Pages

Showing posts with label Komentar Isu. Show all posts
Showing posts with label Komentar Isu. Show all posts

Friday, April 3, 2020

Covid-19: Perlu Ada Ilmu Tentang Mimpi




1. Ada dua kisah mimpi bertemu Nabi SAW berkaitan isu Covid-19. Pertama, cerita Mufti Taqi ‘Uthmani drpd seorang ahli Jemaah Tabligh (dikatakan beliau ialah Maulana Ibrahim Dehla) tentang kelebihan bacaan tertentu. Kedua, cerita Sheikh Eşref Efendi drpd seorang wanita solehah kerabat jauhnya di Shirnak, Turki ttg khasiat sumac (sejenis beri). Namun, tulisan saya ini bukan brtujuan utk mengesahkan kedua-duanya, ttp utk kita meneliti dan menyemak semula posisi sikap kita terhadap mimpi.
  
2. Mimpi merupakan suatu entiti yg selalunya bersifat ilusi (الحُلم) dan imaginasi (حديث النفس), dan adakalanya bersifat simbolik, relatif dan juga realistik (الرؤيا الصالحة أو الرؤيا الصادقة). Ini turut bergantung kpd tahap takwa dan kerohanian setiap pemimpi krn ianya tidak sama dan berbeza2. Sabda Nabi SAW mengenai jenis2 mimpi:
الرُّؤْيَا ثلاث، فَالرُؤْيَا الصَّالِحَةِ بُشْرَى من الله وَرُؤْيَا تَحْزِينٌ من الشَّيْطَانِ وَرُؤْيَا مما يُحَدِّثُ الْمَرْءُ نَفْسَهُ، فَإِنْ رَأَى أَحَدُكُمْ ما يَكْرَهُ فَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ ولا يُحَدِّثْ بها النَّاسَ. (أخرجه مسلم وأبو داود والترمذي وقال: حسن صحيح، وغيرهم) وفي رواية: فَإِذا رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا تُعْجِبُهُ فَلْيَقُصَّها إِنْ شَاءَ، وَإِنْ رَأَى شَيْئًا يَكْرَهُهُ، فَلَا يَقُصَّهُ عَلَى أَحَدٍ، وَلْيَقُمْ يُصَلِّي. (أخرجه أحمد وابن ماجه بسند قوي)  
Terjemahan: “Mimpi ada tiga; [i] mimpi yg soleh merupakan khabar baik (بشرى) drp Allah, [ii] mimpi yg menggusarkan drp syaitan dan [iii] mimpi yg seseorg membisikkan kpd dirinya sendiri. Maka, jika seseorg kamu melihat sesuatu yg dibenci, maka hendaklah ia bangkit dan menunaikan solat serta tidak menceritakannya kepada org lain” (HR Muslim, dll). Dalam tambahan riwayat lain: Maka, jika seseorg kamu melihat mimpi yang disukainya, maka dia boleh menceritakannya jika dia mahu, dan jika dia melihat sesuatu yg dibenci pula, maka janganlah dia menceritakannya kepada sesiapa, dan hendaklah dia bangkit serta menunaikan solat”. (HR Ahmad dan Ibn Majah dgn sanad yg kuat)

3. Nabi SAW mengkhabarkan bhw mimpi yg soleh ini ada nilainya tersendiri dan bukannya sekadar mainan tidur atau ilham drp syaitan. Daripada Abu Sa‘id al-Khudri RA drp Nabi SAW sabdanya:
رُؤْيَا الْمُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِين جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ. (أخرجه البخاري ومسلم)
Terjemahan: “Mimpi seorg mukmin itu adalah satu juzuk drp 46 juzuk kenabian”. (HR al-Bukhari dan Muslim). Mimpi yg soleh ini ada pelbagai bentuk, antaranya; ilham yg dicampakkan oleh Allah SWT ke dlm hati seseorg semasa tidur, satu simbolik yg dibawakan kepadanya oleh malaikat yg diwakilkan dgn mimpi, pertemuan roh si pemimpi dengan roh org yg telah meninggal dunia dari kalangan ahli keluarganya, kaum kerabatnya, para sahabatnya dan selain mereka, dan sebagainya. (lihat al-Ruh oleh Ibn al-Qayyim)  

4. Oleh krn mimpi sesuatu yg agak subjektif, maka sesetengah orang mudah menggunakannya utk kepentingan tertentu. Di satu pihak lain pula mudah menolak apa saja yg datang drpd mimpi tanpa mengambil kira jenis dan sifatnya. Ada juga yg memakai kaedah; asal semua cerita adalah bohong sehingga ia dpt dipastikan sahih. Sedangkan kaedah yg lebih seimbang ialah asal semua cerita itu boleh jadi betul atau bohong, sehingga dpt dipastikan sama ada ianya sahih atau palsu.

4. Tanpa garis panduan yg jelas kita akan mudah diperdaya dengan dakwaan-dakwaan si pemimpi, atau sebaliknya mendustakan apa jua yg berunsurkan mimpi. Sedangkan kedua2nya bukan drpd petunjuk syarak yg betul. Cara yg tepat ialah kita perlu melihat diri siapa yang bermimpi. Ini sama seperti bab penerimaan riwayat hadis juga, di mana kita perlu melihat siapa yang meriwayatkannya. Jika seorang yg tidak adil, rosak akidah atau fasiq, bagaimana boleh diterima riwayatnya? Atau cerita mimpi yg tidak diketahui sumbernya, maka kenapa perlu diterima?

5. Justeru, jika ada orang yg tidak diketahui, apatah lagi org yg tidak adil, rosak akidah atau fasiq mendakwa bermimpi jumpa Nabi SAW, maka tidak perlu untuk kita percaya krn kemungkinan ianya penipuan, tipu daya syaitan atau halusinasi adalah lebih kuat. Adapun jika mimpi dari orang yg soleh, alim, thiqah dan amanah, maka sepatutnya tiada halangan untuk kita ambil sebagai pedoman. Sabda Nabi SAW: (وَأَصْدَقُكُمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حديثاً) “Org yg paling benar mimpinya adalah org yg paling benar bicaranya” (HR Muslim, dll). Mimpi yg soleh merupakan mubasyyirat (khabar-khabar gembira) sptmn sabda Nabi SAW:   
«لَمْ يَبْقَ مِنَ النُّبُوَّةِ إِلَّا المُبَشِّرَاتُ» قَالُوا: وَمَا المُبَشِّرَاتُ؟ قَالَ: «الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ». (رواه البخاري) وفي رواية لمسلم وغيره: «إِنَّهُ لَمْ يَبْقَ مِنْ مُبَشِّرَاتِ النُّبُوَّةِ إِلَّا الرُّؤْيَا يَرَاهَا الْعَبْدُ الصَّالِحُ أَوْ تُرَى لَهُ».
Terjemahan: “Tiada lagi yg tinggal drpd kenabian itu melainkan hanyalah khabar-khabar gembira (المبشرات)”. Para sahabat bertanya: Apakah khabar-khabar gembira (المبشرات) itu? Jawab baginda: “Mimpi yg soleh” (HR al-Bukhari). Dlm satu riwayat Muslim, dll: “Sesungguhnya tiada lagi yg tinggal drpd khabar-khabar gembira kenabian itu melainkan hanya mimpi yang dilihat oleh seorg hamba yg soleh atau diperlihatkan kepadanya”.   

6. Walaupun tak semua mimpi perlu diceritakan, namun mimpi itu adalah amanah bagi orang yang menceritakannya krn orang lain tiada alat utk mentahkik dan memastikan kebenarannya. Justeru itu, kredibiliti pencerita amat mustahak diteliti dan dinilai. Kemudian dilihat adakah mimpinya selari dengan syarak ataupun tidak, perlu ditakwil ataupun tidak. Namun, walau bagaimanapun tahap mimpi seorg muslim itu, ia tetap mimpi yg tidak dapat menjadi dalil dan hujah syarak kecuali mimpi para nabi dan rasul AS.

7. Jelasnya, mimpi boleh berfungsi sbg satu medium fantasi ataupun medium rabbani. Malah, adakalanya bersifat misteri dan di luar jangkauan akal kita, spt misalnya org non-muslim yg memeluk Islam krn mimpi yg dilihatnya, atau org kafir yg menerima petanda tertentu melalui mimpinya sbelum ia benar-benar terjadi. Kisah-kisah mimpi yg diceritakan dalam Surah Yusuf sangat wajar dan patut untuk dijadikan iktibar.  

8. Ringkasnya, kita perlu ada ilmu tentang mimpi supaya tidak mudah mempercayai apa saja yg didakwa orang lain, atau menolak secara membabi buta apa saja yg disandarkan kepada mimpi. Maka, bersikap rasionallah. Apabila kita membaca hadis ini: (لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَظْهَرَ الْفِتَنُ وَيَكْثُرَ الْكَذِبُ) “Kiamat tidak akan bangkit sehingga tersebarnya fitnah dan berleluasanya pendustaan.” (HR Ahmad dgn sanad sahih), maka janganlah lupa utk kita membaca juga hadis ini: (إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَان لَمْ تَكَدْ تَكْذِبُ رُؤْيَا الْمُؤْمِنِ) “Apabila zaman makin dekat (kpd Kiamat), hampir mimpi org mukmin itu tidak berbohong.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

9. Mempelajari sifat-sifat baginda Nabi SAW, spt yg disusun oleh Imam al-Tirmizi di dalam kitab al-Syama’il al-Muhammadiyyah adalah suatu perkara yg cukup penting agar kita dapat menjadikannya sbg asas pengukur kpd mana-mana dakwaan pendakwa. Kerana mimpi bertemu dgn Nabi SAW itu memang boleh berlaku, sptmn sabda baginda SAW:
«مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَقَدْ رَآنِي، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لَا يَتَمَثَّلُ بِي» (رواه البخاري ومسلم).
Terjemahan: “Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi, maka sememangnya dia melihatku, kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat menyerupai rupaku” (HR al-Bukhari dan Muslim). Bagaimanapun, saya menegaskan sekali lagi bhw tulisan ini bukan brtujuan utk mengesahkan kedua-dua mimpi yg disebutkan ataupun menjadikannya sbg hujah atau dalil, ttp supaya kita sentiasa mengambil sikap berhati-hati dlm membuat penelitian dan penilaian agar tidak cepat mendustakan org yg benar ataupun membenarkan org yg dusta.

Wallahu a‘lam.

Friday, December 1, 2017

Istilah2 Hadis Dalam “Kamus Dewan”


(*Nota Untuk Para Pewasit)

1. Jurnal merupakan wadah penting bagi penulisan ilmiah. Melalui jurnal, penulisan-penulisan ilmiah disalurkan kepada para pembaca, secara khususnya kepada para ahli, para pengkaji dan para penuntut dalam sesuatu bidang. Selain perbahasan ilmiahnya, kandungan jurnal turut menitik beratkan sudut teknikal penulisan.  

2. Bagi penulisan berbahasa Melayu, panduan penulisannya perlulah merujuk kepada Kamus Dewan sebagai rujukan rasmi kebangsaan. Namun perlu diketahui, Kamus Dewan edisi pertama amat jauh berbeza dengan Kamus Dewan edisi terkini, iaitu edisi keempat. Sangat banyak perkataan baru yang telah ditambahkan ke dalam edisi tersebut menjadi bahasa Melayu yang diambil daripada bahasa Arab, Inggeris dan sebagainya.

3. Perkataan-perkataan yang diambil daripada bahasa Arab, biasanya melibatkan bidang pengajian Islam dan bidang kesusasteraan Arab. Hal ini sebenarnya memberi kesan dalam teknikal penulisan bahasa Melayu. Perkataan-perkataan Arab yang sebelum ini perlu ditransliterasikan atau dicondongkan (italic) dalam penulisan, kini tidak perlu lagi dibuat begitu kerana ia sudah menjadi bahasa Melayu. Misalnya, sekadar mengambil beberapa contoh daripada huruf ‘i’, ialah seperti ibtida, idah, iffah, iftar, iftirasy, iftitah, ihtifal, ihtimal, ijarah, ijmal, ijtimak, ikhtilaf, ikhtisar, iktisad, imamat, inayat, islah, istihsan, istinbat dan sebagainya.

4. Bagaimanapun, ada sebahagian pewasit jurnal yang masih tidak mengambil perhatian terhadap perkara ini. Tidaklah diketahui sama ada ia langsung tidak menelaah Kamus Dewan edisi terbaru ini, atau pun ia menelaah tetapi tidak bersetuju dan masih mahu mengekalkan teknikal lama. Akhirnya, ia meletakkan perkataan-perkataan tersebut sebagai kesalahan teknikal dalam penulisan yang diwasit. Ini juga mungkin berlaku dalam pemeriksaan tesis-tesis ilmiah di peringkat master dan PhD.

5. Dalam bidang hadis contohnya, perkataan ‘hadis’ itu sendiri sudah dimuatkan dalam Kamus Dewan, maka tidak perlu lagi ia ditulis dengan ejaan ‘hadith’. Antara istilah2 hadis yang perlu diketahui wujud di dalamnya juga ialah:

  1. sunnah = ® sunah. (Kamus Dewan Edisi Keempat) = Ar peraturan atau adat yg berdasarkan perbuatan dan perkataan Nabi Muhammad SAW yg digalakkan amalannya; Ahli S~ Waljamaah golongan yg berpegang teguh pd perbuatan dan perkataan Nabi Muhammad SAW. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

  1. matan = Ar 1. naskhah asli, teks (utk syarahan dll); 2. nas yg terdapat pd akhir sanad; 3. erti atau maksud sesuatu ayat. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

  1. sanad = Ar rangkaian perawi dan lafaz-lafaz yg digunakannya utk sampai kpd matan: hadis itu telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dgn ~ yg sama. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

  1. asnad  = Ar (jamak bagi sanad) rangkaian perawi dan lafaz-lafaz yg digunakannya utk sampai kpd matan. (Kamus Dewan Edisi Keempat) [namun jamak bagi sanad yang biasa diguna dalam bidang hadis ialah asanid]

  1. rawi = Ar 1. = perawi orang yg meriwayatkan hadis Nabi, periwayat: ~ hadis; 2. orang yg bercerita, pengarang cerita: kata ~ bahawa Sultan Muhammad Shah itu di atas kerajaan terlalu sekali adil; merawi beriwayat, bercerita; merawikan meriwayatkan, menceritakan; perawian perihal menceritakan riwayat hidup: ~ teks HS; perawi orang yg meriwayatkan hadis. (Kamus Dewan Edisi Keempat) = perawi : 1. orang yg meriwayatkan hadis Nabi, periwayat: ~ hadis; 2. orang yg bercerita, pengarang cerita: kata ~ bahawa Sultan Muhammad Shah itu di atas kerajaan terlalu sekali adil; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

  1. mutawatir = Ar diturunkan drpd seorang ke seorang tanpa putus (bkn hadis, berita, riwayat, khabar dll). (Kamus Dewan Edisi Keempat) [definisi ini tidak betul kerana yang tepat ialah ‘drpd segolongan orang ke segolongan orang’, bukannya ‘drpd seorang ke seorang’]

  1. ahad = Ar 1. satu, esa: Allahu A~; 2. pertama; hari A~ hari pertama dlm seminggu selepas hari Sabtu, hari minggu; 3. minggu; se~ seminggu, sejumaat. (Kamus Dewan Edisi Keempat) [mungkin dapat ditambahkan di sini definisi ke 4, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh beberapa orang perawi]

  1. masyhur = termasyhur Ar 1. tersebar ke serata tempat (berita, peristiwa, dll), ketahuan ke tempat-tempat lain: maka khabar yg de-mikian itu pun termasyhurlah ke negeri-negeri yg lain; 2. terkenal, ternama: mereka gemar membaca buku-buku yg mengisah-kan kehidupan seseorang yg ~; kami nikmati lukisan dan pahatan bermacam-macam seniman yg termasyhur; (Kamus Dewan Edisi Keempat) [mungkin dapat ditambahkan di sini definisi ke 3, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh tiga orang perawi atau pun lebih]

  1. aziz = Ar (yg) terhormat, (yg) termulia, (yg) sangat berharga. (Kamus Dewan Edisi Keempat) [mungkin dapat ditambahkan di sini definisi ke 2, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh dua orang perawi]

  1. gharib = Ar aneh, asing, ganjil, luar biasa. (Kamus Dewan Edisi Keempat) [mungkin dapat ditambahkan di sini definisi ke 2, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi sahaja]

  1. sahih = pasti, benar, sah, dapat diakui (diterima): rasa-rasa tu kenal juga, tapi tak ~; diterima sbg bukti yg ~; mensahihkan mengakui sahih, menjadikan sahih, memastikan; kesahihan perihal sahih (benar, pasti, sah): mereka harus bersedia menguji ~ semua rumusan dan pendapat mereka; ketidaksahihan perihal atau keadaan tidak sahih; pensahihan perihal mensahihkan sesuatu. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

  1. hasan = Ar baik, cantik, elok (lelaki). (Kamus Dewan Edisi Keempat)

  1. daif = cacat, hina, lemah: orang yg ~; mendaifkan memandang rendah (hina), menghinakan: tidak guna ~ orang yg lemah; kedaifan perihal daif, kehinaan, kekurangan, kelemahan. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

  1. mauduk = Ar tajuk (ceramah, perbahasan, dll): ~ ini akan cuba didekati dgn penghuraian erti kaunseling dipandang dr sudut Islam. (Kamus Dewan Edisi Keempat) [mungkin dapat ditambahkan di sini definisi ke 2, iaitu bagi hadis palsu]

  1. ilat = Ar 1. sebab yg mengakibatkan sesuatu (kecelakaan, kemalangan, kerugian dsb); 2. tidak dapat bekerja lagi kerana cacat anggota badan (kerana kemalangan dll). (Kamus Dewan Edisi Keempat)

  1. mursal = Ar 1. yg disuruh, pesuruh, rasul; 2. hadis yg diriwayatkan dgn sanad tanpa disebut sahabat yg meriwayatkannya drpd Rasulullah SAW secara langsung. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

  1. tabi = Ar pengikut, penganut; ~ tabiin golongan selepas tabiin. (Kamus Dewan Edisi Keempat)



Saturday, May 11, 2013

Jasad Sahabat Mulia Hujr bin ‘Adi RA??


Sahabat Mulia Hujr bin ‘Adi RA

Menggali dan mengeluarkan mayat daripada kubur tanpa sebab yang kuat adalah perbuatan yang tidak harus. Ia adalah perbuatan yang tidak beradab dan tidak menghormati mayat. Apatah lagi jika mayat tersebut adalah orang yang mempunyai kedudukan dalam bidang ilmu atau medan jihad. Sebagaimana kedudukannya yang mulia dan dihormati sewaktu dia hidup begitu juga apabila ia telah meninggal dunia kedudukannya tetap sama. Perlu dijaga kehormatan dan kedudukan mulianya.

Di atas pelbagai sebab, sering juga berlaku dalam kalangan masyarakat Islam proses menggali dan mengeluarkan mayat daripada kubur. Hukumnya harus jika bertujuan untuk menyelamatkan mayat tersebut dari bahaya dan hukumnya haram jika tujuannya untuk menghinakan mayat tersebut.  

Terkini pada  27 April 2013, kubur sahabat Nabi SAW bernama Hujr ibn ‘Adi @ ‘Udai al-Kindi RA didakwa telah digali dan jasadnya dikeluarkan oleh sekumpulan penentang Rejim Asad di Syria. Makamnya dirobohkan dan jasadnya telah dipindahkan ke tempat yang tidak diketahui. Mereka mendakwa makam tersebut sebelum ini telah menjadi pusat pemujaan kelompok Syiah.


Sebaliknya, ada yang menafikan dan mendakwa perbuatan tersebut dilakukan oleh tentera Rejim Asad  sendiri untuk mencari benda berharga yang disimpan di makam tersebut atau memang sengaja untuk melarikan jasadnya. Kemudian jasadnya telah dipindahkan ke tempat kelompok Syiah. (islamsyria.com)

Dikatakan jasad Hujr ibn ‘Adi RA itu masih utuh walaupun sudah berlalu sekitar 1400 tahun. Lalu tersebar kini di internet imej jasad yang didakwa milik Hujr ibn ‘Adi RA. Ada yang percaya dan ada yang tidak serta mendakwa itu hanyalah jasad salah seorang rakyat Syria yang terkorban.  


Laporan Laman Islamindonesia.co.id (dengan suntingan)

Jika dilihat dari keterangan sejarah ada disebutkan Hujr meninggal dalam kondisi terpenggal kepalanya. Itu seperti disebutkan dalam  sebuah karya klasik Ibnu Hajar berjudul Al Isabah Fi Tamyiz As Sahabah.  Dikisahkan Hujr bin ‘Adi  yang merupakan seorang sahabat yang kritis terhadap pemerintahan Muawiyah  serta pernah turut serta dalam Perang Qadisiyah, tewas dibunuh  atas perintah Khalifah Muawiyah pada 51 H. 

Konon sebelum dipenggal lehernya, Hujr meminta para algojo untuk membiarkan dirinya berwudhu’ dan solat dua rakaat  terlebih dahulu. Usai bersolat, para algojo lantas menggiringnya  ke sebuah kawasan di pinggiran kota Dimasyq. Di sana sudah disiapkan  sebuah kuburan yang menganga  dan  kain kafan untuk jasadnya. “Engkau telah berkata bahwa engkau tidak gentar?” kata salah seorang algojonya setengah mengejek. 
  
Alih-alih menjadi marah dan panik, Hujr dengan tenang menjawabnya dengan kalimat, “Aku tidak akan gentar walaupun telah kulihat kubur yang telah tergali, kafan yang telah terbentang, dan pedang yang telah terhunus!“ Kemudian seorang algojo maju ke hadapannya dan berkata, “Hulurkan lehermu!” Ia menjawab, “Aku tidak akan membantu pembunuhan terhadap diriku.” Maka secepat kilat,  algojo itu memenggal  lehernya. 

Mengacu kepada kisah di atas, penampakan foto jasad Hujr ibn ‘Udai ini bisa jadi hanya hoax semata-mata alias berita dusta.  Kerana jika itu benar jasad beliau, tentunya keadaannya harus terpisah antara badan dengan lehernya. Kecuali ada dua kemungkinan cerita sejarah itu hanya karangan atau telah terjadi suatu keajaiban. Wallahu a'lam.

Hujr ibn ‘Adi RA juga dikenali sebagai Hujr al-Khair. Beliau memeluk Islam ketika masih muda. Beliau dan saudaranya, Hani bin ‘Adi berkunjung ke Madinah bertemu Nabi SAW di penghujung hayat baginda SAW. Beliau seorang yang soleh, zuhud dan warak serta pejuang yang berani. Al-Hakim dalam al-Mustadrak 3/468 menulis: “Dia adalah rahib para sahabat Muhammad SAW”. Di dalam peperangan Siffin, beliau bersama Khalifah ‘Ali bin Abi Talib RA sebagai salah seorang ketua tentera. Beliau dibunuh pada tahun 51 H dan dikebumikan di ‘Azra’, Dimasyq. 

Makam Hujr sebelum dirobohkan.

Kelompok Syiah menjadikan pembunuhan Hujr ibn ‘Adi RA sebagai satu rekod hitam buat Khalifah Mu‘awiyah RA. Namun, ulama Ahlus Sunnah tidak membenarkan fail pertelingkahan di kalangan para sahabat RA ini dibuka kerana ia akan hanya membuka pintu fitnah kepada umat Islam. Mereka menetapkan bahawa setiap para sahabat yang terlibat dalam pertelingkahan tersebut adalah di atas ijtihad mereka dan segala urusan mengenai mereka selanjutnya perlu diserahkan kepada Allah SWT. Ini adalah lebih selamat bagi agama setiap muslim baik di dunia mahupun di akhirat kelak.

___________________
* Klip video dengan bahasa apatah...?


Thursday, March 28, 2013

Spekulasi, Pendirian dan Kesyahidan Syeikh al-Buti رحمه الله


Hingga kini ramai yang masih bingung tentang pembunuhan al-‘Allamah Syeikh al-Buti.. Saya juga masih bingung memikirkannya. Tambah dukacita lagi, apabila ada orang Islam yang bersorak gembira atas kematian beliau..

Mengapa beliau dibunuh? Apakah semata-mata kerana beliau menyokong Rejim Asad? Jika jelas apakah ada dalil syar’i yang membenarkan darah seseorang muslim itu halal semata-mata kerana zahirnya ia menyokong pemimpin yang zalim? Sedang Nabi SAW menyatakan, tidak halal darah seseorang muslim itu melainkan dengan tiga perkara; iaitu penzina yang sudah berkahwin, membunuh orang tanpa hak dan orang yang meninggalkan agamanya, yang berpisah daripada jemaah muslimin (muttafaq ‘alaih).

Dalam pada itu, satu kumpulan jemaah jihad mendakwa merekalah yang bertanggungjawab atas pembunuhan Syeikh al-Buti dan mengancam pula untuk membunuh Mufti Syria, Syeikh Hassun. Meskipun wujud spekulasi lain yang mengatakan, beliau dibunuh oleh Rejim Asad sendiri kerana beliau mula cenderung dengan perjuangan rakyat Syria..

Di saat ramai umat Islam berduka atas pembunuhannya, sebahagian umat Islam lain bergembira dan bersyukur atas pembunuhan tersebut.. Disebabkan perbezaan mazhab dan pemikiran, mereka bukan sekadar bergembira dan bersyukur, bahkan mencaci dan mencerca Syeikh al-Buti yang sudah kembali menemui Allah SWT.. La hawla wala quwwata illa biLlah… Apakah Nabi SAW menganjurkan kita mencaci dan mencerca orang muslim yang sudah mati?! Lalu timbullah alasan-alasan dan dalil-dalil rekaan yang cuba membenarkan perbuatan mereka..

Hanya pada Allah SWT saja kita serahkan semua urusan..

Jika diamati dan difikirkan, tidak mungkin seorang alim besar menyokong pemimpin yang zalim secara membuta tuli tanpa sebarang apa-apa alasan yang munasabah. Tidak mungkin Syeikh al-Buti rela dan redha dengan pembunuhan dan penyembelihan yang dilakukan oleh Rejim Asad terhadap rakyatnya sendiri. Pasti ada sebab lain… Tulisan-tulisan dan kata-kata Syeikh al-Buti tidak pun menggambarkan yang beliau telah terkeluar daripada usul syarak. Bahkan semuanya masih menunjukkan beliau seorang yang amat kuat berpegang dengan usul syarak.

Setidak-tidaknya pun dalam isu ini, beliau masih melihat dirinya berada di dalam lingkungan ijtihad, yang jika benar ia mendapat dua pahala, dan jika salah ia tetap mendapat satu pahala. Walaupun barangkali orang lain tidak berfikir begitu.

Sebenarnya bukan baru kini saja muncul pemimpin-pemimpin yang zalim, bahkan dalam sejarah Islam sendiri sudah menyaksikan kemunculan ratusan pemimpin-pemimpin yang zalim. Maka, sebagaimana para ulama pada zaman itu bertindak, begitu juga para ulama pada zaman ini bertindak. Pasti ada antara pro dan kontra. Secara zahirnya, tidak mungkin seorang muslim biasa yang waras redha dengan kezaliman mana-mana pemimpin, apatah lagi seorang alim..

Pasti ada sebab lain atas tindakan Syeikh al-Buti..

Yang pastinya, beliau menyokong Rejim Asad bukan kerana kebenaran rejim tersebut, tapi kerana tidak mahu berlaku perkara-perkara kemudharatan yang lebih besar terhadap masyarakat Islam Syria, penduduk Syam, yang disabdakan oleh Nabi SAW:
إِذَا فَسَدَ أَهْلُ الشَّامِ فَلاَ خَيْرَ فِيكُمْ.
“Jika binasa penduduk Syam, maka tiada kebaikan lagi pada kamu sekalian...” (HR al-Tayalisi, Ahmad dan at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih).

Memang Rejim Asad itu suatu mudharat, namun huru-hara, kekacauan, kekejaman dan pembunuhan yang berlaku adalah suatu mudharat yang lebih besar. Ini menurut pandangan beliau. Meskipun ia bersesuaian dengan usul syarak, namun ia mungkin dilihat tidak sesuai dengan konteks dan faktor semasa menurut ramai ulama yang lain.

Bagaimanapun, setelah menyaksikan pelbagai kekejaman dan kebiadapan Rejim Asad, dikatakan Syeikh al-Buti di akhir hayatnya mula cenderung dengan perjuangan rakyat dan tidak mahu lagi menyokong Rejim Asad, sebagaimana menurut Syeikh Muhammad Abu al-Huda al-Ya’qubi.

Anak perempuan beliau juga menyatakan, ayahnya sebenarnya dipaksa dan diancam oleh Rejim Asad yang akan merosakkan maruah keluarga dan anak cucunya jika beliau tidak menyokongnya.

Beliau juga ditanya mengapa tidak mahu meninggalkan Syria, tapi beliau menjawab:
"أشعرني الله بانني في هذه المرحله إن تركت هذا البلد فسوف يكون شأني كشأن أب له أهل و أولاد وأطفال يتركهم الى حيث لا يعلم مصيرهم".
“Allah menjadikan aku merasakan pada tahap sebegini, jika aku meninggalkan negara ini, maka keadaanku nanti akan menjadi seperti keadaan seorang bapa yang mempunyai isteri, keluarga dan anak-anak, lalu ia tinggalkan mereka tanpa mengetahui nasib yang bakal menimpa mereka”.

Dua minggu sebelum kejadian, al-Habib ‘Ali al-Jufri sempat menelefon Syeikh al-Buti dan beliau mengatakan;
"إنه لم يبق من العمر إلا أياما معدودة وإني لأَستروح الجنة من ورائها فلا تنس أخاك من الدعاء"...
Tidak tinggal lagi umurku kecuali beberapa hari sahaja. Dan aku dapat mencium bau syurga di belakang hari-hari tersebut. Maka janganlah kamu lupakan saudaramu ini daripada doamu..”.

Seolah-olah beliau tahu beliau akan dibunuh dengan sebab perubahan pendiriannya.. Apa lagi yang dinantikan oleh seorang lelaki yang sudah lanjut usianya?...

Tiada yang menafikan kewarakan dan kealiman Syeikh al-Buti. Ketika beliau berkunjung ke Malaysia, saya sempat berjabat tangan dengannya dan cuba mencium tangan beliau.. Namun dengan pantas beliau menyentap tangannya. Rupa-rupanya bukan saja pada saya, bahkan itu juga berlaku kepada ramai orang dan rakan yang cuba mencium tangan beliau dek kerana sifat tawadhuk dan rendah diri beliau. Dengan sifat ulama seperti inilah kita mempelajari adab dan akhlak.

Bukan rahsia lagi, para pembenci beliau bersuka ria atas kematiannya.. Sebagaimana mereka juga pernah bersuka ria atas kewafatan Syeikh Muhammad ‘Alawi al-Maliki رحمه الله.. Mereka menggunakan hujah, harus bergembira dan bersujud syukur atas kematian ahli bidaah…??! Allah… Apakah ukuran dan ciri ahli bidaah di sisi mereka yang malang ini?? Mereka tidak pun peduli dengan bagaimana kewafatan Syeikh al-Buti yang sedang mengajar agama di dalam masjid dan pada malam Jumaat pula.. yang sedang berada di dalam satu taman daripada taman-taman syurga!...رحمه الله

Semoga Allah Taala merahmati roh Syeikh al-Buti dan menempatkan beliau dalam kalangan para anbiya’ dan para solihin. Di sisi Allah Taala Yang Maha Adil kelak akan bertemu segala permusuhan…


Thursday, September 20, 2012

‘Sakit’ Demi Nabi Muhammad SAW



Penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW bukan sahaja berlaku semasa hayat baginda semata-mata, malah ia berterusan walaupun sesudah kewafatan baginda, bahkan sesudah lebih dari 1,400 tahun.

Kebencian musuh Islam terhadap Islam bukan sahaja ditumpukan kepada umat Islam, tetapi lebih utama lagi ditumpukan kepada teraju utamanya iaitu Nabi Muhammad SAW. Baginda SAW terus dihina dan dicaci oleh para musuhnya. Ia juga sebenarnya merupakan satu ujian kepada umat Islam, umat Baginda SAW. Bagaimanakah tindakan dan reaksi mereka apabila nabi mereka atau agama mereka dihina?? Apakah hati masih ada iman yang akan terasa ‘sakit’nya atau hanya diam sahaja tanpa endah apa-apa?

Dari satu sudut yang boleh diambil pengajaran, kita sewajarnya dapat mendidik diri kita sendiri dengan sifat tabah dan sabar sekiranya menerima cacian dan makian. Jika Junjungan Nabi SAW yang merupakan kekasih Allah SWT sendiri menerima penghinaan dan cacian daripada musuh-musuhnya, maka apa sangatlah diri kita jika menerima penghinaan dan cacian daripada orang lain. Maka bersabarlah serta berihtisab...

Namun, berasa marah kerana Allah Taala dalam isu ini adalah wajib ke atas setiap umat Islam.

Para ulama bersepakat, hukum ke atas orang yang menghina dan mencaci Nabi SAW ialah hukuman bunuh. Namun, tanggungjawab perlaksanaannya adalah di tangan pemerintah, bukannya di tangan orang awam.

Saya kongsikan sebuah entri lama dengan sedikit tambahan untuk kita renungi...

.........................

Kronologi Penghinaan Terhadap Rasulullah SAW :

Artikel oleh: lead88

.:: 1988 ::.

Salman Rushdie menghina Nabi saw dalam karyanya “The Satanic Verses”.

Kerajaan British menganugerahkan pengurniaan pingat ‘Knigh Bachelor’ (membawa gelaran Sir) kepada penulis novel ‘Surah Syaitan’ kelahiran India, Salman Rushdie dilihat sebagai satu tindakan yang tidak wajar.

Penulis buku “ The Satanic Verses” yang menghina Islam dan Rasulullah SAW menerima anugerah tersebut dalam satu majlis sempena ulangtahun kelahiran Ratu Elizabeth II yang ke-81.

Ia satu tindakan yang menghina Islam kerana tindakan tersebut sebagai tanda kerajaan Britain berbangga dengan pencapaian buku “The Satanic Verses”. Seharusnya ia tidak dipersetujui oleh umat Islam seluruhnya, kerana melambangkan betapa sensitiviti kita dalam beragama terus cuba diperkotak katikkan oleh musuh Islam.

Salman Rusdie, 60, anak seorang Muslim dilahirkan di Bombay pada 19 June 1947 dan bersekolah di Gereja John Conon kemudian di King Kolej, Cambridge.

Pada tahun 1988 dia menulis novel ‘The Satanic Versus’ (Surah-surah Syaitan) yang menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
                   
Pada 14 Febuari 1989 pemimpin Republik Iran, Khomeini mengeluarkan fatwa supaya Salman Rusdie dihukum bunuh. Sejak itu Salman tidak muncul di khalayak ramai dan bersembunyi di Britain.
                              
.:: 1990-an ::.

- Taslima Nasreen (warga Bangladesh) menghina Nabi s.a.w. dalam karyanya dan hidup mewah dengan hasil jualan karyanya.

- Haidar bin Haidar (warga Syria bermastautin di Mesir) memasukkan keluarga Nabi sebagai watak dalam novelnya dan menghina mereka.

- Seorang editor akhbar “Nigeria This Day” telah menghina Nabi dalam kolumnya dengan mengatakan Nabi akan membenarkan pertandingan ratu cantik di Nigeria dan memilih salah seorang sebagai isterinya.

.:: 1997 ::.

Tatyana Suskin (wanita Yahudi) membuat dan menyebarkan 20 poster yang menghina Islam dan Nabi SAW, antaranya gambar seekor babi.

.:: 2000 ::.

Farish Noor menulis artikelnya “Let Islam lead the way with its progressive view on sexuality” dalam New Straits Times menghina Nabi SAW.

.:: 2002 ::.

Islama Daniel (jurnalis Nigeria) menulis tentang Rasul dan Miss World. Pertandingan itu adalah untuk memperlekehkan pelaksanaan syariah Islam di Nigeria.

.:: 2004 ::.

Theo Van Gogh (producer filem) menghina Islam dan Nabi s.a.w. dalam sebuah dokumentari atas dasar kebebasan berkarya.

.:: 2005 ::.

Akhbar Denmark “Jylands Posten” menerbitkan kartun Nabi sebagai pengganas yang tidak berakhlak. Akhbar-akhbar dari Jerman, Perancis, Belanda, Itali dan Sepanyol turut mengeluarkan kartun yang sama untuk menyokong tindakan akhbar denmark itu.

- “Sarawak Tribune” menyiarkan kartun menghina Nabi .

- “Guang Ming Daily’ mengeluarkan foto akhbar yang menyiarkan karikatur itu.

- “New Straits Times” menyiarkan kartun lain yang menghina Islam dan Nabi saw.

.:: 2007 ::.

Salman Rushdie mendapat gelaran “ SIR” dari kerajaan British atas karyanya “The Satanic Verses”.

...............................

> 2008
Di Mesir – seorang penulis wanita bernama Basant Rasyad menulis buku berbahasa Arab (الحب والجنس في حياة النبي) [Cinta & Seks Dalam Hidup Nabi] yang merendah-rendahkan peribadi Nabi Muhammad SAW.

> 2011
Di Malaysia - seorang wanita ‘iblis’ dengan nama samaran ‘Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara’ giat menghina Allah SWT, al-Quran dan Nabi Muhammad SAW melalui blog dan twitternya. Sungguh mengecewakan blog ‘lucah’nya yang keji hingga kini masih boleh dilayari, mohon pihak JAKIM atau pihak berkuasa agar menyekatnya dengan segera!..

> 2012
Di Amerika, September - Penerbitan filem “Innocence of Muslims” menghina Nabi Muhammad SAW dan Islam. Penulis dan pengarah filem itu, Sam Bacile didalangi oleh pihak Yahudi. Filem tersebut dikatakan mendapat derma dari 100 orang Yahudi berjumlah USD 5 juta dan melibatkan lebih kurang 60 orang pelakon serta 45 orang krew. Penerbit yang keji itu berkata: "Islam is a cancer, the movie is a political movie, it's not a religious movie".
              

Ya Allah, hinakanlah mereka yang menghina Nabi-Mu…
Dan hantarkanlah kepada mereka singa-singa-Mu…
Amin...


Thursday, July 21, 2011

Lagi Hadis Larang Demonstrasi?


Kebetulan saya terbaca suatu kenyataan dalam buku Mutabaqah al-Ikhtira‘at al-‘Asriyyah li ma Akhbara bihi Sayyid al-Bariyyah (hlm. 86) karangan al-Hafiz Sayyid Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari (w. 1380H). Beliau menyatakan bahawa antara perkara yang dicedok dari orang Inggeris/Barat kuffar ialah demonstrasi di jalanan dengan berteriak dan mengangkat suara menuntut hak seraya percaya bahawa itu adalah suatu peperangan dan jihad. Rupa-rupanya sebelum ulama Saudi mengharamkan demonstrasi, sudah ada pandangan yang sebegitu dari kalangan ulama dahulu.

Bagaimana pula kekuatan dalilnya?

Sayyid Ahmad membawakan dalilnya dari riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (19/243, no. 545).

حدثنا أبو شعيب الحراني ثنا يحيى بن عبد الله البابلتي ثنا الأوزاعي ثنا محمد بن خنزابة حدثني عروة بن محمد السعدي عن أبيه محمد بن عطية عن أبيه: عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : (( ثَلاَث إذا رَأيْتَهُنَّ فَعِنْدَ ذَلِكَ تَقُومُ السَّاعَةُ: إخرابُ العامِرِ وَعِمار الخَرابِ، وأنْ يَكُونَ الغزو نداء، وأنْ يَتَمَرَّسَ الرَّجُلُ بأَمانَتهِ تَمَرُّسَ البَعِيرِ بالشَّجَرَةِ )).

Terjemahan matan sahaja:

“Tiga perkara jika kamu melihatnya maka ketika itu akan berlaku kiamat; iaitu [1] binaan yang makmur diruntuhkan dan binaan yang runtuh pula dimakmurkan, [2] peperangan hanya berbentuk teriakan, dan [3] seorang lelaki bermain-main dengan amanahnya sebagaimana seekor unta bermain-main dengan sebatang pokok”.

Sayyid Ahmad telah berdalilkan lafaz “[2] peperangan hanya berbentuk teriakan” sebagai isyarat kepada aksi-aksi demonstrasi. Bagaimanapun, beliau tidak menyebutkan darjatnya, dan ini di luar adat kebiasaan beliau. Sedangkan hadis tersebut adalah daif disebabkan dua orang perawi yang daif pada sanadnya, iaitu Yahya bin ‘Abdullah al-Babaluti dan Muhammad bin Khirasyah. Namun, Sayyid Ahmad menulis Muhammad bin Khinzabah (خنزابة), bukan Muhammad bin Khirasyah (خراشة) sepertimana yang ada dalam sumber asal dan juga sumber-sumber lainnya.

Ramai pengkritik rijal seperti Abu Hatim, Abu Zur‘ah, Ibn Hibban, Ibn ‘Adi, al-Zahabi dan Ibn Hajar menyatakan bahwa Yahya bin ‘Abdullah al-Babaluti adalah daif. (Taqrib al-Tahzib oleh Ibn Hajar). Manakala Muhammad bin Khirasyah adalah seorang syeikh yang tidak dikenali. (lihat Mizan al-I‘tidal oleh al-Zahabi dan Lisan al-Mizan oleh Ibn Hajar).

Walaupun Ibn Hibban merekodkannya di dalam kitab al-Thiqat (15026), namun perawi yang tidak ada jarh atau ta‘dil ini belum dapat dibuktikan sebagai thiqah di sisi para pengkritik rijal yang lain. Sebab itu al-Zahabi merekodkannya dalam kalangan para perawi daif di dalam kitab al-Mughni fi al-Du‘afa’ (5471). Menurut al-Zahabi dalam Mizan al-I‘tidal pula (7484): Seorang syeikh, tidak dikenali, al-Awza‘i memberitakan darinya suatu khabar yang terdapat padanya sesuatu (keraguan).

Komentar-Komentar Lain Terhadap Hadis

Selain kedaifan sanad hadis, terdapat beberapa perkara yang menambahkan lagi kelemahannya. Di dalam kitab al-Mu‘jam al-Kabir yang bercetak, perawi tertinggi hadis ini ialah (عروة بن محمد السعدي عن أبيه ) bukan (عروة بن محمد السعدي عن أبيه محمد بن عطية عن أبيه). Manakala lafaz yang dijadikan sebagai dalil itu ditulis begini (وأن يكون الغزو رفدا), bukan (وأنْ يَكُونَ الغزو نداء).

Maksud (وأن يكون الغزو رِفْدًا) ialah “peperangan itu menjadi habuan”, di mana orang berperang untuk mendapatkan harta rampasan. Hadis dengan lafaz inilah juga yang dimuatkan oleh al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Kabir, yang diriwayatkan oleh al-Ramahurmuzi dalam al-Amthal (92), al-Tabarani (545), Abu Nu‘aim dalam Ma‘rifah al-Sahabah (647) dari (عروة بن محمد السعدى عن أبيه عن جده). Kata al-Suyuti: Terdapat padanya Yahya bin ‘Abdullah al-Babaluti, daif. Demikian juga kata al-Haythami (7/330).

Ibn ‘Asakir di dalam Tarikh Dimasyq (52/394, 6311) meriwayatkan hadis Muhammad bin Khirasyah ini dengan dua lagi lafaz yang berlainan.

Lafaz pertama: (وأن يكون الغزو فداء) yakni “peperangan itu menjadi sebagai tebusan”. Dalam lafaz lain (ويفتدي الرجل من جهاده) yakni “seseorang lelaki itu menebus diri dari jihadnya” yakni kerana tidak mahu berperang. Demikian teks-teksnya:

- قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن من أشراط الساعة أن يخرب العامر ويعمر الخراب، ويفتدي الرجل من جهاده، ويتمرس الرجل بامانته تمرس البعير بالشجرة.

- عن عروة عن أبيه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن من أشراط الساعة أن يعمر الخراب ويخرب العمران، وأن يكون الغزو فداء، وأن يتمرس الرجل بأمانته كما يتمرس البعير بالشجرة.

Hadis ini juga dimuatkan oleh al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Kabir (1772).

Lafaz kedua: (وأن يكون المعروف منكرا وأن يكون المنكر معروفا) yakni “perbuatan makruf menjadi mungkar dan perbuatan mungkar menjadi makruf”. Demikian teksnya:

(( ثَلاَثَةٌ إذا رَأيْتَهُنَّ فَعِنْدَ ذَلِكَ تَقُومُ السَّاعَةُ خَرابُ العامِرِ وَعِمارَةُ الخَرابِ، وأنْ يَكُونَ المَعْرُوفُ مُنْكَراً وأن يكون المُنْكَرُ مَعْرُوفاً، وأنْ يَتَمَرَّسَ الرَّجُلُ بالأَمانَةِ تَمَرُّسَ البَعِيرِ بالشَّجَرَةِ )). [أخرجه ابن عساكر من طريق ابن منده (52/394) عن عروة بن محمد بن عطية عن أبيه].

Hadis ini juga dimuatkan oleh al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Kabir. Ia turut dimuatkan oleh Al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir (3491). Menurutnya, diriwayatkan oleh Ibn ‘Asakir dari Muhammad bin ‘Atiyyah al-Sa‘di, dan mengisyaratkannya sebagai daif. Dan Muhammad bin ‘Atiyyah al-Sa‘di ini bukan dari kalangan sahabat RA, maka riwayatnya adalah mursal.

Kesimpulan

Di samping kedaifan sanad hadis, juga berlaku kecelaruan pada lafaz hadis seperti yang telah kita saksikan. Berdasarkan sumber-sumber rujukan tersebut tiada di dalam riwayat-riwayat hadis itu lafaz sepertimana yang dibawakan oleh Sayyid Ahmad iaitu lafaz: “peperangan hanya berbentuk teriakan” (وأنْ يَكُونَ الغزو نداء). Tetapi yang ada ialah peperangan itu menjadi habuan” (وأن يكون الغزو رِفْدًا), “peperangan itu menjadi sebagai tebusan” (وأن يكون الغزو فداء) dan “perbuatan makruf menjadi mungkar dan perbuatan mungkar menjadi makruf” (وأن يكون المعروف منكرا وأن يكون المنكر معروفا). Ini menunjukkan berlaku perbezaan riwayat atau nuskhah yang menjadikan lafaz ini mudhtarib (bercelaru).

Kecelaruan juga berlaku pada nama perawi tertinggi bagi hadis ini, sama ada Muhammad bin ‘Atiyyah atau bapanya ‘Atiyyah. Di mana banyak sumber yang menyebut (عروة بن محمد بن عطية السعدي عن أبيه), dan menurut Ibn ‘Asakir ialah (محمد بن عروة بن عطية السعدي), maka ianya adalah mursal. Manakala menurut beberapa sumber seperti yang direkod oleh al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Kabir dan juga Sayyid Ahmad ialah (عروة بن محمد السعدي عن أبيه محمد بن عطية عن أبيه) atau (عروة بن محمد بن عطية السعدى عن أبيه عن جده).

Justeru, kenyataan Sayyid Ahmad dalam mengecam dan melarang aksi demonstrasi ini tidak disandarkan kepada sebarang hujah yang kuat. Semoga Allah SWT merahmati dan meninggikan darjat beliau.

Wallahu a‘lam.


Sunday, July 17, 2011

Haram Demonstrasi Dalam Demokrasi? (2)

Hadis Larang Demonstrasi?


Setelah saya menulis entri lepas, baru saya menemukan sumber hadis tersebut berdasarkan teks khutbah yang dibacakan (klik, lihat khutbah 1hb. Julai 2011). Juga rupanya ada sedikit polemik mengenainya pada tahun 2009 antara Mufti Wilayah (klik) dan penulis blog al-Bakistani (klik).


Riwayat Huzaifah RA

Hadis tersebut dipetik dari Musnad al-Bazzar (2847-2848), iaitu;

عَنْ حُذَيْفَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ، قَالَ : مَا مِنْ قَوْمٍ مَشَوْا إِلَى سُلْطَانِ اللهِ لِيَذِلُّوهُ إِلاَّ أَذَلَّهُمُ اللَّهُ قَبْلَ يَوْمِ الْقِيَامَةِ.

Terjemahan: Dari Huzaifah RA dari Nabi SAW sabdanya: “Tidaklah suatu kaum itu berjalan menuju kepada sultan Allah untuk menghinanya melainkan Allah akan menghinakan mereka sebelum hari kiamat”.

Menurut al-Haythami dalam Majma‘ al-Zawa’id (9089): Ia diriwayatkan oleh al-Bazzar dan para perawinya adalah para perawi al-Sahih kecuali Kathir bin Abi Kathir al-Taymi dan beliau adalah thiqah.

Lafaznya dalam riwayat al-Daylami:

أول فرقة تسير إلى سلطان الله فى الأرض لتذله يذلهم الله قبل يوم القيامة. [الديلمى عن حذيفة أخرجه أيضًا : المحاملى (1/310 ، رقم 327)، الجامع الكبير: 9624].

Terjemahan: “Kumpulan pertama yang berjalan menuju kepada sultan Allah di atas muka bumi untuk menghinanya, Allah akan menghinakan mereka sebelum hari kiamat”.

Namun ‘Abd al-Razzaq meriwayatkan dalam Musannafnya secara mawquf dari kata-kata Huzaifah RA (20715):

عن معمر عن أبي إسحاق عن زيد بن أثيع عن حذيفة قال: ما مشى قوم إلى سلطان الله في الأرض ليذلوه إلا أذلهم الله قبل أن يموتوا.

Terjemahan: Dari Huzaifah RA katanya: “Tidaklah suatu kaum itu berjalan menuju kepada sultan Allah di atas muka bumi untuk menghinanya melainkan Allah akan menghinakan mereka sebelum mereka mati”.

Riwayat Ibn ‘Abbas RA

Hadis yang hampir serupa diriwayatkan dari Ibn ‘Abbas RA;

عن ابن عباس رضي الله عنه قال : قال رسول الله صَلى الله عَلَيه وسَلَّم: من مشى إلى سلطان الله في الأرض ليذله أذل الله رقبته يوم القيامة مع ما دخر له من العذاب وسلطان الله كتاب الله عز وجل وسنة نبيه صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم.

Terjemahan: Dari Ibn ‘Abbas RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang berjalan menuju kepada sultan Allah di atas muka bumi untuk menghinanya, Allah akan menghinakan tengkuknya pada hari kiamat, di samping azab yang disimpankan untuknya. Dan sultan Allah itu ialah Kitab Allah ‘azza wa jalla dan sunah Nabi-Nya SAW”.

Menurut al-Busiri dalam Ithaf al-Khirah al-Maharah (7163): Diriwayatkan oleh Musaddad dengan sanad daif, kerana kedaifan Husain bin Qais yang dikenali dengan Hanasy ( seorang yang matruk hadisnya).

Dalam riwayat ini ada penjelasan bagi makna ‘sultan Allah’ iaitu Kitab Allah ‘azza wa jalla dan sunah Nabi-Nya SAW. Dalam lafaz al-Tabarani dalam al-Kabir (11534) hanya hingga: (مع ما يدخر له في الآخرة). Menurut al-Haythami dalam Majma‘ al-Zawa’id (785): Padanya terdapat Husain bin Qais, Abu ‘Ali al-Rahbi, yang didaifkan oleh al-Bukhari, Ahmad dan lain-lain ahli hadis.

Disebut dalam riwayat al-Tabarani dalam al-Kabir (11216), al-Bayhaqi, al-Khatib, dan Ibn ‘Asakir dengan sanad daif dalam sebuah hadis yang panjang, di antaranya teksnya:

ومن مشى إلى سلطان الله فى الأرض ليذله أذل الله رقبته مع ما يدخر له من الخزي يوم القيامة وسلطان الله فى الأرض كتاب الله وسنة نبيه [الجامع الكبير: 21314]

Terjemahan: “… Barangsiapa yang berjalan menuju kepada sultan Allah di atas muka bumi untuk menghinanya, Allah akan menghinakan tengkuknya, di samping kehinaan yang disimpankan untuknya pada hari kiamat. Dan sultan Allah di atas muka bumi itu ialah Kitab Allah dan sunah Nabi-Nya SAW”.

Menurut al-Haythami dalam Majma‘ al-Zawa’id (5/212): Padanya terdapat Abu Muhammad al-Jazari, iaitu Hamzah al-Nasibi, dan aku tidak mengenalinya, dan baki para perawinya adalah para perawi al-Sahih. Menurut al-Khatib: Ibrahim bin Ziyad dalam hadisnya ada sifat munkar. Kata Yahya bin Ma‘in: Aku tidak mengenalinya. (al-‘Ilal al-Mutanahiyah oleh Ibn al-Jawzi, 1272)

Riwayat Abu Bakrah RA

Antara riwayat yang dapat menyokong makna hadis-hadis di atas ialah riwayat Abu Bakrah RA:

مَنْ أَهَانَ سُلْطَانَ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ أَهَانَهُ اللَّهُ

Terjemahan: “Barangsiapa yang menghina sultan Allah di atas muka bumi, Allah akan menghinakannya”.

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi (2224) dan katanya: Hadis hasan gharib. Juga diriwayatkan oleh al-Tayalisi (887) dan al-Bazzar (3670).

Sedikit Komentar

Dalam khutbah Jumaat itu, hadis Huzaifah RA yang diriwayatkan oleh Al-Bazzar berkenaan diterjemahkan begini: “Mana-mana kumpulan berarak menuju ke arah pemerintah untuk menghinanya, maka Allah akan menghinanya sebelum hari kiamat”.

Sedangkan menurut teks asal sewajarnya diterjemah begini: “Tidaklah suatu kaum itu berjalan menuju kepada sultan Allah untuk menghinanya melainkan Allah akan menghinakan mereka sebelum hari kiamat”.

Perkataan berjalan adalah lebih umum berbanding perkataan berarak, kerana berjalan boleh membawa makna berarak seperti demonstrasi dan juga berangkat untuk memerangi atau memberontak. Makna ‘berangkat untuk memerangi atau memberontak’ itu lebih bersesuaian dengan maksud hadis-hadis lain yang seumpamanya berkaitan mentaati pemimpin. Ini dikuatkan lagi dengan kata ‘untuk menghinanya’. Sedangkan demonstrasi aman tidak mengandungi ciri-ciri berkenaan. Apakah sekadar demonstrasi aman bagi menuntut kebenaran atau mengemukakan pandangan akan diancam dengan balasan yang dahsyat oleh Allah SWT seperti dalam hadis tersebut? Tentunya ini agak tidak munasabah.

Seperkara lagi, perkataan sultan Allah pula sewajarnya dikekalkan dan tidak diterjemahkan pemerintah, kerana sultan Allah itu merujuk kepada sesuatu yang khusus berbanding pemerintah. Dalam hadis-hadis berkaitan politik dan kepemimpinan, kebanyakannya menggunakan perkataan amir, umara’, imam, a’immah, dan sultan sahaja. Tetapi dalam hadis-hadis di atas menggunakan kalimah ‘sultan Allah’. Kenapa?

Dalam riwayat Ibn ‘Abbas RA dijelaskan makna bagi ‘sultan Allah’ iaitu Kitab Allah SWT dan sunah Nabi-Nya SAW. Menghina al-Quran dan hadis adalah memang suatu perbuatan yang dapat membawa kepada azab yang berat. Juga ia dapat dimaksudkan sebagai pemerintah yang menjalankan hukum Allah Taala dan Rasul-Nya, sepertimana Khulafa’ Rasyidin, dan khalifah-khalifah Islam yang adil dahulu. Kerana kalimah sultan Allahitu sinonim dengan kalimah 'khalifah Allah'.

Adakah pemerintah negara-negara Islam kini sedemikian? Dan adakah negara-negara Islam kini mempunyai pusat khilafah yang benar-benar dapat dianggap sebagai ‘sultan Allah’? Ini sekadar persoalan sahaja.

Justeru, menggunakan hadis ini untuk melarang demonstrasi aman adalah tidak tepat. Tulisan saya dalam entri yang lepas sudah mencukupi bagi menerangkan pandangan dalam isu ini.

Wallahu a’lam.