Pages

Showing posts with label Akidah. Show all posts
Showing posts with label Akidah. Show all posts

Wednesday, June 9, 2021

Pegangan akidah dan status hadis: “Sultan adalah naungan Allah”

 


Wajar kita ketahui bahawa antara dasar pegangan utama Ahlus Sunnah wal Jamaah ialah taat kepada pemerintah/penguasa selama mana mereka tidak menyuruh kepada perkara maksiat. Amat banyak dalil daripada al-Quran dan hadis mengenai perkara ini.  

 

Kata Imam at-Tahawi dalam akidahnya yang cukup masyhur dan menjadi pegangan seluruh umat Islam:

ولا نرى الخروج على أئمَّتنا ووُلاة أمورنا، وإن جارُوا، ولا ندعو عليهم، ولا ننزع يداً من طاعتهم، ونرى طاعتَهم من طاعة الله عزّ وجلّ فريضةً، ما لم يأمروا بمعصيةٍ، وندعو لهم بالصَّلاح والمعافاةِ.

“Kami berpegang tidak boleh keluar memberontak untuk menentang pemimpin-pemimpin dan pemerintah-pemerintah kami, meskipun mereka itu keras. Kami tidak mendoakan keburukan buat mereka dan tidak juga menarik tangan keluar daripada mentaati mereka. Kami berpegang bahawa mentaati mereka itu termasuk mentaati Allah SWT secara fardhu selama mana mereka tidak menyuruh kepada maksiat. Dan kami turut mendoakan buat mereka kebaikan dan kesejahteraan”.  

 

Meskipun terdapat banyak dalil hadis yang sahih, namun ada beberapa hadis tentang aspek ini yang dipersoalkan kedudukannya oleh sesetengah orang. Antaranya hadis:

«السُّلْطَانُ ظِلُّ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ، فَمَنْ أَكْرَمَهُ أَكْرَمَ اللَّهَ، وَمَنْ أَهَانَهُ أَهَانَهُ اللَّهُ».

“Sultan (pemerintah) adalah naungan Allah di muka bumi. Maka, barangsiapa yang memuliakannya, maka Allah akan memuliakannya. Dan barangsiapa yang menghinanya, maka Allah akan menghinanya.” 

 

Hadis ini adalah berbentuk majazi, iaitu sebagaimana bayang-bayang melindungi manusia daripada panas terik matahari, maka begitu juga pemerintah yang ditanggungjawabkan oleh Allah SWT untuk melindungi manusia daripada perkara yang boleh menyakiti dan menyukarkan mereka. Maksud ‘memuliakan mereka’ ialah dengan cara mentaati mereka dan tidak keluar memberontak untuk menentang mereka. Manakala sebaliknya, maksud ‘menghina mereka’ ialah dengan tidak mentaati mereka dan keluar memberontak untuk menentang mereka tanpa sebarang hak.  

 

Sebenarnya terdapat perselisihan ulama tentang status hadis di atas kerana ia dinilai sahih atau hasan oleh sebahagian ulama; dan dinilai daif oleh sebahagian ulama yang lain.

 

*Hadis Abu Bakrah RA

Dalam banyak sumber rujukan, hadis seumpama demikian diriwayatkan daripada sejumlah sahabat Nabi SAW, antaranya ialah hadis Abu Bakrah RA. Hadis beliau dalam pelbagai sumber diriwayatkan melalui jalur riwayat yang sama, iaitu daripada Humaid bin Mihran daripada Saad bin Aus daripada Ziyad bin Kusaib daripada Abu Bakrah RA [daripada Nabi SAW]. Menurut al-Bazzar, mereka semua adalah orang Basrah.

 

Daripada Humaid bin Mihran pula, hadis ini diriwayatkan oleh beberapa muridnya dengan redaksi lafaz yang berbeza-beza iaitu:

 

1. Salm bin Sa‘id atau Muslim bin Sa‘id al-Khaulani meriwayatkannya dengan lafaz:

«السُّلْطَانُ ظِلُّ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ، فَمَنْ أَكْرَمَهُ أَكْرَمَ اللَّهَ، وَمَنْ أَهَانَهُ أَهَانَهُ اللَّهُ».

“Sultan (pemerintah) adalah naungan Allah di muka bumi. Maka, barangsiapa yang memuliakannya, maka Allah akan memuliakannya. Dan barangsiapa yang menghinanya, maka Allah akan menghinanya.” (lihat as-Sunnah oleh Ibn Abi ‘Asim no. 1024 dan Syu‘ab al-Iman oleh al-Baihaqi no. 6988).

 

Imam as-Suyuti dalam al-Jami‘ as-Saghir (4815) mengisyaratkan statusnya sebagai sahih. Namun, kata al-Munawi dalam at-Taisir: “Sanadnya terdapat kelemahan”.

 

2. Muhammad bin Bakr, guru Imam Ahmad meriwayatkannya dengan lafaz:

مَنْ أَكْرَمَ سُلْطَانَ اللهِ فِي الدُّنْيَا، أَكْرَمَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ أَهَانَ سُلْطَانَ اللهِ فِي الدُّنْيَا، أَهَانَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.

Barangsiapa yang memuliakan sultan Allah (pemerintah) di dunia, maka Allah akan memuliakannya di hari kiamat kelak. Dan barangsiapa yang menghina sultan Allah (pemerintah) di dunia, maka Allah akan menghinanya di hari kiamat kelak.” (lihat Musnad Ahmad no. 20433).

 

Kata al-Haithami dalam Majma‘ az-Zawa’id: “Para perawi Ahmad adalah thiqah belaka”. Namun, terdapat perbincangan lanjut selepas ini.

 

3. Muslim bin Ibrahim meriwayatkannya dengan lafaz:

مَنْ أَكْرَمَ سُلْطَانَ اللَّهِ أَكْرَمَهُ اللَّهُ وَمَنْ أَهَانَ سُلْطَانَ اللَّهِ أَهَانَهُ اللَّهُ.

Barangsiapa yang memuliakan sultan Allah (pemerintah), maka Allah akan memuliakannya. Dan barangsiapa yang menghina sultan Allah (pemerintah), maka Allah akan menghinanya.” (lihat Musnad as-Syihab oleh al-Qudha‘i no. 419 dan as-Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi no. 16436)

 

4. Abu Dawud at-Tayalisi meriwayatkannya dengan lafaz lebih pendek:

«مَن أهانَ سلطانَ اللهِ في الأرضِ أهانَه اللهُ»

Barangsiapa yang menghina sultan Allah (pemerintah) di dunia, maka Allah akan menghinanya kelak.” (lihat Musnad Abu Dawud at-Tayalisi no. 887, Sunan at-Tirmidhi no. 2224 kata beliau: Hadis hasan gharib, dan Musnad al-Bazzar no. 3670)

 

Menurut Mulla ‘Ali al-Qari dalam Syarh al-Misykat (4/131): “Sandaran yang terdapat pada lafaz: ‘sultan Allah’ itu adalah sandaran untuk memuliakan, sepertimana lafaz: ‘rumah Allah’ (baitullah) dan ‘unta Allah’ (dalam kisah Nabi Soleh AS)”.

 

*Aspek kritikan hadis Abu Bakrah RA

Pihak yang mengkritik hadis Abu Bakrah RA di atas adalah kerana perawinya, Ziyad bin Kusaib majhul. Sebenarnya beliau dikategorikan oleh Ibn Hibban dalam kalangan perawi thiqah. Pihak yang tidak menerima penilaian Ibn Hibban, tidak boleh menafikan bahawa hadis tersebut adalah hasan menurut metode Ibn Hibban. Malah, ulama hadis mutaqaddimin tidak pun mempertikaikan kaedah Ibn Hibban kecuali yang terdapat bantahan terhadapnya sahaja.   

 

Apa pun, Ziyad bin Kusaib tidak bersendirian dalam riwayatnya kerana beliau disokong oleh ‘Abdur Rahman bin Abi Bakrah, meskipun jalur riwayatnya agak daif - antaranya kerana ada perawi yang tidak disebut nama - dengan lafaz (lihat as-Sunnah oleh Ibn Abi ‘Asim no. 1025):

" مَن أجَلَّ سلطانَ الله، أجلَّه اللهُ يومَ القيامة ".

Barangsiapa yang memuliakan sultan Allah (pemerintah), maka Allah akan memuliakannya di hari kiamat kelak”.  

 

Pihak yang mengkritik juga - seperti al-Munawi dalam Faidh al-Qadir - turut melemahkan Saad bin Aus. Namun, sebenarnya terdapat perselisihan tentangnya. al-Hafiz Ibn Hajar merumuskan kedudukannya sebagai saduq (benar), namun mempunyai kesilapan-kesilapan. Secara ringkas, hadis Abu Bakrah RA ini secara keseluruhan tidaklah terlalu daif. 

 

*Hadis-hadis Sokongan

 

i. Hadis Abu Hurairah RA

Hadis Abu Bakrah RA sebenarnya mempunyai sokongan yang dapat mengukuhkannya, iaitu daripada hadis Abu Hurairah RA yang diriwayatkan oleh Ibn an-Najjar dengan lafaz:

السُّلْطَانُ ظِلُّ اللهِ فِي الْأَرْضِ، يَأْوِيْ إِلَيْهِ الضَّعيفُ، وَبِهِ ينتَصِرُ المظلومُ، وَمَنْ أَكْرَمَ سُلْطَانَ الله فِي الدُّنْيَا أَكْرَمَهُ اللهُ يَوْم َالقِيَامَةِ

Sultan (pemerintah) adalah naungan Allah di muka bumi; yang mana orang lemah dapat berlindung kepadanya dan orang yang dizalimi dapat dibantu. Barangsiapa yang memuliakan sultan Allah (pemerintah) di dunia, maka Allah akan memuliakannya di hari kiamat kelak.”

 

Imam as-Suyuti dalam al-Jami‘ as-Saghir (4817) mengisyaratkan statusnya sebagai hasan. Namun, pada sanadnya terdapat Ahmad bin ‘Abd ar-Rahman bin Wahb seorang yang dikritik. Justeru, al-Munawi di dalam at-Taisir menyatakan: “Sanadnya daif”.  

 

ii. Hadis Huzaifah RA

Antara yang dapat menyokong makna hadis Abu Bakrah RA juga ialah hadis Huzaifah RA yang diriwayatkan oleh al-Bazzar dengan lafaz:

ما مِن قومٍ مشَوا إلى سلطانِ اللهِ ليذلُّوه إلاَّ أذلَّهم اللهُ قبلَ يومِ القيامة.

“Tiadalah suatu kaum yang berjalan menuju kepada sultan Allah (pemerintah) untuk menghinakannya melainkan Allah akan menghinakan mereka sebelum hari kiamat lagi”.  

 

Kata al-Haithami dalam Majma‘ az-Zawa’id: “Para perawinya adalah para perawi kitab as-Sahih kecuali Kathir bin Abi Kathir at-Tamimi, namun beliau thiqah”. Walaupun sebenarnya terdapat perselisihan tentang status Kathir bin Abi Kathir, namun sanad hadis ini sekurang-kurangnya adalah hasan.  

 

iii. Hadis Abu Zar RA

Antara yang dapat menyokong maknanya juga ialah hadis Abu Zar RA dengan lafaz:

"إِنَّهُ كَائِنٌ بَعْدِي سُلْطَانٌ فَلَا تُذِلُّوهُ، فَمَنْ أَرَادَ أَنْ يُذِلَّهُ فَقَدْ خَلَعَ رِبْقَةَ الْإِسْلَامِ مِنْ عُنُقِهِ، وَلَيْسَ بِمَقْبُولٍ مِنْهُ تَوْبَةٌ حَتَّى يَسُدَّ ثُلْمَتَهُ الَّتِي ثَلَمَ، وَلَيْسَ بِفَاعِلٍ، ثُمَّ يَعُودُ فَيَكُونُ فِيمَنْ يُعِزُّهُ ".

'Sesungguhnya akan ada selepasku nanti sultan/penguasa, maka janganlah kalian menghinakannya. Maka, barangsiapa yang hendak menghinakannya, maka bererti dia telah menanggalkan ikatan Islam daripada lehernya dan tidak akan diterima daripadanya taubat sehinggalah dia menutupi rekahan yang dia lakukan, sedangkan dia tidak akan dapat melakukannya. Kemudian (jika berjaya) ia kembali semula, lalu menjadi sebahagian orang yang memuliakannya."

 

Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya (21460) dan Ibn Abi ‘Asim dalam kitab as-Sunnah (no. 1079) dengan sanad yang daif kerana perawi daripada Abu Zar RA tidak disebutkan namanya. Manakala dalam satu riwayat Ibn Abi ‘Asim, namanya disebut sebagai Nusair Maula Khalid dan hanya Ibnu Hibban sahaja yang mengkategorikannya sebagai thiqah dalam kitab at-Thiqat. Maka, boleh dikatakan sanad hadis ini adalah hasan mengikut metode beliau.    

 

iv. Hadis Abu ‘Ubaidah RA

Antara yang dapat menyokong maknanya lagi adalah hadis Abu ‘Ubaidah RA dengan lafaz:

« لا تسُبُّوا السلطانَ؛ فإنه ظلُّ اللهِ في الأرضِ ».

“Janganlah kalian mencaci sultan, kerana sesungguhnya ia adalah naungan Allah di muka bumi”.

 

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Abi ‘Asim dalam kitab as-Sunnah (no. 1013) dengan sanad yang amat daif.  

 

v. Hadis-hadis sokongan lain

Juga terdapat beberapa riwayat lain yang rangkap awalnya berbunyi: (السُّلْطَانُ ظِلُّ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ) “Sultan adalah naungan Allah di muka bumi” daripada Abu Bakr RA, ‘Umar RA, Ibn ‘Umar RA dan Anas RA, tetapi riwayat-riwayat tersebut dikritik dan dinilai antara daif dan amat daif oleh para ulama. Hadis Anas RA misalnya, dikritik oleh Imam Abi Hatim - sepertimana dalam kitab ‘Ilal al-Hadith - sebagai hadis munkar kerana seorang perawinya bernama Ibn Abi Rukbah adalah majhul.  

 

Hadis sekalipun dinilai daif, bukan bererti palsu. Ia masih tetap ada ruang untuk diamalkan, iaitu sebagai motivasi atau galakan dan ancaman (at-targhib wa at-tarhib). Hukum beramal dengan hadis daif dari aspek tersebut adalah harus menurut jumhur ulama. Apakah kita tidak mahu dimuliakan oleh Allah SWT; atau apakah kita tidak takut akan dihinakan oleh Allah SWT?

 

Ini tidak bertentangan sedikit pun dengan hadis galakan berkata benar iaitu:

أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ.

"Jihad yang paling utama ialah menyampaikan kalimah yang benar kepada sultan/penguasa yang zalim." (HR Abu Dawud, Ibn Majah dan at-Tirmizi, katanya: Hasan gharib). Ini kerana masing-masing ada tempat dan masa ia diperlukan.

 

*Rumusan Status Hadis

Walaupun mungkin setiap satu jalan riwayat hadis di atas tidak lepas daripada kritikan sesetengah pihak, namun semuanya secara majmuk mampu saling kuat menguatkan antara satu sama lain dari segi makna sama yang terkandung di dalamnya. Justeru, setelah meneliti semua jalan riwayat dan pandangan ulama, maka kami lebih cenderung mengatakan bahawa makna hadis Abu Bakrah RA yang dibincangkan di awal tadi adalah harus meningkat kepada status hasan li-ghairih berdasarkan sokongan daripada himpunan makna kesemua hadis berkenaan. Malah, nilai hasan ini terlebih dahulu telah pun dikemukakan oleh Imam at-Tirmizi di dalam Sunannya.        

 

Bahkan, Syeikh al-Albani yang telah mendaifkan hadis ini di dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha‘ifah turut menilainya sebagai hasan juga di dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah dan Zilal al-Jannah fi Takhrij al-Sunnah berdasarkan jalan-jalan riwayatnya. Manakala Dr. Ibrahim bin as-Siddiq dalam kitab Maqalat wa Muhadharat fi al-Hadith as-Syarif (hlm. 89) menyatakan rangkap hadis: “Sultan adalah naungan Allah di muka bumi” merupakan rangkap hadis yang sabit, masyhur lagi mustafidh daripada Nabi SAW. 

 

Jelasnya, kita diperintahkan agar menghormati pemerintah dan dilarang daripada menghina dan mencela mereka tanpa sebarang sebab yang dibenarkan syarak. Maka, berpadalah dalam memberi teguran mengikut adab Islam yang betul dan janganlah bertindak melampau dalam mengkritik pemerintah sehingga mencaci maki dan menghinanya. Kelemahan dan kekurangan pasti ada, tapi bukan bermakna kita boleh biadap terhadap mereka di luar adab Islam sesuka hati. Manakala memang sudah menjadi tanggungjawab pemerintah pula untuk menjaga dan melindungi rakyat daripada sebarang kezaliman, penganiayaan dan juga kesusahan. Tentunya ini merupakan suatu tugas berat kerana semuanya akan dipersoalkan oleh Allah SWT di hari akhirat kelak.

 


Sunday, March 22, 2020

Pencerahan Hadis Wujud Penyakit Berjangkit


 Image result for men in hazmat suits
SOALAN:

Assalamualaikum ustaz. Ada ramai tertanya-tanya tentang statement hadis: “Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa.”. Boleh ustaz terangkan?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wrt.

Matan penuh bagi hadis sahih tersebut yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW:
«لاَ عَدْوَى وَلاَ طِيَرَةَ، وَلاَ هَامَةَ وَلاَ صَفَرَ، وَفِرَّ مِنَ المَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنَ الأَسَدِ» (رواه البخاري معلقاً، وهو صحيح بطرقه)
Bagaimanapun, berdasarkan penelitian terdapat dua terjemahan yang berbeza bagi hadis ini:
[i] Pertama, dalam bentuk LARANGAN iaitu: “Tidak boleh menjangkitkan penyakit, tidak boleh membuat ramalan buruk, tidak boleh percaya sial burung hantu dan tidak boleh percaya sial bulan Safar, dan larilah daripada pesakit kusta sebagaimana kamu lari daripada singa.”
[ii] Kedua, dalam bentuk PENAFIAN iaitu: “Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada ramalan buruk, tidak ada sial burung hantu dan tidak ada sial bulan Safar, dan larilah daripada pesakit kusta sebagaimana kamu lari daripada singa.”

Penjelasan:

1. Terjemahan [i]:
Terjemahan [i] adalah berbentuk LARANGAN dan maksudnya amat jelas tanpa perlu kepada perbahasan lanjut. Antara ulama yang berpandangan demikian ialah Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah di dalam ulasannya terhadap kitab al-Masnu‘ fi Ma‘rifah al-Hadith al-Mawdu‘ (h. 47). Menurutnya, janganlah orang yang sakit berjangkit itu bercampur dengan orang-orang yang sihat kerana khuatir dia akan menjangkitkan mereka dengan takdir Allah Taala. Hadis ini jelas berkait antara awal dengan akhirnya dengan cukup sempurna tanpa terpisah sedikit pun. Maknanya bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:
لَا يُورِدَنَّ مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍّ. (رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya: “Janganlah pemilik unta yang sakit membawakannya kepada unta yang sihat.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Nabi SAW juga bersabda:
 إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطاعون بِأَرْضٍ فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْه. (رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya: “Jika kamu mendengar penyakit taun di sesuatu tempat, maka jangan kamu pergi kepadanya. Jika ia berlaku di sesuatu tempat pula, sedangkan kamu berada di situ, maka jangan kamu keluar lari daripadanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Nabi SAW juga pernah didatangi sekumpulan orang daripada Bani Thaqif untuk berbaiah dan salah seorang daripada mereka menghidap penyakit kusta. Lantas, Nabi SAW mengutus orang kepadanya seraya berpesan: “Sesungguhnya kami telah membaiah kamu, maka pulanglah” (tanpa bersentuhan dengannya). (HR Muslim)

2. Terjemahan [ii]
Manakala, terjemahan [ii] adalah berbentuk PENAFIAN hingga maksudnya menjadi perbincangan hangat di kalangan para ulama kerana wujudnya penyakit yang berjangkit dan hadis-hadis yang zahirnya menunjukkan demikian.

al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari membahaskan secara panjang lebar mengenai perselisihan pandangan para ulama mengenainya. Manakala secara ringkas, beliau menyebut di dalam kitab Nuzhah al-Nazar -pada bahagian mukhtalif al-hadith- dua pandangan utama berikut (h. 76):

[a] Pertama: “Ibn al-Solah telah memberikan contoh hadis (لا عَدْوَى ولا طِيَرَةَ) dan hadis (فِرَّ مِنَ المَجْذُوم فِرارَكَ مِنَ الأسد) yang kedua-duanya sahih, sedangkan zahir kedua-duanya bercanggah. Kaedah menghimpunkan antara kedua-duanya ialah penyakit ini tidak berjangkit dengan tabiinya sendiri, tetapi Allah SWT telah menjadikan percampuran orang yang sakit dengan orang sihat itu sebagai SEBAB dia menjangkitkan penyakitnya. Kemudian barangkali dia boleh terlepas daripada sebabnya itu, sepertimana pada sebab-sebab yang lain juga. Demikian Ibn al-Solah menyatukan kedua-duanya, mengikut sebagaimana pandangan ulama lain”.   

[b] Kedua (di sisi al-Hafiz Ibn Hajar): “Dan yang lebih utama bagi menghimpunkan kedua-duanya  ialah menyatakan bahawa penafian baginda SAW terhadap jangkitan itu kekal secara umumnya. Kerana telah sah sabdanya SAW: “Sesuatu tidak menjangkiti sesuatu yang lain”, dan sabdanya SAW kepada orang yang berkata bahawa unta yang berpenyakit berada dalam kalangan unta yang sihat serta bercampur gaul dengannya, lalu semuanya pun menjadi sakit, maka baginda SAW membalas kepadanya: “Maka, siapa pula yang menjangkitkan unta yang pertama?” Yakni, Allah SWT yang memulakan penyakit itu pada unta yang kedua, sepertimana Dia memulakannya pada unta yang pertama. Adapun perintah supaya lari daripada pesakit kusta pula, maka ia termasuk bab sadd az-zara’i‘ (menyekat punca berlaku) supaya tidak berbetulan bagi individu yang diuji demikian dengan takdir Allah SWT pada permulaannya, bukannya dengan jangkitan yang telah dinafikan, lalu dia menyangka bahawa itu adalah dengan sebab pergaulannya, lantas dia pun meyakini kebenaran jangkitan penyakit tadi. Maka, mengakibatkan dia terbabit dalam bahaya (dari segi akidahnya). Justeru, baginda SAW memerintahkan supaya menjauhinya bagi mengelakkan situasi tersebut”.    

Pandangan Lebih Kuat
Bagaimanapun, pentahkik kitab Nuzhah al-Nazar, Prof. Dr. Nuruddin 'Itr mengulas bahawa pandangan Ibn as-Solah [a] yang memaknakan hadis sebagai penafian wujudnya penyakit berjangkit dengan tabiinya sendiri, sebenarnya adalah lebih kuat dan lebih sesuai secara saintifik berbanding pandangan kedua [b] yang menafikan sama sekali wujudnya penyakit berjangkit. Dalam menolak pandangan kedua ini, Imam ‘Ali al-Qari mengulas dalam Syarah Nuzhah al-Nazar (h. 373) bahawa jika seseorang menyangka bahawa penyakit kusta itu terjadi dengan sebab percampurannya serta meyakini kebenaran jangkitan penyakit itu dengan SEBAB tersebut, maka tidaklah menjadi masalah.  

Jelasnya, terjemahan [i] dan [ii] -berdasarkan pandangan Ibn as-Solah- bagi hadis yang dipertanyakan di atas hakikatnya dapat difahami secara selaras, tanpa ada pada kedua-duanya sebarang percanggahan mahupun penyimpangan dari aspek akidah.
  
Kata Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim: “Menurut jumhur ulama, cara menyatukannya ialah hadis (لَا عَدْوَى) bermaksud untuk menafikan apa yang didakwa dan dipercayai oleh orang Jahiliyyah bahawa suatu penyakit itu berjangkit dengan tabii semula jadinya, bukannya dengan sebab perbuatan Allah Taala. Manakala hadis (لَا يُورِدُ مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍّ) menunjukkan supaya menjauhi perkara yang boleh menyebabkan kemudaratan pada kebiasaannya melalui perbuatan dan takdir Allah Taala jua. Maka, baginda SAW menafikan dalam hadis pertama penyakit yang berjangkit dengan tabiinya sendiri, namun tidak menafikan boleh berlakunya kemudaratan ketika wujudnya penyakit itu dengan takdir dan perbuatan Allah Taala. Manakala dalam hadis kedua, baginda mengajar supaya berhati-hati daripada perkara yang boleh menyebabkan kemudaratan dengan perbuatan, kehendak dan takdir Allah SWT. Maka, apa yang kami sebutkan ini tentang kesahihan kedua-dua hadis serta cara menyatukan antara kedua-duanya merupakan pandangan yang benar, yang dipegang oleh jumhur ulama dan amat patut sekali diikuti”.

Kesimpulan
Secara ringkas bagi maksud hadis berkenaan, sesuatu penyakit itu tidak akan berjangkit dengan sendirinya secara tabii atau semula jadi, tetapi dengan takdir dan izin Allah SWT jua. Jika Allah SWT tidak izinkan, maka ia tidak akan berlaku. Allah SWT turut menjadikan SEBAB penyakit tersebut boleh berjangkit, iaitu melalui percampuran dan pergaulan antara orang yang sakit dengan orang yang sihat. Justeru itu, baginda SAW memerintahkan supaya menjauhinya dengan bersungguh-sungguh sehingga mengumpamakannya seperti orang yang lari daripada singa. Bagaimanakah keadaan seseorang yang lari daripada singa?

Wallahu a‘lam.

Saturday, February 8, 2020

Kekeliruan Musuh Islam Ttg Kewafatan Nabi SAW


Disebut oleh Imam al-Bukhari secara mu‘allaq (yakni tidak bersambung sanad):
وَقَالَ يُونُسُ عَنِ الزُّهْرِيِّ، قَالَ عُرْوَةُ: قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِي مَرَضِهِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ: «يَا عَائِشَةُ مَا أَزَالُ أَجِدُ أَلَمَ الطَّعَامِ الَّذِي أَكَلْتُ بِخَيْبَرَ، فَهَذَا أَوَانُ وَجَدْتُ انْقِطَاعَ أَبْهَرِي مِنْ ذَلِكَ السُّمِّ»
Kata 'Aisyah RA bhw Nabi SAW tlh bersabda semasa sakit yg membawa kpd kewafatannya: “Wahai 'Aisyah, aku masih mendapati rasa sakit akibat makanan yg aku makan di Khaibar. Maka, sekarang ini masanya aku rasakan saat terputusnya salur urat jantungku disebabkan oleh racun itu”. (HR al-Bukhari no. 4428)

Hadis ini dikaitkan oleh musuh2 Islam dgn ayat Surah al-Haqqah 44-46:

وَلَوۡ تَقَوَّلَ عَلَيۡنَا بَعۡضَ ٱلۡأَقَاوِيلِ لَأَخَذۡنَا مِنۡهُ بِٱلۡيَمِينِ ثُمَّ لَقَطَعۡنَا مِنۡهُ ٱلۡوَتِينَ 
“Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta sebarang kata-kata rekaan, sudah tentu Kami akan menyentapnya dengan kekuasaan Kami. Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya ia mati dengan serta-merta)”.

Bagi menjawab kekeliruan mrk, maka penjelasannya adalah melalui aspek2 berikut;

1. Hadis tsb disebutkan oleh Imam al-Bukhari dlm Sahihnya secara mu‘allaq (yakni tidak bersambung sanad). Perbuatan al-Bukhari ini antaranya disebabkan kualiti hadis tsb tidak mencapai tahap piawaian tinggi yg ditetapkan olehnya. al-Hafiz Ibn Hajar dlm Fath al-Bari menyatakan, hadis tsb diriwayatkan secara bersambung sanad oleh al-Bazzar, al-Hakim dan al-Isma‘ili. Kisah tersebut juga mempunyai beberapa jalan riwayat lain yg menguatkannya.   

2. al-Bukhari meletakkan hadis tsb di dalam tajuk: Bab sakit dan kewafatan Nabi SAW, dan dibawakan juga sebelumnya ayat al-Quran (az-Zumar: 30-31):

إِنَّكَ مَيِّتٞ وَإِنَّهُم مَّيِّتُونَ ثُمَّ إِنَّكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ عِندَ رَبِّكُمۡ تَخۡتَصِمُونَ 
“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu semua, pada hari kiamat, akan bertengkar berhujah di hadapan Tuhan kamu”. Melalui ayat ini, seolah-olahnya Imam al-Bukhari ingin menjelaskan bhw Nabi SAW adalah seorg manusia yg tetap akan wafat juga, walau apa jua sebabnya sekalipun.

3. Dalam ayat al-Haqqah tsb dinyatakan jika Nabi SAW mengada-adakan perkara dusta ke atas Allah SWT, maka Allah SWT akan memutuskan tali jantungnya dengan serta-merta. Namun, sebaliknya kewafatan Nabi SAW tidak berlaku dgn serta merta krn ayat tersebut merupakan ayat Makkiyyah, iaitu diturunkan semasa Nabi SAW berada di Makkah sebelum hijrah. Ini menunjukkan bhw Nabi SAW sentiasa dlm pemeliharaan Allah SWT dlm membawa risalah tauhid sehingga baginda dpt berhijrah ke Madinah dan membina kekuatan yg lebih besar di sana dalam menyebarkan dakwah Islam.

4. Kewafatan Nabi SAW adalah sesudah sempurnanya agama Islam dan tamatnya penurunan wahyu dlm usia yg munasabah, iaitu 63 tahun. Jika Nabi SAW mngada-adakan sesuatu yg tidak benar, nescaya baginda akan diwafatkan sebelum drpd itu lagi oleh Allah SWT sebagaimana yg disebutkan dlm ayat berkenaan.

5. Jarak antara kewafatan Nabi SAW dgn peristiwa baginda memakan makanan yg diracun di Khaibar itu ialah lebih kurang 3 tahun. Dlm tempoh tsb, bertambah banyak lagi kejayaan-kejayaan yg diraih oleh dakwah baginda SAW menunjukkan bahawa Allah SWT sentiasa memelihara baginda sehinggalah tiba saat ajal baginda yg dikehendaki olehNya. Jika Nabi SAW mngada-adakan sesuatu yg tidak benar, nescaya baginda akan diwafatkan oleh Allah SWT selepas saja baginda menjamah makanan tsb.

6. Oleh krn ayat al-Haqqah tsb diturunkan di Makkah, maka amat sesuai ditafsirkan turunnya itu sebagai jawapan balas kpd tuduhan2 kaum Musyrikin di Makkah ketika itu terhadap wahyu yg dibawa oleh Nabi SAW. Antaranya, firman Allah SWT:

وَعَجِبُوٓاْ أَن جَآءَهُم مُّنذِرٞ مِّنۡهُمۡۖ وَقَالَ ٱلۡكَٰفِرُونَ هَٰذَا سَٰحِرٞ كَذَّابٌ أَجَعَلَ ٱلۡأٓلِهَةَ إِلَٰهٗا وَٰحِدًاۖ إِنَّ هَٰذَا لَشَيۡءٌ عُجَابٞ 
“Dan mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan, bahawa mereka didatangi oleh seorang Rasul pemberi amaran, dari kalangan mereka sendiri. Dan mereka yang kafir itu berkata: "Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta. Patutkah ia menafikan tuhan-tuhan yang berbilang itu dengan mengatakan: Tuhan hanya Satu? Sesungguhnya ini adalah satu perkara yang menakjubkan!" (Sad: 4-5)
وَٱنطَلَقَ ٱلۡمَلَأُ مِنۡهُمۡ أَنِ ٱمۡشُواْ وَٱصۡبِرُواْ عَلَىٰٓ ءَالِهَتِكُمۡۖ إِنَّ هَٰذَا لَشَيۡءٞ يُرَادُ مَا سَمِعۡنَا بِهَٰذَا فِي ٱلۡمِلَّةِ ٱلۡأٓخِرَةِ إِنۡ هَٰذَآ إِلَّا ٱخۡتِلَٰقٌ 
“Dan (ketika itu) keluarlah ketua-ketua dari kalangan mereka (memberi peransang dengan berkata): "Jalan terus (menurut cara penyembahan datuk nenek kamu) dan tetap tekunlah menyembah tuhan-tuhan kamu. Sebenarnya sikap ini adalah satu perkara yang amat dikehendaki. Kami tidak pernah mendengar tentang (soal mengesakan Tuhan) itu dalam ugama yang terakhir; perkara ini tidak lain hanyalah rekaan dan dusta semata-mata". (Sad: 6-7)
وَقَالُواْ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِي نُزِّلَ عَلَيۡهِ ٱلذِّكۡرُ إِنَّكَ لَمَجۡنُونٞ 
“Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): "Wahai orang yang kepadanya diturunkan al-Quran, sesungguhnya engkau adalah orang gila". (al-Hijr: 6)

7. Ayat al-Haqqah tsb juga menyebut secara zahir sekiranya Nabi SAW mengada-adakan perkara dusta, maka Allah SWT akan memutuskan tali jantungnya. Namun, kewafatan Nabi SAW tidak berlaku secara langsung drpd Allah SWT tanpa perlukan apa-apa sebab. Sebaliknya, ia berlaku disebabkan komplot jahat orang Yahudi yg ingin membunuh Nabi SAW dgn meletakkan racun pd makanan yg dihidangkan. Bahkan, kewafatan Nabi SAW kesan drpd racun tsb mmbuktikan bhw baginda juga memperolehi pahala mati syahid yg banyak disebutkan ganjaran kelebihannya oleh baginda SAW sendiri. Sehingga baginda pernah bersabda:
وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَوَدِدْتُ أَنِّي أَغْزُو فِي سَبِيلِ اللهِ فَأُقْتَلُ، ثُمَّ أَغْزُو فَأُقْتَلُ، ثُمَّ أَغْزُو فَأُقْتَلُ. (رواه مسلم)
“Demi jiwa Muhammad dlm kekuasaanNya, nescaya aku suka untuk aku berperang di jalan Allah, lalu aku dibunuh, kemudian aku berperang lagi, lalu aku dibunuh, kemudian aku berperang lagi, lalu aku dibunuh”. (HR Muslim dlm Sahihnya)

8. Secara rumusan, kefahaman para musuh Islam dlm cubaan mrk utk mentafsirkan ayat al-Quran dgn hadis tersebut adalah tidak tepat sama sekali dan amat menyimpang dari realiti sejarah. Tidak ragu lagi, baginda Nabi SAW di sepanjang dakwah baginda menghadapi pelbagai kesusahan, cabaran dan cubaan bunuh drpd musuh-musuh baginda. Ia jelasnya merupakan suatu tugas dan amanah yg cukup berat dlm usaha menyeru manusia utk membesar dan mentauhidkan Allah SWT.
عَنْ مُصْعَبِ بْنِ سَعْدٍ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَيُّ النَّاسِ أَشَدُّ بَلاَءً؟ قَالَ: "الأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ". (رواه الترمذي وقال: حديث حسن صحيح. وفي الباب عن أبي هريرة، وأخت حذيفة بن اليمان)
Drpd Mus‘ab bin Sa‘d drpd bapanya Sa‘d RA katanya: Aku bertanya: Ya Rasulullah, siapakah manusia yg paling berat dugaannya? Jawab baginda: “Para anbiya’, kemudian org yg seumpama mereka, dan seterusnya org yg seumpama mereka”. (HR al-Tirmizi, katanya: Hadis hasan sahih. Dalam bab yg sama juga drpd Abu Hurairah RA dan saudara perempuan Huzaifah bin al-Yaman)  

Wassalam.