Pages

Saturday, January 26, 2013

Jadual Unik Sirah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم


اللهم صل وسلم وبارك علي سيدنا محمد وعلى آله

Sirah Nabi SAW dalam satu halaman ini boleh dirujuk di dalam kitab as-Syajarah an-Nabawiyyah yang boleh dimuat turun daripada link berikut: muntada.ae/.

Istimewanya kitab ini telah diperakukan dan disempurnakan oleh al-'Allamah Ibn al-Mibrad (w. 909H) dari kalangan ulama kurun ke-10 Hijrah. Bermakna kitab unik ini telah berusia lebih daripada 5 abad lamanya dan kini kita dapat memuat turun edisi originalnya secara percuma.

Semoga Allah SWT membalas usaha mereka yang mengemaskini, menyelenggara dan menyebarkannya kepada umat Islam dengan ganjaran yang setimpal.



Wednesday, January 16, 2013

Antara Surat-Menyurat Maulana Zakariyya al-Kandahlawi رحمه الله تعالى


Ketelitian Syeikhul-Hadith Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi di Dalam Meriwayatkan Hadis

Entri ini merupakan petikan sebahagian daripada penulisan ilmiah pelajar di bawah seliaan saya, A’ali Imran bin Jamal Mohamad, mengenai Syeikhul-Hadith Hadrat Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi dengan merujuk kepada kitab Aap Beeti autobiografi Maulana Muhammad Zakariyya sendiri. Saya kongsikan kerana nilai ilmu dan adab yang terkandung dalam petikan tersebut. Beberapa suntingan telah dibuat terhadapnya.

-------------------------

Sejak Hadrat Syeikh Muhammad Zakariyya mengajar hadis di dalam tahun 1340H (1922M), beliau dapati bahawa kesemua periwayatan sanad pengajaran hadis dan keizinan talian para masyaikh adalah melalui Musnid al-Hind Hadrat Hakim al-Islam Syeikh Shah Waliyullah ad-Dehlawi. Maka beliau telah mencatat seluruh rantaian-rantaian keizinan pengajaran hadis di India melalui hantaran surat-surat kepada semua madrasah, dengan tujuan; apakah terdapat sanad daripada Hadrat Syeikh Shah Waliyullah di dalam rantaian sanad mereka?

Akhirnya, beliau dapati tiada satu pun jawapan daripada madrasah-madrasah di India yang tidak mempunyai sanad Hadrat Syeikh Shah Waliyullah. Kesemuanya mempunyai hubungan talian yang sampai kepada Hadrat Syeikh Shah Waliyullah. Gurunya sendiri, iaitu Hadrat Maulana Khalil Ahmad juga mempunyai sanad daripada keluarga Hadrat Syeikh Shah Waliyullah dan para masyaikh di Mekah, sebagaimana diterangkan di dalam muqaddimah Bazl al-Majhud, Lami’ ad-Darari dan Awjaz al-Masalik. Dengan ini, Hadrat Syeikh selalu menamakan Hadrat Syeikh Shah Waliyullah sebagai Musnid al-Hind. (Aap Beeti 5. hlm. 154-155.)

Antara tiga kitab hadis yang dikarang oleh Syeikh Shah Waliyullah, iaitu;
-          pertama kitab al-Fadlul Mubin fi al-Musalsal min Hadithin Nabiyyil Amin,
-          yang kedua kitab ad-Durr at-Thamin fi Mubasysyaratin Nabiyyil Amin, dan
-          yang ketiga kitab an-Nawadir fi Ahadith Saiyyidil Awa‘ili wal Awakhir.
Dua daripada tiga kitab Syeikh Shah Waliyullah, iaitu kitab ad-Durr dan kitab an-Nawadir terdapat beberapa hadis yang diriwayatkan oleh sesetengah sahabat RA di dalamnya yang mana para ulama hadis mempunyai rasa keengganan yang berat menerima hadis-hadis yang dinukilkan. Keputusannya, Hadrat Syeikh mula ragu-ragu tentang keizinan untuk meriwayatkan hadis-hadis tersebut.

Justeru itu, di dalam tahun 1352H (1933M) Hadrat Syeikh telah menulis kira-kira 50 keping surat kepada kesemua para masyaikh, antaranya Syeikh al-Islam Hadrat Maulana Saiyyid Hussain Ahmad al-Madani, Hadrat Hakim Jamiluddin Naginwi (anak murid kepada Hadrat Maulana Abdul Rashid Ahmad Gangohi), Hadrat Maulana Mufti Kifayatullah, dan berbagai-bagai ulama yang lain bagi meminta pandangan mereka. Kebanyakan mereka menyatakan ketidak arifan mengenai kitab-kitab tersebut dan belum lagi bertemu pandangan-pandangan kritikal daripada kalangan muhaddithin. Dalam hal ini, Hadrat Syeikh juga menulis surat kepada Hakim al-Ummat Hadrat Maulana Asyraf ‘Ali Thanwi.

Berikut adalah ringkasan daripada kandungan surat Hadrat Syeikh kepada Hadrat Maulana Asyraf ‘Ali Thanwi:

Kepada Hadrat Hakim al-Ummat yang dihormati Maulana Thanwi,
(semoga Allah SWT menjadikan bayangan berkatmu tetap selalu)

Ketiga-tiga risalah oleh Mujadid India Hadrat Shah Waliyullah mengandungi banyak hadis yang mana menurut peraturan kaedah para muhaddithin mengkritik menentanginya malah dianggap maudhu’, khususnya hadis yang diriwayatkan oleh Ratan Hindi dan Ibnu Abi Dunya. Bagi Ratan Hindi, tidak ada bukti putus bahawa beliau adalah seorang sahabi dan di dalam Isabah terdapat suatu kritikan yang panjang menentanginya. Di dalam Lisanul Mizan, Ibnu Abi Dunya telah menyebut kenyataan dan istilah yang tidak selari.

Periwayatan hadis-hadis ini berlaku secara meluas sejak dari zaman Hadrat Shah Waliyullah. Saya telah menerima keizinan daripada Hadrat Saharanpuri untuk meriwayatkan hadis ini dan di atas desakan pelajar-pelajar, saya juga memberi keizinan terhadap banyak daripada hadis-hadis ini kepada mereka.

Dalam tahun ini, keraguan telah meningkat kepada saya bahawa menurut kaedah muhaddithin, meriwayatkan hadis-hadis sedemikian adalah penerusan meriwayatkan hadis palsu. Tetapi di sebalik dan hakikatnya ialah hadis-hadis itu wujud di dalam karya Hadrat Shah Waliyullah. Sedangkan kajian-kajian muhaddithin di dalam ilmu asma’ ar-rijal melarang meriwayatkan hadis ini.

Sekarang soalannya ialah; kajian siapakah yang lebih dipilih untuk diterima dan dapat dipergantungi? Malahan di Hijaz, hadis-hadis ini secara umumnya diriwayatkan. Jikalau keizinan tidak diberikan kepada para pelajar untuk menyampaikannya dan memindahkannya, maka terdapat bahaya hadis ini menjadi hilang kesemuanya setelah ia hidup selama 1300 tahun.

Jikalau keizinan diberikan pula, berkemungkinan termasuk ke dalam medan penyebaran hadis palsu.”

Berikut adalah ringkasan daripada kandungan surat jawapan Hadrat Maulana Asyraf ‘Ali Thanwi kepada Syeikh al-Hadith Hadrat Maulana Muhammad Zakariyya:

Saudara yang dihormati, assalamua’laikum.

Dengan pendekatanmu yang wara’ dan berhati-hati, kamu telah menjadikan perkara ini lebih mustahak daripadanya. Apapun, terdapat beberapa hadis, malahan di dalam Ibn Majah ada yang telah diisytiharkan palsu. Tetapi walaupun demikian, periwayatan hadis-hadis tersebut berterusan tanpa ada apa-apa bantahan.

Periwayatan hadis oleh saudara-saudara tua bukanlah bukti kesahihannya. Apa sahaja yang sampai kepada mereka, telah diriwayatkan oleh mereka. Meriwayatkan hadis merupakan satu perkara dan sama sekali berbeza dengan meletakkan tanda kesahihan dan betul terhadapnya. Walau bagaimanapun, meriwayatkan hadis yang sedemikian dengan menunjukkan penjelasan terhadap ketidak sahihannya yang samar adalah perlu. Dengan cara ini, periwayatan hadis-hadis palsu dibenarkan oleh pendapat sepakat para ulama.

Selain daripada ini, tidak ada apa-apa buat waktu ini di dalam fikiranku. Mungkinlah dengan merujuk perkara itu kepada ulama, banyaklah lagi kajian-kajian akan muncul mengenai perkara tersebut.

Wassalam,
Asyraf ‘Ali,
22 Rejab 1352 Hijri.

Begitulah serba sedikit perihal ketelitian dan kehalusan sifat yang ada pada Hadrat Syeikh sebelum dan sesudah meriwayatkan sesuatu hadis. Samada di dalam pengajian, kajian-kajian, mahupun karya-karyanya. Beliau sentiasa peka dan sangat memandang berat terhadap ketulenan ataupun kesahihan akan sesuatu perkara yang ingin disampaikan. Beliau tidak sekali-kali mengambil mudah di dalam setiap usaha-usahanya.

- tamat nukilan.

Thursday, January 10, 2013

Syeikh al-Musnid as-Sayyid Malik bin al-‘Arabi as-Sanusi



Beliau kembali ke rahmatullah pada malam Selasa 26hb. Safar 1434H bersamaan 7hb. Januari 2013 di Madinah al-Munawwarah dalam usia kira-kira 82 tahun. Jenazahnya telah disembahyangkan di Masjid Nabawi selepas solat zohor.

Nama lengkapnya as-Sayyid Malik bin al-‘Arabi bin Ahmad as-Syarif bin Muhammad as-Syarif bin al-Imam Muhammad bin ‘Ali as-Sanusi al-Idrisi al-Hasani al-Maliki.

Beliau telah berhijrah dari Libya ke Madinah disebabkan tekanan daripada Rejim Gadafi dan telah tinggal di Madinah selama lebih dari 25 tahun. Beliau adalah nazir Wakaf as-Sadah as-Sanusiyyah di Madinah. Banyak menghafal syair. Adakalanya beliau menyampaikan sebuah qasidah yang terdiri daripada 100 bait syair tanpa terkurang satu bait pun. Beliau begitu istiqamah dalam menjalani hidup mengikut manhaj datuk dan moyangnya, iaitu menghimpunkan antara tasawuf dan hadis serta berpegang kuat dengan as-sunnah.

Oleh kerana beliau antara pemegang sanad hadis dan keilmuan yang tertinggi pada masa kini, maka ramailah penuntut ilmu dan ilmuwan yang datang kepada beliau meminta ijazah sanad daripadanya. Beliau tidak jemu untuk memperdengarkan atau mendengar riwayat-riwayat yang disampaikan kepada orang-orang yang datang kepadanya.

Syeikh Dr. Nafi‘ bin al-‘Arabi as-Sanusi yang bermukim di Mesir kini adalah adik beradik beliau.

رحمه الله رحمة الأبرار وأسكنه جنات تجري من تحتها الأنهار
وإنا لله وإنا إليه راجعون،

Rujukan biografi: sini

Sunday, December 16, 2012

Syeikh ‘Abdus Salam Yasin رحمه الله



 Syeikh ‘Abdus Salam Yasin, mursyid Jamaah al-‘Adl wal-Ihsan Maghribi meninggal dunia pada hari Khamis, 13 Disember 2012 (28 Muharram 1434H) dalam usia 84 tahun.

Beliau dilahirkan pada tahun 1928. Antara guru-guru beliau ialah Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Susi dan Syeikh Haji ‘Abbas al-Qadiri (w. 1972). Beliau pernah bertugas sebagai penyelia pendidikan di beberapa daerah dan mengetuai beberapa institusi latihan kaki tangan kerajaan di Maghribi. Beliau turut menyertai berbagai kursus latihan pedagogi di Perancis, Amerika, Lubnan, Tunisia dan Algeria. Beliau aktif dalam bidang pendidikan sebelum berpindah kemudian ke bidang dakwah Islam, di mana beliau mengasaskan Jamaah al-‘Adl wal-Ihsan pada tahun 1973.

Beliau terkenal sebagai pembangkang dalam masa pemerintahan Sultan al-Hasan II. Risalahnya (الإسلام أو الطوفان) pada tahun 1974 telah menyebabkan beliau disumbatkan ke dalam penjara selama 3 tahun 6 bulan tanpa sebarang perbicaraan. Setelah itu beliau dimasukkan pula ke Hospital Mental. Pada tahun 1983 beliau sekali lagi ditangkap dan dipenjara selama 2 tahun. Pada tahun 1989, beliau dikenakan tahanan dalam rumah. Beliau tidak boleh meninggalkan rumahnya dan menerima sebarang tetamu, termasuk saudara mara beliau sendiri. Hukuman ini berterusan sehingga tahun 2000. Beliau dibebaskan setelah kematian Sultan al-Hasan II dan digantikan oleh anaknya, Sultan Muhammad VI pada tahun 1999.

Kali ini Syeikh Yasin menulis pula risalah berjudul (مذكرة إلى من يهمه الأمر) yang ditujukan kepada sultan. Jamaah al-‘Adl wal-Ihsan tidak mengiktiraf sultan memakai gelaran Amirul Mu’minin.

Antara karya-karya beliau:
1- الإسلام بين الدعوة والدولة (1972).
2- الإسلام غداً (1973).
3- الإسلام أو الطوفان (الرسالة المفتوحة إلى الملك، وقد كان طبعها وتوزيعها بطريقة لم يقصد بها عموم الناس)، 1974.
4- La révolution à l'heure de l'ISLAM - 1980.
5- Pour un dialogue Islamique avec l'élite occidentalisée - 1980.
6- المنهاج النبوي تربية وتنظيما وزحفا، 1982.
7-  الإسلام وتحدي الماركسية اللينينية، 1987.
8- الرجال، الجزء الأول من سلسلة «الإحسان»، 1989.
9- مقدمات في المنهاج، 1989.
10- الإسلام والقومية العلمانية، 1989.
11- نظرات في الفقه والتاريخ، 1990.
12- شذرات (ديوان شعر)، 1992.
13- محنة العقل المسلم بين سيادة الوحي وسيطرة الهوى، 1994.
14- حوار مع الفضلاء الديمقراطيين، 1994.
15- رسالة تذكير هي الرسالة الأولى من سلسلة «رسائل الإحسان»، 1995.
16- في الاقتصاد، البواعث الإيمانية والضوابط الشرعية، 1995.
17- رسالة إلى الطالب والطالبة، إلى كل مسلم ومسلمة (الرسالة الثانية من رسائل الإحسان) ،1995.
18- تنوير المومنات (في جزأين)، 1996.
19- الشورى والديمقراطية، 1996.
20- حوار الماضي والمستقبل، 1997.
21- حوار مع صديق أمازيغي، 1997.
22-  Islamiser la modernité 1998.
23- الإحسان، الجزء الأول، 1998.
24- الإحسان، الجزء الثاني، 1999.
25- مذكرة إلى من يهمه الأمر(رسالة نصيحة بالفرنسية إلى الملك محمد السادس وترجمت إلى اللغة العربية وغيرها من اللغات) ،1999.
26- العدل (الإسلاميون والحكم)، 2000.
27- قطوف (ديوان شعر طبع منه ثلاثة أجزاء)، 2000.
28- المنظومة الوعظية (الرسالة الثالثة من رسائل الإحسان).
29- الخلافة والملك، 2001.
30- رجال القومة والإصلاح، 2001.
31- سنة الله، 2005.
32- مقدمات لمستقبل إسلامي، 2005.
33- الثمن، 2006.
34- إمامة الأمة، 2009.
35- القرآن والنبوة، 2010.
36- وصيتي إلى الطلبة

Laman sesawang beliau dapat dilayari di: http://www.yassine.net/

رحمه الله تعالى

Friday, November 16, 2012

Daurah Sunan al-Nasa'i Dalam BERNAMA

مجلس قراءة وسماع سنن النسائي الصغرى في كلية جامعية إسلامية بماليزيا
November 09, 2012 21:16 PM

كوالالمبور/ في 9 نوفمبر/تشرين الثاني//برناما//-- من المقرر أن يُعقد مجلس قراءة وسماع سنن النسائي الصغرى المعروف بالمجتبى على فضيلة الشيخ المحدّث محمد عوض المنقوش في الكلية الجامعية الإسلامية العالمية بولاية /سلانغور/ الماليزية لفترة /13-18/ نوفمبر/تشرين الثاني الجاري 0

وقال الدكتور محمد فيصل بن محمد، مدير دورة قراءة سماع سنن النسائي بمسجد الأزهر في الكلية الجامعية التي ستقام بالتعاون مع معهد دراسات الحديث النبوي وقسم القرآن والسنة بكلية الدراسات الإسلامية فيها، إن هذه الدورة تهدف إلى إحياء سنة أهل الحديث كما في صفحات تاريخ الحضارة الإسلامية، في هذا البلد 0

وأفاد أن الدورة ستكون في مسجد الأزهر الواقع في قلب الكلية الجامعية وتبدأ من الساعة /8:30/ صباحاً إلى الساعة /4:00/ مساءً، ثم يُستأنف من الساعة /8:30/ مساءً إلى الساعة /11:00/ مساءً، وسوف يمنح إجازة إسناد لمن حضر عدداً محدداً من المجالس 0

وعلى سياق متصل، قال مدير معهد دراسات الحديث النبوي السيد محمد حافظ بن سوروني، إن مجالس قراءة وسماع كتب الحديث النبوي مثل كتاب شمائل النبي (ص) على مولانا الشيخ عبدالحميد بن هاشم القدحي الماليزي وكتاب الجامع للإمام الترمذي على الشيخ المنقوش، قد تم عقدها في هذه الكلية الجامعية قبل أشهر 0

وأوضح أن النظم التعليمية الحديثة في يوم الناس هذا قد أهملت مثل هذه المجالس الحديثية التي تحفل بها الأثبات والفهارس الحديثية قبل مئات السنوات 0

وأضاف أن إحياء مجلس قراءة وسماع كتب الحديث أيضاً يهدف إلى إعلام المجتمع بأن هذا هو النظام السائد في العصور الماضية بدءً من عهد النبي (ص) إلى ما قبل طغيان النظم التعليمية الحديثة على هذا النظام المبارك، ومن ثم يتحول تدريجياً إلى مرفإ النسيان 0

وجدير بالذكر أن أول من عقد مجالس قراءة وسماع كتب الحديث في ماليزيا قديماً هو مولانا الشيخ أبو عبدالله سيد حسن بن نور حسن الخراساني الديوبندي (1292هـ-1363هـ) الذي يروي عن شيخ الهند مولانا محمود الحسن الديوبندي وذلك في ولاية كلانتان الماليزية، وكان طلاب العلم يقرؤون ويسمعون عليه كتاب مشكاة المصابيح والكتب الستة ما عدا سنن ابن ماجه 0//وكالة الأنباء الوطنية الماليزية- برناما//م.أ


Thursday, September 27, 2012

Syeikh Muhammad Sa‘id al-Kuhail al-Himsi


Al-‘Alim al-Rabbani Syeikh Muhammad Sa‘id al-Kuhail al-Himsi رحمه الله


Imam dan khatib Masjid Saidina Khalid bin al-Walid RA di Bandar Hims, Syria dan syeikh Tariqat Syaziliyyah Darqawiyyah di Syam, al-‘Arif Syeikh as-Sayyid Muhammad Sa‘id al-Kuhail al-Himsi al-Hanafi ad-Darqawi telah meninggal dunia pada hari Selasa lepas, 25/09/2012 di Jeddah, Arab Saudi. Jenazah beliau kemudian dimakamkan di perkuburan al-Baqi‘, Madinah al-Munawwarah. Beliau dilahirkan pada tahun 1353H/ 1933.

Syeikh Muhammad Sa‘id al-Kuhail adalah murid dan khalifah Syeikh Tariqat Syaziliyyah Darqawiyyah di Syam sebelumnya, Mawlana al-‘Arif Syeikh ‘Abd ar-Rahman as-Syaghuri ad-Dimasyqi (1331 - 1425H).

Beliau meriwayatkan sanad keilmuan dari ramai tokoh ulama besar di Syam, Mesir, Maghribi dan lain-lain. Beliau pernah mengaji kitab (نخبة الفكر) dalam mustalah al-hadith daripada al-‘Allamah al-Hafiz Sayyid Ahmad ibn al-Siddiq al-Ghumari (1320 - 1380H).

Antara guru beliau yang lain ialah al-‘Allamah Syeikh Hasan bin Muhammad al-Masysyat al-Maliki al-Makki (1317 - 1399H), al-‘Allamah as-Sayyid ‘Alawi bin ‘Abbas al-Maliki al-Hasani (1325 - 1391H), al-‘Allamah al-Kabir Syeikh Muhammad al-‘Arabi at-Tabbani al-Maliki (1313 - 1390H), Syeikh Muhammad Nur Saif al-Hilali al-Maliki (1323 - 1403H), al-‘Allamah al-Muhaddith Syeikh Muhammad Ibrahim bin Sa‘dullah al-Khutani al-Bukhari al-Hanafi al-Madani (1311 - 1387H) dan lain-lain.

رحمه الله تعالى رحمة واسعة
- الفاتحة -

Rujukan:
-         Multaqa al-Nukhbah.
-         Rawd ar-Rayyahin. 

Sunday, September 23, 2012

Hadis Wanita Harus Menjadi Imam


 
Soalan:

Ada tak hadis wanita boleh menjadi imam bagi jemaah wanita? Kerana ada yang mengatakan wanita tak perlu berjemaah sesama mereka dan Rasulullah SAW sendiri bersabda, “Sebaik-baik salat bagi wanita adalah di sudut rumahnya” (HR Ahmad dan lain-lain) iaitu secara sendirian.

Jawapan:

Ada sebuah hadis.

Diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya (بَاب إِمَامَةِ النِّسَاءِ) (591- 592) daripada ‘Abd ar-Rahman bin Khallad al-Ansari dan Laila binti Malik daripada Ummu Waraqah binti ‘Abdullah al-Ansariyyah r.a., seorang sahabiah yang pandai membaca al-Quran  – secara ringkasnya - bahawa beliau pernah meminta izin kepada Nabi SAW untuk menugaskan di dalam rumahnya seorang mu’azzin, lalu baginda pun mengizinkannya. Baginda menyuruh beliau supaya menjadi imam kepada ahli rumahnya. Kata ‘Abd ar-Rahman: “Aku pernah melihat mu'azzinnya adalah seorang lelaki tua yang lanjut usianya”.

Hadis Ummu Waraqah r.a. ini juga telah diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, al-Hakim dalam al-Mustadrak, Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya (1676), al-Bayhaqi dalam al-Sunan al-Kubra, al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir dan al-Daraqutni dalam Sunannya. Kesemuanya dari jalur al-Walid bin ‘Abdullah bin Jumai‘, seorang perawi yang dihukum thiqah atau (لا بأس به) oleh ramai ulama al-jarh wa al-ta‘dil.

Pendapat yang menolak hadis ini kerana ‘Abd ar-Rahman bin Khallad al-Ansari adalah seorang perawi yang majhul. Namun, riwayat beliau tidak bersendirian kerana ia telah diiringi (mutaba‘ah) oleh riwayat Laila binti Malik yang juga seorang perawi majhul. Dari sudut ini, ada pendapat yang melihat ianya tetap tidak dapat mengukuhkan antara satu sama lain. Manakala satu pendapat lagi mengatakan ianya dapat mengukuhkan antara satu sama lain dan menjadikan sanad hadis ini meningkat kepada darjat hasan

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut dalam (بلوغ المرام):  “Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan ia disahihkan oleh Ibn Khuzaimah”, seolah-olah beliau mengakui dan menerima pentashihan Ibn Khuzaimah tersebut. Al-‘Allamah al-‘Aini dalam (البِنَاية شرح الهِدَاية) menyatakan hadis ini adalah sahih.

Hadis ini dikuatkan oleh beberapa athar daripada ‘A’isyah RA, Ummu Salamah RA dan Ibn ‘Abbas RA yang menunjukkan wanita boleh menjadi imam kepada jemaah wanita. Antaranya, al-Hakim meriwayatkan daripada ‘Ata’ katanya:
أَنَّهَا كَانَتْ تُؤَذِنُ وَتُقِيمُ وَتَؤُمُ النِّسَاءَ، وَتَقُومُ وَسْطَهُنَّ.
Maksudnya: “Beliau [‘A’isyah RA] pernah melaung azan, iqamah dan mengimamkan jemaah wanita serta berdiri di tengah-tengah mereka”.

Para ulama' telah berbeza pendapat dalam memahami hadis Ummu Waraqah r.a. di atas. Sebahagian mereka menjadikan ianya khusus kepada Ummu Waraqah r.a. sahaja dan sebahagian yang lain pula menganggap dibolehkan perempuan menjadi imam kepada ahli keluarganya yang perempuan sahaja dan tidak dibolehkan menjadi imam kepada wanita selain keluarganya serta di luar rumahnya.

Berdasarkan dalil-dalil di atas, menurut sebahagian ulama seperti mazhab al-Syafi‘i dan pendapat yang rajih dalam mazhab Hanbali, wanita boleh menjadi imam solat berjemaah yang makmumnya hanya wanita, seperti yang dilakukan oleh ‘A’isyah RA dan Ummu Salamah RA. Ia adalah mustahab.

Imam ‘Abd al-Hayy al-Laknawi al-Hanafi (w. 1304H) telah mengupas masalah ini dengan baik di dalam kitabnya (تحفة النبلاء في جماعة النساء). Beliau menyokong pandangan mazhab al-Syafi‘i dan lain-lain yang bersamanya serta menolak pandangan ulama Hanafiyyah yang mengatakannya makruh.

Hadis di atas dalil yang menunjukkan keharusan wanita berbuat demikian dan tidak bertentangan dengan hadis: “Sebaik-baik solat bagi wanita adalah di sudut rumahnya” (HR Ahmad dan lain-lain). Kerana kedua-duanya merujuk kepada kesesuaian situasi individu. Lihat bagaimana syarak menjaga kedudukan istimewa kaum wanita hatta dalam ibadah.

Nabi SAW menyatakan ganjaran pahala 27 kali ganda bagi solat berjemaah adalah untuk direbut oleh sesiapa sahaja, termasuklah wanita. Sebab itu kaum wanita di zaman Baginda SAW tidak dihalang untuk pergi ke masjid bersolat jemaah. Dan pada masa yang sama baginda amat prihatin dalam menjaga kehormatan mereka. Justeru, wanita yang berpeluang dan berkesempatan bersolat jemaah, maka ia bolehlah bersolat jemaah. Apatah lagi jika berada di Masjid al-Haram atau Masjid Nabawi yang besar ganjaran pahalanya. Manakala yang tidak berpeluang dan berkesempatan, maka ia tidak perlu sama sekali berasa sedih dan kecewa kerana solat di rumahnya itu dikira lebih afdhal. Ini berbeza dengan kedudukan kaum lelaki.

Jika para pelajar perempuan yang tinggal di asrama misalnya, maka harus bagi mereka menunaikan solat berjemaah secara bersama-sama. Lebih-lebih lagi ganjaran pahala 27 kali ganda bagi solat berjemaah akan dapat diperolehi. Jika seorang suri rumah pula misalnya, adalah lebih baik baginya bersolat sendirian atau bersama anak-anak perempuan di rumah sahaja kerana itu lebih sesuai dan lebih menjaga diri mereka. Keafdhalan yang disebutkan adalah kerana ketaatan mereka yang penuh bulat di dalam memelihara batasan syarak. Menjaga kesesuaian situasi ini lebih menampakkan kecantikan dan keluasan syariat Islam yang bersifat anjal dan tidak rigid.

* Perhatian:
Ada disebut dalam hadis Ummu Waraqah r.a. itu, beliau menjadi imam kepada ahli rumahnya yang mana mu'azzinnya adalah seorang lelaki tua yang lanjut usianya. Oleh itu, Abu Thaur, al-Muzanni dan at-Tabari menyatakan perempuan juga boleh menjadi imam kepada orang lelaki secara mutlak. Pandangan ini dikira berlawanan (syaz) dengan pandangan jumhur besar ulama. Berdasarkan pendapat yang mengatakan hadis di atas sabit, perkara ini perlulah ditafsirkan dengan jelas. Meskipun ada yang menafsirkan, Ummu Waraqah r.a. sebenarnya hanya menjadi imam kepada ahli keluarga wanita sahaja di rumahnya.

Menurut Dr. ‘Abd al-Karim Zaidan dalam kitabnya al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, yang rajih (tepat) ialah harus seorang wanita menjadi imam kepada orang lelaki bersama-sama ahli keluarga di rumahnya (dengan syarat) jika wanita itu lebih utama dan layak untuk menjadi imam berbanding lelaki disebabkan ia lebih pandai membaca al-Quran dan lebih faqih (berilmu). Hadis Ummu Waraqah r.a. itu menunjukkan beliau adalah seorang yang pandai membaca al-Quran serta lebih mampu dan layak menjadi imam berbanding mu'azzinnya yang merupakan seorang lelaki tua yang sudah lanjut usia (sebab itu namanya pun tidak disebutkan).

Menurut beliau lagi, adapun wanita yang menjadi imam kepada orang lelaki di masjid (atau di luar rumahnya), maka hukumnya adalah tidak harus, sebagai mengikut pandangan jumhur ulama. Dalil yang dapat menguatkannya ialah tidak pernah dinukilkan kepada kita walaupun sekali bahawa ada wanita yang pernah menjadi imam solat kepada jemaah lelaki (atau ada di antara makmumnya orang lelaki), sama ada pada zaman sahabat mahupun pada zaman tabiin.

Wallahu a‘lam.