Pages

Saturday, December 23, 2017

Syeikh Dr. Muhammad Mustafa al-A‘zami



Syeikh Dr. Muhammad Mustafa al-A‘zami
(1350-1439) (1930-2017)

Dr. Muhammad Mustafa al-A‘zami merupakan seorang tokoh hadis yang tidak asing lagi di kalangan para pengkaji hadis moden. Namanya bukan hanya tersohor di kalangan ulama Islam sahaja, bahkan juga di kalangan para pemikir Barat. Dua buah bukunya “Studies in Early Hadith Literature” dan “The History of the Qur'anic Text from Revelation to Compilation” merupakan dua buah karyanya yang telah membungkam hujah2 para pemikir Barat mengenai ketulenan al-Quran dan hadis.

Beliau merupakan antara tokoh keluaran Deoband, India yang menjadi kebanggaan para warganya. Dilahirkan di daerah A‘zamgarh, India pada tahun 1350 H (1930), sebuah daerah yg telah melahirkan ramai alim ulama yg terkenal dengan gelaran ‘al-A‘zami’, sebagai nisbah kepada daerah tersebut.

Beliau telah belajar di Darul Ulum Deoband dan menimba ilmu daripada para ulamanya, terutama daripada Maulana Syeikh Husain Ahmad al-Madani (w. 1377H). Setelah tamat pada tahun 1372 H (1952), beliau telah mendaftarkan diri di Universiti Islam Aligarh selama setahun. Kemudian beliau melanjutkan pula pelajarannya ke al-Azhar, Mesir di Fakulti Usuluddin dan menimba ilmu daripada para ulama al-Azhar ketika itu. Beliau telah menyelesaikan pengajiannya pada tahun 1375 H (1955) dengan memperolehi syahadah ‘alimiyyah berserta ijazah mengajar daripadanya.

Beliau seterusnya telah melanjutkan lagi pelajarannya ke peringkat PhD di Universiti Cambridge dan berjaya meraih ijazah kedoktoran tersebut pada tahun 1966 dengan tesisnya berjudul: “Studies in Early Hadith Literature”.

Dari segi karier, Dr. al-A‘zami pernah bertugas sebagai kurator di Darul Kutub Qatar selama lebih 10 tahun (1955-1968), selain turut menjadi guru bahasa Arab bagi pelajar bukan Arab di peringkat thanawi di Qatar. Pada tahun 1968, beliau telah berpindah ke Makkah dan mengajar di Fakulti Syariah sehingga tahun 1973. Kemudian beliau berpindah pula ke Universiti al-Malik Su‘ud, Riyadh mengajar subjek hadis di bawah Jabatan Thaqafah Islamiyyah, Fakulti Syariah.  

Beliau pernah dijemput sebagai pensyarah pelawat ke beberapa universiti di Barat, termasuklah Universiti Harvard, Amerika. Beliau terus tinggal di Riyadh selama hampir 18 tahun sehinggalah beliau bersara pada tahun 1991.

Dr. al-A‘zami telah meninggalkan sejumlah karya yg amat bermanfaat dan tinggi nilainya, antaranya:
  1. (دراسات في الحديث النبوي وتاريخ تدوينه)
  2. (منهج النقد عند المحدثين: نشأته وتاريخه)
  3. (تحقيق كتاب التمييز للإمام مسلم)
  4. (تحقيق الموطأ للإمام مالك رواية يحيى بن يحيى الليثي)
  5. (تحقيق السنن لابن ماجه)
  6. (تحقيق صحيح ابن خزيمة)
  7. (تحقيق العلل للإمام علي بن المديني)
  8. (كُتّاب النبي ﷺ)
  9. (دراسة نقدية لكتاب أصول الشريعة المحمّدية للمستشرق شاخت)
  10. (تحقيق مغازي رسول الله ﷺ لعروة بن الزبير)
  11. (المحدثون من اليمامة إلى 250 الهجري تقريباً)
  12. Studies in Hadith Methodology and Literature (دراسات منهجية في علم الحديث)
  13. On Schacht's Origins of Muhammadan Jurisprudence (kritikan terhadap buku Origins of the Muhammadan Jurisprudence oleh Schacht)
  14. Studies in Early Hadith Literature (PhD)
  15. The History of the Qur'anic Text from Revelation to Compilation (تاريخ تدوين القرآن الكريم). 
  16.  Ageless Qur’an Timeless Text (النص القرآني الخالد عبر العصور)

Selain itu, beliau juga antara orang yang pertama memanfaatkan teknologi komputer bagi melaksanakan projek perisian hadis. Bagi menghargai jasa2nya, beliau telah menerima Anugerah Antarabangsa al-Malik Faisal dalam bidang pengajian Islam pada tahun 1400 H. Beliau kemudian telah mendermakan hadiah yang diterimanya ke tabung para pelajar miskin yang cemerlang.

Dr. al-A‘zami telah wafat pada hari Rabu 2hb Rabiul Akhir tahun 1439 H (20 Disember 2017). رحمه الله رحمة واسعة

Rujukan:
Syeikh Muhammad Mustafa al-A‘zami oleh Dr. Syed Abdul Majid al-Ghouri, http://journal.kuis.edu.my/hadis/wp-content/uploads/2016/10/al-hadees-arabic-8-185-262.pdf






No comments: