Pages

Monday, November 27, 2017

Benarkah Imam as-Syafi‘i Mencela Tasawuf?




Diriwayatkan bahawa Imam as-Syafi‘i berkata:
"ﻟﻮ ﺃﻥّ ﺭﺟﻼً ﺗﺼﻮّﻑ ﻣِﻦ ﺃﻭّﻝ ﺍﻟﻨﻬﺎﺭ ﻟﻢْ ﻳﺄﺕ ﻋﻠﻴﻪ ﺍﻟﻈّﻬﺮ ﺇﻻّ ﻭﺟﺪﺗﻪ ﺃﺣْﻤَﻖ."
“Sekiranya seorang lelaki bertasawuf daripada awal pagi, tidak akan sampai kepadanya waktu zohor melainkan kamu akan mendapatinya jadi bodoh.” (Riwayat al-Baihaqi dalam Manaqib as-Syafi‘i)  

Ulasan:

1. Pertama yang perlu difahami, Imam as-Syafi‘i (w. 204H) antara mereka yang hidup dalam 200 tahun hijrah yang pertama, di mana setiap disiplin ilmu Islam pada era tersebut seperti akidah, fiqh, hadis, usul termasuk tasawuf serta istilah-istilah yang digunakan pada setiap disiplin masih dalam proses pembentukan dan penyusunan serta belum lagi mencapai tahap akhir. Ramai salaf dalam era ini lebih mengenali istilah ‘abid dan zahid, berbanding istilah sufi, yang hakikatnya juga daripada asas dan prinsip yang sama. Justeru, ucapan Imam as-Syafi‘i di atas perlulah dianalisis dengan cermat.    

2. Berdasarkan konteks ucapan, ia boleh jadi ditujukan kepada orang yang mendakwa-dakwi sebagai ahli sufi secara luaran sahaja dan menyangka ia sudah mencapai peringkat sempurna. Imam al-Baihaqi (w. 458H) kelihatan lebih memahami situasi ucapan ini, jelas beliau: “Sesungguhnya yang dimaksudkan ialah orang yang masuk dalam kalangan ahli sufi, namun ia merasa cukup dengan sekadar nama sahaja berbanding makna sebenar, dan dengan zahir luaran sahaja berbanding hakikat dalaman. Ia juga meninggalkan usaha dan mencampakkan bebannya kepada kaum muslimin. Ia tidak peduli dengan mereka dan tidak juga menjaga hak-hak mereka. Ia tidak menyibukkan diri dengan ilmu mahu pun ibadah.” (Manaqib as-Syafi‘i oleh Imam al-Baihaqi, 2/128, ikhtisar & ta’liq Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki)  

3. Ucapan tersebut juga boleh dianggap kiasan yang ditujukan kepada orang yang bertasawuf tanpa ilmu. Ini kerana tasawuf merupakan amal dan amal pula berpaksikan kepada ilmu. Jika seseorang beramal tanpa ilmu, maka sudah pasti kerosakan dan kefasadan yang akan dilakukan lebih besar lagi. Orang jahil yang terus mula bertasawuf dan bukannya mula berguru menimba ilmu, akan dan telah membawa banyak fitnah kepada ahli sufi yang hak semenjak dahulu. Justeru, amal mesti didasari dengan ilmu agar kualiti yang baik dapat dijamin.  

4. Malah dari sisi positif, lafaz ‘bodoh’ juga boleh ditafsirkan sebagai bodoh tentang hal ehwal dunia atau bodoh tentang hal urusan orang lain. Ini kerana bertasawuf bukanlah bermaksud melakukan ritual bidaah tertentu umpama orang dungu, sebagaimana sangkaan golongan yang jahil tentang mereka. Tetapi maksud bertasawuf ialah berterusan dalam keadaan sentiasa berzikir kepada Allah SWT dan bermuraqabah serta istiqamah beramal ibadah seperti solat, puasa, membaca al-Quran dan sebagainya daripada amalan-amalan taqarrub kepada Allah SWT. Maka, tidak masuk akal jika tasawuf ini yang dimaksudkan oleh Imam as-Syafi‘i hingga menjadikan seseorang itu bodoh sebelum waktu zohor! Kecuali ‘bodoh’ yang dimaksudkan ialah bodoh tentang hal ehwal dunia yang fana atau bodoh tentang hal urusan dan aib orang lain.

5. Jika Imam as-Syafi‘i mahu menegah orang ramai secara tegas daripada tasawuf, beliau boleh menggunakan gaya bahasa yang lebih jelas dan mudah difahami, seperti lafaz ‘لا تصوفوا’ (jangan kamu bertasawuf..) dan seumpamanya yang menunjukkan tegahan dan larangan, berbanding ucapan samar di atas yang bermula dengan lafaz ‘لو’ (sekiranya..). Imam as-Syafi‘i juga secara jelas boleh menyebut akibatnya menjadi sesat, bukannya menjadi bodoh. Atau terus menghukum sesat sejak awal lagi dan tidak perlu bertangguh menunggu sampai waktu zohor untuk menghukum sesat pada setiap hari, sebagaimana halnya kumpulan-kumpulan sesat yang ada di zaman beliau seperti Rafidhah, Khawarij, Muktazilah dll.  

6. Antara yang membuktikan ucapan tersebut bukan sebagaimana yang difahami secara zahir ialah ucapan tersebut hanya dinukilkan daripada Imam as-Syafi‘i dan tiada dinukilkan daripada tokoh-tokoh lain yang sezaman dengannya, sama ada ucapan yang senada dengan maknanya atau ucapan yang membenarkannya atau yang menyokongnya sebagai testimoni ke atas dakwaan bahawa ramai ahli sufi telah menjadi bodoh kerana bertasawuf. Oleh kerana tidak ada bukti dan dalil hidup ke atas dakwaan tersebut, maka ucapan Imam as-Syafi‘i itu perlu difahami menerusi kaedah yang betul sebagaimana penjelasan Imam al-Baihaqi di atas.   

7. Malah Imam as-Syafi‘i hidup sezaman dengan ramai pemuka besar sufi dan juga murid-murid mereka, seperti Ibrahim bin Adham (w. 161H), Dawud at-Ta’i (w. 165H), al-Fudhail bin ‘Iyadh (w. 187H), Syaqiq al-Balkhi (w. 194H), Ma‘ruf al-Karkhi (w. 200H), Idris al-Khawlani (211H), Abu Sulaiman al-Darani (w. 215H), Bisyr al-Hafi (w. 227H), Ibn Abi al-Hawari (w. 230H), Hatim al-Asom (w. 237H) dan lain-lain. Jika mereka golongan sesat, sewajarnya Imam as-Syafi‘i mengkritik atau menjarhkan mereka secara terang-terangan kerana mereka adalah pemuka-pemuka ahli sufi yang menerusi merekalah berpengaruh dan berkembangnya ajaran tasawuf secara lebih luas di zaman-zaman berikutnya. Namun, Imam as-Syafi‘i jelas tidak memaksudkan mereka.    

8. Imam as-Syafi‘i sendiri pernah memuji seorang qari sufi, seperti yang diriwayatkan oleh Isma‘il at-Tayyan ar-Razi katanya: Aku tiba di Makkah, lalu aku bertemu as-Syafi‘i. Lantas beliau bertanya kepadaku: ‘Apakah engkau kenal Musa ar-Razi? Tidak ada yang datang kepada kami dari arah timur yang lebih mahir tentang Kitab Allah daripadanya.’ Maka, aku pun berkata kepadanya: ‘Wahai Abu Abdillah, gambarkanlah ia kepadaku’. Beliau berkata: ‘Seorang yang berumur yang datang kepada kami dari Ray’. Lalu beliau menggambarkannya kepadaku sehingga aku kenal sifatnya bahawa dia adalah Abu ‘Imran as-Sufi. Lantas aku berkata: ‘Aku kenal dia, iaitulah Abu ‘Imran as-Sufi.’ Beliau pun membalas: ‘Dialah itu.’ (Adab as-Syafi‘i wa Manaqibuh oleh Ibn Abi Hatim, h. 164)

9. Diriwayatkan, Imam as-Syafi‘i telah berdamping dengan ahli sufi selama 10 tahun (Manaqib as-Syafi‘i oleh Imam al-Baihaqi, 2/128, ikhtisar & ta’liq Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki). Jika mereka itu golongan batil, tentu beliau tidak akan mengambil masa yang sangat lama untuk mengesan kebatilan mereka. Ini kerana beliau adalah seorang alim mujtahid yang luar biasa bijaksananya sehingga beliau diizinkan berfatwa ketika berusia 15 tahun, dan sudah tentu beliau boleh mengesan kebatilan mereka dalam tempoh yang sangat singkat. Adalah tidak masuk akal jika beliau melihat dan membiarkan ahli sufi menjadi bodoh setiap hari sebelum zohor hingga berlangsung selama tempoh 10 tahun!  

10. Imam as-Syafi‘i sendiri hidup sebagaimana hidupnya ahli sufi dengan sifat warak dan zuhudnya. Diriwayatkan bahawa perut beliau tidak pernah kenyang selama 12 tahun, manakala riwayat lain menyebut 16 tahun, 17 tahun sehingga 20 tahun. Dalam tempoh tersebut, beliau hanya pernah kenyang sekali, namun yang itu pun dimuntahkannya semula. Beliau juga biasa hidup dalam keadaan fakir sehingga beliau tidak takut lagi dengan kefakiran. (Manaqib as-Syafi‘i oleh Imam al-Baihaqi, 2/109-110, ikhtisar & ta’liq Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki)   

11. Imam as-Syafi‘i juga punya amal ibadah yang jarang dapat ditandingi oleh ramai ahli sufi di zamannya. Siapa yang mampu menandingi beliau mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali setiap bulan Ramadhan, selain khatam 30 kali setiap bulan? Berapa ramai yang mampu berqiamullail sepanjang satu pertiga malam pada setiap hari di sepanjang hidupnya? (Manaqib as-Syafi‘i oleh Imam al-Baihaqi, 2/105, ikhtisar & ta’liq Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki). Kelazatan ibadah sebegini yang ingin dicapai oleh ahli sufi. Inilah buahnya tasawuf. Jika beliau bukan benar-benar ahli sufi, maka tidak wujudlah ahli sufi yang sebenar jika begitu. Cuma title ‘mujtahid’ yang diberi pada beliau sudah pun mencakupi kesemua aspek pencapaian dan martabat tertinggi. Bahkan, beliau juga diangkat lebih tinggi lagi daripada itu oleh ramai ulama, iaitu sebagai MUJADDID kurun kedua Hijrah.    

رحمه الله تعالى ورضي عنه



Tiga peringkat dalam mempelajari ilmu mustalah al-hadith

((Tiga peringkat dalam mempelajari ilmu mustalah al-hadith))

Bagi mengukuhkan manhaj hadis mazhab Syafi‘i, pembelajaran dan penguasaan terhadap ilmu mustalah al-hadith adalah amat penting. Tahap untuk mempelajari ilmu mustalah al-hadith ini mungkin dapat dibahagikan kepada 3 peringkat:

a. Peringkat rendah:


Mempelajari nazam ilmu mustalah al-hadith yang ringkas seperti:
  1. al-Qasidah al-Gharamiyyah oleh al-‘Allamah Ahmad bin Farh al-Isybili (w. 699 H).
  2. al-Manzumah al-Bayquniyyah oleh al-‘Allamah ‘Umar bin Muhammad bin Fatuh al-Bayquni (w. 1080 H).
Juga mempelajari matan ilmu mustalah al-hadith yang ringkas seperti:
  1. Nukhbah al-Fikar fi Mustalah Ahl al-Athar oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852 H)
  2. Zawal al-Tarah Sharh Manzumah Ibn Farh oleh al-‘Allamah Badr al-Din ibn Jama‘ah al-Kinani (w. 733 H).

b. Peringkat menengah:

Mempelajari kitab ilmu mustalah al-hadith yang lebih luas seperti:
  1. Nuzhah al-Nazar Sharh Nukhbah al-Fikar oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852 H),
  2. al-Taqrib wa al-Taysir li Ma‘rifah Sunan al-Bashir al-Nadhir oleh Imam Muhyi al-Din al-Nawawi (w. 676 H),
  3. al-Khulasah fi Usul al-Hadith oleh al-‘Allamah Syaraf al-Din al-Tibi (w. 743 H)
  4. al-Muqizah fi ‘Ilm Mustalah al-Hadith oleh al-Hafiz al-Dhahabi (w. 748 H).
  5. Safwah al-Mulah bi Sharh Manzumah al-Bayquni fi Fann al-Mustalah oleh al-‘Allamah Abu Hamid Ibn al-Mayyit al-Budayri al-Dimyati (w. 1140 H).

c. Peringkat tinggi:

Mempelajari atau menelaah kitab ilmu mustalah al-hadith yang lebih dalam seperti:
  1. Fath al-Mughith bi Sharh Alfiyah al-Hadith oleh al-Hafiz al-Sakhawi (w. 902 H)
  2. Tadrib al-Rawi fi Sharh Taqrib a-Nawawi oleh al-Hafiz al-Suyuti (w. 911 H)
  3. Manhaj Dhawi al-Nazar fi Sharh Manzumah ‘Ilm al-Athar oleh Syeikh Muhammad Mahfuz al-Tarmasi (w. 1338 H).

Istimewanya, kesemua karya klasik ilmu mustalah al-hadith ini disusun oleh ulama mazhab Syafi‘i yang juga merupakan rujukan penting dalam disiplin berkenaan sehingga kini. Disiplin ini merupakan asas kepada dunia hadis dan merupakan teori yang perlu dipraktikkan sepenuhnya. Jika tidak, pembelajaran ilmu ini tidak akan mencapai tujuannya yang sebenar sekiranya tidak membuahkan sebarang hasil.  

Wallahu a‘lam.


MALAYSIA SEBAGAI PUSAT MANHAJ HADIS MAZHAB SYAFII???

MALAYSIA SEBAGAI PUSAT MANHAJ HADIS MAZHAB SYAFII???

1. Pernah suatu masa dahulu, kebanyakan bidang hadis dikuasai oleh ulama mazhab SYAFII sehingga ulama2 mazhab lain hanya skadar mengikut usul & kaedah ilmu hadis yang telah dibangunkan oleh alim ulama Syafii spt al-Hakim an-Naisaburi, al-Khatib al-Baghdadi, Ibn as-Solah, al-Nawawi, al-‘Iraqi, Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Sakhawi, al-Suyuti dsb. Namun, pada masa kini, ulama Syafii tidak lagi menonjol sebagaimana zaman kegemilangan tokoh2 hadis mereka. Manhaj hadis mereka kelihatan tenggelam dalam ‘gelombang’ kebangkitan hadis di benua India dan Timur Tengah.

2. Meskipun ‘gelombang’ kebangkitan hadis kini zahirnya di atas keghairahan untuk kembali kepada sunnah Nabi SAW yang tulen, namun hakikatnya sama ada kita sedar atau tidak, ia juga bertitik tolak daripada dorongan fahaman dan unsur kemazhaban. Tulisan ini bukan bertujuan utk mengupas tentang perselisihan antara mazhab, tetapi lbh bertujuan ingin menyorot tentang manhaj hadis yang melatari ‘gelombang’ kebangkitan hadis pada masa sekarang ini.  

3. Sejak kurun ke-12 H, benua India masyhur disebut sebagai pusat pengajian hadis. Sehingga kini, banyak pusat pengajian hadis yang telah dibangunkan oleh alim ulama India. Namun, ada dua aliran yang berbeza di kalangan mereka. Pertama, aliran hadis mazhab HANAFI yang merupakan pegangan majoriti ulama India. Dan kedua, aliran hadis manhaj ghair muqallidin yang mendakwa diri mereka tidak bertaklid dengan mazhab fiqh yang empat, tetapi mengikut mazhab Ahlul Hadis.

4. Aliran kedua di atas kemudian menular ke Timur Tengah dengan lebih pesat di zaman Syeikh Muhammad Rasyid Redha. Ia turut membangkitkan manhaj hadis mazhab HANBALI di Arab Saudi dan juga manhaj hadis Nuqqad Mutaqaddimin kemudiannya. Kedua-dua manhaj ini zahirnya kelihatan bersinonim kerana Imam Ahmad bin Hanbal sendiri adalah tergolong dalam kalangan Nuqqad Mutaqaddimin. Cuma bezanya, manhaj Nuqqad Mutaqaddimin tidak terikat dengan mana-mana mazhab fiqh. Ia berbeza pula dgn manhaj hadis ghair muqallidin lain yang hampir kebanyakannya mengikut usul & kaedah ilmu hadis susunan ulama Syafii sahaja seumpama Ibn as-Solah, al-‘Iraqi, Ibn Hajar al-‘Asqalani dll sptmn yang telah disebutkan. Bagaimanapun, kesamaan yang hampir ada pada kesemua mereka ialah kecenderungan kepada manhaj mutasyaddidin (aliran keras).

5. Manakala Maghribi yang menjadikan mazhab MALIKI sbg mazhab rasmi sejak dahulu juga kelihatan sudah mula menghidupkan manhaj hadis mereka. Maka, jika diperhatikan, masing-masing manhaj hadis mempunyai negara yang menjadi pusat naungan dan perkembangan pengajian hadis mereka. Mazhab HANAFI mempunyai ulama benua India yang telah menggemblengkan banyak usaha dalam berkhidmat trhadapnya seperti ulama Deoband dan lain-lain. Mazhab HANBALI pula mempunyai ulama Arab Saudi yang juga telah membangunkan banyak usaha dalam mengembangkan manhaj hadisnya, sama ada mereka mengisytiharkannya atau pun tidak.   

6. Namun, mazhab SYAFII kini tidak bernasib seperti mazhab-mazhab tersebut, meskipun ia tersebar luas di banyak negara Islam. Ini kerana secara zahir, belum ada negara yang menjadi pusat naungan dan perkembangan pengajian hadis mereka. Meskipun pernah suatu masa dahulu, Makkah & Madinah (Hijjaz) dalam kurun ke 12 – 14 H hampir dapat dikatakan sebagai pusat rujukan hadis mazhab SYAFII. Sehinggalah ia ditutupi dengan kewafatan Musnid ad-Dunia Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani.

-          Justeru, jika mazhab HANAFI ada Deoband.
-          Mazhab HANBALI ada Arab Saudi.
-          Mazhab MALIKI ada Maghribi.
-          Bagaimana pula dgn mazhab SYAFII...?

7. Kemungkinan sudah sampai masanya, ulama Nusantara, khususnya Malaysia yang sejak sekian lama bermazhab dengan mazhab SYAFII melihat potensi untuk menjadikan rantau ini sebagai pusat manhaj hadis mazhab SYAFII. Dan saranan ini tentunya memerlukan kepada komitmen ramai pihak dan tidak dapat direalisasikan oleh hanya segelintir individu.

8. Perlu diingatkan, perbincangan mengenai manhaj hadis mazhab2 fiqh ini bukanlah berkait dgn soal menyeru kepada jumud dan taksub mazhab. Tidak sama sekali, tetapi ia berkait dengan soal ijtihad para ulama, berdasarkan kaedah (الاجتهاد لا ينقض بالاجتهاد) “Ijtihad tidak boleh dibatalkan dengan ijtihad lain”. Jadi sudah sampai masanya, alim ulama Malaysia mendalami dan menguasai semula manhaj hadis mazhab SYAFII, mengkaji dan menaikkan semula metode tokoh2 besar hadis mereka sendiri, seumpama al-Baihaqi, Ibn as-Solah, an-Nawawi, al-Rafii, Ibn Daqiq al-‘Id, al-Subki, al-Zarkasyi, al-‘Iraqi, Ibn Hajar, as-Sakhawi, as-Suyuti, al-Tarmasi dsb. tanpa trpengaruh dgn manhaj hadis pilihan sebahagian sarjana2 moden yg hakikatnya cenderung kepada manhaj mutasyaddidin...

Sekadar lontaran untuk difikirkan.


Wednesday, December 14, 2016

Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din رحمه الله


Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din telah kembali kerahmatullah pada jam 7:02 Petang (Khamis, 15-Sep-2016 - Waktu San Francisco USA) bersamaan jam 10:02 Pagi (Jumaat, 16-Sep-2016 - Waktu Malaysia) pada usia 76 Tahun.

(16-Sep-2016 @ 3:07 Waktu Malaysia): Jenazah Almarhum Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din disemadikan di California USA. Ahli keluarga almarhum Tuan Guru mempunyai beberapa pilihan termasuk pilihan untuk membawa jenazah balik ke Malaysia. Bagaimanapun semua pilihan ada kebaikan dan keburukannya, sangat sukar bagi mereka untuk membuat keputusan, dengan hati yang sangat berat mereka memilih untuk menguruskan jenazah almarhum dengan sempurna dan cepat. Almarhum Tuan Guru telah berpesan beberapa kali kepada anak-anak beliau bahawa di mana beliau menghembuskan nafas terakhir, di situlah beliau akan disemadikan.

Jenazah dimandikan dan dikafankan bermula sekitar jam 10 pagi (16-Sep-2016 - waktu California) bersamaan 1 Pagi (17-Sep-2016 - Waktu Malaysia)

Jenazah disolatkan selepas solat Jumaat di Masjid An Nur, Santa Clara California (Sekitar jam 1:45 petang, 16-Sep-2016 Waktu California)

Jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm, Livermore, California.


********



BIOGRAFI TUAN GURU DATO’ DR. HARON DIN



Pendidikan
• Madrasah al-Islahiyah al-Wataniah, Bohor Mali
• Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor
• Sijil Tertinggi Kolej – Kolej Islam Malaya (1962-1965)
• Ijazah Sarjana (M.A.) Syariah – Universiti Al-Azhar (1966-1968)
• Diploma Pendidikan – ‘Ain Shams, Universiti Cairo (1966-1968)
• PhD Syariah – Universiti Darul Ulum, Kaherah (1972-1974)

Pengenalan

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron bin Din dilahirkan pada hari Ahad, 18 Ogos 1940 bersamaan 14 Rejab 1359 (Tarikh Hijriyah ini mengikut kiraan komputer) di Bohor Mali, Kangar, Perlis.  Beliau merupakan anak ke tiga daripada 10 orang adik beradik yang terdiri daripada seorang abang dan kakak serta seorang adik lelaki juga enam adik perempuan. Dua orang saudara lelaki beliau juga merupakan tokoh agama yang disegani di Malaysia iaitu abang beliau Ustaz Ishak bin Din dan adik beliau Ustaz Abu Hassan bin Din.Beliau dibesarkan dalam suasana keluarga yang berpegang teguh dengan ajaran agama Islam. Oleh yang demikian, kehidupan beliau telah terdidik sejak kecil lagi dalam keadaan baik dan ilmiah. Ibu bapa beliau berkhidmat sebagai guru al-Quran kepada masyarakat setempat pada ketika itu. Ia suatu peluang baik kepada beliau serta adik beradiknya yang lain untuk lebih mendalami bidang al-Quran.
Oleh kerana kealiman dan keilmuan ayahanda Tuan Guru Dato’ Dr. Haron bin Din, dia dikenali sebagai Lebai Din. Semasa zaman remaja Lebai Din  telah merantau mencari ilmu dari Phatani sehingga sampai ke Perlis dan menetap di Kampong Bohor Mali kerana di situ adalah tempat pengajian ilmu. Beliau telah menetap dan berumahtangga di situ. Lebai Din dikenali umum sebagai seorang perawat yang mengamalkan rawatan pengubatan secara Islam. Selain daripada itu, Lebai Din juga seorang guru silat yang mengamalkan Silat Gayung Petani.
Namun, ilmu persilatan ini tidak diperturunkan kepada anak-anaknya. Akan tetapi, ilmu pengubatan Islam ini tidak terhenti setakatnya sahaja. Ilmu ini telah diperturunkan secara pengijazahan dengan menyerahkan buku catatan pengubatannya kepada Ustaz Haron Din. Memandang minat dan kecenderungan terhadap ilmu pengubatan Islam, Ustaz Haron Din sahaja terpilih untuk mewarisi ilmu pengubatan Islam daripada ayahandanya.

Kehidupan berumahtangga

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron bin Din telah mengakhiri zaman bujangnya ketika berusia 25 tahun  dengan seorang wanita pilihannya Datin Khadijah binti Haji Salleh.  Hasil perkongsian hidup tersebut, mereka telah dikurniakan lima orang cahayamata, iaitu dua lelaki dan tiga perempuan . Anak-anak  mereka  ialah Huda, Hamdi, Salwa, Najmi dan Hana .

Pendidikan Awal

Tuan Guru Dato’ dan adik beradiknya yang lain diwajibkan mempelajari ilmu agama terutama pengajian al-Quran. Oleh kerana itu, beliau menerima pendidikan awal daripada ayah dan ibunya sendiri. Sikap keprihatinan ayah beliau dalam memberi didikan agama kepada anak-anak, sehinggakan tidak membenarkan anak-anaknya mendapat pendidikan selain daripada pendidikan agama di pondok. Tidak seorang pun anak-anaknya yang mengikuti persekolahan secara formal pada  ketika itu. Setelah menamatkan pengajian di peringkat pondok, rumah pula menjadi tempat bagi beliau mendalami bidang al-Quran dipimpin oleh ayahnya. Beliau bukan sahaja diajar kaedah bacaan al-Quran dengan betul, malah dilatih dan diberi kepercayaan sebagai pembantu ayahandanya mengajar al-Quran kepada anak-anak qaryah. Beliau juga telah dilatih menjadi imam solat dan tenaga pengajar fardu ain kepada umum.
Ayahanda beliau seorang yang sangat tegas dalam mendidik anak-anak. Tidak pernah lekang di tangannya rotan untuk menghukum anak-anaknya apabila melakukan kesalahan. Manakala bondanya pula, seorang ibu yang memiliki sifat keibuan sempurna. Dengan perwatakan baik sebagai seorang ibu, dengan sifat lemah lembutnya, dia berjaya mendidik dan membentuk anak-anak secara berhikmah dan berbeza dengan cara suaminya. Dengan kombinasi kedua-dua bentuk didikan ini, maka terbentuklah keperibadian baik kepada  tokoh ini. Ia menjadikan Tuan Guru Dato’ seorang yang amat tegas pendiriannya dalam membela, mempertahan dan memperjuangkan agama di tanahair. Tambahan, sifat lemah lembut ibunya juga telah diwarisi oleh beliau. Beliau amat berlemah lembut dalam tutur katanya serta mesra dengan mad’unya tanpa mengira batasan usia, pangkat dan kedudukan.

Pendidikan Sekolah Rendah (Ibtidaii)

Setelah menjangkau usia Tujuh tahun, ayahandanya telah menghantar beliau belajar di sebuah sekolah aliran pondok di Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali yang terletak hanya lebih kurang 100 meter dari rumahnya. Walaupun jarak antara pondok dan rumahnya amat dekat, namun beliau mengambil keputusan menetap di pondok supaya dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian dan dalam pada itu dapat mendidik diri hidup secara berdikari.
Suatu ketika, Tuan Guru Dato’ telah dihadiahkan seutas jam tangan berjenama Holok oleh bapa saudara kepada Almarhum Haji Zakaria. Hadiah tersebut diberikan kepada beliau sebagai satu anugerah kerana telah mendapat tempat pertama dalam kelas dua. Pemberian yang amat bernilai itu membuatkan beliau sangat gembira dan bersyukur kerana memilikinya.
Kecenderungan Tuan Guru Dato’ terhadap bahasa Arab mula berputik semenjak hari pertama beliau menjejakkan kaki ke sekolah tersebut. Pendekatan pengajian bahasa Arab secara berinovasi dan menyoronokkan daripada guru beliau, ustaz Shafie Omar, sedikit sebanyak telah memberi rangsangan kepada beliau untuk terus mendalami matapelajaran bahasa Arab ini.
Berbekalkan keazaman dan kesungguhan serta minat yang mendalam dalam diri, menjadikan bahasa Arab sebagai alat untuk beliau menimba ilmu-ilmu wahyu dengan lebih jauh. Berteraskan kemahiran bahasa Arab inilah, beliau dapat menggali khazanah ilmu dari sumber-sumber muktabar dalam bahasa Arab dalam pelbagai bidang ilmu termasuk aqidah, fekah, muamalat Islam, siasah Islam, perubatan Islam, kekeluargaan dan sebagainya.
Satu pengajaran yang dapat kita ambil di sini mengenai kepentingan pendidikan bahasa Arab kepada generasi muda supaya mereka dapat menyelami dan mendalami pusaka khazanah ilmu peninggalan ulama-ulama Islam terbilang. Amatlah wajar dielakkan tanggapan sesetengah orang yang beranggapan bahawa bahasa Arab ini bahasa yang sukar dipelajari dan difahami sehinggakan wujudnya golongan yang anti atau fobia dengan bahasa al-Quran juga bahasa syurga. Sesungguhnya Allah telah permudahkan bagi kita untuk mempelajari bahasa al-Quran.

Pendidikan Sekolah Menengah Rendah (I’dadiah)

Setelah beliau menamatkan pengajiannya di sekolah pondok Madrasah Islahiyah al-Diniah beliau telah menyambung pengajian ke Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah. Perpindahan beliau ke sekolah menengah memberi maksud penerusan perjuangan beliau yang lebih mencabar dalam mendalami ilmu pengetahuan agama. Tambahan pula, pada ketika itu jarak antara sekolah dan rumah beliau adalah lebih kurang 12 batu (20km). Kayuhan basikal sejauh 40km sehari, sedikitpun tidak mematahkan semangat beliau dalam menuntut ilmu Allah S.W.T.
Bermula dari sinilah, terserlahnya kecemerlangan beliau dalam bidang akademik dan sifat kepimpinan. Di mana beliau telah mendapat tempat pertama (imtiaz) sepanjang tahun pengajian di situ. Sifat kepimpinan mula menyinar di mana beliau telah lantik menjadi ketua pelajar di sekolah. Keperibadian beliau yang cemerlang telah diakui oleh kedua-dua gurunya. Semasa belajar di sini, beliau dikenali sebagai seorang murid yang baik, cerdik, tekun dan fokus dalam pelajaran sehingga sentiasa berada dalam senarai pelajar  terbaik ketika itu.
Tuan Guru Dato’ hanya sempat menghabiskan pengajian pada tahap tiga thanawi sahaja. Kemudian beliau terpaksa meninggalkan sekolah tersebut kerana terlibat dalam satu gerakan pelajar untuk membantah campur tangan pihak luar yang cuba campur tangan pihak pengurusan dan pentadbiran sekolah. Ia berikutan kerana, pada ketika itu ada pihak tertentu yang berhasrat menggantikan pentadbir baru yang bukan dari aliran atau lulusan agama. Akibat peristiwa ini, beliau telah di tahan lokap polis selama dua malam dan akhirnya beliau beserta seramai 60 orang rakannya telah dibuang dari sekolah sehingga mengakibatkan sekolah tersebut ditutup terus selama setahun.
Peristiwa ini membuktikan kepada kita semangat juang  dan ketokohannya sebagai pemimpin yang berkarisma dan bermagnetisma yang menjadikan pelajar-pelajar di bawah pimpinannya sanggup mendengar arahan dan sebulat suara menyokong dan mendokong hak yang diperjuangannya.
Di sini juga kita dapat lihat ketokohannya sebagai seorang yang mempunyai prinsip yang tinggi dalam kamus perjuangannya. Di ketika itu beliau sanggup mempertahankan prinsip dan kebenaran sehingga sanggup membayar satu harga yang cukup tinggi dalam hidupnya, iaitu penyingkiran daripada persekolahan.
Semasa penggantungan itu, beliau bersama seorang rakan karibnya Almarhum Ustaz Dahlan Mat Zin telah memulakan kembara berbasikal dari Arau ke Kuala Lumpur. Satu jarak yang agak jauh, dengan keadan fizikal jalan pada ketika itu.
Ini dapat membuktikan kepada kita kecekalan dan ketabahan beliau untuk mengharungi cabaran untuk melihat dunia luar. Apa yang dapat kita lihat sekarang, apabila beliau telah menjadi seorang ulama yang telah mengembara ke seluruh pelusuk dunia untuk menyampaikan dakwah dan kerja-kerja kebajikan. Sudah tentulah hari ini sudah tidak dengan basikal tua lagi tapi dengan kenderaan yang moden.

Pendidikan Sekolah Menengah Tinggi

Dalam tempoh penggantungan beliau itu, orang-orang kampung telah memberi nasihat dan galakan supaya beliau menyambung pengajiannya yang tergendala itu. Mereka sanggup mengumpul dana bagi membantu beliau untuk meneruskan pengajiannya. Beliau menyedari yang dirinya belum menamatkan persekolahan sehingga lima thanawi ketika itu, sedangkan syarat utama penerimaan masuk kolej islam wajib dengan lima thanawi.
Beliau merasa dirinya seperti angan-angan mat jenin untuk merealisaikan hasrat masyarakat. Beliau merasa dirinya amat kerdil ketika itu. Semua orang yang mohon berbekalkan sijil lima thanawi sedangkan dirinya hanya sempat belajar dua thanawi. Beliau dipujuk untuk memohon menulis surat dalam bahasa Arab kepada pihak Kolej Islam Malaya ketika itu. Akhirnya beliau memberanikan diri menulis surat permohonan tersebut dalam bahasa Arab bertulisan tangan. Berasaskan nilaian terhadap kandungan surat tersebut beliau telah dipanggil untuk ditemuduga. Sesi temudgua dijalankan  dalam bahasa Arab sepenuhnya. Beliau dapat mejawab soalan temuduga yang dikemukakan dengan baik. Akhirnya beliau diterima pada hari itu juga, sedangkan murid-murid lain pulang ke kampunng masing-masing menunggu surat jawapan temuduga.
Semasa beliau mengikuti pengajian di Kolej Islam Malaya ini, cabaran besar kepadanya ialah sistem pengajian di Kolej Islam itu disampaikan dalam bahasa Arab sepenuhnya sedangkan kemampuan beliau hanya di tahap thanawi dua thanawi. Apa yang banyak membantunya untuk menyaingi pelajar lain dalam berbahasa Arab ialah sistem pengajian Madrasah ‘Alawiyyah yang juga menggunakan bahasa Arab sepenunhya semasa pengajian.
Menyedari dirinya tidak mempunyai kelulusan yang setanding dengan pelajar-pelajar lain yang menyambung belajar di kolej itu, beliau telah menggembelingkan tenaga dan usaha dengan belajar  bersungguh-sungguh. Masanya banyak dimanfaatkan di perpustakaan. Ini menjadikan beliau kurang aktiviti luar dan kesukanan seperti pelajar-pelajar lain.

Cerita menarik Tuan Guru Dato’ ketika di Kolej Islam Malaya

Semasa menuntut di Kolej ini, pada suatu hari dua orang pelawat Arab dari Palestin telah datang melawat Kolej Islam. Pelawat tersebut telah diundang untuk menyampaikan ucapan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar kolej. Setelah selesai ceramah, beliau meminta Pengetua Kolej ketika itu Almarhum Dato’ Prof Abdul Raof Shalabi untuk mendengar ulasan dan komentar  dari seorang pelajar tentang Palestin. Pengetua menanyakan pelajar-pelajar siapa yang boleh memberi ucapan. Maka ketika itu Ustaz Mahyuddin yang mengenali Tuan Guru Dato’ telah mencadangkan beliau. Pengetua bersetuju dengan pilihan tersebut dan dia telah mengingatkan kembali ketika mana Tuan Guru Dato’ yang dapat menjawab soalan temuduga dengan cemerlang dan diterima pada hari itu juga belajar di kolej. Akhirnya beliau dipilih  untuk menyampaikan ucapan dalam bahasa Arab di majlis tersebut. Keupayaan dan keberanian beliau untuk berucap di khalayak di majlis itu mendapat sanjungan dari guru-guru dan rakan-rakan pelajar.
Cerita kedua ini berlaku pada tahun ketiga. Seorang pensyarah baru berbangsa Arab telah tiba berkhidmat di Kolej Islam iaitu Ustaz Abdul Wahab. Kebetulan bersempena dengan sambutan Maulid al-Rasul pihak Kolej telah menjemput beliau untuk meyampaikan ceramah. Pihak kolej telah melantik Ustaz Haron Din untuk menjadi penterjemah pada ketika itu.
Pada tahun ketiga di kolej, Guru beliau Ustaz Mahyudin Musa menugaskan  beliau menggantikannya  untuk menyampaikan ceramah di suatu tempat di Selangor iaitu di Sejangkang dalam satu majlis sambutan Isra’ Mikraj.
Semenjak dari itu, beliau sentiasa menerima undangan berceramah. Yang meneronokkannya setiap kali ceramah beliau akan mendapat wang saguhati RM50.00. Satu jumlah bayaran yang cukup tinggi di masa itu.
Pengajian di Kolej ketika itu disampaikan secara tutorial dalam bahasa Arab sepenuhnya. Pada petangnya, beliau telah diminta oleh rakan-rakannya untuk mengajar mata pelajaran yang sukar iaitu Mantiq dan Falsafah. Beliau bertindak sebagai tutor kepada mereka.
Di Kolej Islam Malaya atau namanya ketika itu al-Kuliah al-Islamiah, Kelang, Selangor, beliau memperoleh Sijil Tertinggi Kolej dengan cermerlang.

Di Peringkat Pengajian Tinggi

Minat Tuan Guru Dato’ terhadap ilmu pengetahuan tidak terhenti di peringkat pengajian tinggi sahaja. Dengan kecekalan dan kesungguhan dalam pengajian, beliau telah memenangi hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat “Master Degree”. Setelah tamat pengajian di Kolej Islam Malaya, beliau menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir (1966-1968) dengan biasiswa tersebut. Semasa di Mesir, beliau telah mendaftar untuk belajar dua degree sekaligus iaitu Master di Universiti Al-Azhar, Kaherah dan Diploma Pendidikan di Universiti ’Ain Shams, Kaherah. Keadaan ini menyebabkan beliau tidak ada ruang untuk mengikuti aktiviti luar dengan pelajar-pelajar Malaysia yang lain ketika itu. Beliau terpaksa mengerah tenaga dan mental untuk belajar pagi dan petang. Masanya banyak dihabiskan dibilik perpustakaan untuk mendapatkan rujukan serta membuat kajian.
Semasa di Kaherah, beliau memilih untuk tidak tinggal bersama pelajar-pelajar Malaysia di asrama Rumah Melayu  kerana budaya pelajar Malaysia di Rumah Melayu hanya bergaul sesama mereka dan bercakap bahasa ibunda. Keadaan sedemikian tidak banyak membantu pelajar melayu mempraktik bercakap bahasa Arab. Beliau memilih untuk menyewa di luar bersama-sama dengan pelajar-pelajar Mesir. Ini memberi lebih banyak peluang baginya untuk berkomunikasi dalam bahasa Arab dengan penutur aslinya. Dua orang sahabat karibnya yang tinggal bersamanya di Kaherah ialah Lutfi Ali Omar dan Mahmud al-Kafif seorang yang buta. Banyak masa beliau belajar bersama-sama dengan kedua-dua rakannya ini. Dan mereka juga banyak membantu beliau untuk menyiapkan tugasan pelajaran sehingga berjaya. Peluang ini digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk menggilap bahasa Arabnya dari aspek percakapan, penulisan dan juga qaedah bahasa arab.
Tuan Guru Dato’ tidak pernah lokek dalam menyebarkan ilmu yang dimilikinya. Ini kerana, ilmu merupakan amanah Allah S.W.T. dan sepatutnya disebarkan kepada orang lain. Kesibukan beliau menelaah pelajaran tidak dijadikan penghalang untuk beliau berkongsi dan mencurahkan ilmu dengan pelajar-pelajar lain. Beliau diamanahkan mengajar pelajar-pelajar Melayu di Mesir terutama kuliah kepada pelajar-pelajar wanita yang kebanyakannya lemah dalam pelajaran dan ramai yang terkandas pada ketika itu. Kelas-kelas ini dianjurkan oleh pelajar Melayu di Mesir. Pengamalan sebegini masih diteruskan sehingga ke hari ini bagi pelajar-pelajar Malaysia di Mesir. Antara matapelajaran yang diajar oleh beliau ialah Bahasa Arab, Usul Fiqh, Qawaed Fiqhiyyah dan lain-lain.
Semasa di Mesir, beliau telah membuat dua degree; satu MA (Ijazah Sarjana) Syariah di Universiti al Azhar dan Diploma Pendidikan di ‘Ain Shams, Universiti Cairo. Akhirnya dalam masa tidak sampai dua tahun beliau telah berjaya memperoleh kedua-dua degree tersebut serentak dengan cemerlang.

Kehidupan Sebagai Murabbi

Setelah menamatkan pengajian di luar negeri, beliau kembali semula ke tanah air sekitar tahun 1968 dengan memperolehi Ijazah Sarjana Syariah dari Universiti Al-Azhar dan juga Diploma Pendidikan Universiti A’in Shams di Kaherah. Dengan ilmu yang diperolehi dari luar negeri, masyarakat meletakkan harapan tinggi agar dapat mengambil manfaatnya. Untuk tidak menghampakan harapan masyarakat, beliau telah berkhidmat sebagai guru agama di Sekolah Abdullah Munsyi, Penang. Beliau ditugaskan sebagai guru disiplin.
Bermula dari saat inilah, beliau mula aktif menyampaikan dakwah kepada umum sebagai memenuhi permintaan masyarakat. Beliau sentiasa sibuk dengan aktiviti dakwah melalui kelas-kelas pengajian agama dan tazkirah di masjid-masjid serta jemputan ke rumah-rumah perseorangan. Selain pada itu, warga guru sekolah juga dianjurkan kelas pengajian khas bersama beliau.
Pada waktu yang sama beliau juga telah bekerja sebagai pensyarah sambilan untuk kursus-kursus pendidikan guru agama seluruh Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran di Maktab Perguruan Teknik, Pulau Pinang. Beliau mengajar matapelajaran art of teaching dan child development. Kebanyakan guru-guru agama ketika itu tidak memiliki ilmu pedagogi. Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang diperolehi dari Kolej Islam Malaya dan Universiti ‘Ain Syam, Mesir dalam bidang pendidikan, ia dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh para guru pada ketika itu.
Rentetan dari itu, akhirnya beliau ditawarkan menjadi pensyarah di Fakulti Islam, Universiti Kebangsaan Malaya (nama sekarang Universiti Kebangsaan Malaysia UKM). Dengan sifat rendah diri, beliau enggan menerima tawaran tersebut dengan alasan ingin memberi peluang kepada mereka yang lebih senior dan lebih layak untuk memegangnya. Beliau merasakan terlalu awal baginya untuk memegang amanah sebagai seorang pensyarah di sebuah universiti. Dekan Fakulti Islam ketika itu telah datang sendiri ke rumahnya memujuk beliau untuk menerima jawatan tersebut. Akhirnya beliau bersetuju dan menerimanya dengan hati yang terbuka.
Kecintaan Tuan Guru Dato’ terhadap ilmu telah mendorong beliau menyambung kembali pengajiannya. Ketika itu, beliau masih berkhidmat di UKM. Maka pada tahun 1972, beliau sekali lagi berlepas ke Mesir untuk menyambung pengajiannya dalam bidang Doktor Falsafah. Pada tahun 1973, beliau telah berjaya dengan cemerlang dalam bidang Syariah dan memperolehi Ph.D daripada Universiti Darul Ulum, Kaherah.
Sekembalinya ke tanah air,  beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Setahun kemudian beliau dilantik sebagai timbalan dekan, empat tahun kemudian dianugerahkan profesor madya dan tiga tahun kemudian dilantik sebagai profesor penuh.

Hasil Sumbangan Beliau Dari Segi Penulisan.

Ketekunan dan kesungguhan beliau dalam penyebaran ilmu pengetahuan sepanjang penglibatan beliau dalam dunia akademik dapat dibuktikan dengan penghasilan pelbagai karya ilmiah seperti buku-buku, kajian ilmiah dan kertas kerja. Antaranya;

PENERBITAN BUKU

A. Buku Terbitan dalam Bahasa Arab
(Dissolution of Marriage and Related Problem: A Comparative Study of Schools of Law) I Watan Press, Kuala Lumpur. 1983.
(The Separation of Spouse Based on Legal Prohibition by Law and Court – Watan Press 1984.
( Some Family Cases : Maintenance, Breach of Marriage and Polygamy an Islamic Solution ) – Watan Press, Kuala Lumpur, 1985.
(Spread of Islamic Mission in Malaysia) – Watan Press, Kuala Lumpur, 1985.
B. Buku Terbitan dalam Bahasa Malaysia
1. Buku Teks untuk sekolah menengah – Pengetaahuan Agama Islam sebagai Ketua Editor – Obor Islam I, II, III, IV dan V.
2. Rawatan Pesakit Menurut al Quran dan as Sunnah. Percetakan Watan, terbitan bersama rakan. 1990
3. Buku tajuk “ Jawapan Kepada Hadith Satu Penilaian Semula – terbitan Dewan Pustaka Fajar 1988 Ketua Pengarang.
4. Masalah Pendidian Islam di Malaysia (bersama Dr Sabri Salamon) 1988.
5.Pengenalan Islam : Kemusykilan dan Penjelasan (bersama Ishak Din) 1989.
6. Rawatan Gangguan Makhluk Halus – Percetakan Watan 1989.
7. Taklik Talak Antara Hukum Fiqh dan Hukum Kanun – Watan 1989
8. Soal Jawab Agama – Fiqh Harian (bersama Ishak Din – Percetakan Akademi Art Printing Services Sdn Bhd 1992.
9. Aqidah Tauhid (bersama Ishak Din) 1995.
10. Hudud dalam Perundangan Islam – Pakar Print 1978.
11. Manusia dan Islam – Edisi Pertama (Dewan Bahasa dan Pustaka, KL 1991) Ketua Editor
12. Manusia dan Islam – Edisi Kedua (Dewan Bahasa dan Pustaka, KL 1992) Ketua Editor
13. Manusia dan Islam – Edisi Ketiga (Dewan Bahasa dan Pustaka, KL 1992) Ketua Editor
13. Tasawwur Islam – Percetakan  Graphico Kajang 1404H.
14. Melihat Anak Bulan di Malaysia : Maslah dan Kemungkinan
15. Kewajipan Menegak Negara Islam –Indera Press.
16. Suami Isteri dan Rumahtangga Menurut Islam – Maju Press KL 1979.
17. Penyelenggaraan Jenazah – Unit Bimbingan Agama UPM 1981.
18. Methodologi Zikr – Watan 1988.
19. Pengurusan Jenazah – Percetakan Zizi Kajang 1989.
20. Hudud dalam Perundangan Islam – Dany Press 1993.
21. Muhammad Rasulullah : Anugerah Kejayaan – Bahagian Hal Ehwal Islam JPM 1993.
22. Ulama’ Bukan Cap Getah – Percetakan Watan 1993.
23. Islam : Keadilan Membebaskan Manusia 2007 (PTS Millenia)
24. Islam : Jihad Sebagai Survival Insan 2001 (PTS Millenia).
25. Islam : Ibadah Pembina Tamadun Manusia 2007 (PTS Millenia)
26. Islam :  Ada Apa Dengan Islam 2007 (PTS Millenia).
27. Islam : Agama, Bisnes dan Pengurusan 2007 (PTS Millenia).
28. Islam : Panduan Komprehensif Keluarga Bahagia 2007 (PTS Millenia).
29. Islam : Rujukan Afektif Akhlak Mulia 2007 (PTS Millenia).
30. Ikhtiar Penyembuhan  Penyakit dengan Ayat-ayat dan Doa-doa Mustajab 2009 (Darussyifa’).
31. Fikh Harian 2009 (Edisi Kemaskini ) PTS Millenia.
32. Pengantar Pengubatan Islam – Jilid I  2011 (Darussyifa’).
33. Rawatan Penyakit Jasmani  1 – Jilid II    2011 (Darusyifa’).
34. Rawatan Penyakit Jasmani 2  – Jilid III   2011 (Darussyifa’).
35. Rawatan Penyakit Akibat Sihir – Jilid IV 2011 (Darusyifa’).
Kerjaya
1.    Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975 – 1976)
2.   Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985)
3.    Profesor di UKM sejak tahun 1986 hingga bersara
4.    Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB
5.    Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia
6.    Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti
7.    Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor
8.    Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan
9.    Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank.
10) Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd
11) Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis
12) Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting
Politik
1.    Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983)
2.    Ketua Penerangan PAS Pusat
3.    Ahli Majlis Syura Ulamak PAS
4.    Timbalan Mursyidul Am PAS

Monday, June 13, 2016

Kewafatan al-Muhaddith Dr Yusuf al-Kattani رحمه الله



- Beliau ialah al-'Allamah al-Kabir al-Muhaddith as-Sayyid Dr Yusuf b. as-Sayyid Ibrahim b. as-Sayyid Muhammad b. as-Sayyid Abd al-Kabir al-Kattani al-Hasani, keturunan Saidina Hasan b. Ali RA. Wafat di Rabat, Morocco pada hari Sabtu, 11 Jun 2016 (6 Ramadhan 1437).

- Beliau lahir pd thn 1356/ 1934.

- Antara guru2nya ialah:
 -والده إبراهيم الكتاني
-عمه الإمام محمد المهدي الكتاني
-عمه الإمام محمد الباقر الكتاني،
 -الشيخ أحمد ابن عبد النبي
-الحافظ المدني ابن الحسني
-عم والده الإمام الحافظ عبد الحي الكتاني

- Beliau adalah lulusan undang2 Universiti Dimasyq, Syria. Beliau turut berkhidmat dlm bidang guaman d Rabat sehingga akhir hayatnya.

- Beliau juga lulusan Darul Hadith al-Hasaniyyah & memperolehi PhD dlm bidang hadis.

- Beliau boleh dianggap 'Syeikhul Bukhari Morocco' krn kepakarannya dgn kitab Sahih al-Bukhari. Beliau merupakan presiden Jam'iyyah al-Imam al-Bukhari di Morocco.

- Beliau prnah mngajar di Universiti Qurawiyyin di Fez & Darul Hadith al-Hasaniyyah di Rabat hingga bersara.

- Antara karya2nya:
-"مدرسة صحيح البخاري في المغرب"
- الإمام البخاري أمير المؤمنين في الحديث
-"رباعيات صحيح البخاري"
 -"مفردات صحيح البخاري"
-"المرأة في الإسلام"..
-تحقيق شرح الخطابي على صحيح البخاري في مجلدين ضخمين..
-مجلة "السنة النبوية" 12 عدد

- Dr. Yusuf juga pngamal Tariqat Ahmadiyyah Kattaniyyah yg trkenal di Morocco.

- Beliau mmiliki sanad yg tinggi dlm bidang hadis hingga ramai ilmuwan dari serata dunia berkunjung menemuinya untuk mndapatkan ijazah sanad.

رحمه الله تعالى..
واسكنه فسيح جناته..

Friday, February 12, 2016

Tips Untuk Menguasai Bahasa & Sastera Arab



*Nasihat penting daripada sasterawan besar Arab, al-Adib al-Kabir al-‘Allamah Mustafa Sadiq ar-Rafi‘i (m. 1356H di Tanta, Mesir) kepada setiap orang yang ingin menguasai sastera Arab sama ada dari segi penulisan atau pun karangan.  

Nasihat beliau: “Jika aku ingin mewasiatkan kamu, maka aku mewasiatkan kamu supaya memperbanyakkan membaca al-Quran, merujuk kitab al-Kasysyaf (tafsir az-Zamakhsyari), kemudian mendalami sebuah kitab daripada kitab-kitab hadis seperti al-Bukhari atau selainnya. Seterusnya, bersungguh-sungguh membaca kitab-kitab Ibn al-Muqaffa‘ (Kalilah wa Dimnah, al-Yatimah dan al-Adab as-Saghir), kemudian risalah-risalah al-Jahiz, kitab al-Bukhala’, seterusnya Nahj al-Balaghah. Juga mengamati kitab as-Sina‘atain oleh al-‘Askari, al-Mathal as-Sa’ir oleh Ibn al-Athir, seterusnya banyakkan merujuk Asas al-Balaghah oleh az-Zamakhsyari. Di samping itu, jika tanganmu dapat mencapai kitab al-Aghani atau beberapa juzuk daripadanya, kitab al-‘Iqd al-Farid dan Tarikh at-Tabari, maka sudah sempurnalah bagimu kitab-kitab prosa Arab yang mantap.

            Bacalah sesuatu potongan kata-kata itu berkali-kali, kemudian perhatikan dan cuba ubah susun aturnya, seterusnya buangkan suatu ibarat atau suatu kalimah daripadanya dan letakkan pula daripada sisimu apa yang dapat menggantikannya, namun tidak merosakkannya. Berusahalah berbuat demikian. Sekiranya perkara tersebut sudah biasa bagimu, maka naiklah pula ke satu peringkat yang lain, iaitu kamu cuba menandingi potongan kata-kata tadi dengan suatu ungkapan kata-kata yang kamu sendiri tulis yang sama makna dan serupa gayanya. Sekiranya didapati ungkapan kata-katamu itu lemah (tata bahasanya), maka ambillah yang lain, dan begitulah seterusnya sehinggalah kamu dapat membawa ungkapan yang hampir sama dengan yang asal atau yang seumpamanya.

            Peruntukkanlah bagimu pada setiap hari satu atau dua pelajaran menurut cara ini. Mula-mula, bacalah suatu kitab yang mantap Arabnya kira-kira dalam setengah jam, kemudian pilihlah daripadanya satu potongan kata-kata. Lalu bacalah ia sehingga kamu benar-benar memahaminya. Seterusnya, cubalah menandinginya menurut cara yang telah disebutkan tadi; Pertama, ubah ibarat tersebut, kemudian keduanya, menandingi keseluruhan potongan kata-kata berkenaan. Berilah tumpuan sepanjang hari untuk membaca dan mengulangkaji. Apabila kamu berasa letih, tinggalkanlah dahulu membaca atau kerja itu sehinggalah kamu berasa relaks. Kemudian, baru kembali melakukannya semula. Janganlah kamu abaikan aspek memerah akal fikiran, membuat gambaran dan imaginasi yang baik.

              Ini kaedahnya, dan aku tidak nampak bagimu ada yang lebih baik daripada itu. Jika kamu diberikan taufik, kemungkinan kamu akan dapat meraih kecemerlangan dalam tempoh setahun.
             Langkah awalmu mengambil manfaat; dan langkah akhirmu menggembleng kudrat...”.

*Kesimpulan tentang kitab-kitab penting berkaitan sastera Arab yang perlu dibaca;
  1. membaca al-Quran,
  2. merujuk kitab tafsir al-Kasysyaf oleh az-Zamakhsyari,
  3. mendalami sebuah kitab hadis, seperti Sahih al-Bukhari atau selainnya.
  4. membaca kitab-kitab Ibn al-Muqaffa‘ (iaitu Kalilah wa Dimnah, al-Yatimah dan al-Adab as-Saghir),
  5. risalah-risalah al-Jahiz (m. 255H),
  6. kitab al-Bukhala’ oleh al-Jahiz,
  7. kitab Nahj al-Balaghah oleh as-Syarif al-Murtadha atau as-Syarif ar-Radhi.
  8. mengamati kitab as-Sina‘atain oleh al-‘Askari,
  9. kitab al-Mathal as-Sa’ir oleh Ibn al-Athir,
  10. merujuk Asas al-Balaghah oleh az-Zamakhsyari.
  11. kitab al-Aghani oleh al-Asbahani, atau beberapa juzuk daripadanya,
  12. kitab al-‘Iqd al-Farid oleh Ibn ‘Abd Rabbih (m. 328H)
  13. kitab Tarikh at-Tabari berjudul: تاريخ الأمم والملوك.



Wednesday, September 30, 2015

Tuan Guru Hj. Yahya Zikri bin Alang Mat Piah


إنا لله وإنا إليه راجعون

Tuan Guru Hj. Yahya Zikri Telok Intan, 91 tahun, murid Syeikh Abdul Qadir al-Mandili telah wafat pada jam 12 tengah hari Khamis, 24hb. Sept. 2015 bersamaan 10 Zulhijjah 1436H. Beliau meninggal dunia di Hospital Putrajaya. Kemudian jenazahnya telah dikebumikan di tempat asalnya, Kampung Chopin Kanan, Parit, Perak.

Beliau adalah antara tokoh ulama di negeri Perak. Beliau pernah ke Makkah pada tahun 1951 dan pulang ke tanah air tahun 1962. Di sana, beliau telah berguru dan belajar dengan ramai guru-guru handal ketika itu seperti Syeikh Abdul Qadir al-Mandili, Syeikh Ahyad Bogor, Syeikh Hasan al-Masysyat, Syeikh Muhammad ‘Arabi al-Tabbani dan lain-lain. Beliau juga pernah berguru dengan Tuan Guru Hj Muhammad Yunus di Bunut Payung. Namun antara ramai gurunya, dengan Syeikh Abdul Qadir al-Mandili yang paling banyak beliau menadah kitab.

Di antara kerjaya beliau adalah sebagai guru agama Tabung Haji bagi negeri Perak. Beliau pernah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah bagi daerah Hilir Perak tahun 1416H. Beliau mempunyai sebuah keluarga yang agak besar, di mana beliau telah dikurniakan seramai 12 orang anak.

Tuan Guru Hj. Yahya Zikri pernah menulis sedikit mengenai perihal dirinya sepertimana berikut: “Hj. Yahya Zikri bin Hj. Alang Mat Piah nama panggilannya. 1342 H bersamaan 1924 M tahun lahirnya. Chopin Kanan kampung asal tumpah darahnya. Belanja nama mukimnya. Kuala Kangsar pula nama jajahannya. Perak Darul Ridhuan itulah negerinya. Makkah al-Mukarramah akhir dan kesudahan menuntut ilmunya. Alim ulama tempat rujukan dan gurunya - al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas. Ahlus Sunnah wal Jamaah itulah amalan dan iktikadnya. Al-Imam as-Syafii al-Qurasyi ikutan dan mazhabnya. Kitab-kitab al-muktabar pula tempat ambilan dan pegangannya. Kampung Bahagia, Lorong Menteri, rumah tangga kampung halaman, tempat kediamannya. Telok Intan pula nama pekan dan bandarnya. Peliharaan Allah azza wa jalla dan limpah kurniaNya itulah doa dan permohonnya...”

Dalam menangisi pemergiannya, Syeikh Mohammed Daniel daripada Cordoba Academy menulis: “We remain indebted to the honourable Shaikh for the sacrifices and dedication he showed us. He was a hidden gem and was staunch in adopting the Sunnah into his life. A famous Ustadh who studied with the Shaikh in the 80s and 90s told me that when he visited the Shaikh a few months ago wearing a pinkish/orange garment the Shaikh affectionately disapproved of the colour and told him to wear white or a colour suitable for men as this was the sunnah. Subhan Allah!” *Sumber: http://forum.cordobaacademy.com/topic/19404777/Passing-away-of-senior-Shaikh-Tuan-Guru-Yahya-alZikri#.VgkQCtKqqkp

Dalam sekali pertemuan bersama Tuan Guru Hj. Yahya Zikri, beliau telah bertanya mengenai nama-nama anak penulis. Lalu penulis menyebutnya satu persatu. Namun, apabila didengar tidak ada nama Muhammad, beliau terus menegur secara spontan supaya memberi nama Muhammad bersempena nama Nabi SAW!

Beliau telah menghasilkan beberapa karya penulisan, antaranya:
1. Kemuliaan dan Keistimewaan Tanah Suci Makkah al-Mukarramah.
2. Sampaikan Pahala Kepada Orang Mati.
3. Risalah Makna Syahadatain.


رحمه الله تعالى رحمة واسعة وأسكنه فسيح جناته
  

 
TG Hj. Yahya Zikri bersama al-Musnid Us. Mohd. Zaidi Abdullah