Pages

Saturday, November 8, 2014

Ustaz Hj. Misnan bin Amir رحمه الله تعالى



Pada Hari Jumaat 7 November 2014 bersamaan 14 Muharram 1436H telah pulang ke rahmatullah seorang wali Allah yang arif, soleh dan warak yang mungkin tidak ramai mengenalinya. Beliau ialah Ustaz Hj. Misnan bin Amir رحمه الله تعالى. Beliau meninggal dunia dalam usia kira-kira 71 tahun, atau sekitar 73 tahun menurut taqwim Hijrah. Menurut orang kampung, beliau tidak sakit apa-apa dan baru sahaja bermenung-menung dan berborak-borak di sebelah paginya. Sesudah itu pada tengah harinya, beliau pun meninggal dunia. 

Saya pernah menziarahi beliau pada April 2013 bersamaan dengan Jamadilakhir 1434, hari Selasa bersama rakan-rakan di rumahnya di Kanchong Darat, Banting, Selangor. Saya telah menulis hampir keseluruhan isi hasil ziarah tersebut di dalam sebuah risalah yang saya beri judul bahasa Arab: إتحاف الخِلاّن بزيارةِ وَلِيّ مِن أوليآءِ الرّحمن في بعض مناقب العارف بالله الأستاذ مِسنان. Banyak cerita luar biasa atau karamah mengenai diri beliau. Persediaan ilmu, akal dan rohani penting kerana cerita-cerita tersebut adakalanya di luar jangkauan fikiran kita. Hakikatnya, karamah para wali sebenarnya juga adalah mukjizat bagi Nabi SAW kerana mereka adalah pengikutnya dan baginda adalah imam mereka.

Barangkali tidak ramai yang mengenali Ustaz Misnan, apatah lagi di luar Selangor. Sebahagian yang mengenali beliau mungkin berasa hairan dengan pendapat-pendapat beliau yang pelik. Setelah bertemu dengan Ustaz Misnan, memang benar saya dapati banyak pendapat-pendapat beliau yang saya kira akan dilihat janggal dan aneh oleh orang lain. Namun, menurut pengamatan saya kesemuanya masih tidak lari daripada kerangka al-Quran dan hadis, baik secara tersurat mahupun tersirat. Ada orang yang mendengar perkara-perkara tersebut tidak mampu menerimanya dan mentohmah beliau dengan pelbagai tohmahan. Bagaimanapun menurut firasatnya, beliau mempercayai kami. Justeru, beliau tidak henti-henti mengkongsikan pengetahuannya sehinggalah kami terpaksa meminta diri.

Ustaz Misnan adalah bekas pengetua Markas Tahfiz Selangor (Martah) di Jugra, Banting. Beliau juga adalah guru pakar bahasa Arab. Sesudah bersara, hidupnya hanya bersolat, berzikir dan membaca al-Quran. Katanya, beliau memperoleh kekuatan dan kesihatan melalui berzikir. Beliau menyatakan, ada sembilan amalan kesemuanya yang perlu dihabiskan dalam sehari. Tasbihnya berjumlah 10,000 kali. Manakala, kesemua wiridnya berjumlah satu juta. Dalam seminggu pula, beliau akan mengkhatam al-Quran sebanyak dua kali. Beliau membaca dan memahami semua makna yang terkandung di dalam al-Quran. Apabila membaca al-Quran, banyak perkara yang dibukakan oleh Allah SWT kepadanya bagi ayat-ayat yang sebelum ini hanya diketahui makna zahirnya sahaja, tanpa difahami rahsia dan maksud tersirat yang terkandung di dalamnya.

Beliau adalah mursyid Tariqat Hisabiyyah, sebuah tariqat yang dibangunkan oleh beliau sendiri dan memang belum pernah didengar sebelum ini. Kalimah ‘Hisabiyyah’ itu kerana tariqatnya banyak menggunakan kaedah kiraan hisab (tentunya menurut tafsiran beliau, bukan sepertimana yang kita faham). Jika bersama ahli tariqatnya, mereka akan dapat mengkhatamkan al-Quran dalam masa dua jam sahaja. Setelah mengkhatamkan al-Quran, beliau akan membaca istighfar sebanyak 33,000 kali. Ia juga boleh dipecahkan mengikut juzuk-juzuk al-Quran, iaitu setiap kali habis 1 juzuk, baca 1,100 kali istighfar. Setiap hari juga beliau sentiasa memberi sedekah kepada ahli kubur, iaitu bacaan tasbih/zikir sebanyak 3,000 – 4,000 kali. Menurut beliau, sejak 28 tahun lalu beliau tidak pernah terlepas memperolehi malam Lailatul Qadar.

Beliau bukan sahaja mengetahui kiraan kalendar qamari (hijrah) mengikut kiraan yang betul dan lebih tepat, malah mengetahui juga kiraan kalendar alam secara tepat. Katanya, beliau mempunyai kalendar alam ini dan sedang menyiapkannya. Melaluinya, beliau dapat mengukur umur dunia dan berbagai lagi. Apa yang didakwa oleh pengkaji Barat bahawa usia bumi ini ialah 200 juta tahun (dan sebagainya) adalah dusta belaka kerana ia tidak sejauh itu. 

Dalam masa hampir lima jam kami duduk mendengar bicara beliau, sangat banyak perkara yang beliau sampaikan sama ada berbentuk nafahat (limpahan ilham), futuhat (pembukaan ilmu), waridat (pembukaan tabir) mahupun mukasyafat (singkapan hijab). Ada yang ringan dan ada juga yang berat. Ia adalah limpahan hakikat dan makrifat yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya.

Memang ada yang menuduh beliau sudah tidak betul. Dan ada juga yang menuduh beliau membela jin, sedangkan menurutnya, jin juga takut kepadanya. Jin yang mengenali nama beliau tidak akan berani membuat kacau dalam kawasan Kuala Langat. Menurutnya, ada dua orang yang ditakuti oleh golongan jin dalam daerah Kuala langat, iaitu beliau sendiri dan juga seorang daripada kalangan orang bunian bernama, Jalaluddin.

Kesibukan dan keasyikan beliau dengan amalannya, menyebabkan beliau sudah tidak lagi menghiraukan kenikmatan dan keseronokan duniawi yang sifatnya hanya sementara sahaja. Baginya sudah tidak ada apa-apa benda yang menarik dan hebat di atas dunia ini. Jiwa dalaman beliau yang sudah bersih tidak lagi dapat menerima makanan yang dimasak sembarangan dan berunsur syubahat. Beliau lebih senang memasak sendiri secara ringkas.

Menurut beliau, amalanlah yang sebenarnya akan menjadikan seseorang itu ‘jutawan’ di akhirat kelak. Di akhirat nanti akan diisytiharkan siapa yang sebenarnya menjadi ‘jutawan’. Disebabkan itu, beliau sudah tidak menghiraukan lagi kenikmatan dan keseronokan duniawi yang hanya sementara di alam fana ini. Walaupun berbagai perkara telah disampaikan, beliau mengingatkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja. (Al-Isra’: 85).

Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya ke atas roh beliau serta menempatkannya bersama para anbiya’ dan para solihin. Amin..