Pages

Thursday, February 4, 2010

Mawlid al-Barzanji

Terbitan tahun 2008 kitab Mawlid al-Barzanji ini diselenggarakan oleh Syeikh Bassam Barud dan diterbitkan oleh Dr. Ahmad al-Khazraji. Kedua-duanya telah mengizinkan kitab ini disebarkan di internet secara percuma, sebagaimana yang dapat dirujuk di sini.
جزاهما الله خير الجزاء


Dicetak berserta karya Syeikh Muhammad bin Ahmad bin Hasan Al Hilal al-Khazraji rahimahullah yang baik berjudul (القول الواضح المفيد في قراءة المولد في كل عام جديد). Antara katanya (h. 41): "Menyambut mawlid Nabi SAW adalah mustahab, kerana terkandung dalam sambutan tersebut pengertian menzahirkan rasa riang dan gembira dengan kelahiran Nabi SAW, berselawat ke atas baginda, memberi makan kepada orang... dan sebagainya daripada perbuatan-perbuatan dan pertuturan-pertuturan yang baik seperti mengingati kehidupan baginda, akhlak baginda serta peringkat-peringkat yang dilalui oleh baginda semenjak dari kecil sehinggalah baginda diwafatkan oleh Allah Taala. Sambutan ini dapat membangkitkan rasa mahabbah yang mampu menambahkan keimanan dan membuahkan amalan-amalan soleh. Kata Imam al-Jalil al-Syams Ibn al-Jawzi: Sesungguhnya antara perkara yang telah mujarab ialah bahawa barangsiapa yang melakukan sedemikian, maka baginya kesejahteraan pada tahun tersebut".

Antara isi kandungannya:

  1. (القول الواضح المفيد في قراءة المولد في كل عام جديد) oleh Syeikh Muhammad Ahmad Hasan Al Hilal al-Khazraji.
  2. (مولد شرف الأنام)
  3. (مولد البرزنجي نثرا)
  4. (مولد البرزنجي نظماً)
  5. (قصيدة البردة) oleh Imam al-Busiri
  6. (عقيدة العوام) oleh al-Sayyid Ahmad al-Marzuqi
  7. Doa Khatam Mawlid (دعاء ختم المولد)
  8. Talqin Mayat (تلقين الميت)
  9. Doa Nisfu Syaaban (دعاء النصف من شعبان)
  10. (مولد الديبعي)
  11. (الشاهد المنجي للمولد البرزنجي - نظم) oleh Syeikh ‘Abdullah bin Muhammad Soleh al-Khazraji.
  12. (منظومة في ذكر أولياء الله تبارك وتعالى) oleh Syeikh ‘Uthman bin ‘Abdul Ghafur bin ‘Abdul Jalil al-Ansari.
  13. (قصيدة لأهل الحال من الرجال) juga oleh Syeikh ‘Uthman.

اللهمَّ صلِّ وسلِّم وبارك عليه

Pautan lain:

Mawlid Nabi SAW di Yayasan al-Jenderami


Sunday, January 31, 2010

Syeikh ‘Abdul Hamid Tahmaz


Senarai ‘Wafayat al-A‘yan’ dalam blog ini bertambah lagi dengan kembalinya seorang lagi ulama Ahlus Sunnah ke rahmatullah, yang merupakan pewaris manhaj ilmi Syeikh Muhammad al-Hamid (رحمهما الله).

Beliau ialah al-‘Allamah Syeikh ‘Abdul Hamid Mahmud Tahmaz al-Hamawi, al-Makki, meninggal dunia pada hari Jumaat malam Sabtu 15 Safar 1431H / 30 Januari 2010 di Riyadh (demikian maklumat yang disalin dari keterangan Syeikhuna Muhammad Al Rasyid di sini, demikian juga dalam banyak laman sesawang, kerana dalam kalendar kita hari tersebut adalah 14 Safar/29 Januari) dalam usia kira-kira 75 tahun.

Beliau dilahirkan pada tahun 1356H di Syria. Kemudian berhijrah ke Makkah pada tahun 1400H. Beliau adalah murid Syeikh al-Mujahid Muhammad al-Hamid yang masyhur, bermazhab Hanafi dan bertariqat Naqsyabandi.


Karya

Beliau telah mewariskan sebuah pustaka dalam berbagai bidang ilmu. Antara karya-karyanya:

1. (التفسير الموضوعي لسور القرآن الكريم).

2. (الفقه الحنفي في ثوبه الجديد). Kitab ini telah diradd oleh seorang wahhabi, Sulaiman bin Salih al-Khurasyi dengan judul (الرد على عبد الحميد طهماز). Kononnya, syeikh banyak memuatkan hadith-hadith da’if dan hanya bertaklid kepada pendapat-pendapat mazhab Hanafi yang tiada dalil. Bidaah paling besar katanya ialah pendapat syeikh bahawa ziarah kubur Nabi SAW adalah perkara mandub yang paling afdhal, yang hampir kepada wajib. Beliau membawakan dalam buku itu 20 kaedah menurut dakwaannya dalam menolak ahli bidaaah. (!!!?)

3. (النور والسراج المنير). Contoh 'cover'nya di atas.

4. (السيدة خديجة)

5. (السيدة عائشة)

6. (أنس بن مالك)

7. (معاذ بن جبل)

8. (عبد الله بن عباس)

9. (الأربعون العلمية)

10. (السنن الإلهية في الخلق)

11. (يا بني إسرائيل!)

12. (العلامة المجاهد الشيخ محمد الحامد)

13. Dan lain-lain.


Pautan lain:

- Sedikit biografi dan hiwar (Arab).

رحمه الله رحمة الأبرار وإنا لله وإنا إليه راجعون . نسأل الله سبحانه أن يجزيه خير الجزاء على ما قدم وعمل وجاهد، اللهم لا تحرمنا فضله ولا تفتنا بعده واغفر لنا وله ...آمين

Friday, January 29, 2010

Berjabat Tangan Serta Berpeluk Bidaah?


Oleh kerana pada masa ini masyarakat kita diuji dengan kemunculan ‘akal fiqh’ yang kurang matang dalam memberikan hukum sesuatu masalah, maka timbullah berbagai hukum yang sangat bertentangan di kalangan masyarakat sehingga mampu membawa kepada perselisihan serius dalam kes-kes masalah yang remeh. Ini kerana hukum menurut ‘akal fiqh’ tersebut hanya antara sunnah dan bidaah sahaja, bukan lagi berdasarkan lima hukum syarak yang disepakati ulama, iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Berikut adalah salah satu daripada kes-kes tersebut, iaitu masalah berjabat tangan (musafahah) berserta berpelukan/berdakap (mu’anaqah), adakah ianya bidaah, yakni dalam ertikata haram?

Dalam soal berjabat tangan terdapat banyak hadith-hadith yang sahih, adapun dalam soal berpelukan terdapat beberapa hadith - yang sebahagiannya da’if - yang memberi makna keharusan melakukannya. Apapun, kedua-duanya warid secara berasingan. Masalah timbul apabila kedua-duanya dilakukan dalam masa yang sama, iaitu ‘berjabat tangan diikuti dengan berpelukan’. Ada juga yang ‘berjabat tangan diikuti dengan mengucup pipi’. Bentuk sebegini memang tidak terdapat dalam hadith-hadith. Namun, apakah ianya suatu bidaah?

‘Masalah berjabat tangan sambil berpelukan’, bukanlah masalah ibadat apatah lagi akidah. Ianya adalah masalah yang dapat dibincangkan dalam bab adab, iaitu adab pergaulan sesama manusia. Justeru pada pendapat saya, hukum terhadapnya tidak perlu sehingga dianggap sebagai bidaah sayyi’ah atau dhalalah. Apatah lagi tidak warid hadith yang menunjukkan tegahan sarih (nyata) atau memberi ancaman jika berbuat demikian, walaupun dengan jalan da’if sekalipun. Maka hukumnya dapat diputuskan menurut cara yang lebih fleksibel dan bersesuaian dengan situasi. Barangkali inilah gambaran fiqh yang ingin diberi oleh al-Hafiz Abu Sa’id Ahmad bin Muhammad bin Ziyad ibn al-A’rabi ketika menyusun kitabnya; al-Qubal wal-Mu’anaqah wal-Musafahah.

Memahami Masalah dan Dalilnya

Masalah ini berbeza dengan ‘masalah berdiri menyambut seseorang’ yang menjadi perselisihan di kalangan ulama disebabkan terdapat hadith yang menunjukkan tegahan sarih (nyata) dan memberi ancaman terhadap perbuatan tersebut. Maka, ulama berselisih pendapat dalam menjelaskan maksud hadith berkenaan. Adapun hadith Anas RA yang bermaksud: Bertanya seorang lelaki: Ya Rasulullah, seorang lelaki dari kalangan kami bertemu saudaranya atau temannya, adakah patut dia tunduk kepadanya? Jawab baginda: Tidak. Tanyanya lagi: Adakah dia patut mendakap dan mengucupnya? Jawab baginda: Tidak. Tanyanya lagi: Dia patut mengambil tangannya dan berjabat tangan? Jawab baginda: Ya. (Riwayat al-Tirmizi - 2729, katanya: hasan, dan Ibn Majah - 3703)

Hadith ini menunjukkan Nabi SAW membimbing para sahabatnya kepada petunjuk adab dan akhlak yang lebih baik. Larangan tunduk dan berpeluk disebut secara tidak langsung. Maka larangan yang tidak sarih (nyata) ini sebenarnya mampu disesuaikan dengan situasi semasa dan budaya sesuatu tempat. Tambahan pula tidak ada hadith yang menunjukkan tegahan sarih atau memberi ancaman keras jika berbuat demikian. Oleh sebab itu, berkaitan menunduk kepala, al-Nawawi hanya menghukumnya sebagai makruh sahaja dan tidak jatuh kepada haram.

Manakala soal berpeluk, diimbangi oleh hadith lain, meskipun dikatakan Imam Malik menyatakannya sebagai makruh. Bagaimanapun, Ibn Hajar menukilkan bahawa riwayat dari Imam Malik yang menyebut bahawa berpelukan itu makruh hukumnya adalah tidak benar, sepertimana menurut al-Zahabi dalam kitab al-Mizan, dan isnad kepadanya juga gelap (tidak jelas). Justeru, soal berpeluk ini dapat diimbangi oleh hadith lain seperti riwayat al-Tirmizi, katanya:

‏ ‏حَدَّثَنَا ‏ ‏مُحَمَّدُ بْنُ إِسْمَعِيلَ، ‏ ‏حَدَّثَنَا ‏ ‏إِبْرَاهِيمُ بْنُ يَحْيَى بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ عَبَّادٍ الْمَدَنِيُّ، ‏ ‏حَدَّثَنِي ‏ ‏أَبِي يَحْيَى بْنُ مُحَمَّدٍ، ‏ ‏عَنْ ‏ ‏مُحَمَّدِ بْنِ إِسْحَقَ، ‏ ‏عَنْ ‏ ‏مُحَمَّدِ بْنِ مُسْلِمٍ الزُّهْرِيِّ، ‏ ‏عَنْ ‏ ‏عُرْوَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ، ‏ ‏عَنْ ‏ ‏عَائِشَةَ ‏ ‏قَالَتْ: ‏ ‏قَدِمَ ‏ ‏زَيْدُ بْنُ حَارِثَةَ ‏ ‏الْمَدِينَةَ ‏ ‏وَرَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏فِي بَيْتِي، فَأَتَاهُ فَقَرَعَ الْبَابَ، فَقَامَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏عُرْيَانًا يَجُرُّ ثَوْبَهُ، وَاللَّهِ مَا رَأَيْتُهُ عُرْيَانًا قَبْلَهُ وَلَا بَعْدَهُ، فَاعْتَنَقَهُ وَقَبَّلَهُ. ‏

‏Terjemahan matan: Daripada ’A’isyah katanya: “Zaid bin Harithah telah sampai ke Madinah sedang Rasulullah SAW berada di rumahku. Beliau datang dan terus mengetuk pintu. Lalu Rasulullah SAW pun bergegas kepadanya (kerana sangat gembira, selendangnya terjatuh), baginda dalam keadaan tidak berbaju sambil mengheret selendangnya. Demi Allah, tidak pernah aku melihat baginda tidak berbaju (dalam menyambut tetamu) sebelum itu mahupun sesudahnya. Lantas baginda memeluk dan mengucupnya”. (Riwayat al-Tirmizi, no. 2656, katanya: hadith hasan gharib, kitab - الاستئذان والآداب عن رسول الله, bab - ما جاء في المعانقة والقبلة).

Namun pada sanadnya, Ibrahim bin Yahya bin Muhammad bin ’Abbad adalah layyin al-hadith (lemah hadithnya). Bapanya Yahya bin Muhammad pula adalah seorang perawi da’if. Manakala Muhammad ibn Ishaq sahib al-maghazi adalah perawi yang diperselisihkan. Bagaimanapun, Ibn Hajar yang membawa hadith ini di dalam syarahnya Fath al-Bari, hanya menukilkan hukum al-Tirmizi tersebut dan mendiamkannya tanpa sebarang kritikan. Begitu juga al-Nawawi dalam kitabnya Riyadh al-Salihin dalam bab (باب استحباب المصافحة عند اللقاء، وبشاشة الوجه، وتقبيل يد الرجل الصالح، وتقبيل ولده شفقة، ومعانقة القادم من سفر، وكراهية الانحناء).

Syeikh al-Mubarakpuri menyatakan di dalam (تحفة الأحوذي بشرح جامع الترمذي), berdasarkan hadith al-Tirmizi ini, disyariatkan berpelukan bagi orang yang tiba daripada safar (perjalanan) semata-mata. Menurut beliau, hadith Anas RA yang seakan melarang berpelukan di atas adalah bagi orang yang bukan tiba daripada safar, manakala hadith ’A’isyah RA pula yang membenarkannya adalah bagi orang yang datang daripada safar.

Secara realiti, itulah adat budaya yang berjalan semenjak dahulu, dan tidak munasabah jika ada orang yang sentiasa berdakapan setiap masa tanpa sebab musabab tertentu. Berdakapan adalah satu tindakan tabii manusia di atas munasabah atau sebab-sebab tertentu. Menurut pendapat saya, tidak semestinya juga hukum hanya dikhususkan kepada orang yang tiba daripada safar sahaja, kerana di sana ada sebab yang lebih umum, iaitu ’tempoh lama tidak bertemu’. Justeru, tempoh lama tidak bertemu ini sebenarnya adalah sebab utama untuk berbuat demikian, manakala safar hanyalah satu sebab yang khusus. Ini dibuktikan dengan hadith al-Bukhari berikut di mana Nabi SAW memeluk al-Hasan RA;

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ الدَّوْسِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي طَائِفَةِ النَّهَارِ لَا يُكَلِّمُنِي وَلَا أُكَلِّمُهُ حَتَّى أَتَى سُوقَ بَنِي قَيْنُقَاعَ فَجَلَسَ بِفِنَاءِ بَيْتِ فَاطِمَةَ فَقَالَ : أَثَمَّ لُكَعُ أَثَمَّ لُكَعُ ؟ فَحَبَسَتْهُ شَيْئًا فَظَنَنْتُ أَنَّهَا تُلْبِسُهُ سِخَابًا أَوْ تُغَسِّلُهُ فَجَاءَ يَشْتَدُّ حَتَّى عَانَقَهُ وَقَبَّلَهُ وَقَالَ: اللَّهُمَّ أَحْبِبْهُ وَأَحِبَّ مَنْ يُحِبُّهُ.

Terjemahan: Daripada Abu Hurairah RA katanya: Nabi SAW keluar pada sebahagian hari panas, baginda tidak berbicara denganku dan akupun tidak berbicara dengannya sehinggalah sampai di pasar Bani Qainuqa’. (Sesudah itu beredar) lalu baginda duduk di laman rumah Fatimah sambil memanggil: Ada tak di sana si-kecil? Ada tak di sana si-kecil? (maksudnya al-Hasan RA). Maka Fatimah pun menahan al-Hasan seketika. Kata Abu Hurairah: Aku jangka barangkali beliau sedang memakaikannya kalung benang atau memandikannya. Kemudian al-Hasan datang dengan bergegas sehingga baginda memeluk dan mengucupnya, serta berdoa: Ya Allah, sayangilah dia, dan sayangilah orang yang menyayanginya. (Riwayat al-Bukhari, no. 1979)

Faedah: Bab Mengenai Berdakapan Dalam Sahih al-Bukhari

Imam al-Bukhari telah mengkodkan di dalam kitabnya al-Sahih dan al-Adab al-Mufrad bab tentang berpelukan ini. Judul bab yang terdapat dalam Sahih Al-Bukhari adalah seperti demikian (باب المعانقة وقول الرجل كيف أصبحت) maksudnya; ‘bab tentang berpelukan dan kata-kata seorang lelaki: bagaimana pagimu?’ (dalam kitab al-Isti’zan pada hadith no. 5795). Bagaimanapun, tidak dimuatkan sebarang hadith yang menyentuh tentang berpelukan. Menurut Ibn Hajar, berkemungkinan ianya adalah dua judul bab yang berasingan, iaitu (باب المعانقة) dan (باب قول الرجل كيف أصبحت). Bab berpelukan itu kosong kerana barangkali al-Bukhari tidak menemukan hadith sahih yang menepati syaratnya, lalu kedua-dua bab dijadikan satu kerana disangkakan sebagai satu bab oleh setengah penyalin kitab Sahih al-Bukhari.

Bolehjadi hadith yang tidak menepati syaratnya itu ialah hadith ‘A’isyah RA – di atas tadi - yang dikeluarkan oleh al-Tirmizi yang telah meriwayatkannya daripada gurunya, al-Bukhari sendiri. Menurut al-Muhallab, seperti yang dinukilkan oleh Ibn Battal al-Maliki, ialah hadith al-Hasan RA, yang juga di atas tadi. Namun menurut Ibn Hajar, hadith tersebut ialah hadith yang terdapat dalam (بَاب الْمُعَانَقَة) dalam kitab al-Adab al-Mufrad. Iaitu kisah Jabir bin ’Abdullah RA bermusafir selama sebulan ke Syam untuk bertemu dengan ’Abdullah bin Unais RA semata-mata bagi mengesahkan sebuah hadith Nabi SAW. Disebut dalam kisah berkenaan, Jabir dan ’Abdullah bin Unais bertemu dan saling berdakapan. Ianya adalah kisah yang sabit, juga diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Ya’la dalam Musnad mereka.

Riwayat-riwayat Lain

Antara riwayat-riwayat lain berhubung masalah ini seperti yang dinukilkan oleh Ibn Hajar (dengan sedikit tambahan penulis) ialah:

i. Hadith riwayat Ahmad (no. 21,500) dan Abu Dawud (no. 5214) daripada seorang lelaki dari qabilah ‘Anazah yang tidak disebut namanya, beliau bertanya kepada Abu Zar RA: Adakah Rasulullah SAW berjabat tangan dengan kalian apabila kalian bertemu dengannya? Jawab beliau: Tidaklah aku bertemu dengannya sekalipun melainkan baginda akan berjabat tangan denganku, dan pernah suatu hari baginda mengutus wakilnya kepadaku sedang aku tidak berada bersama keluargaku. Apabila aku kembali, dikhabarkan kepadaku bahawa baginda mengutus wakilnya kepadaku. Lantas akupun pergi bertemu baginda sedang baginda berada di atas katilnya, lalu baginda mendakapku, dan baginda adalah orang yang paling baik dan paling baik. (Para perawi hadith ini adalah thiqah, kecuali lelaki yang tidak disebut namanya itu).

ii. Hadith Anas RA riwayat al-Tabarani dalam al-Awsat: ”Mereka (para sahabat) apabila bertemu akan berjabat tangan, dan apabila tiba daripada safar akan berpelukan”.

iii. Hadith mursal mengenai Ja’far bin Abi Talib RA:

أَخْرَجَ سُفْيَان بْن عُيَيْنَةَ فِي جَامِعه عَنْ الْأَجْلَح عَنْ الشَّعْبِيّ " أَنَّ جَعْفَرًا لَمَّا قَدِمَ تَلَقَّاهُ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَبَّلَ جَعْفَرًا بَيْن عَيْنَيْهِ ". (قال العبد الضعيف: وأَخْرَجَه أيضاً أبو داود رقم: 5220 وعنه ابن الأعرابي في القبل والمعانقة والمصافحة رقم: 38، وفيه: فالتزمه، وقبل ما بين عينيه). وَأَخْرَجَ الْبَغْوِيُّ فِي مُعْجَم الصَّحَابَة مِنْ حَدِيث عَائِشَة وَسَنَده مَوْصُول لَكِنْ فِي سَنَده مُحَمَّد بْن عَبْد اللَّه بْن عُبَيْد بْن عُمَيْر وَهُوَ ضَعِيف.

Maksudnya secara ringkas: Ketika Ja’far tiba (di Madinah), Rasulullah SAW telah menyambutnya, lalu baginda mendakapnya, serta mengucup di antara dua kening matanya.

iv. Hadith riwayat Qasim bin Asbagh dengan sanad da’if, daripada Abu al-Haitham bin al-Taihan RA, bahawa Nabi SAW telah menemuinya, lalu mendakap dan mengucupnya.

Secara teori, kesemua riwayat-riwayat ini walaupun da’if ianya saling menguatkan dan mampu menyabitkan asal masalah, iaitu perbuatan berdakap atau berpelukan. Ini kerana taraf da’if riwayat-riwayat berkenaan tidak berat dan dianggap ringan yang membolehkannya saling mengukuhkan antara satu sama lain.

Jika berjabat tangan sabit dan berpelukan juga sabit, maka tidak ada masalah jika keduanya dilakukan dalam masa yang sama dengan mengambil kira situasi, budaya dan munasabah tertentu. Maka tidak ada bidaahnya kecuali dalam bentuk yang bersifat teknikal sahaja, dan ianya adalah harus. Sebagaimana Sayidina ’Umar RA menyaksikan para sahabat RA berjama’ah di bawah satu imam dalam solat tarawih. Keharusan masalah ini juga boleh difahami berdasarkan fitrah manusia dan adat-budaya suatu bangsa, yang dapat dihubungkan dengan keanjalan syariat Islam itu sendiri dalam mendepani pelbagai isu. Tambahan pula tidak ada objektif berbahaya di sebaliknya bagi mengharamkan perbuatan tersebut, sebagaimana dalam ‘masalah berdiri menyambut seseorang’ kerana objektif asal larangannya adalah bagi mengelakkan sifat takabbur yang sangat berbahaya dan ditegah oleh Allah SWT. Begitu juga dalam ’masalah memakai pakaian di bawah paras buku lali’.

Wallahu a’lam.

Tuesday, January 26, 2010

Akhir Zaman dan Bahaya Zina, Penzina serta Anak Zina

Matan Hadith:

عَنْ ‏ ‏أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ ‏ ‏قَالَ ‏: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏: ‏إِنَّ ‏ ‏مِنْ ‏ ‏أَشْرَاطِ السَّاعَةِ ‏ ‏أَنْ يُرْفَعَ الْعِلْمُ وَيَثْبُتَ الْجَهْلُ وَيُشْرَبَ الْخَمْرُ وَيَظْهَرَ الزِّنَا . ‏ رواه البخاري ومسلم.

Terjemahan:

Daripada Anas bin Malik RA. katanya; Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya antara tanda-tanda kiamat itu ialah; diangkat ilmu (agama), tersebar kejahilan (terhadap agama), arak diminum (secara berleluasa), dan zahirnya zina (secara terang-terangan)”. (Riwayat al-Bukhari no. 78 dan Muslim no. 4824)

Huraian Hadith:

1. Antara tanda-tanda kiamat ialah ramai orang yang jahil terhadap agama, serta arak dan zina bermaharajalela. Dalam hadith lain, dengan isnad yang sahih, ditambah; amalan riba. Nabi SAW bersabda:

بين يدى الساعة يظهر الزنا والربا والخمر

“Di ambang kiamat nanti, akan zahir zina, riba dan juga arak”. Zina, arak dan riba adalah 3 unsur kejahatan yang berlaku kerana sifat jahil. Tidak semestinya bermaksud mereka jahil tentang hukum haramnya, kerana ramai yang tahu akan keharamannya namun masih tetap melakukannya. Sifat jahil tersebut dapat dimaksudkan sebagai jahil terhadap Allah SWT kerana jauhnya diri mereka daripada-Nya serta kerasnya hati mereka, hinggakan tanpa rasa takut melakukan apa yang dilarang oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang disuruh oleh-Nya.

2. Perbuatan zina adalah satu dosa besar yang wajib dijauhi. Bahkan wajib dijauhi faktor-faktor yang dapat mendorong kepadanya. Orang yang berzina menunjukkan tahap imannya yang begitu rendah sekali. Kualiti imannya dapat digoyah dengan sekali rangsangan nafsu sahaja disebabkan tiada usaha dan kesungguhan untuk memelihara dan menjaganya.

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال :( لا يزني الزاني حين يزني وهو مؤمن ولا يسرق السارق حين يسرق وهو مؤمن ولا يشرب الخمر حين يشربها وهو مؤمن ) رواه البخاري ومسلم

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan berzina seorang yang berzina ketika dia berzina padahal dia seorang mukmin, dan tidak akan mencuri ketika dia mencuri padahal dia seorang mukmin, dan tidak akan meminum arak ketika dia meminumnya padahal dia seorang mukmin.” (Riwayat al-Bukhari no. 2475, 5578, 6772, 6810, dan Muslim no. 57)

3. Zina adalah satu perbuatan yang sangat keji. Al-Quran menggambarkan zina itu dengan gambaran yang cukup buruk dan mampu memberi kesan yang amat negatif. Firman Allah SWT:

لَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (al-Isra’: 32)

4. Zina juga dapat menarik bala bencana dan malapetaka, sabda Nabi SAW: “Apabila zahir/nyata zina dan riba dalam sesebuah tempat, maka penduduk tempat itu telah menghalalkan untuk diri mereka azab dan siksa Allah”. (Riwayat al-Hakim, dan katanya; sahih isnadnya)

5. Anak Zina:

Daripada Maimunah RA berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :

لا تزال أمتي بخير ما لم يفش فيهم ولد الزنا فإذا فشا فيهم ولد الزنا فأوشك أن يعمهم الله بعذاب

“Umatku akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka. Apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir sahaja Allah ‘Azza wajalla akan menurunkan azab siksa kepada mereka seluruhnya.” (Riwayat Ahmad, kata al-Munziri - 3/265: isnadnya hasan)

Pada tahun 2008, dilaporkan ada lebih 250,000 sijil kelahiran tanpa nama bapa. Menurut sumber berita, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah mengeluarkan 257,411 sijil kelahiran yang didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa dari 2000 hingga Julai 2008. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata pendaftar tidak boleh mencatatkan nama bapa dalam sijil kelahiran bagi anak-anak tidak sah taraf iaitu anak-anak luar nikah, kecuali atas permintaan bersama ibu dan orang yang mengaku dirinya sebagai bapa, selaras dengan peruntukan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 atau Akta 299. (BH, 29/10/08).

Jika kita bahagikan, maka dalam setahun kira-kira 28,000 lebih kes berlaku, atau 78 kes dalam sehari! Ini adalah hasil perzinaan yang menyebabkan kehamilan. Bagaimana pula agaknya, jika dibayangkan dengan aktiviti zina yang tidak menyebabkan kehamilan? Berapa ramai agaknya jika kita andaikan, sekadar andaian sahaja, jika 1 kehamilan tersebut adalah nisbah bagi hasil daripada 10 perzinaan? Tentu jumlah yang terhasil adalah lebih besar, iaitu kira-kira 780 kes zina dalam sehari, atau lebih 280,000 kes zina dalam setahun, atau lebih 2.5 juta kes zina antara 2000-2008!!!

6. Maka, benarlah sabdaan Nabi SAW bahawa tanda hampirnya kiamat ialah banyaknya berlaku perzinaan. Itu adalah kes-kes zina yang asalnya dilakukan secara tersembunyi, namun di akhir zaman nanti perzinaan tidak lagi dilakukan secara tersembunyi tetapi secara terang-terangan. Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As RA, sabda Nabi SAW:

لا تقوم الساعة حتى يتسافدوا في الطريق تسافد الحمير . قلت : إن ذلك لكائن ؟ قال : نعم ليكونن.

“Tidak akan berlaku kiamat itu sehingga orang berzina di jalanan sebagaimana keldai. Aku bertanya: Sesungguhnya itu akan terjadi? Jawab baginda: Ya, nescaya akan terjadi”. (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan al-Tabarani, hadith sahih)

Jika ramainya penzina dan anak zina, maka munasabahlah dengan perkhabaran Nabi SAW, bahawa apabila kiamat dibangkitkan hanya ke atas orang-orang keji dan tidak mengenal Allah SWT.

7. Remaja dan Gejala Zina:

Gejala zina di kalangan remaja hari ini sebenarnya berada di dalam tahap yang sangat membimbangkan. Ada remaja yang masih dibangku sekolah lagi mengaku telah beberapa kali mengadakan hubungan seks bebas (berzina) dengan teman perempuan. Bagaimana agaknya dengan yang tidak mengaku? Ada kes mengandung luar nikah semuda usia 9 tahun dan lelaki yang bertanggungjawab hanyalah seorang budak lelaki berusia 12 tahun. Jangan terkejut hari ini kalau anda menemui sekolah yang 40% pelajarnya adalah anak zina!

Antara faktor-faktor penyebab kepada gejala ini ialah gaya hidup yang begitu jauh dengan gaya hidup sihat sebagai seorang muslim sejati. Kebanyakannya bermula dan berpunca daripada gaya hidup institusi keluarga itu sendiri. Begitu ramai remaja/pelajar yang terlibat dengan kegiatan sosial yang tidak bermoral, sama ada terlibat dengan lumba haram, pergaulan bebas, hiburan melampau, rokok, dadah, gam, ecstacy, ice, arak dan sebagainya. Situasi sosial dan hidup moden dalam masyarakat kita pada hari ini juga sebenarnya memarakkan lagi gejala zina, di mana berleluasanya budaya wanita yang mendedah aurat, berpakaian menjolok mata, penyebaran majalah-majalah yang mengghairahkan, video-video lucah, filem-filem berbentuk seksual, bahan-bahan seks yang penuh di dalam internet serta lain-lain media.

Gaya hidup moden sekarang banyak mendedahkan remaja kepada fenomena ini yang mendorong kepada hidup bebas, berpacaran dan pergaulan tanpa batas. Ini ditambah dengan faktor rangsangan nafsu syahwat, hasutan syaitan, dan dorongan budaya Barat yang buruk. Amalan hidup mereka ini dapat membawa kepada kerosakan dan kemusnahan diri mereka, baik di dunia mahupun di akhirat. Justeru, remaja perlu disedarkan tentang akibat buruk dan bahaya yang akan berlaku hasil tingkahlaku dan perbuatan mereka ini.

8. Antara Cara Mengatasi:

Selain kita wajib menjauhi aspek-aspek negatif yang disebutkan, kita perlu kembali kepada cara asas yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Iaitu;

i. Menundukkan pandangan, baik lelaki mahupun perempuan. Dalam erti kata khusus, menjaga pandangan mata daripada bercampur dengan unsur-unsur seksual. Daripada Jarir bin ’Abdillah al-Bajali RA, berkata: "Aku bertanya kepada Nabi SAW tentang memandang perempuan dengan pandangan secara tiba-tiba, maka baginda memerintahkanku untuk memalingkan pandanganku." Dalam riwayat lain beliau bersabda: "Tundukkan pandanganmu." (Riwayat Muslim)

Daripada ’Abdullah bin Buraidah, dari ayahnya berkata, Rasulullah SAW bersabda kepada ’Ali bin Abi Talib RA: "Hai 'Ali, janganlah engkau ikuti satu pandangan dengan pandangan lainnya. Sesungguhnya bagimu hanya pandangan yang pertama dan tidak bagi pandangan yang selanjutnya." (Riwayat Abu Dawud)

ii. Menjauhi pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Ini kerana pergaulan itu perlu bersandar kepada batasan-batasan syarak. Daripada Ibnu ’Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang lelaki yang berdua-duaan dengan seorang wanita, kecuali yang ketiganya adalah syaitan.” (Riwayat al-Tirmizi)

iii. Menekankan tanggungjawab kaum lelaki dalam membimbing kaum wanita agar mengikuti kehendak syarak, seperti tanggungjawab bapa terhadap anak perempuan, dan tanggungjawab suami terhadap isteri dan sebagainya. Daripada Usamah bin Zaid RA, Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah aku tinggalkan fitnah di tengah-tengah manusia sepeninggalanku yang lebih berbahaya daripada fitnah wanita.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Semoga kita dan zuriat kita dipelihara dan dijauhkan oleh Allah SWT daripada perbuatan keji dan maksiat ini. Wahai para pelajarku, janganlah kalian mendekati zina walaupun unsur-unsurnya yang kecil sekalipun, dan jauhilah perbuatan dosa dan maksiat.


Rujukan lain:

1. Jenayah Zina

2. Hinanya Zina

3. Zina dan Anak Zina

Sunday, January 24, 2010

Bukan Makam Nabi صلى الله عليه وسلم?


Foto berikut banyak tersebar di internet yang dianggap sebagai kubur Rasulullah SAW. Malah ditulis dibawahnya yang bermaksud: "Ini adalah apa yang tidak dapat disaksikan kecuali 0.1% dari kalangan orang Islam sekitar seluruh dunia. Ini adalah kubur semulia-mulia makhluk Muhammad SAW dari bahagian dalam".

Namun, benarkah demikian? Penyelia am laman forum al-Hiwar al-Islami menyatakan bahawa ia sebenarnya adalah kubur Syeikh Jalaluddin al-Rumi di Turki yang meninggal dunia pada tahun 672H (rujuk sini). Beliau adalah seorang ahli sufi yang masyhur dengan dewan besarnya al-Mathnawi yang terdiri daripada 25,649 bait syair. Foto-foto di bawah adalah sudut pandangan lain bagi kubur tersebut supaya dapat dijadikan perbandingan.



Dikatakan, bentuk bangunan yang berada di sisi makam dalam foto di atas sekali memiliki tiang yang sama dengan tiang-tiang masjid yang lama, sedangkan semenjak abad ke-7 H lagi, iaitu pada masa Khalifah Walid bin 'Abdul Malik, Khalifah Bani Umayyah di sekitar kubur Nabi SAW telah disekat dengan dinding besi dan tidak ada jalan untuk menuju masuk ke dalam. Dalam foto di atas, tidak ada pagar besi tersebut. Juga dikatakan, kuburan Nabi SAW adalah rata dengan tanah, sementara binaan kubur yang terlihat di dalam gambar lebih tinggi dari lantai sekitarnya.


Jika benar kenyataan ini, maka tidak sewajarnya gambar kubur tersebut disebarkan lagi dengan dakwaan bahawa ianya sebagai makam Rasulullah SAW. Malah kenyataan tersebut ada benarnya kerana gambar berkenaan tersebar tanpa diketahui dari mana sumber asalnya. Siapakah yang mengambilnya? Bila ia diambil dan apakah cerita di sebaliknya? Siapakah yang mula-mula mendakwa demikian? Bagaimana ia tersebar? dan lain-lain persoalan. Justeru, persoalan-persoalan yang tidak terjawab ini menjadikan kenyataan di atas tadi ada logik dan signifikannya. Maka tidak harus lagi kita menyebarkannya sebagai makam Rasulullah SAW.

Wallahu a'lam.

Thursday, January 21, 2010

Nenda Tercinta رحمها الله تعالى


Pada petang Selasa lepas telah berpulang kembali ke rahmatullah nenda saya sebelah ibu, Hjh. Darwiyah @ Asnah bin Hj. Dahlan dalam usia 86 tahun setelah lama terlantar di atas katil kerana serangan stroke. Beliau adalah isteri kepada Tuan Kiyai Hj. Husain bin Hj. Abbas (m. 1981) yang mana biografinya dapat dirujuk di sini.

Jenazah beliau telah disembahyangkan oleh adiknya, Tuan Kiyai Hj. Harawi (biografinya dapat dirujuk di sini - dengan pembetulan beliau masih hidup) dan dikebumikan semalam di Perkuburan Simpang Lima, Klang bersebelahan dengan tempat persemadian Tuan Kiyai Hj. Husain, suaminya yang telah lama pergi dahulu. Meskipun perkuburan itu sudah penuh dan sudah lama ditutup, namun dengan izin Allah SWT dipermudahkan urusan pengebumian tersebut atas wasiat beliau sendiri sebelum meninggal dunia dan berbetulan ada ruang kosong di situ.

Semalam hujan turun sebelah pagi, kemudian ia mereda dan hanya turun renyai-renyai halus seumpama menangisi pemergian seorang yang banyak menghabiskan hidupnya dengan berzikir kepada Allah SWT dan berkhidmat kepada masyarakat kaum ibu. Segalanya berjalan dengan lancar tanpa gangguan sehingga tamat upacara pengebumian berkenaan. Alhamdulillah... semoga rohnya dilimpahi rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama orang-orang soleh.

اللهم اغفر لها وارحمها وعافها واعف عنها وأكرم نزولها وأسكنها فسيح جناتك يا ربّ

Friday, January 15, 2010

Umat Islam Terakhir Mengenal Allah

Matan Hadith

‏ ‏عَنْ ‏ ‏أَنَسٍ ‏ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏قَالَ: ‏ ‏لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى لَا يُقَالَ فِي الْأَرْضِ اللَّهُ اللَّهُ

Hadith riwayat Muslim (211-212), al-Tirmizi (2133) dan Ahmad.

Terjemahan

Daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan berlaku kiamat itu sehinggalah tidak disebut lagi di atas muka bumi: Allah, Allah".

Huraian

Dalam riwayat Muslim yang lain disebut: "Tidak akan berlaku kiamat itu ke atas seorang pun yang menyebut : Allah, Allah". Maksudnya, mentauhid dan mengesakan-Nya.

Umat Islam yang terakhir sebelum berlakunya kiamat akan dimatikan oleh Allah SWT terlebih dahulu dan setelah itu baru dibangkitkan kiamat ke atas orang-orang kafir sahaja. Bagaimanapun, umat Islam terakhir itu pun bukannya golongan mukmin yang kuat berpegang dengan agama, tetapi hanya mereka yang mengenal Allah sahaja sedang amalan mereka jauh daripada syariat Islam. Mereka tidak tahu solat, puasa, zakat mahupun haji kerana Baitullah ketika itu sudah dibinasakan.

Umat Islam yang mengenal Allah tersebut bukanlah seperti orang Kristian atau Yahudi yang mengenal Allah. Ini kerana walaupun mereka menyebut Allah (nama dalam bahasa Arab) sekalipun, namun mereka tidak mentauhid dan mengesakan-Nya. Justeru sebutan mereka terhadap kalimah Allah itu tidak akan memberi apa-apa manfaat/syafaat buat mereka di akhirat kelak. Adapun orang Islam yang menyebutnya, ia akan dapat memberi manfaat/syafaat buat mereka di akhirat nanti, iaitu mereka akhirnya akan dimasukkan juga ke dalam syurga setelah sekian lama di azab dalam api neraka atas perbuatan keji, dosa dan maksiat yang mereka lakukan. Mereka ini dikenali dengan gelaran 'jahannami'.

Wallahu a'lam. Ya Allah, selamatkanlah kami dan zuriat kami daripada azab api neraka. Amin...

Wednesday, January 13, 2010

SMS Berantai Kalimah ‘الله’


Kemusykilan:

Dalam hangat isu kalimah ‘Allah’ ini, ada seorang sahabat bertanyakan tentang SMS berantai yang diterimanya, iaitu satu imej kalimah Allah, dan ucapan yang berbunyi: “Sebarkn kalimh Allah ini kpd 10 insn yg bgelar islam. InsyaAllah, dlm msa 2 hari kmu akn mnerima khabar baik dn rezki kmu stiasa msuk, tp jka kmu tdk mghiraukan msj ni, kmu akn mndpt musibah besar slama 5 thn!.. Demi Allah, ini amanah”. Bagaimana patut dihadapi?

Jawapan:

Masalah surat berantai atau sms berantai ini telah dijelaskan oleh ramai ilmuwan. (Boleh rujuk antara lain; Ustaz Zaharuddin dan juga Soal-jawab JAIS). Namun oleh kerana beberapa faktor penjelasan orang-orang alim ini tidak sampai ke telinga atau hati orang-orang jahil. Saya meneliti ayat-ayat sms tersebut dengan rasa pelik dan geram. Pelik sebab kalimah Allah itu ditaip dengan simbol, huruf dan tanda baca yang hanya terdapat pada papan kekunci handphone sahaja. Kemudian teks tersebut pula ditaip dengan kependekan-kependekan yang tidak standard yang hanya diguna oleh ‘kaki’ sms, facebook, dll. Bagi saya tak mungkin seorang tok guru atau ustaz al-fadhil yang berbuat demikian. Jika ia sesuatu yang serius patutnya ditulis dengan ayat-ayat yang sempurna.

Saya pelik sebab kenapa hanya terhad kepada 10 orang sahaja? Kenapa tidak 100 orang? Atau 1000 orang? Pelik sebab terdapat jaminan 2 hari. Lepas itu terdapat ancaman yang melampau pula iaitu sengsara selama 5 tahun! Ditambah lagi dengan sumpah dengan nama Allah! Banyak kritikan yang boleh kita beri sebenarnya jika kita menganalisis. Namun, kasihannya yang menjadi mangsa ialah orang awam. Pasti ada di kalangan mereka yang percaya dan terus melaksana seperti apa yang disuruh tanpa usul periksa, atau tanpa bertanya kepada mereka yang arif. Maklumlah balasannya adalah dahsyat sekali.

Saya geram sebab masih ada orang yang berminda tahap demikian. Juga rasa geram sebab tidak tahu dari mana sumber asalnya. Kerana di sinilah kepentingan sanad dalam penyampaian sesuatu khabar berita. Saya berpendapat, mereka ini sama ada budak-budak yang rasa gembira smsnya disebarkan orang, atau orang jahil yang merasakan dia telah berbuat satu pahala besar, atau ingin mengaut sedikit keuntungan dunia. Sumpah yang disertakan di akhir teks tersebut adalah satu perkara yang berat. Bagaimana jika sesudah 2 hari masih tiada khabar baik dan rezeki tetap seperti biasa? Atau sesudah seminggu, atau sebulan... masih tiada apa-apa? Bagaimana jika orang yang tidak mengendahkan sms tersebut tidak ditimpa apa-apa musibah sedikit pun? Bukankah ini suatu pendustaan dan pembohongan terhadap Allah SWT. Maka berbuat seperti demikian adalah suatu dosa, dan perlu bertaubat kepada Allah SWT. Secara sedar ataupun tidak ia dapat merosakkan akidah seseorang itu.

Justeru, saya mengharapkan mereka yang terlibat agar insaf, kembali mengaji dan berguru secara sah. Manakala mereka yang menerima sms tersebut atau mana-mana sms yang seumpama demikian tidak menghiraukannya dan menasihati kawan-kawan yang terpengaruh jika terlihat.

Wallahu a’lam.