Pages

Sunday, March 22, 2020

Pencerahan Hadis Wujud Penyakit Berjangkit


 Image result for men in hazmat suits
SOALAN:

Assalamualaikum ustaz. Ada ramai tertanya-tanya tentang statement hadis: “Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa.”. Boleh ustaz terangkan?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wrt.

Matan penuh bagi hadis sahih tersebut yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW:
«لاَ عَدْوَى وَلاَ طِيَرَةَ، وَلاَ هَامَةَ وَلاَ صَفَرَ، وَفِرَّ مِنَ المَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنَ الأَسَدِ» (رواه البخاري معلقاً، وهو صحيح بطرقه)
Bagaimanapun, berdasarkan penelitian terdapat dua terjemahan yang berbeza bagi hadis ini:
[i] Pertama, dalam bentuk LARANGAN iaitu: “Tidak boleh menjangkitkan penyakit, tidak boleh membuat ramalan buruk, tidak boleh percaya sial burung hantu dan tidak boleh percaya sial bulan Safar, dan larilah daripada pesakit kusta sebagaimana kamu lari daripada singa.”
[ii] Kedua, dalam bentuk PENAFIAN iaitu: “Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada ramalan buruk, tidak ada sial burung hantu dan tidak ada sial bulan Safar, dan larilah daripada pesakit kusta sebagaimana kamu lari daripada singa.”

Penjelasan:

1. Terjemahan [i]:
Terjemahan [i] adalah berbentuk LARANGAN dan maksudnya amat jelas tanpa perlu kepada perbahasan lanjut. Antara ulama yang berpandangan demikian ialah Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah di dalam ulasannya terhadap kitab al-Masnu‘ fi Ma‘rifah al-Hadith al-Mawdu‘ (h. 47). Menurutnya, janganlah orang yang sakit berjangkit itu bercampur dengan orang-orang yang sihat kerana khuatir dia akan menjangkitkan mereka dengan takdir Allah Taala. Hadis ini jelas berkait antara awal dengan akhirnya dengan cukup sempurna tanpa terpisah sedikit pun. Maknanya bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:
لَا يُورِدَنَّ مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍّ. (رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya: “Janganlah pemilik unta yang sakit membawakannya kepada unta yang sihat.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Nabi SAW juga bersabda:
 إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطاعون بِأَرْضٍ فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْه. (رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya: “Jika kamu mendengar penyakit taun di sesuatu tempat, maka jangan kamu pergi kepadanya. Jika ia berlaku di sesuatu tempat pula, sedangkan kamu berada di situ, maka jangan kamu keluar lari daripadanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Nabi SAW juga pernah didatangi sekumpulan orang daripada Bani Thaqif untuk berbaiah dan salah seorang daripada mereka menghidap penyakit kusta. Lantas, Nabi SAW mengutus orang kepadanya seraya berpesan: “Sesungguhnya kami telah membaiah kamu, maka pulanglah” (tanpa bersentuhan dengannya). (HR Muslim)

2. Terjemahan [ii]
Manakala, terjemahan [ii] adalah berbentuk PENAFIAN hingga maksudnya menjadi perbincangan hangat di kalangan para ulama kerana wujudnya penyakit yang berjangkit dan hadis-hadis yang zahirnya menunjukkan demikian.

al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari membahaskan secara panjang lebar mengenai perselisihan pandangan para ulama mengenainya. Manakala secara ringkas, beliau menyebut di dalam kitab Nuzhah al-Nazar -pada bahagian mukhtalif al-hadith- dua pandangan utama berikut (h. 76):

[a] Pertama: “Ibn al-Solah telah memberikan contoh hadis (لا عَدْوَى ولا طِيَرَةَ) dan hadis (فِرَّ مِنَ المَجْذُوم فِرارَكَ مِنَ الأسد) yang kedua-duanya sahih, sedangkan zahir kedua-duanya bercanggah. Kaedah menghimpunkan antara kedua-duanya ialah penyakit ini tidak berjangkit dengan tabiinya sendiri, tetapi Allah SWT telah menjadikan percampuran orang yang sakit dengan orang sihat itu sebagai SEBAB dia menjangkitkan penyakitnya. Kemudian barangkali dia boleh terlepas daripada sebabnya itu, sepertimana pada sebab-sebab yang lain juga. Demikian Ibn al-Solah menyatukan kedua-duanya, mengikut sebagaimana pandangan ulama lain”.   

[b] Kedua (di sisi al-Hafiz Ibn Hajar): “Dan yang lebih utama bagi menghimpunkan kedua-duanya  ialah menyatakan bahawa penafian baginda SAW terhadap jangkitan itu kekal secara umumnya. Kerana telah sah sabdanya SAW: “Sesuatu tidak menjangkiti sesuatu yang lain”, dan sabdanya SAW kepada orang yang berkata bahawa unta yang berpenyakit berada dalam kalangan unta yang sihat serta bercampur gaul dengannya, lalu semuanya pun menjadi sakit, maka baginda SAW membalas kepadanya: “Maka, siapa pula yang menjangkitkan unta yang pertama?” Yakni, Allah SWT yang memulakan penyakit itu pada unta yang kedua, sepertimana Dia memulakannya pada unta yang pertama. Adapun perintah supaya lari daripada pesakit kusta pula, maka ia termasuk bab sadd az-zara’i‘ (menyekat punca berlaku) supaya tidak berbetulan bagi individu yang diuji demikian dengan takdir Allah SWT pada permulaannya, bukannya dengan jangkitan yang telah dinafikan, lalu dia menyangka bahawa itu adalah dengan sebab pergaulannya, lantas dia pun meyakini kebenaran jangkitan penyakit tadi. Maka, mengakibatkan dia terbabit dalam bahaya (dari segi akidahnya). Justeru, baginda SAW memerintahkan supaya menjauhinya bagi mengelakkan situasi tersebut”.    

Pandangan Lebih Kuat
Bagaimanapun, pentahkik kitab Nuzhah al-Nazar, Prof. Dr. Nuruddin 'Itr mengulas bahawa pandangan Ibn as-Solah [a] yang memaknakan hadis sebagai penafian wujudnya penyakit berjangkit dengan tabiinya sendiri, sebenarnya adalah lebih kuat dan lebih sesuai secara saintifik berbanding pandangan kedua [b] yang menafikan sama sekali wujudnya penyakit berjangkit. Dalam menolak pandangan kedua ini, Imam ‘Ali al-Qari mengulas dalam Syarah Nuzhah al-Nazar (h. 373) bahawa jika seseorang menyangka bahawa penyakit kusta itu terjadi dengan sebab percampurannya serta meyakini kebenaran jangkitan penyakit itu dengan SEBAB tersebut, maka tidaklah menjadi masalah.  

Jelasnya, terjemahan [i] dan [ii] -berdasarkan pandangan Ibn as-Solah- bagi hadis yang dipertanyakan di atas hakikatnya dapat difahami secara selaras, tanpa ada pada kedua-duanya sebarang percanggahan mahupun penyimpangan dari aspek akidah.
  
Kata Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim: “Menurut jumhur ulama, cara menyatukannya ialah hadis (لَا عَدْوَى) bermaksud untuk menafikan apa yang didakwa dan dipercayai oleh orang Jahiliyyah bahawa suatu penyakit itu berjangkit dengan tabii semula jadinya, bukannya dengan sebab perbuatan Allah Taala. Manakala hadis (لَا يُورِدُ مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍّ) menunjukkan supaya menjauhi perkara yang boleh menyebabkan kemudaratan pada kebiasaannya melalui perbuatan dan takdir Allah Taala jua. Maka, baginda SAW menafikan dalam hadis pertama penyakit yang berjangkit dengan tabiinya sendiri, namun tidak menafikan boleh berlakunya kemudaratan ketika wujudnya penyakit itu dengan takdir dan perbuatan Allah Taala. Manakala dalam hadis kedua, baginda mengajar supaya berhati-hati daripada perkara yang boleh menyebabkan kemudaratan dengan perbuatan, kehendak dan takdir Allah SWT. Maka, apa yang kami sebutkan ini tentang kesahihan kedua-dua hadis serta cara menyatukan antara kedua-duanya merupakan pandangan yang benar, yang dipegang oleh jumhur ulama dan amat patut sekali diikuti”.

Kesimpulan
Secara ringkas bagi maksud hadis berkenaan, sesuatu penyakit itu tidak akan berjangkit dengan sendirinya secara tabii atau semula jadi, tetapi dengan takdir dan izin Allah SWT jua. Jika Allah SWT tidak izinkan, maka ia tidak akan berlaku. Allah SWT turut menjadikan SEBAB penyakit tersebut boleh berjangkit, iaitu melalui percampuran dan pergaulan antara orang yang sakit dengan orang yang sihat. Justeru itu, baginda SAW memerintahkan supaya menjauhinya dengan bersungguh-sungguh sehingga mengumpamakannya seperti orang yang lari daripada singa. Bagaimanakah keadaan seseorang yang lari daripada singa?

Wallahu a‘lam.

No comments: