Pages

Showing posts with label Kitab/Buku. Show all posts
Showing posts with label Kitab/Buku. Show all posts

Tuesday, December 12, 2017

Sunan as-Syafi‘i

Karya Asli Imam as-Syafii! رحمه الله تعالى


1. Ramai penulis yang membincangkan tentang kitab hadis susunan imam mazhab fiqh yang empat hanya menyebut Imam Malik dan Imam Ahmad sahaja yang ada menyusun kitab hadis, iaitu Imam Malik (w. 179H) menyusun kitab al-Muwatta’ dan Imam Ahmad (w. 241H) menyusun kitab al-Musnad. Manakala Imam Abu Hanifah (w. 150H) dan Imam as-Syafi‘i (w. 204H) disebut tidak menyusun sebarang kitab hadis. Adapun kitab Musnad Abu Hanifah dan Musnad as-Syafii kedua2nya dihimpun dan disusun oleh ulama lain yg datang kemudian. Manakala kitab Musnad yang masyhur dinisbahkan kepada Imam as-Syafi‘i adalah disusun oleh Abu al-‘Abbas Muhammad bin Ya‘qub bin Yusuf al-Asom (w. 346H).   

2. Berdasarkan kajian Syeikh Dr. Khalil Ibrahim Mulla Khatir serta penelitian terhadap dalil dan hujah yang dikemukakan oleh beliau, dapat dinyatakan bahawa Imam as-Syafi‘i sebenarnya juga mempunyai kitab hadis yang disusun oleh beliau sendiri, iaitu kitab as-Sunan. Ia merupakan sebuah kitab hadis yang lain daripada kitab Musnad yg dinisbahkan kepadanya, meskipun ada sebahagian orang yg terkeliru dan menganggap kedua2nya sebagai kitab yang sama.      

3. Menurut Dr. Khalil Ibrahim Mulla Khatir, bilangan hadis2 kitab as-Sunan ini adalah sebanyak 666 buah hadis. Meskipun saiznya agak kecil, namun faedahnya amat besar sekali. Antaranya ialah sanad-sanadnya agak tinggi dan kebanyakan hadis-hadisnya pula adalah sahih. Menurut beliau, kitab Sunan as-Syafii yang sampai kepada kita pada hari ini adalah salah satu daripada enam buah kitab hadis yang disusun oleh Imam as-Syafi‘i dengan judul “as-Sunan” (1/13).

4. Ada sebahagian ilmuwan yang mendakwa bhw kitab Sunan as-Syafii ini sebenarnya adalah susunan Imam Abu Ja‘far Ahmad bin Muhammad bin Salamah al-Tahawi al-Hanafi (239 – 321H), bukannya susunan Imam as-Syafii sendiri. Namun, pendapat ini agak lemah kerana bertentangan dengan banyak bukti. Antaranya (spt dalam mukadimah Sunan as-Syafii oleh Dr. Khalil Ibrahim Mulla Khatir);

i.                    Di awal kesemua manuskrip kitab jelas menyebut, Imam at-Tahawi mendengar kitab Sunan as-Syafii ini daripada bapa saudaranya, Imam al-Muzani yang merupakan murid Imam as-Syafi‘i. Dicatatkan, at-Tahawi mendengarnya daripada Imam al-Muzani pada tahun 252 H melalui pembacaan beliau kepadanya atau bersama murid2 yg lain (قراءة منه علينا). Jelas bahawa pada masa ini, at-Tahawi masih remaja lagi dalam usia sekitar 13 @ 14 tahun. Ini membuktikan bahawa Imam at-Tahawi hanya sebagai perawi kitab sahaja, bukannya pengarang kitab dengan usia yg semuda itu. Malah, banyak tempat di dalam kitab as-Sunan ini yg mengisyaratkan demikian.    
ii.                  Dalam setengah manuskrip, ada disebutkan Imam al-Muzani mendengarnya daripada Imam as-Syafi‘i secara imla’ (penuturan) daripada dirinya sendiri kepada beliau atau bersama murid2 yg lain (إملاء منه علينا) (1/14). Ini juga membuktikan bahawa Imam al-Muzani hanya sebagai perawi kitab sahaja, bukannya pengarang kitab.
iii.                Ada terdapat di dalam manuskrip-manuskrip as-Sunan ini, ulasan2 daripada Imam at-Tahawi dan sebilangan hadis yang ditambah oleh beliau sebagai nota tepi atau nota kaki sahaja. Namun, sebahagian penyalin manuskrip telah memasukkan sebahagian ulasan2 Imam at-Tahawi  itu ke dalam isi kandungan kitab, manakala sebahagiannya masih kekal sebagai nota tepi atau nota kaki. (1/14-15)  
iv.                Banyak fakta yg menunjukkan wujud periwayatan kitab as-Sunan ini oleh murid-murid Imam as-Syafi‘i, spt Qahzam bin ‘Abdullah bin Qahzam al-Aswani, Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abd al-Hakam, Harmalah bin Yahya at-Tajibi, Abu Ibrahim Isma‘il bin Yahya al-Muzani, al-Hasan bin Muhammad bin as-Sabbah az-Za‘farani, ar-Rabi‘ bin Sulaiman dll. (1/16-17)
v.                  Imam al-Baihaqi di dalam kitabnya Manaqib as-Syafii menyebut secara jelas bahawa Imam as-Syafi‘i ada mempunyai kitab as-Sunan.
vi.                Ibn Yunus pula menyebut di dalam kitabnya Tarikh Misr bahawa Imam at-Tahawi telah mendengar kitab as-Sunan daripada pakciknya, Abu Ibrahim Isma‘il al-Muzani, yang diriwayatkannya daripada Imam as-Syafi‘i. (1/18)
vii.              Al-Hafiz Ibn Hajar merekodkan di dalam kitabnya (المعجم المفهرس) dua buah versi kitab Sunan as-Syafii, iaitu riwayat al-Muzani daripada as-Syafi‘i dan riwayat Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abd al-Hakam daripada as-Syafi‘i.  
viii.            Al-Hafiz Ibn Kathir di dalam Tabaqat as-Syafiiyyahnya turut menyebut ada meriwayatkan kitab Sunan as-Syafii ini. Beliau menyebutnya sebagai as-Sunan as-Saghir. (1/19)
ix.                Syeikh Muhammad bin Ja‘far al-Kattani (w. 1345H) turut merekodkannya di dalam kitab (الرسالة المستطرفة لبيان مشهور كتب السنة المشرفة), kata beliau: “Sunan al-Imam as-Syafii; diriwayatkan oleh Abu Ibrahim Isma‘il bin Yahya al-Muzani, kemudian diriwayatkan oleh Abu Ja‘far Ahmad bin Muhammad bin Salamah al-Tahawi, di dalam satu jilid.” 
x.                  Al-Hafiz as-Suyuti dalam Husn al-Muhadharah menyatakan bahawa antara kitab-kitab edisi baru yang disusun oleh Imam as-Syafi‘i ketika di Mesir ialah kitab as-Sunan.
xi.                Kesemua lafaz periwayatan kitab yang termaktub pada manuskrip jelas menyebutkan judulnya sebagai Sunan as-Syafii, dan tiada yang menyebutnya sebagai Sunan at-Tahawi atau seumpamanya. (1/24)  

5. Menurut Syeikh Dr. Khalil Ibrahim Mulla Khatir, tidak ada di dalam kitab as-Sunan ini satu hadis pun yang tidak diamalkan atau ia daif yang tidak ada sebarang penguat mahu pun penyokong baginya, bahkan kesemuanya - kecuali yang telah diterangkan ilatnya dan wahamnya oleh Imam as-Syafi‘i – adalah sahih secara zatnya atau pun sahih/sabit melalui riwayat2 sokongannya. (1/40)

6. Berbeza dengan Musnad as-Syafii, kitab Sunan as-Syafii ini kurang disyarah dan diberi perhatian oleh ulama terdahulu. Usaha menggabungkan hadis2 al-Musnad dan as-Sunan ini pernah dilakukan oleh Syeikh Ahmad bin ‘Abd al-Rahman al-Banna as-Sa‘ati, bapa Syeikh Hasan al-Banna. Karyanya itu diberi judul: (بدائع المنن في جمع وترتيب مسند الشافعي والسنن). Beliau juga menyertakannya dengan syarah ringkas yg diberi judul: (القول الحسن شرح بدائع المنن).       

7. Perlu ditegaskan juga bahawa bukan di dalam kedua2 kitab ini sahaja hadis2 yg diriwayatkan oleh Imam as-Syafi‘i. Dr. Rif‘at Fauzi ‘Abd al-Muttalib telah berusaha menghimpunkan kesemua riwayat Imam as-Syafi‘i drpd berbagai sumber rujukan seperti kitab al-Umm dan lain-lain. Beliau mendapati jumlah hadis dan athar yang diriwayatkan oleh Imam as-Syafi‘i menurut semakannya berjumlah sebanyak 4,663 buah! Kesemua atau kebanyakannya di dalam bab hukum hakam. Jumlah ini boleh dikatakan setanding dengan jumlah riwayat yg terkandung di dalam kitab-kitab Sunan yg lain.

8. Sekurang2nya kini terdapat dua buah versi cetakan kitab Sunan as-Syafii, iaitu cetakan yg ditahkik oleh Dr. ‘Abd al-Mu‘ti Amin Qal‘aji dengan judul: as-Sunan al-Ma’thurah pada tahun 1986 dan cetakan yg lebih teliti ditahkik oleh Syeikh Dr. Khalil Ibrahim Mulla Khatir dengan judul: as-Sunan pada tahun 1989. Justeru, diharapkan para penulis selepas ini, tidak hanya menyebut kitab al-Muwatta’ sebagai karya Imam Malik dan kitab al-Musnad sebagai karya Imam Ahmad sahaja, bagi kitab hadis yg disusun oleh imam mujtahid yang empat, tetapi turut menyatakan: kitab as-Sunan sebagai karya Imam as-Syafi‘i!      

Wallahu a‘lam.  


Friday, November 22, 2013

MAJALAH TASAWUF ISLAMI

 BIL. 3

 BIL. 2

BIL. 1

  • Majalah Tasawuf Islami ini adalah keluaran PUSTAKA JAWAMI' AL-KALIM di bawah 'Pertubuhan Sahah Syeikh Soleh Al-Ja'fari, Negeri Sembilan' pimpinan Dr. Hj. Shuhadak Mahmud
  • Majalah ini khusus membincangkan semua yang berkaitan bidang tasawuf, kerohanian dan dakwah
  • Bersaiz sederhana dan ringan. 
  • Sesuai untuk semua lapisan pembaca. 
  • Motto majalah: SYARIAT, TAREKAT dan HAKIKAT.
  • Dengan pembelian majalah 'Tasawuf Islami' ini, anda turut menyumbang untuk tabung wakaf 'Pertubuhan Sahah Syeikh Soleh Al-Ja'fari, Negeri Sembilan'. Belilah sambil menderma. 
  • Hubungi: Nabila (013-2166 213)
  • Harga: RM 8.00

Sokongan anda amat dihargai.

Terima kasih..

Tuesday, May 8, 2012

KAIFIAT MEMBACA PENUTUP SURAH AL-HASYR


HADIS KAIFIAT MEMBACA PENUTUP SURAH AL-HASYR

Antara kitab yang saya temui semasa di Pesta Buku Antarabangsa 2012 tempoh hari ialah kitab Kasyf al-Labs ‘an Hadith Wad‘ al-Yad ‘ala al-Ra’s oleh Imam al-‘Allamah al-Sayyid Muhammad ‘Abd al-Hayy al-Kattani (w. 1382H) berkenaan hadis meletak tangan kanan di kepala ketika membaca tiga ayat terakhir Surah al-Hasyr.

Pemerolehan kitab tersebut pastinya sangat menggembirakan kerana ia membantu mengukuhkan lagi akan kaifiat amalan yang terdapat dalam Wazifah Zarruqiyyah. Wazifah Zarruqiyyah susunan Imam Ahmad Zarruq al-Syazili (w. 899H) adalah konsep wirid asal bagi amalan al-Ma’thurat yang dimasyhurkan oleh Imam Hasan al-Banna.

Ini kerana di antara awrad Wazifah Zarruqiyyah ialah membaca tiga ayat terakhir Surah al-Hasyr, dan Imam Zarruq menyebutkan:

وهو واضع يده اليمنى على رأسه.
((Sambil ia meletakkan tangan kanannya di kepala)) yakni pada membaca ketiga-tiga ayat tersebut. Namun, kaifiat ini ditiadakan dalam amalan al-Ma’thurat Imam Hasan al-Banna.

Ia sebenarnya merujuk kepada sebuah hadis yang diriwayatkan dari Sayyiduna ‘Abdullah bin Mas‘ud RA dan juga Sayyiduna ‘Ali bin Abi Talib RA. Hadis ‘Abdullah bin Mas‘ud RA direkodkan oleh Abu Nu‘aym, al-Khatib, al-Daylami, Ibn al-Taylasan, dan lain-lain. Manakala hadis ‘Ali bin Abi Talib RA direkodkan oleh al-Daylami sahaja. Sila lihat takhrij dan kupasan tentangnya secara detil dalam kitab Kasyf al-Labs ‘an Hadith Wad‘ al-Yad ‘ala al-Ra’s.

Matan hadisnya ialah:

عن علقمة والأسود: قرأنا على عبد الله بن مسعود، فلما انتهينا إلى خاتمة سورة الحشر قال: ضعا أيديكما على رؤوسكما فإني قرأت على النبي صلى الله عليه و سلم فلما بلغت هذه الآية قال: ضع يدك على رأسك فإن جبريل عليه السلام لما نزل بها علي قال لي: ضع يدك على رأسك فإنها شفاء من كل داء إلا السام، وهو الموت.
Terjemahan:
Dari Alqamah dan al-Aswad: Kami membaca al-Quran kepada ‘Abdullah bin Mas‘ud RA, lalu tatkala kami sampai di penutup Surah al-Hasyr, beliau berkata: Letakkan tangan kamu berdua di kepala kamu, sesungguhnya aku pernah membaca kepada Nabi SAW, maka ketika aku sampai pada ayat ini baginda bersabda: Letakkan tangan kamu di kepala kamu, sesungguhnya Jibril AS ketika menurunkannya kepadaku beliau berkata kepadaku: Letakkan tangan kamu di kepala kamu, sesungguhnya ia adalah penawar dari segala penyakit kecuali mati”.


Ayatnya:


Dengan perbahasan yang panjang, al-Sayyid Muhammad ‘Abd al-Hayy al-Kattani merumuskan bahawa hadis ini bukan palsu sepertimana dakwaan al-Hafiz al-Zahabi. Ia masih dapat diamalkan dalam bab  fadha’il amal sekurang-kurangnya. Imam al-Sayyid Muhammad ‘Abd al-Hayy al-Kattani turut menyabitkan ramai alim ulama yang mengamalkan hadis ini.

Guru kepada guru kami, Mawlana Syeikh al-Imam Muhammad Khalil al-Khatib  al-Tantawi ketika mentakhrijkan hadis ini dalam Ithaf al-Akhyar hanya menyandarkannya kepada Imam al-‘Allamah al-Qawuqji (w. 1305H). Jika beliau melihat kitab ini pastinya beliau akan merasa amat gembira.

Walhamdulillah..

Untuk download kitab Kasyf al-Labs ‘an Hadith Wad‘ al-Yad ‘ala al-Ra’s edisi cetakan lama. Sila klik di SINI.



Friday, April 20, 2012

Dr. Zulkifli al-Bakri dan Kitab Bahjah al-Nufus


Apabila menyebut nama kitab Bahjah al-Nufus hanya ada satu sahaja kitab yang masyhur diketahui umum iaitu kitab karangan Imam Ibn Abi Jamrah yang mensyarahkan hadis-hadis dari kitab Sahih al-Bukhari. Itu yang disangkakan apabila menerima jemputan dari Ustaz Shuhadak untuk menghadiri diskusi kitab Bahjah al-Nufus oleh al-Fadhil Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di Seremban semalam.



Rupa-rupanya, kitab Bahjah al-Nufus itu bukanlah syarah bagi hadis-hadis Sahih al-Bukhari, tetapi ialah ’syarah’ kepada sebuah kitab Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari (w. 709H). Kitab Bahjah al-Nufus ini adalah kitab terjemahan dan ’syarah’ dalam bahasa Melayu hasil buah tangan al-Fadhil Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri sendiri. Ia diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan pada tahun 2007.



Terima kasih kepada Jabatan Mufti kerana menganjurkan diskusi tersebut dan mengedarkan kitab berkenaan secara percuma kepada para peserta yang tidak kurang dari 200 orang.



Selain kitab al-Hikam, Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari memiliki sebuah lagi kitab yang tidak kurang tandingannya dengan kitab al-Hikam, iaitu kitab Taj al-‘Arus al-Hawi Li Tahzib al-Nufus yang bererti ”Mahkota Pengantin Yang Mengandungi Pedoman Untuk Mendidik Jiwa”. Kitab ini sebenarnya tidak kurang juga popularnya dan tersebar luas ke serata pelosok dunia Islam. Namun, kandungannya lebih ringan sedikit, di samping banyak memuatkan kata-kata tiga tokoh kerohanian besar, iaitu gurunya Syeikh Abu al-‘Abbas al-Mursi (w. 686H), guru kepada gurunya, Imam Abu al-Hasan al-Syazili (w. 656H) dan seorang gurunya yang dikatakan salah seorang daripada tujuh wali abdal, Syeikh Makin al-Din al-Asmar.



Kitab inilah yang disyarah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dengan ’syarah’ yang begitu baik. ’Syarah’ tersebut lebih mirip kepada nota-nota kaki yang panjang. Namun, dalam diskusi tersebut beliau hanya sempat membacakan 1/3 daripada teks kitab sahaja. Dan majlis berakhir pada waktu zohor.



Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari memulakan kitab ini dengan gesaan supaya manusia segera bertaubat kepada Allah SWT, seterusnya menghuraikan kesan-kesan zahir dan batin akibat perbuatan maksiat, mengajak manusia supaya segera mencari bekalan untuk bertemu Allah SWT dan juga menghuraikan perkara-perkara yang dapat mengotorkan hati dan perkara-perkara yang dapat menjadi penggilapnya. Ringkasnya, ia banyak menyentuh tentang panduan-panduan untuk membersih dan menyucikan jiwa agar menjadi hamba Allah yang diredhai-Nya.



Sebelum ini, penulis pernah menelaah kitab Taj al-‘Arus tersebut dan mendapati susunan bahasa dan maknanya sangat menarik. Bahkan banyak frasa-frasa ayatnya yang mampu menjadi kata-kata hikmah yang berdiri secara sendiri. Sebagai misalan, diberikan di bawah sebahagian daripada kata-kata hikmah tersebut yang dipetik daripada berbagai bahagian kitab Taj al-‘Arus berkenaan.



Kata Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari:
من تاب ظفِر، ومن لم يتب خسِر.
Terjemahan: Siapa yang bertaubat menang, dan siapa yang tidak bertaubat kecundang”.



كثير من أنفق الدنانير والدراهم، ولكن من أنفق الدمع قليل.
Terjemahan: Ramai yang menafkahkan dinar dan dirham, tapi yang menafkahkan air mata sedikit”.



كفى بك جهلاً أن يعاملك مولاك بالوفاء، وأنت تعامله بالجفاء.
Terjemahan: Memadai kamu dikira sebagai jahil bila Tuanmu melayanmu dengan sempurna, namun kamu melayanNya dengan sambil lewa”.



طهِّر قلبك من العيب، يفتحْ لك باب الغيب.
Terjemahan: “Sucikan hatimu dari aib, akan dibuka untukmu pintu ghaib”.



ما أكثرَ تودُّدَك للخلق، وما أقلَّ تودُّدَك للحق.
Terjemahan: Alangkah banyaknya kasih sayangmu kepada makhluk, dan alangkah sedikitnya kasih sayangmu kepada al-Haq (Allah)”.



قيمتك قيمةُ ما أنت مشغول به.
Terjemahan: Nilai dirimu adalah menurut nilai apa yang kamu disibukkan dengannya”.



لا تعتقدْ أن الناس فاتهم العلمُ، بل فاتهم التوفيقُ أكثرَ من العلم.
Terjemahan: Jangan kamu percaya bahawa manusia kekurangan ilmu, bahkan mereka kekurangan taufik lebih banyak dari ilmu”.



ليس التائهُ من تاه في البرية، بل التائهُ من تاه عن سبيل الهدى.
Terjemahan: Bukanlah orang yang sesat ialah orang yang sesat di daratan, bahkan orang yang sesat ialah orang yang sesat dari jalan hidayah”.



من أراد الجمع على الله، فعليه بقيام أوامر الله.
Terjemahan: Siapa yang ingin bertemu dengan Allah, maka hendaklah ia melaksanakan perintah-perintah Allah”.



من أراد النهايات، فعليه بتصحيح البدايات.
Terjemahan: Siapa yang ingin mencapai puncak, maka hendaklah ia memperbetulkan langkah permulaan”.



من لم يترك المحرمات لم ينفعه القيامُ بالواجبات، من لم يحتمِ لم ينفعه الدواء.
Terjemahan: Siapa yang tidak meninggalkan perkara-perkara haram, tidak memberi manfaat baginya menunaikan perkara-perkara wajib. Siapa yang tidak berpantang, tidak memberi manfaat baginya ubat”.



ما خرّب القلوبَ إلاَّ قلة الخوف.
Terjemahan: “Tidak ada yang merosakkan hati-hati manusia itu melainkan kerana sedikitnya rasa takut”.

Thursday, December 8, 2011

Iklan Buku Baru...


Alhamdulillah... buku "Tokoh-tokoh Ulama Selangor" ini akhirnya berjaya diterbitkan di bawah penyelenggaraan Ustazah Ayu Nor Azilah.

Harganya dalam RM20.00 dengan ketebalan 320 halaman. Turut diselitkan dengan sedikit foto-foto klasik para ulama yang diketengahkan di dalamnya.

Buku ini adalah susulan daripada Seminar Tokoh-tokoh Ulama Selangor tahun 2008. Bagaimanapun, ada 10 tokoh yang terdapat dalam prosiding seminar tersebut tidak dapat dimuatkan dalam buku yang terbaru ini kerana sebab-sebab tertentu. Namun, 10 tokoh tersebut telah digantikan dengan 10 tokoh yang lain, dan 6 daripadanya adalah sumbangan Unit Penyelidikan Yayasan al-Jenderami.

Maka bagi para peminat dan pengkaji, supaya lengkap-melengkapi, perlu memiliki kedua-dua sekali prosiding dan buku di atas. (Prosiding sudah tidak lagi dicetak)

Jumlah kesemua artikel dalam buku ini ialah 19 buah artikel. Buku ini dapat dianggap sebagai buku pertama yang merekodkan sejarah ulama-ulama di negeri Selangor. Bagaimanapun, masih ramai yang belum tersenarai di dalamnya, terutama yang telah kembali ke rahmatullah. Barangkali nanti akan disusuli dengan jilid kedua... insya Allah.


Thursday, June 9, 2011

Risalah al-Adab fi Rajab oleh Mulla 'Ali al-Qari (w. 1014H)

Sila rujuk risalah penuh di sini.

Antara isi kandungannya:

Aku mendengar setengah masyayikh membanyakkan beristighfar di dalam bulan [Rejab] ini, dan lafaznya:
أستغفر الله ذا الجلال والإكرام من جميع الذُّنوبِ والآثام

Kemudian aku melihat al-Manufi berkata: Pengarang "Targhib al-Matalib fi Asyraf al-Matalib" telah memberikan faedah bahawa beliau telah melihat dengan tulisan al-Hafiz Kamaluddin al-Damiri: Daripada Ibn 'Abbas RA secara marfu': "Barangsiapa yang berkata dalam bulan Rajab dan Sya'ban:
أستغفر الله العظيم الذي لا إله إلا هو الحي القيوم، وأتوب إليه توبةَ عبدٍ ظالمٍ لنفسه، لا يملكُ لنفسهِ موتاً ولا حياةً ولا نشورا
sebanyak 7 kali, Allah Taala akan mewahyukan kepada dua malaikat yang diwakilkan dengannya agar mengoyakkan catatan dosa-dosanya".

Kata beliau: Memadailah bagi kita akan kesabitan wurudnya keprihatinan al-Hafiz al-Damiri dalam menukilkannya dengan tulisan beliau sendiri serta mendiamkannya. Sekiranya ia palsu, nescaya beliau akan menerangkannya. Sesungguhnya beliau adalah imam di dalam seni [hadis] ini. Sekurang-kurang martabatnya adalah daif. Dan daif dapat diamalkan dalam fadha'il al-a'mal secara ittifaq.

Di dalam kitab "al-Mukhtas" pula: [Diriwayatkan] "Rajab adalah bulan Allah, Sya'ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku". Ia diriwayatkan oleh al-Daylami dan lain-lain daripada Anas RA.

- Tamat nukilan


* Sila download Risalah Amalan Bulan Rejab oleh al-Fadhil Ustaz Muhadir Hj. Joll.

Wednesday, May 25, 2011

Bolehkah Berpegang Dengan Penilaian Hadis al-Albani?

Pandangan Syeikhuna al-'Allamah al-Muhaddith Mahmud Sa'id Mamduh حفظه الله mengenai hukum berpegang dengan tashih dan tad'if al-Albani رحمه الله.




* Sila klik pada tajuk berikut sekiranya ingin men'download' kitab besar Syeikhuna berhubung masalah tashih dan tad'if al-Albani berjudul: (التعريف بأوهام من قسم السنن إلى صحيح وضعيف) yang terdiri dari 6 jilid, serta mendengar rakaman ulasan beliau mengenai kitabnya.


Thursday, May 5, 2011

Ensiklopedia Istilah-Istilah Hadis... Akan Terbit

Kitab ensiklopedia istilah-istilah hadis ini telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh tiga orang, iaitu Ustaz Zulhelmi dan Ustaz Ahmad Sanusi dari USIM dan Ustaz Mohd. Hazim Husain dari Markaz Seri Petaling, kini berada di South Africa. Ia adalah salah satu projek yang dirancang oleh Institut Kajian Hadis Selangor (INHAD) yang dikelolakan oleh sahabat saya, al-Fadhil Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdullah.

Tugas saya hanya sebagai pembaca pruf sekaligus sebagai pengedit kepada terjemahan tersebut agar tidak ada sebarang kesilapan. Memang ia bukan suatu tugas yang mudah. Sudah berbulan-bulan saya menghadap skrin komputer dan lembaran-lembaran kertas yang berjumlah hampir 1000 halaman tersebut dengan jumlah istilah hadis yang dianggarkan lebih dari 2000 istilah. Akhirnya dapat disiapkan juga... alhamdulillah.

Namun tidak dapat dinafikan masih banyak kelemahan-kelemahan yang ada. Itulah batas kemampuan manusia kerana kesempurnaan itu hanya milik Allah SWT. Pada masa ini, belum dapat dipastikan lagi bilakah kitab terbesar tentang istilah-istilah hadis ini akan dapat diterbitkan dan dipasarkan. Mungkin hujung tahun ini atau awal tahun depan. Wallahu a’lam.

Kamus atau ensiklopedia ini disusun menurut huruf hija’iyah, yakni dari huruf alif sehingga ke huruf ya. Objektif utamanya ialah bagi mengisi kekosongan bahan-bahan rujukan hadis dalam bahasa Melayu yang sememangnya sangat naif di dalam khazanah perpustakaan kita. Mudah-mudahan ianya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat Islam yang berbahasa Melayu secara khususnya. Semoga Allah SWT menerima amalan yang kecil ini.

Amin.


Wednesday, April 27, 2011

Buku Comel Dr. al-Akiti...



Ada beberapa buah buku yang berjaya menarik hati saya untuk dibeli pada Pesta Buku (PBAKL 2011) kali ini. Antaranya ialah sebuah buku atau sesuai juga dikatakan sebagai risalah yang kecil comel dalam sekitar 40 halaman sahaja berharga RM5.00 (belum diskaun). Tajuknya agak klise. Jika ia ditulis oleh seorang penulis yang tidak atau belum terkenal namanya, mungkin saya tidak membelinya.

Tuesday, December 28, 2010

Risalah Ibn Fairuz (w. 1216H) Yang Sezaman Ibn 'Abd al-Wahhab (w. 1206H) Dengan Ijazah Pentahkik (2)

Pentahkik risalah Ibn Fairuz, Syeikh al-Azhari al-Maliki al-Asy'ari (demikian gelaran-gelarannya tanpa nama), moderator Muntadayat Rawdh al-Rayyahin dan Muntada al-Azhariyyin, telah meriwayatkan risalah tersebut dari gurunya, Syeikh 'Abd al-Ra'uf al-Dimasyqi. Sanad tersebut dicatatkan di bahagian mukadimah risalah.


Syeikh al-Azhari telah berkenan untuk mengijazahkan sanad risalah tersebut khusus kepada ahli-ahli laman forum al-Azhariyyin . Maka sesiapa yang ingin meriwayatkan sanad risalah di atas hendaklah menjadi ahli laman forum berkenaan. Demikian lafaz ijazahnya:


Linknya telah dipautkan pada entri lepas.

Monday, December 27, 2010

Risalah Ibn Fairuz (w. 1216H) Yang Sezaman Ibn 'Abd al-Wahhab (w. 1206H) Untuk Dimuat-Turun!!


Pentahkik risalah al-Radd ‘ala man Kaffara Ahl al-Riyadh wa Ghairahum min al-Muslimin oleh Syeikh Muhammad Ibn Fairuz al-Hanbali (الرد على من كفر أهل الرياض وغيرهم من المسلمين لشيخ الإسلام محمد ابن فيروز الحنبلي), Syeikh al-Azhari berkata (terjemahannya):

Ketika kami masih muda, kami membaca buku-buku Ibn ‘Abd al-Wahhab seperti kitab al-Tawhid dan juga Kasyf al-Syubuhat. Dan kami menyangka bahawa yang beliau maksudkan dengan orang-orang kafir dan orang-orang musyrik itu ialah orang-orang kafir Quraisy dan yang seumpama mereka. Kemudian selepas itu, baru kami tahu bahawa yang beliau maksudkan ialah orang-orang Islam di zamannya, terutama para ulama dari kalangan mereka!

Kitab-kitab beliau membayangkan kepada orang yang tidak membelek sejarah bahawa patung dan berhala telah kembali semula ke Tanah Arab! dan bahawa undang-undang Islam telah terhapus di masanya! Tetapi para ulama yang membantahnya telah menerangkan penjelasan yang sebalik dari itu, dan mereka membuktikan situasi yang bertentangan dengan kata-katanya. Di antara ulama termasyhur yang membantahnya ialah Syeikh al-’Allamah Ibnu Fairuz al-Hanbali.

Beliau adalah ulama paling masyhur yang berani bersemuka dengan golongan Wahhabi serta menyanggah mereka. Mekipun Ibnu Fairuz masyhur diketahui mengkritik golongan Wahhabi, namun kritikan-kritikannya itu tidak banyak ditemukan. Tampaknya seolah-olah manuskrip-manuskrip tanggapannya itu telah dihapuskankan di Najd dan juga Al-Ahsa’, namun kami masih berfikir bahawa sebahagian kritikan-kritikan tersebut masih ada di sebahagian perpustakaan-perpustakaan persendirian.

Risalah ini adalah antara risalah-risalah yang kami akan suakan buat para pelajar ilmu, yang muncul buat pertama kalinya berdasarkan pengetahuan saya yang cetek. Saya tidak tahu setakat ini bahawa risalah Ibn Fairuz ini pernah dicetak sebelum ini, kecuali sebuah nazam yang bernama; al-Risalah al-Mardhiyyah fi al-Radd ’ala al-Wahhabiyyah, yang di awalnya menyebut: (سلام فراق لا سلام تحية). Tetapi risalah yang disajikan kepada anda ini sekarang adalah dalam bentuk karangan dan bukannya nazam.

Menurut pendapat peribadi saya, bahawa Ibn Fairuz telah berjaya dalam risalah ini dengan begitu sukses sekali dalam menerangkan kesalahan yang dilakukan oleh golongan Wahhabi terhadap hak orang-orang Muslim dari kalangan penduduk Riyadh dan lain-lainnya. Kejayaan ini dilihat dari sudut kesantaian Ibn Fairuz dalam memudahkan ungkapan dalam penulisannya ini, sehingga risalahnya itu menjadi dekat kepada masyarakat biasa, sebagaimana ia juga dekat dengan khalayak akademik. Dan beliau telah memuatkannya dengan bukti-bukti. Antara keistimewaan risalah ini ialah ia berbeza dalam memberi keterangan tentang situasi penduduk Riyadh di zamannya, di mana penjelasan tersebut tidak akan dapat anda lihat dalam mana-mana kitab lain.

Ibnu Fairuz telah menjelaskan, bahawa situasi mereka sebenarnya tidak sebagaimana yang digambarkan oleh golongan Wahhabi. Risalah ini adalah sebuah karya sejarah nadir yang wajar diambil manfaat oleh para sejarawan Najd masa kini bagi menghapuskan imej hitam yang dilakarkan oleh golongan Wahhabi terhadap kota Riyadh dan kawasan sekitarnya.

Kita juga dapat perhatikan, bahawa Ibn Fairuz berbicara dalam risalahnya ini mengenai perkara-perkara asas agama seumpama abjad a b c, seolah-olah seperti beliau mengajar seorang anak kecil atau seseorang yang jahil akan prinsip-prinsip asas ilmu pengetahuan agama, dan perlahan-lahan membawanya kepada kebenaran dan cahaya. Ibn Fairuz tidak memberatkan risalahnya dengan perbahasan-perbahsan ilmiah yang halus berkaitan kubur, tawassul dan juga istighasah.

Beliau juga tidak membuang masa dengan kata-kata yang sulit berbelit, tetapi mengambil jalan dan lorong yang jelas terang dalam menjelaskan keburukan yang dilakukan oleh golongan Wahhabi. Dalam pendahuluan kami bagi risalah ini mengandungi lebih penjelasan lagi, insya’ Allah. Berikut adalah risalah Ibn Fairuz berkenaan untuk dimuat turun:


http://www.4shared.com/document/b4HC..._________.html


Rujukan asal: al-Azhariyyin.

Sunday, November 7, 2010

Buku Baru Metodologi Ahli Hadith

Penyusun:

Dr. Faisal bin Ahmad Shah
Mohd. Khafidz bin Soroni
Rosni binti Wazir

Harga: RM25


240 Halaman

Buku 'Manahij al-Muhaddithin: Metode dan Pendekatan Sarjana Hadith' membincangkan mengenai kategori dan jenis karya-karya hadith beserta metode yang diaplikasikan oleh sarjana hadith. Buku yang membahaskan 21 kategori karya hadith dengan kupasan metode kepada 40 buah karya hadith dianggap paling lengkap dan komprehensif pernah dihasilkan dalam bahasa melayu. Bab pertama buku ini membincangkan mengenai fungsi dan kedudukan hadith dalam Islam. Termasuk di bawah perbahasan bab ini juga ialah isu-isu berkaitan penolakan hadith pada masa kini.

Dalam bab kedua penulis membincangkan mengenai pengkaryaan hadith pada abad pertama dan kedua hijrah. Antara subtopik yang dibincangkan ialah keharusan penulisan hadith pada zaman Rasulullah dan kontroversi yang timbul mengenai hadith-hadith suruhan dan larangan. Turut dibincangkan ialah mengenai sahifah-sahifah yang ditulis oleh para sahabat dan dua kitab pertama yang dihasilkan pada kurun kedua iaitu Muwatta Malik dan Musnad al-Shafie. Kupasan mengenai Kutub al-Sittah pula dibincangkan melalui bab ketiga.

Manakala dalam bab keempat dan kelima pula sebanyak 20 jenis karya hadith dibincangkan antaranya al-Mustadrak, al-Mustakharjat, Gharib al-Hadith, Mustalah al-Hadith, al-Ma'ajim, Mukhtalif dan Musykil al-Hadith, Sharah al-Hadith, al-'Ilal, al-Mawdu'at dan sebagainya. Setiap karya yang dikenalkan dalam buku ini diulas secara komprehensif merangkumi biodata penulis, kandungan dan metode penulisan kitab.

Petikan dari: Imtiyaz Group.

Friday, November 5, 2010

Karya Rohani Imam Syah Waliyullah al-Dihlawi رحمه الله

Antara karya 'pelik' Imam Syah Waliyullah al-Dihlawi (w. 1176H) ialah kitab al-Durr al-Thamin fi Mubasysyarat al-Nabi al-Amin SAW. Kitab ini mengandungi 40 buah 'hadith' yang diterima secara mimpi dan rohaniah oleh Imam Syah Waliyullah, bapanya dan juga lain-lain tokoh sufi seperti Syeikh Ahmad al-Nakhli, Syeikh Ahmad al-Qalqasyandi, Syeikh Ahmad al-Qusyasyi dan al-Syeikh al-Akbar Ibn 'Arabi yang disebut oleh beliau sebagai 'Ustaz al-Tahqiq'. Di antara ulama yang meriwayatkan kitab ini ialah Syaikhul Hadith Mawlana Syeikh Muhammad Zakaria al-Kandihlawi, tokoh hadith besar India dan salah seorang syeikh Tariqat Chistiyyah.

Imam Syah Waliyullah adalah antara tokoh ulama penting yang memainkan peranan dalam menghimpunkan antara ilmu syariat dan hakikat, serta hadith dan tasawuf dalam abad ke 12 Hijrah. Kehebatan ilmu hadithnya sama dengan kehebatan ilmu tasawufnya. Bahkan ramai ulama pada abad-abad ke 12, 13 dan 14 Hijrah yang berciri sedemikian rupa. Namun oleh kerana kesan pengaliran pemikiran ahli hadith moden (salafiyyah-athariyyah-wahhabiyyah) yang jumud dan rigid pada masa sekarang, maka mulalah kedengaran kini mereka yang merasa hairan dan pelik terhadap orang yang menggabungkan disiplin hadith dan tasawuf!.. Seolah-olah bagi mereka ahli hadith tidak sewajarnya mendekati ilmu tasawuf.

Supaya kita dapat meneliti sejauhmana ketinggian rohani Imam Syah Waliyullah dibawakan di bawah sebahagian dari petikan 'hadith-hadith' kitab tersebut.

Terjemahan: "Hadith keenam: Nabi SAW mengisyaratkan secara isyarat rohani yang ditujukan kepada si-faqir ini (Imam Syah Waliyullah) bahawa kehendak al-Haq (Allah) pada kamu ialah Allah Ta'ala akan menghimpunkan satu persatuan dari persatuan umat Islam yang dirahmati dengan sebab kamu".

Terjemahan: "Hadith kesepuluh: Daku bertanya Nabi SAW tentang mazhab-mazhab (fiqh) ini dan tariqat-taqiat (sufi) ini, manakah satu yang lebih utama di sisinya untuk dipegang dan disukai. Lalu melimpah ke atas hatiku dari baginda bahawa semua mazhab dan tariqat itu adalah sama, tiada lebih bagi salah satunya ke atas yang lain".
Terjemahan:
Hadith ke-14: "Bapaku mengkhabarkan kepadaku bahawa beliau melihat Nabi SAW di dalam mimpi lalu baginda membai'ahnya dan mentalqinkannya zikir nafi dan ithbat (La ilaha illa Allah) sebagaimana menurut tariqat orang-orang sufi. Lalu beliau membai'ah daku sebagaimana Nabi SAW membai'ahnya, dan beliau mentalqinkan daku sebagaimana Nabi SAW mentalqinkannya".

Hadith ke-15: "Bapaku mengkhabarkan kepadaku bahawa beliau pernah sakit, lalu beliau melihat Nabi SAW di dalam mimpi dan baginda bertanya: Bagaimana keadaan kamu hai anakku? Kemudian baginda memberinya khabar akan sembuh, dan memberinya dua helai rambut dari rambut janggutnya. Lalu beliaupun sembuh dari sakit serta merta, dan didapati di sisinya dua helai rambut berkenaan semasa jaga. Lalu beliau pun memberi kepadaku salah satunya, dan ia ada tersimpan di sisiku".

Hadith ke-16: "Bapaku memerintahkan daku dengan (mengamalkan) lafaz selawat ke atas Nabi SAW ini, iaitu: Allahumma Salli 'ala Muhammad al-Nabi al-Ummi wa Alihi wa Barik wa Sallim. Kata beliau: Daku membacanya di dalam mimpi kepada Nabi SAW dan baginda pun memujinya baik".

Terjemahan: "Bapaku mengkhabarkan kepadaku bahawa beliau telah melihat di dalam mimpi Sayyidina Zakaria AS, lalu baginda mentalqinkannya zikir dengan nama Zat (ALLAH) yang sama seperti menurut Tariqat Naqsyabandiyyah, dan beliau pun mentalqinkannya kepadaku sebagaimana baginda mentalqinkannya".

Wallahu a'lam.

------------------

Lihat juga ulasan Ustaz Abu Muhammad berkaitan mimpi di Bahrus Shofa.

Saturday, May 22, 2010

Mempertahan Habib 'Ali al-Jufri حفظه الله


Pengaruh Habib 'Ali al-Jufri, tokoh pendakwah internasional, memang ditakuti oleh mereka yang tidak sependapat dengannya. Kebangkitan golongan Haba'ib (habib-habib) di masa mutakhir ini yang turut berdiri di belakang Habib 'Ali juga mengkhuatirkan mereka. Mereka tidak mahu fahaman aliran perdana yang dibawa oleh Habib 'Ali dan juga Habib 'Umar akan menghalang dan membantutkan perkembangan aliran yang dibawa oleh mereka. Alangkah baiknya jika mereka ini bersama-sama mendokong agenda membetulkan IMAN umat Islam, bukannya membawa agenda yang kononnya mahu membetulkan AKIDAH umat Islam. Jika mahu juga membawa agenda AKIDAH, bukankah lebih baik jika segala dana dan usaha yang besar itu ditujukan kepada umat manusia di Amerika, Eropah, Afrika, China, India dan lain-lain yang masih belum berakidah Islam. Adapun masalah umat Islam sekarang ini ialah masalah IMAN... masalah IMAN yang serius.

Inilah isu yang difokuskan oleh pendakwah-pendakwah Islam yang tulus ikhlas seperti Habib 'Ali al-Jufri dan lain-lain. Sudah ramai yang bertaubat di tangan beliau dan tidak kurang juga yang memeluk Islam dengan sebabnya. Namun, mereka yang tidak senang dengan pengaruh Habib 'Ali ini telah melontarkan kepada beliau berbagai tohmahan buruk, seperti penyebar bidaah, pembawa khurafat, malah ada yang percaya beliau layak sebagai ahli neraka... نعوذ بالله. Masya' Allah, inilah sunnah bagi para pendakwah. (Pendakwah-pendakwah Tabligh pun kena dengan dia orang ni dengan dituduh sebagai jemaah bidaah dan khurafat!)

Antara kitab yang mengkritik Habib 'Ali ialah kitab 'Ila Aina Ayyuhal Habib al-Jufri'. Dikatakan Syeikh Mustafa al-Khin telah memuji kitab berkenaan. Bagaimanapun, beliau telah menarik balik kenyataannya itu (lihat sebelah atas teksnya) dan mengakui kesilapannya serta memuji ketokohan Habib 'Ali. Alhamdulillah.

Kitab tersebut telah dijawab oleh Syeikh 'Abdul Hadi al-Kharsah dengan kitabnya 'al-Radd al-'Ilmi al-'Alani' (sila download) secara terperinci. Satu lagi kitab yang mempertahankan Habib 'Ali ialah kitab 'al-Jufri fil Mizan' oleh Syeikh Habib 'Abdur Rahman Salami (sila download) yang menjawab kaset 'Hiwar Hadi' Ma'a al-Syaykh al-Jufri'.

Semoga Allah Ta'ala memelihara Syaykhuna Habib 'Ali al-Jufri dan semua para ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah serta meninggikan darjat mereka di dunia dan akhirat. Amin. Semoga Dia juga menyedarkan orang-orang yang terpedaya dengan ilmunya lalu menyangka diri mereka sahaja yang benar dalam masalah-masalah tertentu, padahal mereka sendiri tidak pasti secara putus (qat'i) apakah itu sebenarnya adalah kehendakNya yang sebenar-benar di sisiNya. Semoga Allah menunjukkan kepada kita kebenaran dan meneguhkan kesatuan umat Islam Ahlus Sunnah wal Jamaah. Amin.

Monday, May 17, 2010

Muktamar Imam al-Asy'ari رحمه الله ورضي عنه

Kertas-kertas kerja yang dibentang dalam muktamar (pautan asal) pada minggu lepas (8-11hb. Mei 2010) di Kaherah, Mesir. Alhamdulillah, sebahagiannya dapat di'download'... sila ke pautan asalnya. Jika tak boleh juga, mungkin ada masalah pada taliannya. Atau cuba try sini pulak (nokhbah.net) ;


المتحدث

الدولة

الموضوع

أ.د / رجب محمود خضر

مصر

موقف الإمام الأشعري من المتشابهات .

أ.د / خالد أبو الفضل

مصر

الاتجاهات الفقهية فى عصر الأشعري .

أ.د/ أيمن محمود شحادة

بريطانيا

الإتجاهات العقدية فى عصر الإمام الأشعري .

أ.د / رضوان السيد

لبنان

الإمام الأشعري والنهضة الإسلامية الحديثة: قراءة معاصرة للإمام الأشعري .

أ.د/ بشار عواد معروف

العراق - الأردن

نظرات فى ترجمة الإمام الأشعرى فى المصادر القديمة .

أ.د / حسن محرم الحوينى

مصر

الإمام الأشعري و ابن كُلاب .

د / يوسف حنانا

المغرب

سيرة الإمام الأشعري بين الحقائق و الأوهام .

د / عبد الحكيم أنيس

سوريا

شيوخ الإمام الأشعري وتلاميذه .

أ.د/ أحمد خان

باكستان

الإمام الأشعري فى الدراسات والبحوث بشبه القارة الهندية.

د/العربى بِشْرِي

فرنسا

الإمام الأشعري فى الدراسات والبحوث الفرنسية.

أ.د/سيد باغَجْوَان

تركيا

الإمام الأشعري فى الدراسات والبحوث التركية الحديثة.

أ.د/دِين محمد مِيرَا

سيريلانكا

الإمام الأشعري فى الدراسات والبحوث الإنجليزية.

أ.د/عبد الكبير العَلَوِىّ المدَّغْرِى

المغرب

الإمام الأشعري وواقعنا المعاصر.

أ.د/حسن عبد اللطيف الشافعى

مصر

فكر الإمام الأشعري من خلال كتاب مجرد المقالات لابن فُورَك.

الشيخ/محمد عُزيْر شمس

الهند

تراث الإمام الأشعري بين المطبوع و المخطوط.

أ.د/محمد ربيع الجوهري

مصر

أبو الحسن الأشعري فى كتابه مقالات الإسلاميين.

أ.د/عبد العزيز سيف النصر

مصر

وَسَطِيَّة الإمام الأشعري فى الإنسانيات بين الـجَبْرِ والتَّفْوِيض .

الشيخ /محمد صالح الغرسى

تركيا

عقيدة الإمام الأشعري أين هى من عقائد السلف .

أ/مجد مَكَّي

سوريا

عقيدة الإمام أبى الحسن الأشعري فى الإبانة وموافقتها لما فى اللُّمَع و باقى كُتُبِه .

أ.د/فتحي عبد الرازق

مصر

نظرات في نسبة كتاب الابانة للإمام الأشعري وترتيبه بين مؤلفاته .

أ.د/مصطفي بن حمزة

المغرب

الإمام الأشعري وقراءة النص .

د/الشريف حاتم بن عارف العوني

السعودية

اليقينى والظَّنِّيُّ: سِجالٌ بين العقل والنقل عند

الإمام أبى الحسن الأشعري والمحدثين .

أ.د/احمد عجيبه

مصر

الإمام أبو الحسن الأشعري ومُنْحَنَى تطوُّره العَقَدِي .

أ.د/محمد كمال إمام

مصر

الإمام ابو الحسن الأشعري اصولياً .

أ.د/عمار طالبى

الجزائر

نظرات فى فلسفة الإمام الأشعري .

أ.د/السيد ولد أباه

موريتانيا

الإمام الأشعري فيلسوفاً: قراءةٌ جديدةٌ .

أ.د/إبراهيم محمد زين

السودان

واقعية المنهج الكلامى عند الإمام الأشعري و دورها فى مواجهة التحديات الفلسفية المعاصرة .

أ/سعيد فودة

الأردن

تأملات فى الفكر الفلسفي عند الإمام الأشعري .

أ.د/محمد سعيد رمضان البُوطى

سوريا

اثر الإمام ابى الحسن الأشعري فى منهج التفكير الإسلامى قديما وحديثا .

أ.د/أيمن شبانة

أمريكا

من العادة إلى العرف (الأسس الكلامية لمفهوم العرف فى التراث الإسلامى) .

د/حسان فِلِمْبَان

السعودية

ملامح التجديد الأصولي عند الإمام الأشعري .

أ.د/محمد السليمانى

الجزائر

الإمام الأشعري فى الدراسات العربية الحديثة .

أ.د/أحمد حسن فرحات

سوريا

إمتداد فكر الأشعري لدى المفسرين .

أ.د/أبو لبابة حسين

تونس

إمتداد فكر الأشعري لدى المحدثين .

أ.د/نجاح الغنيمي

مصر

إمتداد فكر الأشعري لدى الصوفية .

أ.د/ابو يَعْرُب المرزوقي

تونس

العلاقة بين الوصف و تأسيس علم الكلام فى تراث الإمام الأشعري .

أ.د/محمد سليم العَوَّا

مصر

أبو الحسن الأشعري إمام الوسطية .

أ.د/عبد الرحمن المراكبى

مصر

التأليف و التوازن الفكرى عند أبى الحسن الأشعري .

أ.د/عبد المجيد الصُّغَيّر

المغرب

الوَسَطِية كمشروعِ لتدبيرِ الاختلافِ عند الأشعري. (الـمُبَرّرَات والمظاهِر والنّتائج) .

أ.د/عبد المجيد النجار

تونس

فقه السياسة الشرعية عند الإمام الأشعري .

أ.د/عبد الله بن بَيَّه

موريتانيا

نظرات فى منهج الإمام الأشعري

أ.د/عمر عبد الله كامل

السعودية

الإمام الأشعري بين الحنابلة و المعتزلة .

أ.د/محمد طاهر الميساوى

تونس

جهود الإمام الأشعري فى تأسيس الحوار مع الآخر وتأصيل مناهج النَّقْد و التقويم .

أ.د/محمد الرَّاونْدِي

المغرب

حضور الإمام الأشعري فى تراث الغرب الإسلامى .

أ.د/عبد الرزاق قَسُّوم

الجزائر

الجانبُ الفلسفى فى مقالات ابى الحسن الاشعري .

أ.د/محمد عبد الستار نصَّار

مصر

بين العقل والنقل في منهج الإمام الأشعري .

د/عارف نايض

لبييا

الإمام الأشعري فى الفكر الأوربى .

أ/أنْدرِيَا تَرنْتِينى

إيطاليا

الإمام الأشعري فى المصادر الأوربية حتى القرن التاسع عشر .