Ulama terkenal dunia, Dr. Wahbah az-Zuhaili telah pulang ke rahmatullah pada petang Sabtu, 8 Ogos 2015 pada usia 83 tahun.
Biografi Dr. Wahbah az-Zuhaili
http://kenaliulama.blogspot.com/2011/11/prof-dr-wahbah-al-zuhayli-mufassir-dan.html
(dengan suntingan)
Muqaddimah:
Wahbah al-Zuhayli merupakan seorang tokoh ulama abad ke-20 yang terkenal dari Syria. Namanya sebaris dengan tokoh-tokoh tafsir dan fuqaha yang telah berjasa dalam dunia keilmuan Islam abad ke-20 seperti Thahir Ashur yang mengarang tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, Said Hawwa dalam al-Asas Fi al-Tafsir, Sayyid Qutb dalam Fi Zilal al-Quran. Sementara dari segi fuqaha, namanya sebaris dengan Muhammad Abu Zahrah, Mahmud Syaltut, Ali Muhammad al-Khafif, Abdul Ghani Abdul Khaliq dan Muhammad Salam Madkur.
Latarbelakang:
Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayli dilahirkan di sebuah desa Dir Atiyyah, daerah Qalmun, Damsyiq, Syria pada tahun 6 Mac 1932/1351. Bapanya Haji Mustafa al-Zuhayli merupakan seorang yang terkenal dengan kesolehan dan ketakwaan. Beliau bekerja sebagai petani dan peniaga dan sentiasa memberi semangat kepada anak-anaknya untuk menuntut ilmu. Bapanya seorang hafiz yang sentiasa membaca al-Quran setiap malam dari jam dua pagi sehingga terbit fajar. Ibunya bernama Hajah Fatimah bin Mustafa Sa’adah, seorang yang kuat berpegang kepada ajaran agama. Beliau meninggal dunia pada 13 Mac 1984.
Pendidikan :
Beliau mendapat didikan awal peringkat rendah dan kuttab (tadika) di desanya. Pada tahun 1946, beliau memasuki peringkat menengah di Kolej Syariah di Damsyiq selama enam tahun sehingga tahun 1952. Wahbah al-Zuhayli telah berjaya mendapat pangkat cemerlang dalam peringkat menengah tersebut sebelum berhijrah ke bumi Mesir. Di Mesir, beliau belajar dengan memasuki beberapa kuliah dalam beberapa universiti di Kaherah dalam waktu yang sama iaitu kuliah Syariah dan kuliah Bahasa Arab di Universiti al-Azhar dan kuliah Undang-Undang di Universiti Ain Syam. Ketika itu, beliau memperolehi ijazah seperti berikut :
1. Ijazah B.A dalam Kuliah Syariah Universiti al-Azhar pada tahun 1956. Beliau mendapat tempat pertama dari kalangan keseluruhan pelajar.
2. Ijazah Takhasus Pendidikan dari Kuliah Bahasa Arab Universiti al-Azhar pada tahun 1957.
3. Ijazah B.A Dari Kuliah Undang-Undang dari Universiti Ain Syam pada tahun 1957.
Dalam masa lima tahun beliau telah memperolehi tiga ijazah dan kemudiannya menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana di Universiti Kaherah selama dua tahun dan tamat pada tahun 1957. Tajuk tesis peringkat M.A ini ialah al-Zira’i fi al-Siyasah al-Shar’iyyah wa al-Fiqh al-Islami. Beliau meneruskan pelajaran ke peringkat kedoktoran di universiti yang sama dengan tajuk tesis Athar al-Harb fi al-Fiqh al-Islami – Kajian Perbandingan di bawah penyeliaan Dr. Muhammad Salam Madkur. Pada tahun 1963, beliau telah berjaya memperolehi Ph.D dengan pangkat cemerlang dari lujnah munaqasah terdiri daripada Muhammad Abu Zahrah dan Dr. Hafiz Ghanim yang merupakan Menteri Pendidikan Tinggi.
Dari sini jelas kepada kita, kegigihan Wahbah al-Zuhayli dalam pelajaran di setiap peringkat dan sentiasa mengasingkan diri untuk mengkaji dan membaca buku-buku sejak di kolej Syariah, Damsyiq lagi. Beliau juga mengabungkan antara pengajian Syariah dan Undang-Undang yang membolehkannya dapat memahami realiti semasa dengan mudah. Di samping itu, pengajian undang-undang memudahkannya meningkatkan bakat penulisannya yang sudah terserlah itu.
Guru-guru;
Antara guru-gurunya ialah Muhammad Hashim al-Khatib al-Syafie, (m. 1958) seorang khatib di Masjid Umawi. Beliau belajar darinya fiqh al-Syafie; mempelajari ilmu fiqh dari Abdul Razaq al-Hamasi (m. 1969M); ilmu Hadith dari Mahmud Yassin,(m.1948M); ilmu faraid dan wakaf dari Judat al-Mardini (m. 1957M), Hassan al-Shati (m. 1962M), ilmu tafsir dari Hassan Habnakah al-Midani (m. 1978M); ilmu bahasa Arab dari Muhammad Saleh Farfur (m. 1986M); ilmu usul fiqh dan Mustalah Hadith dari Muhammad Lutfi al-Fayumi (m. 1990M); ilmu akidah dan kalam dari Mahmud al-Rankusi .
Sementara ulamak yang beliau belajar di Mesir adalah seperti Muhammad Abu Zuhrah, (m. 1395H), Mahmud Shaltut (m. 1963M) Abdul Rahman Taj, Isa Manun (1376H), Ali Muhammad Khafif (m. 1978M), Jad al-Rabb Ramadhan (m.1994M), Abdul Ghani Abdul Khaliq (m.1983M) dan Muhammad Hafiz Ghanim. Di samping itu, beliau amat terkesan dengan buku-buku tulisan Abdul Rahman Azam seperti al-Risalah al-Khalidah dan buku karangan Abu Hassan al-Nadwi berjudul Madha Khasira al-‘alam binkhitat al-Muslimin.
Jawatan yang disandang:
Tugas pertama yang disandang selepas memperolehi Ph.D ialah sebagai pensyarah di Kuliah Syariah, Universiti Damsyk pada tahun 1963 dan menjadi professor Madya pada tahun 1969 dan Professor pada tahun 1975. Beliau juga pernah menjadi pensyarah pelawat di Libya, 1972-1974, Universiti Khartum dan Universiti Omdurman di Sudan pada tahun 2000. Beliau juga menjadi pensyarah pelawat di Universiti Emeriat Arab Bersatu al-Ain dari tahun 1984-1989 selama lima tahun dan menjadi penceramah di Qatar dan Kuwait semasa bulan Ramadhan pada tahun 1989-1990. Di samping itu, beliau juga turut memberi khutbah Jumaat sejak tahun 1950 terutama di Masjid Uthman di Damsyiq dan Masjid al-Iman di Dir Atiyyah, menyampaikan ceramah di masjid, radio dan televisyen serta di seminar-seminar dalam segala bidang keilmuan Islam.
Wahbah al-Zuhayli di mata rakan-rakannya:
Said Ramadhan al-Buty mengenalinya sejak tahun 1954 di Universiti al-Aِzhar. Pada ketika itu, beliau mengenali Wahbah melalui dua perkara sahaja iaitu melalui pemakaian serban putih yang mana pada masa itu ia agak janggal di Mesir. Keduanya ialah cara berjalan yang cergas, tegap dan cepat dalam setiap waktu dan suasana. Perhubungn bertambah akrab apabila mereka mula bertugas di Universiti Damsyiq pada tahun 1965. Hubungan bertambah akrab disebabkan dua perkara iaitu Said Ra,adhn al-Buty merupakan antara orang yang pertama membaca risalah Ph.D Wahbah al-Zuhayli yang diperolehi dari Universiti Kaherah. Keduanya beliau mendapati pada diri Wahbah al-Zuhayli akhlak yang mulia sama ada dari segi ibadat dan pandangannya yang sederhana dan tidak menyalahi pendapat jumhur ulamak yang masyhur. Beliau juga terkenal seorang yang ikhlas dan tidak mengharapkan habuan dunia. Ramadhan al-Buti mengakui kelebihan Wahbah al-Zuhayli sebagai seorang yang gigih mengarang terutama dalam menyiapkan Tafsir al-Munir yang melebihi 32 juzuk sebanyak 16 jilid dalam masa lima tahun semasa bertugas di Emiriat Arab Bersatu(UAE).
Menurut adiknya, Muhammad al-Zuhayli, beliau seorang yang mempunyai disiplin yang tinggi dari segi waktu dan peraturan yang menyebabkan beliau dapat mengarang buku-buku dengan banyak terutama mengarang pada waktu subuh yang amat diberkati Allah. Beliau kurang menyenangi apabila orang melanggar disiplin, temujanji dan melambatkan tugas. Sejak kecil lagi, Wahbah al-Zuhayli dipanggil oleh bapa mereka sebagai Syeikh al-Islam. Ternyata apa yang difirasatkan oleh ayahnya kini menjadi satu kenyataan apabila beliau menerbitkan al-Tafsir al-Munir, Fiqh al-Islami dan lain-lain buku dalam pasaran sekarang dan menjadi seorang ulamak terkenal abad ini. Penulis teringat semasa pertemuan dengan Wahbah al-Zuhaili pada 22 November 2006, yang mana rombongan kami lewat tiba di rumahnya. Lalu beliau menelifon dan kurang menyenangi kelewatan rombongan tersebut. Ini menunjukkan ketegasan beliau dalam menepati janji dan masa.
Buku-Buku Karangan Wahbah al-Zuhayli:
Wahbah al-Zuhayli menulis buku, kertas kerja dan artikel dalam pelbagai ilmu Islam. Buku-bukunya melebihi 133 buah buku dan jika dicampur dengan risalah-risalah kecil melebihi lebih 500 tajuk. Satu usaha yang jarang dapat dilakukan oleh ulamak kini seolah-olah ia merupakan al-Suyuti kedua (al-Sayuti al-Thani) pada zaman ini, mengambil sempena seorang Imam Shafi’iyyah iaitu Imam al-Sayuti.* Antara buku-bukunya seperti berikut:
- Athar al-Harb fi al-Fiqh al-Islami - Dirasat Muqaranah (Kesan Peperangan dalam Fiqh Islam-Kajian Perbandingan), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1963.
- al-Wasit fi Usul al-Fiqh, (Ringkasan Usul fiqh), Universiti Damsyiq, 1966.
- al-Fiqh al-Islami fi Uslub al-Jadid, (Fiqh Islam dalam Pendekatan Terbaru), Maktabah al-Hadithah, Damsyiq, 1967.
- Nazariat al-Darurat al-Syar’iyyah (Teori Darurat dalam Syariat), Maktabah al-Farabi, Damsiq, 1969.
- Nazariat al-Daman, (Teori Jaminan ), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1970.
- al-Usul al-Ammah li Wahdah al-Din al-Haq (Asas-Asas Penting dalam Kesatuan Agama yang Benar), Maktabah al-Abassiyah, Damsyiq, 1972.
- al-Alaqat al-Dawliah fi al-Islam, (Hubungan Antarabangsa Dalam Islam), Muassasah al-Riisalah, Beirut, 1981
- al-Fiqh al-Islami wa Adilatuh, (Fiqh Islam dan dalil-dalilnya), (8 jilid), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1984.
- Usul al-Fiqh al-Islami (Usul fiqh) (dua Jilid), Dar al-Fikr al-Fikr, Damsyiq, 1986.
- Juhud Taqnin al-Fiqh al-Islami, (Kegigihan Merangka Fiqh Islam), Muassasah al-Risalah, Beirut, 1987.
- Fiqh al-Mawaris fi al-Shari’at al-Islamiah, (Hukum Pesaka dalam Syariat Islam) Dar al-Fikr, Damsyiq, 1987.
- al-Wasaya wa al-Waqf fi al-Fiqh al-Islami, (Wasiat dan Wakaf dalam Syariat Islam), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1987.
- al-Islam Din al-Jihad La al-Udwan, (Agama Islam adalah Agama Jihad bukan Permusuhan), Persatuan Dakwah Islam Antarabangsa, Tripoli, Libya, 1990.
- al-Tafsir al-Munir fi al-Aqidah wa al-Syari’at wa al-Manhaj (Tafsir Munir dalam Akidah, Syariat dan Manhaj), (16 jilid), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1991.
- al-Qisah al-Qur’aniyyah Hidayah wa Bayan, (Kisah-Kisah Dalam al-Quran Petunjuk dan Penerangan), Dar Khair, Damsyiq, 1992.
- al-Qur’an al-Karim al-bunyatuh al-Tasyri’iyyah aw Khasa’isuh al-Hadariah, ( al-Quran Asas-Asas Perundangan dan Keistimewaan Tamadun), Dar al-Fikr, Damsyiq, 1993.
- al-Rukhsah al-Syari’at – Ahkamuha wa Dawabituha, (Kelonggaran Syariat- Hukum dan Prinsip), Dar al-Khair, Damsyiq, 1994.
- Khasa’is al-Kubra li Huquq al-Insan fi al-Islam, ( Asas-Asas Penting bagi Hak-Hak Manusia dalam Islam), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1995.
- al-Ulum al-Syari’at Bayn al-Wahdah wa al-Istiqlal ( Ulum Syariah Antara Kesatuan dan Pembebasan), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1996.
- al-Asas wa al-Masadir al-Ijtihad al-Musytarikat bayn al-Sunnah wa al-Syiah, (Asas dan Sumber Ijtihad bersama antara Sunnah dan Syiah), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1996.
- al-Islam wa Tahadiyyat al-‘Asr, (Islam dan Cabaran Semasa), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1996.
- Muwajahat al-Ghazu al-Thaqafi al-Sahyuni wa al-Ajnabi, (Serangan Pemikiran Kebudayaan Zionis dan Asing), Dar al-Maktabi, Dmsyiq, 1996.
- al-Taqlid fi al-Madhahib al-Islamiah inda al-Sunnah wa al-Syiah, (Taqlid dalam Mazhab Islam menurut ahli Sunnah dan Syiah), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1996.1
- al-Ijtihad al-Fiqhi al-Hadith, (Ijtihad Fiqh Baru), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1997.11
- al-Uruf wa al-Adat, (Uruf dan Adat), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1997.
- Bay al-Asham, (Penjualan Saham), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1997.
- al-Sunnah al-Nabawiyyah ( Sunnah Nabi), Dar al-Maktabi Damsyiq, 1997.
- Idarat al-Waqaf al-Khairi, (Pengurusan wakaf Kebajikan), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1998.
- 1al-Mujadid Jamaluddin al-Afghani, (Mujadid Jamaluddin al-Afghani), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1998.
- Taghyir al-Ijtihad, (Perubahan Ijtihad), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2000.
- Tatbiq al-Syari’at al-Islamiah (Pelaksanaan Syariat Islam), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2000.
- al-Zira’i fi al-Siyasah al-Syar’iyyah wa al-Fiqh al-Islami, (Zira’i dalam Siyasah Syar’iyyah dan Fiqh Islam), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 1999.
- Tajdid al-Fiqh al-Islami, (Pembaharuan Fiqh Islam), Dar al-Fikr, Damsyiq, 2000.
- al-Thaqafah wa al-Fikr, (Keilmuan dan Pemikiran), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2000.
- Manhaj al-Da’wah fi al-Sirah al-Nabawiyah, (Manhaj Dakwah dalam Sirah Nabi), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2000.
- al-Qayyim al-Insaniah fi al-Qur’an al-Karim, (Nilai Kemanusiaan dalam al-Quran al-Karim), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2000.
- Haq al-Hurriah fi al-‘Alam, (Hak-hak Kebebasan dalam Dunia kini), Dar al-Fikr, Damsyiq, 2000
- al-Insan fi al-Qur’an, (Kemanusiaan dalam al-Quran), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2001.
- al-Islam wa Usul al-Hadarah al-Insaniah, (Islam dan Asas Tamadun Kemanusiaan), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2001.
- Usul al-Fiqh al-Hanafi, (Usul fiqh Mazhab Hanafi), Dar al-Maktabi, Damsyiq, 2001.
(Sumber : Mohd Rumaizuddin Ghazali, Tokoh Islam Kontemporari, Tradisi Ilmu, Petaling Jaya, 2005)
* Dr. Badi` as-Sayyid al-Lahham dalam bukunya yang berjudul: "Wahbah Az-Zuhaili al-`Alim, al-Faqih, al-Mufassir" menyenaraikan sejumlah 199 karya beliau selain jurnal dan artikel sekitar lebih 500 karya. Dr. Badi` menyifatkan beliau seumpama Imam as Suyuti di masa lampau.
No comments:
Post a Comment