Pages

Tuesday, March 26, 2013

Ustaz Muhammad Uthman el-Muhammady رحمه الله

- Daripada laman Ustaz Nik Roskiman (link)


ulamaKUALA LUMPUR – 25 Mac, setelah dunia dikejutkan dengan pemergian ulama tersohor, Sheikh Dr. Said Ramadhan al-Buti pada 22 Mac lalu, negara pula kehilangan seorang ulama besar bila Dr Muhammad Uthman El-Muhammady meninggal dunia di kediamannya di ISTAC, Taman Duta di sini petang tadi. Beliau dipercayai meninggal disebabkan serangan jantung. Allahyarham sebelum ini dilaporkan pernah diserang strok.
Penerima anuagerah Tokoh Maal Hijrah 2005 ini pernah menjadi Fellow Kehormat IKIM dari 1995-2008. Beliau kini berkhidmat sebagai Fellow Amat Utama Akademik ISTAC-UIAM.
Tan Sri Prof. Dr Mohd. Kamal Hassan yang ditemui ketika menziarahi keluarga memaklumkan bahawa Solat Jenazah akan diadakan di Masjid UIAM Gombak selepas Solat Zuhur esok, Selasa dan sejurus selepas itu jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UIAM.  Turut hadir di kediaman arwah ialah Dekan ISTAC, Prof. Dr Ismawi Hj Zen, Dekan IRKHS  UIAM Prof. Dato’ Dr Mahmud Zuhdi dan ramai lagi.
Ustaz Muhammad ‘Uthman El-Muhammady (dilahirkan di Kampong Telok, Panji, Kota BharuKelantan Darulnaim pada 1 Februari 1943) adalah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1426 H pada 10 Februari 2005.[1]
Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu, sebelum memasuki Special Malay Class pada tahun 1943 di Sekolah Sultan Ismail, yang kemudiannya menjadi Maktab Sultan Ismail, atau Sultan Ismail College hingga ke Tingkatan 5. Beliau kemudian mengambil Higher School Certificate (HSC) di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Star Kedah.
Pada tahun 1963, beliau memasuki Universiti Malaya Kuala Lumpur dan mendapat B.A. dalam Pengajian Islam tahun 1966. Kemudian beliau menjadi tutor dan mendapat M.A. tahun 1969.
Beliau terus mengajar di Jabatan Pengajian Islam UM hingga ke tahun 1973 apabila beliau kembali ke Kelantan untuk menumpu masa sebagai seorang penulis dan pendakwah bebas hingga sekarang.
Pada tahun 1995, beliau dikurniakan Ijazah Doktor Persuratan Kehormat (D. Litt.) oleh Universiti Sains Malaysia (USM) kerana usaha-usaha dan penulisannya dalam pemikiran Islam dan dakwah.
Minat kajian beliau adalah di dalam:
  • Bidang ilmu-ilmu Islam dan falsafah Barat
  • Pemikiran semasa dan pandangan Islam tentangnya
  • Akidah Sunni, faham ilmunya dan pandangan hidupnya
Beliau banyak menumpukan masanya di dalam masyarakat setempat dengan melaksanakan pengajian kitab di masjid-masjid sekitar Pasir Mas dan Kota Bharu, Kelantan selain dari menunaikan jemputan ceramah di merata tempat.
Di antara penulisannya yang telah dihasilkan beliau ialah:
  • “Al-Quranul-Karim, terjemahan dan Huraian Maksud” - terjemahan dan huraian tambahan atas tafsir Inggeris oleh Abdullah Yusuf Ali, keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (5 jilid).
  • “Fathul Mu’in, terjemahan dan Huraian Maksud”, terbitan Majlis Ugama Islam Negeri Kelantan, Kota Bharu, Kelantan.
  • “Peradaban dalam Islam” terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, edisi 1976 dan beberapa cetak-ulang.
  • “Memahami Islam” terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan, 1977.
  • “Islam, Peribadi, Tarbiah dan Institusi” terbitan Majlis Ugama Islam Kelantan, 1987.
  • “Islam dan Kebudayaan” risalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berdasarkan kepada wacana tentang kebudayaan yang disampaikan pada tahun 1989 di Kuala Lumpur.
Tulisan-tulisan beliau banyak dimuatkan di blog http://blogtraditionalislam.wordpress.com.
Moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah.

Sumber: disunting dari Wikipedia

No comments: