Pages

Saturday, April 25, 2020

Dr. Mohd. Faisal bin Mohamed رحمه الله تعالى



إنا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Seorang lagi sahabat kami, Dr. Mohd. Faisal bin Mohamed, 39, pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM, telah kembali ke rahmatullah pada waktu Maghrib, masuk 2 hb. Ramadan 1441H (24 April 2020). Beliau dikhabarkan jatuh ketika sedang mengambil wuduk untuk menunaikan solat Maghrib setelah berbuka puasa, lalu menghembuskan nafas terakhirnya.

Beliau merupakan seorang yang sangat rajin dan cintakan ilmu pengetahuan. Beliau asalnya adalah pelajar sarjana muda bidang Mechanical Engineering di UTM dan berjaya lulus pada tahun 2005. Namun semasa peringkat itu, sudah berlaku titik peralihan yang cukup besar di dalam hidup beliau, yang membuatkan beliau beralih ke bidang pengajian Islam. Dengan usaha dan kesungguhannya, beliau mengambil pengajian peringkat diploma secara mu‘adalah yang membolehkannya ke Universiti al-Azhar, Mesir di dalam jurusan Syariah Islam. Dalam masa yang singkat, beliau berjaya memperolehi sarjana muda keduanya pada tahun 2007.     

Setelah meraih sarjana muda Syariah al-Azhar, beliau kembali ke tanah air dan meneruskan pula pengajiannya ke peringkat Master dalam bidang Tasawwuf, Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, UM. Setelah selesai pada tahun 2007, beliau meneruskan lagi pengajiannya ke peringkat PhD dalam bidang Ekonomi Islam di Jabatan Syariah, UM sehingga selesai pada tahun 2012. Pada masa tersebut, beliau sudah pun berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).     

Sepanjang tempoh beliau di KUIS, selama perkenalan saya dengannya, beliau amat giat mengikuti kelas-kelas pengajian talaqqi sehingga beliau dikenali oleh ramai para guru, ustaz dan para penuntut ilmu yang lain. Dengan kesungguhannya, beliau telah berjaya mengkhatamkan banyak kitab turath dengan ramai ulama tempatan mahupun ulama luar yang datang berkunjung ke Malaysia. Antaranya, beliau telah berjaya mengkhatamkan al-Kutub as-Sittah berserta ijazah sanad.

Tidak berapa lama selepas memperolehi PhD, beliau berpindah tugas pula sebagai pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM. Di samping mengajar dan tugasan lainnya, beliau sekali lagi mendaftarkan diri untuk PhD keduanya dalam bidang falsafah sains Islam di USIM dengan tajuk kajian: The Philosophy of Islamic Science in Sahih al-Bukhari. Beliau sudah pun menyiapkan tesisnya dan sedang menunggu untuk proses viva.  

Di USIM, sebagaimana juga sebelumnya di KUIS, beliau giat berusaha menghidupkan budaya pengajian kitab turath secara talaqqi dan memperkenalkannya kepada masyarakat. Kali terakhir kami duduk talaqqi bersama ialah pada tahun lepas semasa bertalaqqi “Matan Tashil al-Turuqat li Nazm al-Waraqat li al-‘Amriti” dalam ilmu usul al-fiqh yang disampaikan oleh Prof. Dr. Mustafa Dib al-Bugha حفظه الله تعالى di Pusat Islam, USIM.

Beliau juga aktif mengisi kuliah-kuliah Maghrib di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan. Dalam gerakan kemasyarakatan, beliau adalah ahli Pertubuhan Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia (ISLAMI).  

Antara aktiviti yang beliau minati ialah mengembara bagi melihat negara orang dan menimba pengalaman baru. Beliau sudah menjelajah ke banyak negara di serata dunia seperti negara-negara Eropah, Cina, Australia dan sebagainya, selain negara-negara Arab. Rancangan terakhir beliau ialah untuk ke Istanbul, Turki sebagai pensyarah pelawat selama 6 bulan di sana, namun hajatnya tidak kesampaian disebabkan kesihatan beliau.  

Perjalanan hidup beliau bagi saya cukup luar biasa, daripada seorang yang berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal sehingga menjadi seorang alim yang pakar dalam pelbagai bidang pengajian Islam. Dari segi keperibadiannya, beliau dikenali sebagai seorang yang cepat mesra, suka merendah diri dan tidak suka menonjol. Sejak bulan Disember tahun lepas, beliau sering sakit perut, dada dan sesak nafas. Sejak itu juga, beliau kerap demam, batuk dan muntah.

Jenazah beliau dibawa ke kampung halamannya di Temerloh, Pahang dan dikebumikan di sana. Semoga dengan keberkatan hari Jumaat, bulan Ramadhan serta sifat sabar beliau dengan penyakitnya dan wabak Covid-19, beliau mendapat husn al-khatimah. Semoga Allah SWT mengampuninya, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya bersama para syuhada' dan para solihin. Amin…




No comments: