Pages

Wednesday, February 16, 2011

Tahniah Ustazuna Dr. Abdul Hayei

Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor: Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 1432H

Sumber: Bernama
(dengan ringkasan)

Bekas Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor hari ini diumumkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 1432H/2011. Abdul Hayei, 64, menerima anugerah itu daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada majlis sambutan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.

Beliau menerima hadiah wang tunai RM50,000, plak, sijil penghargaan dan terjemahan kitab al-Quran. Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu yang juga Anggota Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, memberikan sumbangan yang sangat besar dalam penulisan karya-karya ilmiah.

Antaranya, beliau menghasilkan sebuah kitab tafsir al-Quran versi Melayu yang diberi judul Tafsir Pedoman Muttaqin yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Sementara itu, enam lagi menerima anugerah sempena majlis itu.

Mereka ialah Wee Soon Yen, pelajar tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan; bekas Timbalan Ketua Pengarah (Jabatan Pendidikan Islam dan Moral) Kementerian Pelajaran, Datuk Dangiran Mustapha.

Profesor di Kuliyyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ismawi Zen; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN) Tan Sri Dr Robaayah Zambahari; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Hasmah Abdullah dan bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Ibrahim Engku Ngah.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Abdul Hayei melahirkan rasa syukur kerana menerima anugerah yang sangat tinggi nilainya kepada beliau dan umat Islam. Beliau berkata dengan penerimaan anugerah tersebut, ia membuktikan bahawa perkara-perkara kebaikan masih wujud di negara ini.

Katanya dengan ilmu yang ada, beliau akan terus menjalankan kewajipan untuk memberikan sumbangan kepada agama dan negara. "Memang satu kewajipan bagi umat manusia yang mempunyai amanah untuk meneruskan tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah di muka bumi ini," katanya.


p/s: Tulisan-tulisan beliau dapat dirujuk di: http://www.drhayei.com/

No comments: