*Nasihat penting daripada sasterawan
besar Arab, al-Adib al-Kabir al-‘Allamah Mustafa Sadiq ar-Rafi‘i (m. 1356H di
Tanta, Mesir) kepada setiap orang yang ingin menguasai sastera Arab sama ada
dari segi penulisan atau pun karangan.
Nasihat beliau: “Jika
aku ingin mewasiatkan kamu, maka aku mewasiatkan kamu supaya memperbanyakkan
membaca al-Quran, merujuk kitab al-Kasysyaf (tafsir az-Zamakhsyari),
kemudian mendalami sebuah kitab daripada kitab-kitab hadis seperti al-Bukhari
atau selainnya. Seterusnya, bersungguh-sungguh membaca kitab-kitab Ibn
al-Muqaffa‘ (Kalilah wa Dimnah, al-Yatimah dan al-Adab
as-Saghir), kemudian risalah-risalah al-Jahiz, kitab al-Bukhala’,
seterusnya Nahj al-Balaghah. Juga mengamati kitab as-Sina‘atain
oleh al-‘Askari, al-Mathal as-Sa’ir oleh Ibn al-Athir, seterusnya
banyakkan merujuk Asas al-Balaghah oleh az-Zamakhsyari. Di samping itu,
jika tanganmu dapat mencapai kitab al-Aghani atau beberapa juzuk
daripadanya, kitab al-‘Iqd al-Farid dan Tarikh at-Tabari, maka
sudah sempurnalah bagimu kitab-kitab prosa Arab yang mantap.
Bacalah
sesuatu potongan kata-kata itu berkali-kali, kemudian perhatikan dan cuba ubah
susun aturnya, seterusnya buangkan suatu ibarat atau suatu kalimah daripadanya dan
letakkan pula daripada sisimu apa yang dapat menggantikannya, namun tidak
merosakkannya. Berusahalah berbuat demikian. Sekiranya perkara tersebut sudah
biasa bagimu, maka naiklah pula ke satu peringkat yang lain, iaitu kamu cuba menandingi
potongan kata-kata tadi dengan suatu ungkapan kata-kata yang kamu sendiri tulis
yang sama makna dan serupa gayanya. Sekiranya didapati ungkapan kata-katamu itu
lemah (tata bahasanya), maka ambillah yang lain, dan begitulah seterusnya
sehinggalah kamu dapat membawa ungkapan yang hampir sama dengan yang asal atau
yang seumpamanya.
Peruntukkanlah
bagimu pada setiap hari satu atau dua pelajaran menurut cara ini. Mula-mula,
bacalah suatu kitab yang mantap Arabnya kira-kira dalam setengah jam, kemudian
pilihlah daripadanya satu potongan kata-kata. Lalu bacalah ia sehingga kamu
benar-benar memahaminya. Seterusnya, cubalah menandinginya menurut cara yang
telah disebutkan tadi; Pertama, ubah ibarat tersebut, kemudian keduanya, menandingi
keseluruhan potongan kata-kata berkenaan. Berilah tumpuan sepanjang hari untuk
membaca dan mengulangkaji. Apabila kamu berasa letih, tinggalkanlah dahulu membaca
atau kerja itu sehinggalah kamu berasa relaks. Kemudian, baru kembali melakukannya
semula. Janganlah kamu abaikan aspek memerah akal fikiran, membuat gambaran dan
imaginasi yang baik.
Ini kaedahnya,
dan aku tidak nampak bagimu ada yang lebih baik daripada itu. Jika kamu diberikan taufik, kemungkinan kamu akan
dapat meraih kecemerlangan dalam tempoh setahun.
Langkah awalmu mengambil manfaat; dan langkah
akhirmu menggembleng kudrat...”.
*Kesimpulan tentang kitab-kitab penting berkaitan sastera Arab yang perlu
dibaca;
- membaca al-Quran,
- merujuk kitab tafsir al-Kasysyaf oleh az-Zamakhsyari,
- mendalami sebuah kitab hadis, seperti Sahih al-Bukhari atau selainnya.
- membaca kitab-kitab Ibn al-Muqaffa‘ (iaitu Kalilah wa Dimnah, al-Yatimah dan al-Adab as-Saghir),
- risalah-risalah
al-Jahiz (m. 255H),
- kitab al-Bukhala’
oleh al-Jahiz,
- kitab Nahj al-Balaghah oleh as-Syarif al-Murtadha atau as-Syarif ar-Radhi.
- mengamati kitab as-Sina‘atain oleh al-‘Askari,
- kitab al-Mathal as-Sa’ir oleh Ibn al-Athir,
- merujuk Asas
al-Balaghah oleh az-Zamakhsyari.
- kitab al-Aghani
oleh al-Asbahani, atau beberapa juzuk daripadanya,
- kitab al-‘Iqd
al-Farid oleh Ibn ‘Abd Rabbih (m. 328H)
- kitab Tarikh at-Tabari berjudul: تاريخ الأمم والملوك.
1 comment:
Post a Comment