Pages

Friday, January 31, 2020

Berhati-hati Memadankan Hadis Dengan Realiti Semasa




Antara perkara pasti yang menjadi keyakinan buat kita ialah umat manusia kini berada di bahagian akhir umur dunia. Namun, tiada siapa yang mengetahui dengan tepat bilakah penghujung akhirnya. Bagaimanapun, Nabi SAW tlh mengkhabarkan kpd kita bahawa ia akan didahului dengan pelbagai tanda, sama ada besar atau kecil sebelum ketibaannya. Antaranya ialah serangan satu kaum yg bermata sepet, berwajah kemerahan, berhidung pesek dan wajah mereka itu seakan-akan perisai yang bundar.

Ada yg mentafsirkan bhw mrk ialah bangsa China, melihat kpd kuasa besar ekonomi dunia pada masa sekarang ini dipelopori oleh mrk. Boleh jadi juga melihat kpd peranan mrk memonopoli ekonomi atau politik dlm sesebuah negara yang perbagai bangsa. Justeru, ada yg menyangka bangsa China adalah kaum yg dimaksudkan oleh Nabi SAW dalam hadis-hadisnya. Benarkah begitu? Jika kita kumpulkan kesemua jalan-jalan riwayat hadis berkaitan dgn sifat-sifat dan tindakan kaum tersebut, maka kita akan dapati ianya agak berbentuk spesifik dan klasik berbanding kehidupan moden sekarang ini.  

[i] Dalam riwayat Abu Hurairah RA menyebut mrk itu adalah bangsa at-Turk:
عن أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تُقَاتِلُوا التُّرْكَ، صِغَارَ الأَعْيُنِ، حُمْرَ الوُجُوهِ، ذُلْفَ الأُنُوفِ، كَأَنَّ وُجُوهَهُمُ المَجَانُّ المُطْرَقَةُ، وَلاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تُقَاتِلُوا قَوْمًا نِعَالُهُمُ الشَّعَرُ." [أخرجه البخاري ومسلم في صحيحيهما]
“Kiamat tidak akan terjadi sehingga kamu sekalian memerangi bangsa at-Turk, bermata kecil (sepet), berwajah kemerahan, berhidung pesek, seakan-akan wajah mereka itu perisai yang bundar. Dan kiamat tidak akan terjadi sehingga kamu sekalian memerangi suatu kaum yang sandal mrk berbulu”. (HR al-Bukhari dan Muslim dalam Sahih mereka)

[ii] Dalam riwayat Abu Sa‘id al-Khudri RA terdapat tambahan ttg sifat-sifat mereka iaitu:
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وعلى آله وَسَلَّمَ: "لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تُقَاتِلُوا قَوْمًا صِغَارَ الْأَعْيُنِ، عِرَاضَ الْوُجُوهِ، كَأَنَّ أَعْيُنَهُمْ حَدَقُ الْجَرَادِ، كَأَنَّ وُجُوهَهُمْ الْمَجَانُّ الْمُطْرَقَةُ، يَنْتَعِلُونَ الشَّعَرَ، وَيَتَّخِذُونَ الدَّرَقَ، حَتَّى يَرْبُطُوا خُيُولَهُمْ بِالنَّخْلِ". [أخرجه أحمد (رقم 11279) ، وابن ماجه (رقم 4099) ، وابن حبان (رقم 6747)، حديث حسن]
“… seakan-akan mata mereka itu mata belalang, … mereka memakai sandal berbulu, membawa perisai kulit, sehingga mrk mengikat kuda-kuda mereka di pohon kurma”. (HR Ahmad, Ibn Majah dan Ibn Hibban)

[iii] Dalam riwayat Buraidah RA trdapat perincian brbunyi:
عن بريدة قال: كنت جالسا عند النبي صلى الله عليه وسلم، فسمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول: «إن أمتي يسوقها قوم عراض الوجوه، صغار الأعين كأن وجوههم الحجف، ثلاث مرار حتى يلحقوهم بجزيرة العرب، أما السائقة الأولى فينجو من هرب منهم. وأما الثانية فيهلك بعض، وينجو بعض. وأما الثالثة فيصطلمون كلهم من بقي منهم» . قالوا: يا نبي الله، من هم؟ قال: «هم الترك» . قال: «أما والذي نفسي بيده ليربطن خيولهم إلى سواري مساجد المسلمين» [أخرجه أحمد (رقم 23001) والبزار والحاكم (رقم 8463) وقال: صحيح الإسناد. وأبو داود مختصرًا (رقم 4305). وقال الهيثمي (7/311): رواه أبو داود باختصار رواه أحمد والبزار باختصار ورجاله رجال الصحيح]
“Sesungguhnya umatku akan diasak oleh suatu kaum yang bundar wajah mereka, kecil/sepet mata mereka, seakan-akan wajah mrk itu perisai kulit – baginda ulangi sebanyak 3 kali – sehingga mrk mengikuti mereka di semenanjung Arab. Adapun kumpulan pertama, maka terselamatlah orang yang lari daripada mrk. Adapun kumpulan kedua, maka sebahagiannya binasa dan sebahagian lagi terselamat. Adapun kumpulan ketiga, maka kesemua mrk binasa sesiapapun yang masih tinggal drp mrk. Sahabat bertanya: Ya Rasulallah, siapakah mrk itu? Jawab baginda: Bangsa at-Turk. Demi jiwaku dlm kekuasaanNya, nescaya mrk akan mengikat kuda-kuda mrk itu di tiang-tiang masjid kaum muslimin”. (HR Ahmad, al-Bazzar, al-Hakim dan Abu Dawud secara ringkas)

Bangsa at-Turk terdiri drp pelbagai suku kaum. al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (6/104) menyebut, ahli sejarah berbeza pendapat mengenai asal bangsa at-Turk;
  •       i.         Kata al-Khattabi: Mrk adalah Bani Qantura’, seorang hamba perempuan Nabi Ibrahim AS.
  •      ii.         Kata Abu ‘Amru: Mrk drp anak-anak Yafith bin Nuh AS.  
  •    iii.      Kata Wahb bin Munabbih: Mrk anak-anak bapa saudara Ya’juj dan Ma’juj, di mana ketika Zul Qarnain membina benteng, sebahagian Ya’juj dan Ma’juj tidak ada di situ, lalu mrk ditinggalkan dan tidak masuk bersama-sama kaum mrk, lantas mrk dinamakan at-Turk.
  •    iv.         Dikatakan mrk adalah drp keturunan Tubba‘.
  •      v.         Dikatakan mrk drp anak Ifridun bin Sam bin Nuh AS.


[iv] Dalam riwayat Abu Bakrah RA, disebut mrk itu sbg Bani Qantura’:
عن أبى بكرة أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ: « يَنْزِلُ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِى بِغَائِطٍ يُسَمُّونَهُ الْبَصْرَةَ عِنْدَ نَهْرٍ يُقَالُ لَهُ دِجْلَةُ يَكُونُ عَلَيْهِ جِسْرٌ يَكْثُرُ أَهْلُهَا وَتَكُونُ مِنْ أَمْصَارِ الْمُهَاجِرِينَ ». « وَتَكُونُ مِنْ أَمْصَارِ الْمُسْلِمِينَ فَإِذَا كَانَ فِى آخِرِ الزَّمَانِ جَاءَ بَنُو قَنْطُورَاءَ عِرَاضُ الْوُجُوهِ صِغَارُ الأَعْيُنِ حَتَّى يَنْزِلُوا عَلَى شَطِّ النَّهْرِ فَيَتَفَرَّقُ أَهْلُهَا ثَلاَثَ فِرَقٍ فِرْقَةٌ يَأْخُذُونَ أَذْنَابَ الْبَقَرِ وَالْبَرِّيَّةِ وَهَلَكُوا وَفِرْقَةٌ يَأْخُذُونَ لأَنْفُسِهِمْ وَكَفَرُوا وَفِرْقَةٌ يَجْعَلُونَ ذَرَارِيَّهُمْ خَلْفَ ظُهُورِهِمْ وَيُقَاتِلُونَهُمْ وَهُمُ الشُّهَدَاءُ ». [أخرجه أحمد (رقم 20469) وأبو داود (رقم 4306) والبزار (رقم 3667) وابن حبان في صحيحه (رقم 6748)] 
“Sekumpulan umatku akan turun di suatu tempat yang mrk beri nama Basrah, di tepi sebuah sungai yang dipanggil Dajlah, di atasnya ada satu jambatan, para penduduknya bertambah ramai dan akan menjadi satu wilayah kaum muhajirin atau kaum muslimin (iaitu Baghdad). Apabila di akhir zaman, akan datanglah Bani Qantura’, yang bundar wajah mereka, kecil mata mrk sehingga mrk sampai di tebing sungai itu. Maka, para penduduknya akan terbahagi kpd tiga kumpulan. Satu kumpulan, mengambil ekor lembu dan tanah lapang (ertinya sibuk berladang atau lari drp perang dgn membawa ternakan mrk), lalu mrk binasa. Satu kumpulan lagi, mengambil peluang demi kepentingan diri mrk, lalu mrk kufur. Satu kumpulan lagi, menjadikan zuriat mrk di belakang mrk, lalu memerangi mereka, dan merekalah para syuhada’”. (HR Ahmad, Abu Dawud, al-Bazzar dan Ibn Hibban dlm Sahihnya)

[v] Dalam riwayat lain Abu Hurairah RA, disebut mrk itu bangsa Khuz dan Karman:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: "لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تُقَاتِلُوا خُوزًا، وَكَرْمَانَ مِنَ الأَعَاجِمِ حُمْرَ الوُجُوهِ، فُطْسَ الأُنُوفِ، صِغَارَ الأَعْيُنِ وُجُوهُهُمُ المَجَانُّ المُطْرَقَةُ، نِعَالُهُمُ الشَّعَرُ". [أخرجه البخارى (رقم 3395) وأحمد (رقم 8223) وابن حبان (رقم 6743) والحاكم (رقم 8470) وقال: صحيح على شرط الشيخين]
“Kiamat tidak akan terjadi sehingga kamu sekalian memerangi bangsa Khuz dan Karman drp bangsa Ajam, berwajah kemerahan, berhidung pesek, bermata kecil (sepet), seakan-akan wajah mereka itu perisai yang bundar, sandal mrk pula berbulu”. (HR al-Bukhari, Ahmad, Ibn Hibban dan al-Hakim)

Menurut Imam al-Kirmani, ‘Khuz’ meliputi Ahwaz dan Tustar, manakala ‘Karman’ trletak antara Khurasan dan Lautan Hindi, antara ‘Iraq Ajam dan Sijistan. Disebut dlm al-Qamus, ‘Khuz’ ialah satu bangsa manusia dan juga satu nama bagi seluruh wilayah Khuzastan (Kazakhstan?), manakala ‘Karman/Kirman’ pula ialah sebuah iklim di antara Parsi dan Sijistan.

Kata Imam al-Tibi (w. 743H) dlm al-Kasyif ‘an Haqa’iq as-Sunan: “Kemungkinan maksudnya ialah dua golongan daripada bangsa at-Turk, di mana asal keturunan salah satunya drp Khuz dan asal keturunan yg satu lagi pula drp Karman, lalu Rasul SAW menamakan mrk dgn namanya, walaupun hal demikian tidak masyhur di sisi kami, sptmn baginda menisbahkan mrk kpd Qantura’, iaitu seorg hamba perempuan Nabi Ibrahim AS…”, “Kemungkinan maksud yg dijanjikan dalam hadis itu ialah apa yang tlh berlaku di zaman ini, antara kaum muslimin dan bangsa at-Turk itu”.

Kata Mulla ‘Ali al-Qari (w. 1014H) dlm Mirqat al-Mafatih: “Menurut seorg pensyarah hadis, maksudnya ialah dua golongan daripada bangsa at-Turk, baginda menamakan mrk dgn nama bapa-bapa mrk. Dan kita tidak dapat mengenakan tafsiran hadis ini kpd para penduduk Khuzastan dan Karman (pd masa sekarang) krn tidak didapati pd mrk sepertimana sifat yang disebutkan dalam hadis tersebut. Bahkan, ia ada didapati pada bangsa at-Turk…”.

Tentera Tatar

Hadis-hadis di atas sesuai utk menggambarkan sifat tentera Tatar yang pernah menghancurkan kota Baghdad pd tahun 656H sehingga mereka tlh mengikat kuda-kuda mereka di pokok-pokok kurma di Iraq pada masa itu, sebagaimana disebutkan dalam hadis. al-‘Allamah as-Sayyid Muhammad bin Rasul al-Barzanji di dalam kitabnya al-Isya‘ah li Asyrat as-Sa‘ah (1997: 85) mengatakan, at-Turk ialah bangsa Tatar. Beliau memasukkan hadis-hadis ini di dalam bab awal kitabnya mengenai tanda-tanda Kiamat yg telah pun zahir dan berakhir. Kata Mulla ‘Ali al-Qari dlm Mirqat al-Mafatih: “Pendpt yg paling hampir ialah ianya isyarat kpd serangan Genghis Khan dan kerosakan yg dilakukannya, khususnya di Baghdad…”.  

Kata Imam an-Nawawi (w. 676H) dalam Syarah Sahih Muslim: “Semuanya ini adalah mukjizat bagi Rasulullah SAW kerana tlh didapati peperangan dengan bangsa at-Turk ini dengan kesemua sifat-sifat mrk yang tlh disebutkan oleh baginda SAW…”, “Mrk tlh didapati dengan kesemua sifat-sifat ini pada zaman kita kini. Kaum muslimin telah memerangi mrk beberapa kali dan juga sedang memerangi mrk sekarang ini”.   

Terdapat riwayat di atas yg menyatakan, termasuk ciri-ciri bangsa at-Turk itu ialah memakai sandal berbulu. Namun brdasarkan lafaz hadis al-Bukhari, al-Hafiz Ibn Hajar berpendapat bahawa bangsa yang memakai sandal berbulu itu adalah bangsa lain, selain at-Turk. al-Isma‘ili meriwayatkan drp jalan riwayat Muhammad bin ‘Abbad katanya: “Disampaikan kpdku bahawa pengikut-pengikut Babak, sandal mrk adalah berbulu”. Babak al-Khurrami adalah drp satu kumpulan kaum zindik yang menghalalkan perkara-pekara haram. Mrk pernah mempunyai pengaruh kuat semasa pemerintahan al-Ma’mun sehingga mrk berjaya menawan banyak negeri Ajam spt Tabaristan dan Ray. Babak dibunuh semasa pemerintahan al-Mu‘tasim. Mula kemunculannya adalah pada tahun 201H atau sebelumnya, sehingga al-Mu‘tasim berjaya membunuhnya pada tahun 222H. Mengenai peperangan dgn bangsa yang memakai sandal berbulu ini, Imam as-Suyuti (w. 911H) di dalam al-Khasa’is al-Kubra menukilkan drpd Imam al-Baihaqi katanya: “Ia telah berlaku, di mana satu golongan Khawarij pernah mara di pinggir kota Ray dan sandal mrk itu berbulu sehinggalah mrk semua terbunuh.”   

Bagaimanapun, Imam al-‘Aini dlm ‘Umdat al-Qari menyatakan, tidak semestinya mrk itu drpd bangsa lain krn harus mrk itu drp bangsa at-Turk juga, krn bangsa at-Turk ini terdiri drp banyak suku.       
 
Muhammad Waliyullah an-Nadwi di dalam bukunya Nubu’at al-Rasul SAW (1990: 69-71) menjelaskan bahawa hadis-hadis ini termasuk 160 buah hadis yang sudahpun terjadi dan berlalu daripada tanda-tanda hari Kiamat kecil. Menurut beliau, umat Islam pernah memerangi bangsa Turk di awal pemerintahan Saidina ‘Umar bin al-Khattab RA, iaitu pd tahun 22H di bawah pimpinan ‘Abdur Rahman bin Rabi‘ah RA. Seterusnya, memerangi bangsa Karman pula pd tahun 23H sehingga mrk berjaya membukanya di tangan Mujasyi‘ bin Mas‘ud RA. Buku Syeikh Muhammad Waliyullah an-Nadwi merupakan hasil kajian peringkat master yg tlh diiktiraf oleh ulama al-Azhar.

Jelasnya, ramai ulama berpandangan hadis-hadis ini adalah termasuk hadis-hadis yang telah pun berlaku dan berlalu drp tanda-tanda akhir zaman yg dikhabarkan oleh Nabi SAW. Justeru, berhati-hatilah drp memadankan sesuatu hadis dengan realiti semasa yg berlaku brdasarkan buah fikiran semata-mata, lantas boleh menyebabkan timbul prasangka buruk terhadap kaum tertentu dan tentunya boleh merugikan usaha dakwah Islam.  

Ini tidak menafikan situasi hadis lain berkaitan Dajjal yg disebut oleh Imam al-‘Aini dlm ‘Umdat al-Qari: “at-Tirmizi tlh meriwayatkan drp hadis Abu Bakr as-Siddiq RA bhw Dajjal akan keluar drp suatu tempat di Timur yg dipanggil Khurasan. Dia akan diikuti oleh beberapa kaum yang seakan-akan wajah mereka itu perisai yang bundar. Kata al-Tirmizi: Hasan gharib. Ini menunjukkan bhw keluarnya bangsa at-Turk ke atas kaum muslimin itu akan berulang. Demikianlah ia telah berlaku, sptmn yg kami sebutkan dan ia akan berlaku lagi ketika munculnya Dajjal”. 

Wallahu a‘lam.



Saturday, January 4, 2020

al-‘Alim al-Muhaddith al-Fadhil Ustaz Adlan Abdul Aziz رحمه الله تعالى



إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ...

Berita kehilangan Ustaz Adlan Abd. Aziz, 41, antara pakar hadis di Malaysia yang sangat tawaduk dan berhemah tinggi, secara tiba-tiba memang cukup mengejutkan semua orang. Beliau telah diserang sakit jantung dan disahkan kembali kerahmatullah pada jam 3.50 pagi, hari Khamis, 2hb. Januari 2020 di Hospital Kajang. Hari tersebut merupakan hari pertama pembukaan sekolah awal tahun baru yang sepatutnya beliau memulakan tugas sebagai guru di hari itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Segambut Jaya, Kuala Lumpur.

Ustaz Adlan merupakan seorang ustaz yang cukup progresif dalam memberikan khidmat terhadap ilmu. Selain bertugas sebagai guru, beliau juga aktif mengadakan kuliah pengajian di surau dan masjid di sekitar Lembah Klang, Kajang, Putrajaya, Seri Kembangan, Nilai dan lain-lain. Antara kitab yang diajarkan oleh beliau ialah seperti kitab Jami' al-Tirmidzi, Mukthasar al-Bukhari, Riyadhus Salihin dan lain-lain. Selain jemputan di beberapa program di sekolah dan juga pusat pengajian tinggi.

Di alam maya, beliau turut aktif bermula sebagai blogger di blog peribadi beliau: alitantawi.blogspot.com dan pemudaiman.blogspot.com. Beliau gemar menggunakan nama samaran: Ali Tantawi sempena tokoh pemikir terkenal yang diminatinya, Syeikh ‘Ali al-Tantawi. Di samping pernah muncul dalam program Tanyalah Ustaz di TV 9, beliau juga merupakan salah seorang penyampai ilmu di Radio IKIM untuk kuliah mingguan yang membahaskan hadis kitab Mukhtasar Riyadhus Solihin.  
Program terakhir yang bakal
dijadualkan oleh beliau.

Dalam lapangan kerja sukarela, beliau merupakan pengasas Tirmidhi Center (TC) dan merupakan timbalan pengerusi Ilmuwan Ahli Sunnah wal Jamaah Kebangsaan (ISLAMI). TC yang dibangunkannya menyediakan pengajian agama percuma yang terbuka kepada semua penuntut ilmu. Kata beliau: “Sebagaimana pesan salah seorang guru kita, Syeikh Dr. Mustofa an-Nadwi: ‘Jangan ambil bayaran daripada para penuntut ilmu yang datang belajar, tetapi mohonlah sumbangan daripada mereka yang berharta dan memiliki kemampuan’.”

Ustaz Adlan menerima pendidikan awal di SK Dato' Wan Mohd. Saman, Kedah, kemudian SMK Menengah Kebangsaan Agama Kedah. Seterusnya, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Al al-Bayt, Jordan sehingga meraih ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab. Di Jordan, beliau sempat menuntut daripada beberapa ulama secara talaqqi seperti:


  • 1.   Syeikh Syu‘aib al-Arna’out - Tafsir al-Qurtubi, Subul al-Salam, al-Kamil fi al-Adab (Bahasa Arab) dan Nuzhah al-Nazar (Mustalah al-Hadith),
  • 2.     Dr. Solah ‘Abd. Fattah al-Khalidi - Tafsir Ibn Kathir, Sahih Muslim.
  • 3.     Dr. ‘Abd. Qadir al-Sa'di - Qatru al-Nada (Nahu), Al-Iqna' (Fiqh).
  • 4.     Dr. ‘Abd. Sami' al-Anis - Risalat al-Mustarsyidin (Tasawwuf).
  • 5.     Dr. Muhammad Nuh al-Qudhat - al-Waraqat (Usul Fiqh).
  • 6.     Dr. ‘Abd. Hakim al-Sa'di - Usul Fiqh.
  • 7.     Dr. Syarif al-Khatib - Tahzib Madarij al-Salikin (Tasawwuf).
  • 8.     Dr. Bahjat al-Habasyinah - al-Nihayah fi al-Fitan oleh Ibn Kathir (Hadith).
  • 9.     Dr. Yasin al-Qarawilah - Qawa'id Fiqhiyyah (Kaedah Fiqh).
  • 10.  Dr. Qahtan al-Duri - Usul al-Din al-Islami (Aqidah), Safwat al-Ahkam (Hadith hukum).
  • 11.  Dr. Nimr al-Hasyasyinah - al-Mawahib al-Ladunniyyah (Sirah).
  • 12.  Dr. Hasib al-Samarrai' - Matn Abi Syuja' (Fiqh Syafii).
  • 13.  Dr. ‘Abd. Rahim Abu Zaqqah- Tafsir al-Samarqandi.
  • 14. Dr. Mahmud al-Syudaifat - Mukhtasar al-Bukhari, al-Ajwibah al-Fadhilah (Mustolah al-Hadith).

Setelah kembali ke Malaysia, beliau masih terus menuntut ilmu daripada para ilmuan untuk menambahkan ilmu dan kefahaman seperti Prof. Dr. Muhammad Abu al-Laith al-Khair Abadi UIAM (Sahih al-Bukhari), sarjana dan pensyarah hadis terkenal, Syeikh Muhammad ‘Awadh al-Manqusy, Syeikh Nizam Ya‘qubi, Syeikh Mustafa al-Nadwi (Misykat al-Masabih) dan lain-lain.

Sebagai pencinta Rasulullah SAW, minat beliau terhadap hadis cukup mendalam hingga beliau berjaya mengkhatamkan banyak kitab hadis dan menerima banyak sanad ijazah periwayatan hadis daripada para ilmuwan dalam dan luar negara. Beliau boleh dianggap sebagai seorang muqri' (pembaca) hadis yang paling handal dan fasih kepada para masyaikh di dalam sesi-sesi daurah hadis yang diadakan. Daurah khatam kitab Jami' at-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah dan Sunan an-Nasa’i di bawah pimpinan al-Muhaddith Syeikh Muhammad 'Awadh al-Manqusy di Masjid al-Azhar, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dengan anjuran bersama Institut Kajian Hadis (INHAD) masih lagi segar dalam ingatan al-faqir sehingga kini. Beliau juga sebenarnya baru sahaja menyelesaikan daurah terakhir beliau, iaitu pembacaan kitab Misykat al-Masabih sehingga khatam bersama al-Muhaddith Syeikh Mustafa al-Nadwi.  

Berbekalkan ilmu yang mantap, beliau memiliki kemampuan berhujah secara ilmiah yang cukup baik dan mempunyai sikap terbuka dalam mendengar hujah-hujah pihak lain, namun dibatasi dengan prinsip tegas. Jika sesuatu itu salah, beliau akan menyatakannya, tidak kira kepada kawan ataupun lawan. Dan jika betul pula, beliau akan mengakuinya, biarpun datang daripada pihak lawan. Perbualan terakhir al-faqir dengan beliau hanyalah melalui telefon, di mana beliau ingin bertanyakan pandangan al-faqir tentang hadis (جزى الله عنا محمداً ما هو أهله) yang sedang ‘viral’ dan berhasrat menjemput al-faqir untuk mengisi program berkaitan ilmu hadis di Tirmidhi Center.

Ustaz Adlan juga sempat menulis dan menghasilkan beberapa buah buku, iaitu:
  • 1.     20 Persoalan Asas Tentang Hadis
  • 2.     Zikir dan Doa Rasulullah s.a.w. Selepas Solat
  • 3.     Ramadhan & Rasulullah s.a.w.
  • 4.     Kamus PMR Bahasa Arab
  • 5.     10 Tonggak Remaja Hebat
  • 6.     40 Hadis Jawami‘ Kalim Imam Mulla ‘Ali al-Qari (terjemahan).


Solat jenazah beliau telah disempurnakan di Masjid Jamek Bandar Kajang selepas solat Zohor dan ramai tokoh yang hadir memberi penghormatan terakhir buat beliau seperti Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Dr. Zulkifli al-Bakri, sahabat karib beliau Ustaz Syed Shahridzan, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre, Dr. Ayman al-Akiti, Dr. Farid Ravi Abdullah, Dr. Zamihan Mat Zin, Ustaz Muhadir Hj Joll, Ustaz PU Salman, dan lain-lain. Jenazah beliau kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Sg. Kantan, Kajang, Selangor.
 
Ramai yang hadir untuk menunaikan solat jenazah beliau.

Takziah buat keluarga beliau, isteri dan anak-anak yang ditinggalkan. Pemergian beliau juga pastinya kehilangan besar buat masyarakat dan khususnya para pencinta ilmu hadis. Banyak jasa yang telah beliau sumbangkan untuk menghidupkan pengajian hadis dan menarik minat masyarakat bagi mempelajari hadis di Malaysia. Semoga roh al-marhum dirahmati oleh Allah SWT, diberi keampunan, ditinggikan darjatnya dan dihimpunkan bersama-sama para nabiyyin, siddiqin, syuhada’ dan para salihin. Amin…


Kredit:
-Catatan Ustaz Ismail Ahmed



Wednesday, February 6, 2019

4 MUSNID NUSANTARA KINI



Pendokumentasian sanad merupakan salah satu elemen penting bagi menjaga rekod pertalian keilmuan di antara guru dengan murid. Meskipun demikian, tidak ramai ilmuwan Nusantara pada masa kini yang dilihat memberikan tumpuan dan perhatian terhadap aspek berkenaan. Berdasarkan tinjauan awal, ditemukan empat orang di antara mereka yang telah menyusun, menerbitkan dan menyebarkan sanad keilmuan mereka kepada para penuntut ilmu. Dengan syarat ini, maka selayaknya mereka itu digelar sebagai al-musnid. Mereka ialah:    

1. Syeikh Nuruddin bin Marbu al-Banjari

Nama penuh beliau ialah Syeikh Muhammad Nuruddin bin Haji Marbu bin ‘Abdullah Tayyib al-Banjari al-Makki. Beliau berasal dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan Indonesia. Lahir di desa Harus, Amuntai pada 1 September 1960M. Beliau anak yang ketiga dari tujuh bersaudara. Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya sehingga  pada tahun 1974, seluruh keluarga beliau telah berhijrah ke Makkah. Beliau meneruskan pengajiannya di Madrasah Sawlatiyyah sehingga tahun 1982. Di samping mengikuti pengajian yang diadakan di Masjidil Haram dan juga di rumah para syeikh. Pada tahun 1983, beliau melanjutkan pengajiannya di Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang syariah. Kemudian meneruskan lagi pengajiannya di Ma'had 'Ali li al-Dirasat al-Islamiyyah di Zamalik sehingga memperolehi diploma am Dirasat 'Ulya pada tahun 1990. (al-Fanshuri 2007)

Antara guru-gurunya ialah Syeikh Isma‘il ‘Uthman Zayn al-Yamani, Syeikh Hasan al-Masysyat, Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, Syeikh Abdul Karim Banjar, Syeikh Suhaili al-Anfenani, al-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki, Syeikh Sa‘id al-Bakistani, Syeikh ‘Abdullah Sa‘id al-Lahji, Syeikh Zakariyya Bila, Syeikh Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi, al-Habib ‘Abdul Qadir al-Saggaf dan ramai lagi. (al-Fanshuri 2007)

Beliau pernah mengajar di Maahad Tarbiah Islamiah, Derang, Kedah mulai tahun 1998 sehingga tahun 2002. Di samping aktif sehingga kini mengadakan pengajian dan ceramah bulanan atau mingguan di masjid-masjid, sekolah-sekolah dan majlis-majlis sambutan agama di seluruh Malaysia. Beliau pernah menubuhkan pesantren beliau sendiri di Kalimantan, Indonesia. Pada tahun 2004, beliau menubuhkan pula Maahad az-Zein al-Makki al-‘Ali li al-Tafaqquh fi al-Din di Ciampiea, Bogor, Jawa Barat, Indonesia. (al-Fanshuri 2007)

Syeikh Nuruddin juga giat berkarya dan mentahqiq kitab yang jumlahnya lebih dari 50 buah dan kebanyakannya di dalam bahasa Arab. Antaranya: Adab al-Musafahah, Man Huwa al-Mahdi al-Muntazar, al-Durar al-Bahiyyah fi Idah al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, Asma’ al-Kutub al-Fiqhiyyah li Sadatina al-Syafi‘iyyah, al-‘Ibar bi Ba‘d Mu‘jizat Khayr al-Basyar SAW, Makanah al-‘Ilm wa al-‘Ulama’ wa Adab Talib al-‘Ilm, Tahdhib al-Adab al-Mufrad, Tahdhib Misykat al-Masabih dan sebagainya.

Beliau telah mendokumentasikan sanad keilmuan beliau di dalam karya-karya berikut:
1.                  al-Ahadith al-Musalsalah. Ia mengandungi 34 buah hadith musalsal.
2.                  al-Awa’il wa al-Awakhir wa al-Asanid.

2. Syeikh Mohd. Fuad bin Kamaluddin

Nama penuh beliau ialah Syeikh Dato’ Mohd. Fuad bin Kamaluddin bin Mahat al-Rembawi. Lahir di Rembau, Negeri Sembilan pada 16 September tahun 1974. Berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar Mesir cawangan Tanta. Namun, beliau juga telah menimba ilmu dari ramai guru di luar Universiti al-Azhar. Selain Mesir, beliau pernah mengunjungi Makkah, Madinah, Sudan, Syria, Lubnan, Palestin, Emiriah Arab Bersatu, Turki, Indonesia, Singapura dan lain-lain untuk tujuan mencari ilmu. (Mujahid 2007: 32)

Antara guru-guru beliau ialah Syeikh Dr. ‘Ali Jum‘ah, Syeikh ‘Abd al-Ghani bin Salih al-Ja‘fari, Syeikh Dr. Judah Abu al-Yazid al-Mahdi, Syeikh Abd al-Salam Abu al-Fadl, Dr. Ahmad ‘Umar Hasyim, Syeikh Dr. Mahmud Sa‘id Mamduh, Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Kattani, Dr. Sa‘ad Jawisy, Dr. Usamah al-Sayyid al-Azhari, Syeikh Sa‘ad Badran, Syeikh Dr. Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki, Dr. ‘Umar ‘Abdullah Kamil, Dr. ‘Isa bin ‘Abdullah al-Himyari, Dr. Ahmad bin Muhammad Nur Sayf, Dr. Muhammad Muti‘ al-Hafiz, al-Habib ‘Umar bin Hafiz, al-Habib ‘Ali al-Jufri dan lain-lain. (Mujahid 2007: 35-70)

Beliau merupakan penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan yang telah banyak membangunkan berbagai usaha kebajikan dan program pendidikan seperti rumah anak yatim, sekolah dan juga pusat-pusat pengajian. Beliau telah menghasilkan hampir 200 buah buku dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti sirah nabawiyyah, biografi tokoh, tasawwuf, tauhid, tafsir, hadith, fiqh dan sebagainya.

Beliau telah mendokumentasikan sanad keilmuan beliau di dalam karya-karya berikut:
1.      Al-Musalsalat al-‘Asyarah.
2.      Musalsal Orang-orang Mulia.
3.      Al-Bahjah al-Mardiyyah fi Musalsalat al-Rembawiyyah.
4.      Bulugh al-Amani al-Muntakhab min Musalsalat al-Maliki.
5.      Hadith-hadith Musalsal Berkaitan al-Qur’an al-Karim. Ia menghimpunkan 11 buah hadith musalsal berkaitan al-Quran.
6.      Al-Tali‘ al-Sa‘id.
7.      Kunuz al-Anwar al-Muntakhab min Asanid al-Akhyar.
8.      Al-Jawahir al-Ghawali min Asanid al-Imam al-Azhari. Ia menghimpunkan sanad sepuluh buah kitab hadis daripada Syeikh Salih al-Ja‘fari.
9.      Al-Yaqut al-Nafis min Asanid al-Muhaddith Sayyid Ahmad bin Idris.
10.  Fath al-Rahman bi Asanid Mufti Negeri Sembilan.
11.  Sanad al-Awrad al-Qusyasyiyyah.
12.  Al-Manhal al-Karim fi Asanid al-Qur’an al-‘Azim.
13.  al-Nafahat al-Aqdasiyyah fi Asanid al-‘Ulum al-Qur’aniyyah.
14.  al-Lumma‘ fi Asanid Qira’at al-Sab‘. Ia menghimpunkan sanad qiraat tujuh.

3. Ustaz Mohd. Zaidi Abdullah

Nama penuh beliau ialah Mohd. Zaidi bin Abdullah bin Ahmad al-Shah Alami. Lahir di Selangor pada tahun 1975. Seorang yang gigih menuntut ilmu sejak dari mudanya. Beliau telah menimba ilmu di Pondok Lubuk Tapah, Kelantan sejak dari tahun 1990 sehingga tahun 2008. Di samping itu, gigih bertalaqqi daripada alim ulama yang terkenal memiliki sanad keilmuan dan sehingga kini telah mengumpulkan sanad kira-kira 60 orang ulama Tanah Melayu. 

Antara guru-gurunya ialah: Tuan Guru Hj. ‘Abdullah bin ‘Abdul Rahman, Tuan Guru Hj. Hasyim bin Abu Bakar, Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki, Syeikh Wan Zakaria bin Ahmad Wan Besar, Tuan Guru Hj. Yahya Zikri, Tuan Guru Wan Izzuddin bin Wan Ibrahim, Syeikh Saleh bin ‘Uthman Jalaluddin, Tuan Guru Hj. Saleh bin Musa dan lain-lain. (al-Langkati t.t.: 287)

Antara guru beliau juga ialah Ustazah al-Muhaddithah Hajjah Hamudah binti al-Sheikh al-Mu’ammar Haji Ghazali bin Arshad al-Firaqiyyah. Seorang tokoh hadis wanita yang amat jarang kita temukan di Malaysia tokoh dari kalangan wanita dalam bidang hadis seperti beliau.   


Beliau telah mendokumentasikan sanad keilmuan beliau di dalam karya-karya berikut:
i.              Subul al-Sa‘adah bi Asanid al-Syaykh al-Muhaqqiq ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Kelantani, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman.
ii.            Al-Majalis al-Hadithiyyah: wa hiya Musalsalat wa Asanid al-Syaykh Wan ‘Izz al-Din bin Wan Ibrahim al-Fatani al-Qadahi, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Wan ‘Izzuddin bin Wan Ibrahim.  
iii.          Juz’ fi Masmu‘at al-Ustadh Taha al-Falaki, yang merupakan himpunan sanad-sanad al-Fadhil Ustaz Taha al-Falaki, Klang.
iv.          Talkhis al-Jami‘ al-Sahih al-Musnad al-Mukhtasar li al-Bukhari min Marwiyyat Syaykh ‘Abdullah Lubuk Tapah wa Syaykh Hamzah Bukit Tanah. Ia mengandungi 100 hadith pilihan daripada kitab Sahih al-Bukhari daripada riwayat Tuan Guru Hj. ‘Abdullah Lubuk Tapah dan Tuan Guru Hj. Hamzah Bukit Tanah.
v.            Asanid al-Kutub al-Masyhurah, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Hasyim Pasir Tumboh.
vi.          ‘Unwan al-Asanid, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Sulaiman Kg. Siram.
vii.        Arba‘un Hadithan min Musnad Imamina al-Syafi‘i melalui sanad Maulana Lambak bin Ibrahim Kg. Tok Jiring.
viii.      Himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Yahya Zikri Telok Intan.

4. Syeikh Husni Ginting al-Langkati

Nama penuh beliau ialah Syeikh Muhammad Husni Ginting bin Muhammad Hayat Ginting bin Muhammad Ilyas Ginting bin Muhammad Salih Ginting al-Langkati. Beliau merupakan seorang alim muda dari Medan, Sumatera Utara, Indonesia yang gigih menimba ilmu pengetahuan. Lahir di Besitang, Langkat pada tarikh 26 Zulqa`idah 1400H (1980). Beliau mendapat pendidikan-pendidikan formal di peringkat Ijazah Thanawiyah Negeri (1996), Ijazah Thanawiyah Ma`had Musthafawiyah (1997), Musthafa, Ijazah Mas (1999), Ijazah Lisence Universiti Al-Azhar (2004), dan Ijazah Diploma Master Ma`had ‘Ali Dirasat Islamiyah (2007), Fakulti Usuluddin al-Azhar dalam Jurusan Hadith. 

Beliau telah mendokumentasikan sanad keilmuan beliau di dalam karya-karya berikut:
  1. Ghayah al-Rusukh fi Mu‘jam al-Syuyukh. Ia menghimpunkan senarai guru-guru beliau yang berjumlah seramai 165 orang dan juga sebahagian sanad mereka.
  2. Asanid al-Jawiyyin.
  3. Al-Ayat al-Mufassalat fi al-Ahadith al-Musalsalat.
  4. Ithaf al-Akabir bi Asanid al-Syaykh ‘Abd al-Qadir.
  5. Asanid al-Kutub al-‘Asyarah.
  6. Al-Awa’il al-Lankatiyyah.
  7. ‘Iqd al-Farid al-Muntakhab min al-Asanid.
  8. Fayd al-Jari bi al-Ittisal bi Thulathiyyat al-Bukhari.
  9. Al-Kawakib al-Darari bi Tarjamah wa Asanid al-Syaykh ‘Ali Hasan Ahmad al-Dari.
  10. al-Muntakhab min al-Musalsalat.
  11. Nihayah al-Zayn bi Tarjamah wa Asanid al-Syaykh Mustafa Husayn.

Kemungkinan masih ada beberapa ilmuwan lagi yang masih hidup selain di atas yang telah menyusun, menerbitkan dan menyebarkan sanad keilmuan mereka. Namun, maklumat mengenainya masih perlu dicari dan digali agar dapat direkodkan dengan yang sewajarnya.   

Wallahu a‘lam.



Friday, July 27, 2018

*Nasihat Buat Penuntut Ilmu*




اُطْلُبِ العِلْمَ ولاَ تَكْسَـلْ، فمَـا  أبْعَدَ الخَيْرَ علَى أهـْلِ الكَسَـل
(Tuntutlah ilmu dan janganlah malas. Alangkah jauhnya kebaikan itu ke atas orang yang bermalas-malasan.)

واحْتَفِلْ لِلفِقـْهِ فِـي الدِّيـْنِ، ولاَ  تَشْتَغِـلْ عَنـهُ بِمـَالٍ وخَـوَل
(Tumpukanlah pada ilmu faham tentang agama dan janganlah sibuk darinya dengan harta dan bermacam urusan.)

واهْجُرِ النـَّوْمَ وحَصِّلْـهُ، فمَـنْ  يَعْرِفُ المَطْلُوبَ يَحْقِرْ مَـا بـَذَل
(Tinggalkanlah tidur, dan carilah ia, kerana orang yang kenal apa yang dicari, pasti akan berasa kecil apa yang dikorbankan.)

لاَ تَقـُلْ: قَـدْ ذَهَبـَتْ أرْبَابـُهُ،  كُلُّ مَنْ سَارَ علَى الدَّرْبِ وَصَـل
(Janganlah berkata: Telah tiada ahli-ahlinya. Setiap orang yang menempuhi lorong itu, pasti akan sampai tujuan.)

(Daripada: Lamiyyah Imam Ibn al-Wardi)



Saturday, December 23, 2017

Syeikh Dr. Muhammad Mustafa al-A‘zami



Syeikh Dr. Muhammad Mustafa al-A‘zami
(1350-1439) (1930-2017)

Dr. Muhammad Mustafa al-A‘zami merupakan seorang tokoh hadis yang tidak asing lagi di kalangan para pengkaji hadis moden. Namanya bukan hanya tersohor di kalangan ulama Islam sahaja, bahkan juga di kalangan para pemikir Barat. Dua buah bukunya “Studies in Early Hadith Literature” dan “The History of the Qur'anic Text from Revelation to Compilation” merupakan dua buah karyanya yang telah membungkam hujah2 para pemikir Barat mengenai ketulenan al-Quran dan hadis.

Beliau merupakan antara tokoh keluaran Deoband, India yang menjadi kebanggaan para warganya. Dilahirkan di daerah A‘zamgarh, India pada tahun 1350 H (1930), sebuah daerah yg telah melahirkan ramai alim ulama yg terkenal dengan gelaran ‘al-A‘zami’, sebagai nisbah kepada daerah tersebut.

Beliau telah belajar di Darul Ulum Deoband dan menimba ilmu daripada para ulamanya, terutama daripada Maulana Syeikh Husain Ahmad al-Madani (w. 1377H). Setelah tamat pada tahun 1372 H (1952), beliau telah mendaftarkan diri di Universiti Islam Aligarh selama setahun. Kemudian beliau melanjutkan pula pelajarannya ke al-Azhar, Mesir di Fakulti Usuluddin dan menimba ilmu daripada para ulama al-Azhar ketika itu. Beliau telah menyelesaikan pengajiannya pada tahun 1375 H (1955) dengan memperolehi syahadah ‘alimiyyah berserta ijazah mengajar daripadanya.

Beliau seterusnya telah melanjutkan lagi pelajarannya ke peringkat PhD di Universiti Cambridge dan berjaya meraih ijazah kedoktoran tersebut pada tahun 1966 dengan tesisnya berjudul: “Studies in Early Hadith Literature”.

Dari segi karier, Dr. al-A‘zami pernah bertugas sebagai kurator di Darul Kutub Qatar selama lebih 10 tahun (1955-1968), selain turut menjadi guru bahasa Arab bagi pelajar bukan Arab di peringkat thanawi di Qatar. Pada tahun 1968, beliau telah berpindah ke Makkah dan mengajar di Fakulti Syariah sehingga tahun 1973. Kemudian beliau berpindah pula ke Universiti al-Malik Su‘ud, Riyadh mengajar subjek hadis di bawah Jabatan Thaqafah Islamiyyah, Fakulti Syariah.  

Beliau pernah dijemput sebagai pensyarah pelawat ke beberapa universiti di Barat, termasuklah Universiti Harvard, Amerika. Beliau terus tinggal di Riyadh selama hampir 18 tahun sehinggalah beliau bersara pada tahun 1991.

Dr. al-A‘zami telah meninggalkan sejumlah karya yg amat bermanfaat dan tinggi nilainya, antaranya:
  1. (دراسات في الحديث النبوي وتاريخ تدوينه)
  2. (منهج النقد عند المحدثين: نشأته وتاريخه)
  3. (تحقيق كتاب التمييز للإمام مسلم)
  4. (تحقيق الموطأ للإمام مالك رواية يحيى بن يحيى الليثي)
  5. (تحقيق السنن لابن ماجه)
  6. (تحقيق صحيح ابن خزيمة)
  7. (تحقيق العلل للإمام علي بن المديني)
  8. (كُتّاب النبي ﷺ)
  9. (دراسة نقدية لكتاب أصول الشريعة المحمّدية للمستشرق شاخت)
  10. (تحقيق مغازي رسول الله ﷺ لعروة بن الزبير)
  11. (المحدثون من اليمامة إلى 250 الهجري تقريباً)
  12. Studies in Hadith Methodology and Literature (دراسات منهجية في علم الحديث)
  13. On Schacht's Origins of Muhammadan Jurisprudence (kritikan terhadap buku Origins of the Muhammadan Jurisprudence oleh Schacht)
  14. Studies in Early Hadith Literature (PhD)
  15. The History of the Qur'anic Text from Revelation to Compilation (تاريخ تدوين القرآن الكريم). 
  16.  Ageless Qur’an Timeless Text (النص القرآني الخالد عبر العصور)

Selain itu, beliau juga antara orang yang pertama memanfaatkan teknologi komputer bagi melaksanakan projek perisian hadis. Bagi menghargai jasa2nya, beliau telah menerima Anugerah Antarabangsa al-Malik Faisal dalam bidang pengajian Islam pada tahun 1400 H. Beliau kemudian telah mendermakan hadiah yang diterimanya ke tabung para pelajar miskin yang cemerlang.

Dr. al-A‘zami telah wafat pada hari Rabu 2hb Rabiul Akhir tahun 1439 H (20 Disember 2017). رحمه الله رحمة واسعة

Rujukan:
Syeikh Muhammad Mustafa al-A‘zami oleh Dr. Syed Abdul Majid al-Ghouri, http://journal.kuis.edu.my/hadis/wp-content/uploads/2016/10/al-hadees-arabic-8-185-262.pdf