar dosanya di sisi Allah SWT. Al-Qa’ida cawangan Iraq misalnya, didakwa membunuh ramai ulama dan orang Islam yang tidak berdosa. Ini jelas adalah suatu implementasi yang amat salah dan menyimpang terhadap konsep jihad.

Kita tidak mahu ideologi yang dapat memburukkan imej Islam sebegini, tetapi kita mahu ideologi yang dapat menjadikan Islam itu digeruni dan sekaligus dihormati sepertimana pada zaman Sayyiduna Rasulullah SAW, di mana baginda bersabda: “Aku dibantu dengan rasa takut (yang dicampakkan dalam hati musuh) dalam jarak perjalanan sebulan” (al-Bukhari dan Muslim). Merisik aktiviti dan pergerakan musuh pernah dilakukan oleh Nabi SAW sendiri, di mana baginda pernah menghantar Busaisah r.a. untuk mengintip pergerakan rombongan Abu Sufyan ketika dalam peeprangan Badar (Muslim). Sebelum penghijrahan Nabi SAW ke Madinah, baginda pernah menghantar Abdullah bin Abi Bakr untuk mengintip berita tentang hal keadaan kaum Quraisy (al-Bukhari). Huzaifah bin al-Yaman juga pernah dihantar untuk meninjau kedudukan kaum Qurasisy dalam peperangan Khandaq.

Antara sahabat-sahabat lain yang pernah dihantar bertugas membuat operasi mengintip dan merisik aktiviti dan pergerakan musuh oleh Nabi SAW ialah ’Adi bin Abi al-Zaghba’, Talhah bin ’Ubaydillah, Sa’id bin Zaid, Abdullah bin Hadrad, Umayyah bin Khuwailid, Bisyr bin Sufyan, Jabalah bin ’Amir, Khubaib bin ’Adi, ’Asim bin Thabit, Takhrij bin Abi Syaybah, al-’Abbas bin ’Abd al-Muttalib dan Anas bin Abi Murthid r.a. (Lihat: Nizam al-Hukumah al-Nabawiyyah oleh al-’Allamah Syeikh ’Abd al-Hayy al-Kattani, jld. 1, hlm. 360-363)

Demikianlah strategi bagi mengukuhkan kedudukan Islam dan memastikan kemenangannya. Nampaknya kini, dunia Barat telah mempraktikkan strategi ini terlebih dahulu berbanding umat Islam. Kita hanya menyangka strategi begini hanya untuk masa-masa peperangan, sedangkan Barat sejak dahulu tidak putus menjalankan dan meneruskan agenda Perang Salib-nya. Al-Qa'ida bukanlah suatu agensi terbaik, namun CIA itupun bukanlah suatu agensi yang bersih, malah amat banyak keganasan yang dicetuskan oleh mereka, sama ada yang diketahui atau dirahsiakan. Namun atas nama keselamatan negara, ia masih terus mendapat perlindungan.

Al-Qa’ida hanyalah usaha individu yang barangkali dianggap tersasar dari matlamat yang lebih unggul pada masa kemunduran dan kelemahan dunia Islam sendiri. Di samping ketiadaan sistem khilafah Islam yang mampu bertanggungjawab. Barangkali nama al-Qa’ida sudah sinonim sebagai pengganas Islam di mata Barat, namun nama bukan suatu isu penting berbanding penerapan metode yang selaras dengan syariat Islam. Negara-negara Islam sebenarnya masih belum terlambat untuk menyaingi dunia Barat. Dengan kejatuhan rejim-rejim di negara-negara Arab, barangkali dapat membuka suatu lembaran baru bagi dunia Islam. Perselisihan dalaman pula, sewajarnya hanyalah suatu isu pinggiran apabila berhadapan dengan golongan Kuffar. Apakah ini hanya sekadar impian? Atau kita masih menantikan kemunculan Imam al-Mahdi?

Wallahu a’lam.

Friday, April 9, 2010

‘Penyeberangan’ Dan Permastautinan Manusia Di Alam Ghaib?


1. Apa yang ingin saya bincangkan di sini adalah mengenai perkara ghaib yang mana kita tidak diberikan ilmu pengetahuan mengenainya oleh Allah SWT melainkan sedikit sahaja. Dalam akidah Islam secara umum, Allah SWT meminta kita agar beriman dengan perkara-perkara ghaib yang disampaikan melalui kitab-Nya dan juga rasul-Nya. Namun, persoalan yang ingin diketengahkan ini barangkali adalah satu persoalan yang jarang dikupas dan diketengahkan. Ianya mengenai satu persoalan dalam hubungan antara alam manusia dan alam ghaib, iaitu tentang ‘penyeberangan’ dan kewujudan manusia di alam ghaib, dalam ertikata kehidupan sebagaimana manusia biasa yang hidup di alam zahir ini. Perbincangannya sama sekali tidak termasuk kehidupan manusia yang telah mati di alam roh. Pada pendapat saya tidak salah ianya dibincangkan, kerana menurut hemat saya ia dapat memahamkan kita dengan banyak masalah dan persoalan yang berlaku di sekitar hidup manusia yang berkait hubungan antara dua dimensi, alam zahir dan alam ghaib, khususnya berhubung soal kerohanian. Bagaimanapun, persoalan ini tentu menjadi pertikaian di kalangan ahli ilmu. Barangkali ada yang menolaknya, di samping ada juga yang menerimanya. Banyak hujah yang mungkin dapat menyokong orang yang menolak kemungkinan tersebut. Namun tidak kurang juga hujah-hujah orang yang tidak menolak kewujudan dan kebarangkaliannya. Malah cerita-cerita yang dikisahkan juga amat banyak.

2. Tiada siapa yang menafikan mengenai ‘penyeberangan’ makhluk dari alam ghaib ke alam zahir kerana bukti-bukti mengenainya sangat banyak, seperti yang dinyatakan dalam al-Quran tentang khidmat jin terhadap Nabi Sulaiman AS, tugasan Jibril AS menyampaikan wahyu kepada para nabi dan rasul, rombongan jin datang bertemu Nabi SAW untuk mendengar al-Quran, hadith mengenai Nabi SAW menangkap syaitan/jin ifrit yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, begitu juga kisah Abu Hurairah RA menangkap syaitan dan mengajarnya ayat al-Kursi sebagai pelindung, dan sebagainya. Namun persoalannya, bolehkah berlaku ‘penyeberangan’ manusia dari alam zahir ke alam ghaib? Sebagai jawapannya, mungkin kita boleh perhatikan fakta-fakta yang akan saya kemukakan satu persatu sepertimana berikut. Pertamanya, boleh kita katakan perpindahan pertama manusia ‘menyeberang’ dari alam ghaib ke alam zahir ialah perpindahan Nabi Adam AS dan Hawwa yang diturunkan oleh Allah SWT daripada syurga ke atas muka bumi ini. Zahir nas menunjukkan bahawa mereka ‘menyeberang’ dalam keadaan sedar dan jaga.

3. Seterusnya, kenyataan tentang Nabi ‘Isa AS diangkat ke langit oleh Allah SWT dalam usia 33 tahun, dan baginda akan turun semula ke bumi di akhir zaman kelak bagi memimpin umat Muhammad SAW menegakkan keadilan dan menghapuskan kebatilan. Baginda belum lagi diwafatkan oleh Allah SWT sehinggalah tiba masanya kelak, iaitu setelah turun semula ke bumi dan membunuh Dajjal. Riwayat mengenai perkara ini adalah mutawatir, meskipun ada golongan yang kurang berilmu di kalangan orang Islam yang mengatakan bahawa Nabi ‘Isa AS telah pun wafat, sepertimana kepercayaan orang Kristian. Pendapat mereka ini adalah tertolak sama sekali, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Imam al-Kasymiri dalam al-Tasrih, Syeikh al-Kawthari dalam Nazrah ‘Abirah, al-‘Arabi al-Tabbani dalam I’tiqad Ahl al-Iman dan lain-lain. Ini menunjukkan bahawa Nabi ‘Isa AS dapat ‘menyeberang’ dari alam zahir ke alam ghaib dan sebaliknya dalam keadaan sedar dan jaga.

4. Bagi mereka yang mengatakan Nabi Khidir AS masih hidup meyakini bahawa baginda adalah manusia yang diberikan keistimewaan oleh Allah SWT dan dapat hidup di dimensi yang lain. Majoriti ulama yang mencebur bidang kerohanian menyatakan tentang kewujudan Nabi Khidir AS dan ramai yang telah bertemu dengannya. [Lihat contohnya, kitab Tabaqat al-Khidhriyyin oleh Syeikh Muhyiddin al-Tu’mi]

5. Antaranya, Nabi Muhammad SAW telah diberikan keizinan oleh Allah SWT untuk ‘menyeberang’ secara langsung dari alam zahir ke alam ghaib dengan jasad manusiawinya dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang masyhur hingga dapat sampai ke Sidratul Muntaha. Malah baginda diperintahkan agar mengkhabarkannya kepada orang ramai, dan tidak menyembunyikan peristiwa yang sangat ajaib itu.

6. Nabi SAW juga pernah ‘menyeberang’ masuk ke alam jin dan membacakan al-Quran kepada mereka, seperti yang diceritakan oleh Ibn Mas’ud RA: Kami bersama Rasulullah SAW pada suatu malam, lalu tiba-tiba kami kehilangan baginda, dan kami pun pergi mencarinya di merata tempat di wadi dan lerengan bukit, hinggakan kami berkata: Baginda telah diculik jin atau pun dibunuh… (hadith riwayat Muslim no. 682 dan Abu Dawud).

7. Nabi SAW pernah menceritakan mengenai seorang lelaki yang bernama Khurafat.

عن عائشة قالت: حدث رسول الله صلى الله عليه وسلم نساءه ذات ليلة حديثا. فقالت امرأة منهن: يا رسول الله كان الحديث حديث خرافة. فقال : أتدرون ما خرافة إن خرافة كان رجلا من عذرة أسرته الجن في الجاهلية فمكث فيهن دهرا طويلا ثم ردوه إلى الإنس فكان يحدث الناس بما رأى فيهم من الأعاجيب فقال الناس حديث خرافة.

(رواه أحمد في مسنده برقم 24085، والترمذي في شمائله برقم 252 وأبو يعلى في مسنده برقم 4442، وقال شعيب الأرنؤوط : إسناده ضعيف لضعف مجالد بن سعيد وللاختلاف عليه في وصله وإرساله، ولكن أخرجه الطبراني في الأوسط برقم 6068 – من وجه آخر عن أنس بن مالك عن عائشة، وفيه: فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم: إن أصدق الحديث حديث خرافة رجل من بني عذرة سبته الجن وكان يكون معهم فإذا استرقوا السمع أخبروه فيخبر به الناس فيجدونه كما قال).

Kisahnya, beliau telah diculik oleh jin dan masuk ke dimensi mereka. Lalu beliaupun melihat berbagai keajaiban yang tidak pernah dilihatnya di dunia nyata. Apabila beliau pulang semula ke alam zahir, beliau pun menceritakan kepada orang apa yang dilihatnya semasa di alam jin. Maka orang pun berkata: Cerita-cerita Khurafat. Apabila Nabi SAW tidak menafikan kebenaran kisah tersebut, jika sah hadith ini, maka jelaslah bahawa ‘penyeberangan’ manusia masuk ke alam ghaib adalah satu perkara yang mungkin dan boleh berlaku.

8. Kisah Tamim al-Dari RA dalam hadith al-Jassasah merupakan satu lagi bukti berlaku ‘penyeberangan’ ini, di mana beliau pernah menaik kapal bersama 30 orang dari kabilah Lakhm dan Juzam. Lalu mereka dipermainkan oleh ombak hingga berada di tengah lautan selama satu bulan. Sampai mereka terdampar di sebuah pulau di tengah lautan tersebut saat tenggelamnya matahari. Mereka pun menaiki perahu-perahu kecil dan memasuki pulau tersebut hingga menjumpai seekor binatang yang berambut sangat lebat dan banyak bulu. Mereka tidak tahu mana depan dan mana belakangnya, karena demikian lebat bulunya. Mereka pun berkata: ‘Apakah kamu ini?’ Ia menjawab: ‘Aku adalah al-Jassasah.’ Mereka mengatakan: ‘Apa al-Jassasah itu?’ Ia mengatakan: ‘Wahai kaum, pergilah kalian kepada laki-laki yang ada di biara itu. Sesungguhnya ia sangat merindukan berita kalian…’. Dipendekkan cerita, Nabi SAW bersabda: ‘Sesungguhnya cerita Tamim menakjubkanku, di mana sesuai dengan apa yang kuceritakan kepada kalian tentangnya (Dajjal), serta tentang Makkah dan Madinah. Ketahuilah bahwa ia berada di lautan Syam atau lautan Yaman. Tidak, bahkan dari arah timur ianya. Dari arah timur ianya. Dari arah timur ianya. Dan baginda mengisyaratkan dengan tangannya ke arah timur.’ (Hadith riwayat Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi, al-Nasa’i dalam al-Kubra, Ibn Majah dan Ahmad). Pulau yang dinyatakan dalam hadith di atas tentunya berada di dimensi yang lain, kerana jika tidak pasti manusia sudah menemuinya dengan kecanggihan teknologi yang ada sekarang ini dan mewartakannya sebagai Pulau Dajjal misalnya.

9. Ada dibincangkan oleh para ulama mengenai kemungkinan berlaku perkahwinan antara manusia dan jin. Ada yang menafikan, dan ada yang mengharuskan kemungkinannya berdasarkan kes-kes yang berlaku. Syeikh Muhammad bin ‘Abdullah al-Syibli (m. 769H) dalam kitabnya (آكام المرجان فى احكام الجان) menyatakan pernikahan manusia lelaki dengan jin perempuan, dan sebaliknya adalah mungkin. Namun, ada diriwayatkan bahawa Nabi SAW melarang dari menikahi jin, dan di kalangan tabi’in pula ada yang mengatakan hukumnya adalah makruh, manakala para ulama fiqh mengatakan bahawa hukumnya tidak harus. Bagaimanapun, bentuk kemungkinan sedemikian merupakan bukti terhadap ‘penyeberangan’, meskipun di luar adat kebiasaan dan kenormalan alam tabii.

10. Banyak peristiwa yang berlaku berhubung ‘penyeberangan’ manusia dari alam zahir ke alam ghaib dan sebaliknya. Namun, jika berlaku ‘penyeberangan’, bolehkah manusia hidup terus di alam tersebut, dalam ertikata membesar, berkahwin, beranak pinak dan mati di sana. Seringkali kita dengar seperti peristiwa manusia yang tersesat di dimensi yang berbeza, jin menculik manusia baik dewasa mahupun kanak-kanak, menyorokkan mereka, mengambil bayi dan sebagainya. Ada yang dapat kembali semula dan ada yang tidak. Malah peristiwa sebegini kemungkinan sudah berlaku sejak sekian abad lamanya. Maka berkemungkinan besar mereka yang tidak kembali itu terus hidup di alam tersebut. Berkemungkinan juga mereka dapat bertemu dengan manusia-manusia lain yang senasib dan dapat membina kehidupan ‘masyarakat’ manusia di alam sana. Barangkali juga, sesekali berlaku perhubungan secara rohani dengan dunia nyata, sehingga mereka ini dikenali dengan panggilan ‘Rijalul Ghaib’ (orang ghaib).

11. Kewujudan ‘Rijalul Ghaib’ turut menjadi perselisihan di kalangan ahli ilmu. Sebahagian ulama menolak kewujudan mereka kerana tiada dalil yang kukuh mengenainya. Bagaimanapun, di sana wujud golongan wali Abdal, Nujaba’ dan Awtad yang termasuk dalam kategori Rijalul Ghaib’, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Imam al-Suyuti dalam risalahnya (الخبر الدال على وجود القطب والأوتاد والنجباء والأبدال). Ini bersandarkan kepada banyak riwayat hadith dengan berbagai darjat antara sahih, hasan, daif, dan juga mawdhu’ (palsu), meskipun ada yang cuba menghukumkan kesemua riwayat ini sebagai batil. Antaranya diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada ‘Ubadah bin al-Samit daripada Nabi s.a.w. bahawasanya baginda s.a.w. bersabda: “Al-Abdal bagi umat ini seramai 30 orang, yang seumpama Nabi Ibrahim Khalil al-Rahman azza wa jalla, setiap kali meninggal seorang lelaki daripada mereka, Allah akan menggantikan tempatnya dengan lelaki yang lain.” (Musnad Ahmad: 5/322) [Lihat kitab (الاحتفال بثبوت حديث الأبدال) oleh ‘Allamah Muhaddith Syeikh Mahmud Sa’id Mamduh]

12. Antara yang mendorong saya menulis tentang persoalan ini ialah kekerapan seorang sahabat karib saya, seorang yang rajin beramal yang barangkali sudah bertemu dengan mereka, mengatakan bahawa mereka adalah manusia seperti kita, bukan jin, bunian, malaikat atau seumpamanya yang dijadikan dari selain unsur tanah. Beliau dengan pasti menjelaskan bahawa mereka adalah manusia, cuma mereka hidup di dimensi yang berbeza dan bukan di alam nyata sebagaimana manusia biasa yang lain.

13. Ada cerita yang baru diceritakan kepada saya oleh seorang kawan, pengamal perubatan Islam, mengenai sepasang suami isteri, di mana bayi mereka telah diambil oleh jin, namun ibunya telah memberikan syarat bahawa bayi tersebut mesti dipulangkan setiap hari untuk disusukan olehnya. Maka syarat tersebut ditepati di mana bayi tersebut dipulangkan sementara untuk disusukan dan kemudian diambil kembali sebelum terbit fajar. Apa yang menghairankan hanya si-ibu sahaja yang dapat melihat bayinya itu. Lalu ia terus dibela oleh mereka dan kini kanak-kanak tersebut sudah berusia 10 tahun dan enggan balik kepada ibunya di alam zahir.

14. Manusia adalah makhluk Allah SWT yang dijadikan oleh-Nya dengan sebaik-baik kejadian (fi Ahsani Taqwim). Maka tidak mustahillah jika pada diri manusia itu tersimpan berbagai rahsia yang tidak diketahui oleh manusia itu sendiri. Kemampuan roh manusia juga adakalanya dapat melebihi dari jangkauan akal dan ukuran logik. Ditambah lagi dengan keyakinan kita terhadap kekuasaan Allah SWT bahawa tiada suatu apa pun yang mustahil bagi-Nya. Malah amat banyak rahsia-rahsia alam yang belum kita ketahui kecuali sedikit sahaja, dan adakalanya menghairankan ahli-ahli sains untuk menghuraikannya. Maka berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, saya berpendapat ‘penyeberangan’ manusia ke alam ghaib dan kewujudan mereka di sana adalah mungkin. Jika sudah jelas fakta-fakta mengenai berlakunya ‘penyeberangan’ manusia ini, maka tidak mustahil pula berlakunya permastautinan mereka di sana. Wallahu a’lam…