Pages

Thursday, January 10, 2013

Syeikh al-Musnid as-Sayyid Malik bin al-‘Arabi as-Sanusi



Beliau kembali ke rahmatullah pada malam Selasa 26hb. Safar 1434H bersamaan 7hb. Januari 2013 di Madinah al-Munawwarah dalam usia kira-kira 82 tahun. Jenazahnya telah disembahyangkan di Masjid Nabawi selepas solat zohor.

Nama lengkapnya as-Sayyid Malik bin al-‘Arabi bin Ahmad as-Syarif bin Muhammad as-Syarif bin al-Imam Muhammad bin ‘Ali as-Sanusi al-Idrisi al-Hasani al-Maliki.

Beliau telah berhijrah dari Libya ke Madinah disebabkan tekanan daripada Rejim Gadafi dan telah tinggal di Madinah selama lebih dari 25 tahun. Beliau adalah nazir Wakaf as-Sadah as-Sanusiyyah di Madinah. Banyak menghafal syair. Adakalanya beliau menyampaikan sebuah qasidah yang terdiri daripada 100 bait syair tanpa terkurang satu bait pun. Beliau begitu istiqamah dalam menjalani hidup mengikut manhaj datuk dan moyangnya, iaitu menghimpunkan antara tasawuf dan hadis serta berpegang kuat dengan as-sunnah.

Oleh kerana beliau antara pemegang sanad hadis dan keilmuan yang tertinggi pada masa kini, maka ramailah penuntut ilmu dan ilmuwan yang datang kepada beliau meminta ijazah sanad daripadanya. Beliau tidak jemu untuk memperdengarkan atau mendengar riwayat-riwayat yang disampaikan kepada orang-orang yang datang kepadanya.

Syeikh Dr. Nafi‘ bin al-‘Arabi as-Sanusi yang bermukim di Mesir kini adalah adik beradik beliau.

رحمه الله رحمة الأبرار وأسكنه جنات تجري من تحتها الأنهار
وإنا لله وإنا إليه راجعون،

Rujukan biografi: sini

No comments: