Pages

Monday, May 9, 2011

Osama bin Laden: Impian Melihat ‘CIA’ Dunia Islam?


Kematian Osama bin Laden barangkali bukanlah bermakna kematian al-Qa’ida. Bagaimanapun, terlebih dahulu perlu dinyatakan bahawa tulisan ini bukanlah untuk menyokong dan menghalalkan 100% perjuangan al-Qa’ida. Tetapi hanya ingin membicarakan dari sudut pengaruh yang ditimbulkan oleh Osama bin Laden dan pertubuhan al-Qa’ida-nya sehingga mampu menggerunkan dunia Barat. Meskipun cara yang digunakan adakalanya terkeluar dari landasan syariat Islam sehingga mengheret dunia Islam seluruhnya menjadi begitu buruk di kaca mata ramai masyarakat Barat. Walhal Islam adalah agama rahmat dan toleransi.

Dunia Barat pada masa kini sentiasa berada selangkah di hadapan dunia Islam. Sebab itulah, umat Islam sentiasa mudah dipermainkan dan diperalatkan. Pertubuhan al-Qa’ida meskipun menjadi suatu pertubuhan yang kontroversi dan menerima pelbagai kecaman dari pelbagai pihak termasuk dari umat Islam sendiri kerana sifat radikal dan ekstremnya. Namun, ia menimbulkan suatu hakikat tentang kelemahan umat Islam dan ketiadaan perpaduan antara sesama mereka. Di samping kecelaruan dari sudut kesatuan pemikiran yang bersifat kompeten dan komprehensif.

Dunia Islam tidak mempunyai agensi perisikan dan keselamatan yang bersifat global seumpama CIA (Central Intelligence Agency) di Amerika Syarikat, yang bertanggung jawab untuk mendapatkan dan menganalisa maklumat berkenaan kerajaan negara-negara luar, badan-badan korporat, serta individu-individu, dan melaporkan maklumat tersebut kepada beberapa badan lain di dalam kerajaan Amerika Syarikat. Atau seperti British Secret Intelligence Service di British, Australian Secret Intelligence Service di Australia atau Mossad di Israel.

Paling jauh, dunia Islam hanya terlibat dalam agensi keselamatan dan jenayah yang bersifat rutin sahaja, iaitu Interpol (International Criminal Police Organization) yang turut disertai oleh dunia Barat dan negara-negara bukan Islam lain. Ia merupakan suatu badan antara kerajaan yang ditubuhkan untuk menggalakkan kerjasama di antara pihak berkuasa polis di seluruh dunia dan untuk membangunkan cara berkesan menentang jenayah. Hubungan antarabangsa ini hanya dari satu sisi yang melibatkan isu-isu keselamatan dan jenayah sejagat yang disepakati bersama oleh dunia Barat dan dunia Islam. Justeru, tidak ada agensi dari dunia Islam yang dapat bertindak seperti CIA di Amerika Syarikat atau Mossad di Israel yang dapat menjalankan perisikan bagi manfaat dunia Islam.

Jika al-Qa’ida (atau lain-lain) dapat dipandu dengan betul atas tuntutan syariat Islam memandangkan kepakaran tenaga dan dana yang dimiliki serta bersifat global, barangkali ia dapat menjadi agensi perisikan Islam yang dapat membantu mengurangkan kekuasaan dunia Barat ke atas alam sejagat, khususnya ke atas dunia Islam. Barangkali Amerika Syarikat tidak dapat lagi menjadi ’polis dunia’ sepertimana sekarang ini.

Namun, imej al-Qa’ida pada masa kini amat begitu buruk sekali kerana ketiadaan bimbingan yang betul dari ahli-ahli pakar dan alim ulama. Mereka bukan sahaja membunuh orang-orang kafir, malah membunuh orang-orang Islam sendiri, sedangkan membunuh seorang Islam sahaja tanpa hak amat besar dosanya di sisi Allah SWT. Al-Qa’ida cawangan Iraq misalnya, didakwa membunuh ramai ulama dan orang Islam yang tidak berdosa. Ini jelas adalah suatu implementasi yang amat salah dan menyimpang terhadap konsep jihad.

Kita tidak mahu ideologi yang dapat memburukkan imej Islam sebegini, tetapi kita mahu ideologi yang dapat menjadikan Islam itu digeruni dan sekaligus dihormati sepertimana pada zaman Sayyiduna Rasulullah SAW, di mana baginda bersabda: “Aku dibantu dengan rasa takut (yang dicampakkan dalam hati musuh) dalam jarak perjalanan sebulan” (al-Bukhari dan Muslim). Merisik aktiviti dan pergerakan musuh pernah dilakukan oleh Nabi SAW sendiri, di mana baginda pernah menghantar Busaisah r.a. untuk mengintip pergerakan rombongan Abu Sufyan ketika dalam peeprangan Badar (Muslim). Sebelum penghijrahan Nabi SAW ke Madinah, baginda pernah menghantar Abdullah bin Abi Bakr untuk mengintip berita tentang hal keadaan kaum Quraisy (al-Bukhari). Huzaifah bin al-Yaman juga pernah dihantar untuk meninjau kedudukan kaum Qurasisy dalam peperangan Khandaq.

Antara sahabat-sahabat lain yang pernah dihantar bertugas membuat operasi mengintip dan merisik aktiviti dan pergerakan musuh oleh Nabi SAW ialah ’Adi bin Abi al-Zaghba’, Talhah bin ’Ubaydillah, Sa’id bin Zaid, Abdullah bin Hadrad, Umayyah bin Khuwailid, Bisyr bin Sufyan, Jabalah bin ’Amir, Khubaib bin ’Adi, ’Asim bin Thabit, Takhrij bin Abi Syaybah, al-’Abbas bin ’Abd al-Muttalib dan Anas bin Abi Murthid r.a. (Lihat: Nizam al-Hukumah al-Nabawiyyah oleh al-’Allamah Syeikh ’Abd al-Hayy al-Kattani, jld. 1, hlm. 360-363)

Demikianlah strategi bagi mengukuhkan kedudukan Islam dan memastikan kemenangannya. Nampaknya kini, dunia Barat telah mempraktikkan strategi ini terlebih dahulu berbanding umat Islam. Kita hanya menyangka strategi begini hanya untuk masa-masa peperangan, sedangkan Barat sejak dahulu tidak putus menjalankan dan meneruskan agenda Perang Salib-nya. Al-Qa'ida bukanlah suatu agensi terbaik, namun CIA itupun bukanlah suatu agensi yang bersih, malah amat banyak keganasan yang dicetuskan oleh mereka, sama ada yang diketahui atau dirahsiakan. Namun atas nama keselamatan negara, ia masih terus mendapat perlindungan.

Al-Qa’ida hanyalah usaha individu yang barangkali dianggap tersasar dari matlamat yang lebih unggul pada masa kemunduran dan kelemahan dunia Islam sendiri. Di samping ketiadaan sistem khilafah Islam yang mampu bertanggungjawab. Barangkali nama al-Qa’ida sudah sinonim sebagai pengganas Islam di mata Barat, namun nama bukan suatu isu penting berbanding penerapan metode yang selaras dengan syariat Islam. Negara-negara Islam sebenarnya masih belum terlambat untuk menyaingi dunia Barat. Dengan kejatuhan rejim-rejim di negara-negara Arab, barangkali dapat membuka suatu lembaran baru bagi dunia Islam. Perselisihan dalaman pula, sewajarnya hanyalah suatu isu pinggiran apabila berhadapan dengan golongan Kuffar. Apakah ini hanya sekadar impian? Atau kita masih menantikan kemunculan Imam al-Mahdi?

Wallahu a’lam.

No comments: