Pages

Saturday, January 26, 2013

Jadual Unik Sirah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم


اللهم صل وسلم وبارك علي سيدنا محمد وعلى آله

Sirah Nabi SAW dalam satu halaman ini boleh dirujuk di dalam kitab as-Syajarah an-Nabawiyyah yang boleh dimuat turun daripada link berikut: muntada.ae/.

Istimewanya kitab ini telah diperakukan dan disempurnakan oleh al-'Allamah Ibn al-Mibrad (w. 909H) dari kalangan ulama kurun ke-10 Hijrah. Bermakna kitab unik ini telah berusia lebih daripada 5 abad lamanya dan kini kita dapat memuat turun edisi originalnya secara percuma.

Semoga Allah SWT membalas usaha mereka yang mengemaskini, menyelenggara dan menyebarkannya kepada umat Islam dengan ganjaran yang setimpal.



Wednesday, January 16, 2013

Antara Surat-Menyurat Maulana Zakariyya al-Kandahlawi رحمه الله تعالى


Ketelitian Syeikhul-Hadith Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi di Dalam Meriwayatkan Hadis

Entri ini merupakan petikan sebahagian daripada penulisan ilmiah pelajar di bawah seliaan saya, A’ali Imran bin Jamal Mohamad, mengenai Syeikhul-Hadith Hadrat Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi dengan merujuk kepada kitab Aap Beeti autobiografi Maulana Muhammad Zakariyya sendiri. Saya kongsikan kerana nilai ilmu dan adab yang terkandung dalam petikan tersebut. Beberapa suntingan telah dibuat terhadapnya.

-------------------------

Sejak Hadrat Syeikh Muhammad Zakariyya mengajar hadis di dalam tahun 1340H (1922M), beliau dapati bahawa kesemua periwayatan sanad pengajaran hadis dan keizinan talian para masyaikh adalah melalui Musnid al-Hind Hadrat Hakim al-Islam Syeikh Shah Waliyullah ad-Dehlawi. Maka beliau telah mencatat seluruh rantaian-rantaian keizinan pengajaran hadis di India melalui hantaran surat-surat kepada semua madrasah, dengan tujuan; apakah terdapat sanad daripada Hadrat Syeikh Shah Waliyullah di dalam rantaian sanad mereka?

Akhirnya, beliau dapati tiada satu pun jawapan daripada madrasah-madrasah di India yang tidak mempunyai sanad Hadrat Syeikh Shah Waliyullah. Kesemuanya mempunyai hubungan talian yang sampai kepada Hadrat Syeikh Shah Waliyullah. Gurunya sendiri, iaitu Hadrat Maulana Khalil Ahmad juga mempunyai sanad daripada keluarga Hadrat Syeikh Shah Waliyullah dan para masyaikh di Mekah, sebagaimana diterangkan di dalam muqaddimah Bazl al-Majhud, Lami’ ad-Darari dan Awjaz al-Masalik. Dengan ini, Hadrat Syeikh selalu menamakan Hadrat Syeikh Shah Waliyullah sebagai Musnid al-Hind. (Aap Beeti 5. hlm. 154-155.)

Antara tiga kitab hadis yang dikarang oleh Syeikh Shah Waliyullah, iaitu;
-          pertama kitab al-Fadlul Mubin fi al-Musalsal min Hadithin Nabiyyil Amin,
-          yang kedua kitab ad-Durr at-Thamin fi Mubasysyaratin Nabiyyil Amin, dan
-          yang ketiga kitab an-Nawadir fi Ahadith Saiyyidil Awa‘ili wal Awakhir.
Dua daripada tiga kitab Syeikh Shah Waliyullah, iaitu kitab ad-Durr dan kitab an-Nawadir terdapat beberapa hadis yang diriwayatkan oleh sesetengah sahabat RA di dalamnya yang mana para ulama hadis mempunyai rasa keengganan yang berat menerima hadis-hadis yang dinukilkan. Keputusannya, Hadrat Syeikh mula ragu-ragu tentang keizinan untuk meriwayatkan hadis-hadis tersebut.

Justeru itu, di dalam tahun 1352H (1933M) Hadrat Syeikh telah menulis kira-kira 50 keping surat kepada kesemua para masyaikh, antaranya Syeikh al-Islam Hadrat Maulana Saiyyid Hussain Ahmad al-Madani, Hadrat Hakim Jamiluddin Naginwi (anak murid kepada Hadrat Maulana Abdul Rashid Ahmad Gangohi), Hadrat Maulana Mufti Kifayatullah, dan berbagai-bagai ulama yang lain bagi meminta pandangan mereka. Kebanyakan mereka menyatakan ketidak arifan mengenai kitab-kitab tersebut dan belum lagi bertemu pandangan-pandangan kritikal daripada kalangan muhaddithin. Dalam hal ini, Hadrat Syeikh juga menulis surat kepada Hakim al-Ummat Hadrat Maulana Asyraf ‘Ali Thanwi.

Berikut adalah ringkasan daripada kandungan surat Hadrat Syeikh kepada Hadrat Maulana Asyraf ‘Ali Thanwi:

Kepada Hadrat Hakim al-Ummat yang dihormati Maulana Thanwi,
(semoga Allah SWT menjadikan bayangan berkatmu tetap selalu)

Ketiga-tiga risalah oleh Mujadid India Hadrat Shah Waliyullah mengandungi banyak hadis yang mana menurut peraturan kaedah para muhaddithin mengkritik menentanginya malah dianggap maudhu’, khususnya hadis yang diriwayatkan oleh Ratan Hindi dan Ibnu Abi Dunya. Bagi Ratan Hindi, tidak ada bukti putus bahawa beliau adalah seorang sahabi dan di dalam Isabah terdapat suatu kritikan yang panjang menentanginya. Di dalam Lisanul Mizan, Ibnu Abi Dunya telah menyebut kenyataan dan istilah yang tidak selari.

Periwayatan hadis-hadis ini berlaku secara meluas sejak dari zaman Hadrat Shah Waliyullah. Saya telah menerima keizinan daripada Hadrat Saharanpuri untuk meriwayatkan hadis ini dan di atas desakan pelajar-pelajar, saya juga memberi keizinan terhadap banyak daripada hadis-hadis ini kepada mereka.

Dalam tahun ini, keraguan telah meningkat kepada saya bahawa menurut kaedah muhaddithin, meriwayatkan hadis-hadis sedemikian adalah penerusan meriwayatkan hadis palsu. Tetapi di sebalik dan hakikatnya ialah hadis-hadis itu wujud di dalam karya Hadrat Shah Waliyullah. Sedangkan kajian-kajian muhaddithin di dalam ilmu asma’ ar-rijal melarang meriwayatkan hadis ini.

Sekarang soalannya ialah; kajian siapakah yang lebih dipilih untuk diterima dan dapat dipergantungi? Malahan di Hijaz, hadis-hadis ini secara umumnya diriwayatkan. Jikalau keizinan tidak diberikan kepada para pelajar untuk menyampaikannya dan memindahkannya, maka terdapat bahaya hadis ini menjadi hilang kesemuanya setelah ia hidup selama 1300 tahun.

Jikalau keizinan diberikan pula, berkemungkinan termasuk ke dalam medan penyebaran hadis palsu.”

Berikut adalah ringkasan daripada kandungan surat jawapan Hadrat Maulana Asyraf ‘Ali Thanwi kepada Syeikh al-Hadith Hadrat Maulana Muhammad Zakariyya:

Saudara yang dihormati, assalamua’laikum.

Dengan pendekatanmu yang wara’ dan berhati-hati, kamu telah menjadikan perkara ini lebih mustahak daripadanya. Apapun, terdapat beberapa hadis, malahan di dalam Ibn Majah ada yang telah diisytiharkan palsu. Tetapi walaupun demikian, periwayatan hadis-hadis tersebut berterusan tanpa ada apa-apa bantahan.

Periwayatan hadis oleh saudara-saudara tua bukanlah bukti kesahihannya. Apa sahaja yang sampai kepada mereka, telah diriwayatkan oleh mereka. Meriwayatkan hadis merupakan satu perkara dan sama sekali berbeza dengan meletakkan tanda kesahihan dan betul terhadapnya. Walau bagaimanapun, meriwayatkan hadis yang sedemikian dengan menunjukkan penjelasan terhadap ketidak sahihannya yang samar adalah perlu. Dengan cara ini, periwayatan hadis-hadis palsu dibenarkan oleh pendapat sepakat para ulama.

Selain daripada ini, tidak ada apa-apa buat waktu ini di dalam fikiranku. Mungkinlah dengan merujuk perkara itu kepada ulama, banyaklah lagi kajian-kajian akan muncul mengenai perkara tersebut.

Wassalam,
Asyraf ‘Ali,
22 Rejab 1352 Hijri.

Begitulah serba sedikit perihal ketelitian dan kehalusan sifat yang ada pada Hadrat Syeikh sebelum dan sesudah meriwayatkan sesuatu hadis. Samada di dalam pengajian, kajian-kajian, mahupun karya-karyanya. Beliau sentiasa peka dan sangat memandang berat terhadap ketulenan ataupun kesahihan akan sesuatu perkara yang ingin disampaikan. Beliau tidak sekali-kali mengambil mudah di dalam setiap usaha-usahanya.

- tamat nukilan.

Thursday, January 10, 2013

Syeikh al-Musnid as-Sayyid Malik bin al-‘Arabi as-Sanusi



Beliau kembali ke rahmatullah pada malam Selasa 26hb. Safar 1434H bersamaan 7hb. Januari 2013 di Madinah al-Munawwarah dalam usia kira-kira 82 tahun. Jenazahnya telah disembahyangkan di Masjid Nabawi selepas solat zohor.

Nama lengkapnya as-Sayyid Malik bin al-‘Arabi bin Ahmad as-Syarif bin Muhammad as-Syarif bin al-Imam Muhammad bin ‘Ali as-Sanusi al-Idrisi al-Hasani al-Maliki.

Beliau telah berhijrah dari Libya ke Madinah disebabkan tekanan daripada Rejim Gadafi dan telah tinggal di Madinah selama lebih dari 25 tahun. Beliau adalah nazir Wakaf as-Sadah as-Sanusiyyah di Madinah. Banyak menghafal syair. Adakalanya beliau menyampaikan sebuah qasidah yang terdiri daripada 100 bait syair tanpa terkurang satu bait pun. Beliau begitu istiqamah dalam menjalani hidup mengikut manhaj datuk dan moyangnya, iaitu menghimpunkan antara tasawuf dan hadis serta berpegang kuat dengan as-sunnah.

Oleh kerana beliau antara pemegang sanad hadis dan keilmuan yang tertinggi pada masa kini, maka ramailah penuntut ilmu dan ilmuwan yang datang kepada beliau meminta ijazah sanad daripadanya. Beliau tidak jemu untuk memperdengarkan atau mendengar riwayat-riwayat yang disampaikan kepada orang-orang yang datang kepadanya.

Syeikh Dr. Nafi‘ bin al-‘Arabi as-Sanusi yang bermukim di Mesir kini adalah adik beradik beliau.

رحمه الله رحمة الأبرار وأسكنه جنات تجري من تحتها الأنهار
وإنا لله وإنا إليه راجعون،

Rujukan biografi: sini