Pages

Monday, December 28, 2009

Maaf Tuan, Anda Menyeru Kepada Bidaah!


Teguran Buat Pro-Syiah

Tidak ada siapa dari kalangan Ahlus Sunnah yang menafikan perlunya kita mencintai keluarga Nabi SAW (ahlul-bait) terutama mereka yang disebut sebagai ahlul-kisa’, Sayidina ’Ali, Fatimah, Hasan dan Husain (عليهم السلام). Bahkan semua sahabat-sahabat Nabi SAW, terutama sahabat-sahabat besar baginda SAW. Mereka semua adalah teladan dan qudwah kita. Namun, bagi golongan Syiah, kebanyakan para sahabat Nabi SAW tidak layak menerima kecintaan tersebut daripada mereka. Hanya ahlul-bait dan siapa yang menyokong mereka. Lantaran itu kita tidak akan sekali-kali dapat lihat mereka menyanjung para sahabat Nabi SAW secara umum. Bahkan cara mudah kita nak mengenal antara kitab Syiah dan kitab Sunni antara lain ialah; kitab Syiah dalam selawat ke atas Nabi SAW di bahagian mukadimah tidak disertakan kepada para sahabat Nabi SAW, manakala kitab Sunni dalam selawat ke atas Nabi SAW di bahagian mukadimah mesti disertakan kepada para sahabat Nabi SAW, dengan kalimah (وصحبه), (وصحابته) dan sebagainya.

Sejak lebih 10 tahun saya mengkaji dan memerhati golongan Syiah. Semasa di Mesir, saya pernah menulis tentang penyelewengan Syiah terhadap kitab al-Quran dan disiarkan di dalam salah sebuah Suara Kampus. Saya menelaah kitab-kitab mereka, dan membuat kesimpulan standard yang biasa disebut oleh sesiapa yang mengkaji Syiah; iaitu Sunni dan Syiah adalah bagaikan dua anak sungai yang sama kemudian berpisah dan tidak akan bertemu antara satu sama lain. Kita masih boleh mengharapkan kesatuan dan perpaduan dengan golongan Salafiyyah-Wahhabiyyah kerana sumber rujukan yang sama. Namun apa yang boleh kita harapkan dengan golongan Syiah yang tidakpun menggunakan sumber kitab-kitab Sunni (spt. al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi, al-Nasa’i, Ibn Majah, Abu Hanifah, Malik, al-Syafi’i, Ahmad dan lain-lain) kecuali apa yang bersesuaian dengan fahaman mereka sahaja. Dan kita pun tidak menggunakan kitab-kitab sumber rujukan utama mereka seperti (الكافي), (من لا يحضره الفقيه), (تهذيب الأحكام) dan (الاستبصار) kerana penyimpangan yang jauh tersasar. Atas sebab inilah Mawlana Sayyid Abu al-Hasan ’Ali al-Nadwi menulis kitabnya yang terkenal (صورتان متضادتان عند أهل السنة والشيعة الإمامية) (klik sini).

Justeru itu saya amat khuatir dengan gerakan Syiah, dan juga pro-Syiah di Malaysia yang jika tidak dibendung, mampu mengheret ramai orang yang jahil memeluk fahaman mereka secara akidah, fiqh dan suluknya sekali!! Dalam beberapa entri sebuah blog salah seorang yang punya nama tersohor, yang saya lihat pro-Syiah dan punya followers yang tidak sedikit (1593 orang) cuba mengajak pembaca kepada satu natijah yang dapat menakutkan para pencinta al-Quran dan sunnah. Meskipun beliau barangkali tidak menduga natijah seperti itu. Namun atas dasar (الدين النصيحة) saya menulis teguran ini. Anggaplah ia teguran dari sahabat yang sangat cemburu demi agama Allah.

* Nota: Tulisan beliau saya letak dalam warna biru, manakala ulasan saya pula di dalam huruf tebal. Link asal dapat dirujuk dengan mengklik pada judul-judul entri di bawah.

---------------------------------

1. Tarikh dan Judul Entri:

22 DECEMBER 2009

Mengenang Tragedi Karbala

Ada orang bertanya saya, mengapa harus membuka-buka dan membesar-besarkan perihal Saidina Husin cucunda Rasulullah saw dibunuh Yazid dan tenteranya. Yang sudah-sudahlah kata mereka.

Alangkah jahil manusia itu.

Ulasan: Tidak. Beliau tidak jahil. Ini kerana sikap seperti itu diterajui oleh puak Syiah. Adapun Ahlus Sunnah walaupun berduka dengan peristiwa menyayat hati itu lebih mengutamakan perpaduan antara umat Islam. Kenapa tidak membesarkan juga perihal Saidina Hasan yang turut mati dibunuh dan mengenang kematiannya? Kenapa mesti Saidina Husain seorang, padahal keduanya adalah permata hati Rasulullah SAW?

Apa yang ada dalam al-Quran antaranya ialah sejarah; sejarah para nabi, sejarah umat terdahulu. Jika ia adalah yang sudah-sudah dan tidak harus dibangkitkan lagi, maka mengapa al-Quran menyatakan semua hal yang sudah-sudah itu?

Ulasan: Kisah al-Quran bertujuan untuk kita ambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Adapun membangkitkan kisah pembunuhan Saidina Husain pada masa kini, hanya menerbitkan sentimen dan simpati terhadap ajaran Syiah. Menerangkan kisah hidup Saidina Husain serta ajaran dan fahamannya lebih berfaedah dan bermanfaat besar dalam konteks dakwah, berbanding kita memfokuskan kepada peristiwa pembunuhannya semata-mata. Meneruskan perjuangan beliau ialah dengan meneruskan perjuangan Rasulullah SAW.

- Peristiwa pembunuhan cucu Nabi Muhammad wajib direnung kembali. Kerana jika saudara inginkan syafaat Nabi Muhammad di akhirat kelak, tiada jalan yang munasabah melainkan menerusi cinta kepada keluarganya (dalam konteks ini cucu baginda Saidina Husin).

Ulasan: Syafaat Nabi SAW diperolehi bukan sekadar mencintai keluarganya semata-mata tanpa beramal sepertimana amalan mereka. Jika ajaran ini diserapkan kepada orang jahil pasti mereka seronok tanpa perlu beramal apa-apa di samping melakukan berbagai maksiat. Dalam masalah syafaat, selain daripada Nabi SAW, para syuhada, ulama dan orang soleh juga dapat memberi syafaat kepada kita di akhirat kelak. Jalan utama yang paling munasabah untuk mendapatkan syafaat Nabi SAW ialah mengikut jejak langkah baginda SAW dan para sahabatnya, termasuk para ahlul-bait.

- 4. Bagaimana cara kita mengenang kesyahidan Saidina Husin?

Dalam Sahih Tirmidzi hadis bernombor 3860:

Abu Said al-Asyajj menceritakan kepada kami, Abu Khalid al-Ahmar memberitahukan kepada kami, Razin memberitahukan kepada kami, dia berkata Salam menceritakan kepada kami, dia berkata: Aku masuk menghadap Ummu Salamah sedangkan dia tengah menangis lalu aku berkata: Apa yang membuat kamu menangis? Dia berkata: Aku bermimpi melihat Rasulullah saw, sedangkan di atas kepala dan janggut beliau terdapat debu. Lalu aku bertanya: Apa yang terjadi pada engkau Wahai Rasulullah. Beliau bersabda: “Aku baru saja menyaksikan pembunuhan Al-Husin.”

Hadis ini dan yang semakna juga terdapat dalam Mustadrak Al-Hakim, jilid 4 halaman 19 dan Tahdzib At-Tahdzib, jilid 2 halaman 356, hadis ke 615. Juga dalam Dzakhair Al-Uqba, halaman 148.

Nabi Yaakub a.s menangisi kehilangan Nabi Yusuf sampai matanya buta, Allah pun tidak melarang. Mengapa anda ingin menghalang saya mengenang pemenggalan dan pembunuhan cucu Nabi Muhammad saw dengan kesedihan?

Ulasan: Hadith di atas bukan menerangkan kaifiat untuk mengenang pembunuhan Saidina Husain. Ia adalah lumrah untuk kita menangis pada masa sesuatu tragedi berlaku. Adapun untuk kita menetapkan hari sesuatu tragedi tersebut sebagai suatu hari untuk kita menangis dan tidak pada hari-hari lainnya sepanjang tahun, atau pada bila-bila masa bila terkenang. Maka ini adalah suatu bidaah. Apatah lagi ianya adalah jelas amalan Syiah. Bahkan ada yang menangis meronta-ronta, meraung dan mengoyak-ngoyak pakaian yang jelas sekali dilarang oleh Rasulullah SAW. Lebih mengerikan tangisan itu dicampur dengan pesta mandi darah!! Kita tidak menghalang anda menangis untuk mengenang pembunuhan Saidina Husain, bahkan sesiapapun yang lembut hati pasti menangis apabila membaca tragedi berkenaan. Namun, kita menghalang anda untuk menimbulkan simpati kepada ajaran Syiah.

- Dan adalah jelas, Nabi Muhammad saw dalam keadaan duka oleh kesyahidan cucunya yang dianiaya sedemikian rupa.

Mengapa saudara tidak mahu mengikut Nabi Muhammad? Mengapa saudara mahu mengikut ustaz saudara yang belum tentu dapat menjamin saudara ke syurga? Tidakkah itu perbuatan bodoh dengan menjadi seperti kaum Yahudi dan Nasrani yang membuta tuli mengikut dan membuntut tanpa tahu kebenaran.

Ulasan: Tidak ada ustaz yang benci kepada Saidina Husain di Malaysia. Tidak ada ustaz yang seronok dengan pembunuhan Saidina Husain di Malaysia. Alhamdulillah. Jika ada sila buktikan. Apa yang mereka benci ialah penyebaran ajaran Syiah.

-----------------------------

2. Tarikh dan Judul Entri:

23 DECEMBER 2009

Pembunuh Saidina Husin

- Ada orang mengatakan pembunuh Saidina Husin adalah orang syiah yakni penghuni kota Kufah. Kerana itu sampai hari ini syiah meratap menangisi kekesalan perbuatan mereka. Entah dari mana sumber pandangan bodoh ini.

Ulasan: Ia bukan pandangan bodoh. Semua orang tahu siapa pembunuh Saidina Husain. Maksud 'ahli Kufah sebagai pembunuh Saidina Husain' ialah mereka telah menjemputnya, namun mereka mengabaikannya dan tidak memberikan apa-apa bantuan kepada Saidina Husain, padahal mereka sudah sampai di Karbala, sedangkan tentera Yazid datang dari jauh di Damsyik. Mereka hanya berpeluk tubuh kerana takut untuk berjuang dan berkorban bermati-matian. Inilah yang dimarahkan oleh Ibnu ’Abbas apabila orang Kufah bertanya kepadanya tentang hukum darah nyamuk, lalu beliau berkata: Kamu sibuk bertanya tentang darah nyamuk, sedangkan kamu telah membunuh Saidina Husain (dan kamu tidakpun menanyakan hukumnya)!

- Marilah kita berlindung dari syaitan yang direjam, termasuk agamawan yang tubuhnya bersalut ilmu tetapi isi di dalamnya adalah setan. Hari ini mungkin anda mempersendakan kematian cucu Rasulullah saw dengan membela pembunuh-pembunuhnya, hari esok anda pasti akan menerima balasan kemurkaan Rasulullah saw, kemurkaan Saidatina Fatimah Zahra berhujung dengan kemurkaan Allah swt.

Ulasan: Saya masih tertanya-tanya, ustaz mana yang suka mempersendakan kematian cucu Rasulullah SAW dengan membela pembunuh-pembunuhnya? Siapakah yang jelas membawa fahaman Nawasib di Malaysia ini? Atau apakah ia sekadar laungan untuk mengikut gaya puak Syiah??

-----------------------------

3. Tarikh dan Judul Entri:

24 DECEMBER 2009

Mengapa Membunuh Cucunda Nabi Muhammad SAW?

- Bahkan mereka yang mengkaji dan memanjangkan tragedi berdarah ini, saya yakini akan beroleh manfaat di akhirat kelak. Masakan Saidina Ali dan Saidatina Fatimah tidak memandang mereka yang membela peristiwa genosid dan cleansing terhadap ahlul bait Nabi ini?

Ulasan: Apa yang lebih memberi manfaat di akhirat kelak ialah beramal seperti amalan mereka, bukan sekadar bersedih dan membesarkan tragedi berkenaan. Jika demikian, ahli maksiat pun mampu berbuat demikian, malah sesiapa sahaja yang malas beramal.

- Menurut L.F Brakel, Hikayat Muhammad Hanafiyyah yang memuatkan pembunuhan ngeri dan sadis cucunda Rasulullah saw adalah 'sebuah teks yang popular dan terkenal' (tentu, kenyataan Brakel ini sebelum munculnya gejala gerakan salafi yang sering merujuk secara intelektual kepada Ibnu Taimiyyah yang amat memusuhi Saidina Ali dan ahlul bait Rasulullah saw).

Ulasan: Walaupun ada suara yang bukan Syiah mengatakan, "Ibnu Taimiyyah amat memusuhi Saidina Ali dan ahlul bait Rasulullah saw”, namun suara seperti itu pada masa ini tidak wajar dicanang demi menjaga perpaduan ummah. Ia adalah suatu fakta yang tidak pasti, bolehjadi bersifat benar dan bolehjadi salah pada hakikat sebenarnya. Setelah kita tahu kedudukan istimewa Ibn Taimiyyah di dalam hati golongan Salafiyyah-Wahhabiyyah, saya berpendapat hal tersebut perlu dipendamkan. Malah saya percaya peminat-peminatnya masih mampu menangkis dakwaan tersebut. Secara umum berdasarkan tulisan-tulisannya, beliau masih menghormati Saidina ’Ali dan ahlul-bait (عليهم السلام).

- Mempertahankan penjenayah perang Karbala adalah seperti mempertahankan George Bush, atau Ariel Sharon.

Ulasan: Saya tahu ada setengah orang yang mempertahankan Yazid bin Mu’awiyah. Namun, cara mereka mempertahankannya tidaklah sama seperti orang yang mempertahankan George Bush, atau Ariel Sharon. Sekurang-kurangnya Yazid bin Mu’awiyah masih muslim, manakala George Bush dan Ariel Sharon adalah kafir laknatullah dan tidak ada muslim berakal yang mempertahankan mereka kecuali zindiq sahaja. Justeru, tidak bersetuju dengan pendapat orang yang mempertahankan Yazid bin Mu’awiyah masih dapat dilakukan dalam batas-batas ilmiah.

- Mengapa ada orang Islam berani dan datang hati membunuh cucu Nabi Muhammad saw setelah kewafatan baginda? Dan mereka masih tidak segan silu mahukan syafaat baginda Rasul di hari masyhar kelak. Lebih menjengkelkan, mengapa ada agamawan sanggup berhempas pulas menutup sejarah dan mempertahankan pembunuh-pembunuh Saidina Husein dan keluarganya di medan Karbala? Tidakkah mereka tahu malu mengucapkan selawat buat Rasulullah saw dan keluarganya ketika dalam solat?

Ulasan: Saya masih lagi tertanya-tanya, ustaz mana yang suka dengan kematian cucu Rasulullah SAW dan membela pembunuh-pembunuhnya? Siapakah di Malaysia yang sedang berhempas pulas untuk menutup sejarah dan mempertahankan pembunuh-pembunuh Saidina Husein dan keluarganya di medan Karbala?? Jika ada, mari kita nasihatkan.

-----------------------------

4. Tarikh dan Judul Entri:

25 DECEMBER 2009

Tangisan Karbala (Zaynab al Kubra) Adalah Senjata Politik Yang Paling Ampuh!

-1. Mengapa mereka menangis? Setiap kali Muharram mereka menangis.

Ulasan: Menentukan hari atau bulan tersebut untuk menangis, meronta-ronta, meraung dan seumpamanya adalah suatu bidaah yang wajib diperangi. Apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW pada hari 'Asyura' ialah berpuasa dan memperluaskan belanja ke atas tanggungan sebagai tanda bersyukur dan gembira, sebagaimana yang sabit di dalam hadith-hadith. Jelas ia adalah hari untuk bersyukur dan bergembira, bukan untuk menangis dan berduka ... Justeru, mereka telah membelakangi petunjuk Rasulullah SAW.

- Dan, mengapa menyalahkan semua pencinta cucu Rasulullah saw, Saidina Husin, jika mereka ingin menangis? Tidakkah meluluhkan hati memikirkan penghulu syurga dibantai sedemikian rupa? Jika kita ingin masuk syurga tidakkah kita wajar menangisi kesyahidannya yang amat tragis itu?

Ulasan: Jika kita ingin masuk syurga, hendaklah kita beramal sepertimana amalan Saidina Husain. Itu lebih jelas manfaatnya.

- Kalau mereka yakni penyanjung Saidina Husin ingin menangis, mengapa menyalahkan mereka? Itu terdorong berlaku kerana rasa kasih mereka, rasa derita mereka, rasa yang bergumulan lalu merembes menjadi tangisan yang diciptakan Allah.

Ulasan: Kita menyalahkan mereka yang berfahaman Syiah dan banyak melakukan bidaah. Walau air mata darah sekalipun orang Yahudi menangis di Tembok Menangis, adakah itu dapat memberi manfaat kepada mereka di akhirat nanti??

- Saya difahamkan oleh mereka, saat Muharram mereka menangis bukan sahaja kerana derita dan amat sedih oleh kejadian jahat ke atas Saidina Husin dan keluarganya, tetapi mereka juga menangis kerana rindu ingin berjumpa.

Apakah ubat tangisan seperti ini melainkan balasan kerinduan mereka itu kelak akan ditunaikan oleh penghulu syurga itu sendiri! Wah bahagialah jika begitu. Hari ini, saya ingin jadi seperti mereka. Saya menangis kerana rindu ingin berjumpa penghulu syurga - Saidina Husin cucunda Nabi Muhammad yang kita cinta.

Ulasan: Saya rasa terkaku nak mengulas ayat-ayat tersebut kerana ’bau’ Syiah yang sangat kuat. Maafkan saya jika ia menyinggung. Saya tertanya apakah ada hadith atau khabar (riwayat Ahlus Sunnah) yang menyatakan bahawa ubat tangisan kerana rindu ingin berjumpa Saidina Husain ialah balasan kerinduan itu kelak akan ditunaikan oleh penghulu syurga itu sendiri - Saidina Husain. Lalu di atas hadith (?) berkenaan menjadi dalil disyariatkan untuk kita menangisi ke atas pembunuhannya di Karbala pada hari ’Asyura? Saya masih tertanya, jika begitu apakah mereka turut mengkhususkan satu hari untuk menangis kerana rindu ingin berjumpa dengan Rasulullah SAW, penghulu seluruh makhluk??

- 12. Lama saya cuba memahami mengapa pengikut syiah menangisi kesyahidan Saidina Husin yang mereka cintai. Tangisan derita, tangisan rindu, tangisan yang merupakan tujuan sosial. Tangisan yang merupakan tujuan politik. Saya berhenti menyalahkan mereka kerana menangis setelah saya membaca sebuah buku karangan pemimpin ulung mereka iaitu al marhum Imam Khomeini. Buku itu judulnya The Ashura Uprising merupakan koleksi ucapan dan ceramah agama almarhum sekitar asyura. Dan dalam salah satu petikan, Imam Khomeini mengatakan: 'Jangan sangka yang kami menangis dan meratap untuk penghulu syuhada (Saidina Husin). Tidak, baginda tidak memerlukan tangisan kami. Isunya bukan tangisan sama sekali. Ia adalah sesuatu yang bersifat politik untuk Imam (Saidina Husin) kerana dengan tangisan ini dapat menggerakkan ummah dan menyatukan umat Islam lalu memperkasakan mereka untuk berdepan dengan kezaliman tanpa perlu rasa lemah lagi' (halaman 60).

Hari ini saya tidak lagi menuduh mereka melulu.

Hari ini saya memilih untuk memberitahu dunia, 'Jika saya dituduh seisi dunia sebagai sesat kerana menangisi kesyahidan penghulu syurga, Saidina Husin, iya, tidak mengapa, tohmahilah saya sesat. Saya akur. Bukan saudara yang dapat menolong saya di akhirat nanti. Yang akan memberi syafaat kepada saya ialah Nabi Muhammad saw dan tentu, kekasih hati baginda iaitu Saidina Husin, ibunya Saidatina Fatimah dan ayahnya Saidina Ali.

Mengapa anda tidak menangis? Sungguh keras hati anda? Seperti syaitan yang memilih untuk angkuh dan ego.


Menangislah untuk Husin! Ayuh menangislah!

Ulasan: Saya sedikit khuatir penulis memberi gelaran ’al marhum’ kepada pemimpin ulung Syiah, Imam Khomeini, kerana akidahnya yang jelas bertentangan dengan akidah Ahlus Sunnah sudah diketahui umum, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Syeikh Sa’id Hawwa, Mawlana Abu al-Hasan ’Ali al-Nadwi, Ihsan Ilahi Zahir dan lain-lain lagi. Keberaniannya menentang kuasa Barat, memang amat dikagumi oleh ramai umat Islam sehingga ramai antara mereka yang terpengaruh bukan sahaja dengan revolusinya, bahkan dengan pegangan akidahnya sekali. Namun, apakah kerana itu kita wajar menutup sebelah mata dan mendiamkan diri terhadap bidaah-bidaah mazhabnya (كل بدعة ضلالة وكل ضلالة في النار )? Jika demikian, di mana kita nak letakkan hadith (من رأى منكم منكرا ) dan lain-lain hadith seumpamanya?

Penulis juga menutup kata-katanya: ”Bukan saudara yang dapat menolong saya di akhirat nanti. Yang akan memberi syafaat kepada saya ialah Nabi Muhammad saw dan tentu, kekasih hati baginda iaitu Saidina Husin, ibunya Saidatina Fatimah dan ayahnya Saidina Ali”. Di mana Saidina Hasan?? Apakah sumbangannya yang sangat besar dalam menyatukan umat Islam perlu dilupakan? Atau kerana golongan Syiah ini merasa jengkel terhadap beliau lantaran tindakannya menyerahkan kuasa khalifah dan berdamai dengan Saidina Mu’awiyah??

Tidak saya temukan dalam entri-entri yang dimuatkan oleh penulis, beliau mengecam amalan-amalan bidaah puak Syiah, terutama pada hari ’Asyura ini. Malah entri-entri tersebut banyak dimuatkan pula dengan gambar-gambar amalan ritual Syiah. Komen-komen yang menyokong dari puak Syiah terhadap entri-entri berkenaan juga menggerunkan. Saya amat bimbang, kerana sebuah nama yang tersohor mampu meraih banyak simpati dan mempengaruh ramai orang.

Maaf tuan, anda menyeru kepada bidaah...

Ibn ‘Arabi vs Ibn Taimiyyah (Penutup)


Pandangan Syeikh Ibn Taimiyyah dalam menyesatkan Ibn ‘Arabi sentiasa dirujuk oleh mereka yang mengkafirkan Ibn ‘Arabi, malah mengkafirkan sesiapa yang menyetujui fahamannya. Dengan bersandarkan kepada pandangannya, mereka merasa selesa untuk menggelar Syeikh Ibn ‘Arabi (رحمه الله) dengan apa saja gelaran yang paling keji dan busuk semahu hati mereka. لا حول ولا قوة إلا بالله

Namun, saya berpendapat sekiranya Ibn Taimiyyah (رحمه الله) pernah mengkafirkan Ibn ’Arabi sekalipun beliau di akhir hayatnya telah pun menarik balik pandangannya itu. Atau mungkin dapat kita tafsirkan, apa yang dikafirkan oleh Ibn Taimiyyah ialah pandangan Ibn ’Arabi semata-mata, bukan zat dirinya. Jika demikian, beliau sebagai seorang faqih memang berhak mengkritik, meskipun kritikannya itu juga terbuka untuk dikritik. Ini kerana tidak ada siapa yang maksum kecuali Rasulullah SAW. Kata-kata setiap orang itu dapat diterima dan juga ditolak kecuali kata-kata baginda SAW.

Pendapat saya ini disandarkan kepada riwayat al-Hafiz al-Zahabi katanya : ... Syeikh kami Ibn Taimiyyah di akhir hidupnya berkata:

أنا لا أكفر أحداً من الأمة

”Saya tidak mengkafirkan seorangpun dari kalangan ummah ini”. Kata beliau lagi: ”Sabda Nabi SAW: Tidak memelihara wuduk itu kecuali orang mukmin. Maka sesiapa yang melazimi solat dengan wuduk, maka dia adalah muslim”. (Siyar A’lam al-Nubala’, 15/88)

Berdasarkan riwayat ini, tentunya Ibn ’Arabi turut termasuk dalam pengakuan beliau berkenaan. Ini kerana semasa hayatnya, Ibn Taimiyyah banyak mengkritik pihak yang dilihatnya bercanggah dengan syariat termasuklah Ibn ’Arabi. Justeru bagi menjelaskan bahawa beliau hanya mengkritik pandangan mereka dan bukan mengkafirkan individu yang terlibat, beliau lantaran itu mengucapkan wasiat tersebut. Sudah tentu Ibn ’Arabi adalah muslim mukmin berdasarkan penyaksian tokoh-tokoh besar Islam sebagaimana yang telah saya nyatakan pandangan mereka sebelum ini, bahkan wali daripada wali-wali Allah SWT. Maka saya menyeru agar mereka yang mengkafirkan Ibn ’Arabi membuat revisi semula demi kesatuan dan perpaduan ummah.

Semoga Allah Taala merahmati mereka berdua. Amin.

Wallahu a’lam.

Thursday, December 24, 2009

Mubahalah Ibn Hajar Mengenai Kedudukan Ibn 'Arabi

Antara hujah yang barangkali kuat menurut perkiraan pengkafir Ibn 'Arabi ini ialah peristiwa mubahalah antara al-Hafiz Ibn Hajar dengan seorang peminat Ibn 'Arabi. Saya petik di bawah kisahnya dari tulisan setengah pendakwa "tajdid". Katanya:

"Al-Imam al-Sakhawi (meninggal 902H) dalam bukunya al-Qaul al-Munbi ‘An Tarjamati Ibn ‘Arabi menceritakan bagaimana gurunya al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) bermubahalah dengan seorang pengikut Ibn ‘Arabi. Ibn ‘Arabi (bukan al-Imam Ibn al-‘Arabi) ada tokoh sufi sesat yang membawa fahaman wahdatul wujud iaitu penyatuan tuhan dengan manusia. Alirannya itu diikuti oleh banyak para pengikut tarekat sehingga ke hari ini.

Di Malaysia, antara pencintanya adalah juru kempen ajaran martabat tujuh. Pada zaman Ibn Hajar al-‘Asqalani, terdapat para pencinta Ibn ‘Arabi ini. Apabila al-Hafiz Ibn Hajar mempertikaikan Ibn ‘Arabi, mereka cuba mendapatkan campur tangan sultan ketika itu dan menuduh al-Hafiz Ibn Hajar menghina orang soleh. Sehingga akhirnya Ibn Hajar bermubahalah dengan syeikh mereka. Kata Ibn Hajar: Sebutlah “Ya Allah, jika Ibn ‘Arabi di atas kesesatan, maka laknatilah aku”. Lalu dia menyahutnya.

Al-Hafiz Ibn Hajar pula menyebut: “Ya Allah, jika Ibn ‘Arabi berada atas petunjuk, maka laknatilah aku”. Lalu mereka bersurai. Mubahalah itu dalam bulan Ramadan. Pada bulan Zulqaedah, pengikut Ibn ‘Arabi itu menjadi buta lalu ditimpa kematian."

Ulasan

1- Peristiwa mubahalah Ibn Hajar (m. 852H) ini diriwayatkan oleh sahabat-sahabat dan anak-anak murid beliau. Selain dalam (القول المنبي عن ترجمة ابن عربي), al-Sakhawi (m. 902H) juga merakamkannya di dalam kitab (الجواهر والدرر في ترجمة شيخ الإسلام الحافظ ابن حجر). Taqiyuddin al-Fasi (m. 832H) menyebutnya di dalam kitab (عقيدة ابن عربي وحياته). Dan Burhanuddin al-Biqa’i (m. 850H) memasukkannya di dalam kitab beliau (مصرع التصوف), dan lihat juga (تنبيه الغبي على تكفير ابن عربي). Walaupun ada yang cuba menyanggah bahawa kisah mubahalah ini sengaja direka orang yang tidak bertanggungjawab, namun kewujudannya di dalam kitab-kitab ulama berkenaan yang meriwayatkannya daripada Ibn Hajar sendiri memang sukar untuk dikatakan ianya sengaja direka-reka.

2- Berdasarkan riwayat mereka, kisah tersebut berlaku ketika Ibn Hajar berusia 24 tahun, iaitu suatu peringkat usia yang muda dan penuh dengan semangat. Namun kemudiannya, sesudah melalui pelbagai tempoh hidup dan melaksanakan berbagai kajian ilmiah, kami yakini pandangan beliau terhadap Ibn ‘Arabi berubah kepada lebih neutral sebagaimana pandangan al-Zahabi (m. 748H) di dalam kitabnya Mizan al-I’tidal yang dikemaskinikan oleh Ibn Hajar sendiri dalam kitab Lisan al-Mizan (download - dan semak vol. 5). Antara kata-kata al-Zahabi setelah mengemukakan perselisihan ulama tentang Ibn ‘Arabi ialah (3/660):

وقولي أنا فيه: أنه يجوز أن يكون من أولياء الله الذين اجتذبهم الحق إلى جنابه عند الموت وختم له بالحسنى

”Dan pendapat saya mengenai beliau ialah; harus beliau itu dari kalangan wali-wali Allah yang ditarik oleh al-Haq dekat ke sisi-Nya sewaktu mati dan disudahi baginya dengan kebaikan”.

3- Peminat taksub Ibn ’Arabi yang bermubahalah dengan Ibn Hajar itu hanya dikenali dengan nama Ibn al-Amin, seorang individu yang tidak diketahui biografinya secara lengkap kerana tidak disebut dalam mana-mana rujukan, yang menunjukkan beliau bukanlah seorang ulama. Mubahalah berkenaan dilakukan oleh Ibn Hajar kerana beliau diancam oleh Ibn al-Amin untuk mengadukan hal pendiriannya terhadap Ibn ’Arabi kepada Syeikh Safa, yang mampu memanjangkannya kepada Sultan al-Zahir Barquq. Baginda seorang yang amat menghormati Syeikh Safa dan sentiasa mendengar nasihatnya, yang menyebabkan Ibn Hajar khuatir dirinya kelak akan menerima akibatnya. Hal ini menunjukkan bahawa pendirian Ibn Hajar pada mulanya adalah pendirian minoriti ulama pada masa itu. Manakala majoriti mereka secara zahir tidak menyesat atau mengkafirkan Ibn ’Arabi.

4-Harus juga kita katakan bahawa Ibn al-Amin itu adalah antara orang yang sesat kerana tersalah faham terhadap tulisan-tulisan Ibn ’Arabi, lalu berfahaman dengan fahaman hulul dan wahdatul-wujud. Memang tidak sedikit orang yang telah terseleweng dari jalan yang benar kerana keliru dan salah faham terhadap ajaran yang dibawa oleh orang seperti Ibn ’Arabi ini disebabkan kejahilan mereka. Padahal perkara ini sentiasa diperingatkan oleh syeikh-syeikh tasawuf. Maka kemungkinan akibat mubahalah yang diterimanya itu bukan kerana bukti kesesatan Ibn ’Arabi, tetapi kerana kebenaran Ibn Hajar dalam menentang kesesatan Ibn al-Amin. Walaupun mubahalah ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana ulama sebelum itu berkaitan masalah agama, lebih-lebih lagi ianya berbentuk zanni, bukan qat’ie (sudah tentu tidak qat’ie kerana Ibn Hajar tidak pernah berjumpa dengan Ibn ’Arabi untuk membahaskan akidahnya).

5- Tidak ada ketetapan yang menunjukkan bahawa ulama mengiktiraf mubahalah sebagai satu sumber qat'ie dan ukuran yang diyakini bagi menentukan hukum sesuatu masalah. Justeru mubahalah bukan suatu hujah yang kuat atas kebenaran atau kesalahan seseorang. Ianya sebagaimana masalah kasyaf yang tidak dapat dijadikan hujah dalam menentukan hukum bagi sesuatu masalah. Ini kerana Allah SWT maha berkuasa untuk menurunkan sesuatu bala atau tidak menurunkannya. Bolehjadi orang yang benar akan menerima akibatnya, manakala orang yang salah dapat duduk bersenang-lenang setelah bermubahalah.

6- Menurut Syeikh al-Kawthari dalam Maqalatnya (h. 308), pada kurun ke-9 Hijrah berlaku perselisihan sengit antara ulama di Mesir mengenai kedudukan Ibn al-Faridh dan Ibn ‘Arabi. Perselisihan ini dihangatkan lagi oleh Burhanuddin al-Biqa’i (m. 850H) yang menulis sebuah kitab mengkafirkan Ibn ‘Arabi. Dan kitab tersebut kemudian disanggah oleh al-Suyuti (m. 911H). Pandangan al-Sakhawi (m. 902H) dalam perselisihan yang berlaku tentang Ibn al-Faridh dan Ibn ’Arabi sebenarnya tidaklah sehingga mengkafirkannya. Mengenai Ibn al-Faridh beliau berkata: ”Syair yang dinisbahkan kepada beliau tidak sampai riwayatnya dengan sanad yang sahih, dan kami tidak mengkafirkan seseorang dengan suatu perkara yang berkemungkinan, terutama tidak ada faedah dalam mengkafirkannya, akan tetapi yang berfaedah ialah dalam menjauhkan orang daripada tulisan berkenaan”. Mengenai Ibn ’Arabi pula, al-Sakhawi telah menyusun kitab (القول المنبي عن ترجمة ابن عربي) yang menghuraikan kebenaran dan kesalahan Ibn ‘Arabi. Kemudian diringkaskan dalam kitab (الكفاية في طريق الهداية). Beliau juga ada menyusun kitab lain berjudul (تجريد أسماء الآخذين عن ابن عربي). Pandangannya terhadap Ibn ’Arabi lebih kurang juga sepertimana pandangannya terhadap Ibn al-Faridh. Dalam masalah ini, Syeikh al-Kawthari menyatakan bahawa pandangan al-Sakhawi inilah sebagai kata pemutus, atau pandangan yang dipilih (yakni tawaqquf di samping mengecam mana-mana orang atau kitab yang benar-benar terseleweng).

Wallahu a’lam.

Wednesday, December 23, 2009

Ibn 'Arabi vs Ibn Taimiyyah رحمهما الله

Proses tajdid tanpa dinafikan, memang perlu dilaksanakan pada masa kini, terutama tajdid yang benar, bukan tajdid yang palsu. Dengan munculnya setengah pendakwa "tajdid" yang kagum dengan Ibn Taymiyyah, mereka tidak setakat membawa pemikiran-pemikiran Ibn Taymiyyah yang bernas dan membina sahaja, tetapi memunggah kesemua pemikirannya, baik yang bernas mahupun tidak, termasuk yang tidak rajih dan tertolak. Mereka menyeru orang lain supaya bersikap terbuka dan tidak taksub, namun dalam masa yang sama mereka lokek untuk diri sendiri bersikap terbuka. Tanpa mereka sedar mereka juga bertaklid (menjadi muqallid) kepada Ibn Taymiyyah (رحمه الله تعالى).

Di antara pandangan Ibn Taymiyyah yang diborong oleh pendakwa "tajdid" ini ialah mengkafirkan al-Syaikh al-Akbar Muhyiddin Ibn 'Arabi al-Hatimi (رحمه الله تعالى), selain dari masalah-masalah khilafiyyah lainnya. Mereka mengatakan Ibn 'Arabi sesat kerana berfahaman hulul dan wahdatul-wujud (manusia bersatu dengan tuhan), sedangkan hakikatnya Ibn 'Arabi sendiri menafikan tuduhan tersebut katanya;

ما قال بالاتحاد إلا أهل الإلحاد
كما أن القائل بالحلول من أهل الجهل والفضول

Terjemahan:
"Tidaklah berkata dengan ittihad itu melainkan ahli ilhad, sepertimana orang yang berkata dengan hulul itu adalah ahli jahil dan bahlul". (Dala'il al-Tawhid oleh al-'Allamah Muhammad Jamaluddin al-Qasimi, h. 82, yang dipetik daripada kitab al-Yawaqit oleh Imam al-Sya'rani)

Saya ingin meminjam gaya bahasa pendakwa "tajdid" tersebut mengenai isu kafir-mengkafir ini , cuma saya ubah sedikit agar bersesuaian dengan topik kita. Ubahan tersebut saya letak dalam huruf tebal (rasanya tak perlu saya linkkan kepada teks asal kerana anda boleh mencarinya sendiri).
"... Namun saya sama sekali tidak dapat menerima tabiat suka mengkafir dan menyesatkan tokoh ilmuwan seperti yang berlaku sekarang ini. Jika saya tidak bermazhab Maliki, saya tetap membantah mereka yang menghina al-Imam Malik bin Anas, kerana seorang muslim wajib membela muslim lain yang dizalimi, apatah lagi tokoh ilmuwan.
Sekalipun saya bukan pengikut Ibn 'Arabi, saya tetap tidak akan mengizinkan beliau dicerca, dikafirkan dan dihina. Apatah lagi, kesannya besar. Mereka yang membangkitkan isu kafir dan sesat Ibn 'Arabi ini akan mengheret kebanyakan ulama tariqat secara khusus dan majoriti ahli tasawuf lain sebagai sesat dan mungkin kafir. Mereka ini ada agenda yang tersendiri, yang berpusat di ........... dan ada agen-agennya sudah sampai ke negara ini. Rancangan menghidupkan kafir mengkafir sesama umat..."
--------------------

Pautan lain:

Tuesday, December 22, 2009

Ibn ‘Arabi dan Ilmu Hadith

Kali ini saya ingin menyentuh ketokohan Ibn ‘Arabi dari sudut ilmu hadith pula, bagi membuktikan bahawa beliau bukan sahaja mahir dalam bidang tasawuf dan falsafah Islam, bahkan juga mempunyai penguasaan dalam bidang hadith. Meskipun, penguasaan beliau dalam bidang tersebut tidak sehebat tokoh-tokoh dalam disiplin berkenaan. Ini kerana beliau agak kurang melibatkan ilmu pengkritikan sanad hadith atau ilmu al-jarh wat-ta’dil. Penggunaan beliau terhadap kaedah kasyaf dalam kritik hadith juga turut menjadi perselisihan di kalangan ulama. Bagaimanapun, beliau masih menguasai disiplin sanad dan periwayatan hadith sepertimana yang akan kita lihat di bawah ini;


Tulisan Syeikh ‘Abdul Hayy al-Kattani dalam kitab Fihris al-Faharis wa al-Athbat

- Dalam juzuk 1, hlm. 316-319 kitab Fihris al-Faharis wa al-Athbat, Syeikh ‘Abdul Hayy bin ‘Abdul Kabir al-Kattani telah memuatkan biografi Ibn al-’Arabi (560-638H). Menurutnya, ramai para ulama yang telah menulis biografinya di dalam kitab-kitab mereka, seperti Ibn Musaddi, al-Munziri, Ibn Khatimah dalam (مرآة المرية), al-Ghabrini dalam (عنوان الدراية), dan menggambarkannya sebagai ("الشيخ الفقيه الجليل الحافظ المتصوف المحقق"), dan al-Hafiz Ibn al-Najjar dalam Mu’jamnya. Antara ulama yang memujinya ialah Imam al-Nawawi, Majduddin al-Fairuzabadi pengarang ”al-Qamus” serta lain-lain tokoh. Syeikhul-Jama’ah di Maghribi al-Hafiz Abu ’Abdillah al-Quri pernah ditanya tentangnya, jawab beliau: ”Beliau lebih alim dengan semua ilmu daripada ahli setiap ilmu itu sendiri”. Menurut Syeikh Zarruq di dalam salah sebuah syarahnya ke atas kitab al-Hikam: ”Aku bertanya kepada guru kami, Syeikh Abu al-’Abbas al-Hadhrami mengenai orang-orang yang mengingkari Ibn al-’Arabi al-Hatimi. Maka jawabnya: Demi Allah, beliau memang berhak diingkar, akan tetapi mesti dari orang yang lebih tinggi daripadanya, bukan dari orang yang hanya di tahap rendah!”

- Beliau mempunyai sebuah ijazah besar yang ditulisnya untuk Raja al-Muzaffar Baha’uddin Ghazi, anak Raja al-’Adil Abu Bakar ibn ’Ayyub, serta anak-anaknya. Beliau turut mengumumkan ijazah untuk sesiapa yang hidup semasa hayatnya. Kata al-Ghabrini: Beliau meriwayatkan dengan ijazah umum daripada Abu Tahir al-Sillafi, serta meriwayat juga dari orang lain selain beliau. Beliau memberi ijazah kepada semua orang di zamannya dan juga kepada sesiapa yang ingin meriwayat daripadanya. Beliau menyebut di dalam ijazah berkenaan guru yang memberi ijazah kepadanya secara umum, iaitu;

1. al-Qadhi Abu Muhammad ’Abdullah al-Bayadi al-Fasi.

2. al-Qadhi Abu Bakar Muhammad bin Ahmad bin Hamzah.

3. al-Qadhi Muhammad bin Sa’id bin Zarqun al-Ansari.

4. al-Muhaddith al-’Arif ’Abdul Haq al-Azdi al-Isybili.

5. Abu Syuja’ Zahir bin Rustum al-Asbahani, imam maqam di Mekah.

6. Abu ‘Abdillah Muhammad bin ‘Ulwan.

7. Abu Wa’il ibn al-’Arabi, anak saudara al-Qadhi Abu Bakar Ibn al-’Arabi.

8. Abu al-Thana Mahmud bin al-Muzaffar al-Labbad.

9. Muhammad bin Muhammad al-Bakri.

10. Dhiya’uddin ’Abdul Wahhab bin ’Ali bin Sakinah, syaikh al-syuyukh Baghdad. Ibn ’Arabi meriwayatkan daripadanya kitab Jami’ al-Tirmizi.

11. Abu al-Khair Ahmad bin Isma’il bin Yusuf al-Taliqani.

12. Abu Tahir al-Sillafi al-Asbahani.

13. Muhammad bin Misbar al-Baihaqi.

14. Jabir bin Ayyub al-Hadhrami.

15. Muhammad bin As’ad al-Qazwini.

16. al-Hafiz Abu al-Qasim ibn ’Asakir, pengarang Tarikh Dimasyq.

17. Abu al-Qasim Khalaf bin Basykuwal.

18. al-Hafiz Abu al-Faraj ibn al-Jawzi.

19. Ibn ’Abdil Karim al-Tamimi al-Fasi, dan lain-lain.


- Ibn ’Arabi turut menyebut banyak sanad-sanad beliau kepada kitab-kitab sunnah, tarikh, ansab (nasab keturunan) dan juga adab di awal kitabnya ("المسامرات"). Beliau juga membawa riwayat hidup guru-gurunya di dalam kitab (الدرة الفاخرة فيمن انتفعت به في طريق الآخرة) yang terdiri daripada dua jilid. Dan juga menyenaraikan ramai guru-gurunya sama ada lelaki dan perempuan di dalam risalahnya ("روح القدس").

- Ibn ’Arabi turut menghasilkan banyak karya-karya dalam bidang hadith dan rijal. Antaranya;

1. المصباح في الجمع بين الصحاح

2. اختصار صحيح البخاري

3. واختصار صحيح مسلم

4. اختصار جامع الترمذي

5. اختصار المحلى لابن حزم

6. الاحتفال بما كان عليه رسول الله صلى الله عليه وسلم من سني الأحوال

7. الأربعون المتقابلة في الحديث والأربعون الطوال

8. الأربعون القدسية خرجها باسناده

9. البغية في اختصار الحلية لأبي نعيم

10. ترتيب الرحلة: ذكر فيه رحلته إلى بلاد المشرق ومشايخه الذين اجتمع بهم وما سمع منهم

11. الرياض الفردوسية في الأحاديث القدسية

12. مشكاة الأنوار فيما روي عن الله من الأخبار (101 حديثا مسندا)

13. شمائل النبي صلى الله عليه وسلم

14. كنـز الأبرار فيما روي عن النبي صلى الله عليه وسلم من الأدعية والأذكار

15. مختصر السيرة النبوية

16. المحجة البيضاء في الحديث

17. مفتاح السعادة في الجمع بين الصحيحين وقسم من الترمذي

18. الكوكب الدري في مناقب ذي النون المصري

- Kata Syeikh ‘Abdul Hayy bin ‘Abdul Kabir al-Kattani: Saya meriwayatkan semua sanad Syeikh Muhyiddin (Ibn ’Arabi) sama ada hadith mahupun kitab, dari jalan riwayat al-Hafiz al-Suyuti, daripada Muhammad bin Muqbil, daripada Abu Talhah al-Harawi al-Zahid, daripada al-Hafiz Syarafuddin ’Abdul Mu’min bin Khalaf al-Dimyati, daripada Sa’duddin bin al-Syaikh al-Akbar, daripada bapanya (Ibn ’Arabi). Al-Suyuti juga meriwayatkannya daripada Khadijah binti al-Zain al-Armawi, daripada ’A’isyah binti Muhammad bin ’Abdul Hadi, daripada al-Hajjar, daripada al-Hafiz Muhibbuddin ibn al-Najjar, daripada beliau.

- Kata Syeikh ‘Abdul Hayy bin ‘Abdul Kabir al-Kattani lagi: Saya turut meriwayatkannya daripada al-’Arif billah Muhammad bin ’Ali al-Habsyi di Iskandariyah secara lisan, daripada Muhammad bin Ibrahim al-Salawi di Fas, daripada Syeikh Muhammad Salih al-Ridhawi al-Bukhari, daripada Rafi’uddin al-Qandahari, daripada Muhammad bin ’Abdullah al-Maghribi, daripada ’Abdullah bin Salim al-Basri, daripada al-Burhan al-Kurani, daripada al-’Arif al-Qusyasyi, daripada al-Syihab al-Syinawi, daripada al-Syams al-Ramli, daripada al-Qadhi Zakariyya, daripada Abu al-Fath al-Maraghi, daripada al-Hafiz Baha’uddin al-’Uthmani al-Makki, daripada al-Hafiz Abu Nasr Muhammad bin Muhammad al-Syirazi, daripada Ibn ’Arabi al-Hatimi (قدس سره).

- Tidak kosong satu fihris pun (kitab sanad) daripada fihris-fihris ulama terdahulu dan terkemudian sama ada fuqaha’ dan muhaddithin dari menyebut sanad karya-karya Ibn ’Arabi dan juga kitab Futuhatnya. Yang terakhir sekali ialah al-Syawkani dan ulama peringkatnya. Sekiranya anda ingin tahu kadar kedudukan Ibn ’Arabi dan hujah ulama yang mempertahankannya, maka rujuklah kitab ("الرد المتين على منتقص العارف محيي الدين") oleh Syeikh ’Abdul Ghani al-Nabulusi al-Dimasyqi.


Al-Muhaddith Subhi al-Samarra’i Meriwayatkan Sunan al-Tirmizi Melalui Jalur Riwayat Ibn ’Arabi

Kata beliau: ”Saya telah baca sebahagiannya (Sunan al-Tirmizi) dan mengijazahkan kepada saya keseluruhannya oleh ;

  1. al-’Allamah al-Sayyid Muhammad al-Hafiz al-Tijani, katanya: Saya telah baca Sunan al-Tirmizi pada
  2. al-’Allamah al-Muhaddith al-Sayyid Badruddin al-Hasani, daripada
  3. Syeikh Ibrahim al-Saqa, daripada
  4. Syeikh al-Amir al-Saghir, daripada
  5. Syeikh al-Amir al-Kabir, daripada
  6. Syeikh al-Sa’idi, daripada
  7. Syeikh ’Aqilah al-Makki, daripada
  8. Syeikh Hasan al-’Ujaimi, daripada
  9. Syeikh Ahmad al-Qusyasyi, daripada
  10. Syeikh Ahmad bin ’Ali al-Syafawi, daripada
  11. Syeikh ’Ali bin ’Abdul Quddus al-Syinawi, daripada
  12. Syeikh ’Abdul Wahhab al-Sya’rani, daripada
  13. Syeikh Zakariyya Muhammad bin Muhammad al-Faqih, daripada
  14. Zainuddin al-Maraghi al-’Uthmani, daripada
  15. Syarafuddin Isma’il bin Ibrahim al-Jabarti, daripada
  16. al-Musnid Abu al-Hasan ’Ali bin ’Umar al-Wani, daripada
  17. Muhyiddin Ibn ’Arabi al-Hatimi al-Ta’i, daripada
  18. Syeikh ’Abdul Wahhab bin ’Ali bin Sakinah al-Baghdadi, daripada
  19. Abu al-Fath ’Abdul Malik bin ’Abdullah al-Karukhi, daripada
  20. al-Hafiz Abu Isma’il ’Abdullah bin Muhammad al-Ansari al-Harawi, daripada
  21. ’Abdul Jabbar al-Jarrahi, daripada
  22. Abu al-’Abbas Muhammad bin Ahmad bin Mahbub al-Mahbubi, daripada
  23. Imam al-Tirmizi”. (mukadimah Fadha’il al-Kitab al-Jami’, h. 19)

Sanad ini menjelaskan bahawa jalur riwayat hadith Ibn ’Arabi masih diriwayatkan orang sehingga sekarang ini.

والله أعلم

Monday, December 21, 2009

Marhaban... Syeikhuna al-Habib 'Umar

Iklan/Sebaran Umum


HIMPUNAN RIBUAN UMAT DI DALAM :
MAJLIS BERSAMA ULAMA' BESAR
DARI HADHRAMAUT

AL-'ALLAMAH AL-HABIB 'UMAR BEN HAFIZ AL-HADHRAMI

AHAD , 10 JAN. 2010
(23 MUHARRAM 1431)
6 PTG - 10 MLM ,
.
DI :
MASJID AL-FALAH , USJ 9 ,
SUBANG JAYA , SELANGOR
.
sebarang info :
013-330 9474 (imam azian)
emel : MasjidalFalahUSJ9@gmail.com

.
ANDA ADALAH DIJEMPUT HADIR
& TOLONG SEBAR-SEBARKAN
.
Kami mengajak anda sama-sama sebarkan maklumat ini demi kesejahteraan usaha Dakwah Islam melalui saluran2 anda : website, blog, email group, masjid2 , surau2 atau sms anda ..
Semoga Allah mengurniakan ganjaran Dakwah Fi Sabilillah dan memberkatinya ...
jazakumullahu khairan kathiran

Friday, December 18, 2009

Hijrah, Tajdid dan Mujaddid

Matan hadith:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا.

Terjemahan:

Daripada Abu Hurairah, daripada Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah akan membangkitkan kepada umat ini pada awal setiap seratus tahun orang yang akan memperbaharui (mengislah/mentajdid) baginya agamanya." (Hadith riwayat Abu Dawud: 3740, Al-Hakim dalam Al-Mustadrak ‘Ala Sahihain: no. 8592. Al-Baihaqi, Al-Bazzar, At-Tabarani, Abu Nu’aim dan lain-lain).

Huraian hadith:

Proses memperbaharui (islah atau tajdid) dalam hadith berkenaan adalah bertujuan bagi mengembalikan umat Islam kepada pegangan Islam yang sebenar sebagaimana yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, dan mengeluarkan mereka dari kepincangan dan kekotoran yang menyelaputi agama mereka. Maka sejak berzaman kita saksikan, setiap kali umat Islam mengalami kemunduran, maka Allah s.w.t. akan melahirkan individu atau golongan dalam umat Islam yang mewakafkan hidup mereka demi membaikpulih umat Islam, memulihara dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka.

Definisi yang sebenar kepada perkataan tajdid sebagaimana yang dibawa oleh sunnah dan diperkatakan oleh ulama' Islam dan para fuqaha' ialah: ”Menghidupkan batu tanda agama setelah ia tertimbus, menyambung apa yang terburai, menerangkan sunnah daripada bidaah, dan menghidupkan amalan yang dipelajari daripada al-Quran dan sunnah”.


Berkata Syeikh al-Ghazali dalam menerangkan makna sebenar istilah ini:
"Tajdid ialah mempertahankan usul daripada apa yang merobeknya, menggilapnya daripada kesamaran yang menyelubung, menjernihkannya daripada kekeruhan. Ia seperti membasuh pakaian sehingga hilang segala kotoran atau menyapu debu yang melitupi gambar yang terbiar lama tanpa penjagaan."


Tajdid dalam Islam ialah kembali kepada asal yang unggul yang menjadi sumber kemuliaan manusia iaitu al-Quran dan sunnah. Ia tidak mungkin difahami kecuali dengan mendekatkan diri dengan tokoh-tokoh ikutan yang membebaskan diri hanya untuk kebenaran, serta menjulang panji-panji ini. Mereka adalah pelopor kebaikan dan sebagai rahmat kepada manusia. Mereka adalah ukuran keadilan dan neraca kemuliaan kepada umat manusia. (Rujukan: protajdid.blogspot.com )


Penentuan Mujaddid

Hadith di atas ini menyatakan kepada kita bahawa Allah akan membangkitkan kepada umat ini di awal setiap seratus tahun orang yang akan memperbaharui (mengislah atau mentajdidkan) baginya agamanya. Apabila para ulama di zaman tabi’in mengangkat Khalifah ’Umar bin ’Abdul ’Aziz yang lahir pada tahun 60H dan wafat pada tahun 101H sebagai mujaddid tanpa ada pertikaian mengenainya, maka dapat kita fahami bahwa kefahaman ulama salaf terhadap hadith ini ialah seorang mujaddid itu mestilah hidup di akhir suatu kurun sehingga ia meninggal dunia di awal kurun yang berikutnya.

Bagaimanapun sebahagian ulama yang terkemudian meluaskan lagi kefahaman dalam menentukan siapa mujaddid ini sehingga ulama yang meninggal dunia di pertengahan kurun berikutnya pun masih dianggap mujaddid, bukan sekadar di awal kurun. Misalnya Syeikh Badruddin al-Hasani (w. 1354H) di Syam disebut oleh ramai ulama Syam sebagai tokoh mujaddid dalam kurun ke-14H. Jika demikian, antara 1 – 60 tahun pertama dalam suatu kurun itu adalah tempoh kemunculan mujaddid. Tempoh yang lama ini nampaknya memberi peluang kepada ramai tokoh untuk dapat diangkat sebagai mujaddid!

Kefahaman yang luas demikian mungkin dapat dipertikaikan, kerana tokoh-tokoh yang cemerlang sentiasa muncul dalam setiap masa dan sepanjang zaman yang mungkin dapat diangkat sebagai mujaddid, sama ada di awal kurun, pertengahan separuh pertama, pertengahan kurun, pertengahan separuh kedua dan juga akhir kurun. Ini bersesuaian dengan hadith:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ. [رواه البخاري (6767) عَنْ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ، ومسلم (3544) عَنْ ثَوْبَانَ، واللفظ له]

Terjemahan: “Sentiasa ada satu kumpulan di kalangan umatku yang zahir di atas kebenaran, tidak memudaratkan mereka orang yang meninggalkan mereka, sehinggalah datang perintah Allah (hari kiamat) sedang mereka tetap berkeadaan demikian”.

Justeru, kefahaman ulama salaf terhadap hadith tersebut perlu diambil kira. Berdasarkan kepada penelitian umum, kebanyakan ulama mengangkat seseorang tokoh itu sebagai mujaddid di antara 1 – 30 tahun pertama sahaja atau lebih sedikit dalam sesuatu kurun itu. Ketika penulis menulis huraian ini (1hb. Muharram 1431H), kita sudahpun melangkaui 30 tahun pertama kurun ke-15H ini. Ia bermakna, tokoh-tokoh mujaddid ummah ini sudahpun muncul serta telah meninggal dunia dan bakinya mungkin masih hidup pada masa ini. Antara tokoh yang masih hidup yang dikatakan sebagai mujaddid ialah Dr. Yusuf al-Qaradawi.

Kebanyakan ulama juga berpendapat bahawa mujaddid itu tidak semestinya satu orang sahaja. Bolehjadi mujaddid itu ramai bilangannya. Bolehjadi juga ia mewakili berbagai bidang keilmuan seperti bidang fiqh, hadith, tafsir, akidah, usul, tasawuf dan sebagainya. Bolehjadi juga ia mewakili sudut politik, ekonomi, sosial, sains dan lain-lainnya. Bolehjadi juga ia mewakili sesuatu tempat atau suatu negeri. Dan bolehjadi juga ia mewakili suatu mazhab atau suatu kelompok. Pendapat ini adalah lebih tepat, kerana ketokohan individu seperti Khalifah ’Umar bin ’Abdul Aziz yang memiliki kesemua kriteria mujaddid dari segi politik, sosial, ilmu, kerohanian dan pembangunan ummah adalah sukar dicari tolok bandingnya sehingga sekarang.

Seperkara yang selalu juga bermain difikiran saya ialah jika Imam al-Mahdi yang akan muncul diakhir zaman itu juga adalah mujaddid, maka berkemungkinan masanya untuk muncul pada awal kurun ke-15 ini sudah berlalu (Allah lebih Maha Mengetahui). Walaupun setengah golongan yang tersesat sudahpun menentukan Imam al-Mahdi mereka sendiri seperti golongan Syiah dan al-Arqam di Malaysia. Jika benar demikian, bermakna Imam al-Mahdi mungkin akan muncul di akhir kurun ini dan terus lanjut hingga awal kurun berikutnya, iaitu kurun ke-16H (yakni sekitar tahun 1500H). Lintasan minda ini hanya sekiranya kita mengambil kira pendapat Imam al-Suyuti - berdasarkan riwayat-riwayat hadith - bahawa tempoh umur umat Islam ini ialah sekitar lebih kurang 1500 tahun atau lebih sedikit sahaja!!! والله أعلم

Ya Allah, ampuni kami...ampuni kami... tetapkan kami di atas jalan-Mu.

Thursday, December 17, 2009

Takhrij Doa Akhir dan Awal Tahun

Pertanyaan:

Ada disebut tentang kelebihan membaca doa awal dan akhir tahun. Antaranya : Barangsiapa yang membaca doa awal tahun ini, insya Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.

Dari manakah asalnya? Dan bolehkah kita mengamalkannya?

Jawapan:

Ada yang menyebut bahawa doa akhir dan awal tahun terdapat di dalam kitab al-Jami' al-Kabir oleh Imam al-Suyuti. Teks doa akhir tahun tersebut:

اللهم ما عملتُ في هذه السنةِ مما نهيتني عنه ولم ترضه، وحلمتَ عليّ فيه مع قدرتك على عقوبتي، ودعوتني إلى الطاعة بعد جرأتي على معصيتك فإني أستغفرك منه ، وما عملتُ فيها من عملٍ ترضاه ووعدتني عليه الثوابَ فإني أسألك أن تتقبله مني ولا تقطع رجائي منك يا كريم وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصبه وسلم .

Manakala teks doa awal tahun:

اللهم أنت الأبديُّ القديم وهذه سنةٌ جديدة أسألك فيها العصمةَ من الشيطانِ وأوليائه والعونَ على هذه النفسِ الأمّارةِ بالسوء والاشتغالَ بما يقربني إليك وإلى رضاك يا كريم يا ذا الجلال والإكرام،

Juga dinyatakan kelebihannya; akan dipelihara daripada syaitan dan dipermudahkan segala urusannya, dan jika ia hidup hingga akhir tahun, syaitan akan berkata: "Kami telah hampa daripadanya sepanjang tahun ini".

Bagaimanapun, setelah disemak doa ini tidak ditemukan di dalam kitab al-Jami' al-Kabir yang ada sekarang. Maka tidak dapat dipastikan dari manakah sumber sebenar riwayat doa ini. Justeru, sebagai berwaspada kita tidak boleh menyandarkannya kepada Nabi SAW.

Namun, dari sudut pengamalan, doa berkenaan tidak mengandungi perkara yang menyalahi syarak, maka harus untuk kita membacanya berdasarkan dalil umum suruhan dan galakan agar berdoa. Dengan syarat jangan kita yakin memperolehi ganjaran seperti yang dinyatakan, namun tidak mengapa jika kita mengharapkannya sahaja kerana harapan itu adalah termasuk doa dan sangka baik terhadap Allah SWT.

والله أعلم

Wednesday, December 16, 2009

Karya Ibn 'Arabi dan Pertalian Sanadnya

Kitab-kitab Ibn ‘Arabi dan Sanad Riwayatnya

- Ibn ‘Arabi (m. 638H) telah mengarang sekitar 400 buah kitab sama ada yang bersaiz besar mahupun yang sekadar berbentuk risalah kecil. Kitabnya yang paling besar ialah al-Futuhat al-Makkiyyah yang terdiri daripada 560 buah bab. Kitab ini telah diringkaskan oleh Imam al-Sya’rani di dalam sebuah kitab berjudul al-Yawaqit wal Jawahir.


- Kitab-kitab Ibn ’Arabi adalah berbeza dengan kitab-kitab tasawuf yang lain. Ini kerana kitab-kitab yang dikarangnya adalah ditujukan untuk golongan ahli sufi sahaja, bukan ditujukan untuk golongan-golongan lain yang bukan sufi mahupun orang awam. Maka ini berbeza sama sekali dengan kitab-kitab tasawuf yang lain, seperti kitab-kitab Imam al-Ghazali contohnya, yang dikarang untuk ditujukan kepada semua peringkat dan golongan orang mukmin.


- Justeru, kitab-kitab Ibn ’Arabi tidak diajarkan kepada semua orang kerana ia mengandungi perbahasan rohani yang tinggi dan rumit. Bagaimanapun, ada setengah syeikh-syeikh tasawuf yang mengajarkan kitab-kitab Ibn ’Arabi kepada murid-muridnya yang khusus. Seperti misalnya, Syeikh Amin Suwaid di Dimasyq, Syria. Antara murid beliau yang masyhur ialah Syeikh Muhammad Makki al-Kattani (m. 1392H), mufti mazhab Maliki di Dimasyq. Di samping mengajar kitab-kitab fiqh dan hadith, beliau turut mengajar kitab al-Futuhat al-Makkiyyah oleh Ibn ’Arabi.


- Kitab-kitab Ibn ’Arabi sehingga kini diriwayatkan orang yang bersambung sanadnya sehingga kepada Ibn ’Arabi sendiri. Antara karya penting yang merakamkan sanad kitab-kitab Ibn ’Arabi ini (selain kitab-kitab lain) ialah kitab (رياض أهل الجنة بآثار أهل السنة) susunan Syeikh ‘Abdul Baqi al-Ba’li al-Dimasyqi al-Hanbali (m. 1071H). Beliau meriwayatkannya daripada ;

1. Syeikh Ahmad al-’Ar’ani al-Biqa’i, daripada

2. Syeikh ’Abdul Wahhab al-Sya’rani, daripada

3. Syeikh al-Qadhi Zakariyya, daripada

4. Syeikh Muhammad bin Zainuddin al-’Uthmani al-Maraghi, daripada

5. Syeikh Syarafuddin Isma’il bin Ibrahim al-Hasyimi al-Jabarti, daripada

6. Syeikh Abu al-Hasan ’Ali bin ’Umar al-Wani, daripada

7. pengarangnya, Syeikh Muhyiddin Ibn ’Arabi al-Hatimi.


- Kitab (رياض أهل الجنة بآثار أهل السنة) oleh Syeikh ‘Abdul Baqi al-Ba’li ini telah diriwayatkan oleh Musnid al-Dunia, Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani al-Makki daripada ramai orang ulama. Iaitu beliau meriwayatkannya daripada ;

1. Syeikh Mahmud al-Sayyid al-Dawmi al-Dimasyqi al-Hanbali.

2. Syeikh ’Abdul Rahman bin Ahmad al-Halabi.

3. Syeikh Ibrahim bin ’Abdullah Yarsyah al-Kutubi al-Makki.

4. al-Sayyid ’Ali bin ’Ali al-Habsyi.

5. Syeikh ’Umar bin Abu Bakar Ba-junaid al-Makki.

6. Syeikh Sa’id bin Muhammad Yamani al-Makki.

7. Syeikh ’Umar bin Hamdan al-Mahrisi, muhaddith al-Haramain.

8. Syeikh ’Abdul Qadir bin Tawfiq Syalabi al-Tarabulusi.

9. Syeikh Ahmad bin ’Abdullah al-Mukhallalati.

10. Syeikh Muhammad ’Ali bin Husain al-Maliki.

11. Syeikh ’Abdullah bin Muhammad Ghazi al-Makki.


- Kesemua ulama tersebut sebagaimana yang kita lihat secara tidak langsung telah meriwayatkan kitab-kitab Ibn ’Arabi (selain kitab-kitab lain) secara bersambung sanad. Malah Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani telah meringkaskan kitab sanad berkenaan dan mengijazahkannya pula secara umum kepada semua orang yang hidup di zamannya yang ingin meriwayatkan sanadnya daripada beliau!... Katanya: (وكذا أجزت بهذا المختصر كل أهل عصري ووقتي ممن أراد الرواية عني). Jika demikian, saya sendiri dapat meriwayatkan kitab sanad tersebut daripada beliau kerana ketika beliau wafat tahun 1989 (1410H), umur saya sudah belasan tahun, dan ijazah tersebut adalah umum.

Wallahu a’lam…


Pautan-pautan lain:

1. Sebahagian kitab-kitab Ibn 'Arabi (download/online).

2. Fatwa Dr. Mahmud Ahmad al-Zain.