Pages

Thursday, January 7, 2010

Dr. 'Abdul 'Azim al-Dib رحمه الله


Dr. 'Abdul 'Azim al-Dib al-Hasani adalah salah seorang tokoh ilmu fiqh dan usul yang banyak melakukan kajian dan tahkik tentang Imam al-Haramain al-Juwaini. Beliau telah meninggal dunia pada pagi semalam, Rabu 20 Muharram 1431H, bersamaan 6 Januari 2010. Al-marhum seorang yang terkenal selalu mendampingi karya-karya Imam al-Haramain al-Juwaini dan banyak memberikan tumpuan terhadapnya. Malah layak jika beliau digelar "صاحب إمام الحرمين".

Antara sumbangannya ialah:
1. mentahkik kitab al-Burhan oleh Imam al-Haramain (dalam usul al-fiqh) yang terdiri daripada 2 jilid.
2. mentahkik kitab al-Ghiyathi (
غياث الأمم في إلتياث الظُلم) oleh Imam al-Haramain (dalam siyasah syar'iyyah).
3. mentahkik kitab (
الدرة المضية فيما وقع فيه الخلاف بين الشافعية والحنفية) oleh Imam al-Haramain.
4. mentahkik kitab (
نهاية المطلب في دراية المذهب) oleh Imam al-Haramain.

Antara karya-karya beliau yang lain:
1. Biografi Imam al-Haramain (إمام الحرمين أبوالمعالي عبدالملك بن عبدالله الجويني ، حياته وعصره - آثاره وفكره)
2. Nadwah Alaf Pertama Imam al-Haramain - الندوة الألفية لإمام الحرمين الجويني
3. Fiqh Imam al-Haramain -
فقه إمام الحرمين عبدالملك بن عبدالله الجويني ، خصائصه - أثره - منزلته
4. al-Ghazali wa Usul al-Fiqh
5. al-Manhaj fi Kitabat al-Gharbiyyin 'an al-Tarikh al-Islami, dan lain-lain.


ورحمه الله رحمة واسعة وأسكنه فسيح جناته.. آمين.

Sunday, January 3, 2010

Rahsia Penolakan “Muhaddith-Jadian” Terhadap Pengajian Bersanad

Sanad Keistimewaan Ummah

Menghidupkan pengajian bersanad pada masa ini adalah suatu perkara yang harus diberi pujian dan galakan, dan bukannya satu perkara yang harus dibanteras dan ditentang. Meskipun ia bukan satu kefardhuan ke atas setiap orang dalam menuntut ilmu atau mengajarkannya, namun ketiadaannya langsung samasekali dalam umat Islam mampu menjadi tanda pada dekatnya kehancuran umat ini. Di mana kelak tiada lagi tinggal orang-orang berilmu yang penuh keberkatan tersebut, lalu orang mengambil ahli-ahli ilmu yang jahat, tiada keberkatan dan orang-orang jahil sebagai tempat rujuk dan pemimpin agama mereka. Justeru, mereka ini sesat lagi menyesatkan, dan akhirnya di atas merekalah dibangkitkan kiamat.

Jika tujuan sanad pada awalnya untuk memastikan kesahihan riwayat, namun ilmu sanad kemudiannya berkembang sama seperti ilmu-ilmu Islam yang lain, sehingga ia menjadi suatu seni yang tersendiri. Cuma bezanya syarat yang ketat dan penelitian yang tegas terhadap perawi-perawi pada peringkat awal telah dilonggarkan pada peringkat mutakhir, apabila kebanyakan hadith sudah direkod dan dibukukan oleh ulama hadith. Justeru kemudiannya, ramailah ulama yang membenarkan pengijazahan sanad serta meriwayatkannya berdasarkan ijazah tersebut semata-mata, tanpa perlu bertalaqqi penuh.

Periwayatan secara bersanad diteruskan kerana ia adalah satu kemuliaan dan keistimewaan yang dapat dilihat dari sudut-sudut berikut;

1. merupakan pertalian yang bersambung-sambung sampai kepada Rasulullah SAW (وكفى في الاتصال بالحبيب شرفاً) .

2. merupakan iqtida’ (tauladan) terhadap para salafus-soleh dalam tradisi belajar dan mengajar (إنّ التشبه بالكرام فلاح).

3. merupakan satu jati diri dan ikatan ilmu yang hanya dimiliki oleh umat Islam, maka ia adalah satu kebanggaan buat mereka (الإسناد من الدين).

4. merupakan satu usaha berterusan memelihara persambungan sanad hingga ke hari kiamat (إن الأسانيد أنساب الكتب).

5. merupakan satu rahmat dan barakah (عند ذكر الصالحين تنزل الرحمة).

Mereka yang mengkritik pengajian bersanad juga seharusnya membezakan pengajian bersanad yang bagaimana yang dikritik, bukan menghentam secara pukul-rata. Perlu dibezakan juga antara ijazah am dan ijazah khas. Jika tidak ia hanya satu kejahilan terhadap sistem sanad dan juga seni-seninya.

Pengajian secara bersanad terbahagi kepada beberapa kategori, iaitu:

  1. talaqqi secara bersanad bagi qiraat (bacaan) al-Quran.
  2. talaqqi secara bersanad bagi kitab-kitab hadith muktamad, seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Muwatta’ Malik dan sebagainya.
  3. talaqqi secara bersanad bagi himpunan hadith-hadith tertentu, seperti al-Awa’il al-Sunbuliyyah, atau hadith-hadith tertentu, seperti hadith musalsal.
  4. talaqqi secara bersanad bagi kitab-kitab karangan ulama dalam berbagai bidang ilmu, seperti fiqh, usul-fiqh, tauhid, tafsir, sirah, hadith, mustalahul-hadith, tasawuf dan sebagainya.
  5. talaqqi secara bersanad bagi amalan tariqat-tariqat sufiyyah.

Seorang yang mempelajari secara mendalam, akan mendapati dalam ilmu ulumul-hadith dibincangkan tentang ilmu al-tahammul wal-ada’ (pembawaan dan penyampaian riwayat), serta dibincangkan tentang adab-adab muhaddith dan juga penuntut hadith. Perkara ini dapat dirujuk dalam kesemua kitab-kitab yang disusun dalam ulumul-hadith. Ini menunjukkan para ulama sejak dahulu mengambil berat mengenai periwayatan sanad. Hanya pengembaraan-pengembaraan getir ahli hadith dalam mencari sanad sahaja yang berakhir, iaitu dalam kurun ke-6 hijrah. Di mana semua riwayat telah dibukukan dalam al-Jawami’, al-Sihah, al-Sunan, al-Masanid, al-Ma’ajim, al-Ajza’, al-Fawa’id, al-Masyyakhat dan lain-lain. Setelah itu para ulama hadith berusaha memelihara sanad ini hinggakan ada sebahagian mereka yang membukukannya di dalam kitab-kitab khusus. Perhatian terhadap pengumpulan sanad ini kemudian terus bertambah di kalangan ulama hadith sehingga hampir tiada ulama hadith melainkan ia mempunyai kitab sanad yang merekodkan sanad-sanadnya dan juga biografi sebahagian syeikh-syeikhnya. Kitab-kitab ini disebut dengan berbagai istilah seperti barnamij, fihris, thabat dan mu’jam. Riwayat-riwayat mereka juga tidak sekadar pada kitab-kitab hadith, malah pada kitab-kitab tafsir, fiqh, usul, akidah dan lain-lain. (al-Fadani, h. 8-9)

Sanad Kini Sudah Tiada Nilai?

Oleh kerana kejahilan dan kesan penjajahan dalam sistem pendidikan, ada orang yang berkata: “Kesemua sanad yang wujud di atas muka bumi sekarang sudah tidak dijamin kethiqahan perawi dan persambungan sanadnya. Justeru tidak ada faedah untuk meriwayatkannya”.

Tuduhan ini adalah satu tohmahan kepada seluruh ulama dan ahli ilmu yang memiliki sanad dan meriwayatkannya. Tuduhan tersebut hanya menampakkan kejahilan pengucapnya yang tidak takut kepada Allah SWT terhadap kata-kata yang akan dipertanggungjawabkan kelak. Jika beliau berkata; banyak sanad ulama mutaakhirin yang wujud sekarang mengandungi banyak kecelaruan di dalamnya, tentu itu lebih dapat diterima dan layak untuk diperbincangkan.

Mereka juga berpegang kepada kata-kata Ibn al-Salah (m. 643H) dalam kitabnya (صيانة صحيحِ مسلمِ من الإخلالِ والغلَطِ و حمايتُه من الإسقاطِ والسَّقَط) (h. 117): “Ketahuilah, bahawa periwayatan dengan isnad-isnad yang bersambung bukanlah maksud daripadanya pada zaman kita ini dan juga zaman-zaman sebelumnya bagi mensabitkan apa yang diriwayatkan, kerana tidak sunyi satu isnad pun daripadanya dari seorang syeikh yang tidak tahu apa yang diriwayatkannya, dan juga tidak menjaga isi kitabnya secara jagaan yang layak untuk diperpegang pada kesabitannya. Akan tetapi maksudnya ialah bagi mengekalkan rantaian isnad yang dikhususkan terhadap umat ini, semoga Allah menambahkannya kemuliaan”.

Kata-kata Ibn al-Salah tersebut juga bukanlah kata-kata yang maksum yang tidak dapat dipertikaikan. Ia tetap menerima perbincangan antara pro-kontra sebagaimana setengah pendapatnya yang lain. Ini kerana realiti membuktikan sanad masih diperlukan walaupun untuk mensabitkan sesuatu riwayat, seperti contoh kes satu juzuk kitab Musannaf ‘Abd al-Razzaq yang hilang yang ditemukan dan diterbitkan oleh Dr. ‘Isa ‘Abdillah Mani‘ al-Himyari dan Dr. Mahmud Sa’id Mamduh. Namun apabila mereka menyedari kepalsuan juzuk kitab tersebut kerana tiada persambungan sanad setelah membuat perbandingan dengan sanad-sanad periwayatan yang ada, mereka menarik balik penerbitannya dan mengisytihar permohonan maaf. (جزاهما الله خيراً). Di kalangan para pentahkik dan penyelidik manuskrip pula, ramai di antara mereka yang dapat mengesan kesalahan kalimah, pertukaran huruf, penentuan titik kalimah, perubahan nama-nama dan sebagainya berdasarkan sanad-sanad periwayatan yang wujud sekarang ini.

Pendapat Ibn al-Salah bahawa tiada lagi sanad yang bersambung dengan perawi-perawi thiqah juga dapat dipertikaikan dengan wujudnya sanad-sanad yang sabit sama ada pada zaman beliau, sebelumnya, mahupun selepasnya. Contohnya, Imam al-Nawawi telah meriwayatkan Sahih Muslim dengan sanad yang bersambung dan menerangkan kedudukan setiap perawi dalam sanad berkenaan. Begitu juga al-Hafiz Ibn Hajar dan lain-lain. Usaha Syeikh al-Yunini menghimpun sanad-sanad Sahih al-Bukhari sehingga menjadikan al-Nuskhah al-Yuniniyyahnya sebagai versi Sahih al-Bukhari yang paling sahih juga merupakan bukti dalam masalah ini.

Mereka yang mendalami ilmu rijal dan ‘ilal juga (cabang-cabang daripada ilmu sanad) akan mendapati bahawa ilmu tersebut tidak terhenti pada kurun-kurun awal hijrah sahaja, bahkan ianya terus berkembang di sepanjang zaman sehinggalah ke zaman kita ini. Apakah ilmu ini harus disempitkan kerana kononnya masalah sanad sudah selesai?

Fatwa Aneh

Berikut saya bawakan fatwa al-Lajnah al-Da’imah lil-Buhuth al-’Ilmiyyah wal-Ifta’ untuk ukuran dan nilaian anda. (Saya terjemahkan soal-jawabnya sahaja):

ورد سؤال للجنة الدائمة للبحوث العلمية والإفتاء 4/371 رقم الفتوى (3816)، هذا نصه: هل بقي أحد من العلماء الذين يصلون بإسنادهم إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم وإلى كتب أئمة الإسلام؟ دلونا على أسمائهم وعناوينهم حتى نستطيع في طلب الحديث والعلم إليهم.

الجواب: يوجد عند بعض العلماء أسانيد تصلهم إلى دواوين السنة لكن ليست لها قيمة؛ لطول السند، وجهالة الكثير من الرواة عدالة وضبطا. وبالله التوفيق. وصلى الله على نبينا محمد، وآله، وصحبه وسلم.

- اللجنة الدائمة للبحوث العلمية والإفتاء:
عضو: عبد الله بن قعود.
عضو: عبد الله بن غديان.
نائب رئيس: عبد الرزاق عفيفي.
الرئيس: عبد العزيز بن باز.

Terjemahan:

...Soalan: Adakah masih tinggal ulama yang bersambung isnad mereka sampai kepada Rasulullah SAW dan juga kepada kitab-kitab ulama besar Islam? Sebutkanlah kepada kami nama-nama dan alamat-alamat mereka agar kami dapat mempelajari hadith dan ilmu daripada mereka.

Jawapan: Terdapat pada sebahagian ulama sanad-sanad yang menyambungkan mereka kepada kitab-kitab al-sunnah, akan tetapi ianya tidak ada nilai, kerana sanad yang panjang, serta kemajhulan ramai dari kalangan perawinya dari segi sifat adil dan dhabit. Wabillah al-tawfiq... (ringkas betul!)


Punca Kempen Menjauhi Periwayatan Sanad

Tidak dinafikan, ada setengah masyayikh salafi-wahhabi yang memiliki sanad secara ijazah, namun sebahagian mereka tidak mahu menyebarkannya kerana rantaian sanad periwayatan tersebut mengandungi ramai perawi Asya’irah atau Maturidiyyah, dan juga perawi-perawi sufiyyah.

Bagi menjelaskan perkara ini, di bawah ini akan saya senaraikan antara ulama-ulama yang menghimpunkan sanad-sanad di dalam kitab-kitab khusus:

  1. al-Hafiz Ibn al-Najjar (m. 648H): Masyyakhah.
  2. al-Hafiz Abu Tahir al-Silafi (m. 576H): al-Wajiz fi Zikr al-Mujaz wa al-Mujiz .
  3. Imam ‘Abdul Haq bin Ghalib ibn ‘Atiyyah al-Andalusi (m. 541H): Fihrasah.
  4. al-Qadhi ‘Iyadh al-Yahsubi (m. 544H): al-Ghunyah.
  5. al-Hafiz Muhammad bin ’Umar ibn Khayr al-Isybili (m. 575H): Fihrist.
  6. al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani (m. 852H): al-Majma' al-Mu'assas dan al-Mu'jam al-Mufahras .
  7. al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti (m. 911H): Zad al-Masir.
  8. Syeikhul-Islam Zakariyya al-Ansari (m. 926H): Thabat.
  9. Imam ‘Abdul Wahhab al-Sya‘rani (m. 973H): Fihris.
  10. al-‘Allamah Muhammad bin ‘Ali bin Tulun (m. 953H): al-Fihrist al-Awsat.
  11. Al-Musnid Abu Mahdi ‘Isa bin Muhammad al-Tha'alibi al-Makki (m: 1080 H): Maqalid al-Asanid, al-Minah al-Badiyyah fi al-Asanid al-'Aliyah, Kanzul Riwayah dan Muntakhab al-Asanid .
  12. Syeikh Muhammad bin ‘Ala’uddin al-Babili (m: 1077H): (منتخب الأسانيد).
  13. Syeikh Ahmad bin Muhammad al-Qusyasyi (m: 1070H): al-Simt al-Majid.
  14. Syeikh Abdullah bin Muhammad bin Abi Bakr al-Ayyasyi (m: 1090H): (إتحاف الأخلاء).
  15. Imam ‘Abdullah bin Salim Al-Basri al-Makki (m: 1134H): Al-Imdad bi Ma'rifati 'Uluwi al-Isnad .
  16. Syeikh Abu Tahir Ibrahim bin Hasan Al-Kurani (m: 1101H): Al-Umam li Iqaz Al-Himam .
  17. Syeikh Hasan bin ‘Ali al-‘Ujaimi al-Makki (m. 1113H): Kifayah Al-Mutatalli' .
  18. Syeikh ‘Abdul Baqi al-Ba’li al-Dimasyqi al-Hanbali (m. 1071H): (رياض أهل الجنة بآثار أهل السنة).
  19. Syeikh ’Abdur Rahman al-Ba’li al-Hanbali: (منار الإسعاد في طرق الإسناد).
  20. Syeikh Muhammad bin Sulaiman Al-Rudani (1094H): Sillatu Al-Khalaf bi Mausul As-Salaf.

  1. Syeikh al-Muhaddith Isma’il bin Muhammad al-’Ajluni : (حلية أهل الفضل والكمال).
  2. Syeikh Muhammad bin Ahmad ‘Aqilah al-Makki: (المواهب الجزيلة).
  3. Syeikh ‘Abdul Ghani al-Nabulusi: Thabat.
  4. Syeikh Muhammad Hasyim al-Sindi (m:1174H): Al-Muqtataf min Ittihaf Al-Akabir bi Asanid Al-Mufti Abdil Qadir .
  5. Syeikh Muhammad ‘Abid al-Sindi (m. 1257H): Hasr al-Syarid.
  6. Syeikh ‘Ali bin Zahir Al-Watri Al-Madani (m: 1322H): Awa'il Al-Watri wa Musalsalatihi .
  7. Syeikh Waliyullah al-Dihlawi (m. 1176H): Al-Irsyad ila Muhimmat 'Ilm Al-Isnad .
  8. al-‘Allamah Abu al-Faydh Muhammad Murtadha al-Zabidi: (لقط اللآلي من الجواهر الغوالي ).
  9. Syeikh Ahmad al-Dardir al-Maliki: Thabat.
  10. Syeikh ‘Abdul Ghani bin ‘Abdul Haq al-Dihlawi (m. 1296H): al-Yani’ al-Jani fi Asanid al-Syaikh ‘Abdul Ghani, susunan Syeikh Muhammad Yahya.
  11. Syeikh ‘Abdullah al-Syabrawi (m. 1171H): Thabat.
  12. Syeikh Muhammad ibn Himmat Zadah al-Dimasyqi: al-Is’ad.
  13. Syeikhul-Islam Syamsuddin Muhammad bin Salim al-Hifni: Thabat.
  14. Syeikh Salih bin Muhammad Al-Fullani (1218H): Qatf al-Thamar fi Raf'i Asanid Al-Musannafat fi Al-Funun wa Al-Athar .
  15. Syeikh Muhammad Syakir al-’Aqqad (m. 1222H): (عقود اللآلي في الأسانيد العوالي).
  16. al-’Allamah Syeikh ’Abdul Rahman bin Muhammad al-Kuzbari: Thabat.
  17. Syeikh Muhammad Al-Amir Al-Kabir Al-Misri (m.1232H): Sadd al-Arab min 'Ulum al-Isnad wal Adab .
  18. Syeikh Muhammad bin ‘Ali al-Syanawani (m. 1233H): al-Durar al-Saniyyah li ma 'ala Min al-Asanid al-Syanawaniyyah .
  19. Syeikh ‘Abdullah bin Hijazi Al-Syarqawi (m.1227H): al-Jami’ al-Hawi fi Marwiyyat al-Syarqawi.
  20. Syeikh Ahmad ibn ’Ajibah al-Hasani: Fihris.
  21. Syeikh ‘Abdul Wasi' bin Yahya Al-Wasi'i: al-Durr al-Farid al-Jami' li Mutafarriqat al-Asanid .
  22. Syeikh Muhammad Amin Ibn ‘Abidin (m. 1252H): (مجموعة إجازات)
  23. Syeikh Hasan Al-Masyat (1306 H): al-Irsyad bi Zikr Ba'dhi ma Li min al-Ijazah wa Al-Isnad .
  24. Syeikh Tahir bin Muhammad al-Jaza’iri: (عقود اللآلي في الأسانيد العوالي).
  25. Syeikh Abu al-Mahasin al-Qawuqji (m. 1305H): (معدن اللآلي في الأسانيد العوالي).
  26. Mawlana Syeikh Fadhl al-Rahman al-Kanja-Murad-Abadi: (إتحاف الإخوان بأسانيد سيدنا ومولانا فضل الرحمن), susunan Syeikh Ahmad bin ‘Uthman.
  27. Syeikh Ahmad Dhiya’uddin al-Kumusykhanawi: Thabat.
  28. Syeikh Mahmud Muhammad Nasib al-Hamzawi, mufti Syam: (عنوان الأسانيد).
  29. Syeikh Muhammad Sa’id Sunbul al-Makki (m. 1175H): al-Awa’il al-Sunbuliyyah.
  30. Syeikh Abu al-Yusr Falih bin Muhammad al-Mihnawi al-Zahiri (m. 1328H): (حسن الوفاء)
  31. Syeikh Abu al-Nasr Muhammad Nasr Allah al-Khatib: (الكنز الفريد في علم الأسانيد ).
  32. Syeikh Muhammad ‘Abdul Baqi Al-Ansari (m.1364H): Al-Is'ad bil Isnad dan Nashr Al-Ghawali min Al-Asanid Al-'Awali .
  33. Syeikh Muhammad Mahfuz al-Turmasi (m. 1338H): Kifayah Al-Mustafid li ma 'Ala min Al-Asanid .
  34. Syeikh ‘Abdul Hamid bin Muhammad ‘Ali Qudus al-Makki (m. 1334H): (المفاخر السنية في الأسانيد العلية القدسية) dan (إجازة الشيخ أحمد دحلان للشيخ عبد الحميد قدس).
  35. Syeikh Yusuf bin Isma’il al-Nabhani (m. 1350H): (هادي المريد إلى طرق الأسانيد).
  36. Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari: (التحرير الوجيز).
  37. Syeikh Muhammad ’Abdul Rasyid al-Nu’mani: (الكلام المفيد في تحرير الأسانيد).
  38. Syeikh ‘Umar Hamdan, muhaddith al-Haramain (m. 1368H): (مطمح الوجدان في أسانيد الشيخ عمر حمدان) dan (إتحاف الإخوان باختصار مطمح الوجدان في أسانيد الشيخ عمر حمدان), susunan al-Fadani.
  39. Syeikh Muhammad ‘Ali Al-Maliki: (المسلك الجلي) susunan al-Fadani.
  40. Musnid al-Dunia Syeikh Muhammad Yasin bin Muhammad ’Isa Al-Fadani (m. 1410H):

- الأسانيد المكية لكتب الحديث والسير والشمائل المحمدية

- إتحاف المستفيد بغرر الأسانيد

- الفيض الرحماني بإجازة فضيلة الشيخ محمد تقي العثماني

- القول الجميل بإجازة سماحة السيد إبراهيم بن عمر باعقيل

- العجالة في الأحاديث المسلسلة

- قرة العين في أسانيد شيوخي من أعلام الحرمين

- فيض المبدي بإجازة الشيخ محمد عوض الزبيدي

- الأربعون البلدانية: أربعون حديثاً عن أربعين شيخاً من أربعين بلداً

-شرح المسلسل بالعترة الطاهرة

- بغية المريد من علوم الأسانيد - dalam lima jilid!.

  1. Al-Habib Syeikh bin Abdillah Al-'Aidarus (m: 990 H): al-Tiraz Al-Mu'allim .
  2. al-Sayyid Muhammad al-Syilli: Mu'jam al-Syilli .
  3. Al-Habib Syeikh bin Muhammad Al-Jufri: Kanz Al-Barahin Al-Jazbiyyah wa Al-Asrar Al-Ghaibiyyah li Sadah Masyayikh al-Tariqah Al-Haddadiyyah Al-'Alawiyyah.
  4. Al-Habib ‘Abdul Rahman bin ‘Abdullah bin Ahmad Bal Faqih: Miftah Al-Asrar fi Tanazzuli Al-Asrar wa Ijazah Al-Akhyar.
  5. Al-Habib ‘Abdullah bin Husein Bal Faqih: Syifa' al-Saqim bi Idhah Al-Isnad , dan Bazl Al-Nahlah .
  6. Al-Habib Al-Musnid 'Aidarus bin ‘Umar Al-Habsyi: 'Uqud Al-La’ali fi Asanid Ar-Rijal , Minhah Al-Fattah Al-Fathir fi Asanid al-Saadah Al-Akabir dan 'Aqd Al-Yawaqit Al-Jauhariyyah wa Samt Al-'Ain al-Zahabiyyah .
  7. Syeikh Al-Habib ‘Abdul Rahman bin Sulaiman Al-Ahdal (m:1250 H): Al-Nafas Al-Yamani war-Ruh al-Rayhani fi Ijazah al-Qudhah al-Thalathah Bani al-Syawkani.
  8. Al-Habib Abu Bakr bin Syihab: Al-'Uqud Al-Lu'lu'iyyah fi Asanid al-Sadah Al-‘Alawiyyah .
  9. Al-Habib Al-Musnid Muhammad bin Salim al-Sirri: Thabat.
  10. Al-'Allamah Al-Habib ‘Abdullah bin Ahmad Al-Haddar: Thabat .
  11. Al-Habib Muhammad bin Hasan 'Aidid: Tuhfah Al-Mustafid fi man Akhaza 'anhum Muhammad bin Hasan 'Aidid .
  12. Al-Habib Salim bin Hafiz, Aal Syeikh Abu Bakr bin Salim: Minhah Al-Ilah fi Al-Ittisal bi ba'dhi Awliyah .
  13. Al-Habib 'Alawi bin Tahir Al-Haddad (m:1382 H), bekas Mufti Negeri Johor: al-Khulasah Al-Syafiyyah fi Al-Asanid Al-'Aliyyah .
  14. Al-Habib Salim bin Ahmad bin Jindan: Mu'jam Al-Khulasah Al-Kafiyyah .
  15. Al-Habib Abu Bakr bin Ahmad bin Husain Al-Habsyi: (الدليل المشير إلى فلك أسانيد الاتصال بالحبيب البشير وعلى آله ذوي الفضل الشهير وصحبه ذوي القدر الكبير).
  16. al-Sayyid Husain al-Habsyi: (فتح القوي في أسانيد السيد حسين الحبشي) susunan Syeikh ‘Abdullah bin Muhammad Ghazi.
  17. Al-Habib Uthman bin ‘Abdillah bin ‘Aqil bin Yahya (1333H): Thabat.
  18. Al-Habib 'Alawi bin Saqqaf Al-Jufri: Thabat.
  19. Syeikh Sayyid Ahmad bin Sulaiman Al-Arwadi: Al-‘Aqd Al-Farid fi Ma'rifah ‘Uluw Al-Asanid .
  20. al-Habib bin Semait: An-Nasj wa Al-Khait li Ba'dhi Asanid Al-Allamah bin Semait
  21. Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Budairi Al-Husaini al-Syami: Al-Jawahir Al-Ghawali fi Bayan Al-Asanid Al-'Awali .
  22. Imam Muhammad ‘Ali al-Sanusi (m: 1276 H): Al-Manhal Al-Rawi al-Ra'if fi Asanid Al-'Ulum wa Usul al-Tara'if dan al-Syumus al-Syariqah.
  23. Syeikh Ja’far bin Idris al-Kattani: (إعلام الأئمة الأعلام).
  24. Syeikh Muhammad ‘Abdul Hayy Al-Kattani (m. 1382H): Minah Al-Minnah fi Silsilah Ba'dhi Kutubi al-Sunnah dan Fihris Al-Faharis wal-Athbat .
  25. al-Hafiz Ahmad al-Ghumari (m. 1380H): (البحر العميق).
  26. Syeikh ‘Abdullah al-Ghumari: (ارتشاف الرَّحيق من أسانيد عبد الله بن الصِّدِّيق).
  27. Syeikh Salih bin Ahmad al-Arkani (m. 1418H): (فتح العلام في أسانيد الرجال وأثبات الأعلام).
  28. al-Sayyid ‘Alawi bin ‘Abbas Al-Maliki: (العقود اللؤلؤية بالأسانيد العلوية ).
  29. Syeikh al-Sayyid Muhammad bin al-Sayyid ‘Alawi Al-Maliki: al-Tali‘ As-Sa'id dan Al-'Aqd Al-Farid .
  30. Syeikhuna al-Muhaddith al-‘Allamah Mahmud Sa'id Mamduh: Fathul Aziz fi Asanid As-Sayyid Abdul Aziz (فتح العزيز بأسانيد السيد عبد العزيز), (إعلام القاصي والداني ببعض ماعلا من أسانيد الفاداني) dan (تشنيف الأسماع بشيوخ الإجازة والسماع).

Ini hanyalah sekelumit daripada sekian banyak kitab-kitab sanad yang disusun oleh ulama-ulama Ahlus-Sunnah. Jika diamati keseluruhan mereka adalah sama ada dari aliran Asya’irah atau Maturidiyyah, serta dari kalangan ahli-ahli sufi. Merekalah sebenarnya penjaga-penjaga sanad ummah ini. Apabila para "muhaddith jadian" atau golongan salafiyyah-wahhabiyyah melihat pemegang-pemegang sanad tersebut kesemuanya adalah berakidah Asya'irah-Maturidiyyah, ataupun ahli-ahli sufi, mereka tidak mahu berguru kepada mereka. Maka dari sini dapatlah kita fahami rahsia mengapa ramai daripada mereka tidak mahu meriwayatkan sanad-sanad yang dianggap oleh mereka penuh dengan perawi-perawi bidaah, atau dengan alasan banyak perawi-perawi daif atau majhul!.. Mereka khuatir nanti orang akan terpengaruh dengan tokoh-tokoh tersebut. Lalu ada yang menganggap sanad bukan lagi sebagai untuk tabarruk, tetapi hanyalah untuk zikra (kenangan) semata-mata! Turut mendukacitakan, ada setengah mereka yang memandang rendah dan memperlekehkan pengajian-pengajian secara bersanad. Alasan paling kuat mereka kononnya kitab-kitab sekarang sudah dicetak dan tersebar dengan luas yang merupakan satu jaminan terpelihara daripada berlaku penyelewengan terhadap kitab-kitab tersebut. Maka ramailah di kalangan mereka yang hanya bergurukan kitab-kitab sahaja, bukan lagi guru-guru yang menjadi tradisi pengajian dan periwayatan sejak sekian lamanya (لا حول ولا قوة إلا بالله).

Saya berpendapat, inilah kesan negatif paling besar dari sistem pendidikan penjajah, yang berentetan di bawahnya berbagai kesan-kesan lain seperti kebejatan intelektual, kerendahan moral, adab dan juga akhlak (فاقد الشيء لا يعطيه). Sejarah telah membuktikan banyak pemikiran-pemikiran yang batil datang daripada mereka yang hanya mengambil ilmu daripada kitab semata-mata.

Wallahu a’lam.


* Maklumat sanad atau muat-turun kitab sanad di laman forum dan blog (Arab):

1. azahera.net

2. rayaheen.net

3. blog isnaduna

Thursday, December 31, 2009

Gus Dur Kembali...


JAKARTA 30 Dis. – Bekas Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid, (gambar) 69, meninggal dunia pada pukul 6.45 petang ini (waktu Indonesia Barat) ketika dirawat di Hospital Cipto Mangunkusumo di sini.

Adik kandung Abdurrahman, Sholahudin Wahid mengesahkan kematian Abdurrahman yang lebih dikenali sebagai Gus Dur dan merupakan Presiden Indonesia keempat itu.

“Saya mendapat khabar beliau meninggal. Khabar yang saya terima beliau meninggal pada pukul 6.45 petang,” kata Gus Sholah kepada pemberita.

- Petikan Utusan Online, selanjutnya...

Juga di sini.

*******************************

Ulasan:

Gus Dur sudah kembali ke rahmatullah semalam. Maka tiada apa yang layak untuknya sekarang melainkan doa daripada kita. Hanya tinggal pemikirannya untuk kita tatap dan timbang. Walaupun sebahagian pandangan beliau menimbulkan kontroversi, beliau tetap menjadi tokoh kebanggaan Nahdhatul Ulama, Indonesia.

رحمه الله تعالى


Pautan lain:

Jombang-Kairo, Jombang-Chicago


Kepentingan Sanad Periwayatan


Berhubung entri lepas, sila rujuk artikel menarik oleh Ustaz Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari berjudul "Kepentingan Sanad dalam Sistem Pembelajaran Islami dan Periwayatan Warisan Islam (Turath Islami)" dalam laman web beliau (sila klik pada judul).

Juga dimuatkan dalam blog 'jomfaham' secara bersiri:

Rujuk juga :

1. Perbincangan tentang sanad dan ijazah oleh Syeikh Usamah al-Sayyid Mahmud al-Azhari di mukadimah kitab beliau (معجم الشيوخ). (Klik judul - format PDF)

2. Muqaddimah fi 'Ilm al-Isnad oleh Syeikh Ahmad Mansur Qardham al-Maliki (klik sini).


Wednesday, December 30, 2009

'Bahtera Perubahan' Dalam Seminar Takhrij Hadith Nusantara (?)

- Alhamdulillah hari ini saya berkesempatan menyertai Seminar Takhrij Hadith Nusantara di UM (blog seminar). Hari ini saya sebagai pendengar saja. Sebagaimana biasa seminar-seminar di IPT, rata-rata pembentang adalah berkelulusan master atau Ph.D di dalam bidang kepakaran yang berkenaan. Adakalanya ada juga pelajar master yang membentang. Para pembentang juga biasanya dari kalangan pensyarah-pensyarah di IPT. Dari sudut ini, dapat dilihat semacam ada dinding antara mereka dengan tok-tok guru, syeikh-syeikh, ustaz-ustaz serta lain-lain ahli ilmu di luar IPT. Dalam pengalaman saya, jarang ada jemputan khas dari kalangan mereka. Apa yang baik, di kalangan ahli-ahli akademik walaupun berbeza kecenderungan masing-masing, mereka dididik agar bersifat terbuka dalam pelbagai masalah dan isu, asalkan ia berpaksi kepada hujah dan dalil. Tiada ketaksuban kecuali dalam mengikut nas dan dalil. Namun adakalanya sifat keterbukaan itu hanya meniti di mulut kemudian dilemparkan ke tepi sahaja.

- Dalam bidang hadith di IPT, kebanyakan mereka yang takhassus adalah orang-orang yang saya kenali atau biasa namanya disebut-sebut. Tidak ramai yang di peringkat veteran, namun bilangannya di peringkat syabab (orang muda) semakin bertambah dari tahun ke tahun. Namun, tidak ramai yang daripada lulusan al-Azhar (Mesir), dan banyak yang daripada lulusan tempatan, Jordan dan Saudi. Fenomena ini turut menjadi perhatian saya kerana berdasarkan pengalaman, pelajar lulusan al-Azhar biasanya punya cara berfikir yang sedikit berbeza dengan pelajar lulusan tempat lain. Antara sebabnya mungkin kerana mereka hidup dalam masyarakat Arab Mesir yang mengamalkan berbagai-bagai mazhab fiqh dan juga tariqat-tariqat sufi yang subur, selain turath ulama yang tidak terkira banyaknya. Kesan fenomena ini ialah hingga ada yang berkata kepada saya: "Semua 'orang hadith' sekarang nampaknya cenderung kepada 'wahabi'...". (????....) Satu tamparan ringan sebenarnya buat saya.

- Dalam pembentangan utama seminar sebelah pagi ada dua orang yang tidak asing namanya disebut dalam bidang hadith, iaitu Dr. Muhammad Abu al-Laith, UIA dan Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin, USM. Dr. Abu al-Laith walaupun cenderung kepada salafi, pada hemat saya beliau agak bersifat terbuka yang memang layak sebagai seorang ahli akademik. Antara katanya (bermaksud): Asya'irah dan Maturidiyyah juga adalah salafiyyun...

- Hingga tiba pembentangan Dr. Asri bertajuk "Salah Faham Terhadap Tujuan Isnad". Saya mengharapkan hari ini beliau tidak akan bercakap perkara yang dapat membuat 'kepanasan' orang lain. Saya harap biarlah beliau bercakap dengan benar-benar ilmiah. Jika beliau hendak mengkritik orang lain sekalipun, biar dibawakan hujah pro dan kontra, dalil kawan dan lawan, kemudian masing-masing dinilai dan seterusnya baru mentarjih. Saya mengharap itu. Namun saya sedikit kecewa apabila kertas kerja beliau tidak ada disertakan agar dapat disemak dan dibaca. Maka para hadirin hanya mendengar ucapan beliau serta melihat slaid power-point yang disediakannya. Bagaimanapun, apa yang saya harapkan di awal tadi tidak berlaku hari ini. Setelah selesai ucapan beliau, baru saya benar-benar sedar bahawa tajuk beliau tersebut rupa-rupanya bertujuan untuk 'menyerang' orang-orang yang mengadakan pengajian-pengajian bersanad pada masa sekarang ini.

- Saya sebenarnya tidak mahu menulis tentang hal ini kerana saya sangat khuatir kalau apa yang saya sebut bersifat peribadi tanpa saya sedar. Saya tidak mahu dilihat begitu semampunya. Apa yang ingin saya sentuh ialah pemikiran, cara berfikir, metode dan pendekatannya sahaja. Justeru atas rasa perlu menjelaskan pendirian yang saya lihat lebih benar dan tepat, maka saya sebut juga di sini.

- Menurut Dr. Asri , tujuan sebenar sanad ialah untuk melihat kesahihan hadith dan ia bukan untuk berbangga-bangga. Namun kini ia telah disalahfaham, hinggakan ada yang mendakwa belajar tanpa sanad adalah tidak sah! Ini adalah jawapan bagi persoalan yang ditimbulkan oleh beliau; apakah sanad masih diperlukan sehingga zaman mutakhir ini? Jika tujuan sanad ialah untuk memastikan kesahihan hadith, mengapa perlu sanad hadith, Sahih al-Bukhari contohnya, untuk sampai kepada kita? Beliau berpendapat (memperlekeh sebenarnya?), 'kempen' periwayatan sanad yang dibuat oleh 'pusat-pusat' pengajian bersanad ketika ini adalah tidak releven. Malah katanya (secara sindiran), kalau nama kita masuk dalam sanad, nescaya jadi daif hadith tersebut, bahkan jadi mawdhu' (palsu)!... (???...!!!!...***)

- Sesudah menunjukkan ijazah sanad hadith yang beliau perolehi daripada beberapa orang syeikh hadith India (walaupun katanya bukan untuk menunjuk), beliau turut mempersoalkan; adakah sanad hanya untuk tabarruk (ambil keberkatan)? Kalau ada orang yang daif atau majhul dalam sanad tersebut, apa perlunya tabarruk? Justeru beliau berkesimpulan sanad hanyalah untuk zikra (kenangan) sahaja. Katanya, Dr. Abu al-Laith pun bersetuju.

- Demikian adalah rumusan daripada pembentangan beliau tersebut. Saya melihat ianya tidak ilmiah kerana ia dibuat hanya untuk 'menyerang' pihak tertentu. Tidak dibawakan perbahasan tentang ilmu sanad merangkum ilmu rijal yang sangat luas skopnya, dan hanya memfokus tujuan kewujudan sanad dalam kurun-kurun hijrah yang awal. Mengapa tidak disebut keprihatinan ulama-ulama Islam sepanjang kurun melewati zaman Ibn Hajar, dan al-Suyuti sehingga ke zaman al-Fadani, dan zaman mutakhir ini, keprihatinan mereka dalam memelihara sanad dan menghimpunkannya? Sejauhmana kita layak menyebut (روينا) atau (أخرج فلان) sahaja? Apakah ratusan, atau ribuan kitab-kitab sanad (bernama thabat, mu'jam, fihris dll.) itu semua hanya untuk zikra? Juga tidak diterangkan tentang kepelbagaian seni sanad yang dipelihara oleh para ulama terdahulu, di mana semua kitab-kitab yang dikarang diriwayatkan hingga kepada penyusunnya di dalam berbagai bidang ilmu. Apakah ianya semata-mata untuk zikra? Juga tidak disebut, apa yang membezakan kita dengan golongan Yahudi dan Kristian dan wajar untuk dibangga-banggakan ialah keistimewaan isnad yang dipelihara sehingga ke hari ini. Kewujudan sanad sehingga ke hari ini, bukan sekadar untuk tabarruk dan zikra semata-mata. La' ya syeikh, ... Ia adalah anugerah, fadhilat, toma'ninah, khauf wa raja' (takut dan harap), adab, syiar dan sakinah (ketenangan)!!!

Wallahu a'lam.

Tuesday, December 29, 2009

Peringatan Buat Syiah Malaysia

25 maut, 60 cedera ketika hari Asyura

Penyerang bunuh diri letup bom di Pakistan

KARACHI: Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dan lebih 60 cedera, apabila seorang penyerang bunuh diri meletupkan bom, ketika penduduk Islam Syiah memulakan upacara memperingati hari Asyura di bandar raya terbesar di Pakistan ini semalam.

Menteri Dalam Negeri, Rehman Malik, berkata serangan dilakukan penyerang bunuh diri yang meletupkan bom pada permulaan upacara itu.

- Petikan Berita Harian, selanjutnya...

-------------------------------

Ulasan:

Boleh dikatakan berita seperti ini sering juga kedengaran apabila tibanya hari-hari keramaian puak Syiah. Pertentangan antara fahaman Sunni dan Syiah di Iraq, Pakistan dan Kashmir nampaknya lebih tegang berbanding pertentangan antara Sunni dan Syiah di tempat-tempat lain seperti Iran, Lubnan, Mesir, Yaman dan termasuk Malaysia. Ini kerana berbagai faktor yang dapat dilihat terutama mungkin kerana kebebasan bersuara dan ketiadaan sekatan serius daripada pihak berwajib.

Puak Syiah pada masa ini barangkali sudah tidak perlu lagi kepada taqiyyah, kerana limpahan kitab-kitab ulama mereka serta kewujudan ratusan (mungkin ribuan) laman web Syiah yang dapat dibaca oleh sesiapa sahaja. Fahaman mereka sudah tidak jadi satu misteri lagi kepada golongan Ahlus Sunnah. Namun dalam cara mengembangkan ajaran tersebut, puak Syiah ini masih lagi menggunakan taqiyyah terutama ketika berhujah secara berdepan, atau ketika menarik hati 'mangsa' untuk mengikut fahaman mereka.

Saya merasakan dapat menyelami rasa kemarahan golongan Sunni yang membuat serangan nekad ke atas puak Syiah ini. Siapa muslim sensitif yang tidak naik darah jika ada orang yang menghina dan memaki Saidina Abu Bakar dan Saidina 'Umar (رضي الله عنهما) di hadapan kita?? Mungkin di tempat-tempat yang kurang tegang permusuhannya, puak Syiah pandai menyembunyikan perkara yang dapat menimbulkan kemarahan puak Sunni, atau orang awam Syiah ini memang tidak diajarkan 'titik-titik panas' tersebut. Namun, di tempat-tempat seperti Pakistan, sebahagian puak Syiahnya terang-terangan membuat perkara-perkara yang menjadi kemarahan golongan Sunni seperti ; mencaci dan mencerca Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Saidina 'Umar secara terang-terang, bukan sahaja di kitab-kitab, bahkan di minbar-minbar, menuduh Saidatina 'A'isyah sebagai sundal, pesta nikah muta'ah secara beramai-ramai, perayaan berdarah 'Asyura, mengkafirkan ramai para sahabat Nabi SAW, menganggap puak Sunni sebagai munafik, mendakwa surah al-Quran tambahan dan sebagainya, selain masalah-masalah fiqh yang pelik . Amat banyak bukti dan cerita yang sukar untuk dinafikan. Tentunya faktor-faktor ini mendorong sebilangan orang Sunni yang sensitif yang mendapati jelas kesesatan mereka melakukan serangan-serangan nekad yang dianggap jihad fi sabilillah seumpama ini.

Diharapkan puak Syiah dan pro-Syiah (yang terutama sekali kerana masih ada harapan) di Malaysia ini memikirkan semula pegangan-pegangan mazhab mereka.

Kepala Saidina Husain عليه السلام


Dalam membuat entri lepas, secara tak langsung mengingatkan saya semula kepada nasib yang menimpa Saidina Husain RA di atas dunia yang fana ini, di mana jasad beliau berada bersemadi di Karbala', Iraq, manakala kepalanya berada jauh di Kaherah, Mesir sehingga kini. Jasad dan kepala yang terpisah jauh sehingga hari kiamat. Ketika di Mesir sempat beberapa kali saya menziarahi makam kepala Saidina Husain di Masjid Husain, bersebelahan Universiti al-Azhar. Ianya adalah fakta sejarah yang diyakini oleh ramai ulama dan ahli sejarah Mesir.

Kebenaran perkara ini sebenarnya pernah menjadi pertikaian di kalangan ulama dahulu. Ada yang menyetujui dan ada yang tidak bersetuju bahawa kepala Saidina Husain itu berada di Mesir. Antara ulama yang menolak dengan keras kebenaran ini ialah Syeikh Ibn Taymiyyah (رحمه الله), malah sehingga kini fatwanya itu masih diyakini oleh mereka yang taksub kepadanya, sambil memperlekeh dan mempersendakan orang-orang yang datang berziarah ke situ kerana menziarahi makam palsu.

Namun, saya melihat pendapat yang dipilih ialah pendapat ulama yang mengatakan memang ianya benar berada di Kaherah, Mesir. Perkara ini telah dijelaskan oleh al-Marhum Syeikh Muhammad Zakiy Ibrahim (رحمه الله) di dalam kitabnya Maraqid Ahli al Bait fi al-Qaherah”. Petikan kitab tersebut juga dapat dirujuk pada kitab MENJEJAKI MAQAM AHLI KELUARGA RASULULLAH SAW DI MESIR oleh Ustaz Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab al Linggi. Tak perlu rasanya saya memperinci lebih lanjut kerana anda boleh merujuk topik ini yang terdapat dalam buku tersebut di sini.

Meskipun ia merupakan tragedi yang tidak dapat dilupakan, namun dengan kehendak Allah SWT, Dia telah memelihara zuriat Saidina Husain RA yang kekal sehingga ke hari ini. Di antara jalur keturunan Saidina Husain RA yang paling besar dan berpengaruh saat ini ialah jalur keturunan Ba-'Alawi yang bercabang hingga lebih dari seratus buah keluarga besar seperti al-Haddad, al-Saqqaf, al-Kaf, al-Habsyi, al-'Attas, al-Bar, al-'Idrus, al-Yahya, al-Masyhur, Ben Syihab, Ben Sumait, Ben Salim, Ben Hafiz, al-Mahdhar, al-Junaid, al-Haddar dan sebagainya. Yang paling penting di sini, mereka bukanlah dari golongan penganut ajaran Syiah, sama ada Imamiyyah mahupun Rafidhah, kerana mereka adalah pejuang-pejuang sejati Ahlus Sunnah wal Jama'ah.

رحمهم الله تعالى جميعاً ورضي عنهم