Pages

Showing posts with label Tafakkur/Renungan. Show all posts
Showing posts with label Tafakkur/Renungan. Show all posts

Friday, July 27, 2018

*Nasihat Buat Penuntut Ilmu*




اُطْلُبِ العِلْمَ ولاَ تَكْسَـلْ، فمَـا  أبْعَدَ الخَيْرَ علَى أهـْلِ الكَسَـل
(Tuntutlah ilmu dan janganlah malas. Alangkah jauhnya kebaikan itu ke atas orang yang bermalas-malasan.)

واحْتَفِلْ لِلفِقـْهِ فِـي الدِّيـْنِ، ولاَ  تَشْتَغِـلْ عَنـهُ بِمـَالٍ وخَـوَل
(Tumpukanlah pada ilmu faham tentang agama dan janganlah sibuk darinya dengan harta dan bermacam urusan.)

واهْجُرِ النـَّوْمَ وحَصِّلْـهُ، فمَـنْ  يَعْرِفُ المَطْلُوبَ يَحْقِرْ مَـا بـَذَل
(Tinggalkanlah tidur, dan carilah ia, kerana orang yang kenal apa yang dicari, pasti akan berasa kecil apa yang dikorbankan.)

لاَ تَقـُلْ: قَـدْ ذَهَبـَتْ أرْبَابـُهُ،  كُلُّ مَنْ سَارَ علَى الدَّرْبِ وَصَـل
(Janganlah berkata: Telah tiada ahli-ahlinya. Setiap orang yang menempuhi lorong itu, pasti akan sampai tujuan.)

(Daripada: Lamiyyah Imam Ibn al-Wardi)



Saturday, May 11, 2013

Jasad Sahabat Mulia Hujr bin ‘Adi RA??


Sahabat Mulia Hujr bin ‘Adi RA

Menggali dan mengeluarkan mayat daripada kubur tanpa sebab yang kuat adalah perbuatan yang tidak harus. Ia adalah perbuatan yang tidak beradab dan tidak menghormati mayat. Apatah lagi jika mayat tersebut adalah orang yang mempunyai kedudukan dalam bidang ilmu atau medan jihad. Sebagaimana kedudukannya yang mulia dan dihormati sewaktu dia hidup begitu juga apabila ia telah meninggal dunia kedudukannya tetap sama. Perlu dijaga kehormatan dan kedudukan mulianya.

Di atas pelbagai sebab, sering juga berlaku dalam kalangan masyarakat Islam proses menggali dan mengeluarkan mayat daripada kubur. Hukumnya harus jika bertujuan untuk menyelamatkan mayat tersebut dari bahaya dan hukumnya haram jika tujuannya untuk menghinakan mayat tersebut.  

Terkini pada  27 April 2013, kubur sahabat Nabi SAW bernama Hujr ibn ‘Adi @ ‘Udai al-Kindi RA didakwa telah digali dan jasadnya dikeluarkan oleh sekumpulan penentang Rejim Asad di Syria. Makamnya dirobohkan dan jasadnya telah dipindahkan ke tempat yang tidak diketahui. Mereka mendakwa makam tersebut sebelum ini telah menjadi pusat pemujaan kelompok Syiah.


Sebaliknya, ada yang menafikan dan mendakwa perbuatan tersebut dilakukan oleh tentera Rejim Asad  sendiri untuk mencari benda berharga yang disimpan di makam tersebut atau memang sengaja untuk melarikan jasadnya. Kemudian jasadnya telah dipindahkan ke tempat kelompok Syiah. (islamsyria.com)

Dikatakan jasad Hujr ibn ‘Adi RA itu masih utuh walaupun sudah berlalu sekitar 1400 tahun. Lalu tersebar kini di internet imej jasad yang didakwa milik Hujr ibn ‘Adi RA. Ada yang percaya dan ada yang tidak serta mendakwa itu hanyalah jasad salah seorang rakyat Syria yang terkorban.  


Laporan Laman Islamindonesia.co.id (dengan suntingan)

Jika dilihat dari keterangan sejarah ada disebutkan Hujr meninggal dalam kondisi terpenggal kepalanya. Itu seperti disebutkan dalam  sebuah karya klasik Ibnu Hajar berjudul Al Isabah Fi Tamyiz As Sahabah.  Dikisahkan Hujr bin ‘Adi  yang merupakan seorang sahabat yang kritis terhadap pemerintahan Muawiyah  serta pernah turut serta dalam Perang Qadisiyah, tewas dibunuh  atas perintah Khalifah Muawiyah pada 51 H. 

Konon sebelum dipenggal lehernya, Hujr meminta para algojo untuk membiarkan dirinya berwudhu’ dan solat dua rakaat  terlebih dahulu. Usai bersolat, para algojo lantas menggiringnya  ke sebuah kawasan di pinggiran kota Dimasyq. Di sana sudah disiapkan  sebuah kuburan yang menganga  dan  kain kafan untuk jasadnya. “Engkau telah berkata bahwa engkau tidak gentar?” kata salah seorang algojonya setengah mengejek. 
  
Alih-alih menjadi marah dan panik, Hujr dengan tenang menjawabnya dengan kalimat, “Aku tidak akan gentar walaupun telah kulihat kubur yang telah tergali, kafan yang telah terbentang, dan pedang yang telah terhunus!“ Kemudian seorang algojo maju ke hadapannya dan berkata, “Hulurkan lehermu!” Ia menjawab, “Aku tidak akan membantu pembunuhan terhadap diriku.” Maka secepat kilat,  algojo itu memenggal  lehernya. 

Mengacu kepada kisah di atas, penampakan foto jasad Hujr ibn ‘Udai ini bisa jadi hanya hoax semata-mata alias berita dusta.  Kerana jika itu benar jasad beliau, tentunya keadaannya harus terpisah antara badan dengan lehernya. Kecuali ada dua kemungkinan cerita sejarah itu hanya karangan atau telah terjadi suatu keajaiban. Wallahu a'lam.

Hujr ibn ‘Adi RA juga dikenali sebagai Hujr al-Khair. Beliau memeluk Islam ketika masih muda. Beliau dan saudaranya, Hani bin ‘Adi berkunjung ke Madinah bertemu Nabi SAW di penghujung hayat baginda SAW. Beliau seorang yang soleh, zuhud dan warak serta pejuang yang berani. Al-Hakim dalam al-Mustadrak 3/468 menulis: “Dia adalah rahib para sahabat Muhammad SAW”. Di dalam peperangan Siffin, beliau bersama Khalifah ‘Ali bin Abi Talib RA sebagai salah seorang ketua tentera. Beliau dibunuh pada tahun 51 H dan dikebumikan di ‘Azra’, Dimasyq. 

Makam Hujr sebelum dirobohkan.

Kelompok Syiah menjadikan pembunuhan Hujr ibn ‘Adi RA sebagai satu rekod hitam buat Khalifah Mu‘awiyah RA. Namun, ulama Ahlus Sunnah tidak membenarkan fail pertelingkahan di kalangan para sahabat RA ini dibuka kerana ia akan hanya membuka pintu fitnah kepada umat Islam. Mereka menetapkan bahawa setiap para sahabat yang terlibat dalam pertelingkahan tersebut adalah di atas ijtihad mereka dan segala urusan mengenai mereka selanjutnya perlu diserahkan kepada Allah SWT. Ini adalah lebih selamat bagi agama setiap muslim baik di dunia mahupun di akhirat kelak.

___________________
* Klip video dengan bahasa apatah...?


Tuesday, April 12, 2011

Renungkan Sejenak Kekerdilan Kita

Tinggalkan sebentar dulu memikir tentang dunia akhir zaman yang penuh huru-hara ini... tentang kemelut politik yang menjengkelkan...

tentang peperangan dan pembunuhan yang tak berkesudahan... tentang ketamakan dan kerakusan nafsu manusia...

tentang kebejatan akhlak dan moral manusia... tentang cuaca dunia dan bencana alam yang tidak menentu...

tentang pencemaran alam dan kemusnahan ozon... tentang ideologi dan teologi batil yang mendukacitakan... dan pelbagai lagi.

Fikirkanlah dulu sejenak tentang siapa kita dan apa nilai diri kita di alam fana ini. Apa tujuan hidup kita dan sejauhmana kedudukan kita di sisi Tuhan Semesta Alam ini...

Lihatlah betapa kecil dan kerdilnya kita...


Note: 1 light year is equal to exactly 9,460,730,472,580.8 km (about 9.5 trillion km) or 5,878,625,373,183.608 miles (about 6 trillion miles). 1 light second = 186,000 miles.

Perhatikan hadith Nabi SAW: 'Tidaklah langit yang tujuh dibandingkan dengan Kursi melainkan seperti sebentuk cincin yang tercampak di atas tanah padang yang luas. Dan kelebihan 'Arasy ke atas Kursi pula adalah seperti kelebihan padang yang luas ke atas sebentuk cincin'. (Sahih Ibn Hibban)


Allahu Akbar...

Para saintis Barat hanya percaya kejadian-kejadian Tuhan yang bersaiz gadang dan berskala mega ini setelah mengkaji dan menemuinya melalui kecanggihan teknologi sains pada masa kini.

Namun umat Islam sejak lebih 1400 tahun dahulu hanya percaya dengan semata-mata perkhabaran Nabi SAW sahaja serta membenarkannya dengan penuh keimanan. Mereka yakin dengan kekuasaan Allah Taala dan tiada apa yang mustahil bagi-Nya.

Misalnya dikhabarkan, penghuni syurga yang paling rendah tingkatannya, sekaligus yang terakhir sekali memasuki syurga (setelah diazab) adalah semisal raja yang paling hebat dari raja-raja di dunia, bahkan diberikan kepadanya syurga yang sebesar 10 kali ganda dunia ini. (Hadith Riwayat Muslim). Tentunya 10 kali ganda bumi itu adalah teramat kecil jika dibandingkan dengan simulasi alam semesta yang dipaparkan di atas.

Juga diceritakan tentang saiz malaikat Jibril AS yang memiliki 600 sayap dan setiap sayapnya pula adalah seluas antara Timur dan Barat. (Hadith Riwayat Ahmad). Malaikat juga mempunyai tahap kelajuan cahaya yang luar biasa. Tiada manusia yang diberi keistimewaan tersebut kecuali Nabi Muhammad SAW sehingga membolehkan baginda SAW merentasi 7 petala langit dalam masa sebahagian malam sahaja.

Demikian juga kepantasan Buraq, haiwan yang ditunggang oleh Nabi SAW dalam peristiwa Isra' amat cukup menakjubkan kerana ianya memiliki kelajuan sejauh mata memandang atau kelajuan supersonik.

Masih banyak lagi ukuran-ukuran yang berskala super ini sama ada dari segi saiz atau jarak yang dirakam dalam al-Quran dan juga hadith-hadith, seperti sepohon pokok di syurga yang jaraknya umpama seorang penunggang kuda yang gagah dan pantas cuba untuk merentasinya selama 100 tahun, namun masih tidak dapat sampai ke penghujungnya. (al-Bukhari dan Muslim)


Allahu Akbar...

Jelas bahawa kita hanyalah makhluk kerdil yang selalu ingkar dan angkuh, dan sering lupa.

Kembali dan insaflah...

---------------------

* Bacaan tambahan:

Tuesday, April 6, 2010

Kecemerlangan, Kegigihan dan Keasyikan Ulama (2)

Antara kitab menarik mengenai kecemerlangan dan kegigihan ulama serta keasyikan mereka terhadap ilmu ialah kitab Sur’ah al-Qira’ah wa al-Sabr ‘ala al-Sama’ oleh Dr. Muhammad ibn ‘Azuz (2007). Di bawah ini saya senaraikan sebahagian dari ringkasan maklumatnya.

1. Membaca kitab dalam satu majlis.

  1. Imam Ishaq bin Ibrahim bin Rahawaih (m. 238H). Beliau mengulang semula kepada Ibrahim bin Abi Talib apa yang dibacanya dalam sebuah majlis sambil bersandar pada bingkai pintu rumahnya.
  2. Imam Abu ‘Isa al-Tirmidhi (m. 279H). Beliau membaca 2 juzuk kitab hadith daripada hafalannya kepada seorang syeikh dalam satu majlis.
  3. al-Hafiz Ibrahim bin Muhammad al-Hadhrami al-Qurtubi (m. 396H). Beliau menyempurnakan 52 juzuk kitab hadith dalam majlis pengajiannya antara zohor dan asar setiap hari.
  4. al-Hafiz Ahmad bin ‘Abd al-Rahman bin ‘Abdullah al-Khawlani (m. 430H). Beliau membaca sebuah kitab dari hafalannya dalam satu majlis.
  5. al-Qadhi ‘Iyadh (m. 544H). Beliau membaca sebuah kitab dalam dua jilid dalam masa satu malam.
  6. al-Hafiz Abu al-Qasim Ibn ‘Asakir (m. 571H). Beliau membaca dari hafalannya kitab al-Ba’thu wa al-Nusyur oleh Ibn Abi Dawud dalam satu majlis.
  7. al-Hafiz Abu Musa al-Madini (m. 581H). Beliau menghafal kitab ‘Ulum al-Hadith oleh al-Hakim dan membacanya di hadapan Isma’il al-Taymi dalam satu majlis.
  8. al-Hafiz Abu ‘Abdillah Ibn al-Hanbali (m. 657H). Beliau membaca kitab al-Muntakhab di hadapan Ibn al-Jawzi dari hafalannya dalam satu majlis.
  9. Imam Ibn Daqiq al-‘Id (m. 702H). Adakalanya beliau menelaah pada sepanjang malam satu atau dua buah jilid kitab.
  10. al-Hafiz Ahmad bin ‘Abdul Halim ibn Taymiyyah (m. 728H). Beliau telah menghafal kitab Jannah al-Munazir dalam satu hari.
  11. al-Hafiz Siraj a-Din al-Bulqini (m. 805H). Beliau pernah berkata: “Adakalanya saya menelaah satu jilid kitab seluruhnya dalam satu masa dan habis sebelum isyak”.
  12. al-Hafiz Abu al-Qasim ‘Abdul ‘Aziz bin Musa al-‘Abdusi al-Fasi (m. 837H). Beliau telah membaca Sahih al-Bukhari dalam masa sehari.
  13. al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (m. 852H). Beliau telah membaca kitab al-Mu’jam al-Saghir oleh al-Tabarani dalam satu majlis antara solat zohor dan asar.
  14. al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti (m. 911H). Beliau telah mempelajari kitab Musnad al-Syafi’i daripada al-Qamsi dalam masa sehari.
  15. ‘Allamah Abu Bakr Ahmad Ba‘alawi (m. 1053H). Beliau telah menelaah satu jilid kitab besar seluruhnya dalam masa sehari atau semalam.
  16. ‘Allamah Syamsuddin al-Babili al-Qahiri (m. 1077H). Tidak terjatuh pandangannya ke atas sesuatu dan sebelum beliau mengalihkan pandangannya itu melainkan beliau telah pun dapat menghafalnya secara mantap di dalam satu majlis.

2. Membaca kitab dalam dua majlis.

  1. ‘Allamah Muhammad bin al-Hasan bin Salam (m. 630H). Beliau telah mempelajari kitab ‘Ulum al-Hadith oleh al-Hakim daripada Ibn Sasri al-Dimasyqi di dalam 2 majlis.

3. Membaca kitab dalam tiga majlis.

  1. al-Khatib al-Baghdadi (m. 463H). Beliau telah mempelajari seluruh kitab Sahih al-Bukhari daripada Isma’il al-Hairi di dalam 3 majlis.
  2. ‘Allamah Talhah bin Muzaffar al-‘Althi (m. 593H). Beliau telah membaca kitab Sahih Muslim di dalam 3 majlis.
  3. ‘Allamah Syarafuddin al-Fazari (m. H). Beliau telah membaca kitab Masyyakhah Ibn al-Bukhari di Dimasyq dalam 3 majlis yang dihadiri oleh 1000 orang.
  4. ‘Allamah Majduddin al-Fairuzabadi (m. 816H), pengarang al-Qamus. Beliau telah mempelajari kitab Sahih Muslim daripada Nasiruddin ibn Jahbal di Dimasyq antara Bab al-Nasr dan al-Faraj berhadapan tempat capal Nabi SAW dalam masa 3 hari.

4. Membaca kitab dalam empat majlis.

  1. ‘Allamah Abu Ishaq Ibrahim bin Ahmad al-Ba’labakki (m. 800H). Beliau membacakan kepada para ahli hadith kitab al-Muntakhab Min Musnad ‘Abd bin Humayd di dalam 4 buah majlis.

5. Membaca kitab dalam lima majlis.

  1. ‘Allamah ‘Abdul Ghani bin ‘Abdul Wahid al-Maqdisi (m. 600H). Beliau telah mempelajari kitab al-Muhaddith al-Fasil oleh al-Ramahurmuzi daripada Abu Tahir al-Silafi di dalam 5 buah majlis.
  2. ‘Allamah Ahmad bin Muhammad al-Qastallani (m. 923H). Beliau telah membaca kitab Sahih al-Bukhari di dalam 5 buah majlis.

6. Membaca kitab dalam masa enam hari atau dalam enam majlis.

  1. al-Hafiz Abu ‘Abdillah al-Zahabi (m. 748H). Beliau telah mempelajari kitab Sirah Ibn Hisyam daripada al-Abarquhi dalam masa 6 hari.
  2. al-Hafiz Abu al-Fadhl al-‘Iraqi (m. 806H). Beliau telah mempelajari kitab Sahih Muslim daripada Muhammad bin Isma’il bin al-Khabbaz di dalam 6 buah majlis.
  3. ‘Allamah Burhanuddin Ibrahim bin Muhammad al-Biqa’i (m. 935H). Beliau telah mempelajari kitab Sahih al-Bukhari seluruhnya daripada Badruddin al-Ghazzi dalam masa 6 hari.

7. Membaca kitab dalam masa lapan hari.

  1. al-Malik al-Asyraf Musa bin Muhammad bin Ayyub (m. 635H). Beliau telah mendengar Sahih al-Bukhari dengan bacaan Musnid al-Syam al-Husain bin al-Mubarak Ibn al-Zubaidi dalam masa 8 hari di Dar al-Hadith al-Asyrafiyyah, Dimasyq.
  2. ‘Allamah Burhanuddin al-Abnasi (m. 802H). Beliau telah mempelajari kitab Jami’ al-Tirmizi dan Sunan Abi Dawud daripada Ibn Amilah di Dimasyq dalam masa 8 hari.

8. Membaca kitab dalam masa hampir 10 hari atau lebih.

  1. ‘Allamah Muhammad bin Khalaf bin Rajih al-Maqdisi (m. 618H). Beliau telah mendengar kitab Jami’ al-Tirmizi dan Sunan Abi Dawud dengan bacaan ‘Umar ibn Tabarzad dalam masa kurang daripada 10 hari.
  2. ‘Allamah Fadhl al-Rahman al-Hindi al-Naqsyabandi (m. 1313H). Beliau telah mempelajari kitab Sahih al-Bukhari daripada Muhammad Ishaq al-Dihlawi dalam masa beberapa belas hari.

9. Membaca kitab dalam 11 buah majlis.

  1. al-Munla Abu Tahir Muhammad bin Ibrahim al-Kurani (m. 1145H). Beliau telah mempelajari kitab al-Muwatta’ daripada Abu al-Asrar al-‘Ujaymi dalam 11 buah majlis.

10. Membaca kitab dalam 12 buah majlis.

  1. ‘Allamah ‘Ali bin ‘Abdullah bin Ahmad al-‘Alawi al-Tawqadi (m. 1199H). Beliau telah mempelajari kitab Sahih al-Bukhari daripada Murtadha al-Zabidi dalam 12 buah majlis di rumahnya.

11. Membaca kitab dalam 14 buah majlis.

  1. ‘Allamah Ahmad bin ‘Abdullah Ibn al-Imam al-Jaza’iri (m. 666H). Beliau telah mendengar kitab Sahih al-Bukhari dengan bacaan Ibn Ruzibah al-Baghdadi dalam 14 buah majlis.

12. Membaca kitab dalam 15 buah majlis.

  1. ‘Allamah Taqiyyuddin Ahmad bin ‘Ali al-Maqrizi (m. 845H). Beliau telah mendengar kitab Sunan Ibn Majah dengan bacaan Abu al-‘Abbas al-Jawhari dalam 15 buah majlis.

13. Membaca kitab dalam masa sebulan.

  1. ‘Allamah al-Hasan bin Ahmad Ibn Habal al-Daqqaq al-Salihi (m. 779H). Beliau membaca kitab al-Mu’jam al-Kabir oleh al-Tabarani pada setiap bulan Ramadhan.
  2. ‘Allamah Muhammad ‘Abid al-Sindi (m. 1257H). Beliau telah membaca al-Kutub al-Sittah di al-Haram al-Nabawi (Masjid Nabawi, di Madinah) dalam masa sebulan secara riwayah (periwayatan), dan dalam masa 6 bulan pula secara dirayah (syarahan).
  3. ‘Allamah Muhammad bin ‘Ali al-Sanusi (m. 1076H). Beliau pernah membaca Sahih al-Bukhari dalam masa sebulan, Sahih Muslim dalam masa 25 hari, dan kitab al-Sunan dalam masa 20 hari.

14. Beberapa ulama mutaakhirin, seperti;

  1. ‘Allamah Muhammad bin ‘Abdul Kabir al-Kattani (m. 1327H), [syeikh Tariqat Kattaniyyah, disebut ‘al-Syahid’ kerana meninggal dunia setelah dirotan 500 kali oleh pihak sultan Maghribi demi mempertahankan kebenaran]. Beliau pernah mengkhatamkan Sahih al-Bukhari di Jami’ al-Qurawiyyin, kota Fez yang dihadiri oleh ribuan orang. Beliau duduk daripada selepas solat subuh dan tidak bangun melainkan hampir pada waktu zohor.
  2. ‘Allamah Jamaluddin al-Qasimi (m. 1332H). Beliau pernah memperdengarkan Sahih Muslim secara riwayah dan dirayah dalam masa 40 hari.
  3. ‘Allamah ‘Abdul Hayy al-Kattani (m. 1382H). Beliau pernah mengajarkan kitab Sahih al-Bukhari secara tahkik di Jami’ al-Qurawiyyin dalam 50 buah majlis.

Wednesday, March 31, 2010

Kecemerlangan, Kegigihan dan Kekuatan Jiwa Ulama

Dalam entri kali ini, ingin saya menyentuh sedikit gambaran tentang keasyikan terhadap ilmu di kalangan para ilmuwan Islam. Mudah-mudahan dapat kita renungkan bersama dan juga untuk dijadikan ukuran pada diri kita. Sebagaimana mereka telah berjaya membina kecemerlangan mereka, maka demikian jugalah sepatutnya kita menurut jejak mereka bagi membina kecemerlangan kita sendiri.

Imam ‘Abdul Hayy al-Laknawi (m. 1304H) dalam kitabnya yang sangat menarik berjudul: Iqamah al-Hujjah ‘ala Anna al-Ikthar fi al-Ta’abbud Laysa Bibid’ah (h. 115-118) menyebut: “… Kemampuan manusia itu berbagai-bagai. Berapa ramai orang yang menyanggupi sesuatu sedangkan ia tidak disanggupi oleh orang lain? Berapa ramai orang yang bosan dengan sesuatu sedangkan orang lain tidak bosan dengannya? Berapa ramai orang yang diberi kepantasan dalam membaca sedangkan orang lain tidak dapat mencapainya?

Tidakkah anda pernah mendengar al-Sayyid Abu Bakr bin Ahmad bin Abu Bakr - meninggal dunia tahun 1053 H - pernah membaca kitab al-Ihya’ – oleh Imam al-Ghazali - dalam tempoh 10 hari, dan barangkali beliau hanya menelaah satu jilid kitab besar kesemuanya dalam masa sehari semalam sahaja.

Majduddin al-Syirazi – al-Fairuzabadi, pengarang kitab al-Qamus dan Sifr al-Sa’adah - pernah membaca kitab Sahih Muslim dalam tempoh 3 hari sahaja. Al-Qastallani pula pernah membaca Sahih al-Bukhari dalam 5 buah majlis serta sebahagian dari satu majlis lain. Manakala al-Hafiz Abu Bakar al-Khatib pernah membaca Sahih al-Bukhari dalam 3 buah majlis sahaja.

Al-Hafiz Ibn Hajar pernah membaca kitab Sunan Ibn Majah dalam 4 buah majlis, demikian juga kitab Sahih Muslim, manakala kitab Sunan al-Nasa’i al-Kabir dalam 10 buah majlis dan setiap satu majlis kira-kira 4 jam. Manakala kitab Mu’jam al-Tabarani al-Saghir pula dalam sebuah majlis sahaja antara zohor dan asar. Demikian yang diceritakan oleh Muhammad bin Fadhlullah al-Muhibbi dalam kitab Khulasah al-Athar fi A’yan al-Qarn al-Hadi ‘Asyar.

‘Abdul Wahhab al-Sya’rani pernah menceritakan dalam kitab al-Yawaqit wa al-Jawahir tentang dirinya sendiri bahawa beliau pernah menelaah kitab al-Futuhat – oleh Ibn al-‘Arabi al-Hatimi, yang terdiri daripada 10 jilid besar – setiap hari sebanyak 2 kali. Al-Yafi’i pernah memberitakan mengenai seorang abid bahawa beliau telah membaca keseluruhan al-Quran dalam kadar sebuah khutbah seorang khatib pada hari Jumaat.

Hal-hal sebegini dan seumpamanya adalah tidak samar lagi bagi orang yang menelaah kitab-kitab mengenai hal ehwal tokoh-tokoh besar ini, yang mana tidak disanggupi oleh kebanyakan manusia lain.

Asal bagi semuanya ini ialah; Allah Taala telah menciptakan jiwa insan itu bersifat menikmati dan menyukai, yang mempunyai kesamaan dengan jiwa-jiwa kemalaikatan yang tidak terputus seketika pun daripada ibadah. Maka sesiapa yang memperolehi bagi dirinya rasa nikmat dengan sesuatu – walau apa pun ia – ia tidak akan merasai jemu langsung dalam memperbanyakkannya. Dan sesiapa yang tidak merasai nikmat dengan sesuatu pula, ia akan merasai jemu di dalam memperbanyakkannya.

Para ulama ummah Muhammadiyyah, pengarang kitab-kitab yang masyhur seperti al-Zahabi, Ibn Hajar, al-Suyuti dan selain mereka, tidak mensia-siakan satu ketikapun daripada masa usia mereka, dan tidak meluangkannya melainkan untuk menelaah atau menulis. Mereka tidak pun merasa jemu berbuat demikian. Al-Yafi’i pernah menceritakan bahawa beliau pernah berjaga pada suatu malam bagi menelaah kitab-kitab sehingga subuh, dan beliau tidak merasa jemu pun.

Hamba yang daif, penghimpun lembaran-lembaran ini – yakni Imam al-Laknawi sendiri - juga pernah merasai kenikmatan dengan menelaah dan menulis. Lalu saya pun menelaah jilid-jilid kitab yang besar dalam masa berjam-jam lamanya. Saya juga duduk pada suatu malam menulis daripada waktu maghrib sehinggalah ke waktu tengah malam tanpa berhenti – kecuali solat isyak – dan saya tidak merasai jemu pun. Bagi Allahlah segala pujian atas yang demikian.

Secara umum, jiwa-jiwa manusia itu adalah berbeza dari segi kemampuan. Maka sesiapa yang mampu memperbanyakkan ibadah, membaca, qiamullail, dan seumpamanya tanpa merasai rasa jemu, haruslah baginya yang sedemikian itu…”. – tamat nukilan.

Sunday, November 1, 2009

1 Gambar, 1000 Harapan

Pertemuan antara 2 tokoh yang berbeza aliran pemikiran, Syeikh al-Habib 'Ali al-Jufri (pendakwah internasional) dan Syeikh Dr. 'A'idh al-Qarni (penulis buku 'La Tahzan' - 'Jangan Bersedih') semasa berlangsungnya "Multaqa Pertama : Islam dan Pelancongan 2009", pada 12-13 Oktober lalu di San'a', Yaman.

Bagi yang memahami perbezaan aliran pemikiran tersebut, saya ajukan 1000 harapan. Adapun yang tidak memahaminya, cukuplah sekadar diketahui bahawa perpaduan umat Islam tetap akan terlaksana...

Thursday, October 29, 2009

Adab-Adab Menulis di Blog, Laman Forum dan Facebook Menurut Perspektif Islam (4)

5. Menjaga Maruah dan Harga Diri


Ada setengah penulis yang menggunakan nama sebenar, dan ada setengahnya yang hanya menggunakan nama samaran sahaja. Penulis yang menggunakan nama sebenar ini menunjukkan sifat keberanian, keyakinan dan bertanggungjawab terhadap apa yang dicoretnya. Namun, jika apa yang ditulisnya itu tidak menurut lunas-lunas yang betul atau mengandung moral yang tidak baik, ini hanya akan menyebabkan maruah dirinya jatuh dan dipandang rendah oleh orang lain, walau sebesar dan segah mana sekalipun namanya.

Manakala penulis yang menggunakan nama samaran, ada dua tafsiran yang dapat diberi, sama ada dia bersifat rendah diri atau bersifat takut diketahui orang akan dirinya yang sebenar kerana berbagai-bagai faktor. Tidak sedikit juga tulisan-tulisan yang menggunakan nama samaran ini yang agak baik, berfaedah dan memberi manfaat. Namun, jika hendak dibandingkan dengan tulisan-tulisan yang berbentuk ekstrim dan melampau, berbaur fitnah, mengata dan mengumpat orang, meluas jurang pertelingkahan, mendorong nafsu syahwat, penuh dengan kata nista atau moral yang keji, menyongsang arus dan sebagainya, boleh dikatakan bahan-bahan negatif seperti demikian lebih besar lagi jumlahnya. Inilah antara faktor negatif kenapa mereka takut untuk meletakkan nama sebenar, agar mudah untuk 'baling batu, sembunyi tangan' seperti kata pepatah. Meskipun dia dapat menjaga maruah dan harga dirinya kerana tidak diketahui orang, namun apakah dia menyangka bahawa maruah dan harga dirinya tidak jatuh di sisi Allah SWT? Maka tulisan-tulisan yang sebegini semestinya dijauhi dan dipulaukan.

Daripada Abu Mas'ud RA, sabda Rasulullah SAW:

‏إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلَامِ النُّبُوَّةِ الْأُولَى ‏ ‏ إِذَا لَمْ تَسْتَحِ فَافْعَلْ مَا شِئْتَ
Terjemahan: "Sesungguhnya antara perkataan hikmah yang diwarisi orang daripada perkataan kenabian yang pertama ialah; Jika kamu tidak malu, maka lakukanlah apa yang kamu suka". (Riwayat Abu Dawud: 4164)

Termasuk dalam masalah ini ialah pemaparan imej-imej yang bercanggah dengan syarak. Orang muslim yang berakal tidak sewajarnya memuat-turun atau menyebarkan gambar-gambar yang menyalahi syariat Islam di dalam tulisan-tulisan atau entri-entri yang dipaparkan. Keprihatinan seperti ini menunjukkan akhlak tinggi seseorang itu, dan sebaliknya sikap sambil lewa pula menunjukkan kerendahan imej diri seseorang itu sebagai seorang muslim.

Wednesday, October 28, 2009

Adab-Adab Menulis di Blog, Laman Forum dan Facebook Menurut Perspektif Islam (3)

4. Menutur Bahasa yang Betul

Pemilihan bahasa menurut tatabahasa yang betul adalah suatu perkara yang harus dipraktiskan agar bahasa tersebut tidak menjadi rosak. Namun, apa yang berlaku di kalangan generasi moden kebanyakannya pada masa kini amat memeningkan ahli-ahli bahasa, maksudnya bahasa Melayu dalam konteks masyarakat kita sekarang ini. Terutama apabila menggunakan bahasa-bahasa yang bercampur dengan bahasa Inggeris, bahasa pasar, bahasa caca-merba, bahasa-kependekan yang dicipta sendiri dan sebagainya sehingga benar-benar menjadi bahasa 'rojak'. Ini sebenarnya merupakan sejenis isu yang mungkin dianggap kecil atau enteng oleh setengah orang, yang hakikatnya memalukan ahli-ahli bahasa dan bangsa yang menggunakan bahasa itu sendiri apabila kecemerlangan bahasanya dimiliki oleh bangsa lain.

Daripada Anas bin Malik RA, sabda Rasulullah SAW:

‏مَا كَانَ ‏ ‏ الْفُحْشُ ‏ ‏فِي شَيْءٍ إِلَّا ‏ ‏شَانَهُ ‏ ‏وَمَا كَانَ الْحَيَاءُ فِي شَيْءٍ إِلَّا زَانَهُ
Terjemahan: "Tidaklah ada suatu pertuturan yang buruk pada sesuatu itu melainkan ia akan mengaibkannya, dan tidaklah ada sifat malu pada sesuatu itu melainkan ia akan mengindahkannya".(Riwayat al-Tirmizi: 1897, katanya: Hadith Hasan Gharib)

Bertutur dengan bahasa yang betul, termasuk mengeja dengan ejaan standard, dapat mencerminkan peribadi seseorang itu. Lihatlah bagaimana cara Rasulullah SAW berbicara sepertimana yang diriwayatkan oleh 'A'isyah RA, katanya:

كَانَ كَلَامُ رَسُولِ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏كَلَامًا ‏ ‏ فَصْلًا ‏ ‏ يَفْهَمُهُ كُلُّ مَنْ سَمِعَهُ ‏
Terjemahan: "Percakapan Rasulullah SAW adalah percakapan yang jelas-nyata, yang dapat difahami oleh semua orang yang mendengarnya". (Riwayat Abu Dawud: 4199)

Adab-Adab Menulis di Blog, Laman Forum dan Facebook Menurut Perspektif Islam (2)

2. Bersikap Benar dan Amanah

Bersikap benar dan amanah terhadap apa yang ditulis, serta pasti dengan apa yang dihidangkan menurut landasan yang benar, merupakan satu perkara yang sangat penting. Sikap ini dapat mengelakkan dari membuat tulisan yang berbentuk dusta, berbaur fitnah, menipu, mencuri hak orang lain dan seumpamanya. Sifat benar ini adalah sifat yang dituntut oleh syarak, sabda Nabi SAW seperti yang diriwayatkan oleh 'Abdullah bin Mas'ud RA:

‏ ‏إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا
Terjemahan: "Sesungguhnya sifat benar itu membawa kepada kebaikan, dan kebaikan itu pula membawa kepada syurga. Sesungguhnya seorang lelaki itu sentiasa bersifat benar sehingga menjadi seorang pembenar (siddiq). Manakala dusta itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu pula membawa kepada neraka. Sesungguhnya seorang lelaki itu sentiasa berdusta sehingga ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta". (al-Bukhari: 5629 dan Muslim: 4719)

Antara sifat yang penting juga ialah amanah dalam menukilkan bahan-bahan yang dihidangkan. Justeru perlu disebut sumber ambilan atau rujukan yang digunakan, terutama bahan-bahan yang berbentuk ilmiah. Fenomena plagiat ini perlu diberi perhatian kerana ia juga termasuk sejenis pendustaan dan pencurian terhadap hak-cipta orang lain. Apabila orang mengutip dan merujuk kepada tulisannya menyangka itulah sumber asalnya, sedangkan pada hakikatnya ia cuma diciplak daripada orang lain semata-mata. Ketidak-jujuran ini jelas merupakan satu sikap yang dibenci oleh syarak.

3. Menggunakan Kata-Kata yang Baik

Bercakap dengan kata-kata yang baik menunjukkan akhlak yang tinggi individu berkenaan. Sikap ini mesti diterapkan bagi mengelakkan seseorang itu suka mengeluarkan kata-kata yang kesat, marah-marah, mencaci-maki, mencarut, merepek, meraban, mengaib atau menjatuhkan maruah orang lain, dan seumpamanya. Inilah petunjuk Rasulullah SAW di mana diriwayatkan banyak hadith mengenai saranan dan kelebihan orang-orang yang bercakap baik, serta ancaman terhadap orang-orang yang bercakap keji. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏سَبَّابًا وَلَا فَحَّاشًا وَلَا لَعَّانًا
Terjemahan: "Nabi SAW bukanlah seorang pemaki, bercakap kasar ataupun pelaknat...". (Riwayat al-Bukhari)

Daripada 'Abdullah bin Mas'ud, sabda Rasulullah SAW:

‏لَيْسَ الْمُؤْمِنُ ‏ ‏بِالطَّعَّانِ ‏ ‏وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا ‏ ‏الْفَاحِشِ ‏ ‏وَلَا الْبَذِيءِ
Terjemahan: "Seorang mukmin itu bukanlah seorang pencaci, pelaknat, bercakap kasar ataupun kesat". (Riwayat al-Tirmizi: 1900, katanya: Hadith Hasan Gharib)

Daripada Abu al-Darda' RA, sabda Nabi SAW:

‏مَا شَيْءٌ أَثْقَلُ فِي مِيزَانِ الْمُؤْمِنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ خُلُقٍ حَسَنٍ وَإِنَّ اللَّهَ لَيُبْغِضُ ‏ ‏الْفَاحِشَ ‏ ‏ الْبَذِيءَ
Terjemahan: "Tidak ada sesuatu pun yang paling berat dalam timbangan seorang mukmin pada hari kiamat kelak selain daripada akhlak yang baik. Dan sesungguhnya Allah amat membenci orang yang suka bercakap kasar lagi kesat". (Riwayat al-Tirmizi: 1925, katanya: Hadith Hasan Sahih)

Daripada Abu Hurairah RA pula, sabda Rasulullah SAW:

‏مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Terjemahan: "Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia bercakap yang baik, atau diam sahaja...". (al-Bukhari: 5994 dan Muslim: 67)

Maka berfikirlah sebelum anda menulis. Alangkah baiknya jika apa yang ditulis itu mempunyai hubungan dengan Allah SWT, termasuklah yang berkaitan nilai-nilai agama dan moral yang baik. Daripada Ibn 'Umar RA, sabda Rasulullah SAW:

‏لَا تُكْثِرُوا الْكَلَامَ بِغَيْرِ ذِكْرِ اللَّهِ فَإِنَّ كَثْرَةَ الْكَلَامِ بِغَيْرِ ذِكْرِ اللَّهِ قَسْوَةٌ لِلْقَلْبِ وَإِنَّ أَبْعَدَ النَّاسِ مِنْ اللَّهِ الْقَلْبُ الْقَاسِي
Terjemahan : "Janganlah kamu banyak berbicara tanpa berzikir kepada Allah. Sesungguhnya banyak berbicara tanpa berzikir kepada Allah dapat mengeraskan hati. Dan sesungguhnya orang yang paling jauh daripada Allah adalah yang berhati keras". (Riwayat al-Tirmizi: 2335, katanya: Hadith Hasan Gharib)

Justeru, tidak selayaknya seseorang itu menulis menurut apa sahaja kehendak hawa nafsunya sebelum dipertimbangkan terlebih dahulu berdasarkan tuntutan syarak. Jika didapati ianya bersesuaian, maka tidak ada halangan untuk meneruskannya, manakala jika didapati sebaliknya pula, maka berhenti sahaja daripada menulis kerana itu lebih baik bagi dirinya. Dikhuatiri mudaratnya lebih besar, lebih-lebih lagi dipersoalkan nanti di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Daripada Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

‏إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ رِضْوَانِ اللَّهِ لَا يُلْقِي لَهَا بَالًا يَرْفَعُهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَاتٍ وَإِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ لَا يُلْقِي لَهَا بَالًا يَهْوِي بِهَا فِي جَهَنَّمَ
Terjemahan: "Nescaya sesungguhnya seorang hamba itu bercakap dengan suatu perkataan yang termasuk keredhaan Allah sedang dia tidak begitu memikirkannya, namun dia diangkat oleh Allah kerananya beberapa darjat. Manakala seseorang hamba itu pula bercakap dengan suatu perkataan yang termasuk kemurkaan Allah sedang dia tidak begitu mengendahkannya, lalu dia terjerumus kerananya ke dalam neraka Jahannam". (Riwayat al-Bukhari: 5997)

Tuesday, October 27, 2009

Adab-Adab Menulis di Blog, Laman Forum dan Facebook Menurut Perspektif Islam

Sebelum ini ada ditulis orang tentang adab-adab berkomunikasi melalui telefon (termasuk sekali sms, mms dll.). Juga kalau tak silap saya pernah juga ditulis orang tentang adab-adab berhubung melalui e-mail (termasuk chatting dan seumpamanya). Terbaru dalam blog akhi al-syaqiq Wak Juragan, beliau menyentuh sekilas pandang tentang fenomena berkomunikasi melalui facebook dan 'ketagihan' terhadapnya. Daripada situ timbul idea untuk saya kembangkan lagi pemikiran beliau berkenaan. Malah sahabat saya, Ustaz Abu Zaki turut menyarankan kepada saya agar menulis tentang ada-adab penulis blog menurut perspektif Islam.

Menurut andaian saya mungkin hal ini telah ditulis oleh beberapa orang, namun bagi menyatakan pandangan saya sendiri, saya merasakan perlu merakamkannya di sini. Lebih-lebih lagi semester yang baru ini, Jabatan al-Quran dan al-Sunnah (KUIS) telah menerima kumpulan pertama (first batch) bagi calon-calon 'Sarjana Muda al-Quran dan al-Sunnah Dengan Komunikasi'. Mudah-mudahan ianya dapat memberi manfaat dalam menangani era ICT yang serba mencabar dan penuh pancaroba sekarang ini.

Di antara adab-adab bagi menulis di blog, laman forum atau facebook (dan sebagainya) menurut perspektif Islam ialah;

1. Ikhlas

Inilah tuntutan pertama yang perlu diberikan perhatian oleh para penulis, kerana semua perkara yang kita tuliskan disaksikan oleh Allah SWT, dan dicatat oleh malaikat pencatat amalan manusia (Raqib dan 'Atid). Daripada 'Umar RA, sabda Nabi SAW: (إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى) ertinya, "Sesungguhnya semua amalan itu disertai niat (yang tertentu), dan sesungguhnya bagi setiap orang itu memperoleh apa yang diniatkannya..." (Riwayat al-Bukhari dan lain-lain). Jika niat kita ikhlas untuk tujuan-tujuan yang baik seperti menyebarkan ilmu, dakwah, berkongsi pemikiran, memberi peringatan atau nasihat, membimbing pembaca kepada nilai agama, mengeratkan silaturrahim dan sebagainya, maka tujuan-tujuan sebegini amat wajar dan harus diteruskan. Bagaimanapun, jika sejak awal tujuan dan niat kita ialah untuk menyebarkan fitnah, dakyah, cerita bohong atau palsu, membuat propaganda, mengaibkan orang, memecah-belahkan kesatuan umat, meluahkan pendapat yang kita sendiri tidak yakin dan pasti kebenarannya, membuang masa kosong, melayan fantasi cinta, mencarut dan seumpamanya, maka tujuan-tujuan seperti ini patut dihentikan bagi mengelak dosa-dosa yang akan ditanggung sehingga ke hari akhirat kelak.

bersambung...

Thursday, October 22, 2009

35 Sejadah Berdiri...


"20 Oktober - Warga SK Tok Sangkut di Pasir Mas gempar apabila 35 helai sejadah di dalam surau didakwa berdiri secara misteri dengan sebahagiannya menyerupai individu sedang menunaikan solat". (Laporan Malaysiakini, Utusan online dan lain-lain)

Kejadian 'paranormal' di Malaysia jika direkodkan agak banyak juga. Sebahagiannya ada yang berkait dengan amalan dan pegangan agama, seperti ayat al-Quran hilang daripada mashaf, objek-objek bergambar di langit dan juga sejadah berdiri. Dalam kejadian pelik begini seperti biasa ada pelbagai reaksi dan tafsiran orang.

1- Ada yang percaya, tanpa ambil iktibar.
2- Ada yang percaya dan mengambil iktibar.
3- Ada yang percaya ia hanya buatan orang semata-mata.
4- Ada yang percaya ianya 'mainan' makhluk halus.
5- Ada yang tidak percaya dan tidak mahu ambil iktibar.
6- Ada yang tidak pasti, sama ada mahu percaya atau tidak, tanpa ambil iktibar.
7- Ada yang tidak pasti, sama ada mahu percaya atau tidak, tetapi mengambil iktibar.

Di manakah anda???


p/s: Pautan berkaitan yang lain di sini.

Monday, August 17, 2009

17 Faedah Musibah, Bala Bencana dan Ujian Allah

Ada baiknya dalam situasi sekarang ini kita memuhasabah diri kita sendiri dan melihat ujian Allah SWT ini dengan pandangan basirah (mata hati) kita. 17 faedah ini disebut dalam risalah al-Fitan wal-Balaya wal-Mihan wal-Razaya, atau Fawa'id al-Balwa wal-Mihan oleh Imam 'Izzuddin bin 'Abdis Salam (m.660H), tokoh ulama besar dalam abad ke-7 hijrah, yang terkenal dengan gelaran Sultan al-'Ulama'. Saya nyatakan keseluruhannya secara ringkas dengan sedikit olahan daripada saya, penulis yang da'if ini.

Semua musibah, bala bencana dan ujian Allah SWT yang menimpa kita ini sebenarnya mengandungi hikmah dan rahsia di sebaliknya. Ia merupakan faedah dan manfaat yang besar bagi umat Islam secara khususnya. Antara hikmah atau faedahnya ialah;

1- Dapat mengenal keagungan dan kekuasaan rububiyyah (ketuhanan) Allah SWT.
2- Dapat menyedari akan kehinaan dan kekurangan 'ubudiyyah (perhambaan) manusia sebagai hamba-Nya.
3- Dapat mengikhlaskan diri kepada Allah SWT, kerana Dia-lah sahaja yang dapat menariknya kembali.
4- Dapat kembali semula kepada Allah SWT dan memberi tumpuan terhadap-Nya.
5- Dapat merasa rendah diri, dan berdoa mengharap kepada-Nya.
6- Dapat mendidik diri bersifat lemah lembut dan tidak lekas marah terhadap orang yang fitnah/musibah tersebut datang daripadanya, atau yang menyebabkannya. Ini kerana keyakinan kita kepada qadha' dan qadar Allah SWT.
7- Dapat mendidik diri memaafkan orang yang membawa fitnah/musibah tersebut, atau yang menyebabkannya.
8- Dapat mendidik sifat sabar dalam menghadapi musibah tersebut.
9- Dapat mendidik rasa gembira dengan musibah tersebut kerana faedah-faedah serta ganjaran-ganjaran pahala yang disediakan oleh Allah SWT.
10- Dapat mendidik rasa syukur ke atas musibah tersebut kerana mengandungi faedah-faedah berkenaan.
11- Dapat menghapuskan dosa-dosa yang telah dilakukan.
12- Dapat menimbulkan rasa kasihan dan simpati terhadap orang yang ditimpa bala bencana, dan dapat membantu kesusahan mereka.
13- Dapat mengenal dan menghargai nikmat keafiatan dan kesihatan, serta mensyukurinya.
14- Dapat memperoleh ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT ke atas faedah-faedah yang tersebut di sini di akhirat kelak nanti.
15- Ia mengandungi faedah-faedah atau hikmah-hikmah yang tersembunyi, yang kadangkala nampak zahirnya negatif tetapi sebenarnya positif, atau pada zahirnya tidak kita sukai tetapi sebenarnya lebih baik untuk kita.
16- Dapat menegah diri kita dari sifat-sifat yang buruk, sombong, bangga diri, riya', takabbur dan seumpamanya.
17- Dapat mendidik sifat redha yang membawa kepada keredhaan Allah SWT.

Wallahu a'lam.

Thursday, July 30, 2009

Tembok Zul Qarnain & Ya'juj dan Ma'juj

Matan Hadith:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: فَتَحَ اللَّهُ مِنْ رَدْمِ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مِثْلَ هَذَا وَعَقَدَ بِيَدِهِ تِسْعِينَ. البخاري: 3098

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW sabdanya: "Allah telah membuka daripada tembok Ya'juj dan Ma'juj sebesar ini", sambil baginda menunjukkan dengan tangannya kiraan 90 (cara hitungan orang Arab dahulu, iaitu isyarat lubang bulat dengan jari telunjuk dan ibu jari).

Syarah Hadith:

Menurut Ibn Hajar, Ya'juj dan Ma'juj adalah dua kabilah dari keturunan Yafith bin Nuh AS, yakni mereka adalah keturunan manusia. Pada zaman Zul Qarnain, mereka amat banyak membuat kerosakan dan pembunuhan sehingga Zul Qarnain terpaksa membina tembok bersaiz mega bagi menghalang Ya'juj dan Ma'juj membuat onar dan kebinasaan.

Tembok ini sangat besar dan kukuh serta dapat tahan sehinggalah ke hari ini, cuma tempatnya tidaklah dapat diketahui secara pasti. Imam al-Bukhari ada menyebut hadith secara mu'allaq (tanpa sanad) di dalam Sahihnya bahawa seorang sahabat Nabi SAW telah berkata kepada baginda: "Aku telah melihat tembok tersebut yang rupanya umpama sebidang kain yang diukir/bercorak (tentunya bersaiz giga)". Balas baginda SAW: "Kamu telah melihatnya". Dalam keterangan Ibn Hajar, riwayat hadith tersebut juga ada menyebut ; umpama sebidang kain yang diukir/bercorak dengan jalur merah dan jalur hitam, yang menunjukkan ianya campuran dari tembaga dan besi.


Di akhir zaman nanti, tembok yang teguh tersebut akan runtuh dan akan keluarlah Ya'juj dan Ma'juj membuat kerosakan sekali lagi sebagai tanda hampirnya hari kiamat. Namun usaha-usaha tetap dilakukan oleh mereka untuk keluar sehinggalah pada masa sekarang. Buktinya pada masa Nabi SAW, ia telah terbuka sebesar lubang kecil sehingga baginda SAW merasa agak terkejut dan mengucap; (لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِنْ شَرٍّ قَدْ اقْتَرَبَ), "Tiada tuhan melainkan Allah. Binasalah bagi bangsa Arab dari keburukan yang semakin hampir!" (al-Bukhari dan Muslim)

Kedudukan Tembok Zul Qarnain menurut Prof. Abul Kalam Azad.

------------------------------------------------------------

Di bawah menunjukkan kawasan pergunungan di sempadan tiga buah negara; Armenia, Azerbaijan dan Georgia yang didakwa kawasan tembok berkenaan.



Monday, July 27, 2009

Khurasan.. Daerah yang Dilupakan

Nama Khurasan, sepertimana nama Hijjaz dan Syam, adalah antara nama daerah-daerah kuno yang disebut dalam sejarah silam yang sudah tidak dipakai lagi dalam sempadan politik moden hari ini. Dalam hadith Nabi SAW, ada dinyatakan beberapa kali nama daerah Khurasan ini. Antaranya ialah dua hadith da'if dan sebuah hadith hasan di bawah ;
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : تَخْرُجُ مِنْ خُرَاسَانَ رَايَاتٌ سُودٌ لَا يَرُدُّهَا شَيْءٌ حَتَّى تُنْصَبَ بِإِيلِيَاءَ . هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ
Daripada Abu Hurairah RA: Sabda Rasulullah SAW: "Akan keluar daripada Khurasan panji-panji hitam, tidak ada sesuatupun yang dapat menghalangnya sehinggalah ia dipacakkan di Iliya' (Baitul Maqdis)".
عَنْ ثَوْبَانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّايَاتِ السُّودَ خَرَجَتْ مِنْ قِبَلِ خُرَاسَانَ فَأْتُوهَا وَلَوْ حَبْوًا ، فَإِنَّ فِيهَا خَلِيفَةَ اللَّهِ الْمَهْدِيَّ . هَذَا حَدِيثٌ صَحِيحٌ عَلَى شَرْطِ الشَّيْخَيْنِ ، وَلَمْ يُخْرِجَاهُ ، وهو أيضا في مُسْنَدُ أَحْمَدَ بْنِ حَنْبَلٍ ، مُسْنَدُ الْأَنْصَارِ ، وَمِنْ حَدِيثِ ثَوْبَانَ ، رقم الحديث: 21890
Daripada Thawban RA ; sabda Rasulullah SAW: "Apabila kamu melihat panji-panji hitam keluar daripada arah Khurasan, maka datanglah kepadanya walaupun secara merangkak. Sesungguhnya di sana ada khalifah Allah al-Mahdi".

Kedudukan Khurasan dalam peta dunia antara Iran dan Afghanistan.
عَنْ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ قَالَ : حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : الدَّجَّالُ يَخْرُجُ مِنْ أَرْضٍ بِالمَشْرِقِ يُقَالُ لَهَا : خُرَاسَانُ ، يَتْبَعُهُ أَقْوَامٌ كَأَنَّ وُجُوهَهُمُ المَجَانُّ المُطْرَقَةُ . وَفِي البَابِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، وَعَائِشَةَ، وَهَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ ، وهو أيضا في سُنَنُ ابْنِ مَاجَهْ ، كِتَابُ الْفِتَنِ ، بَابُ فِتْنَةِ الدَّجَالِ ، وَخُرُوجِ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ، وَخُرُوجِ يَأْجُوجَ ، رقم الحديث : 4104
Daripada Abu Bakar al-Siddiq RA: Sabda Rasulullah SAW: "Dajjal akan keluar dari sebuah negeri di Timur, yang dipanggil Khurasan. Ia akan diikuti oleh sekumpulan kaum yang wajah mereka seakan-akan perisai besi yang dibalut kulit".

Nampaknya, daerah Khurasan dalam hadith-hadith tersebut lebih dikaitkan dengan peristiwa akhir zaman.

Wednesday, July 8, 2009

Tempoh Usia di Kalangan Umat Muhammad

Matan Hadith:

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya : Sabda Rasulullah SAW: "Umur umatku adalah di antara 60 hingga 70 tahun, dan hanya sedikit dari kalangan mereka yang melampaui had tersebut". (Hadith riwayat al-Tirmidhi, katanya: Hadith hasan)

Huraian Hadith:

Memang benar sabdaan Rasulullah SAW tersebut, purata jangka hayat umat baginda adalah antara usia 60-an dan 70-an. Hingga kini amat sedikit kita dengar orang yang dapat hidup hingga usia 80-an, 90-an, apatah lagi 100 tahun.

Sabdaan Baginda SAW: "... hanya sedikit dari kalangan mereka yang melampaui had tersebut", menunjukkan wujudnya orang-orang yang diberi nikmat oleh Allah SWT berumur panjang. Namun berapa panjang rekod yang pernah dicatat?


Di kalangan sahabat Nabi SAW ada beberapa orang yang hidup hingga 120 tahun. al-Hafiz Ibn Mandah (m.511H) telah menghimpunkan nama-nama mereka di dalam sebuah risalah kecil (جزء فيه من عاش مئة وعشرين سنة من الصحابة). (Klik untuk muat turun atau sini). Ada 14 orang kesemuanya, antara mereka ialah; Hakim bin Hizam, 'Asim bin 'Adi, Huwaitib bin 'Abdil 'Uzza, Saad bin Iyas, Makhramah bin Nawfal, Hassan bin Thabit dan lain-lain lagi (radhiyallahu 'anhum).

Syeikhuna al-Azhari mencatatkan beliau pernah bertemu dengan Syeikh 'Atwah bin Musa al-'Ais (foto bawah) di Alfayyum, Mesir yang berusia sekitar 170 tahun! Ada juga yang mengatakan kurang daripada itu, namun tidak ada yang mengatakan kurang dari 150 tahun. (Rujuk selanjutnya)

Syeikhuna Dr. Hamzah al-Kattani menyebut, ulama yang paling berusia ketika ini yang beliau kenali ialah gurunya, Syeikh al-Tihami al-Tijani, mencecah usia hampir 140 tahun sekarang ini. (Rujuk sini)

Syeikh Muhammad bin Abdullah bin Ibrahim al-'Aquri, guru Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim (rahimahumallah) dikatakan meninggal dalam usia 150 tahun pada tahun 1390H/1970M. Beliau berasal daripada Libya dan menetap di Mesir, dan pernah berguru dengan Imam al-Bajuri. Beliau tidak berkahwin sehinggalah usianya 105 tahun!, apabila dipujuk oleh Syeikh Muhammad 'Abduh, dan kemudian mempunyai 5 orang anak. Beliau mahir berbahasa Turki, Greek dan Parsi. (Majalah al-Muslim, Feb. 1998, hlm. 28, lihat juga sini)

Syeikh 'Abdul 'Aziz al-Habsyi (m.1276H) pula dikatakan berusia melebihi 200 tahun. Lihat biodatanya dalam kitab Fihris al-Faharis oleh Syeikh al-Kattani bahagian (ثبت الفيوضات الربانية في إجازة الطريقة السنوسية الأحمدية الإدريسية لأحمد الشريف السنوسي).

Foto di atas, Sayyid 'Abdul Mabud Jailani dari Pakistan berusia 159 tahun. Tapi, saya tak ingat majalah Utusan Qiblat tahun berapa saya kutip foto ni, sekitar 70-an kot..?

Rujuk juga untuk cerita-cerita mereka yang berusia panjang lain di sini dan juga sini. (entri Dr. Yahya al-Ghawthani. Bahasa Arab daa..)

Apa pula dengan kita?? Maut bisa datang bila-bila masa...