Pages

Monday, September 17, 2012

Syeikhul-Islam Dalam Dinasti ‘Uthmaniyyah


Syeikhul-Islam Dalam Dinasti ‘Uthmaniyyah
Oleh: Mohd. Khafidz Soroni

Kerajaan ‘Uthmaniyah yang ditubuhkan oleh ‘Uthman putera Ertuğrul al-Ghazi (1299 -1324) telah berkuasa selama lebih dari enam abad mulai dari tahun 1299 sehingga tahun 1922 (699 - 1340H) dengan dipimpin oleh seramai 37 orang pemerintah. Dalam sejarahnya, Kerajaan ‘Uthmaniyyah telah mencapai banyak kejayaan besar seperti kejayaan Muhammad II bin Murad II (1451 - 1481) yang digelar ‘al-Fatih’ menakluki Kota Constantinople.

Namun, Empayar ‘Uthmaniyyah mula merosot terutama dengan kemunculan Gerakan Turki Muda atau Gerakan Sekular pada masa pemerintahan Sultan Abdul Hamid II (1876 - 1909). Mereka dipimpin oleh Mustafa Kamal Ataturk yang berjaya pada akhir 1922 menghapuskan sistem kesultanan dan mengisytiharkan penubuhan Republik Turki. Pada tahun 1924, sistem khalifah dihapuskan sepenuhnya dan secara rasmi tamatlah pemerintahan Empayar ‘Uthmaniyyah.

Oleh kerana sudut ketenteraan dalam Empayar ‘Uthmaniyyah ini lebih menonjol, maka ada sesetengah orang yang menyangkakan dari sudut intelektual hampir tidak ada ilmuwan terkemuka yang muncul dari dinasti ini. Sebenarnya, sangkaan ini adalah prasangka yang tidak tepat sama sekali kerana Dinasti ‘Uthmaniyyah hakikatnya tidak kurang juga hebatnya dari sudut keintelektualan.

Syeikh Ahmad bin Mustafa bin Khalil (w. 968H) yang masyhur dengan panggilan ‘Tasykubri Zadeh’ telah menghimpunkan sejumlah besar alim ulama dinasti ini di dalam kitabnya (الشقائق النعمانية في علماء الدولة العثمانية). Senarai tersebut kemudian ditambah lagi oleh Syeikh ‘Ali bin Bali bin Muhammad Awzan (w. 992H) di dalam kitab beliau (العقد المنظوم في ذكر أفاضل الروم). Antara rujukan lain untuk mengenali alim ulama ‘Uthmaniyyah juga ialah kitab (عثمانلي مؤلفلري أو تراجم المؤلفين العثمانيين) oleh Syeikh Muhammad Tahir Bek Brusliy, kitab (التحرير الوجيز فيما يبتغيه المستجيز) oleh Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari, kitab (خلاصة الأثر في أعيان القرن الحادي عشر) oleh al-‘Allamah al-Muhibbi, kitab (سلك الدرر في أعيان القرن الثاني عشر) oleh al-‘Allamah al-Muradi dan lain-lain.

Tulisan ini akan membuktikan kesilapan sangkaan berkenaan dengan memberi tumpuan secara khusus kepada institusi syeikhul-Islam di dalam Kerajaan  ‘Uthmaniyyah.

Jawatan dan Peranan Syeikhul-Islam

Jika Universiti al-Azhar Mesir terkenal dengan syeikhul Azhar-syeikhul Azharnya (شيوخ الأزهر), Kerajaan ‘Uthmaniyyah terkenal dengan syeikhul Islam-syeikhul Islamnya (شيوخ الإسلام). Kesemua alim ulama tersebut berjalan tetap di atas landasan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Cuma bezanya, kebanyakan syeikhul Islam-syeikhul Islam Kerajaan ‘Uthmaniyyah adalah berfahaman Maturidiyyah, mengamalkan fiqh Hanafi dan bertariqat tasawwuf. Manakala syeikhul Azhar-syeikhul Azhar Mesir pula bebas berfahaman Asy‘ariyyah atau Maturidiyyah, mengamalkan mazhab fiqh empat yang berbeza-beza, serta bebas sama ada bertariqat tasawwuf ataupun tidak.

Syeikhul-Islam dalam Kerajaan ‘Uthmaniyyah dapat dianggap sebagai satu institusi agama tertinggi yang mempunyai kedudukan yang begitu istimewa di sisi khalifah/sultan. Secara rasmi, jumlah syeikhul-Islam yang pernah dilantik antara tahun 1424 sehingga tahun 1922 ialah kira-kira 131 orang syeikhul-Islam. Menurut al-‘Allamah al-Kawthari, seramai 127 orang. Kajian mengenai mereka dapat dirujuk dalam buku Osmanlı Șeyhülislâmları oleh Dr. Abdül Kadir Altunsu dalam bahasa Turki.

Jawatan mirip syeikhul-Islam atau asalnya mufti dalam Kerajaan ‘Uthmaniyyah bermula di zaman Sultan Murad II bin Muhammad I (1421 - 1444). Jawatan tersebut pertama kali dipegang oleh Mulla Şyamsüddin al-Fanari (1424 - 1430), seorang alim sufi yang begitu dihormati oleh Sultan Bayezid I (1389 - 1402). Kemudian konsep jawatan syeikhul-Islam telah diperkenalkan di zaman Sultan Muhammad al-Fatih (1451 - 1481). Jawatan ini akhirnya diiktiraf secara rasmi pada zaman Sultan Salim I bin Bayazid II (1512 – 1520). Dan syeikhul-Islam pertama secara rasmi ialah Syeikh Zenbilli ‘Ali Efendi (1503 - 1526).

                             
Syeikhul-Islam mestilah dilantik dari kalangan alim ulama yang paling alim, cerdik dan warak serta mampu membimbing khalifah dan rakyat ke arah kebaikan dan kesalehan. Antara syaratnya juga, ia mestilah orang yang pernah mempelajari ilmu agama dalam tempoh yang lama dan menerima berbagai ijazah dari alim ulama terkemuka. Ia juga mestilah orang yang berpengalaman dalam bidang pentadbiran berkaitan hal ehwal agama, serta mampu mengeluarkan fatwa dalam masalah-masalah agama dan maslahat umum. Syeikhul-Islam dalam Kerajaan ‘Uthmaniyyah turut dirujuk dalam semua perkara yang berkaitan dengan politik. Beliau juga boleh mencalonkan kepada sultan/khalifah calon-calon yang sesuai untuk menduduki jawatan-jawatan di dalam bidang kehakiman. Dalam kurun ke-19, syeikhul-Islam telah menjadi satu institusi besar yang mempunyai organisasinya yang tersendiri yang mengendalikan kesemua urusan berkaitan dengan agama kecuali pengurusan harta wakaf. Kedudukannya adalah sama taraf dengan kedudukan seorang menteri dan istimewanya ia dilantik oleh sultan/khalifah sendiri.

Dalam sesetengah rujukan berhubung biografi para syeikhul-Islam, pangkat sebagai ‘syeikhul-Islam’ tidak direkodkan, tetapi hanya disebut sebagai (مفتي الديار الرومية) iaitu ‘mufti Negara Rom’ yang sebenarnya merujuk kepada Kerajaan ‘Uthmaniyyah.

Dengan gabungan antara ulama’ dan umara’ ini, negara Islam dapat ditadbir dengan penuh adil, amanah dan toleransi. Misalnya, Sultan Salim I bin Bayazid II (1512 – 1520) pernah berhasrat untuk mengusir minoriti bukan Islam (Yahudi dan Kristian) dari Kerajaan ‘Uthmaniyyah, namun Syeikhul-Islam ‘Ali az-Zanbilli [Zenbilli ‘Ali Efendi] (w. 932H) telah melarang baginda dari berbuat demikian. Ini kerana mereka juga membayar jizyah sebagaimana orang Islam membayar zakat.

Adakalanya syeikhul-Islam juga keluar berjihad bersama-sama dengan sultan/khalifah memberi semangat kepada para mujahidin. Pernah ketika berlaku Peperangan Hungary, Sultan Muhammad III (1595 - 1603) hampir putus asa untuk mengalahkan tentera musuh yang amat ramai bilangannya, namun Syeikhul-Islam Muhammad Sa‘duddin at-Tibrizi al-Husaini (w. 1008H) [Hoca Sadettin Efendi (1598 - 1599)] telah memberi semangat kepada sultan dan tentera Islam dengan katanya: “Sesungguhnya kita hidup adalah untuk hari seperti ini… Kita mati dan tidak akan melihat kehinaan Islam!..”. Kata-kata ini telah membangkitkan semangat sultan dan tentera Islam, lalu mereka pun berjuang bermati-matian hinggalah akhirnya mereka berjaya memperoleh kemenangan.

Syeikhul-Islam Muhammad Sa‘duddin adalah keturunan Imam Baha’uddin Syah Naqsyaband al-Husaini, pembangun Tariqat Naqsyabandi yang terkenal. Malah ada 6 orang keturunan beliau yang pernah menjawat jawatan syeikhul-Islam ini. (Maqalat al-Kawthari, hlm. 578)

Bagaimanapun, setelah kebangkitan gerakan sekular Turki, jawatan syeikhul-Islam ini telah dihapuskan bersama hapusnya sistem kesultanan/khalifah di tangan Mustafa Kamal Ataturk pada akhir tahun 1922. Ketika itu jawatan syeikhul-Islam dipegang oleh Madani Muhammad Nuri Efendi [Syeikh Muhammad Nuri al-Madani] (1920 - 1922) sebagai syeikhul-Islam yang terakhir dalam Dinasti ‘Uthmaniyyah.

Gerakan sekular ini sebelumnya, banyak menerima tentangan dari ramai alim-ulama Turki seperti Syeikh Badi‘uz Zaman Sa‘id Nursî (1878 – 1960), termasuk syeikhul Islam-syeikhul Islam Kerajaan ‘Uthmaniyyah seperti Syeikh ‘Abdullah Dürri zade (m. 1923) dan Syeikh Mustafa Sabri (1869-1954). Syeikhul-Islam Mustafa Sabri misalnya, merupakan tokoh ulama terkenal yang banyak menghabiskan hidupnya berjuang menentang gerakan sekular Turki sehingga akhirnya beliau sendiri terpaksa melarikan diri dari Turki ke Mesir kerana ancaman jahat mereka. Dalam keadaan bersusah payah, beliau turut menerima kecaman hebat sewaktu di Mesir daripada mereka yang terpengaruh dengan pembaharuan moden Mustafa Kamal Ataturk. (lihat: Mustafa Sabri al-Mufakkir al-Islami wal ‘Alim al-‘Alami wa Syaykh al-Islam oleh Dr. Mufarrih Sulaiman al-Qawsi)

Jawatan syeikhul-Islam ini pernah memberi pengaruh yang begitu luas hinggakan sampai jauh ke sebelah timur, khususnya ke Tanah Melayu. Misalnya, Raja Ali Kelana dari Riau (m. 1927) pernah dilantik menjadi Syeikhul-Islam Johor, Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani (m. 1956) sebagai Syeikhul-Islam Selangor, Syeikh Muhammad Saleh al-Minankabawi (m. 1933) sebagai Syeikhul-Islam Perak dan sebagainya.

Sumbangan Intelektual

Seramai kira-kira 131 orang syeikhul-Islam sepanjang pemerintahan Empayar ‘Uthmaniyyah bukanlah satu jumlah bilangan yang sedikit. Setiap seorang mempunyai tugas dan peranan masing-masing yang bersesuaian menurut zaman dan juga tempatnya. Sudah tentu untuk menghuraikannya secara terperinci memerlukan kepada lembaran kertas yang begitu panjang berjela. Jika digabungkan pula dengan tokoh-tokoh alim ulama lain yang muncul dalam sepanjang era Empayar ‘Uthmaniyyah, maka sumbangan intelektual yang telah diberikan oleh mereka bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh.

Keterangan berikut hanyalah sebahagian kecil daripada contoh-contoh tentang sumbangan intelektual yang telah diberikan oleh mereka.
                      
-          Syeikhul-Islam Syamsuddin Ahmad Ibnu Kamal Basya (w. 940H) [Kemal paşa zade Ahmed Şemsettin Efendi] (1526 - 1534) adalah antara ulama Empayar ‘Uthmaniyyah yang terkenal. Beliau merupakan seorang tokoh ulama prolifik yang telah mengarang lebih dari 350 karya dalam pelbagai bidang seperti tafsir, hadis, fiqh, usul, akidah, lughah, sejarah, falsafah, mantiq dan sebagainya. Antaranya seperti (تفسير القرآن), (شرح صحيح البخاري), (طبقات الفقهاء), (طبقات المجتهدين), (إيضاح الاصلاح), (حواش على الكشاف), (الاصلاح والايضاح), (تجريد التجريد), dan lain-lain.

-          Syeikhul-Islam Ebus Suud Efendi (1545 - 1574) atau nama penuhnya Abu al-Su‘ud Muhammad bin Muhammad bin Mustafa al-‘Imadi (w. 982H) merupakan tokoh tafsir yang terkenal dengan kitab tafsirnya (إرشاد العقل السليم إلى مرايا الكتاب الكريم) atau Tafsir Abi al-Su‘ud. Antara karya beliau yang lain ialah (تحفة الطلاب), (رسالة في المسح على الخفين), (تسجيل الاوقاف) dan lain-lain. Beliau amat disegani dan dihormati oleh sultan. Makamnya terletak berhampiran dengan makam Abu Ayyub al-Ansari RA di Turki.

-          Syeikhul-Islam Syamsuddin Ahmad bin Mahmud al-Adranawi (w. 988H) yang masyhur dengan panggilan ‘Qadhi Zadeh’ [Kadı zade Ahmed Şemseddin Efendi (1577 - 1580)] telah mengarang sejumlah kitab berharga, antaranya (نتائج الافكار في تكملة فتح القدير لابن الهمام), (حاشية على شرح المفتاح), (حاشية على شرح الوقاية لصدر الشريعة) dan lain-lain.

-          Syeikhul-Islam Yahya bin ‘Umar al-Minqari (w. 1088H) [Minkari zade Yahya Efendi (1662 - 1674)] pernah menjadi qadhi di Mesir, Makkah dan juga Istanbul sebelum diangkat menjadi syeikhul-Islam. Antara hasil karya karangannya ialah (حاشية على تفسير البيضاوي), (رسالة الاتباع في مسألة الاستماع), (الرسالة المنيرة لاهل البصيرة), (الفتاوي), (تحريرات التقريرات في آداب البحث), dan sebagainya.

-          Syeikhul-Islam Ahmad ‘Arif Hikmet Efendi (1846 - 1854) merupakan tokoh ulama ‘Uthmaniyyah yang berketurunan Saidina Husain bin ‘Ali RA, selain 6 orang tokoh syeikhul-Islam dari keturunan Imam Baha’uddin Syah Naqsyaband al-Husaini. Antara karyanya (الاحكام المرعية في الاراضي الاميرية), (مجموعة تراجم لعلماء القرن الثالث عشر) dan sebuah diwan syair di dalam bahasa Arab, Turki dan Parsi. Beliau telah mendirikan sebuah perpustakaan besar di Madinah yang masyhur dengan nama ‘Maktabah ‘Arif Hikmat’. Perpustakaan ini begitu terkenal hingga ke hari ini kerana nilai khazanahnya yang tinggi. Beliau telah mengumpulkan dan mewakafkan lebih dari 5,000 buah kitab di dalamnya. Riwayat hidup beliau telah dirakam oleh Syeikh Mahmud al-Alusi di dalam kitabnya (شهي النغم في ترجمة عارف الحكم).

-          Syeikh Mustafa Sabri (m. 1954) bukan sahaja masyhur sebagai tokoh ulama pejuang dalam bidang politik. Beliau juga terkenal dalam bidang akidah, pemikiran dan falsafah Islam. Antara karya agungnya (masterpiece) ialah (موقف العقل والعلم والعالم من رب العالمين وعباده المرسلين) setebal 4 jilid yang telah diterjemahkan kepada beberapa bahasa lain. Karya beliau yang lain adalah seperti (النكير على منكري النعمة), (موقف البشر تحت سلطان القدر), (مسألة ترجمة القرآن) dan lain-lain.

Manakala sumbangan tokoh-tokoh yang bukan syeikhul-Islam, antaranya ialah:

-          Guru Sultan Muhammad al-Fatih, iaitu Syeikh Ahmad bin Isma‘il al-Kurani (w. 893H) yang pernah digelar oleh Sultan Muhammad al-Fatih sebagai ‘Abu Hanifah Zamannya’ kerana keilmuan beliau yang tinggi. Antara karya utama yang dihasilkannya ialah (غاية الاماني في تفسير السبع المثاني), (الدرر اللوامع في شرح جمع الجوامع للسبكي), (الكوثر الجاري شرح صحيح البخاري) dan lain-lain.

-          Antara guru Sultan Muhammad al-Fatih juga ialah Syeikh Mustafa bin Yusuf al-Brusawi yang masyhur dengan nama ‘Khawajah Zadeh’ (w. 893H). Kerana kemahirannya dalam bidang falsafah, Sultan Muhammad al-Fatih telah meminta beliau membuat komparatif antara kitab Tahafut al-Falasifah oleh al-Ghazali dan kitab Tahafut al-Hukama’ oleh Ibn Rusyd. Lalu beliau menghasilkan kitab (التهافت في المحاكمة بين تهافت الفلاسفة للغزالي وتهافت الحكماء لأبي الوليد ابن رشد).

-          Seorang lagi guru Sultan Muhammad al-Fatih yang dikagumi beliau dan menjadi pendorong utama kepadanya membuka Kota Konstantinopel ialah Syeikh Aq Syamsuddin Muhammad bin Hamzah al-Dimasyqi (w. 863H). Beliau bukan sahaja guru kerohanian yang masyhur, malah seorang tabib dan herbalis yang handal. Beliau telah mengarang dua buah kitab di dalam bahasa Turki mengenainya iaitu (مادة الحياة) dan (كتاب الطب). Karyanya di dalam bahasa Arab diketahui ada tujuh buah iaitu (حل المشكلات), (الرسالة النورية), (رسالة في ذكر الله), (مقالات الأولياء), (تلخيص المتائن), (دفع المتائن) dan (رسالة في شرح حاجي بايْرَام ولي).

-          Syeikh Mustafa bin ‘Abdullah al-Hanafi (w. 1067H) yang masyhur dengan nama Haji Khalifah terkenal dengan kitabnya (كشف الظنون عن أسامي الكتب والفنون) yang merekodkan sebahagian besar maklumat berkaitan khazanah kitab-kitab Islam. Beliau telah merekodkan kira-kira 15,000 buah karya ulama yang dihimpunkan dalam tempoh lebih kurang 20 tahun. Tentunya ia bukanlah satu usaha yang mudah. Kitab ini telah menjadi rujukan penting bagi para pengkaji ilmu sehingga ke hari ini.

-          Syeikh ‘Abdullah bin Muhammad bin Yusuf yang masyhur dengan nama ‘Yusuf Efendi Zadeh’ (w. 1167H) merupakan seorang alim yang mahir dalam bidang tafsir dan hadis. Antara kitabnya ialah (الائتلاف في وجوه الاختلاف في القراآت العشر), (زبدة العرفان في وجوه القرآن), (حاشية على أنوار التنزيل للبيضاوي), (حاشية على العقائد النسفية), (عناية الملك المنعم في شرح صحيح مسلم), (نجاح القاري في شرح صحيح البخاري) yang terdiri daripada 20 jilid dan sebagainya.

-          Syeikh Isma‘il bin Mustafa al-Kalanbawi (w. 1205H), seorang alim yang mahir dalam bidang kejuruteraan, matematik, algebra, geometri, mantiq, paleontologi dan sebagainya. Antara karya beliau seperti (حاشية على شرح العضدية للدواني), (حاشية على تهذيب المنطق), (رسالة الإمكان), (العمل بالربع المجيب) dan lain-lain.

-          Syeikh Ahmad Dhiya’uddin al-Kumusykhanawi al-Naqsyabandi (w. 1311H) merupakan seorang alim hadis yang jarang ditemukan galang gantinya. Beliau mempunyai sebuah syarikat percetakan yang mencetak kitab-kitab hadis dan agama, malah mengedarkannya secara percuma kepada ulama dan ahli ilmu yang miskin. Beliau juga telah membina 3 buah perpustakaan yang dibuka secara umum kepada masyarakat. Beliau telah mengarang lebih kurang 50 buah karya, antaranya seperti  (العابر في الانصاري والمهاجر), (لوامع العقول شرح جامع الاصول) dalam 5 jilid, (راموز الاحاديث) yang pernah dikhatamkan sebanyak 70 kali dan sebagainya.

Terlalu ramai sekali untuk disebutkan tokoh-tokoh yang muncul dalam era Empayar ‘Uthmaniyyah ini seperti Syeikh Muhammad Jamal al-Khalwati yang terkenal dengan panggilan ‘Celebi Sultan’ [Qutub Rabbani] (w. 899H) guru kerohanian yang masyhur, Syeikh Isma‘il Haqqi al-Jalwati al-Hanafi (w. 1137H) pengarang  kitab Ruh al-Bayan fi Tafsir al-Quran dan telah mengarang lebih dari 100 karya, Syeikh Ahmad Syakir bin Khalil al-Husaini (w. 1315H) yang telah melahirkan 500 orang ulama di bawah asuhannya, Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari (w. 1371H) yang terkenal kepakarannya dalam bidang akidah dan seni hadis, Syeikh Badi‘uz Zaman Sa‘id Nursî (m. 1960) yang terkenal dengan ‘Rasa’il al-Nur’nya dan ramai lagi.

Pada tahun 1876 (1293H), Kerajaan ‘Uthmaniyyah telah menerbitkan akta undang-undang syariah Islam yang telah digubal selama 7 tahun dengan judul: Majallah al-Ahkam al-'Adliyyah (sebagai Hukum Sivil Kerajaan ‘Uthmaniyyah) di bawah seliaan Syeikh Ahmad Judah Basya. Ia mengandung 16 buah kitab dan dianggap sebagai akta undang-undang syariah Islam pertama yang digubal sedemikian rupa, meskipun kebanyakannya merujuk kepada fiqh Mazhab Hanafi.

Justeru berdasarkan penjelasan di atas, dapat kita ketahui bahawa dakwaan yang menyangkakan hampir tidak ada ilmuwan terkemuka yang muncul daripada dinasti ini atau tiada sumbangan intelektual penting yang diberikan kepada dunia Islam daripada dinasti ini adalah satu dakwaan yang tiada asas serta tidak benar sama sekali.

Senarai Syeikhul-Islam:

Berikut adalah senarai perlantikan syeikhul-Islam dalam Kerajaan ‘Uthmaniyyah menurut kronologi. Penulis hanya dapat menemukannya di dalam bahasa Turki dan telah membuat sedikit suntingan.

Nota:
* Efendi (أفندي) dalam bahasa Turki merupakan gelaran yang diberi kepada orang yang mempunyai ikhtisas dalam bidang ilmu agama.
* Zade (زاده) dalam bahasa Turki bermaksud ‘anak’. Maka perlu diketahui, nama Zekeriya zade Yahya Efendi misalnya, adalah bermaksud Syeikh Yahya ibn Zakariyya, bukannya Zakariyya bin Yahya Efendi.

[Osmanlı şeyhülislamları listesi]

  1. Mulla Şemsüddin-i Fenari (1424 - 1430)
  2. Mulla Fahreddin Acemi (1430 - 1460)
  3. Mulla Hüsrev (1460 - 1480)
  4. Mulla Gürâni (1480 - 1488)
  5. Mulla ‘Abdül kerim (1488 - 1495)
  6. Alaeddin Çelebi (1495 - 1496)
  7. Efdal zade Hamideddin (1496 - 1503)
  8. Zenbilli ‘Ali Efendi (1503 - 1526)
  9. Kemal paşa zade Ahmed Şemseddin Efendi (1526 - 1534)
  10. Sadullah Sadi Efendi (1534 - 1539)
  11. Çivi zade Muhiddin Muhammad Efendi (1539 - 1542)
  12. Hamidi ‘Abdül kadir Efendi (1542 - 1543)
  13. Feneri zade Muhiddin Efendi (1543 - 1545)
  14. Ebus suud Efendi (1545 - 1574)
  15. Hamid Mahmud Efendi (1574 - 1577)
  16. Kadı zade Ahmed Şemseddin Efendi (1577 - 1580)
  17. Malul zade Muhammad Efendi (1580 - 1582)
  18. Çivi zade Hacı Muhammad Efendi (1582 - 1587)
  19. Müeyyed zade ‘Abdül kadir Efendi (1587 - 1589)
  20. Bostan zade Muhammad Efendi (1589 - 1592)
  21. Bayram zade Hacı Zekeriya Efendi (1592 - 1593)
  22. Bostan zade Muhammad Efendi (1593 - 1598) (2. kali)
  23. Hoca Sadeddin Efendi (1598 - 1599)
  24. Hacı Mustafa Sunullah Efendi (1599 - 1601)
  25. Hoca sadeddin zade Muhammad Çelebi Efendi (1601 - 1603)
  26. Hacı Mustafa Sunullah Efendi (1603)
  27. Ebül meyamin Mustafa Efendi (1603 - 1604)
  28. Hacı Mustafa Sunullah Efendi (1604 - 1606)
  29. Ebül meyamin Mustafa Efendi (1606) (2. kali)
  30. Hacı Mustafa Sunullah Efendi (1606 - 1608) (4. kali)
  31. Hoca sadeddin zade Muhammad Çelebi Efendi (1608 - 1615) (2. kali)
  32. Hoca sadeddin zade Muhammad Esat Efendi (1615 - 1622)
  33. Zekeriya zade Yahya Efendi (1622 - 1623)
  34. Hoca sadeddin zade Muhammad Esat Efendi (1623 - 1625) (2. kali)
  35. Zekeriya zade Yahya Efendi (1625 - 1632)
  36. Ahi zade Hüseyin Efendi (1632 - 1634)
  37. Zekeriya zade Yahya Efendi (1634 - 1644) (3. kali)
  38. Esat paşa zade Ebu Sait Muhammad Efendi (1644 - 1646)
  39. Muid Ahmed Efendi (1646 - 1647)
  40. Hacı ‘Abdür rahim Efendi (1647 - 1649)
  41. Bahai Muhammad Efendi (1649 - 1651)
  42. Karaçelebi zade ‘Abdül aziz Efendi (1651)
  43. Esat efendi zade Ebu Sait Muhammad Efendi (1651 - 1652)
  44. Bahai Muhammad Efendi (1652 - 1654) (2. kali)
  45. Esat efendi zade Ebu Sait Muhammad Efendi (1654 - 1655) (2. kali)
  46. Hüsam zade Abdur rahman Efendi (1655 - 1656)
  47. Memik zade Mustafa Efendi (1656)
  48. Hoca zade Mesut Efendi (1656)
  49. Hanefi Muhammad Efendi (1656)
  50. Bali zade Mustafa Efendi (1656 - 1657)
  51. Bolevi Mustafa Efendi (1657 - 1659)
  52. Esiri Muhammad Efendi (1659 - 1662)
  53. Suni zade Seyit Muhammad Emin Efendi (1662)
  54. Minkari zade Yahya Efendi (1662 - 1674)
  55. Çatalcalı ‘Ali Efendi (1674 - 1686)
  56. Ankaravi Muhammad Emin Efendi (1686 - 1687)
  57. Debbağ zade Muhammad Efendi (1687 - 1688)
  58. Hacı Feyzullah Efendi (1688)
  59. Debbağ zade Muhammad Efendi (1688 - 1690) (2. kali)
  60. Ebu sait zade Feyzullah Feyzi Efendi (1690 - 1692)
  61. Çatalcalı ‘Ali Efendi (1692) (2. kali)
  62. Ebu sait zade Feyzullah Feyzi Efendi (1692 - 1694) (2. kali)
  63. Sadık Muhammad Efendi (1694 - 1695)
  64. İmam Muhammad Efendi (1695)
  65. Hacı Feyzullah Efendi (1695 - 1703) (2. kali)
  66. Paşmakçı zade Seyit ‘Ali Efendi (1703)
  67. Yekçeşm Hüseyin Efendi (1703)
  68. İmam Muhammad Efendi (1703 - 1704) (2. kali)
  69. Paşmakçı zade Seyit ‘Ali Efendi (1704 - 1707)
  70. Sadık Muhammad Efendi (1707 - 1708) (2. kali)
  71. Ebe zade ‘Abdullah Efendi (1708 - 1710)
  72. Paşmakçı zade Seyit ‘Ali Efendi (1710 - 1712) (3. kali)
  73. Ebe zade ‘Abdullah Efendi (1712 - 1713) (2. kali)
  74. Muhammad ‘Ataullah Efendi (1713)
  75. İmam Mahmud Efendi (1713 - 1714)
  76. Mirza Mustafa Efendi (1714 - 1715)
  77. Menteş zade ‘Abdür rahman Efendi (1715 - 1716)
  78. Ebu İshak İsmail Naim Efendi (1716 - 1718)
  79. Yenişehirli ‘Abdullah Efendi (1718 - 1730)
  80. Mirza zade Şeyh Muhammad Efendi (1730 - 1731)
  81. Paşmakçı zade ‘Abdullah Efendi (1731 - 1732)
  82. Damat zade Ebul hayr Ahmed Efendi (1732 - 1733)
  83. Ebu ishak zade İshak Efendi (1733 - 1734)
  84. Dürri Muhammad Efendi (1734 - 1736)
  85. Seyit Mustafa Efendi (1736 - 1745)
  86. Piri zade Muhammad Sahip Efendi (1745 - 1746)
  87. Hayati zade Muhammad Emin Efendi (1746)
  88. Seyit Muhammad Zeynel abidin Efendi (1746 - 1748)
  89. Ebu ishak zade Muhammad As‘ad Efendi (1748 - 1749)
  90. Muhammad Sait Efendi (1749 - 1750)
  91. Seyit Murtaza Efendi (1750 - 1755)
  92. Abdullah Vassaf Efendi (1755)
  93. Damat zade Feyzullah Efendi (1755 - 1756)
  94. Dürri zade Mustafa Efendi (1756 - 1757)
  95. Damat zade Feyzullah Efendi (1757 - 1758) (2. kali)
  96. Muhammad Salih Efendi (1758 - 1759)
  97. Çelebi zade İsmail Asım Efendi (1759 - 1760)
  98. Hacı Veliyeddin Efendi (1760 - 1761)
  99. Tirevi Ahmed Efendi (1761 - 1762)
101.    Hacı Veliyeddin Efendi (1757 - 1768) (2. kali)
105.    Dürri zade Mustafa Efendi (1774) (3. kali)
109.    Muhammad Şerif Efendi (1778 - 1782)
110.    Seyit İbrahim Efendi (1782 - 1783)
112.    İvazpaşa zade İbrahim Bey Efendi (1785) (2. kali)
116.    Mekki Muhammad Efendi (1787 - 1788)
121.    Mekki Muhammad Efendi (1791 - 1792) (2. kali)
122.    Dürri zade Seyit Muhammad Arif Efendi (1792 - 1798) (2. kali)
123.    Mustafa Aşir Efendi (1798 - 1800)
130.    Salih zade Ahmed Esat Efendi (1808) (2. kali)
132.    Sâmâni zade Ömer Hulusi Efendi (1810 - 1812) (3. kali)
133.    Dürri zade Seyit ‘Abdullah Efendi (1812 - 1815) (2. kali)
136.    Hacı Halil Efendi (1819 - 1821)
141.    Yasinci zade ‘Abdül Wehhab Efendi (1828 - 1833) (2. kali)
142.    Mekki zade Mustafa Asım Efendi (1833 - 1846) (3. kali)
143.    Ahmed ‘Arif Hikmet Bey Efendi al-Husaini (1846 - 1854).
148.    Hasan Fehmi Efendi (1868 - 1871)
152.    Hasan Fehmi Efendi (1874 - 1876) (2. kali)
153.    Hasan Hayrullah Efendi (1876 - 1877) (2. kali)
154.    Kara Halil Efendi (1877 - 1878)
155.    Ahmed Muhtar Molla Bey Efendi (1878) (2. kali)
162.    Musa Kazım Efendi (1910 - 1911)
163.    Abdur rahman Nesip Efendi (1911 - 1912)
164.    Muhammed Cemaleddin Efendi (1912 - 1913) (2. kali)
165.    Muhammad Esat Efendi (1913 - 1914)
167.    Musa Kazım Efendi (1916 - 1918) (2. kali)
168.    Ömer Hulusi Efendi (1918)
170.    Mustafa Sabri Efendi (1919)
171.    Haydari zade İbrahim Efendi (1919 - 1920) (2. kali)
173.    Mustafa Sabri Efendi (1920) (2. kali)

Sumber: Wikipedia.

No comments: