Pages

Thursday, July 22, 2010

Sorotan Seminar Asha'irah di UM

Saya mengharap seminar tentang faham Asha'irah yang berlangsung selama 3 hari, 20-22 Julai ini dapat mencapai objektifnya dan mampu menjelaskan kepada masyarakat akademik khususnya, termasuk aliran-aliran kontra tentang hakikat sebenar aliran Asha'irah yang merupakan kelompok terbesar Ahli Sunnah wal Jamaah pada masa dahulu dan kini. Tidak dinafikan jika ada pihak yang tidak gemar seminar ini diadakan. Namun, "jika tidak dipecahkan ruyong, manakan dapat sagunya", kerana masih ada yang tidak mengerti apakah hakikat faham Asha'irah itu sebenarnya, malah ada yang tidak mengenal secara benar siapa dia Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari r.a. yang menjadi panutan Asha'irah ini.

Kekeliruan Aliran Kontra

Saya melihat sehingga kini masih ada yang menganggap bahawa fahaman Asha'irah adalah fahaman yang disadur daripada fahaman Jahmiyyah atau Muktazilah yang menafikan sifat-sifat Allah SWT serta menetapkan takwil terhadapnya. Ada juga yang menganggap bahawa Asha'irah adalah aliran yang menyeleweng daripada mazhab imam mereka sendiri, Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari r.a. Kononnya Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari melalui tiga peringkat perubahan akidah, iaitu peringkat Muktazilah, peringkat Kullabiyyah dan peringkat Salafiyyah. Di hari pertama seminar, ada juga yang cuba membangkitkan kekeliruan ini.

Padahal kesemua tanggapan dan kekeliruan tersebut adalah tidak benar. Mana mungkin orang yang di luar sesuatu mazhab lebih arif mengenainya berbanding orang yang di dalam mazhab berkenaan. Tentunya bagi menjelaskan sesuatu mazhab, pandangan-pandangan diambil daripada tokoh-tokoh dalam mazhab tersebut. Maka yang mengatakan faham Asha'irah ini adalah faham Jahamiyyah adalah tidak benar samasekali kerana Jahmiyyah menetapkan takwil mutasyabihat, sedangkan Asha'irah menetapkan tafwidh dan mengharuskan takwil menurut syarat-syaratnya yang muktamad. Lihat perbezaan ibarat saya antara "menetapkan takwil" dan antara "menetapkan tafwidh dan mengharuskan takwil dengan syarat-syaratnya".

Begitu juga yang mengatakan Imam al-Asy'ari melalui 3 peringkat peralihan akidah adalah suatu kekeliruan. Ini tidak pernah disebut oleh mana-mana tokoh Asha'irah sendiri sehinggalah ia difatwakan oleh aliran yang berlawanan dengannya. Hakikatnya Imam al-Asy'ari hanya melalui 2 peringkat peralihan sahaja, iaitu peringkat Muktazilah dan peringkat Ahlus Sunnah.

Kitab al-Ibanah

Kitabnya yang menjadi perselisihan hangat dalam soal ini ialah al-Ibanah. Namun kitab al-Ibanah yang sampai kepada kita hari ini mempunyai berbagai versi yang agak berbeza isi kandungannya. Versi cetakan yang paling baik ialah yang ditahkik oleh Dr. Fawqiyyah Husayn kerana ketelusannya dalam membuat komparatif antara beberapa manuskrip kitab al-Ibanah dan ternyata kemudian bahawa versi-versi cetakan lain tidak dapat dipegang keabsahannya.

Tidak dinafikan ada sebahagian Asha'irah mutaakhirin yang menafikan kitab al-Ibanah sebagai karya al-Asya'ri. Namun ramai juga dari kalangan mereka yang mengatakan sebaliknya dengan mengemukakan hujah-hujah kukuh yang munasabah, antaranya ia adalah sebagai tulisan awal sesudah perpindahan al-Asy'ari dari mazhab Muktazilah kepada mazhab Ahlus Sunnah di mana pada masa itu beliau menghadapi dua kelompok kontra Ahlus-Sunnah yang amat berpengaruh iaitu Muktazilah (termasuk Jahmiyyah) dan Musyabbihah (termasuk Barbahariyyah) yang mendakwa membawa akidah Imam Ahmad bin Hanbal. Maka beliau secara sarih mengatakan mengikut pandangan Imam Ahmad bin Hanbal dengan tujuan untuk membersihkan namanya daripada palitan tasybih dan tajsim. Beliau seterusnya konsisten mendokong mazhab Ahlus Sunnah ini berdasarkan metode ahli kalam dengan menyusun berbagai kitab, dan antara pendapat-pendapatnya yang mutakhir telah dihimpunkan oleh Ibn Furak di dalam kitab "Maqalat al-Imam Abi al-Hasan al-Asy'ari".

Praktis tokoh-tokoh Asha'irah yang datang selepas itu dalam kurun ke-4, ke-5, ke-6 dan seterusnya terhadap metode Imam al-Asyari jelas membuktikan bahawa kekeliruan yang disebutkan di atas tadi adalah tertolak. Jelas menurut satu pepatah Arab: "Tuan rumah adalah lebih arif dengan isi dalam rumahnya sendiri".

Konsep Tafwidh

Inilah faham Asha'irah yang cuba diketengahkan dalam seminar ini. Barangkali ada yang sudah memahami itu dari kalangan kontra-Asha'irah, namun mereka tidak sepakat pula terhadap konsep tafwidh yang digunapakai oleh Asha'irah. Mereka lebih senang dengan konsep ithbat zahir nas dengan kata-kata lampiran "tanpa kayfiyyat" dengan dakwaan ia adalah fahaman para Salaf. Ini bertentangan dengan faham golongan Salaf menurut Asha'irah kerana zahir nas meskipun dengan kata-kata lampirannya itu tidak menutup pintu tasybih dan tajsim, bahkan ia dapat membawa kepada tasybih dan tajsim itu sendiri kerana zahir kalimah menunjukkan kepada anggota badan atau juzuk suatu jisim atau penyerupaan dengan makhluk. Dan ini mustahil bagi Allah SWT.

Golongan Salaf menurut Asha'irah berpegang kepada tafwidh dengan pengertian 'takwil ijmali', iaitu zahir nas bukan sepertimana makna yang terbayang pada akal manusia, tetapi ia adalah suatu makna yang diketahui hakikatnya oleh Allah SWT. Manakala tidak ada nas yang jelas mengharamkan takwil yang berbetulan dengan syarak dan kaedah bahasa Arab, maka Asha'irah telah mengharuskannya dengan syarat-syarat tertentu yang dinamakan 'takwil tafsili'. Bahkan ada dinukilkan dari sebahagian para Salaf yang menggunakan 'takwil tafsili' ini seperti Ibn 'Abbas r.a., Mujahid, Ibn al-Mubarak, Ahmad bin Hanbal, al-Bukhari dan lain-lain. Ini menguat dan mengukuhkan lagi metode yang dipilih oleh Asha'irah.

Peranan Akal

Perbahasan yang halus ini barangkali tidak difahami oleh sebahagian orang yang hanya ber'akidah ikut-ikutan' sahaja. Perlu diingatkan bahawa keampuhan hujah tidak sekadar bergantung pada naqal semata-mata tanpa aqal, tetapi ia memerlukan kepada gabungan naqal dan aqal sekaligus. Inilah kekuatan pegangan mereka yang disebut oleh al-Quran sebagai 'Ulul-Albab'. Perlu disedari bahawa akal juga memainkan peranan penting dalam ilmu akidah, terutama di dalam menghadapi berbagai aliran-aliran pemikiran semasa yang bertentangan dengan akidah yang benar.

Saya amat tertarik dengan ucapan Prof. Dr. Deen Muhammad Sahib, dari Universiti Qatar dalam ucaptama seminar yang membuat komparatif antara Metode Ash'ari dan Metode Salafi-Wahhabi.

Menurutnya, Metode Ash'ari mampu menghadapi tentangan-tentangan musuh dan mempertahankan akidah Islam kerana ianya:

- menghimpunkan secara harmoni antara aqal dan naqal.
- beriltizam dengan nas dan mampu menangani realiti.
- tidak mengkafirkan ahli qiblat.
- berpegang dengan firman Allah Taala: (ليس كمثله شيئ) sebagai suatu kaedah yang muhkam.
- beriltizam dalam menafikan makna zahir yang terlintas dari segi bahasa, dan menggunakan takwil menurut neraca syarak, kaedah bahasa Arab, uslub ilmu bayan dan hukum akal yang qat'i.
- berpegang pada tanzih dan menolak tasybih dan tajsim serta semua yang dapat mendorong ke arahnya.
- mengambil kira faktor penyanggah yang qat'i lagi sabit.
- menyatupadukan antara uluhiyyah dan rububiyyah serta tidak mengasingkan kedua-duanya.
- beriltizam dengan konsep baharunya sesuatu selain Allah Taala.

Manakala Metode Salafi-Wahhabi tidak mampu untuk menghadapi cabaran-cabaran semasa dan global kerana ianya berciri :

- takfir.
- kebekuan/kejumudan akal.
- tertutup.
- menafikan sejarah.
- sempit.
- mengasingkan rububiyyah daripada uluhiyyah.
- memberi tumpuan kepada islah akidah yang telah disepakati oleh jumhur umat Islam selama 1000 tahun, dan mengabaikan pula islah pelbagai sudut sosial masyarakat.
- menentang pemikiran logik.

Beliau turut menyarankan dua buah buku yang ditulis oleh dua orang sarjanawan ulung dunia Islam agar dibaca, diteliti, diterjemahkan dan dikembangkan idenya secara lebih meluas, iaitu;

1. Mawqif al-'Aql wal-'Ilm wal-'Alam min Rabb al-'Alamin wa 'Ibadih al-Mursalin oleh Syeikhul-Islam Mustafa Sabri.

2. Prolegomena to the Metaphysics of Islam: An Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas (Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC))(1995).

Gagasan Ahlus Sunnah Asha'irah Moden

Alhamdulillah, ada lebih dari 40 kertas kerja yang dikemukakan dalam seminar ini yang ditulis oleh ramai sarjana dan pengkaji dari berbagai bidang seperti akidah, tafsir, hadith, fiqh, sejarah, dakwah, falsafah, tasawuf dan lainnya, sama ada dari dalam mahupun luar negara. Ada nama-nama yang sudah dikenal dan ada nama-nama yang masih baru. Antara nama-nama yang biasa didengar bagi saya ialah seperti Dr. Sulaiman bin Ibrahim al-Baruhi, Ustaz Muhammad Uthman el-Muhammady, Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki Berahim @ Ibrahim, Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Hamat, Dr. Khalif Muammar A. Harris, Prof. Madya Mohamad Kamil Hj. Ab. Majid, Prof. Madya Dr. Asmadi Mohd Naim, Prof. Madya Dr. Wan Suhaimi bin Wan Abdullah, Dr. Mohd Farid Mohd Shahran dan Prof. Madya Dr. Mudasir Rosder .

Barangkali ada yang menganggap bahawa seminar ini bertujuan untuk menghentam Ibn Taymiyyah dan Muhammad bin 'Abdul Wahhab sebagai dua tokoh yang sering menjadi rujukan aliran kontra dalam masalah akidah. Tentunya tuduhan ini tidak benar, kerana Ibn Taymiyyah mahupun Ibn 'Abdul Wahhab, serta para pengikut mereka (Taymiyyun dan Wahhabiyyun) mempunyai kebebasan untuk mengkritik lawan dan menyuarakan pandangan mereka, maka apakah pihak lawan mereka tidak punya kebebasan untuk bangkit dan mempertahankan diri? Ini adalah percaturan yang tidak waras. Jika yang dikritik oleh Ibn Taymiyyah dan Ibn 'Abdul Wahhab itu ialah pemikiran-pemikiran dan pandangan-pandangan lawan, begitu juga apa yang dikritik oleh pihak lawan mereka - dan maksud di sini ialah Asha'irah - adalah pemikiran-pemikiran dan pandangan-pandangan Ibn Taymiyyah dan Ibn 'Abdul Wahhab, mahupun para pengikut mereka yang dilihat tidak benar, bukan lain atau peribadi.

Tidak timbul soal menghentam dan memukul siapa kerana inilah kefahaman masing-masing dalam mematuhi tuntutan dan kehendak syariat. Maka yang dilihat sebagai batil - di luar lingkungan Ahlus Sunnah wal Jamaah - perlu ditegur dan diberi nasihat. Apa yang menjadikan situasi lebih serius sebenarnya adalah berpunca dari sikap melampaui batas dan masalah kedangkalan ilmu. Melampau batas dalam apa jua situasi dan dari mana jua munculnya adalah suatu yang negatif dan dicela. Soal melampau ini kadangkala begitu halus, dan ia perlu dilihat sebagai suatu barah yang perlu dirawat dengan segera sebelum ianya semakin parah.

Mudah-mudahan kita dijauhkan oleh Allah Taala daripada penyakit ini, dan semoga Allah s.w.t. memelihara kita golongan Ahlus Sunnah wal-Jamaah. Amin.

Saturday, July 10, 2010

Sosok Hidup Sasterawan Nora


Maaf jika kali ini saya mahu bicara tentang sastera. Suatu dunia yang dianggap sunyi dan terpinggir oleh sesetengah orang. Namun dianggap unik oleh setengah yang lain.

Sudah lama tidak menulis di blog, tiba-tiba berbicara tentang sastera? Dulu saya adalah pelajar aliran sastera. Aliran yang dianggap tidak menjamin masa depan. Dipandang oleh rakan-rakan dari aliran sains sebagai kelas kedua.

Namun saya yakin dunia sastera ini ada sumbangannya dalam kehidupan insan. Bahkan ia menjadi nadi yang mengepam ketenangan dalam tubuh ramai insan sama ada mereka sedar atau tidak. Apatah lagi jika disemai dengan acuan Islam.

Menyentuh sastera Islam atau yang berbau Islam, tidak ramai di tanah air nama-nama besar yang boleh disebutkan. Mungkin dapat dibilang dengan jari-jari sebelah tangan saja.

Beberapa hari lepas, saya membeli buku Di Tengah Kota: Memoir Sasterawan Nora (2010) oleh Haji Ali Haji Ahmad atau nama masyhur penanya NORA. Biasanya saya tidak ambil pusing dan kurang berminat jika ia cuma penulis biasa. Namun sasterawan yang ini ada nilai nostalgia yang tersendiri, terutama sajaknya yang masyhur itu; Sakaratul Maut. Tidak ramai pada masa dulu sasterawan yang terus terjun dalam medan dakwah, meskipun jalan dakwah yang dipilih Nora itu mengundang seribu tanda tanya.

Dalam masa beberapa hari saya habis membacanya kerana Nora 'tidak membenarkan' pembacanya menguap kebosanan. Nah, rupanya Nora sudah di takah usia emas, 83 tahun. Memoir setebal 295 halaman, memuatkan asam-garam dan pahit manis hidupnya selama 83 tahun! Tentunya banyak yang ditinggal.

Bagaimanapun, buku ini sudah cukup untuk menggambarkan gaya hidup Nora yang penuh sederhana, rendah diri, berhati mulia, mudah berpada, sabar, tenang, gigih, mesra dan penuh syukur.

Berbagai lapisan orang diimbau oleh Nora. Dari nama-nama besar sehingga nama-nama kecil, malah nama seorang pekerja Indon di sebuah warung makan sekalipun. Ada kenangan zaman Jepun di Johor Bahru, Johor sehinggalah ke terataknya kini di Rawang, Selangor.

Apa yang mengesankan saya ialah kehidupannya yang serba sederhana, kerana lumrah kerjaya sebagai penulis memang sukar untuk bisa menjadi kaya-raya. Bukan sekadar itu, bahkan oleh kerana pengorbanannya di dalam al-Arqam dahulu, sehingga usianya lebih 80 tahun beliau masih menanggung hutang dengan bank sebanyak RM60,000. Lantaran kerana tidak mampu membayar beliau menghadapi pula masalah rumahnya akan dilelong. Itu semua berlaku di takah usia mencecah 80 yang sepatutnya sudah bisa tenang beribadah seperti orang lain menghabiskan sisa-sisa hidupnya.

Saya termenung lama membaca sajaknya, yang antara lain berbunyi (hlm. 238);
"Wahai rumahku syurgaku
Aku nak masuk juga
Aku nak bunuh syaitan dan jin taksubku
Aduh! Aduh!
Minyak wangi busuk taksub Sungai Penchala
Menggigit seluruh tubuhku..."

Inilah ujian Allah yang dihadapinya selain dari ujian-ujian lain. Antaranya, isterinya diserang strok menyebabkan dia tidak bisa lagi membuat kuih yang dijaja di sebuah pasar tani. Walaupun begitu mereka tetap redha dan pasrah.

Nora adalah tokoh sasterawan Islam yang hanya berkelulusan sekolah atap. Tetapi tinta penanya masih mengalir hingga ke takah usia kini. Inilah kisah suka-dukanya. Ada teladan dan pengajaran yang boleh diambil. Mungkin barangkali memoir ini adalah yang terakhir dari coretannya... Allah saja yang tahu.

Pautan lain:
- Catatan Sasterawan Osman Dol yang juga disiar dalam buku tersebut.

Friday, July 2, 2010

Seminar Yang Ditunggu!


Pada bulan Mei lepas telah berlangsung seminar antarabangsa di al-Azhar Mesir mengenai Imam al-Ash'ari dan peranannya dalam bidang akidah. Maka sebagai kesinambungan daripada seminar berkenaan akan berlangsung pada bulan ini seminar mengenai Asha'irah di UM, Kuala Lumpur. Ia adalah seminar yang amat ditunggu-tunggu sebenarnya oleh golongan Ahlus Sunnah di Malaysia daripada pihak ahli akademik di universiti dalam menyatakan pandangan mereka dalam isu-isu akidah, terutama yang berhubung dengan serangan daripada fahaman Taimiyyun.





Rujukan:
- Seminar PEMIKIR II

Tuesday, June 8, 2010

al-'Allamah al-Hasan bin al-Siddiq al-Ghumari رحمه الله



al-'Allamah al-Kabir al-Sayyid al-Hasan bin al-Siddiq al-Ghumari kembali ke rahmatullah pada 23 Jamadil AKhir 1431 bersamaan dengan 6hb. Jun 2010, mengikuti abang-abangnya Ahmad, 'Abdullah, al-Zamzami, 'Abdul Hay dan 'Abdul 'Aziz رحمهم الله.

Beliau dilahirkan pada tahun 1926 di Tanja, Maghribi. Antara guru-guru beliau ialah abang- abangnya Ahmad, al-Zamzami dan 'Abdullah, Syeikh al-'Arabi Bu 'Iyad, anaknya 'Abdul Salam Bu 'Iyad, Syeikh 'Abdur Rahman al-Juzairi, Syeikh 'Abdus Salam al-Banani dan lain-lain.

Beliau pernah meraih Anugerah Sultan Muhammad VI bagi ahli hadith. Namun, tidak seperti abang-abangnya, beliau agak kurang memberi tumpuan kepada bidang penulisan kerana masanya lebih banyak ditumpukan kepada bidang dakwah dan pengajian. Antara karya-karya beliau ialah;

التبيان لحجة عمل الإخوان في توحيد صوم رمضان

:سلسلة دروس ومحاضرات – الجزء الأول (مطبوع)، ويشتمل هذا الجزء على الموضوعات الآتية

التصوف وأثره في نشر العلم والمعرفة

تكريم الإسلام للمرأة

فضل ليلة القدر

الشفاعة الكبرى

ديوان خطب الجمعة - مخطوط -

مجموعة من الفتاوى والنوازل-

Rujukan:


رحمه الله وجعل مثواه الجنة

Thursday, June 3, 2010

Dzhannet: Perjuangan Getir di Bumi Terpinggir


Sementara semua dunia Islam tertumpu kepada perjuangan rakyat Palestin (termasuk perjuangan kabur al-Fattah) menentang Rejim Israel, sehingga banyak bantuan dihulurkan kepada mereka meskipun menghadapi ancaman ganas daripada tentera Yahudi, nun jauh di bumi Caucas bergolak satu pertempuran yang sengit. Kerana jurang perhubungan luar dan bahasa, maka berita-berita dari bumi berkenaan agak lambat sampai kepada kita berbeza dengan tempat-tempat lain di Timur Tengah dan Afrika.

Membaca kisah perjuangan rakyat Dagestan, sebenarnya menuntut kita agar memberi bantuan atau sokongan padu buat mereka sama sepertimana sikap prihatin kita kepada umat-umat Islam lain yang tertindas di tanah sendiri. Gambar sepasang suami isteri yang telahpun tiada lagi di atas ini mampu menceritakan serba sedikit tentang semangat tinggi dan kisah getir perjuangan mereka. Dzhannet, yang berusia 17 tahun ini telah membuat serangan berani mati demi menuntut bela atas kematian suaminya menyebabkan 12 orang terbunuh di Moscow.

Ramai penduduk Dagestan menuduh Moscow cuba mencetuskan kebencian orang ramai terhadap Caucasus Utara yang majoriti penduduknya beragama Islam. Kremlin menganggap wilayah itu sebagai masalah politik tempatan paling besar dihadapinya.

Kebangkitan Islam semakin membara di wilayah itu, khususnya di Dagestan, Ingushetia dan negeri jiran, Chechnya, yang menyaksikan dua peperangan menuntut pemisahan dari Moscow pada pertengahan 1990-an.

Tentera Tsar yang mengambil masa puluhan tahun untuk menawan wilayah itu pada abad ke-19 kini berterusan menjadi wilayah yang menentang pemerintahan Moscow. Pejuang Islam yang didorong kemiskinan dan ideologi jihad global melancarkan serangan hampir setiap hari di Caucasus Utara dengan hasrat membentuk sebuah negara Islam merdeka.


Rujukan:

- MyMetro

Sunday, May 30, 2010

Mengenang Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim رحمه الله تعالى

Antara perkara yang dapat menyejukkan hati dan menenangkannya ialah melihat wajah orang-orang soleh (kalau tak sejuk dan tenang, itu tanda hati dah karat sangat!). Ada diriwayatkan bahawa dengan melihat orang-orang soleh fikiran kita akan teringat kepada Allah SWT disebabkan akhlak dan perbuatan orang-orang soleh tersebut yang tidak lari dari kaitan berzikir kepada Allah SWT. Ini adalah antara foto kenangan bagi al-Marhum Mawlana al-Imam al-Ra'id al-'Allamah Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim, syeikh Tariqat Syaziliyyah Muhammadiyyah dan pengerusi al-'Asyirah al-Muhammadiyyah Mesir رحمه الله تعالى ورضي عنه. Beliau meninggal dunia sewaktu saya masih di Mesir lagi namun saya tidak berpeluang untuk menziarahi beliau sepanjang tempoh tersebut, cuma majalah 'Muslim' yang diterbitkannya sentiasa menjadi idaman saya pada setiap keluarannya. Beliau adalah antara ulama yang dikategorikan oleh Prof. Dr. Ahmad 'Umar Hashim sebagai muhaddith / ahli hadith di dalam kitabnya 'al-Muhaddithun fi Misr wa al-Azhar'.

Dalam foto di atas menceritakan secebis daripada rutin kehidupan beliau. Jika diperhatikan jam di dinding sudah menunjukkan pukul 9. 20 pagi, dalam musim dingin yang sejuknya menggigit kulit. Kerana itu beliau memakai pakaian tebal bagi musim sejuk. Ia adalah suatu rutin biasa waktu bagi beliau membaca surat khabar, namun disebabkan matanya sudah kabur dan usianya yang lanjut beliau terpaksa menggunakan kanta pembesar bagi memudahkannya membaca. Penglihatan beliau terjejas tentunya disebabkan antara lain oleh kerja-kerja menulis dan menelaah yang banyak dilakukan oleh beliau sejak dari usia muda lagi. Bersebelahan katilnya terletak rak kitab-kitab bagi memudahkan beliau mencapai mana-mana kitab yang ingin ditelaahnya, atau membelek dokumen-dokumen penting. Rak tersebut juga dibuat tinggi sebagai memelihara adab terhadap kitab serta memuliakannya. Dipenjuru katil pula tersangkut di atas kaki katil seutas tasbih yang digunakan oleh beliau untuk berzikir kepada Allah SWT, kerana menjadi rutin kebiasaan beliau berzikir selepas dari solat subuh sehinggalah ke waktu syuruk.

Syeikh Muhammad Zaki adalah antara tokoh ulama tasawuf yang berdiri dengan teguh dalam mempertahankan amalan-amalan kesufian daripada serangan aliran-aliran yang kontra terhadapnya. Beliau juga tidak berdiam diri serta mengkritik secara tegas mana-mana bentuk penyelewengan atau amalan yang terkeluar daripada syarak yang berlaku di kalangan ahli-ahli sufi sendiri. Perjuangan beliau dalam memartabatkan maqam ihsan tidak terhenti setelah kewafatannya semata-mata, malah ia tetap diteruskan dan dikembangkan lagi oleh para pengikut serta murid beliau dan juga para pencinta sehinggalah ke hari ini. Alhamdulillah.

Rujukan:

- Rawd al-Rayyahin.

Saturday, May 22, 2010

Mempertahan Habib 'Ali al-Jufri حفظه الله


Pengaruh Habib 'Ali al-Jufri, tokoh pendakwah internasional, memang ditakuti oleh mereka yang tidak sependapat dengannya. Kebangkitan golongan Haba'ib (habib-habib) di masa mutakhir ini yang turut berdiri di belakang Habib 'Ali juga mengkhuatirkan mereka. Mereka tidak mahu fahaman aliran perdana yang dibawa oleh Habib 'Ali dan juga Habib 'Umar akan menghalang dan membantutkan perkembangan aliran yang dibawa oleh mereka. Alangkah baiknya jika mereka ini bersama-sama mendokong agenda membetulkan IMAN umat Islam, bukannya membawa agenda yang kononnya mahu membetulkan AKIDAH umat Islam. Jika mahu juga membawa agenda AKIDAH, bukankah lebih baik jika segala dana dan usaha yang besar itu ditujukan kepada umat manusia di Amerika, Eropah, Afrika, China, India dan lain-lain yang masih belum berakidah Islam. Adapun masalah umat Islam sekarang ini ialah masalah IMAN... masalah IMAN yang serius.

Inilah isu yang difokuskan oleh pendakwah-pendakwah Islam yang tulus ikhlas seperti Habib 'Ali al-Jufri dan lain-lain. Sudah ramai yang bertaubat di tangan beliau dan tidak kurang juga yang memeluk Islam dengan sebabnya. Namun, mereka yang tidak senang dengan pengaruh Habib 'Ali ini telah melontarkan kepada beliau berbagai tohmahan buruk, seperti penyebar bidaah, pembawa khurafat, malah ada yang percaya beliau layak sebagai ahli neraka... نعوذ بالله. Masya' Allah, inilah sunnah bagi para pendakwah. (Pendakwah-pendakwah Tabligh pun kena dengan dia orang ni dengan dituduh sebagai jemaah bidaah dan khurafat!)

Antara kitab yang mengkritik Habib 'Ali ialah kitab 'Ila Aina Ayyuhal Habib al-Jufri'. Dikatakan Syeikh Mustafa al-Khin telah memuji kitab berkenaan. Bagaimanapun, beliau telah menarik balik kenyataannya itu (lihat sebelah atas teksnya) dan mengakui kesilapannya serta memuji ketokohan Habib 'Ali. Alhamdulillah.

Kitab tersebut telah dijawab oleh Syeikh 'Abdul Hadi al-Kharsah dengan kitabnya 'al-Radd al-'Ilmi al-'Alani' (sila download) secara terperinci. Satu lagi kitab yang mempertahankan Habib 'Ali ialah kitab 'al-Jufri fil Mizan' oleh Syeikh Habib 'Abdur Rahman Salami (sila download) yang menjawab kaset 'Hiwar Hadi' Ma'a al-Syaykh al-Jufri'.

Semoga Allah Ta'ala memelihara Syaykhuna Habib 'Ali al-Jufri dan semua para ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah serta meninggikan darjat mereka di dunia dan akhirat. Amin. Semoga Dia juga menyedarkan orang-orang yang terpedaya dengan ilmunya lalu menyangka diri mereka sahaja yang benar dalam masalah-masalah tertentu, padahal mereka sendiri tidak pasti secara putus (qat'i) apakah itu sebenarnya adalah kehendakNya yang sebenar-benar di sisiNya. Semoga Allah menunjukkan kepada kita kebenaran dan meneguhkan kesatuan umat Islam Ahlus Sunnah wal Jamaah. Amin.

Tuesday, May 18, 2010

Kesan Negatif Fahaman Wahhabi Terhadap Akal

Kesan fahaman Wahhabi yang tidak dicerakin dengan baik mampu menjadikan orang yang menganutinya bersifat melampau, ekstrem dan keras, serta berbahaya terutama kepada akidah umat Islam. Perkara ini sudah sedia dimaklumi oleh ramai orang yang telah mempunyai peristiwa dan pengalaman yang pahit dengan mereka. Petikan entri yang dilampirkan di bawah hanyalah satu contoh sahaja daripada sekian banyak tragedi-tragedi yang mengguris hati...

Sebaik sahaja saya membaca entri tersebut yang saya petik daripada blog Tahu, Faham & Amal, saya tidak dapat menahan diri untuk menyebarkannya dalam blog saya, terutama apabila si malaun tersebut mendoakan Tokoh Pendakwah Islam Internasional yang Tersohor Syeikh kami yang dihormati al-'Allamah al-Habib 'Ali al-Jufri (semoga Allah memelihara dan meninggikan darjatnya) agar masuk ke dalam neraka!! Malah saya berpendapat tuan blog Tahu, Faham & Amal bersetuju jika saya katakan ianya wajib disebarkan seberapa luas yang boleh. Inilah bahaya fahaman WAHHABI! (geram betul aku...)

----------------------------------

Apabila Ulamak Islam DiLaknat Dan Didoakan Masuk Ke Neraka Jahannam
Dipetik daripada blog: Tahu, Faham & Amal.


Assalamu 'alaikum warahmatuLlah.


Apabila sudah diberi nasihat berkali-kali oleh ramai ahli dalam Facebook. Namun malangnya nasihat sudah tidak diendahkan. Malahan dengan sikap sombong dia tetap membuat pelbagai tuduhan sesat ke atas ulamak dan umat Islam yang tidak sependapat dengannya. Maka terpaksalah didedahkan tulisan tuduhan individu ini.

Dan antara pengikut yang pro kepada Wahhabi dan membuat beberapa groupfans di FACEBOOK. Antaranya KIAMAT SUDAH HAMPIR, AHLI SUNNAH dan MENJAWAB SALAH FAHAM TERHADAP WAHABI. Jangan terkejut, walaupun dia mengaku mengikut al Quran dan Sunnah. Namun dia berani melaknat seorang ulamak Islam dan mendoakannya masuk ke neraka.


Bukti dia melaknat seorang ulamak Islam dan mendoakan agar Habib Ali Al-Jufri ditempatkan di dalam neraka Jahannam :


Bahkan juga berani menuduh Profesor Dr. Haron Din sebagai ULAMAK SIHIR ! Buktinya :


Perhatikanlah baik-baik. Di masa ini sudah pun ada manusia sebegini yang berani melaknat ulamak Islam, serta menghukum ulamak sebagai ulamak sihir. Alangkah bahayanya ajaran Wahhabi. Sudah wajarlah ia perlu dibanteras di Malaysia.


* p/s: Sila baca komen di bawah...

Monday, May 17, 2010

Muktamar Imam al-Asy'ari رحمه الله ورضي عنه

Kertas-kertas kerja yang dibentang dalam muktamar (pautan asal) pada minggu lepas (8-11hb. Mei 2010) di Kaherah, Mesir. Alhamdulillah, sebahagiannya dapat di'download'... sila ke pautan asalnya. Jika tak boleh juga, mungkin ada masalah pada taliannya. Atau cuba try sini pulak (nokhbah.net) ;


المتحدث

الدولة

الموضوع

أ.د / رجب محمود خضر

مصر

موقف الإمام الأشعري من المتشابهات .

أ.د / خالد أبو الفضل

مصر

الاتجاهات الفقهية فى عصر الأشعري .

أ.د/ أيمن محمود شحادة

بريطانيا

الإتجاهات العقدية فى عصر الإمام الأشعري .

أ.د / رضوان السيد

لبنان

الإمام الأشعري والنهضة الإسلامية الحديثة: قراءة معاصرة للإمام الأشعري .

أ.د/ بشار عواد معروف

العراق - الأردن

نظرات فى ترجمة الإمام الأشعرى فى المصادر القديمة .

أ.د / حسن محرم الحوينى

مصر

الإمام الأشعري و ابن كُلاب .

د / يوسف حنانا

المغرب

سيرة الإمام الأشعري بين الحقائق و الأوهام .

د / عبد الحكيم أنيس

سوريا

شيوخ الإمام الأشعري وتلاميذه .

أ.د/ أحمد خان

باكستان

الإمام الأشعري فى الدراسات والبحوث بشبه القارة الهندية.

د/العربى بِشْرِي

فرنسا

الإمام الأشعري فى الدراسات والبحوث الفرنسية.

أ.د/سيد باغَجْوَان

تركيا

الإمام الأشعري فى الدراسات والبحوث التركية الحديثة.

أ.د/دِين محمد مِيرَا

سيريلانكا

الإمام الأشعري فى الدراسات والبحوث الإنجليزية.

أ.د/عبد الكبير العَلَوِىّ المدَّغْرِى

المغرب

الإمام الأشعري وواقعنا المعاصر.

أ.د/حسن عبد اللطيف الشافعى

مصر

فكر الإمام الأشعري من خلال كتاب مجرد المقالات لابن فُورَك.

الشيخ/محمد عُزيْر شمس

الهند

تراث الإمام الأشعري بين المطبوع و المخطوط.

أ.د/محمد ربيع الجوهري

مصر

أبو الحسن الأشعري فى كتابه مقالات الإسلاميين.

أ.د/عبد العزيز سيف النصر

مصر

وَسَطِيَّة الإمام الأشعري فى الإنسانيات بين الـجَبْرِ والتَّفْوِيض .

الشيخ /محمد صالح الغرسى

تركيا

عقيدة الإمام الأشعري أين هى من عقائد السلف .

أ/مجد مَكَّي

سوريا

عقيدة الإمام أبى الحسن الأشعري فى الإبانة وموافقتها لما فى اللُّمَع و باقى كُتُبِه .

أ.د/فتحي عبد الرازق

مصر

نظرات في نسبة كتاب الابانة للإمام الأشعري وترتيبه بين مؤلفاته .

أ.د/مصطفي بن حمزة

المغرب

الإمام الأشعري وقراءة النص .

د/الشريف حاتم بن عارف العوني

السعودية

اليقينى والظَّنِّيُّ: سِجالٌ بين العقل والنقل عند

الإمام أبى الحسن الأشعري والمحدثين .

أ.د/احمد عجيبه

مصر

الإمام أبو الحسن الأشعري ومُنْحَنَى تطوُّره العَقَدِي .

أ.د/محمد كمال إمام

مصر

الإمام ابو الحسن الأشعري اصولياً .

أ.د/عمار طالبى

الجزائر

نظرات فى فلسفة الإمام الأشعري .

أ.د/السيد ولد أباه

موريتانيا

الإمام الأشعري فيلسوفاً: قراءةٌ جديدةٌ .

أ.د/إبراهيم محمد زين

السودان

واقعية المنهج الكلامى عند الإمام الأشعري و دورها فى مواجهة التحديات الفلسفية المعاصرة .

أ/سعيد فودة

الأردن

تأملات فى الفكر الفلسفي عند الإمام الأشعري .

أ.د/محمد سعيد رمضان البُوطى

سوريا

اثر الإمام ابى الحسن الأشعري فى منهج التفكير الإسلامى قديما وحديثا .

أ.د/أيمن شبانة

أمريكا

من العادة إلى العرف (الأسس الكلامية لمفهوم العرف فى التراث الإسلامى) .

د/حسان فِلِمْبَان

السعودية

ملامح التجديد الأصولي عند الإمام الأشعري .

أ.د/محمد السليمانى

الجزائر

الإمام الأشعري فى الدراسات العربية الحديثة .

أ.د/أحمد حسن فرحات

سوريا

إمتداد فكر الأشعري لدى المفسرين .

أ.د/أبو لبابة حسين

تونس

إمتداد فكر الأشعري لدى المحدثين .

أ.د/نجاح الغنيمي

مصر

إمتداد فكر الأشعري لدى الصوفية .

أ.د/ابو يَعْرُب المرزوقي

تونس

العلاقة بين الوصف و تأسيس علم الكلام فى تراث الإمام الأشعري .

أ.د/محمد سليم العَوَّا

مصر

أبو الحسن الأشعري إمام الوسطية .

أ.د/عبد الرحمن المراكبى

مصر

التأليف و التوازن الفكرى عند أبى الحسن الأشعري .

أ.د/عبد المجيد الصُّغَيّر

المغرب

الوَسَطِية كمشروعِ لتدبيرِ الاختلافِ عند الأشعري. (الـمُبَرّرَات والمظاهِر والنّتائج) .

أ.د/عبد المجيد النجار

تونس

فقه السياسة الشرعية عند الإمام الأشعري .

أ.د/عبد الله بن بَيَّه

موريتانيا

نظرات فى منهج الإمام الأشعري

أ.د/عمر عبد الله كامل

السعودية

الإمام الأشعري بين الحنابلة و المعتزلة .

أ.د/محمد طاهر الميساوى

تونس

جهود الإمام الأشعري فى تأسيس الحوار مع الآخر وتأصيل مناهج النَّقْد و التقويم .

أ.د/محمد الرَّاونْدِي

المغرب

حضور الإمام الأشعري فى تراث الغرب الإسلامى .

أ.د/عبد الرزاق قَسُّوم

الجزائر

الجانبُ الفلسفى فى مقالات ابى الحسن الاشعري .

أ.د/محمد عبد الستار نصَّار

مصر

بين العقل والنقل في منهج الإمام الأشعري .

د/عارف نايض

لبييا

الإمام الأشعري فى الفكر الأوربى .

أ/أنْدرِيَا تَرنْتِينى

إيطاليا

الإمام الأشعري فى المصادر الأوربية حتى القرن التاسع عشر .

Thursday, May 13, 2010

Ashaari Muhammad Meninggal Dunia

Laporan Malaysiakini


Mei 13, 10 - 5:16pm


Bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad meninggal dunia di Hospital Ipoh Specialist Center pada jam 2.10 petang kerana jangkitan paru-paru.

Menurut Utusan Malaysia Online, jenazah beliau akan dibawa ke Rembau, Negeri Sembilan selepas solat jenazah di Ipoh.

Ashaari yang juga Pengerusi Syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd berada di Ipoh dalam siri lawatan ke rangkaian perniagaan syarikat berkenaan.

Sementara itu, Bernama memetik seorang kakitangan syarikat berkenaan, Marzuki Hussein bahawa jenazah Ashaari yang dipanggil Abuya oleh para pengikutnya telah dibawa ke kampung asalnya di Kampung Pilin, Rembau, untuk dikebumikan.

Katanya, Ashaari berada di Ipoh selepas melawat Thailand dan Kedah dan dikejarkan ke hospital Isnin lalu selepas mengadu sakit dada.

Jurucakap hospital berkenaan sementara itu berkata Ashaari meninggal dunia pada 2.10 petang tadi.

"Ini siri lawatan biasanya ke rangkaian perniagaan Global Ikhwan," kata Marzuki kepada Bernama selepas jenazah Ashaari disembahyangkan di sebuah banglo milik syarikat itu di Ipoh.

Marzuki berkata rumah berkenaan adalah rumah tamu syarikat berkenaan.

Rombongan yang membawa jenazah Ashaari ke Rembau berlepas dari rumah berkenaan pada kira-kira 5.30 petang tadi.

Kira-kira 200 pengikut Ashaari turut berada di rumah berkenaan.

Kumpulan Al Arqam diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994.

Apabila ajaran Al-Arqam diharamkan, Ashaari ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 2 hingga 24 Sept 2004 sebelum ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad di Rawang dan Wilayah Persekutuan Labuan selama 10 tahun.

Al-Arqam diasaskan oleh Ashaari juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah dan aktivitinya berada di kemuncak sekitar lewat 80-an dan 90-an dan dilaporkan mempunyai kira-kira 10,000 pengikut.

Kumpulan itu dilaporkan menyebarkan kegiatan dakwah Islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan,perniagaan, perubatan, dan pertanian.

Ashaari menimbulkan kontroversi kerana pernah mendakwa beliau berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW secara sedar dan meramalkan dirinya akan menjadi perdana menteri Malaysia selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.

--------------------------------

Ulasan:

Ashaari di kaca mata pengikutnya memang hebat hingga isterinya, Khadijah Aam telah menulis buku berjudul: ABUYA ASHAARI MUHAMMAD Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya (THE MOST MIRACULOUS LEADER OF HIS TIME). Namun, kesemua buku-buku al-Arqam @ Rufaqa @ Ikhwan yang diterbitkan telah diharamkan oleh JAKIM. Setelah beliau pergi meninggalkan pengikut-pengikutnya, apa pula agaknya agenda mereka bagi meneruskan perjuangan 'Putera Bani Tamim' ini?? (Lihat sini)


Harap jangan pula ada pengikut Ashaari yang mendakwa dia hanya pergi sementara dan akan kembali semula sebagai Pemuda Bani Tamim atau Imam Mahdi. Atau ada yang mendakwa tugas dan pangkat tersebut telah berpindah milik untuk dipikul olehnya pula...