Pages

Friday, February 26, 2010

Sanjungan Buat Rasulullah SAW Dalam Syair-syair Parsi

Mawlana Syeikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi di dalam kitabnya ‘al-Tariq ila al-Madinah al-Munawwarah’ di bawah judul ‘Penyair-penyair Ajam Dalam Menyanjung Penghulu Arab dan Ajam (1)’ (h. 97) telah memuatkan beberapa petikan syair Parsi yang digubah oleh penyair-penyair terkenal berkaitan pujian dan sanjungan terhadap baginda Rasulullah SAW. Syair-syair tersebut diterjemahkan oleh beliau daripada bahasa Parsi kepada bahasa Arab. Manakala saya pula di dalam entri kali ini, cuba untuk menterjemahkan syair-syair versi Arab tersebut kepada bahasa Melayu. Tentunya berlaku banyak kekurangan di sana-sini. Saya turut tidak menafikan kemungkinan jika terjemahan ini lari jauh dari maksud asal para penyair tersebut. Maka mohon bagi sesiapa yang dapat menterjemahkan dengan lebih baik, atau lebih puitis, agar tidak lokek untuk berkongsi ilmu pengetahuan.


1. Syeikh Sa’di (m. 691H)

“Si anak yatim yang lahir dan hidup ummi

Tidak pernah belajar al-Quran di sekolah

Mampu menyalin gedung ilmu banyak bangsa dunia

Lalu disaring nilai murni dan unsur hidupnya

Lantas membina pula sebuah gedung baru

Yang menjadi sumber ilmu dan makrifat

Bak sumur penghilang dahaga

para pengembara dan para pengunjung...”.


2. Syeikh Fariduddin Muhammad al-’Attar (m. 627H)

“Sesungguhnya bagi baginda itu ada satu hak

– kerana beliau dinamakan dengan nama baginda yang mulia –

Dan orang-orang mulia memelihara anak-anak

yang dinamakan dengan nama mereka

Juga mengetahui hak itu...”.


3. al-Amir Khasru

“Sesungguhnya nafas dan akhlaknya

telah meniupkan kehidupan

pada bangsa Arab yang sedang nazak

Yang memadamkan pada masa sama

obor Abu Lahab yang menyala-nyala

yang hampir-hampir meratah semua pohon hijau dan kering

Sesungguhnya baginda telah sampai dalam dua langkah

Dari alam ini ke alam sana

Dalam kembara dari alam benda ke alam rohani...”.


4. Mawlana ’Abdul Rahman al-Jami (m. 898H)

“Wahai yang empunya keturunan Arab

dan gelarannya ummi

Sungguh telah tunduk setia mentaatimu

serta akur dengan ketuananmu

seluruh bangsa Arab dan Ajam secara saksama

Sungguh kefasihanmu telah memberi kesan bangsa Arab

dan keindahanmu telah memiliki hati bangsa Ajam

Tidak memudaratkanmu kerana tidak tahu membaca dan menulis

Lalu dengan usahamu serta kebangkitanmu

Maka yang ummi bisa belajar

dan yang jahil bisa cemerlang

Denganmu sahifah amalan menjadi putih

Cahayamu menyinar dalam kegelapan

Maka tidak mengapa jika engkau

tidak melakar dakwat hitam di atas lembaran putih

atau mencantum lembar hitam kepada lembar hitam yang lain…”.


5. ’Arfi (m. 999H)

“Tidak mungkin seseorang itu bisa berdendang

Memuji raja-raja dan sultan-sultan

Dalam masa yang sama memuji Rasul al-Amin

Penghulu golongan awal dan akhir

Adalah biadap dan kurang intirasa

Bila seorang insan itu menghimpun dua pujian

Malah punya dua jiwa yang serupa

Jiwa untuk menyanjung sultan-sultan Ajam

Juga jiwa untuk menyanjung penghulu Arab dan Ajam…”.


6. al-Qudsi (m. 1056H)

“Pernah sekali kusandarkan diriku pada seekor anjing

Daripada anjing-anjing kampungmu

Lantas aku tersedar dan kutundukkan kepala

dek rasa malu, seraya aku berkata:

Ini adalah biadap dan kurang zauq…”.

* Ungkapan yang berupa majaz ini adalah bagi menunjukkan rasa penuh rendah diri si penyair.


7. Asadullah Khan Ghalib (m. 1285H)

“Jari jemarinya tak pernah memegang pena

Namun ia telah mencoret lakaran

Yang tak mampu dilakar oleh pena-pena sejarah

Tidaklah dijejakkan tapak kakinya di atas padang pasir

Melainkan ia pasti bertukar menjadi taman yang hijau

Manis tuturnya menjadikan si kafir seorang muslim

Juga si zindik seorang mukmin

Ia telah menyuluh dunia dengan cahaya agama

Menyelamatkan para mukminin dari azab pembalasan

Memerdekakan hamba dari penyembahan berhala

Memakmurkan alam dengan sebuah rumah

Itulah rumah iman

Yang mencairkan hati-hati musuh dan jiwa-jiwa yang begitu keras

Tidaklah hairan, kerana sebiji batu bendul rumahnya

Mampu mencairkan besi dan melembutkan yang keras kaku

Ia beriktikaf di mihrab, sedang hatinya

tergantung dengan semua makhluk Allah…”.


8. Mas’ud ’Ali al-Mihwi

“Fitrah telah menyingkap cadur dari wajahnya

Dan terpamerlah ia dalam rupa paras yang paling indah

Lalu melaksana rutin musim kembang

Lantas bumi dipakaikan pakaian merah

Dari bunga-bungaan dan juga mawar

Semua itu, demi kebangkitan Muhammad SAW

Sungguh pandangan matanya itu

Umpama campuran kimia

Yang menukarkan tanah hitam yang tiada nilai

Kepada emas tulen yang berkilau

Dialah penghulu yang mampu

tanpa bala tentera dan soldadu

Menjadikan kaum yang tiada haluan di pedalaman

Sebagai raja-raja yang mentadbir alam

Serta sarjana-sarjana yang mengajar umat manusia…”.


No comments: