Pages

Wednesday, February 6, 2019

4 MUSNID NUSANTARA KINI



Pendokumentasian sanad merupakan salah satu elemen penting bagi menjaga rekod pertalian keilmuan di antara guru dengan murid. Meskipun demikian, tidak ramai ilmuwan Nusantara pada masa kini yang dilihat memberikan tumpuan dan perhatian terhadap aspek berkenaan. Berdasarkan tinjauan awal, ditemukan empat orang di antara mereka yang telah menyusun, menerbitkan dan menyebarkan sanad keilmuan mereka kepada para penuntut ilmu. Dengan syarat ini, maka selayaknya mereka itu digelar sebagai al-musnid. Mereka ialah:    

1. Syeikh Nuruddin bin Marbu al-Banjari

Nama penuh beliau ialah Syeikh Muhammad Nuruddin bin Haji Marbu bin ‘Abdullah Tayyib al-Banjari al-Makki. Beliau berasal dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan Indonesia. Lahir di desa Harus, Amuntai pada 1 September 1960M. Beliau anak yang ketiga dari tujuh bersaudara. Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya sehingga  pada tahun 1974, seluruh keluarga beliau telah berhijrah ke Makkah. Beliau meneruskan pengajiannya di Madrasah Sawlatiyyah sehingga tahun 1982. Di samping mengikuti pengajian yang diadakan di Masjidil Haram dan juga di rumah para syeikh. Pada tahun 1983, beliau melanjutkan pengajiannya di Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang syariah. Kemudian meneruskan lagi pengajiannya di Ma'had 'Ali li al-Dirasat al-Islamiyyah di Zamalik sehingga memperolehi diploma am Dirasat 'Ulya pada tahun 1990. (al-Fanshuri 2007)

Antara guru-gurunya ialah Syeikh Isma‘il ‘Uthman Zayn al-Yamani, Syeikh Hasan al-Masysyat, Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, Syeikh Abdul Karim Banjar, Syeikh Suhaili al-Anfenani, al-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki, Syeikh Sa‘id al-Bakistani, Syeikh ‘Abdullah Sa‘id al-Lahji, Syeikh Zakariyya Bila, Syeikh Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi, al-Habib ‘Abdul Qadir al-Saggaf dan ramai lagi. (al-Fanshuri 2007)

Beliau pernah mengajar di Maahad Tarbiah Islamiah, Derang, Kedah mulai tahun 1998 sehingga tahun 2002. Di samping aktif sehingga kini mengadakan pengajian dan ceramah bulanan atau mingguan di masjid-masjid, sekolah-sekolah dan majlis-majlis sambutan agama di seluruh Malaysia. Beliau pernah menubuhkan pesantren beliau sendiri di Kalimantan, Indonesia. Pada tahun 2004, beliau menubuhkan pula Maahad az-Zein al-Makki al-‘Ali li al-Tafaqquh fi al-Din di Ciampiea, Bogor, Jawa Barat, Indonesia. (al-Fanshuri 2007)

Syeikh Nuruddin juga giat berkarya dan mentahqiq kitab yang jumlahnya lebih dari 50 buah dan kebanyakannya di dalam bahasa Arab. Antaranya: Adab al-Musafahah, Man Huwa al-Mahdi al-Muntazar, al-Durar al-Bahiyyah fi Idah al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, Asma’ al-Kutub al-Fiqhiyyah li Sadatina al-Syafi‘iyyah, al-‘Ibar bi Ba‘d Mu‘jizat Khayr al-Basyar SAW, Makanah al-‘Ilm wa al-‘Ulama’ wa Adab Talib al-‘Ilm, Tahdhib al-Adab al-Mufrad, Tahdhib Misykat al-Masabih dan sebagainya.

Beliau telah mendokumentasikan sanad keilmuan beliau di dalam karya-karya berikut:
1.                  al-Ahadith al-Musalsalah. Ia mengandungi 34 buah hadith musalsal.
2.                  al-Awa’il wa al-Awakhir wa al-Asanid.

2. Syeikh Mohd. Fuad bin Kamaluddin

Nama penuh beliau ialah Syeikh Dato’ Mohd. Fuad bin Kamaluddin bin Mahat al-Rembawi. Lahir di Rembau, Negeri Sembilan pada 16 September tahun 1974. Berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar Mesir cawangan Tanta. Namun, beliau juga telah menimba ilmu dari ramai guru di luar Universiti al-Azhar. Selain Mesir, beliau pernah mengunjungi Makkah, Madinah, Sudan, Syria, Lubnan, Palestin, Emiriah Arab Bersatu, Turki, Indonesia, Singapura dan lain-lain untuk tujuan mencari ilmu. (Mujahid 2007: 32)

Antara guru-guru beliau ialah Syeikh Dr. ‘Ali Jum‘ah, Syeikh ‘Abd al-Ghani bin Salih al-Ja‘fari, Syeikh Dr. Judah Abu al-Yazid al-Mahdi, Syeikh Abd al-Salam Abu al-Fadl, Dr. Ahmad ‘Umar Hasyim, Syeikh Dr. Mahmud Sa‘id Mamduh, Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Kattani, Dr. Sa‘ad Jawisy, Dr. Usamah al-Sayyid al-Azhari, Syeikh Sa‘ad Badran, Syeikh Dr. Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki, Dr. ‘Umar ‘Abdullah Kamil, Dr. ‘Isa bin ‘Abdullah al-Himyari, Dr. Ahmad bin Muhammad Nur Sayf, Dr. Muhammad Muti‘ al-Hafiz, al-Habib ‘Umar bin Hafiz, al-Habib ‘Ali al-Jufri dan lain-lain. (Mujahid 2007: 35-70)

Beliau merupakan penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan yang telah banyak membangunkan berbagai usaha kebajikan dan program pendidikan seperti rumah anak yatim, sekolah dan juga pusat-pusat pengajian. Beliau telah menghasilkan hampir 200 buah buku dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti sirah nabawiyyah, biografi tokoh, tasawwuf, tauhid, tafsir, hadith, fiqh dan sebagainya.

Beliau telah mendokumentasikan sanad keilmuan beliau di dalam karya-karya berikut:
1.      Al-Musalsalat al-‘Asyarah.
2.      Musalsal Orang-orang Mulia.
3.      Al-Bahjah al-Mardiyyah fi Musalsalat al-Rembawiyyah.
4.      Bulugh al-Amani al-Muntakhab min Musalsalat al-Maliki.
5.      Hadith-hadith Musalsal Berkaitan al-Qur’an al-Karim. Ia menghimpunkan 11 buah hadith musalsal berkaitan al-Quran.
6.      Al-Tali‘ al-Sa‘id.
7.      Kunuz al-Anwar al-Muntakhab min Asanid al-Akhyar.
8.      Al-Jawahir al-Ghawali min Asanid al-Imam al-Azhari. Ia menghimpunkan sanad sepuluh buah kitab hadis daripada Syeikh Salih al-Ja‘fari.
9.      Al-Yaqut al-Nafis min Asanid al-Muhaddith Sayyid Ahmad bin Idris.
10.  Fath al-Rahman bi Asanid Mufti Negeri Sembilan.
11.  Sanad al-Awrad al-Qusyasyiyyah.
12.  Al-Manhal al-Karim fi Asanid al-Qur’an al-‘Azim.
13.  al-Nafahat al-Aqdasiyyah fi Asanid al-‘Ulum al-Qur’aniyyah.
14.  al-Lumma‘ fi Asanid Qira’at al-Sab‘. Ia menghimpunkan sanad qiraat tujuh.

3. Ustaz Mohd. Zaidi Abdullah

Nama penuh beliau ialah Mohd. Zaidi bin Abdullah bin Ahmad al-Shah Alami. Lahir di Selangor pada tahun 1975. Seorang yang gigih menuntut ilmu sejak dari mudanya. Beliau telah menimba ilmu di Pondok Lubuk Tapah, Kelantan sejak dari tahun 1990 sehingga tahun 2008. Di samping itu, gigih bertalaqqi daripada alim ulama yang terkenal memiliki sanad keilmuan dan sehingga kini telah mengumpulkan sanad kira-kira 60 orang ulama Tanah Melayu. 

Antara guru-gurunya ialah: Tuan Guru Hj. ‘Abdullah bin ‘Abdul Rahman, Tuan Guru Hj. Hasyim bin Abu Bakar, Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki, Syeikh Wan Zakaria bin Ahmad Wan Besar, Tuan Guru Hj. Yahya Zikri, Tuan Guru Wan Izzuddin bin Wan Ibrahim, Syeikh Saleh bin ‘Uthman Jalaluddin, Tuan Guru Hj. Saleh bin Musa dan lain-lain. (al-Langkati t.t.: 287)

Antara guru beliau juga ialah Ustazah al-Muhaddithah Hajjah Hamudah binti al-Sheikh al-Mu’ammar Haji Ghazali bin Arshad al-Firaqiyyah. Seorang tokoh hadis wanita yang amat jarang kita temukan di Malaysia tokoh dari kalangan wanita dalam bidang hadis seperti beliau.   


Beliau telah mendokumentasikan sanad keilmuan beliau di dalam karya-karya berikut:
i.              Subul al-Sa‘adah bi Asanid al-Syaykh al-Muhaqqiq ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Kelantani, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman.
ii.            Al-Majalis al-Hadithiyyah: wa hiya Musalsalat wa Asanid al-Syaykh Wan ‘Izz al-Din bin Wan Ibrahim al-Fatani al-Qadahi, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Wan ‘Izzuddin bin Wan Ibrahim.  
iii.          Juz’ fi Masmu‘at al-Ustadh Taha al-Falaki, yang merupakan himpunan sanad-sanad al-Fadhil Ustaz Taha al-Falaki, Klang.
iv.          Talkhis al-Jami‘ al-Sahih al-Musnad al-Mukhtasar li al-Bukhari min Marwiyyat Syaykh ‘Abdullah Lubuk Tapah wa Syaykh Hamzah Bukit Tanah. Ia mengandungi 100 hadith pilihan daripada kitab Sahih al-Bukhari daripada riwayat Tuan Guru Hj. ‘Abdullah Lubuk Tapah dan Tuan Guru Hj. Hamzah Bukit Tanah.
v.            Asanid al-Kutub al-Masyhurah, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Hasyim Pasir Tumboh.
vi.          ‘Unwan al-Asanid, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Sulaiman Kg. Siram.
vii.        Arba‘un Hadithan min Musnad Imamina al-Syafi‘i melalui sanad Maulana Lambak bin Ibrahim Kg. Tok Jiring.
viii.      Himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Yahya Zikri Telok Intan.

4. Syeikh Husni Ginting al-Langkati

Nama penuh beliau ialah Syeikh Muhammad Husni Ginting bin Muhammad Hayat Ginting bin Muhammad Ilyas Ginting bin Muhammad Salih Ginting al-Langkati. Beliau merupakan seorang alim muda dari Medan, Sumatera Utara, Indonesia yang gigih menimba ilmu pengetahuan. Lahir di Besitang, Langkat pada tarikh 26 Zulqa`idah 1400H (1980). Beliau mendapat pendidikan-pendidikan formal di peringkat Ijazah Thanawiyah Negeri (1996), Ijazah Thanawiyah Ma`had Musthafawiyah (1997), Musthafa, Ijazah Mas (1999), Ijazah Lisence Universiti Al-Azhar (2004), dan Ijazah Diploma Master Ma`had ‘Ali Dirasat Islamiyah (2007), Fakulti Usuluddin al-Azhar dalam Jurusan Hadith. 

Beliau telah mendokumentasikan sanad keilmuan beliau di dalam karya-karya berikut:
  1. Ghayah al-Rusukh fi Mu‘jam al-Syuyukh. Ia menghimpunkan senarai guru-guru beliau yang berjumlah seramai 165 orang dan juga sebahagian sanad mereka.
  2. Asanid al-Jawiyyin.
  3. Al-Ayat al-Mufassalat fi al-Ahadith al-Musalsalat.
  4. Ithaf al-Akabir bi Asanid al-Syaykh ‘Abd al-Qadir.
  5. Asanid al-Kutub al-‘Asyarah.
  6. Al-Awa’il al-Lankatiyyah.
  7. ‘Iqd al-Farid al-Muntakhab min al-Asanid.
  8. Fayd al-Jari bi al-Ittisal bi Thulathiyyat al-Bukhari.
  9. Al-Kawakib al-Darari bi Tarjamah wa Asanid al-Syaykh ‘Ali Hasan Ahmad al-Dari.
  10. al-Muntakhab min al-Musalsalat.
  11. Nihayah al-Zayn bi Tarjamah wa Asanid al-Syaykh Mustafa Husayn.

Kemungkinan masih ada beberapa ilmuwan lagi yang masih hidup selain di atas yang telah menyusun, menerbitkan dan menyebarkan sanad keilmuan mereka. Namun, maklumat mengenainya masih perlu dicari dan digali agar dapat direkodkan dengan yang sewajarnya.   

Wallahu a‘lam.



No comments: