Pages

Thursday, August 19, 2010

Samahatus Syeikh Ustaz Ahmad Sonhadji, Pengarang 'Abru al-Athir


Khamis, 2 Ramadhan 1431H bersamaan 12 Ogos 2010, telah kembali ke rahmatUllah seorang ulama Alam Melayu. Beliau adalah Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad Milatu rahimahUllah, pengarang kitab "'Abrul Atsir" atau dikenali juga sebagai "Tafsir al-Quran di Radio". Beliau merupakan alumni Madrasah al-Junaid, Singapura.

Beliau juga mempunya beberapa tulisan lain seperti "Mari Sembahyang Lelaki / Perempuan", "Pelajaran Sembahyang Berjemaah" dan lain-lain. Beliau tutup umur dalam usia 88 tahun (1922 - 2010). Moga Allah mengampuni dan merahmati beliau sentiasa .... al-Fatihah.

Petikan: Bahrus Shofa.

-------------------------

Kitab Tafsir 'Abru al-Athir

Petikan dari tulisan Rudy Herman:

"Berdakwah Dengan Mata Pena

Ustaz Sonhadji berdakwah dan mendidik dengan berbagai cara. Bukan sahaja melalui kelas-kelas agama dan syarahan, beliau juga arif menyampaikan dakwah melalui mata pena. Memang sudah menjadi budaya para ulama zaman silam yang berdakwah melalui penulisan hingga terbitnya kitab-kitab agung yang masih dibaca hingga kini. Ustaz Sonhadji mewarisi budaya penulisan seperti itu. Sudah tentu anda pernah membaca kitab-kitabnya seperti:

1. Mari Sembahyang Lelaki/Perempuan
2. Pelajaran Sembahyang
3. Pelajaran Sembahyang Berjemaah
4. Benih Agama I, II, III, IV
5. Pendidikan Budi Pekerti I, II
6. Panduan Memahami Tafsir Al Quran I, II
7. Pengetahuan Agama Islam (Bahagian Tauhid, Fiqih dan Sejarah Islam yang disusun bersama pengarang lain.)

Ciri-ciri seorang pendakwah juga terserlah sejak di bangku sekolah lagi. Selain dari cemerlang dalam pelajaran, beliau juga menubuhkan kumpulan nasyid dari kalangan murid-murid madrasah, ketika usianya 14 tahun. Kumpulan nasyid ini terus berkembang sehingga Ust Sonhadji menjadi guru di Madrasah Aljunied.

Beliau juga berkebolehan mencipta lagu-lagu nasyid. Dan sebuah nasyid yang popular hingga ke hari ini ialah nasyid bertajuk “Nahnu Syababul Islam” (Kami Pemuda-Pemuda Islam). Walau begitu, satu-satunya sumbangan Ustaz Sonhadji yang amat berharga kepada masyarakat ialah melalui kumpulan kitab tafsir Al Quran yang dinamakan Abrul Athir. Kitab Abrul Athir merupakan sebuah koleksi 30 jilid kitab tafsir Al Quran yang diusahakan oleh Ustaz Sonhadji selama 25 tahun. Ustaz Sonhadji mula menulis tafsir Al Quran ini pada tahun 1959.

Teks asal tafsir Al Quran ini ialah dalam format skrip radio untuk memenuhi sebuah rancangan agama di Radio Singapura pada masa itu. Ustaz Sonhadji diberi peluang menyampaikan ceramah tafsir Al Quran di Radio Singapura bermula dari 19 Februari 1959 pada setiap malam Jumaat. Ternyata beliau tidak mensia-siakan peluang untuk menyampaikan ilmu di gelanggang yang lebih luas lagi. Melalui radio, dakwahnya dapat didengari di mana dan oleh sesiapa sahaja. Oleh kerana bermulanya penulisan kitab tafsir Al Quran ini untuk sebuah rancangan radio, maka beliau menamakan kitab ini sebagai Abrul Athir yang bermaksud “merentasi gelombang udara”. Tahun demi tahun berlalu, Ustaz Sonhadji tetap cekal hati menulis dan menyampaikan kuliah tafsir melalui radio.

Walaupun beliau tidak dapat melengkapkan kuliahnya di radio sehingga 30 juzuk, beliau masih terus menulis kitab tafsir ini tanpa bertangguh-tangguh. Samada di rumah, di pejabat, dalam pesawat, semasa bertugas di Brunei atau di mana sahaja, beliau terus berusaha menyiapkan karangan agungnya itu. Beliau memperuntukkan masa sekurang-kurangnya 3 hari penuh setiap minggu untuk mengkaji, menelaah, mengupas dan menulis kitab tafsirnya itu. Akhirnya, 25 tahun kemudian, iaitu pada tarikh 26 April 1984, lengkaplah sebuah naskhah tafsir Al Quran yang sangat tinggi nilai ilmunya. Kemudian, proses menerbitkan kitab tafsir dilakukan secara bertahap-tahap, bermula dari penerbitan jilid pertama pada tahun 1960 hingga lengkap 30 jilid pada tahun 1988.

Salah satu keistimewaan kitab tafsir Abrul Athir ialah bahasa asalnya ditulis dalam bahasa Melayu dan ia menggunakan bahasa penulisan yang mudah difahami. Hal ini menurut Ustaz Sonhadji ialah supaya semua peringkat masyarakat dapat manfaat dari tulisannya. Beliau berjaya mengupas ilmu tafsir Al Quran yang mendalam hingga menjadi satu subjek yang jelas difahami oleh semua peringkat pembaca.

Dalam kata aluan untuk kitab tafsir Abrul Athir yang ditulis oleh Pendeta Zaaba (Hj Zainal Abidin Bin Ahmad) pada tahun 1960, Zaaba menulis, “… tentulah suatu hal yang boleh dibanggakan kerana dalam bahasa Melayu pada masa ini belum ada tafsir Quran yang cukup luas sampai 30 jilid seperti yang ada dalam bahasa Arab dan lainnya.” Begitulah besarnya sumbangan Ustaz Sonhadji kepada masyarakat. Kitab tafsir Abrul Athir bukan sahaja telah memartabatkan ilmu Al Quran bahkan ia menambahkan lagi khazanah ilmu Islam di dalam masyarakat."

Baca sepenuhnya dalam blog: Rudy Herman.


p/s: Kalau tak silap saya, tesis Ph.D. (kedoktoran) Prof. Dr. Zulkifli Yusof, UM adalah mengenai kitab tafsir 'Abru al-Athir ini.

No comments: