Pages

Wednesday, September 30, 2015

Tuan Guru Hj. Yahya Zikri bin Alang Mat Piah


إنا لله وإنا إليه راجعون

Tuan Guru Hj. Yahya Zikri Telok Intan, 91 tahun, murid Syeikh Abdul Qadir al-Mandili telah wafat pada jam 12 tengah hari Khamis, 24hb. Sept. 2015 bersamaan 10 Zulhijjah 1436H. Beliau meninggal dunia di Hospital Putrajaya. Kemudian jenazahnya telah dikebumikan di tempat asalnya, Kampung Chopin Kanan, Parit, Perak.

Beliau adalah antara tokoh ulama di negeri Perak. Beliau pernah ke Makkah pada tahun 1951 dan pulang ke tanah air tahun 1962. Di sana, beliau telah berguru dan belajar dengan ramai guru-guru handal ketika itu seperti Syeikh Abdul Qadir al-Mandili, Syeikh Ahyad Bogor, Syeikh Hasan al-Masysyat, Syeikh Muhammad ‘Arabi al-Tabbani dan lain-lain. Beliau juga pernah berguru dengan Tuan Guru Hj Muhammad Yunus di Bunut Payung. Namun antara ramai gurunya, dengan Syeikh Abdul Qadir al-Mandili yang paling banyak beliau menadah kitab.

Di antara kerjaya beliau adalah sebagai guru agama Tabung Haji bagi negeri Perak. Beliau pernah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah bagi daerah Hilir Perak tahun 1416H. Beliau mempunyai sebuah keluarga yang agak besar, di mana beliau telah dikurniakan seramai 12 orang anak.

Tuan Guru Hj. Yahya Zikri pernah menulis sedikit mengenai perihal dirinya sepertimana berikut: “Hj. Yahya Zikri bin Hj. Alang Mat Piah nama panggilannya. 1342 H bersamaan 1924 M tahun lahirnya. Chopin Kanan kampung asal tumpah darahnya. Belanja nama mukimnya. Kuala Kangsar pula nama jajahannya. Perak Darul Ridhuan itulah negerinya. Makkah al-Mukarramah akhir dan kesudahan menuntut ilmunya. Alim ulama tempat rujukan dan gurunya - al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas. Ahlus Sunnah wal Jamaah itulah amalan dan iktikadnya. Al-Imam as-Syafii al-Qurasyi ikutan dan mazhabnya. Kitab-kitab al-muktabar pula tempat ambilan dan pegangannya. Kampung Bahagia, Lorong Menteri, rumah tangga kampung halaman, tempat kediamannya. Telok Intan pula nama pekan dan bandarnya. Peliharaan Allah azza wa jalla dan limpah kurniaNya itulah doa dan permohonnya...”

Dalam menangisi pemergiannya, Syeikh Mohammed Daniel daripada Cordoba Academy menulis: “We remain indebted to the honourable Shaikh for the sacrifices and dedication he showed us. He was a hidden gem and was staunch in adopting the Sunnah into his life. A famous Ustadh who studied with the Shaikh in the 80s and 90s told me that when he visited the Shaikh a few months ago wearing a pinkish/orange garment the Shaikh affectionately disapproved of the colour and told him to wear white or a colour suitable for men as this was the sunnah. Subhan Allah!” *Sumber: http://forum.cordobaacademy.com/topic/19404777/Passing-away-of-senior-Shaikh-Tuan-Guru-Yahya-alZikri#.VgkQCtKqqkp

Dalam sekali pertemuan bersama Tuan Guru Hj. Yahya Zikri, beliau telah bertanya mengenai nama-nama anak penulis. Lalu penulis menyebutnya satu persatu. Namun, apabila didengar tidak ada nama Muhammad, beliau terus menegur secara spontan supaya memberi nama Muhammad bersempena nama Nabi SAW!

Beliau telah menghasilkan beberapa karya penulisan, antaranya:
1. Kemuliaan dan Keistimewaan Tanah Suci Makkah al-Mukarramah.
2. Sampaikan Pahala Kepada Orang Mati.
3. Risalah Makna Syahadatain.


رحمه الله تعالى رحمة واسعة وأسكنه فسيح جناته
  

 
TG Hj. Yahya Zikri bersama al-Musnid Us. Mohd. Zaidi Abdullah