Pages

Showing posts with label Tokoh Ulama'. Show all posts
Showing posts with label Tokoh Ulama'. Show all posts

Saturday, September 26, 2020

al-Muhaddith al-Kabir Syeikh Dr. Nuruddin ‘Itr رحمه الله


Telah kembali ke rahmatullah pd pagi Rabu 5 Safar 1442H (23 September 2020) muhaddith Syria, al-‘Allamah al-Muhaddith al-Mufassir al-Faqih Syeikh Dr. Nuruddin bin Muhammad bin Hasan ‘Itr al-Halabi al-Hanafi al-Hasani di Dimasyq, Syria dalam usia 86 tahun.

 

Beliau merupakan seorang alim dan tokoh besar dalam bidang hadis, selain mahir dalam bidang-bidang ilmu yang lain. Gelaran yg sering beliau gunakan di awal namanya ialah ‘Khadim al-Quran wa al-hadith’ sbg isyarat kpd bidang pengkhususannya.

 

Syeikh Nuruddin ‘Itr dilahirkan di Halab, Syria pada tahun 1937 (1356H) dalam keluarga yang terkenal kuat dengan pegangan agama. Keturunan keluarga ‘Itr juga dikenali sebagai keturunan Ahlul Bait, iaitu daripada Saidina al-Hasan bin ‘Ali RA.

 

Bapanya, Syeikh Muhammad ‘Itr merupakan antara murid khas al-‘Allamah al-Jalil al-‘Arif billah Sayyidi Syeikh Muhammad Najib Sirajuddin al-Husaini, yang pernah disanjung oleh tokoh besar hadis di zaman itu, Muhaddith as-Syam Syeikh Badruddin al-Hasani katanya; “Sesungguhnya Syeikh Najib adalah ahli bumi yang paling alim di zamannya”.

 

Pendidikan

Syeikh Nuruddin ‘Itr menerima pendidikan menengah agamanya di Madrasah al-Khusruwiyyah sehinga tamat pada tahun 1954. Dalam tempoh tersebut, beliau sempat belajar kepada Muhaddith Halab Syeikh Muhammad Raghib al-Thabbakh dan datuknya sbelah ibu, Sayyidi Syeikh Muhammad Najib Sirajuddin al-Husaini.

 

Setelah itu, beliau terus melanjutkan pelajarannya ke Universiti al-Azhar, Mesir sehingga tamat pengajian degreenya pada tahun 1958. Beliau kemudian melanjutkan lagi pengajiannya di Jabatan Tafsir dan Hadith, al-Azhar sehingga berjaya meraih ijazah ‘alimiyyah (setaraf dengan Ph.D) dengan darjat cemerlang pada tahun 1964, dengan tajuk tesisnya (طريقة الترمذي في جامعه، والموازنة بينه وبين الصَّحيحين). 

 

Di al-Azhar, beliau telah belajar dengan tokoh-tokoh ulamanya seperti Syeikh Mustafa Mujahid, Syeikh Muhammad Muhammad as-Samahi, Syeikh ‘Abdul Wahhab Abdul Latif al-Buhairi, Syeikh Muhammad Abu Syahbah dan Syeikh Muhammad Muhyiddin ‘Abdul Hamid رحمهم الله تعالى.  

 

Beliau juga menerima ijazah sanad daripada Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, Syeikh ‘Alawi bin ‘Abbas al-Maliki, Syeikh Habiburrahman al-A‘zami, Syeikh Muhammad al-Makki al-Kattani dan Syeikh Muhammad Ibrahim al-Khutani, رحمهم الله تعالى.

 

Antara gurunya yang banyak memberikan pengaruh besar terhadap pembentukan ilmu dan rohani diri Syeikh Nuruddin ‘Itr ialah bapa saudaranya, al-‘Allamah al-Kabir Sayyidi Syeikh ‘Abdullah Sirajuddin al-Halabi al-Husaini. Malah, beliau kemudian telah menjadi menantu kepadanya.

 

Tugas dan Jawatan

Setelah pulang ke Syria, beliau mengajar sementara di Madrasah Thanawiyyah. Kemudian beliau telah dilantik sebagai tenaga pengajar subjek hadis di Universiti Islam Madinah bermula dari tahun 1965 sehingga tahun 1967. Seterusnya beliau kembali ke Dimasyq, menjadi tenaga pengajar di Fakulti Syariah, Universiti Dimasyq. Beliau turut mengajar di beberapa universiti lain, selain di masjid-masjid.   

 

 

Bottom of Form

Beliau pernah bertugas sebagai Ketua Jabatan ‘Ulum al-Quran dan as-Sunnah di Fakulti Syariah, Universiti Dimasyq dan sebagai Professor Hadith dan ‘Ulum al-Hadith di beberapa buah universiti yang lain.

 

Karya Ilmiah

Beliau telah menghasilkan lebih daripada 50 karya, termasuk mentahkik berbagai kitab turath penting. Antaranya:

 

1 - Manhaj al-Naqd fi 'Ulum al-Hadith.

2 - I'lam al-Anam Syarah Bulugh al-Maram Min Ahadith al-Ahkam.

3 - Lamahat Mujazah fi Usul 'Ilal al-Hadith.

4 - Usul al-Jarh wa al-Ta'dil wa 'Ilm al-Rijal.

5 - Manahij al-Muhaddithin al-'Ammah.

6 - al-Imam al-Tirmizi wa al-Muwazanah Baina Jami'ihi wa Baina al-Sahihain (Tesis PhD).

7 – Tahqiq Muqaddimah Ibn al-Solah.

8 – Tahqiq Nuzhah al-Nazar fi Taudih Nukhbah al-Fikr.

9 – Tahqiq al-Rihlah fi Talab al-Hadith karangan al-Khatib al-Baghdadi.

10 – Tahqiq Syarh 'Ilal al-Tirmizi karangan Ibnu Rajab al-Hanbali.

11 – Tahqiq al-Mughni fi al-Dhu’afa’ karangan al-Hafiz al-Zahabi.

12 – Tahqiq Irsyad Tullab al-Haqa’iq fi Ma'rifah Sunan Khair al-Khala’iq karangan Imam al-Nawawi.

 

Sebahagian karya beliau di internet yg boleh dimuat turun:  

الحج والعمرة فى الفقه الإسلامي
http://www.mediafire.com/download/d7ggpzp7d36zkv6

إرشاد طلاب الحقائق إلى معرفة سنن خير الخلائق
تأليف الإمام محيي السنة/ أبى زكريا يحيى بن شرف النووي رضى الله عنه
http://www.mediafire.com/download/9bnu697q8hlughh

منهج النقد في علوم الحديث
http://ia802704.us.archive.org/5/items/waq17637/17637.pdf

علوم القرآن الكريم
http://www.mediafire.com/download/bdy2992213qb1xa

ماذا عن المرأة ؟
http://www.mediafire.com/download/9tb22me0x4xrtqz

الاتجاهات العامة للاجتهاد ومكانة الحديث الآحادى الصحيح فيها
http://www.mediafire.com/download/befxjn7eihfftma

السنة المطهرة والتحديات
http://www.mediafire.com/download/efyda2gf2ai4y7x

أهم الملامح الفنية فى الحديث النبوي
http://www.mediafire.com/download/743b791k25npgz3

توثيق وجمع القرآن الكريم في عهد النبي ﷺ فى ضوء السنة النبوية
http://www.mediafire.com/download/e4sj3y5ccoatthi

كيف نتوجه إلى القرآن الكريم
http://www.mediafire.com/download/rzm5zp3mtxuuiaa

 

Kebanyakan karya beliau menjadi sillibus di berbagai institusi pengajian, baik di Dimasyq mahupun di luar Dimasyq.  

 

Akhlak

Meskipun sejak sekian lama, Syria dipimpin oleh kerajaan diktator, namun beliau tidak pernah mengeluarkan sepatah perkataan pun utk menyokong mereka, tidak pernah menghadiri satu pun perhimpunan mereka mahupun memberi isyarat sokongan buat mereka.

 

Beliau sentiasa menjaga diri dan maruah agamanya sehinggalah bertemu dengan Allah SWT. Selain terkenal sbg seorg yg tawaduk serta zuhud terhadap pangkat dan dunia.

 

Semoga Allah SWT merahmati beliau dengan rahmat yang luas dan membalas jasa bakti beliau dengan balasan yang setimpalnya di Akhirat kelak. Amin.

 

Sumber:

·       Nasim as-Syam: https://naseemalsham.com/persons/sh_nour_aterTop of Form

·       Fb Ustaz Zulhusni Mat Resat

·       Fb Syeikh Dr. Majd Makki


Saturday, June 20, 2020

al-Muhaddith Syeikh Dr. Mahmud Mirah al-Halabi – رحمه الله




- Telah kembali ke rahmatullah al-‘Allamah al-Muhaddith Syeikh Dr. Mahmud bin Ahmad Mirah pada jam 8.30 pagi hari Jumaat 27 Syawwal 1441 H (19 Jun 2020) dlm usia 94 tahun. Semoga Allah merahmati dan meredhai beliau, mengampuni dan mengasihi beliau, meninggikan darjat beliau dan meletakkan beliau di tempat yang selayaknya di Akhirat sana. 
وإنَا ولله وإنَّا إليه راجعون.

- Syeikh Mahmud Mirah lahir di kampung al-Kallasah, Halab, Syria pd bulan Ramadan 1347H (1929).

- Beliau pernah belajar di Madrasah Syaabaniyyah (Maahad al-‘Ulum as-Syar‘iyyah) dan tamat di situ pd tahun 1954.

- Kemudian belajar di Fakulti Syariah, Universiti Syria (Universiti Dimasyq) dan tamat pd tahun 1960.

- Beliau juga memperolehi Diploma Pendidikan dari universiti yg sama pd tahun 1961.

- Beliau kemudian menjadi khatib di Masjid Sakkar, Kampung al-Kallasah antara tahun 1950 hingga tahun 1965.

- Kemudian beliau berpindah ke Arab Saudi pd tahun 1385H (1965) dan tinggal di Madinah Munawwarah sbg guru di Maahad Thanawi, di bawah Universiti Islam Madinah antara tahun 1965 hingga tahun 1973.

- Beliau memperolehi ijazah sarjana (master) drpd Universiti al-Azhar Mesir pd tahun 1968 dlm tempoh masa 2 tahun dengan kajiannya yg bertajuk:
دراسة حديث (يا أبا عُمَير، ما فعل النُّغَير؟) حديثيًّا وفقهيًّا، مع تحقيق رسالة أبي العباس ابن القاصِّ أحمد بن أبي أحمد الطبري (ت 335هـ): (فوائد حديث أبي عُمير)
Beliau tlh mengeluarkan dlm kajiannya 60 faedah ilmiah dari aspek2 fiqah dan adab.

- Kemudian beliau memperolehi ijazah kedoktoran (PhD) dgn pangkat as-Syaraf al-Ula dlm ilmu hadis drp Universiti al-Azhar juga pd tahun 1972 dengan tajuk tesisnya:
(الحاكم النيسابوري وكتابه المستدرك على الصحيحين).

- Seterusnya beliau dilantik sbg pensyarah di Universiti Islam Madinah, beliau mengajar di Fakulti Dakwah dan Fakulti Syariah dr tahun 1973 hingga tahun 1986 (1406).

- Kemudian beliau brpindah ke Riyadh sbg pensyarah di Universiti Islam Muhammad bin Suud dr tahun 1986 (1406) hingga tahun 1996 (1416).

- Beliau terus tinggal di Riyadh dan meneruskan usahanya mentahkik kitab Mustadrak al-Hakim. Rumahnya sentiasa menjadi tempat rujuk para pelajar dan para tetamu yg datang berkunjung.
رحمه الله تعالى وتقبله في الصالحين من عباده.
(Kredit: fb Syeikhuna Dr. Majd Makki)

- Antara guru2 beliau ialah:
1. Syeikh Raghib at-Tabbakh, Muhaddith Halab.
2. Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah.
3. Syeikh Ahmad al-Qalasy
4. Syeikh ‘Abdullah Siraj ad-Din, Muhaddith Halab.
5. Syeikh Abu al-Yusr ‘Abidin, Mufti Syria.
6. Syeikh Mustafa az-Zarqa.
7. Syeikh Mustafa al-Khin.
8. Dr. Muhammad Muhammad as-Samahi.
9. Syeikh ‘Abd al-Wahhab ‘Abd al-Latif.
10. Syeikh Mustafa Amin at-Tazi.
(Kredit: Mu‘jam as-Syuyukh oleh Dr. Safwan Dawudi)


Saturday, April 25, 2020

Dr. Mohd. Faisal bin Mohamed رحمه الله تعالى



إنا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Seorang lagi sahabat kami, Dr. Mohd. Faisal bin Mohamed, 39, pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM, telah kembali ke rahmatullah pada waktu Maghrib, masuk 2 hb. Ramadan 1441H (24 April 2020). Beliau dikhabarkan jatuh ketika sedang mengambil wuduk untuk menunaikan solat Maghrib setelah berbuka puasa, lalu menghembuskan nafas terakhirnya.

Beliau merupakan seorang yang sangat rajin dan cintakan ilmu pengetahuan. Beliau asalnya adalah pelajar sarjana muda bidang Mechanical Engineering di UTM dan berjaya lulus pada tahun 2005. Namun semasa peringkat itu, sudah berlaku titik peralihan yang cukup besar di dalam hidup beliau, yang membuatkan beliau beralih ke bidang pengajian Islam. Dengan usaha dan kesungguhannya, beliau mengambil pengajian peringkat diploma secara mu‘adalah yang membolehkannya ke Universiti al-Azhar, Mesir di dalam jurusan Syariah Islam. Dalam masa yang singkat, beliau berjaya memperolehi sarjana muda keduanya pada tahun 2007.     

Setelah meraih sarjana muda Syariah al-Azhar, beliau kembali ke tanah air dan meneruskan pula pengajiannya ke peringkat Master dalam bidang Tasawwuf, Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, UM. Setelah selesai pada tahun 2007, beliau meneruskan lagi pengajiannya ke peringkat PhD dalam bidang Ekonomi Islam di Jabatan Syariah, UM sehingga selesai pada tahun 2012. Pada masa tersebut, beliau sudah pun berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).     

Sepanjang tempoh beliau di KUIS, selama perkenalan saya dengannya, beliau amat giat mengikuti kelas-kelas pengajian talaqqi sehingga beliau dikenali oleh ramai para guru, ustaz dan para penuntut ilmu yang lain. Dengan kesungguhannya, beliau telah berjaya mengkhatamkan banyak kitab turath dengan ramai ulama tempatan mahupun ulama luar yang datang berkunjung ke Malaysia. Antaranya, beliau telah berjaya mengkhatamkan al-Kutub as-Sittah berserta ijazah sanad.

Tidak berapa lama selepas memperolehi PhD, beliau berpindah tugas pula sebagai pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM. Di samping mengajar dan tugasan lainnya, beliau sekali lagi mendaftarkan diri untuk PhD keduanya dalam bidang falsafah sains Islam di USIM dengan tajuk kajian: The Philosophy of Islamic Science in Sahih al-Bukhari. Beliau sudah pun menyiapkan tesisnya dan sedang menunggu untuk proses viva.  

Di USIM, sebagaimana juga sebelumnya di KUIS, beliau giat berusaha menghidupkan budaya pengajian kitab turath secara talaqqi dan memperkenalkannya kepada masyarakat. Kali terakhir kami duduk talaqqi bersama ialah pada tahun lepas semasa bertalaqqi “Matan Tashil al-Turuqat li Nazm al-Waraqat li al-‘Amriti” dalam ilmu usul al-fiqh yang disampaikan oleh Prof. Dr. Mustafa Dib al-Bugha حفظه الله تعالى di Pusat Islam, USIM.

Beliau juga aktif mengisi kuliah-kuliah Maghrib di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan. Dalam gerakan kemasyarakatan, beliau adalah ahli Pertubuhan Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia (ISLAMI).  

Antara aktiviti yang beliau minati ialah mengembara bagi melihat negara orang dan menimba pengalaman baru. Beliau sudah menjelajah ke banyak negara di serata dunia seperti negara-negara Eropah, Cina, Australia dan sebagainya, selain negara-negara Arab. Rancangan terakhir beliau ialah untuk ke Istanbul, Turki sebagai pensyarah pelawat selama 6 bulan di sana, namun hajatnya tidak kesampaian disebabkan kesihatan beliau.  

Perjalanan hidup beliau bagi saya cukup luar biasa, daripada seorang yang berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal sehingga menjadi seorang alim yang pakar dalam pelbagai bidang pengajian Islam. Dari segi keperibadiannya, beliau dikenali sebagai seorang yang cepat mesra, suka merendah diri dan tidak suka menonjol. Sejak bulan Disember tahun lepas, beliau sering sakit perut, dada dan sesak nafas. Sejak itu juga, beliau kerap demam, batuk dan muntah.

Jenazah beliau dibawa ke kampung halamannya di Temerloh, Pahang dan dikebumikan di sana. Semoga dengan keberkatan hari Jumaat, bulan Ramadhan serta sifat sabar beliau dengan penyakitnya dan wabak Covid-19, beliau mendapat husn al-khatimah. Semoga Allah SWT mengampuninya, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya bersama para syuhada' dan para solihin. Amin…




Saturday, January 4, 2020

al-‘Alim al-Muhaddith al-Fadhil Ustaz Adlan Abdul Aziz رحمه الله تعالى



إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ...

Berita kehilangan Ustaz Adlan Abd. Aziz, 41, antara pakar hadis di Malaysia yang sangat tawaduk dan berhemah tinggi, secara tiba-tiba memang cukup mengejutkan semua orang. Beliau telah diserang sakit jantung dan disahkan kembali kerahmatullah pada jam 3.50 pagi, hari Khamis, 2hb. Januari 2020 di Hospital Kajang. Hari tersebut merupakan hari pertama pembukaan sekolah awal tahun baru yang sepatutnya beliau memulakan tugas sebagai guru di hari itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Segambut Jaya, Kuala Lumpur.

Ustaz Adlan merupakan seorang ustaz yang cukup progresif dalam memberikan khidmat terhadap ilmu. Selain bertugas sebagai guru, beliau juga aktif mengadakan kuliah pengajian di surau dan masjid di sekitar Lembah Klang, Kajang, Putrajaya, Seri Kembangan, Nilai dan lain-lain. Antara kitab yang diajarkan oleh beliau ialah seperti kitab Jami' al-Tirmidzi, Mukthasar al-Bukhari, Riyadhus Salihin dan lain-lain. Selain jemputan di beberapa program di sekolah dan juga pusat pengajian tinggi.

Di alam maya, beliau turut aktif bermula sebagai blogger di blog peribadi beliau: alitantawi.blogspot.com dan pemudaiman.blogspot.com. Beliau gemar menggunakan nama samaran: Ali Tantawi sempena tokoh pemikir terkenal yang diminatinya, Syeikh ‘Ali al-Tantawi. Di samping pernah muncul dalam program Tanyalah Ustaz di TV 9, beliau juga merupakan salah seorang penyampai ilmu di Radio IKIM untuk kuliah mingguan yang membahaskan hadis kitab Mukhtasar Riyadhus Solihin.  
Program terakhir yang bakal
dijadualkan oleh beliau.

Dalam lapangan kerja sukarela, beliau merupakan pengasas Tirmidhi Center (TC) dan merupakan timbalan pengerusi Ilmuwan Ahli Sunnah wal Jamaah Kebangsaan (ISLAMI). TC yang dibangunkannya menyediakan pengajian agama percuma yang terbuka kepada semua penuntut ilmu. Kata beliau: “Sebagaimana pesan salah seorang guru kita, Syeikh Dr. Mustofa an-Nadwi: ‘Jangan ambil bayaran daripada para penuntut ilmu yang datang belajar, tetapi mohonlah sumbangan daripada mereka yang berharta dan memiliki kemampuan’.”

Ustaz Adlan menerima pendidikan awal di SK Dato' Wan Mohd. Saman, Kedah, kemudian SMK Menengah Kebangsaan Agama Kedah. Seterusnya, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Al al-Bayt, Jordan sehingga meraih ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab. Di Jordan, beliau sempat menuntut daripada beberapa ulama secara talaqqi seperti:


  • 1.   Syeikh Syu‘aib al-Arna’out - Tafsir al-Qurtubi, Subul al-Salam, al-Kamil fi al-Adab (Bahasa Arab) dan Nuzhah al-Nazar (Mustalah al-Hadith),
  • 2.     Dr. Solah ‘Abd. Fattah al-Khalidi - Tafsir Ibn Kathir, Sahih Muslim.
  • 3.     Dr. ‘Abd. Qadir al-Sa'di - Qatru al-Nada (Nahu), Al-Iqna' (Fiqh).
  • 4.     Dr. ‘Abd. Sami' al-Anis - Risalat al-Mustarsyidin (Tasawwuf).
  • 5.     Dr. Muhammad Nuh al-Qudhat - al-Waraqat (Usul Fiqh).
  • 6.     Dr. ‘Abd. Hakim al-Sa'di - Usul Fiqh.
  • 7.     Dr. Syarif al-Khatib - Tahzib Madarij al-Salikin (Tasawwuf).
  • 8.     Dr. Bahjat al-Habasyinah - al-Nihayah fi al-Fitan oleh Ibn Kathir (Hadith).
  • 9.     Dr. Yasin al-Qarawilah - Qawa'id Fiqhiyyah (Kaedah Fiqh).
  • 10.  Dr. Qahtan al-Duri - Usul al-Din al-Islami (Aqidah), Safwat al-Ahkam (Hadith hukum).
  • 11.  Dr. Nimr al-Hasyasyinah - al-Mawahib al-Ladunniyyah (Sirah).
  • 12.  Dr. Hasib al-Samarrai' - Matn Abi Syuja' (Fiqh Syafii).
  • 13.  Dr. ‘Abd. Rahim Abu Zaqqah- Tafsir al-Samarqandi.
  • 14. Dr. Mahmud al-Syudaifat - Mukhtasar al-Bukhari, al-Ajwibah al-Fadhilah (Mustolah al-Hadith).

Setelah kembali ke Malaysia, beliau masih terus menuntut ilmu daripada para ilmuan untuk menambahkan ilmu dan kefahaman seperti Prof. Dr. Muhammad Abu al-Laith al-Khair Abadi UIAM (Sahih al-Bukhari), sarjana dan pensyarah hadis terkenal, Syeikh Muhammad ‘Awadh al-Manqusy, Syeikh Nizam Ya‘qubi, Syeikh Mustafa al-Nadwi (Misykat al-Masabih) dan lain-lain.

Sebagai pencinta Rasulullah SAW, minat beliau terhadap hadis cukup mendalam hingga beliau berjaya mengkhatamkan banyak kitab hadis dan menerima banyak sanad ijazah periwayatan hadis daripada para ilmuwan dalam dan luar negara. Beliau boleh dianggap sebagai seorang muqri' (pembaca) hadis yang paling handal dan fasih kepada para masyaikh di dalam sesi-sesi daurah hadis yang diadakan. Daurah khatam kitab Jami' at-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah dan Sunan an-Nasa’i di bawah pimpinan al-Muhaddith Syeikh Muhammad 'Awadh al-Manqusy di Masjid al-Azhar, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dengan anjuran bersama Institut Kajian Hadis (INHAD) masih lagi segar dalam ingatan al-faqir sehingga kini. Beliau juga sebenarnya baru sahaja menyelesaikan daurah terakhir beliau, iaitu pembacaan kitab Misykat al-Masabih sehingga khatam bersama al-Muhaddith Syeikh Mustafa al-Nadwi.  

Berbekalkan ilmu yang mantap, beliau memiliki kemampuan berhujah secara ilmiah yang cukup baik dan mempunyai sikap terbuka dalam mendengar hujah-hujah pihak lain, namun dibatasi dengan prinsip tegas. Jika sesuatu itu salah, beliau akan menyatakannya, tidak kira kepada kawan ataupun lawan. Dan jika betul pula, beliau akan mengakuinya, biarpun datang daripada pihak lawan. Perbualan terakhir al-faqir dengan beliau hanyalah melalui telefon, di mana beliau ingin bertanyakan pandangan al-faqir tentang hadis (جزى الله عنا محمداً ما هو أهله) yang sedang ‘viral’ dan berhasrat menjemput al-faqir untuk mengisi program berkaitan ilmu hadis di Tirmidhi Center.

Ustaz Adlan juga sempat menulis dan menghasilkan beberapa buah buku, iaitu:
  • 1.     20 Persoalan Asas Tentang Hadis
  • 2.     Zikir dan Doa Rasulullah s.a.w. Selepas Solat
  • 3.     Ramadhan & Rasulullah s.a.w.
  • 4.     Kamus PMR Bahasa Arab
  • 5.     10 Tonggak Remaja Hebat
  • 6.     40 Hadis Jawami‘ Kalim Imam Mulla ‘Ali al-Qari (terjemahan).


Solat jenazah beliau telah disempurnakan di Masjid Jamek Bandar Kajang selepas solat Zohor dan ramai tokoh yang hadir memberi penghormatan terakhir buat beliau seperti Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Dr. Zulkifli al-Bakri, sahabat karib beliau Ustaz Syed Shahridzan, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre, Dr. Ayman al-Akiti, Dr. Farid Ravi Abdullah, Dr. Zamihan Mat Zin, Ustaz Muhadir Hj Joll, Ustaz PU Salman, dan lain-lain. Jenazah beliau kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Sg. Kantan, Kajang, Selangor.
 
Ramai yang hadir untuk menunaikan solat jenazah beliau.

Takziah buat keluarga beliau, isteri dan anak-anak yang ditinggalkan. Pemergian beliau juga pastinya kehilangan besar buat masyarakat dan khususnya para pencinta ilmu hadis. Banyak jasa yang telah beliau sumbangkan untuk menghidupkan pengajian hadis dan menarik minat masyarakat bagi mempelajari hadis di Malaysia. Semoga roh al-marhum dirahmati oleh Allah SWT, diberi keampunan, ditinggikan darjatnya dan dihimpunkan bersama-sama para nabiyyin, siddiqin, syuhada’ dan para salihin. Amin…


Kredit:
-Catatan Ustaz Ismail Ahmed



Wednesday, February 6, 2019

4 MUSNID NUSANTARA KINI



Pendokumentasian sanad merupakan salah satu elemen penting bagi menjaga rekod pertalian keilmuan di antara guru dengan murid. Meskipun demikian, tidak ramai ilmuwan Nusantara pada masa kini yang dilihat memberikan tumpuan dan perhatian terhadap aspek berkenaan. Berdasarkan tinjauan awal, ditemukan empat orang di antara mereka yang telah menyusun, menerbitkan dan menyebarkan sanad keilmuan mereka kepada para penuntut ilmu. Dengan syarat ini, maka selayaknya mereka itu digelar sebagai al-musnid. Mereka ialah:    

1. Syeikh Nuruddin bin Marbu al-Banjari

Nama penuh beliau ialah Syeikh Muhammad Nuruddin bin Haji Marbu bin ‘Abdullah Tayyib al-Banjari al-Makki. Beliau berasal dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan Indonesia. Lahir di desa Harus, Amuntai pada 1 September 1960M. Beliau anak yang ketiga dari tujuh bersaudara. Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya sehingga  pada tahun 1974, seluruh keluarga beliau telah berhijrah ke Makkah. Beliau meneruskan pengajiannya di Madrasah Sawlatiyyah sehingga tahun 1982. Di samping mengikuti pengajian yang diadakan di Masjidil Haram dan juga di rumah para syeikh. Pada tahun 1983, beliau melanjutkan pengajiannya di Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang syariah. Kemudian meneruskan lagi pengajiannya di Ma'had 'Ali li al-Dirasat al-Islamiyyah di Zamalik sehingga memperolehi diploma am Dirasat 'Ulya pada tahun 1990. (al-Fanshuri 2007)

Antara guru-gurunya ialah Syeikh Isma‘il ‘Uthman Zayn al-Yamani, Syeikh Hasan al-Masysyat, Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, Syeikh Abdul Karim Banjar, Syeikh Suhaili al-Anfenani, al-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki, Syeikh Sa‘id al-Bakistani, Syeikh ‘Abdullah Sa‘id al-Lahji, Syeikh Zakariyya Bila, Syeikh Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi, al-Habib ‘Abdul Qadir al-Saggaf dan ramai lagi. (al-Fanshuri 2007)

Beliau pernah mengajar di Maahad Tarbiah Islamiah, Derang, Kedah mulai tahun 1998 sehingga tahun 2002. Di samping aktif sehingga kini mengadakan pengajian dan ceramah bulanan atau mingguan di masjid-masjid, sekolah-sekolah dan majlis-majlis sambutan agama di seluruh Malaysia. Beliau pernah menubuhkan pesantren beliau sendiri di Kalimantan, Indonesia. Pada tahun 2004, beliau menubuhkan pula Maahad az-Zein al-Makki al-‘Ali li al-Tafaqquh fi al-Din di Ciampiea, Bogor, Jawa Barat, Indonesia. (al-Fanshuri 2007)

Syeikh Nuruddin juga giat berkarya dan mentahqiq kitab yang jumlahnya lebih dari 50 buah dan kebanyakannya di dalam bahasa Arab. Antaranya: Adab al-Musafahah, Man Huwa al-Mahdi al-Muntazar, al-Durar al-Bahiyyah fi Idah al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, Asma’ al-Kutub al-Fiqhiyyah li Sadatina al-Syafi‘iyyah, al-‘Ibar bi Ba‘d Mu‘jizat Khayr al-Basyar SAW, Makanah al-‘Ilm wa al-‘Ulama’ wa Adab Talib al-‘Ilm, Tahdhib al-Adab al-Mufrad, Tahdhib Misykat al-Masabih dan sebagainya.

Beliau telah mendokumentasikan sanad keilmuan beliau di dalam karya-karya berikut:
1.                  al-Ahadith al-Musalsalah. Ia mengandungi 34 buah hadith musalsal.
2.                  al-Awa’il wa al-Awakhir wa al-Asanid.

2. Syeikh Mohd. Fuad bin Kamaluddin

Nama penuh beliau ialah Syeikh Dato’ Mohd. Fuad bin Kamaluddin bin Mahat al-Rembawi. Lahir di Rembau, Negeri Sembilan pada 16 September tahun 1974. Berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar Mesir cawangan Tanta. Namun, beliau juga telah menimba ilmu dari ramai guru di luar Universiti al-Azhar. Selain Mesir, beliau pernah mengunjungi Makkah, Madinah, Sudan, Syria, Lubnan, Palestin, Emiriah Arab Bersatu, Turki, Indonesia, Singapura dan lain-lain untuk tujuan mencari ilmu. (Mujahid 2007: 32)

Antara guru-guru beliau ialah Syeikh Dr. ‘Ali Jum‘ah, Syeikh ‘Abd al-Ghani bin Salih al-Ja‘fari, Syeikh Dr. Judah Abu al-Yazid al-Mahdi, Syeikh Abd al-Salam Abu al-Fadl, Dr. Ahmad ‘Umar Hasyim, Syeikh Dr. Mahmud Sa‘id Mamduh, Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Kattani, Dr. Sa‘ad Jawisy, Dr. Usamah al-Sayyid al-Azhari, Syeikh Sa‘ad Badran, Syeikh Dr. Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki, Dr. ‘Umar ‘Abdullah Kamil, Dr. ‘Isa bin ‘Abdullah al-Himyari, Dr. Ahmad bin Muhammad Nur Sayf, Dr. Muhammad Muti‘ al-Hafiz, al-Habib ‘Umar bin Hafiz, al-Habib ‘Ali al-Jufri dan lain-lain. (Mujahid 2007: 35-70)

Beliau merupakan penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan yang telah banyak membangunkan berbagai usaha kebajikan dan program pendidikan seperti rumah anak yatim, sekolah dan juga pusat-pusat pengajian. Beliau telah menghasilkan hampir 200 buah buku dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti sirah nabawiyyah, biografi tokoh, tasawwuf, tauhid, tafsir, hadith, fiqh dan sebagainya.

Beliau telah mendokumentasikan sanad keilmuan beliau di dalam karya-karya berikut:
1.      Al-Musalsalat al-‘Asyarah.
2.      Musalsal Orang-orang Mulia.
3.      Al-Bahjah al-Mardiyyah fi Musalsalat al-Rembawiyyah.
4.      Bulugh al-Amani al-Muntakhab min Musalsalat al-Maliki.
5.      Hadith-hadith Musalsal Berkaitan al-Qur’an al-Karim. Ia menghimpunkan 11 buah hadith musalsal berkaitan al-Quran.
6.      Al-Tali‘ al-Sa‘id.
7.      Kunuz al-Anwar al-Muntakhab min Asanid al-Akhyar.
8.      Al-Jawahir al-Ghawali min Asanid al-Imam al-Azhari. Ia menghimpunkan sanad sepuluh buah kitab hadis daripada Syeikh Salih al-Ja‘fari.
9.      Al-Yaqut al-Nafis min Asanid al-Muhaddith Sayyid Ahmad bin Idris.
10.  Fath al-Rahman bi Asanid Mufti Negeri Sembilan.
11.  Sanad al-Awrad al-Qusyasyiyyah.
12.  Al-Manhal al-Karim fi Asanid al-Qur’an al-‘Azim.
13.  al-Nafahat al-Aqdasiyyah fi Asanid al-‘Ulum al-Qur’aniyyah.
14.  al-Lumma‘ fi Asanid Qira’at al-Sab‘. Ia menghimpunkan sanad qiraat tujuh.

3. Ustaz Mohd. Zaidi Abdullah

Nama penuh beliau ialah Mohd. Zaidi bin Abdullah bin Ahmad al-Shah Alami. Lahir di Selangor pada tahun 1975. Seorang yang gigih menuntut ilmu sejak dari mudanya. Beliau telah menimba ilmu di Pondok Lubuk Tapah, Kelantan sejak dari tahun 1990 sehingga tahun 2008. Di samping itu, gigih bertalaqqi daripada alim ulama yang terkenal memiliki sanad keilmuan dan sehingga kini telah mengumpulkan sanad kira-kira 60 orang ulama Tanah Melayu. 

Antara guru-gurunya ialah: Tuan Guru Hj. ‘Abdullah bin ‘Abdul Rahman, Tuan Guru Hj. Hasyim bin Abu Bakar, Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki, Syeikh Wan Zakaria bin Ahmad Wan Besar, Tuan Guru Hj. Yahya Zikri, Tuan Guru Wan Izzuddin bin Wan Ibrahim, Syeikh Saleh bin ‘Uthman Jalaluddin, Tuan Guru Hj. Saleh bin Musa dan lain-lain. (al-Langkati t.t.: 287)

Antara guru beliau juga ialah Ustazah al-Muhaddithah Hajjah Hamudah binti al-Sheikh al-Mu’ammar Haji Ghazali bin Arshad al-Firaqiyyah. Seorang tokoh hadis wanita yang amat jarang kita temukan di Malaysia tokoh dari kalangan wanita dalam bidang hadis seperti beliau.   


Beliau telah mendokumentasikan sanad keilmuan beliau di dalam karya-karya berikut:
i.              Subul al-Sa‘adah bi Asanid al-Syaykh al-Muhaqqiq ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Kelantani, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman.
ii.            Al-Majalis al-Hadithiyyah: wa hiya Musalsalat wa Asanid al-Syaykh Wan ‘Izz al-Din bin Wan Ibrahim al-Fatani al-Qadahi, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Wan ‘Izzuddin bin Wan Ibrahim.  
iii.          Juz’ fi Masmu‘at al-Ustadh Taha al-Falaki, yang merupakan himpunan sanad-sanad al-Fadhil Ustaz Taha al-Falaki, Klang.
iv.          Talkhis al-Jami‘ al-Sahih al-Musnad al-Mukhtasar li al-Bukhari min Marwiyyat Syaykh ‘Abdullah Lubuk Tapah wa Syaykh Hamzah Bukit Tanah. Ia mengandungi 100 hadith pilihan daripada kitab Sahih al-Bukhari daripada riwayat Tuan Guru Hj. ‘Abdullah Lubuk Tapah dan Tuan Guru Hj. Hamzah Bukit Tanah.
v.            Asanid al-Kutub al-Masyhurah, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Hasyim Pasir Tumboh.
vi.          ‘Unwan al-Asanid, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Sulaiman Kg. Siram.
vii.        Arba‘un Hadithan min Musnad Imamina al-Syafi‘i melalui sanad Maulana Lambak bin Ibrahim Kg. Tok Jiring.
viii.      Himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Yahya Zikri Telok Intan.

4. Syeikh Husni Ginting al-Langkati

Nama penuh beliau ialah Syeikh Muhammad Husni Ginting bin Muhammad Hayat Ginting bin Muhammad Ilyas Ginting bin Muhammad Salih Ginting al-Langkati. Beliau merupakan seorang alim muda dari Medan, Sumatera Utara, Indonesia yang gigih menimba ilmu pengetahuan. Lahir di Besitang, Langkat pada tarikh 26 Zulqa`idah 1400H (1980). Beliau mendapat pendidikan-pendidikan formal di peringkat Ijazah Thanawiyah Negeri (1996), Ijazah Thanawiyah Ma`had Musthafawiyah (1997), Musthafa, Ijazah Mas (1999), Ijazah Lisence Universiti Al-Azhar (2004), dan Ijazah Diploma Master Ma`had ‘Ali Dirasat Islamiyah (2007), Fakulti Usuluddin al-Azhar dalam Jurusan Hadith. 

Beliau telah mendokumentasikan sanad keilmuan beliau di dalam karya-karya berikut:
  1. Ghayah al-Rusukh fi Mu‘jam al-Syuyukh. Ia menghimpunkan senarai guru-guru beliau yang berjumlah seramai 165 orang dan juga sebahagian sanad mereka.
  2. Asanid al-Jawiyyin.
  3. Al-Ayat al-Mufassalat fi al-Ahadith al-Musalsalat.
  4. Ithaf al-Akabir bi Asanid al-Syaykh ‘Abd al-Qadir.
  5. Asanid al-Kutub al-‘Asyarah.
  6. Al-Awa’il al-Lankatiyyah.
  7. ‘Iqd al-Farid al-Muntakhab min al-Asanid.
  8. Fayd al-Jari bi al-Ittisal bi Thulathiyyat al-Bukhari.
  9. Al-Kawakib al-Darari bi Tarjamah wa Asanid al-Syaykh ‘Ali Hasan Ahmad al-Dari.
  10. al-Muntakhab min al-Musalsalat.
  11. Nihayah al-Zayn bi Tarjamah wa Asanid al-Syaykh Mustafa Husayn.

Kemungkinan masih ada beberapa ilmuwan lagi yang masih hidup selain di atas yang telah menyusun, menerbitkan dan menyebarkan sanad keilmuan mereka. Namun, maklumat mengenainya masih perlu dicari dan digali agar dapat direkodkan dengan yang sewajarnya.   

Wallahu a‘lam.



Saturday, December 23, 2017

Syeikh Dr. Muhammad Mustafa al-A‘zami



Syeikh Dr. Muhammad Mustafa al-A‘zami
(1350-1439) (1930-2017)

Dr. Muhammad Mustafa al-A‘zami merupakan seorang tokoh hadis yang tidak asing lagi di kalangan para pengkaji hadis moden. Namanya bukan hanya tersohor di kalangan ulama Islam sahaja, bahkan juga di kalangan para pemikir Barat. Dua buah bukunya “Studies in Early Hadith Literature” dan “The History of the Qur'anic Text from Revelation to Compilation” merupakan dua buah karyanya yang telah membungkam hujah2 para pemikir Barat mengenai ketulenan al-Quran dan hadis.

Beliau merupakan antara tokoh keluaran Deoband, India yang menjadi kebanggaan para warganya. Dilahirkan di daerah A‘zamgarh, India pada tahun 1350 H (1930), sebuah daerah yg telah melahirkan ramai alim ulama yg terkenal dengan gelaran ‘al-A‘zami’, sebagai nisbah kepada daerah tersebut.

Beliau telah belajar di Darul Ulum Deoband dan menimba ilmu daripada para ulamanya, terutama daripada Maulana Syeikh Husain Ahmad al-Madani (w. 1377H). Setelah tamat pada tahun 1372 H (1952), beliau telah mendaftarkan diri di Universiti Islam Aligarh selama setahun. Kemudian beliau melanjutkan pula pelajarannya ke al-Azhar, Mesir di Fakulti Usuluddin dan menimba ilmu daripada para ulama al-Azhar ketika itu. Beliau telah menyelesaikan pengajiannya pada tahun 1375 H (1955) dengan memperolehi syahadah ‘alimiyyah berserta ijazah mengajar daripadanya.

Beliau seterusnya telah melanjutkan lagi pelajarannya ke peringkat PhD di Universiti Cambridge dan berjaya meraih ijazah kedoktoran tersebut pada tahun 1966 dengan tesisnya berjudul: “Studies in Early Hadith Literature”.

Dari segi karier, Dr. al-A‘zami pernah bertugas sebagai kurator di Darul Kutub Qatar selama lebih 10 tahun (1955-1968), selain turut menjadi guru bahasa Arab bagi pelajar bukan Arab di peringkat thanawi di Qatar. Pada tahun 1968, beliau telah berpindah ke Makkah dan mengajar di Fakulti Syariah sehingga tahun 1973. Kemudian beliau berpindah pula ke Universiti al-Malik Su‘ud, Riyadh mengajar subjek hadis di bawah Jabatan Thaqafah Islamiyyah, Fakulti Syariah.  

Beliau pernah dijemput sebagai pensyarah pelawat ke beberapa universiti di Barat, termasuklah Universiti Harvard, Amerika. Beliau terus tinggal di Riyadh selama hampir 18 tahun sehinggalah beliau bersara pada tahun 1991.

Dr. al-A‘zami telah meninggalkan sejumlah karya yg amat bermanfaat dan tinggi nilainya, antaranya:
  1. (دراسات في الحديث النبوي وتاريخ تدوينه)
  2. (منهج النقد عند المحدثين: نشأته وتاريخه)
  3. (تحقيق كتاب التمييز للإمام مسلم)
  4. (تحقيق الموطأ للإمام مالك رواية يحيى بن يحيى الليثي)
  5. (تحقيق السنن لابن ماجه)
  6. (تحقيق صحيح ابن خزيمة)
  7. (تحقيق العلل للإمام علي بن المديني)
  8. (كُتّاب النبي ﷺ)
  9. (دراسة نقدية لكتاب أصول الشريعة المحمّدية للمستشرق شاخت)
  10. (تحقيق مغازي رسول الله ﷺ لعروة بن الزبير)
  11. (المحدثون من اليمامة إلى 250 الهجري تقريباً)
  12. Studies in Hadith Methodology and Literature (دراسات منهجية في علم الحديث)
  13. On Schacht's Origins of Muhammadan Jurisprudence (kritikan terhadap buku Origins of the Muhammadan Jurisprudence oleh Schacht)
  14. Studies in Early Hadith Literature (PhD)
  15. The History of the Qur'anic Text from Revelation to Compilation (تاريخ تدوين القرآن الكريم). 
  16.  Ageless Qur’an Timeless Text (النص القرآني الخالد عبر العصور)

Selain itu, beliau juga antara orang yang pertama memanfaatkan teknologi komputer bagi melaksanakan projek perisian hadis. Bagi menghargai jasa2nya, beliau telah menerima Anugerah Antarabangsa al-Malik Faisal dalam bidang pengajian Islam pada tahun 1400 H. Beliau kemudian telah mendermakan hadiah yang diterimanya ke tabung para pelajar miskin yang cemerlang.

Dr. al-A‘zami telah wafat pada hari Rabu 2hb Rabiul Akhir tahun 1439 H (20 Disember 2017). رحمه الله رحمة واسعة

Rujukan:
Syeikh Muhammad Mustafa al-A‘zami oleh Dr. Syed Abdul Majid al-Ghouri, http://journal.kuis.edu.my/hadis/wp-content/uploads/2016/10/al-hadees-arabic-8-185-262.pdf