Pages

Saturday, June 29, 2013

Prof. Dr. Ibrahim ‘Abdur Rahman Khalifah رحمه الله


Universiti al-Azhar kehilangan lagi seorang tokoh yang disegani dalam bidang ilmu al-Quran dan tafsir iaitu Prof. Dr. Ibrahim ‘Abdur Rahman Khalifah. Beliau dianggap sebagai syeikhul mufassirin di Mesir. Beliau meninggal dunia pada hari Sabtu 13hb. Syaaban 1434H bersamaan 22 /6/2013 yang lalu dalam usia kira-kira 72 tahun. 

Dilahirkan pada tahun 1940 di daerah Kafr as-Syeikh, Mesir. Beliau telah menghafal al-Quran semasa kanak-kanak lagi. Beliau mempelajari pelbagai ilmu di al-Azhar sehinggalah berjaya ke peringkat Ph.D dalam bidang Tafsir dan ‘Ulum al-Quran pada tahun 1973.

Antara tugas yang disandangnya ialah sebagai ketua Jabatan Tafsir di Fakulti Usuluddin, Kaherah. Beliau pernah bertugas di Universiti Yarmouk, Jordan. Sebelumnya beliau juga pernah dipinjamkan ke Arab Saudi dan Algeria (Universiti al-Amir ‘Abdul Qadir).

Dr. Ibrahim menjadi tempat rujukan bagi berbagai permasalahan ilmu manqul dan ma‘qul yang rumit. Keluasan ilmunya disanjung oleh ramai tokoh ilmuwan. Antaranya, Syeikh al-‘Allamah Sa‘id Fudah menyanjung dalam laman forumnya: “Syeikh kami, al-‘Allamah, al-Usuli, al-Mufassir, al-Balaghi, yang mahir dalam pelbagai seni ilmu sama ada yang manqul dan ma‘qul, yang tidak pernah kami lihat orang lain yang seumpamanya di zaman ini, Syeikh Dr. al-‘Allamah, baki golongan Salaf dari kalangan muhaqqiqin,…”, “… Saya sering merujuk kepada beliau dalam berbagai permasalahan ilmu yang sukar. Saya akan meminta pandangannya dalam hal-hal kemusykilan dan isu-isu rumit yang dihadapi, yang memang memerlukan pandangan tokoh-tokoh besar seumpama beliau”.

Hasil Karya:
Antara karya yang dihasilkannya;
  1. (تفسير سورة النساء تفسيرا تحليليا)
  2. (تفسير سورة النور)
  3. (حواشيه على تفسير الإمام النسفي)
  4. (الدخيل في التفسير)
  5. (منة المنان في علوم القرآن)
  6. (التفسير الموضوعي )
  7. (دراسات في القرآن)
  8. (موسوعة علوم القرآن الكريم)
  9. (الإحسان في علوم القرآن)
  10. (دراسات في مناهج المفسرين)
  11. (الشجاعة الأدبية في القرآن)
  12. (حقوق المرأة وواجباتها في القرآن)
  13. (المعية في القرآن)
  14. dan lain-lain lagi..
 Faedah Ilmiah:
Sebagai pati kepada kepakaran dan pengalamannya, beliau pernah ditanya tentang apakah kitab tafsir yang terbaik untuk dibaca bagi orang yang ahli dan orang yang bukan ahli? Jawabnya, “Bagi orang yang ahli hendaklah membaca kitab tafsir yang paling lengkap dan padat perbahasannya dalam semua sudut iaitu tafsir Ruh al-Ma‘ani oleh al-Alusi. Begitu juga sebelumnya kitab Irsyad al-‘Aql al-Salim oleh al-‘Allamah Abu as-Su‘ud. Ia juga perlu membaca kitab yang bersifat klasik dan moden iaitu tafsir at-Tahrir wat Tanwir oleh Ibn ‘Asyur. Kitab-kitab ini adalah kitab-kitab tafsir yang unggul dan berharga bagi orang yang ahli. Manakala bagi orang yang bukan ahli, boleh membaca kitab-kitab yang ia mampu seperti Tafsir al-Jalalain dan at-Tafsir al-Wadhih oleh Syeikh Muhammad Hijjazi, sebuah kitab tafsir yang mudah. Mungkin juga boleh membaca tafsir Dr. Wahbah az-Zuhaili berjudul al-Wasit...”.

وإنا لله وإنا إليه راجعون 
رحمه الله تعالى رحمة واسعة

Rujukan:
-          tafsir.net
-          aslein.net


No comments: